Wednesday, 12 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 6

Sudah seminggu Izara hilang daripada pandangan mata. Kehilangan yang terasa sehingga ke lubuk hati yang paling dalam. Dengan bantuan Zaim, Amzar telah menukar set sofa di dalam biliknya itu. Sofa yang bersaiz lebih lebar dan berkusyen lebih empuk dari sebelum ini. Kelembutan yang tentunya akan lebih menyokong lenguh-lenguh di pinggang isterinya nanti. Lama terasa matanya tidak menangkap tubuh kecil isterinya yang sentiasa ada di ruangan bilik ini. Amat lama... Ada rindu yang bertapa di relung hati... Rindu akan ketenangan isterinya, akan kesabarannya, dan rindu akan senyuman yang sentiasa tertampal di tepi bibir. Suatu ketika dulu, semuanya tentang Izara menjadi penyebab rasa bencinya. Tetapi kini...

“Pa... kenapa Zara tak balik lagi? Dah seminggu lebih, pa...” adu Amzar kepada papanya.

Datuk Arifin menoleh. Melihat wajah keruh anak sulungnya yang kini sentiasa bersih dan terjaga rapi. “Biarlah dia kat kampung tu dulu. Banyak urusan yang perlu Zara uruskan. Keperluan adik-adik, banyak yang nak ditengok-tengokkan memandangkan arwah dah takde. Zara kan anak sulung? Banyak tanggungjawab dia, abang...”

Amzar mengeluh kesal. Seingatnya, Zara punya empat orang adik dan semuanya masih bersekolah. Adik yang paling bongsu pun baru berusia lapan tahun. Sekelumit pun dia tidak pernah menghiraukan kewujudan adik-adik iparnya. Kejamnya dia!

“Pa... abang dah banyak buat dosa pada dia... Tak tertanggung rasanya, pa...”

Datuk Arifin menepuk bahu Amzar yang duduk di sebelahnya di birai katil. “Salah papa sebab paksa abang kahwin dengan Zara sedangkan papa tahu abang tak nak. Niat papa tak lain nak abang bahagia. Nak abang dapat isteri yang baik... Maafkan, papa. Papa janji papa takkan ganggu kehidupan abang lagi lepas ni...” luah Datuk Arifin dengan mata yang berkaca. “Abang buatlah apa yang abang rasakan terbaik untuk abang...”

Bergetar bahu Amzar menahan sebak mendengar ucap maaf daripada papanya. Dia tewas akhirnya. Dahi dilabuhkan di bahu papanya lalu air mata yang semakin mudah mengalir akhir-akhir ini terhambur dari tubir mata.

No, pa! Jangan cakap macam tu... Papa ada hak dalam kehidupan abang. Abang yang tak tahu nak bersyukur... Tak tahu nak menilai... Abang menyesal, pa. What can I do to right all the wrongs that I have done?

“Terpulang pada abang... Abang dah besar. Papa dah tak nak paksa abang buat apa-apa lagi. Cukuplah abang menderita disebabkan papa yang terlalu nakkan Zara jadi menantu papa...”

Setiap kata yang lahir dari bibir Datuk Arifin bak belati yang menikam dan membelah dada. Sakitnya lebih mencengkam daripada setiap kecederaan yang dirasakan ketika kemalangan yang menimpanya berbulan-bulan lalu. Kecewa yang jelas lahir daripada nada suara papanya membuktikan betapa dia telah gagal sebagai seorang anak. Dan gagal sebagai seorang suami dan pemimpin rumah tangga...

“Papa tengok abang menangis hari ni... tapi walaupun papa tak pernah tengok Zara menangis, papa yakin dia menangis dalam hati setiap hari... Ada satu perkara yang abang tak pernah fikir bila mengetepikan hak Zara sebagai isteri. Jodoh dan takdir Allah... Bercintalah abang dengan Tina bertahun-tahun pun, tapi kalau Tina bukan jodoh abang, dia takkan jadi isteri abang sampai bila-bila...” nasihat Datuk Arifin. “Papa keluar dulu... Kalau abang nak apa-apa, panggil papa atau Zaim ya?”

Amzar tidak membalas. Air mata dikesat kasar. Tidak guna dia menangis begini. Menangis hanya menampakkan kelemahan diri. Dan dia perlu bangkit! Bangkit untuk memberikan hak yang telah lama ditidakkan kepada yang layak menerimanya. Bangkit untuk menebus segala kesalahan, kealpaan dan kesakitan yang pernah dipalitkan di hati isteri sendiri. Ya Allah, kejamnya dia selama ini. Mampukah Zara memaafkannya dan memberikan peluang untuk dia memperbaik diri? Memberi peluang untuk dia menjadi seorang suami?

********

Perlahan-lahan Izara membuka pintu bilik suaminya. Tidak mahu mengganggu Amzar kerana tahu yang pada waktu begini, Amzar sedang berehat atau tidur. Namun ketika daun pintu terbuka luas, mata Izara membulat dan mulutnya terbuka tidak percaya. Terlepas beg pakaian dari tangan. Jatuh bedebuk ke atas lantai.

