Wednesday, 30 August 2017

SE Cerpen Air Mata Seorang Lelaki


Amzar melangkah masuk ke dalam kamar tidur. Mata menangkap kelibat isterinya yang duduk di sofa sambil membaca novel. Izara mengangkat mata lalu bingkas bangun dari sofa. Novel di tangan diketepikan begitu saja. Bibir sudah menguntum senyuman manis. Tangan Amzar diraih lalu dikucup mesra. Suara tidak mampu bertanya soalan yang terbias di hati.

“Zara tak tidur lagi?” soal Amzar. “Dah lewat sangat ni…” Mata tak lepas dari wajah isterinya. Mengharapkan agar Izara akan bertanyakan sebab dia sering pulang lewat ke rumah dua-tiga menjak ini.

“Belum, tak ngantuk lagi…” balas Izara. Tangan sudah sibuk mengambil tuala untuk Amzar. “Abang dah makan?”

“Dah… abang makan dengan klien tadi,” jawab Amzar. Tuala yang dihulur Izara disambut. Diri masih menunggu Izara bertanyakan soalan yang selanjutnya.

“Oh, okey.”

Berkerut dahi Amzar melihat Izara kembali duduk di sofa. Okey je? Takde nak tanya apa-apa lagi? Bersama suatu keluhan, Amzar berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.

Usai mandi, Amzar mengerjakan solat yang tertangguh sebelum melabuhkan penat di birai katil. Hati kurang enak mengenangkan si isteri yang seakan memendam rasa dan mendiamkan diri. Langsung tiada rasa bimbang ke di hati isterinya? Atau sekurang-kurangnya rasa ingin tahu?

“Zara,” seru Amzar.

“Ya?”

“Sini kejap,” gamit Amzar.

Sekali lagi Izara meletakkan novel yang sedang dibaca ke atas sofa sebelum akur akan permintaan Amzar. Punggung dilabuhkan di sebelah suaminya.

Amzar menatap wajah manis isterinya yang sentiasa murah dengan senyuman. Sejak mereka kembali bersatu menjadi suami dan isteri beberapa bulan yang lalu setelah hampir-hampir bercerai, Amzar merasakan dunianya begitu bermakna. Cinta yang dulu, membuat dirinya jauh dari keluarga dan jauh dari Sang Pencipta, tapi cinta yang dirasakan kini membuat dirinya rasa begitu sempurna.  

“Ada apa bang?” soal Izara tatkala merasakan mata Amzar sudah lama singgah di wajahnya.

Amzar berdeham kecil. “Zara ada nak tanya abang apa-apa?”

Untuk seketika senyuman di bibir kelihatan goyah sebelum pantas Izara menyembunyikan perubahan pada reaksinya. “Takde. Kenapa?”

Amzar menelan rasa kecewa. Izara seorang isteri yang terlalu berhati-hati, terlalu menjaga tutur katanya dan terlalu ingin menjaga hati Amzar sehinggakan, Amzar merasakan Izara terpaksa korbankan perasaannya sendiri. Dia tidak mahu Izara begitu. Tidak mahu apa-apa perasaan negatif yang terkumpul dan dipendam, akan semakin membukit lalu meletus begitu saja suatu hari nanti.

“Dah berapa lama Zara ikut abang balik KL?”

Emmm… dah nak masuk tiga bulan,” jawab Izara.

“Dalam masa tiga bulan ni, Zara bahagia tak hidup dengan abang?”

Laju kepala Izara mengangguk. Merekah senyuman di bibir Amzar.

“Betul?”

“Betul! Saya bahagia sangat bang!”

“Abang nak tanya... apa definisi bahagia untuk Zara?”

Errr... kenapa abang tanya macam tu? Saya tak faham,” ujar Izara dengan dahi yang berkerut.

“Saja je abang nak tahu...”

Izara terdiam seketika. Terasa pelik dengan pertanyaan daripada suaminya. “Emmm... Saya bahagia sebab kehidupan saya sekarang serba-serbi cukup semuanya. Abang sediakan semua keperluan saya, abang izinkan saya bekerja, abang jaga keperluan adik-adik saya... Semualah! Jadi, mestilah saya bahagia!”

Amzar mencapai tangan isterinya. “Macam mana dengan hati dan perasaan Zara?”

 “Hati dan perasaan saya?” soal Izara dengan suara yang jelas keliru.

“Ya,” tutur Amzar.

“Mestilah bahagia...”

Terjongket kening Amzar.

