Monday, 17 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 7

“Jijah... sampai bila Jijah nak jauhkan diri daripada abang? Abang dah berubah, Jah, dia dah insaf...”

Terhenti tangan Amzar di tombol pintu bilik kedua orang tuanya. Bisa mendengar dengan jelas pertanyaan papanya kepada mamanya yang sudah lama mengasingkan diri daripadanya.

Datin Khadijah melabuhkan kepala ke bahu suaminya. “Jah masih tak kuat nak tengok muka abang. Sebab setiap kali Jah tengok muka abang, Jah akan rasa bersalah pada Zara... Zara tak bersalah. Yang bersalah kita! Jah tak dapat nak lepaskan kenyataan yang kita dah hancurkan kehidupan Zara. Kita dah musnahkan hidup dia...” luah Datin Khadijah kesal.

Datuk Arifin memaut bahu isterinya. “Saya pun rasa macam tu, Jah...”

“Elok-elok kita ambik dia sebagai menantu daripada keluarga dia. Tapi abang buang dia macam tu je. Jah malu dengan mak ayah Zara. Jah rasa macam Jah dah aniaya anak gadis orang disebabkan Jah gagal mendidik abang menjadi lelaki yang baik... Tak pasal-pasal Zara akan jadi janda... dan dia terlalu muda untuk hadap mulut orang yang akan mengata dia! Kalau Jah jadi Zara, Jah takkan sanggup nak lalui sendiri...”

“Jah... kita dah buat yang terbaik. Abang bukan budak kecik lagi. Saya selalu dengar pilihan ibu bapalah pilihan yang terbaik untuk anak-anak. Tapi saya silap... Siapa sangka yang pilihan ibu bapa boleh menghancurkan kehidupan anak-anak?”

Amzar tidak mampu mendengar lagi. Daun pintu ditolak lalu kaki diheret ke katil mama serta papanya. Walaupun masih sakit, dia jatuhkan diri ke atas lantai lalu melutut betul-betul di hadapan Datin Khadijah. Lututnya mamanya dipaut. “Mama, papa... ampunkan abang... Abang salah... Mama dan papa dah pilih isteri yang terbaik untuk abang. Mama dan papa tak silap, abang yang silap!” Amzar menyembamkan wajah ke lutut Datin Khadijah. Tidak rela mendengar mama serta papanya asyik menyalahkan diri sendiri atas kebutaan matanya, kebodohan akalnya serta kekhilafan dirinya...

Datin Khadijah tidak bereaksi walaupun hati sebak mendengar rintihan anak sulungnya.

“Mama... abang rindu pada mama. Ampunkan abang, mama, sebab dah kecewakan dan hancurkan hati mama...” Berderai air mata Amzar. Betapa dia terlalu mementingkan diri sendiri. Tidak pernah terlintas untuk memberi peluang kepada ikatan suci yang terbina sebaik akad dilafazkan.

Akhirnya hati seorang ibu tewas jua. Tangan diangkat lalu mengusap perlahan kepala si anak. “Mama maafkan... Maafkan mama dan papa jugak sebab paksa abang terima Zara...”

“Tak ma... jangan cakap macam tu, ma...”

“Sudahlah, bang... Abang binalah kehidupan abang semula...” Datuk Arifin bersuara. Tangan dilabuhkan di atas bahu Amzar. “Bangkitlah, bang. Belajar daripada kesilapan kita semua. Semoga Allah ampunkan semua dosa kita...”

“Ma, pa... abang janji abang akan bawak Zara balik ke rumah ni semula!” Tegas Amzar melafazkan ikrar. “Abang janji!”

“Jangan!” tegah Datin Khadijah keras. Terangkat tangannya. “Jangan...” kali ini suara Datin Khadijah mengendur.

Berubah riak Amzar. Terpinga-pinga mendengar larangan daripada mamanya. “Ma? Kenapa, ma?”

Datin Khadijah tunduk mencari wajah Amzar. Matanya penuh dengan garis-garis kepiluan. “Cukuplah kita dah seksa dia, abang. Abang buang dia bila benci, abang guna dia bila perlu. Mama tak izinkan abang kacau Zara lagi. Biarlah Zara cari kebahagiaan dia sendiri selepas ni. Abang tak layak untuk perempuan sebaik Zara. Biarlah lelaki lain yang bahagiakan dia...”

Terjelepok Amzar jatuh ke belakang. Sakit di punggung sedikit pun tidak terasa. Sakit di hati lebih menyeksa. Terkedu dengan luahan hati daripada Datin Khadijah. “Abang memang tak layak untuk Zara... tapi abang nak cuba jadi yang lebih baik... Tak boleh ke, ma?”

