Friday, 21 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 9

Betapa sempurna dirasakan tika kepala isterinya elok berlabuh di atas dada, tubuh kecil itu lentok mengiring menghadapnya, dan tangan halus itu lembut melingkar di pinggangnya. Erat Amzar memeluk Izara seolah-olah tidak mampu untuk dilepaskan. Mata terasa hangat. Jantung berdegup hebat. Cinta yang hadir begitu mendalam terhadap si isteri kini terpaksa dilepaskan demi suatu janji. Janji yang dilafazkan ketika diri masih dibelenggu dungu dan tuli.

Amzar memohon kekuatan daripada Yang Maha Esa. Kekuatan untuk melepaskan cintanya...

Sedetik pun Amzar tidak tidur. Tidak mahu terlepas merasakan helaan nafas Izara. Tidak mahu kerugian merasakan kelembutan pelukan isterinya. Tidak mahu kehilangan haruman rambut gadis itu yang membelai hidungnya. Amzar yakin Izara sudah lena diulit mimpi. Dada yang berombak tenang itu begitu damai terasa.

“Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa isteriku dunia akhirat...” bisik Amzar memanjatkan doa dalam syahdu. “Kau limpahkanlah kepadanya dan keluarganya sebesar-besar rahmat. Kau lindungilah dia daripada aniaya dan mulut bisa manusia. Kau anugerahilah dia dengan sebesar-besar ganjaran sebagai seorang anak dan isteri yang taat...” Air mata mengalir membasahi kepala Izara. “Kau haramkanlah aku daripada merasa bahagia, selagi dia tak merasa bahagia dalam hidupnya, ya Allah. Amin...”

Kepala Izara dikucup lama. Tanpa sedar, tubuh Izara semakin erat dipeluknya. “Abang doakan Zara akan berjaya dalam hidup Zara. Terima kasih kerana hadir dalam hidup abang walaupun untuk sedetik cuma... I love you, Zara...”

Azan subuh yang berkumandang mencelikkan mata Izara. Posisinya masih sama seperti ketika dia mula-mula memejamkan mata beberapa jam yang lalu. Izara diselubungi dengan rasa yang amat tenang. Dunia begitu aman terasa.

“Zara dah bangun?” suara garau itu menegur.

“Dah...” Izara bangun lalu duduk dengan kaki belunjur di atas katil.

“Sudi tak Zara jadi makmum abang untuk pagi ni?” lembut Amzar bertanya.

Laju kepala Izara mengangguk. Terharu dengan permintaan Amzar yang tidak pernah mengimamkan solatnya. “Saya pergi ambik wuduk dulu...”

Tangan ditadah ke atas. Lama Amzar membaca doa sebelum mengalihkan tubuhnya menghadap Izara. Sayu terasa tika tangan Amzar dikucup. “Zara, terima kasih berikan malam tadi kepada abang. Abang akan simpan kenangan manis kita semalam dalam hati abang untuk selama-lamanya...”

Izara tunduk. Masa yang ditakuti kini sudah tiba. “Abang nak jumpa abah kejap, lepas tu abang akan terus gerak ke KL. Abang akan minta peguam abang untuk dapatkan tarikh baru untuk kita jumpa kat mahkamah nanti...”

Amzar bangun lalu melipat sejadah. Bahu Izara dipaut lembut. “Zara jaga diri, ya? Kalau Zara perlukan apa-apa, call je abang. Tak kisahlah untuk apa pun, pasal Zara ke, abah ke atau adik-adik, telefon je abang. Abang akan bantu semampu boleh...”

Terketar bibir Izara menahan rasa. Dada terasa sempit ditekan dari segenap penjuru.

Tangan Amzar membelai rambut ikal isterinya. Izara ditarik ke dalam pelukan buat kali yang terakhir. Bibir singgah di dahi gadis itu. “Abang pergi dulu, Zara...”

Amzar memalingkan tubuh. Tangan mencapai tombol pintu.

“Abang?”

Kaku tangan Amzar. Abang? Bukan Abang Am seperti selalu? Lambat-lambat Amzar berpaling. Melihat kejernihan di mata isterinya. Senyuman yang sentiasa terukir, begitu manis sekali. Amzar pasti Izara hanya ingin mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

“Abang tak nak sarapan dulu?”

Amzar menelan rasa kecewa. “Takpe, Zara. Nanti lambat sangat abang gerak ke KL...”

“Abang nak cepat sangat ke? Tak boleh tunggu kejap?”

‘Abang’ lagi. Sebelum ini, Izara setia memanggilnya ‘Abang Am’. “Maaf, Zara. Abang tak boleh nak tangguh lagi...”

‘Abang takut abang tak kuat, Zara. Abang dah tak mampu nak berlama lagi kat sini. Abang takut abang akan mungkir semua janji abang pada mama, papa, abah dan pada Zara sendiri...’ bisik Amzar di dalam hati. Dirinya semakin goyah. Mungkin jika dia bersendirian dengan Izara seminit saja lagi, dia akan mengheret gadis itu untuk pulang bersamanya.

“Tak boleh tangguh walaupun tiga puluh minit?” soal Izara perlahan.

Berkerut dahi Amzar. Tiga puluh minit? Untuk apa?

“Untuk apa, Zara?”

“Untuk saya kemas semua baju dan barang-barang saya...” Izara mengambil langkah mendekati Amzar. “Untuk saya ucapkan selamat tinggal pada abah dan adik-adik saya...”

Amzar tunduk mencari mata isterinya. “Zara?” bisiknya tidak percaya.

