Tuesday, 11 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 5

Izara mencelikkan mata. Terkebil-kebil dia seketika melawan cahaya lampu yang tidak dipadam semalaman. Suara garau yang meracau-racau bukanlah sesuatu yang janggal di telinga. Tidur Amzar sering terganggu sejak kemalangan tiga bulan yang lalu. Dia bangun lalu menghampiri katil Amzar. Teragak-agak tangan menyentuh lengan si suami.

“Abang Am... bangun...”

Amzar masih meracau. Tangan meliar menepis ke kiri dan kanan. “Tina... jangan tinggalkan Am... Am sayangkan Tina...”

Izara menelan pahit. Sekali lagi tangan mengusap perlahan lengan suaminya. “Abang Am... bangun...”

Mata Amzar celik sebelum pergelangan tangan Izara dicengkam kuat. Tangan yang sama menerima habuan cengkaman Amzar semalam.

“Abang Am mengigau... saya cuba nak kejutkan...” Izara mempertahankan tindakannya.

“Aku nak Tina... Aku bencikan kau!” hamun Amzar dengan mata yang tajam.

“Saya tahu...”

“Sebab kau, aku kehilangan Tina! Sebabkan kau, dua hati terpaksa menanggung seksa! Aku bencikan kau!” ulang Amzar keras tanpa jemu.

“Saya tahu...” Izara menahan perih di pergelangan tangannya. “Tapi pernah tak Abang Am terfikir yang bila papa masuk meminang saya untuk Abang Am, bukan dua hati yang terluka tapi empat? Pernah tak Abang Am terfikir yang peminangan daripada pihak abang memaksa saya untuk menghancurkan hati seseorang yang sangat saya sayang?” Mendatar saja suara Izara. Mendatar namun tenang. Renungan Amzar dibalas berani. “Bukan hati Abang Am seorang saja yang terluka. Percayalah...”

Tergamam Amzar mendengar kata-kata Izara. Kelu lidahnya tidak dapat membalas. Sesungguhnya, dia tidak pernah terfikir langsung tentang perkara yang dibangkitkan isterinya itu. Dia tidak pernah menyangka yang Izara mempunyai kekasih hati kerana tidak pernah terfikir untuk bertanya. Fikirnya, Izara memang kemaruk mahu berkahwin dengannya.

Perlahan-lahan tangan Izara dilepaskan.

“Saya solat dulu. Lepas ni saya mandikan Abang Am. Pagi ni Abang Am ada fisio. Abang Am mesti rajin pergi fisio. Sebab bila Abang Am dah dapat berjalan semula, Abang Am boleh lepaskan saya dan tak perlu lagi Abang Am tengok muka saya ni...”

Sekali lagi Amzar kehilangan bicara. Tiada sinis dalam tutur kata Izara. Isterinya itu tidak pernah bercakap dalam nada sindiran. Dia hanya membentangkan fakta yang benar. Fakta yang berpunca dari mulutnya sendiri. Amzar menelan liur. Kali ini terasa terlalu pahit...


 Usai solat subuh, Izara bersiap-sedia untuk memandikan Amzar. Rutin yang dilakukan setiap pagi. Izara menyingsing lengan baju. Tompokan hijau pekat di pergelangan tangan Izara mudah saja ditangkap oleh Amzar. Kesan kezalimannya sendiri. Ya Allah... Tiba-tiba saja hati berbisik nama Sang Pencipta... Mengapa? Mengapa tiba-tiba dia menyebut nama itu sedangkan sudah lama dia tidak memikirkan tentang-Nya?

Izara menyedari perubahan di wajah suaminya namun lidah sudah biasa untuk tidak bertanya apa-apa. Air pancuran yang sederhana hangatnya dihalakan ke kepala Amzar. Lafaz Bismillah terpacul dari bibir tanpa sedar. Perlahan-lahan dan penuh kelembutan dia mengusap kepala dan tubuh suaminya. Sesuatu yang begitu janggal dilakukan mula-mula dulu. Bukan mudah untuk meratakan telapak tangan ke seluruh tubuh lelaki yang tidak pernah mahu mengaku suaminya itu. Namun kini dia sudah biasa. Pipi yang dulu sentiasa pijar sudah boleh dikawal dengan baik.