“Semalam sebelum Zara balik, Zara ada cakap pada mama. Sedetik pun dia tak pernah menyesal jadi menantu mama, sebab dia sedar jodoh dia, Allah dah tentukan dari azali, tapi dia menyesal menjadi punca abang tak bahagia. Tak habis-habis dia salahkan diri dia... Mama dah kalah dengan kebaikan Zara, abang... Mama dah tak sanggup nak tanggung rasa bersalah mama ni pada dia. Mama asyik terbayang Zara yang curi-curi menangis di laman bila dia ingat semua orang dah tidur. Semoga Allah ampunkan dosa mama pada Zara...” tangis Datin Khadijah. Berderai-derai air matanya.

Menggigil Amzar kesakitan. Sakit di hulu hati, sakit di dada dan sakit pada segenap jiwanya. Tapi sakit yang dirasakan tentu sekali tidak setanding sakit yang pernah dilemparkan kepada Izara sepanjang gadis itu menjadi isterinya, sehingga memaksa gadis itu menangis sendirian secara bersembunyi.

“Mama... tolong restui niat abang nak selamatkan perkahwinan abang dengan Zara. Abang akan tebus kesalahan abang pada Zara sampai abang mati, ma! Please, ma... Abang merayu pada mama... pada papa... Tolong abang dapatkan Zara kembali. Demi Allah, abang akan bahagiakan dia seumur hidup abang!”

Air mata yang mengalir di pipi dibiarkan begitu saja. Doa dan restu daripada papa dan mama akan cuba digenggam sebelum meneruskan impian untuk membina bahagia bersama Izara.

Datin Khadijah mencari mata suaminya. Ingin berkongsi pendapat sebelum kata putus diberikan. Datuk Arifin mengangguk kecil sebelum berpaling ke arah Amzar. “Abang, papa sebenarnya dah berjanji dengan Zara. Sebagai balasan dia jaga abang selama ni, papa janji yang papa tak akan larang hubungan abang dengan Tina lagi selepas ni. Itu permintaan Zara!”

No, pa! Tina tak layak untuk abang. Abang buta selama ni pilih perempuan macam tu untuk terima cinta abang. Abang dah tak mahu sesiapa lagi, pa. Cukup Zara seorang!”

“Kalau macam tu, buat istikharah dulu, abang. Minta petunjuk daripada Allah. Papa tak nak kita buat keputusan yang salah kali ni... Cukuplah sekali... Kalau Zara merupakan petunjuk yang diturunkan Allah buat abang, papa dan mama akan sokong keputusan abang untuk bawak Zara balik ke pangkuan keluarga kita. Kalau bukan... abang lepaskanlah dia... Jangan paksa dia terima abang. Jangan seksa dia lagi!”

“Baik, pa... Abang akan ikut cakap papa...” Amzar tiada pilihan lain melainkan akur dengan kehendak kedua orang tuanya. Semoga Allah akan memberikan petunjuk yang sangat didambakan.

********

“Abah... maafkan Am...”

“Bangun Am... Jangan melutut macam ni...” bantah Encik Mustafa. Terkejut dengan kehadiran Amzar secara tiba-tiba begini. Yang lebih mengejutkan, Amzar kini melutut di kakinya.

Amzar masih begitu. Tidak mampu melawan pandangan daripada bapa mentuanya. Anak gadis yang diserahkan serta diamanahkan kepadanya, disia-siakan begitu saja. Dia malu!

“Sudahlah, Am... perkara dah berlalu... Dah takde jodoh Am dengan Zara...”

“Tapi bah...” Amzar mula menjelaskan sebab sebenar dia ke Kuala Terengganu. Tanpa segan, dia membentangkan segala kesalahan dan penyesalan.

“Am... abah tak tahu nak kata apa... Sejak Zara balik ke kampung, abah dah nekad tak nak paksa dia buat apa-apa yang dia tak rela lagi. Jadi, abah tak boleh nak bantu Am. Semua terpulang pada Am sendiri. Usahalah sendiri, tapi kalau Zara tetap dengan keputusan dia untuk berpisah dengan Am, Am kena terima. Abah tak akan paksa Zara untuk terima Am semula. Abah harap Am faham...”

Lambat-lambat Amzar menganggukkan kepala. Rasa kecewa menghentam ke dada. Pendapat bapa mentuanya sama seperti pendapat papa dan mamanya. “Zara mana, bah?”

“Zara kerja... Petang nanti dia balik...”

“Boleh abah bagi tahu Zara kerja kat mana? Am nak minta izin abah untuk berjumpa dengan Zara...”

Encik Mustafa membuka mulut. “Pergilah... abah izinkan...”

“Terima kasih, abah...”

********

Figura Izara yang memakai baju kurung berwarna kuning cair yang baru keluar dari sebuah bangunan rumah kedai menangkap mata Amzar. Tak berkelip mata Amzar memandang ke wajah isterinya. Ya Allah rindunya! Jarak mereka tidak jauh, namun kedudukan Amzar yang terlindung di balik gerai jualan tudung di kaki lima membuat Izara tidak perasan akan kehadiran suaminya itu.

