Wednesday, 11 July 2018

Cerpen My Mr. Stalker - Bab 5




Sam

            “Nah! Pakai T-shirt abang. Pakai dengan leggings yang Sam pakai kat dalam kain tu.”

            Aku sambut huluran tangannya. Rimas jugak pakai baju kurung ni. Dah lama aku tak pakai. Sejak tamat Tingkatan 5 agaknya.

            Aku salin baju di dalam bilik air. Selesa dengan baju-T suami aku sendiri. Besar gedabak dan labuh. Memang taste aku.

            Aku keluar dari bilik air. Tengok Hadif dah tersandar lesu kat kepala katil. Matanya terpejam. Dadanya berombak dengan ritma yang cukup perlahan. Aku senyum. Mata begitu enak menikmati pemandangan yang cukup mendamaikan hati. Siapa sangka? Mamat yang sebelum ini asyik mengekor setiap gerak-geri aku, akan menjadi pendampingku seumur hidup.

            Perlahan-lahan aku duduk di birai katil bersebelahan dengan dia. Hadif dah bersalin baju nampaknya. Baju Melayu kini sudah berganti dengan singlet berwarna putih. Otot di lengan dan di dada yang selama ini terselindung di balik baju kini jelas terpampang buat santapan mataku. Perut dia berotot jugak ke ek? Teringin nak tahu. Hehe...

            Dia bertanya tadi, macam mana aku boleh terima dia? Aku pun beberapa kali bertanya soalan yang sama pada diri aku sendiri. Dan jawapannya?

            Sebab... aku tak pernah rasa takut walaupun tahu dia sedang stalk aku... Malahan aku rasa selamat tatkala aku tahu dia ada... Pelik kan? Tapi tu hakikat.

            Sebab... dia sama macam aku. Sanggup berbuat apa saja demi melindungi adik kandung sendiri. Dia ada Hana, dan aku ada Raisya.

            Sebab... dia sanggup nak tolong aku sama-sama jaga baby Raisya... Hati siapa tak cair, sedangkan dia tahu baby yang dikandung Raisya tu, anak luar nikah?

            Sebab... dia seorang saja yang sudi melamar perempuan macam aku untuk jadi isteri dia...

            Dan... sebab aku tak boleh nak lupakan dia... walaupun sesaat...

            “Hadif...” seru aku perlahan.

            Terkebil-kebil dia mencelikkan mata. Tegak tubuh dia. “Kenapa ni? Awak okey, Sam?” Wajahnya nampak risau.

            “Saya takut...” Teragak-agak aku mengaku. Tangan kanan aku pulas dengan tangan kiri.

            Tangan kanan aku diraih lalu digenggam erat. “Awak takut apa, Sam?”

            “Semuanya berlaku macam cepat sangat. Awak tak main-main kan Hadif?”

            “Tak... Abang tak main-main.” Dia tersenyum. “Memang semuanya berlaku cepat sangat, tapi abang yakin dengan apa yang abang buat ni, Sam. Tak pernah abang seyakin ini. Percayalah!”

            Kata-kata dia bak bayu yang membelai ke wajah. Rasa damai. Dan entah mengapa, aku percaya akan kata-katanya.

“Awak tahu, masa abang stalk awak dulu, abang rasa bersalah sangat pada Hana...”

            “Kenapa?”

            “Sebab abang tak dapat nak benci pada orang yang kononnya dah buat adik abang bersedih. Sedangkan selama ni, abang pantang kalau Hana tu bersedih...”

            “Ohh...”

            “Kali pertama awak terjah abang kat restoran tu pun, abang cuba nak bencikan awak... tapi abang tak mampu. Entah kenapa, abang tak rasa yang awak ni jenis perempuan perampas macam yang Hana cuba gambarkan pada abang. Abang selalu percaya pada kata hati abang sendiri... dan Alhamdulillah, apa yang abang fikir tentang awak semuanya benar belaka...” aku dia lagi.

            Khusyuk aku dengar dia bersuara. Suara dia dalam. Kena dengan halwa telinga aku. Bisa buat aku terbuai-buai.

            “Lagi banyak abang tahu pasal awak, lagi susah untuk abang lupakan awak. Terima kasih sebab cuba kacau hubungan Hana dengan Shah. Kalau tak, abang tak tahulah macam mana kehidupan Hana nanti.”