Lembutnya tangan yang memandikan Amzar, begitu juga tangan yang mengelap kering setiap inci tubuh suaminya. Di birai katil, Izara menyarungkan seluar sukan dari tapak kaki selepas membantu Amzar mengenakan seluar boxernya. Amzar memakai sendiri baju-T ke badan.

Hairan juga Izara tidak mendengar kritikan daripada Amzar pagi ini. Kalau tidak, ada saja yang tak kena. Air pancuran tak cukup panaslah, atau terlampau sejuklah, baju yang dipilih tak sesuailah, apalah...

Selepas sarapan, Izara membawa Amzar ke hospital. Setia dia menunggu suaminya menjalani sesi fisioterapi.

*********

Amzar mengamati tubuh Izara yang bertelekung di atas sejadah. Lama betul isterinya bersujud. Saban dinihari sepanjang enam bulan Izara menjaganya, beginilah rutin isterinya. Meminta entah doa apa daripada Yang Maha Esa. Sedangkan dia? Sudah berapa lama dahinya tidak mencecah ke bumi. Begitu sombong dia hidup di muka bumi ini. Begitu angkuh!

Mata dipejamkan seketika. Tidak suka dengan perasaan yang datang bertimpa-timpa. Perasaan yang jika dilayan, akan menghadirkan seribu macam penyesalan. Dan dia belum bersedia untuk berhadapan dengan kenyataan. Kenyataan yang bukan sekadar menuding satu jari tepat ke wajah, tapi sepuluh jari pun tidak mencukupi untuk meletakkan segunung kesalahan di pundaknya.

Dan mata yang terpejam terus hanyut hingga ke pagi.

Celik saja mata, sorotan terus bertumpu ke arah sofa. Di situlah Izara setia menunggunya. Menanti arahan yang sudah tiada taringnya. Sesungguhnya dia sudah penat. Penat melayan rasa benci, dendam dan amarah. Penat menjerkah dan menengking seseorang yang telah terlalu banyak menabur jasa. Namun kelibat yang dicari tiada...

“Zara! Zara!” jeritnya. Pintu bilik air sedia terbuka. Maknanya Izara tiada di situ.

Pintu ditolak dari luar. “Ya Tuan? Tuan panggil?”

“Bik, Zara mana?” soal Amzar kepada pembantu rumah mamanya.

“Saya tak tahu, Tuan. Saya bangun pagi tadi, saya lihat Puan, Datuk dan Datin sudah tiada di rumah... Nanti saya panggilkan Tuan Zaim sebentar ya?” Pintu dikatup perlahan.

‘Tak ada kat rumah? Pergi mana pagi-pagi buta ni?’ dengus Amzar.

“Kau nak apa? Nak mandi ke?” Zaim masuk ke dalam bilik. Kerusi roda di tepi sofa ditolak merapati abangnya.

“Zara mana?” soal Amzar.

“Aku mandikan kau dulu. Nanti aku beritahu...” dalih Zaim. Tidak seperti Izara, senang saja Zaim membawa abangnya ke bilik air. Kudratnya berganda-ganda lebih kuat daripada Izara. Abangnya dimandikan sambil lewa.

“Kau ni boleh tak jangan kasar-kasar sangat?” gerutu Amzar. “Buat pelan-pelan sikit tak boleh ke?”

“Kau jangan banyak songeh! Aku bukan Zara nak berlembut-lembut dengan kau atau nak terima je kritikan kau tu!”

“Kak Zara, Zaim! Kak Zara!” tegur Amzar.

“Kau peduli apa aku nak panggil dia apa pun? Dia bukan isteri kau pun, kan?” cabar Zaim.