“Zara!” Terkedu Amzar melihat Izara di hadapan mata. Aduh... rahsianya sudah terbongkar dan dia tidak mempunyai ruang untuk menutupi pembohongan sendiri.

“Abang Am... Abang Am dah boleh berjalan?” Pecah suara Izara.

Lambat-lambat Amzar mengangguk. Tiada guna menidakkan kenyataan yang sudah terpampang di hadapan mata.

“Sejak bila?”

“Seminggu sebelum Zara balik kampung hari tu...”

Izara memejamkan mata seketika. Seminggu sebelum dia pulang ke kampung, Amzar masih memerlukan kerusi roda. Masih memerlukan pertolongannya untuk bergerak ke mana-mana. Maknanya... Amzar menipu? Tapi kenapa?

Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Mata dicelikkan bersama sekuntum senyuman. Riak tenang kembali menghias wajah. “Alhamdulillah Abang Am dan boleh berjalan. Allah dah makbulkan doa saya...”

Sebak! Entah mengapa kata-kata Izara mengundang rasa sebak yang amat sangat. Izara mendoakannya? Ya Allah! Terasa diri begitu hina...

Sorotan sayu singgah di wajah Izara. “Lega sangat saya rasa. Sekarang, saya dah boleh balik ke kampung semula. Abang Am dah tak perlukan saya lagi...”

Tak perlukan Zara? Like hell!

“Zara, abang perlukan Zara... sentiasa perlukan Zara... Tolong maafkan abang atas segala dosa abang pada Zara selama ni...”

Kaku Izara tidak mampu bergerak. Abang? Bukan ‘aku’ seperti lazimnya? Izara menelan rasa hairan. Amzar cakap apa tadi?

“Zara... abang merayu pada Zara... tolong berikan abang satu peluang untuk tebus semua kesalahan abang...” lirih suara Amzar. Sarat dengan kekesalan yang tak tertanggung.

“Apa Abang Am cakap ni? Saya tak faham...”

Lambat Amzar menyeret kaki mendekati isterinya. Langkahnya masih pincang. Izara terpaksa melangut untuk memandang ke wajah Amzar. Tersekat nafasnya menerima panahan mata lelaki itu. Panahan yang penuh dengan kelembutan dan rayuan. Pandangan yang tidak pernah diterimanya selama ini, walaupun sesaat.

“Zara... abang minta maaf. Abang dah sedar semua kesilapan abang. Abang berdosa dengan Zara selama ni. Abang mohon satu peluang daripada Zara. Peluang untuk jadi suami Zara dan abang nak pulangkan hak Zara sebagai isteri abang...”

“Kak Tina macam mana?” Lurus Izara bertanya.

Amzar menelan liur. “Dia bukan isteri abang. Tapi Zara isteri abang...”

Izara tunduk. Hatinya berbelah bahagi namun niat yang satu yang disimpan selama ini tidak pernah berubah. “Saya tak pernah salahkan Abang Am sebab bencikan saya. Benci Abang Am bersebab. Saya menjadi punca Abang Am terseksa sebab tak dapat bersatu dengan Kak Tina...” Izara kembali melangut. “Saya juga faham kenapa Abang Am nak ceraikan saya sebelum ni, sebab saya tahu, perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa...” Jeda.

“Abang Am tak perlu rasa bersalah. Saya reda dengan semuanya. Tapi satu je saya minta daripada Abang Am... Tolong berpegang pada janji untuk lepaskan saya sebaik Abang Am boleh berjalan semula. Tu je yang saya mahukan daripada Abang Am...” Perlahan suara Izara. Perlahan dan tenang.

Dada Amzar terasa sempit. Jantungnya seakan mahu pecah mendengar permintaan Izara. “Benci sangat ke Zara pada abang? Abang mohon pada Zara... tolong maafkan abang...”

“Saya tak pernah bencikan Abang Am. Siapalah saya nak benci pada suami saya sendiri? Saya bukan pendendam orangnya. Lagipun saya dah maafkan Abang Am dan saya harap Abang Am dapat maafkan saya sebab menjadi orang ketiga dalam hubungan Abang Am dengan Kak Tina... Halalkan makan minum saya selama menjadi isteri Abang Am...”

Izara berlalu. Dia berjalan menuju ke sofa. Tergamam juga dia melihat sofa baharu yang menghiasi ruang bilik ini. Bagasi yang memang terletak di atas lantai dibuka. Dia berlutut di atas permaidani.

“Zara tetap nak tinggalkan abang?”

Izara menoleh seketika. “Abang Am, Abang Am patut rasa gembira sekarang ni sebab peluang Abang Am untuk bersama dengan Kak Tina dah terbuka. Itu yang Abang Am nak selama ni, kan?” Izara tersenyum. “Lagipun, adik-adik saya perlukan saya. Kami dah takde mak...” Pecah suara Izara menahan sebak.

“Zara... abang minta maaf. Abang nak sangat balik kampung temankan Zara, tapi... tapi abang belum bersedia... Takziah Zara, atas kehilangan mak...”