Baru saja Amzar ingin menyeru nama isterinya, orang lain sudah memanggil dulu. Amzar mengintai dari celah-celah helaian tudung yang bergantungan. Dia melihat Izara berpaling ke arah seorang lelaki yang mengenakan kemeja berwarna biru.

“Apa khabar, Zara?”

“Baik, Alhamdulillah... Uda?”

Amzar mendengar suara lembut isterinya. Dia memejamkan mata seketika. Membiarkan hatinya disapa rasa yang semakin hebat melanda jiwanya.

“Baik. Zara, boleh Uda tahu keputusan Zara?” Lelaki itu bertanya.

“Jawapan Zara sama macam dulu... Kita takde jodoh, Uda...”

Amzar terkedu. Inikah lelaki yang terpaksa ditinggalkan oleh Izara demi menerima pinangan daripada papa dan mamanya?

“Tapi Zara dah berpisah dengan suami Zara, kan? Tak lama lagi, Zara akan dibebaskan!”

Senyuman Izara hambar. “Uda... Zara dah tak sama macam dulu... Zara akan pegang status janda... Zara tak layak untuk Uda... Carilah orang yang lebih baik daripada Zara...”

“Uda tak kisah pasal semua tu. Uda masih macam dulu. Hati Uda tak pernah berubah...” tangkis lelaki itu.

“Terima kasih, Uda... Terima kasih sebab selalu buat Zara rasa istimewa. Tapi, maafkan Zara. Kalaupun suami Zara dah ceraikan Zara nanti, Zara belum bersedia nak berkahwin dengan sesiapa pun dalam masa yang terdekat ni. Zara nak tumpukan perhatian pada adik-adik Zara. Zara minta maaf sangat-sangat Uda, sebab terpaksa kecewakan harapan Uda sekali lagi. Tapi, jodoh antara kita memang takde... Zara balik dulu, Assalamualaikum...”

Amzar melihat kelibat Izara yang berjalan ke arah bertentangan dari tempat berdirinya. Mata tidak mampu menipu. Dia dapat lihat betapa lelaki tadi amat mencintai Izara. Dan mungkin perasaan lelaki itu dibalas isterinya, namun disebabkan keadaan, Izara terpaksa menolak lamaran lelaki tadi. Benar kata Izara. Sewaktu mereka berkahwin dulu, bukan hanya dua keping hati yang terluka, tetapi empat...

Melihat Izara berjalan ke arah perhentian bas, Amzar kembali mendapatkan keretanya. Bas yang dinaiki Izara diekor rapat.

Amzar memarkirkan kereta di tepi jalan. Tubuh Izara yang sudah turun dari bas dan berjalan ke arah pantai dibuntuti. Amzar ingin melunaskan hajatnya ke mari secepat yang mungkin. Ingin mendapatkan sepotong kemaafan agar beban di bahunya dapat dilepaskan sedikit demi sedikit...

“Zara...”

Terangkat bahu Izara. Laju kepalanya berpaling. Tidak percaya melihat gerangan orang yang menyeru namanya dengan begitu lembut sekali. Luahan yang ingin tersembur dari bibir ditelan semampu boleh.

“Abang Am?”

“Zara sihat?” soal Amzar berbasa-basi.

Izara tersenyum. Bersinar mata Amzar menerima senyuman yang amat dirindu itu. “Saya sihat, Alhamdulillah. Abang Am? Mama, papa, Zaim sihat?”

Amzar menganggukkan kepala. “Semuanya sihat. Diaorang kirim salam pada Zara...”

Salam dijawab perlahan. “Errr... Abang Am buat apa kat sini? Mana tahu saya kat sini?”

“Abang pergi rumah abah tadi. Lepas tu abang ke ofis Zara. Nampak Zara naik baik dan terus ke sini...”

Janggal betul apabila Amzar membahasakan dirinya ‘abang’. “Oh... Abang Am nak serahkan surat peguam ke?”

Amzar menelan liur. “Surat peguam?”

Hmmm... lama saya tunggu surat daripada peguam. Ingatkan dah dapat tarikh baru untuk kita jumpa kat mahkamah...”

“Zara...” Amzar tidak tahu bagaimana hendak memulakan kata.

“Ya?”

“Abang... abang tak nak ceraikan Zara... Abang nak kita bersatu semula...” laju kata-kata yang terbit dari bibir Amzar. Bak sebutir peluru.


Berubah riak Izara. Hilang senyuman di wajahnya. “Tak mungkin...”

5 comments:

  1. Go amzar go.....pkat izara n jgn sia2kan zara lg...

    ReplyDelete
  2. Entahlah hnya zara aje yg blh mngubah pendirian utk terus berada d sisi amzar jika itu jodoh mereka

    ReplyDelete
  3. Entahlah hnya zara aje yg blh mngubah pendirian utk terus berada d sisi amzar jika itu jodoh mereka

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....