Tuesday, 11 October 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 4


“Aku nak ke bilik air sekarang,” arah Amzar.

Izara yang baru saja melabuhkan duduk di sofa kembali bangun. Dia menolak kerusi roda hampir ke birai katil. Tanpa sepatah kata, Izara melingkarkan tangan ke bahagian dada suaminya untuk membantu Amzar naik ke kerusi roda. Beban yang ditanggung tentulah bukan sedikit. Saiz badan Amzar ni bukanlah kecil. Orangnya tinggi dan badannya dijaga rapi dengan senaman di gimnasium saban minggu.

Bibir diketap kuat setiap kali Amzar berpaut di bahunya. Lenguh di setiap anggota tubuhnya dirawat sendiri tanpa keluh-kesah. Sakit di dada menerima kritikan demi kritikan si suami dipendam ke dalam ruang hati yang paling dalam.

Di dalam bilik air, sekali lagi Amzar berpaut di bahu Izara. Amzar diletakkan berhati-hati di atas mangkuk tandas. “Saya tunggu kat luar, ya?” Izara bersuara. Kerusi roda ditinggalkan di dalam bilik air.

Setelah Amzar kembali dilabuhkan di atas katil, Izara meregangkan badan. “Abang Am nak makan sekarang?”

“Kau tak payah tanya. Kalau aku nak makan, aku sendiri yang akan cakap, faham?” jerkah Amzar.

Izara mengangguk. Dia mengukirkan senyuman. “Saya ke dapur kejap.”

“Aku nak kau cukur jambang aku. Aku rimas!” arah Amzar sekali lagi. Tangan naik mengusap ke rahangnya sendiri. Sudah lama benar dia tidak bercukur.

“Tapi... saya tak pandai...” Tergagap-gagap Izara menolak.

“Jangan banyak cakap! Kau pergi ambik cukur dengan foam aku sekarang!”

Izara terpaksa menurut, kalau tidak mahu telinganya luruh untuk kali ke berapa hari ini. Dia mengikut saja arahan yang diberikan oleh Amzar. Akhirnya, punggung dilabuhkan di sebelah paha suaminya. Buih sabun pencukur dilumurkan ke seluruh wajah Amzar. Lembut sentuhannya. Lembut, namun kekok... kekok kerana kedudukannya yang begitu rapat dengan lelaki itu.

Tajam mata yang menikam ke wajah Izara. Wajah yang amat dibencinya itu.

“Aku benci kau,” luah Amzar penuh dendam.

Terhenti seketika tangan Izara di wajah Amzar. Sedaya upaya dia memaksa matanya untuk tidak melawan pandang dengan mata suaminya. Tidak sanggup melihat sorotan kebencian dari mata itu. “Saya tahu...” balas Izara perlahan. Tangan kembali mengelus lembut di wajah Amzar.

“Kau punca aku tak boleh kahwin dengan Tina!” tuduh Amzar dengan suara yang keras.

Izara mengelap tangannya ke tuala kecil sebelum mencapai pisau pencukur. “Saya tahu dan saya kesal sangat,” ujar Izara sedih. “Tak pernah sehari pun berlalu yang saya tak rasa menyesal menjadi punca Abang Am tak dapat kahwin dengan kekasih Abang Am tu... Maafkan saya...”

Tangan yang baru diangkat untuk melakukan kerja-kerja mencukur dicengkam kuat. Spontan mata Izara bertembung pandang dengan mata Amzar.

“Kenapa kau tak tolak pinangan daripada pihak papa?” Amzar mengulang soalan yang sama mungkin untuk kali ketiga sejak berkahwin dengan Izara.

“Sebab saya tak berdaya... Yang masuk meminang bukan saya, dan yang berjanji bukan saya juga. Saya tak dapat menolak,” jelas Izara untuk sekian kalinya. Setiap kali Amzar mengutarakan isu yang sama, alasannya tidak pernah berubah. Izara cuba menarik tangannya daripada cengkaman Amzar. Sakit.

“Kau tipu! Kau kemaruk nak berlakikan aku, kan? Papa sponsor kau belajar kat kolej. Papa bagi duit belanja kat kau, belikan kau macam-macam. Kau dah dibutakan dengan kekayaan keluarga aku, kan?” Kejam Amzar menuduh sebelum melemparkan lengan Izara yang dicengkam tadi.

“Kalau Abang Am rasa selesa berfikiran macam tu pasal saya, saya terima,” pasrah Izara melantunkan kata. Dia sedar, penafian hanya akan membuat Amzar semakin membencinya kerana lelaki itu sentiasa yakin yang dirinya tidak berkata yang benar.

“Huh! Kau tak payah berlakon baik depan aku! Depan mama dan papa, kau boleh menipu, tapi dengan aku, jangan harap aku akan percaya! Dasar pompuan kampung!”