Air mata bergenang di kolam mata. Terkesan dia dengan ucap maaf Amzar yang entah kali ke berapa. Sebelum ini, sekali pun Izara tidak pernah mendengar Amzar mengucap kata maaf. Tidak pernah!

“Tapi Zara, abang dah sedar sekarang. Tina dah jadi sejarah. Abang hanya nakkan Zara...” Tak henti Amzar merayu.

Izara menggelengkan kepala. Baju-bajunya yang terlipat di atas permaidani dikutip lalu disusun di dalam bagasi. Bagasi dikatup dan dikunci. Izara bangun.

“Zara dah balik?”

Spontan kepala Izara dan Amzar berpaling. Melihat Datuk Arifin serta Zaim di muka pintu yang kini tercengang melihat Amzar yang berdiri tanpa pertolongan sesiapa.

“Abang?”

Amzar mengangguk. “Ya, pa. Abang dah boleh berjalan...”

Datuk Arifin memeluk anaknya. Lafaz syukur bertalu-talu meluncur dari celah bibir. Ya Allah... anaknya sudah bisa berjalan. Lumpuhnya hanya sementara. Syukur, ya Allah...

Datuk Arifin merungkaikan pelukan. Kini dia baru perasan Izara yang sedang berdiri dengan bagasi besar di tangan. “Zara?”

Izara tersenyum. Senyuman yang tidak sampai ke mata. “Dah tiba masa Zara tinggalkan rumah papa ni... Abang Am pun dah boleh berjalan semula. Zara dah tunaikan janji Zara pada papa... Dan sekarang ni, Zara harap papa akan tunaikan janji papa pada Zara...”

Datuk Arifin menelan liur. Zaim terkedu.

“Zara, papa...”

“Terima kasih, papa sebab sudi terima Zara sebagai menantu papa...” celah Izara laju. Sedaya upaya berpaut pada sisa-sisa kekuatan yang masih ada. Dia perlu cekal... dia perlu kuat... Kehidupan dan kebahagiaan Amzar yang dirampas dulu perlu dipulangkan semula. “Terima kasih tanggung pengajian Zara kat kolej selama ni, dan semua pertolongan papa pada adik-adik Zara. Hanya Allah yang dapat membalas budi papa...”

“Pa... don’t let her leave me, please...” rayu Amzar kepada Datuk Arifin. “I need her...”

Datuk Arifin memandang ke wajah Amzar sebelum menghalakan mata ke wajah lembut menantunya. “Zara... Zara dah fikir masak-masak?”

“Dah, pa. Ini yang terbaik untuk semua. Biarkan Zara balik kampung...” Izara melabuhkan mata pula ke wajah Amzar. “Abang Am, tolong tunaikan janji Abang Am... kita sambung semula kes yang tertangguh di mahkamah sebelum ni, ya?”

“Zara... abang tak mahu... abang tak sanggup... Abang sayangkan Zara..”

Izara mengambil beberapa langkah ke hadapan. Dia berhenti betul-betul di hadapan Amzar. “Abang Am, saya pasti Abang Am keliru antara rasa sayang dengan rasa bersalah, dan rasa sayang dengan rasa terhutang budi. Abang Am tak perlu rasa bersalah atau rasa terhutang budi dengan saya. Saya ikhlas tolong Abang Am selama ni.” Tangan kanan Amzar diraih lalu dikucup. “Izinkan saya balik ke kampung. Saya doakan Abang Am bahagia dengan kehidupan Abang Am selepas ni...”

Amzar menarik tubuh kecil isterinya ke dalam pelukan. Erat! Tidak sanggup melepaskan Izara. “Jangan tinggalkan abang, Zara...”

Izara terkedu. Suatu waktu dahulu, dia pernah membayangkan dirinya dipeluk oleh seorang lelaki bergelar suami. Dan akhirnya, sejak memegang status isteri, dia bisa merasakan kehangatan rangkulan seorang lelaki. Lelaki yang sedari dulu berhak ke atas dirinya. Sayu hatinya tidak terkata. Mata terpejam rapat. Ingin menghayati pelukan pertama, dan mungkin yang terakhir daripada Amzar...

Zaim melarikan pandangan. Sedih hatinya melihat pengakhiran kisah abangnya dengan Izara. Walaupun dia menaruh perasaan terhadap Izara, tidak pernah sedetik pun dia menyimpan harapan agar ikatan perkahwinan antara abangnya dengan Izara akan terlerai. Daripada si Tina, berjuta-juta kali dia lebih rela Izara menjadi kakak iparnya. Walaupun terpaksa berkorban cintanya sendiri.

Izara menjauhkan dirinya daripada Amzar. Berat hati Amzar merungkaikan pelukan “Papa... mama kat mana?” soal Izara.

“Kat atas...”

Izara mengangguk. Tangan Datuk Arifin dikucup lama. Suara sudah tidak bisa berkata apa-apa. Dan sekelip mata Izara berlalu pergi...


4 comments:

  1. Apalg am...ikut la izara blik kg....heheheee...
    Smbung ag sis.....

    ReplyDelete
  2. Kalo btl amzar dh syg kt zara ikut lah ke mne zara gi n pujuk sampai cair...tu pun xtahu ke

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....