Amzar mengetap bibir. Baju-T disarung kasar ke badan.

“Kau jangan ingat aku tak tahu kau ada simpan perasaan pada dia, Zaim! Aku bukan buta!” tuduh Amzar.

“Baguslah kau tahu...” balas Zaim bersahaja.

“Kau tak takut dosa ke hah? Simpan perasaan pada isteri orang?” soal Amzar keras.

“Dosa? Isteri” sinis Zaim bertanya. Mencerlung matanya memanah ke wajah abangnya. “Kau jangan nak ceramah kat aku pasal dosa! Dan sejak bila kau anggap dia isteri kau, hah? Selama kau jadi suami Zara, ada kau jalankan tanggungjawab kau sebagai suami? Ada? Ada kau pernah tanya dia dah makan ke belum atau dia ada duit belanja ke? Ada pernah kau bawak dia ke klinik bila dia demam? Ada pernah kau rawat sakit pinggang dia sebab dah tak tertahan menanggung beban memikul berat kau setiap hari? Ada?”

Amzar terdiam. Terpukul dia dengan setiap pertanyaan daripada Zaim.

“Aku tak payah nak tanya tentang nafkah batin, sedangkan nafkah zahir dia pun kau tak pernah ambik tahu! Tu bukan namanya dosa ke? Sepanjang dia jadi isteri kau, yang kau mengusung Tina ke hulu ke hilir tu tak berdosa ke? Yang kau maki dia, marah dia, sakitkan hati dia tu, tak berdosa ke?”

“Zaim... aku... aku...” Tergagap-gagap Amzar jadinya.

“Sampai bila kau nak butakan mata kau, bang?” Nada suara Zaim sudah mengendur. “Sampai bila kau nak seksa dia? She is barely twenty two years old! Kau rasa kau kena paksa kahwin dengan dia, tapi kau pernah terfikir tak dia pun kena paksa jugak? Pernah tak kau fikirkan hati dan perasaan dia, bang? Masa kau sakit lumpuh macam ni, siapa yang jaga kau? Orang yang paling kau benci dalam dunia ni, kan? Mana cinta hati kau? Mana Tina? Well, here she is!” Zaim mengeluarkan i-Phone dari kocek seluar jeannya. Foto galeri dibuka.

Satu per satu gambar Tina dipertontonkan kepada abangnya. Gambar Tina dengan lelaki yang berbeza. Kebenaran yang sudah lama dipegang namun demi si abang, dia tak sanggup melihat kekecewaan Amzar kerana dia tahu betapa abangnya mencintai Tina.

“Kau bukan hanya buta, bang, tapi bodoh! Aku malu ada abang seperti kau! Dan mama... Kau tak pernah tanya kenapa mama tak pernah jenguk kau kat sini walaupun kau duduk kat bawah bumbung mama... Kau tak pernah tanya, kan?” Zaim merampas kembali telefon bimbitnya. Riak tidak percaya yang memenuhi wajah Amzar tidak diendahkan.

“Kau tanya aku tadi Zara ke mana, kan? Zara balik kampung awal subuh tadi dengan mama dan papa. Dia tak sampai hati nak kejutkan kau. Mak dia meninggal pukul empat pagi tadi... Mati mengejut. Sementara Zara takde ni, aku yang akan jaga kau...”

Amzar mengangkat mata yang kini berkaca. “Zaim...” bisik Amzar terkejut.


“Aku keluar dulu. Aku tak pergi ofis hari ni. Kalau kau nak apa-apa, kau call aku.” Pantas Zaim meninggalkan abangnya yang kini tanpa segan silu mengalirkan air mata. Air mata penyesalan... Penyesalan yang sudah lama terpupuk, namun masih bisa ditenggelami dengan rasa egonya. Penyesalan yang maha hebat!

2 comments:

  1. Xkan risau kot bila zara xde tulah manusia bila ade dpn mata d caci hina bila dh hilang dr pandangan tercari2.....

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....