“Zara...”

“Abang sebenarnya nak tahu apa ya? Saya kelirulah dengan soalan-soalan abang ni!” celah Izara laju.

Amzar mengeluh perlahan. “Kenapa abang rasa yang Zara tak berterus-terang dengan abang?”

Izara tidak mengerti. Wajahnya berkerut cuba memikirkan maksud di sebalik kata-kata suaminya.

“Atau Zara memang tak kisahkan abang?”

“Abang!” Membulat mata Izara. Terkedu dengan tuduhan Amzar.

Amzar mengelus lembut rambut isterinya yang lepas bebas. Wajah isterinya yang tegang ditatap lembut. “Zara... Zara tak kisah ke abang balik lambat tiap-tiap malam?” soal Amzar dengan suara yang perlahan. Terluah jua apa yang selama ini mengganggu jiwanya. “Sekali pun Zara tak pernah tanya kenapa abang balik lambat, abang meeting dengan siapa atau abang dinner dengan klien mana. Zara tak kisah ke?” Amzar mengulang pertanyaannya.

Izara tunduk. Menyembunyikan wajah.

“Zara tahu tak yang Zara ada hak nak tahu semua yang berlaku dalam hidup abang?”

Wajah itu masih menekur paha.

“Pandang abang, Zara,” pinta Amzar lunak.

Lambat-lambat Izara menurut permintaan suaminya.

“Kenapa Zara tak pernah nak tanya abang?”

Izara menelan liur. Kesat. Garis-garis resah serta ragu-ragu memenuhi di setiap ruang wajah.

Tell me, Zara. Abang nak tahu,” pujuk Amzar lagi tatkala melihat isterinya masih membisu.

Mata Izara memancar riak pilu. “Dulu, pernah sekali saya tanya abang kenapa abang tak balik rumah. Tapi... abang... abang...” Mati kata-kata Izara. Tidak mampu untuk disudahkan.

Satu keluhan berat dilepaskan Amzar. Mata dipejamkan seketika. Mengertilah kini sebab Izara memendam rasa. Episod yang diungkit Izara terlayar di ruang mata. Setiap hamun, setiap kata nista seakan tidak bisa untuk diulangi. “Maafkan abang. Abang tak pernah terfikir yang ketakutan Zara pada masa tu akan terbawa-bawa sampai sekarang.” Amzar menekup pipi Izara. Kesal dengan kisah lama mereka yang jelas masih meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada isterinya.

“Zara takut abang akan marah ke kalau Zara tanya?”

Teragak-agak Izara menganggukkan kepala.

Perlahan-lahan Amzar menarik tubuh kecil isterinya ke dalam pelukan. “Zara...” Itu saja yang mampu terbit dari helaan nafas Amzar.

Lama Amzar memeluk isterinya. Ingin melenyapkan rasa sangsi, rasa takut dan rasa ragu-ragu yang masih bertapa di hati Izara. Dan Izara hanya membiarkan dirinya hanyut dalam dakapan Amzar.

Setelah sekian lama, Amzar akhirnya merungkaikan pelukan. Namun tangan Izara tidak dilepaskan. “Zara... abang dah pulangkan semua hak Zara sebagai isteri abang. Sepatutnya, kat hati Zara ni, dah takde rasa takut-takut atau ragu-ragu lagi. Zara ada hak nak tanya apa saja soalan pada abang dan abang janji abang takkan marah Zara lagi...” Tangan Izara diramas lembut. “Abang ingatkan yang Zara dah tak kenang lagi kisah lama kita...” Lirih suara Amzar. “Tapi rupa-rupanya...”

“Saya... saya...” Tergagap-gagap Izara cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk meredakan suasana.

“Abang faham, Zara... abang tak salahkan Zara... Cuma abang harap sangat yang Zara akan cuba tinggalkan semua kenangan pahit kita...”

“Saya minta maaf, bang. Bukan saya tak nak bertanya... Tiap-tiap malam, mulut ni macam ringan je nak tanya itu ini. Tapi bila saya ingat balik yang abang pernah marah saya dulu, saya diamkan saja. Lagipun, saya tak nak abang fikir yang saya tak percayakan abang...” jelas Izara akhirnya.

“Zara, kalau sekadar bertanya, abang takkan fikir yang Zara tak percayakan abang. Abang tak nak Zara pendamkan semua perasaan Zara, terutamanya perasaan yang tak elok atau yang negatif. Abang takkan marah, Zara, percayalah...” Bersungguh-sungguh Amzar cuba meyakinkan Izara. Bukan dia tak sedar luka yang pernah dipalitkan ke hati isterinya itu. Bukan sedikit dan tentu juga bukan sehari-dua.