Izara menelan luka di hati. “Boleh saya cukur sekarang?”

“Kau keluar dari bilik aku ni, aku tak nak tengok muka kau! Keluar!” jerit Amzar.

Laju Izara bangun. Dia tidak perlu diarah untuk kali kedua. Kaki dengan rela meninggalkan bilik Amzar.

*********

“Zara...”

Sepantas kilat Izara mengesat air matanya. Dia mendongak ke atas. Konon untuk melihat bintang-bintang yang bertaburan di dada langit.

“Dah nak dekat sebulan kau tahan dengan kerenah abang. Kau bukan malaikat, Zara,” ujar Zaim.

“Akak tahu...”

Stop calling yourself, ‘kakak’ dammit! It won’t work!”

“Kak Zara tak faham...”

Kuat dengusan Zaim. Benci dengan Izara yang pura-pura tidak tahu.

“Zara...”

“Zaim, please! Jangan cakap apa-apa lagi. Tolong hormatkan status akak sebagai isteri Abang Am,” pinta Izara. Tahu apa yang dimaksudkan Zaim, namun telinganya tidak sanggup mendengar luahan hati Zaim.

“Kak Zara masuk dulu... Takut Abang Am nak apa-apa sebelum tidur nanti...” Lekas-lekas Izara meninggalkan laman. Tidak selesa berdua-duaan dengan Zaim begini. Tidak manis dipandang orang.

Jelingan yang menyambut kehadirannya ke dalam bilik ditolak ke tepi. Dia masuk ke dalam bilik air dan membersihkan diri. Wuduk diambil dengan penuh teliti.

Tak lepas mata Amzar yang mengekor setiap inci pergerakan Izara. Izara melabuhkan duduk di sofa dan menepuk bantal sebelum diletakkan di lengan sofa. Bersedia untuk tidur. “Nak saya tutup lampu?” soal Izara sopan.

Amzar tidak menjawab. Sukar untuk meneka kemahuan Amzar. Kadang-kadang dia mahu tidur dengan lampu terpasang. Kadang-kadang tidak.

Izara baring lalu menarik selimut. Mata dipejamkan dan doa dibaca. Semoga esok akan lebih baik daripada hari ini...

Dada Izara berombak tenang menandakan isterinya itu telah dijemput lena. Sudah sebulan Izara menjaganya. Dan sudah sebulan juga dia menyeksa isterinya itu. Sepatah kata Izara tidak merungut. Ketika dihamun dan dijerkah, Izara masih mampu tersenyum. Ketika dituduh dan difitnah, balasan Izara tidak pernah berubah. Mengia pun tidak, menidakkan pun tidak. Sukar betul untuk Amzar mematahkan semangat gadis itu.

Gadis? Ya gadis... Gadis kampung yang entah berumur dua puluh satu atau dua puluh dua tahun. Dia pun tak pernah endah. Sedangkan dia kurang setahun mahu mencecah ke umur tiga puluh tahun. Padanan yang tidak pernah cocok, tidak pernah sesuai, tidak pernah direlakan...

Disebabkan Izara, janji untuk sehidup semati dengan Tina tidak kesampaian. Dan Tina tidak mahu hidup bermadu. Untuk menceraikan Izara dan memalitkan luka di hati mama serta papanya bukanlah sesuatu keputusan yang mudah untuk dilakukan. Namun dia tak sanggup kehilangan Tina. Dan demi Tina... dia sanggup membuang Izara dan mengecewakan hati dua buah keluarga.

Hatinya sakit dipaksa berkahwin dengan Izara. Jiwanya memberontak. Namun kesakitan yang dirasakannya itu tidak setanding dengan kesakitan ditinggalkan Tina saat dia benar-benar perlukan kekasihnya itu. Tina hanya datang menziarahinya di hospital dua kali dan kemudian terus meminta ruang untuk berfikir. Tina langsung tidak memikirkan pengorbanannya melukakan hati papa serta mama ketika bertekad mahu menceraikan Izara. Hingga kini, mamanya seakan menjauhkan diri daripada dirinya. Layanan mamanya sejak dia membuang Izara sangat dingin dan tidak semesra dulu.

Namun hakikat yang tidak dapat dinafikan, dia rindukan Tina! Sangat-sangat rindu akan tawa manja gadis itu. Tina...


Amzar kembali melabuhkan mata ke tubuh isterinya yang tenang dijemput lena. Setiap saat Izara akan mengenakan tudung di hadapannya. Tidak pernah sekali pun Izara mempamerkan auratnya. Dia amat patuh akan semua arahan Amzar yang tidak pernah mengiktirafnya sebagai seorang isteri. Rasa berat yang menekan ke dada dicampak jauh ke tepi...

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....