Thursday, 29 September 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 3

Lama Izara termenung. Permintaan bapa mentuanya begitu payah untuk dihadam. Bibir laju saja mahu berkata ‘tidak mahu’. Dia sudah ada kehidupannya sendiri. Kehidupan yang dibina sejak berpisah tanpa rela dengan suami sendiri. Kehidupan yang diwarnai kata cerca oleh orang kampung sendiri setelah dirinya pulang ke kampung walaupun gelaran pengantin baru, baru sekejap dipegangnya.

“Tolong, Zara. Papa merayu...”

Izara menongkat mata. Datuk Arifin merayu? Siapalah dirinya untuk membiarkan bapa mentuanya merayunya begitu? Izara berpaling ke arah ibu serta bapanya. Soalan tanpa suara diisyaratkan.

“Semuanya terpulang pada kak long... Abah dan mak serahkan semuanya pada kak long untuk buat keputusan...” Encik Mustafa bersuara.

“Baiklah, pa... Zara setuju...”

“Terima kasih, Zara. Terima kasih sangat...” ucap Datuk Arifin bersungguh-sungguh. Lega di hatinya bukan kepalang.

Zaim memalingkan wajah. Tidak selesa dengan keputusan yang telah dicapai kini. Dia bingkas bangun lalu meninggalkan bilik rundingan.

*******


Suara Amzar yang kuat membantah dapat ditangkap dengan mudah oleh Izara dari luar bilik. Dia melepaskan keluhan berat. Sudah dapat mengagak reaksi Amzar sebegini. Masakan lelaki itu akan bersetuju dengan kehendak Datuk Arifin yang mahukan dirinya menjaga Amzar sepanjang suaminya itu melalui proses pemulihan? Dia merupakan orang terakhir yang mahu dipandang Amzar. Sepanjang berada di hospital pun Amzar tidak sudi memandangnya. Sudahnya dia pulang dulu ke kampung atas desakan kerja. Namun kini?

Izara mengeluh lagi. Kini dia kembali ke Kuala Lumpur setelah dipanggil oleh Datuk Arifin. Untuk apa? Untuk ini... Permintaan yang membuatnya tersepit. Untuk menidakkan, dia masih isteri Amzar. Untuk menerima, telinga serta hatinya tidak kuat untuk menghadap kebencian Amzar untuk suatu jangka masa yang tak tentu...

Tak pasal-pasal dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai pembantu akauntan di syarikat kecil di Kuala Terengganu. Syukurnya bosnya amat memahami. Siap memberikan jaminan kepada Izara bahawa bila-bila saja dia boleh kembali ke syarikat jika dia masih mahu bekerja di situ pada masa hadapan.

“Abang tak nak dia jaga abang! Abang tak nak!” jerit Amzar dari dalam bilik.

“Abang... abang cuba rasional sikit. Abang perlukan pertolongan...” suara Datuk Arifin kedengaran pula. “Papa dengan mama tak boleh nak jaga abang sepanjang hari. Zaim kerja. Abang takde pilihan lain. Syukur Zara sudi nak tolong kita...”

“Abang tak kira. Macamlah papa tak boleh nak ambik jururawat peribadi untuk abang?” ungkit Amzar lagi.

“Keputusan papa muktamad. Zara dah sampai. Papa akan panggil dia masuk sekarang!”

Izara di luar, menelan liur. Masanya telah tiba. Menunggu Datuk Arifin memanggilnya masuk.

Pintu bilik tetamu yang didiami Amzar di tingkat bawah rumah mentuanya ini ditarik dari dalam. Amzar tidak dibenarkan pulang ke kondominiumnya sendiri kerana keadaannya begitu. Maka mereka akan tinggal bersama di rumah ini sehingga keadaan mengizinkan Amzar untuk pulang ke rumahnya sendiri.

“Zara, meh masuk...”

Takut-takut Izara meloloskan diri melalui jenang pintu. Datuk Arifin memimpin tangan menantunya masuk ke dalam. Datin Khadijah tidak kelihatan pula. Entah ke mana ibu mentuanya itu.

Tajam sepasang mata yang memandangnya dari arah katil. Tajam dan menakutkan. Dan Izara kembali mengenakan topeng yang sentiasa menghiasi wajah sejak menjadi isteri kepada lelaki di hadapannya ini. Tenang dan bersahaja.