“Tolong jangan pendam apa yang Zara rasa. It’s not healthy for the both of us...”

“Saya... saya cuba bang...”

“Sekarang peluang Zara nak tanya abang apa saja. Tanyalah...”

Izara memberanikan diri menatap tepat ke mata suaminya. “Abang... abang balik lambat hari-hari seminggu-dua ni kenapa?”

“Ada projek yang papa nak abang tolong settlekan. Pengurus syarikat yang selama ni uruskan projek tu tiba-tiba bersalin awal dua minggu sudah. Jadi takde orang boleh ganti memandangkan semua pun sibuk dengan projek masing-masing.”

“Oh... Errrr... abang makan malam dengan siapa tadi?” Izara bertanya lagi.

Koyak senyuman di bibir Amzar. Lega dengan perkembangan positif yang dipamerkan si isteri.

“Dengan klien.” Ringkas saja penjelasan Amzar. Sengaja. Ingin melihat sejauh mana Izara berani menyuarakan soalan demi soalan demi mendapat jawapan yang akhirnya akan memuaskan hatinya.

“Klien?”

Hmmm...”

“Klien lelaki ke perempuan?”

Semakin lebar rekahan di bibir lelaki itu. Entah mengapa soalan Izara yang terakhir ini amat menyenangkan hatinya. Pelik bukan? Dia yakin lelaki lain tentu tidak akan merasa senang dengan soalan sebegitu. Tapi dia? Dia gembira betul! Ada bintik-bintik cemburu pada sorotan mata isterinya.

“Perempuan...” jawab Amzar dengan mata yang tak lepas dari mata isterinya.

“Pe... perempuan?”

“Haah. Mrs. Rani nama dia. Dia datang dengan anak dan menantu dia...”

Izara melarikan mata. Namun sempat Amzar menangkap riak lega yang terpancar dari segenap rongga wajah isterinya itu. Amzar mencuit hidung Izara. “Lega?”

Izara menjeling suaminya. Sesuatu yang jarang-jarang sekali dilakukannya. Pecah tawa Amzar. Sekali lagi tubuh isterinya itu didakap erat. Bahagia datang bertimpa-timpa.

“Ada apa-apa lagi Zara nak tanya?” Lembut suara Amzar.

Kepala digeleng laju.

“Esok Zara tak kerja, kan?”

Hmmm...” balas Izara di dada Amzar.

“Jom dating?” ajak Amzar.

Izara melabuhkan mata. Terasa nyaman sehinggakan mata terasa semakin memberat. “Nak pergi mana?” gumamnya perlahan.

“Mana-mana je Zara nak pergi...”

“Saya nak pergi KLCC...”

“KLCC? Okey. Boleh je. Zara nak tengok wayang ke?” soal Amzar ingin tahu.

Kepala di dada Amzar menggeleng sekali. “Tak...”

“Habis tu?”

“Saya nak popcorn cheese yang mahal tu... Yang abang pernah belikan tu...”

Bertaut kening Amzar. Mahu ke KLCC hanya kerana inginkan bertih jagung jenama Garrett tu? Ada apa-apa ke ni?

“Zara?”

Diam. Tiada balasan.

Perlahan-lahan Amzar merenggangkan pelukan. Kepala Izara yang seakan melentok ke bawah disambut dengan bahunya. Terbit senyuman di bibir Amzar. Tubuh Izara diangkat sedikit lalu dilabuhkan ke atas katil. Rambut Izara yang menutup di bahagian dahi dielus ke belakang. Sebuah ciuman singgah di dahi Izara.

Mata Izara terbuka kembali. “Abang?”

Amzar mencuri peluang untuk bertanya. Tidak sanggup rasanya menunda ke esok pagi. “Zara, kenapa Zara nak makan popcorn cheese tu?”

“Sebab sedap...”

“Sebab sedap je ke?” usik Amzar. Wajahnya masih rapat dengan muka Izara. Matanya dalam menusuk ke dalam mata Izara. “Bukan sebab lain?”

“Sebab lain apa?” Terkebil-kebil mata Izara. Tidak mengerti. Mata sudah terlalu mengantuk.

“Zara mengidam ke?”

“Mengidam?” Besar kembali mata Izara. “Mana ada?”