            Aku angguk. “Walaupun saya tak rapat dengan Hana, saya tak nak Shah rosakkan Hana sama macam apa dia buat pada Sya... Dia bukan lelaki yang baik untuk sesiapa pun. Saya tak dapat nak maafkan dia sebab apa yang dia buat pada Sya. Kalau saya tak fikir tentang Sya, mungkin saya dah jadi seorang pembunuh! Saya kacau dia, sebab dia macam tak rasa bersalah langsung dengan apa yang dia dah buat... dan Sya seorang yang rasa terseksa. Tak adil, awak!”

            “Abang tahu, Sam...” setuju dia sambil meramas tangan aku. “Sam, lepas baby Sya dah lahir nanti, kita boleh je buat ujian DNA untuk buktikan Shah yang rogol Sya...”

            Aku tunduk. “Sya tak nak... Saya dah banyak kali pujuk dia sebelum ni, tapi Sya tak nak...”

            “Kenapa?”

            “Sebab dia takut yang Shah akan kata, dia tak rogol, tapi hubungan diaorang suka sama suka. Lagipun, memang Sya ikut Shah pergi ke party tu. Dia pergi tanpa pengetahuan saya. Kat situ, semuanya kawan Shah. Sorang pun Sya tak kenal. Jadi, macam mana Sya nak buktikan tu kes rogol?”

            Dia mengeluh.

            “Tapi saya yakin, Shah takkan terlepas. Allah ada. Kalau dia terlepas kat dunia pun, kat akhirat nanti, dia mesti akan dihukum.”

            Dia elus pipi aku. Hari ni saja dah beberapa kali dia usap pipi aku. Aku suka! Rasa macam dia sayang sangat pada aku.

            “Sam, awak dan Sya cekal sangat. Abang bangga isteri abang seorang yang kuat dan pada masa yang sama, seorang yang sangat penyayang,” pujinya. Kembang terasa di dada.

            “Awak... saya nak terima kasih sangat kat awak, sebab awak dah tunaikan impian saya nak jaga sendiri anak saudara saya tu. Dia tak berdosa. Kalau Sya serahkan baby tu kepada orang lain, saya takut nanti saya akan selama-lamanya tercari-cari dia atau tertanya-tanya apa yang terjadi pada dia. Saya tak sanggup!”

            “Abang faham, Sam. Abang faham...”

            “Saya takkan maafkan diri saya sendiri kalau orang yang ambik baby tu nanti, dera baby tu, atau tak bagi kasih sayang yang mencukupi pada dia,” sambung aku lagi.

            Dia mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat aku.

            “Lagi satu...”

            “Apa dia?”

            “Bukan susah untuk saya nak terima awak, Hadif...”

            Dia jongket kening. Menantikan aku menjawab soalan yang ditanya sebentar tadi. Aku mencari kekuatan. Kekuatan untuk berterus-terang... Dan nafas aku hela perlahan-lahan...

********

Hadif

            Aku peluk dia erat. Dia menggumam sesuatu sambil membetulkan letak duduk kepalanya kat atas dada aku. Mungkin tidak suka tidurnya diganggu. Namun aku tak dapat menahan diri. Tidak mahu sebarang jarak, waima seinci, antara aku dengannya.

            Alhamdulillah... Segala yang aku bayangkan bersama Sam, tertunai sepenuhnya hari ini. Sam... apa yang kau dah buat pada aku?

                Bro! Lu apa hal? Kat mana aku ada, kau ada. Kat mana aku pergi kau pergi! Kau ni kenapa?

            Aku tersenyum. Teringat kata-kata pertama yang dilemparkan Sam ke arah aku. Sam yang kasar... Sam yang ganas... Sam yang berani... kini terkulai layu dalam pelukan aku! Terrer jugak aku ni! Bisa tundukkan gadis seperti Sam! Aku belai rambut ikal dia. Lembut menerjah ke celah jari-jemari aku. Bak sutera... Dan fikiran aku kembali ke bicara Sam beberapa detik yang lalu... bicara yang membuat mulut aku ringan untuk membongkar rahsia hati...

            “Bukan susah untuk saya nak terima awak... Dalam diam, saya tahu awak jaga saya. Awak ikut saya, tapi pada masa yang sama, awak lindungi saya. Awak lindungi saya daripada Shah... dan saya tahu yang dalam diam, awak temankan saya balik dari restoran setiap malam, dan awak jugak yang paksa mak long serahkan geran tanah kebun arwah ayah kepada saya...”

            “Awak tahu?” soal aku.

            Dia mengangguk. “Kenapa awak buat semua tu, Hadif?”

            “Sebab... abang tak dapat lupakan awak, Sam. Walaupun cerita Hana dengan Shah dah tamat, tapi abang tetap nak stalk awak. Rutin abang dah berubah 100% sejak jadi stalker awak. Dan abang rasa lain kalau abang tak stalk awak...”