“Macam mana saya nak hidup bahagia kalau abang dah haramkan diri abang sendiri daripada merasa bahagia?” Terlepas sendu kecil dari celah bibir. Air mata mula bergenang. Izara memberanikan diri dan melabuhkan tangan di pipi kiri suaminya. Dia mendengar setiap doa dan setiap kata yang dibisikkan suaminya awal dinihari tadi. Kata-kata yang mengetuk kesedaran di hatinya bahawa dia lebih rela pertaruhkan hatinya sekali lagi di tangan Amzar, daripada hidup tanpa suaminya itu.

Dan air mata lelaki itu yang mengalir ke kepalanya... bagai mencoretkan seribu rasa keikhlasan. Keikhlasan yang sering dicari namun tidak pernah diketemui sepanjang perkahwinan mereka. 

Mungkin hatinya terlalu lembut dan dirinya terlampau pemaaf. Mungkin orang akan menggelarnya perempuan yang bodoh kerana bisa menerima suaminya semula setelah apa yang dilakukan Amzar terhadapnya. Segala layanan lelaki itu, setiap ketajaman kata, semua tuduhan, masih segar dalam ingatan. Namun, yang cuba dipertahankan ialah masjidnya, bahtera perkahwinannya, dan rumah tangganya. Salahkah dia memberikan peluang kedua?

“Abang tak nak bawak saya balik KL dengan abang?”

Kuat Amzar merentap tubuh Izara ke dalam pelukan. Wajahnya dibenamkan ke leher isterinya. Mimpikah dia? Betulkah telinganya menangkap permintaan Izara tadi?

Tangan yang melingkar di pinggangnya meyakinkan dirinya bahawa dia tidak bermimpi. Izara telah membukakan pintu peluang baginya memperbaik diri untuk menjadi seorang suami... “Zara...” seru Amzar melirih. Nama yang akan diseru sepanjang hayatnya. Hanya satu nama itu!

Basah di leher Izara mengundang sebak di dada sendiri. Sedar yang lelaki yang merangkulnya erat kini sedang mengalirkan air mata.

Tak berhenti lidah mengucap syukur. Dan tak tertahan air mata yang mengalir. “Abang cintakan Zara sepenuh hati abang...”

“Saya tahu...” balas Izara lembut.

“Abang harap sangat yang Zara akan bersabar dengan abang sebab abang masih belajar untuk menjadi seorang lelaki yang baik. Bukan saja abang kena jadi suami yang baik untuk Zara, tapi juga anak yang baik untuk mama dan papa, dan abang yang baik untuk Zaim... Abang perlukan sokongan Zara...”

Izara menjarakkan diri dari tubuh Amzar. Pipi Amzar yang basah dielus perlahan. Lunak sorotan matanya membalas renungan mata suaminya. Kepala mengangguk tanda dia akan memberikan segala yang ada pada dirinya kepada Amzar. Hanya Amzar...

“Zara maafkan abang?”

Angguk lagi.

“Zara terima abang?”

Sekali lagi kepala itu bergerak ke atas dan ke bawah.

“Zara sayangkan abang?”

Lama mata Izara bertaut dengan mata suaminya. Cuba menyampaikan rahsia hatinya yang selama ini bisa disorokkan daripada semua, melainkan Allah...

“Sayang...”

Amzar memejamkan mata. Seakan tidak percaya dengan kitaran dunia. Kali pertama Izara mengaku akan perasaannya. Cukup satu perkataan itu buat masa ini. Mereka ada seumur hidup untuk memupuk rasa itu. Walaupun hati meronta-ronta ingin mendalami perasaan sebenar Izara terhadapnya, namun dia mahu lekas-lekas membawa Izara pulang ke Kuala Lumpur bersamanya. Agar tiada ruang untuk isterinya itu mengubah fikirannya.

Tangan Izara ditarik. “Jom. Kali ni abang nak minta izin dan restu abah sebelum bawak Zara ke KL... Abang tak nak abah risau tentang masa depan adik-adik Zara. Abang akan bertanggungjawab mulai hari ini...”

“Abang...” Izara menahan. “Abah tu masih ada harga diri. Bila saya suruh abah berhenti kerja pun, abah bantah. Dia masih larat katanya nak bawak teksi. Abang jangan tawar duit pada abah, ya? Abah tak suka...”

Semakin kerdil Amzar merasakan dirinya ketika itu. Semakin hina. Dia yang seumur hidup tidak pernah merasa susah, kini ditampar dengan pengajaran yang tidak pernah diajar oleh mana-mana guru di sekolahnya dulu. Pelajaran tentang erti sebenar kehidupan, tentang usaha, doa dan tawakal, tentang reda, dan tentang tanggungjawab.


“Baiklah, Zara... abang akan tolong dengan cara abang sendiri...” Belum sampai lima minit pun Izara menerimanya, isterinya itu sudah pun memberikan pesanan yang berguna. Amzar membulatkan tekad. Keluarga Izara akan dijaga dan dilindungi. Sebagaimana Izara menyayangi adik-adiknya, dia turut akan memberikan kasih dan perhatian yang serupa. Cukup-cukuplah dia asyik mendongak ke langit selama ini. Harapan papa serta mamanya tidak akan dikecewakan lagi. Tidak akan!

2 comments:

  1. Mmg terbaru sgt2 akhirnya zara menerima amzar d dlm hidup nya sbgai suami kemaafan telah d beri

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya kak Rose... Zara dah ubah pendirian dia...

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....