Ohh...” Amzar tidak dapat menyembunyikan nada kecewa dari suaranya.

“Abang...”

Hmmm?”

“Belum rezeki kita...” ujar Izara perlahan. Tangan diangkat lalu pipi Amzar diusap lembut. Tahu kini maksud di sebalik pertanyaan suaminya.

Amzar mengangguk sambil tersenyum. “Abang tahu...” Mata jatuh ke bibir merah isterinya. Nampak begitu menggiurkan.

“Sabar ya bang...” pujuk Izara.

Selfish abang ni kan? Padahal Zara masih muda untuk jadi seorang ibu...”

Giliran Izara pula tersenyum. “Arwah mak lagi muda masa bersalinkan saya dulu...”

Mata Amzar bercahaya. “Jadi Zara tak kisah ke kalau kita ada anak sekarang? Yalah... abang ni dah tua...”

Nyaman kedengaran ketawa kecil Izara di telinga Amzar. Begitu indah... begitu merdu...

“Tua ke abang ni? Hmmm...” usik Izara. Wajah Amzar yang masih dekat di depan mata ditatap puas. Wajah yang sudah merasuk di segenap jiwanya. Jari sudah meleret di pipi suaminya itu. “Kulit dah berkedut ya? Rambut dah ada uban?”

Amzar menangkap jari Izara lalu digenggam erat. Tidak tahan dengan sentuhan Izara. “Tak kisahlah tua pun! Yang pasti abang tetap power, kan?”

Membulat mata Izara. “Abang!” Pipi sudah memerah.

Pecah tawa Amzar. Kuat.

Syyyy! Nanti mama dengan papa terjaga,” pesan Izara dengan wajah yang masih terasa pijar.

Dan Amzar masih melayan tawanya.

“Teruklah abang ni!” Izara menolak tubuh Amzar agar menjauhinya. Kononnya merajuk.

Amzar berkalih tempat lalu baring di sebelah isterinya. Kepala dilabuhkan di atas bantal kepunyaan Izara. Laju tangan menyauk tubuh isterinya agar terkunci dalam pelukannya. Izara hanya merelakan. Tangan turut melingkar di pinggang Amzar.

“Betul apa yang abang cakap tadi!” Amzar masih tidak mahu kalah. “Nak abang buktikan ke?” bisik Amzar penuh romantis dekat di telinga Izara.

Kelu lidah Izara seakan digam. Sekali lagi ketawa kecil Amzar menyapa halwa telinganya. Tawa berbaur usikan penuh menggoda. Jantung sudah berdegup hebat. Disambut mesra oleh dentuman jantung di dada Amzar.

Rambut ikal Izara dielus lembut. Selembut kucupan yang hinggap di kepala Izara.

“Sayang abang ni masih malu-malu nampaknya...”

Izara diam tidak membalas. Dia membetulkan letak duduk kepalanya di dada Amzar agar lebih selesa.

“Zara dah mengantuk ke?” Diam Izara membuat Amzar bersuara semula.

Hmmm...”

“Tapi abang tak mengantuk lagi...” bisik Amzar.

Izara cuba mengawal larian jantungnya. Tahu apa yang dimaksudkan oleh suaminya itu. “Kalau abang tak ngantuk, abang pergilah tengok TV,” saran Izara dengan suara yang cuba dikekalkan serius. “Mesti ada cerita yang best malam-malam macam ni...”

“Tapi abang lebih berminat nak buat cerita abang sendiri. Zara nak tengok tak cerita tu? Cerita tu gerenti best! Lepas dah habis nanti, tidur Zara mesti lena sampai ke pagi...”

Gulp!

“Zara,” seru Amzar bersama deruan nafas yang semakin berat.

Hmmm?”

“Abang tutup lampu tau. Cerita dah nak mula ni...” Amzar menjarakkan diri seketika lalu bangun dari katil. Sekelip mata pandangan Izara berubah gelap. Hanya cahaya lampu dari laman luar yang menerobos masuk melalui tingkap kamar mereka menyerlahkan bayang-bayang figura Amzar yang kembali mengambil tempatnya. Tak berkelip mata Izara menantikan aksi seterusnya daripada Amzar.

