Tuesday, 27 September 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 2

Sudah sepuluh minit Izara menunggu. Kelihatan peguam yang dilantik oleh Amzar turut gelisah dan asyik mengilas pandang ke arah jam di tangan. Hakim pun sudah bertanya. Mahu diteruskan atau ditangguhkan sahaja?

Izara mengeluh. Dia mengambil cuti hari ini semata-mata ingin menyaksikan sendiri lafaz cerai yang akan dilakukan oleh Amzar ke atas dirinya. Kalau kes ditangguhkan, alamat dia perlu mengambil cuti lagi. Sudahlah dia baru saja mendapat pekerjaan. Takkan nak minta cuti lagi?

‘Hesy! Dah tahu pagi ni ada kes, bertolaklah awal dari KL tu!’ rungut Izara di dalam hati.

Sedetik kemudian, telefon peguam syarie yang mewakili Amzar bergetar di atas meja. Berkelip-kelip lampu di skrin. Dia meminta izin daripada Hakim untuk menjawab sebentar.

Mata Izara tidak lari daripada wajah peguam itu. Perubahan riak di wajah si peguam meyakinkannya bahawa dia baru menerima berita yang kurang baik.

Sebaik telefon dimatikan, peguam itu meminta agar kes ditangguhkan pada suatu tarikh yang tidak pasti. Izara terkedu.

“Yang Arif, anak guam saya ditimpa kemalangan awal pagi tadi di lebuh raya Karak. Keadaannya kritikal. Dia tak dapat hadir ke mahkamah hari ni...”

Astaghfirullah.... Berdetup jantung Izara mendengar penjelasan daripada peguam Amzar. Amzar kemalangan? Dia memejamkan mata sebentar...

*********

Kaki melangkah lemah masuk ke bahagian Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur ini setelah tujuh jam perjalanan menaiki bas ekspres dari kampung. Izara mendapat berita Amzar telah dipindahkan dari Hospital Bentong ke Kuala Lumpur. Ibu serta ayahnya sudah mendahuluinya jauh di hadapan. Dia tidak mahu berada di sini, namun mengenangkan diri masih memegang status isteri kepada Amzar, digagahkan jua dia ke mari.

Menonong Izara berjalan. Tanpa sedar, dirinya sudah dipeluk kuat oleh Datin Khadijah. “Zara, menantu mama... Zara datang?”

Izara membalas pelukan ibu mentuanya. “Ya, ma. Zara ada kat sini...” Dari ekor mata, Izara melihat bapanya sudah pun memeluk Datuk Arifin untuk menghulurkan simpati.

Lama mereka berpelukan. Melepaskan rindu setelah tiga bulan tidak ketemu, sedangkan sebelum ini, hampir setiap minggu dia menziarahi mentuanya itu.

“Zara... Am... Am...” tersekat-sekat suara Datin Khadijah.

“Kenapa, ma? Kenapa dengan Abang Am?”

“Am lumpuh...”

“Ya Allah...”

“Ada masalah dengan tulang belakang Am... Doktor kata dia tak pasti sama ada keadaan Am ni sementara atau akan kekal sampai bila-bila...” tangis Datin Khadijah sedih.

“Sabar, ma...” Izara cuba memujuk sambil menepuk bahu ibu mentuanya.

“Kak Jijah...” ibu Izara pula mencuba. Bahu besannya itu disentuh lembut. “Sabar ya. Ni semua dugaan Allah untuk keluarga akak...”

Datin Khadijah merungkaikan pelukan menantunya. Tangan Puan Aishah digenggam erat.

“Abang Am dah sedar ke, ma?” Teragak-agak Izara bertanya.

“Tadi dah sedar... tapi sekarang dia dah tidur semula. Am... Am macam tak boleh terima keadaan dia... Dia mengamuk lepas doktor bagi tahu keadaan dia tadi... Mama risau, Zara...”

Izara terdiam. Gambaran Amzar mengamuk bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibayangkan. Bukan tak biasa Amzar memarahi atau menengkingnya. Tiga bulan menjadi isteri lelaki itu, telinga Izara sentiasa disajikan dengan kata-kata kesat dan pedas. Tidak pernah sekali pun Amzar bercakap lembut dengannya melainkan mereka berada di rumah Datuk Arifin.

Puan Aisyah cuba menenangkan besannya. Dia menarik Datin Khadijah untuk duduk di sebelahnya di ruangan menunggu itu. Izara masih kekal di situ.

“Zara?”

Izara berpaling. Dia tersenyum kecil. “Zaim... apa khabar?”

Zaim tidak membalas. Wajah Izara yang lembut ditatap lama.

“Apa Zara buat kat sini?”

“Abang Am kan kemalangan... Mestilah Kak Zara datang...”

Zaim tersenyum sinis. Dari mula dulu Izara membahasakan dirinya kakak dan Zaim berdegil tidak mahu menurut. Kakak ipar tak kakak ipar. Izara muda tiga tahun daripadanya kut!

“Walaupun orang tu dah buang Zara?”

Izara mengeluh. Dia tidak membalas. Tidak larat mahu bertekak dengan adik iparnya ini. Wajahnya tetap begitu. Tenang.

“Zara...”

“Biarlah Zaim. Kak Zara tahu kat mana letak duduk akak ni di sisi Abang Am... Tapi selagi Abang Am tak jatuhkan talak, akak masih isteri Abang Am...”

“Huh!” dengus Zaim. “Zaim tak faham macam mama Zara boleh hadap lagi muka abang tu. Dah macam-macam abang buat kat Zara. Takkan Zara tak serik-serik lagi?”


Izara mengukirkan senyuman hambar. Serik? Kalau diikutkan hati, mestilah serik. Kulitnya pun tak setebal mana. Orang dah terang-terang tak inginkan dirinya, takkan masih nak menayang muka? Tapi, suaminya kemalangan. Agak keterlaluan sekiranya dia tidak datang menziarahi suaminya sendiri. Jadi, biarlah orang nak kata apa... Dia sedar tanggungjawab yang masih dipegang... Selagi belum dileraikan oleh orang yang berhak...

7 comments:

  1. Yess terbaik izara..mesti lepas nie izara jaga Am sampai sembuh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe... nanti kita tengok apa jadi ya..:)

      Delete
  2. Smbung ag....biar am plak jtuh cnta kat izara

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok reixan. Nanti kita sambung ya. Tq sudi baca...:)

      Delete
  3. Wlpun d benci suami sendiri tp tggupjwb sbgai seorg isteri perlu d jln kan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tulah namanya isterikan Rose? Huhuhu

      Delete
  4. Wlpun d benci suami sendiri tp tggupjwb sbgai seorg isteri perlu d jln kan..

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....