“Eh, kau dengar sini, ya!” jerkah Amzar yang sedang bersandar di kepala katil. “Kalau bukan kehendak papa, tak ingin aku nak kau jaga aku, kau faham tak? Aku tak ingin!”

“Abang!” tegur Datuk Arifin. Tidak suka dengan bahasa yang digunakan Amzar. Di hadapan mereka dulu, Amzar tidak pernah sekasar ini dengan Izara. Namun, dia sedar bahawa selama ini, Amzar hanya berpura-pura di hadapan mereka. Mungkin di belakang mereka, beginilah cara Amzar melayan Izara.

“Nak tak nak, aku masih akan ceraikan kau! Kes hari tu aku tak tarik balik, cuma ditangguhkan. Kau tunggu je! Aku dapat berjalan je nanti, kau akan aku ceraikan!”

“Astaghfirullah, abang! Mengucap abang! Papa tak pernah ajar abang biadab macam ni!” Datuk Arifin melabuhkan mata ke wajah menantunya. “Zara, Zara masuk dan berehat dulu, ya? Zara ingatkan apa yang doktor nasihatkan hari tu?”

Izara mengangguk. “Ya, pa...”

Datuk Arifin menghampiri menantunya. “Zara, sabar ya? Papa berterima kasih Zara sudi jaga Am... Pertolongan Zara takkan papa lupakan sampai bila-bila...”

Datuk Arifin meninggalkan Izara berduaan bersama Amzar. Di dalam hati dia berdoa agar Izara dikurniakan kesabaran yang tinggi menangani kerenah anak sulungnya. Dia turut berdoa agar Amzar akan menyedari betapa besar kesalahannya menolak kehadiran Izara selama ini dan mengagungkan cintanya bersama wanita yang langsung tidak layak menerima hatinya.

Pintu dikatup perlahan. Dia tersandar di dada pintu. Ampunkan aku ya Allah kerana terpaksa menyeksa hati Izara sekali lagi. Tapi biarlah ini percubaan dan ikhtiarnya yang terakhir. Dia yang menjanjikan Izara untuk Amzar setelah bapa Izara menyelamatkan nyawanya beberapa tahun yang lalu. Melihat betapa sukarnya kehidupan Encik Mustafa sekeluarga, laju saja mulut mengukirkan janji agar kehidupan keluarga besannya dapat dibantu.

Izara yang ketika itu baru tamat sekolah menengah, dihantar melanjutkan pelajaran ke kolej di Kuala Terengganu terlebih dahulu. Setelah segulung diploma berjaya diraih, terus saja Datuk Arifin masuk meminang Izara walaupun tanpa persetujuan Amzar. Hati tidak mampu menerima buah hati Amzar, Tina sebagai menantu, justeru Izara menjadi pilihan yang pertama. Izara yang mentah... Izara yang polos... Izara yang sentiasa tenang... Tidak sukar untuk dirinya dan isteri jatuh sayang pada Izara. Dan di hati penuh yakin yang Amzar tidak akan mengambil masa yang lama untuk menerima Izara. Namun, jauh tersasar jangkaannya. Amzar tekad membuang Izara hanya selepas tiga bulan akad dilafazkan.


Amzar kini keseorangan. Kekasih hati yang disanjung menggunung telah meminta ruang untuk berfikir setelah menyedari Amzar mungkin akan lumpuh seumur hidupnya. Maka ini merupakan peluang keemasan untuk mencampakkan Amzar ke dalam jagaan Izara. Semoga ikatan perkahwinan anaknya ini dapat diselamatkan. Semoga Allah memberkati usahanya.... Itu saja yang diharapkannya... Itu sahaja...

4 comments:

  1. Eeeeeee gramnye amzar ni......bni dah bkorban nak jg dia msih nak mrah2..
    X bsyukur btul...bsbarla whai izara...bgia psti mlik kmu....
    Am..am...arap ke kksih ati dah blah...hahhaaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehehe.... geram sis ek? Sabar ya... :D :D

      Delete
  2. Baru ade kesampatan mmbaca so amzar blh d gambarkan sebagai llaki yg ego n sombong

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul Rose... Thank you sudi baca...:)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....