Senyuman yang terukir di bibir Amzar tidak mungkin dapat ditangkap mata Izara, namun Amzar tidak kisah. Dia sudah terjangkit penyakit murah dengan senyuman daripada isterinya. Sesungguhnya, moodnya sentiasa baik, sentiasa elok jika bibir mengukir senyuman yang ikhlas. Bahasanya juga indah dan sentiasa lembut. Lembut yang hadir tanpa dipaksa. Melihat wajah Izara sahaja, jiwa secara automatik akan menjadi tenang... dan ketenangan itu akan melahirkan keinginan ingin melimpahkan segenap rasa bahagia kepada insan yang bertanggungjawab menjadikan dia seorang lelaki yang lebih baik...

“Zara tahu abang sayangkan Zara?” lunak suara Amzar.

Dalam kemalapan suasana, Izara membalas renungan suaminya. Dia mengangguk kecil.

“Kenapa Zara diam je?”

“Saya... saya masih tak biasa dengan abang yang sekarang. Kadang-kadang saya rasa macam saya ni bermimpi...” luah Izara ikhlas.

“Zara takut abang akan berubah semula macam dulu ke?”

“Tak... bukan macam tu. Saya nampak keikhlasan abang. Saya boleh rasa kat dalam hati ni. Dan saya yakin abang takkan berubah kembali macam dulu...” Izara menekup pipi Amzar. “Cuma saya masih tak biasa... Abang yang dulu dengan abang yang sekarang, sangat-sangat berbeza!”

Hilang senyuman di bibir Amzar mendengar kata-kata isterinya. Tapi sedikit pun Amzar tak salahkan Izara. Tiada apa pun yang boleh dibanggakan dengan dirinya yang dulu. Hati masih sukar untuk percaya bagaimana Izara bisa jatuh cinta dengan Amzar versi yang dulu. Namun dia tetap bersyukur Allah titipkan rasa cinta di hati isterinya dan juga di hatinya. Suatu keajaiban yang tak akan sekali-kali dilupakan seumur hidup!

“Insya-Allah abang yang dulu dah mati, Zara. Yang ada sekarang ni abang yang sangat-sangat cintakan Zara...” lirih suara Amzar. Matanya sedikit berkaca.

“Saya tahu,” bisik Izara. Mata yang menatap jauh dalam ke anak mata Amzar sarat dengan pengertian. “Saya tahu, abang...”

“Tapi abang harap, Zara yang dulu dan Zara yang sekarang, takkan pernah berubah. Abang cintakan Zara seadanya.”

Izara merapatkan diri ke tubuh Amzar dan tangan semakin erat melingkar di pinggang suaminya. Terharu dengan luahan Amzar. Begitu menggetarkan sukmanya. Mulut tidak bisa menuturkan balasan yang setimpal dengan ungkapan rasa daripada si suami. Hanya bahasa tubuh menyambut luahan bicara daripada Amzar.

Sejak Amzar menjadi suaminya yang sebenar-benarnya, tidak pernah terlintas di hati Izara yang Amzar akan kembali berubah seperti dulu. Sedikit pun tidak. Hati nuraninya begitu yakin dengan hikmah yang dikurniakan Sang Pencipta kepadanya. Setiap yang berlaku pernah terselit duka, duka yang teramat dalam! Namun berkat kesabarannya, serta doa yang tak pernah putus, bahagia yang hadir tak terduga keajaibannya. Jika difikirkan, segala yang dialaminya kini, tak pernah terjangka atau tercapai oleh akal fikiran.

Amzar mencintainya? Sesuatu yang tak pernah terduga. Namun, cinta Amzar itulah yang dirasakannya saban waktu. Seolah-olah, sedetik pun Amzar tidak mengizinkan dia bernafas tanpa diselimuti dengan kehangatan cinta daripada suaminya itu!

Aneh? Mungkin... Tapi bukan mustahil!

“Zara pun cintakan abang seadanya...” lafaz Izara penuh syahdu. Dia melangut agar matanya dapat menatap wajah Amzar.

Amzar melekatkan dahinya ke dahi Izara sebelum memejamkan mata. Namun sempat Izara menangkap mata berkaca suaminya. Syukur Amzar memejamkan matanya kerana Izara tak sanggup lagi melihat lelaki itu membazirkan air matanya lagi. Lebih-lebih lagi ketika mereka kini sedang enak meniti bahagia.

Alunan nafas mereka sekata. Degupan jantung mereka seirama. Melagukan rentak yang semakin lama semakin rancak. Terbuai-buai mereka jadinya.

Dan tika sepotong doa dibaca, Izara secara automatik menjadi pelakon utama dalam sketsa cerita yang dimainkan oleh Amzar. Cerita cinta yang akan dibawa sampai ke syurga, Insya-Allah....

~ TAMAT ~