            Dia diam.

            “Lagipun, abang tak boleh duduk diam lepas abang tahu yang awak dengan Sya dah lama teraniaya oleh mak long awak sendiri. Abang gertak dia sikit je, tapi dia yang takut lebih...”

            “Kenapa awak nak kahwin dengan saya?” Sam menyoal.

            “Sebab abang nak jadi orang yang keringkan air mata awak, Sam. Masa awak nangis sebab risaukan Sya, abang rasa buntu sangat. Abang nak tenangkan awak, nak peluk awak dan abang nak jadi orang yang lenyapkan semua masalah awak, dan abang nak jaga awak, Sam... untuk selama-lamanya...”

            Menitik air mata dia tiba-tiba. Mungkin terharu dengan luahan hati aku. Kesian Sam. Selama dia dengan Raisya hilang tempat berpaut, Sam la yang menjadi ketua dalam keluarga. Terpaksa belajar menjadi dewasa pada usia yang masih mentah. Semuanya demi Raisya. Aku usap air mata dia dengan jari aku. Tidak suka melihat dia menangis.

“Kenapa awak setuju, Sam?”

            “Sebab awak nampak ikhlas sangat dengan saya. Awak nampak serabut bila saya masih tak berikan jawapan, buat saya yakin yang awak pun tak dapat lupakan saya, sama seperti awak yang asyik muncul dalam ingatan saya...”

            Aku tersengih bangga. ‘Dia asyik ingatkan aku? Wah! Rasakan penangan Mr. Stalker! Chewah!’

            “Awak asyik teringatkan abang ke Sam?”

            Dia mengangguk tanpa berselindung. Aku suka akan kejujurannya.

            “Awak syokkan abang?”

            Dia menjeling. Aku ketawa sambil mencuit hidungnya. “Abang memang sah-sahlah syokkan awak. Dapat peluk sekali je hari tu, mana cukup?”

            Mulut dia ternganga. Mungkin tak sangka yang aku akan ungkit episod aku peluk dia ketika cuba nak leraikan dia daripada terus menyerang Shah kut.

            “Padanlah awak pakai baju yang longgar-longgar ya Sam? Awak nak sorok setiap lekuk kat badan awak ni. Tak tidur malam abang sejak hari tu tau!” Semakin galak aku usik dia. Pipi dia dah merah. Aku usap pipi dia lembut.

            Dari pipi, aku usap kepala dia. Dia tak menolak. Dan senyuman dia buat aku bertindak dengan lebih berani. Yang mengakibatkan Sam kini sudah lena diulit mimpi.

            Aku pasti kat luar sana dah senja. Berat hati nak kejutkan dia, tapi aku tiada pilihan lain. Dah jadi isteri, aku kena bimbing dia. Kejap lagi dah nak maghrib. Perut dia pun mesti dah lapar.

            “Sam... Sam...” bahu dia aku goncang perlahan.

            “Kejap arrr mak long...” gumam dia dengan mata masih terpejam. “Kacau je! Orang penat lagi ni...”

            Alahai, kesiannya dia! Dah bebas daripada cengkaman mak cik dia tu pun, masih lagi dia teringat akan perempuan itu.

            Aku cuba sekali lagi. Kali ini aku tak goncang bahu dia, tapi aku kucup dahi dan pipi dia silih berganti.

            Mata dia tercelik. Membulat mata dia tiba-tiba tengok aku kat sebelah dia.

            “Bangun, Sam. Dah senja ni...” pujuk aku.

            “Oh... hah... ya ya...” Gagap pulak dia tiba-tiba. Selalunya melatah je. Aku tahu dia malu. Aku tahu dia segan dengan aku. Tapi takpe. Aku takkan sakat dia. Aku nak dia selesa dengan aku.

            “Sam, awak nak mandi dulu atau abang dulu?”

            Errr... awak dululah...” jawabnya tanpa memandang ke wajah aku. Aku lihat pipinya sudah merona merah. Alahai comelnya Sam ni!

            “Sam... awak tak perlu rasa malu. Awak dah jadi milik abang...” bisik aku perlahan ke telinganya. Sempat kepalanya aku usap lembut.

            Dia diam. Mungkin dia perlukan ruang untuk bersendirian.

“Abang mandi dulu ya?” Aku labuhkan kucupan hangat ke dahi dia sebelum bangun untuk ke bilik air. Membiarkan dia menerima dan membiasakan diri dengan semua yang telah terjadi di dalam bilik hotel ini. Bilik yang menempa kenangan terindah untuk aku dan dia...

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....