Thursday, 29 September 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 3

Lama Izara termenung. Permintaan bapa mentuanya begitu payah untuk dihadam. Bibir laju saja mahu berkata ‘tidak mahu’. Dia sudah ada kehidupannya sendiri. Kehidupan yang dibina sejak berpisah tanpa rela dengan suami sendiri. Kehidupan yang diwarnai kata cerca oleh orang kampung sendiri setelah dirinya pulang ke kampung walaupun gelaran pengantin baru, baru sekejap dipegangnya.

“Tolong, Zara. Papa merayu...”

Izara menongkat mata. Datuk Arifin merayu? Siapalah dirinya untuk membiarkan bapa mentuanya merayunya begitu? Izara berpaling ke arah ibu serta bapanya. Soalan tanpa suara diisyaratkan.

“Semuanya terpulang pada kak long... Abah dan mak serahkan semuanya pada kak long untuk buat keputusan...” Encik Mustafa bersuara.

“Baiklah, pa... Zara setuju...”

“Terima kasih, Zara. Terima kasih sangat...” ucap Datuk Arifin bersungguh-sungguh. Lega di hatinya bukan kepalang.

Zaim memalingkan wajah. Tidak selesa dengan keputusan yang telah dicapai kini. Dia bingkas bangun lalu meninggalkan bilik rundingan.

*******


Suara Amzar yang kuat membantah dapat ditangkap dengan mudah oleh Izara dari luar bilik. Dia melepaskan keluhan berat. Sudah dapat mengagak reaksi Amzar sebegini. Masakan lelaki itu akan bersetuju dengan kehendak Datuk Arifin yang mahukan dirinya menjaga Amzar sepanjang suaminya itu melalui proses pemulihan? Dia merupakan orang terakhir yang mahu dipandang Amzar. Sepanjang berada di hospital pun Amzar tidak sudi memandangnya. Sudahnya dia pulang dulu ke kampung atas desakan kerja. Namun kini?

Izara mengeluh lagi. Kini dia kembali ke Kuala Lumpur setelah dipanggil oleh Datuk Arifin. Untuk apa? Untuk ini... Permintaan yang membuatnya tersepit. Untuk menidakkan, dia masih isteri Amzar. Untuk menerima, telinga serta hatinya tidak kuat untuk menghadap kebencian Amzar untuk suatu jangka masa yang tak tentu...

Tak pasal-pasal dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai pembantu akauntan di syarikat kecil di Kuala Terengganu. Syukurnya bosnya amat memahami. Siap memberikan jaminan kepada Izara bahawa bila-bila saja dia boleh kembali ke syarikat jika dia masih mahu bekerja di situ pada masa hadapan.

“Abang tak nak dia jaga abang! Abang tak nak!” jerit Amzar dari dalam bilik.

“Abang... abang cuba rasional sikit. Abang perlukan pertolongan...” suara Datuk Arifin kedengaran pula. “Papa dengan mama tak boleh nak jaga abang sepanjang hari. Zaim kerja. Abang takde pilihan lain. Syukur Zara sudi nak tolong kita...”

“Abang tak kira. Macamlah papa tak boleh nak ambik jururawat peribadi untuk abang?” ungkit Amzar lagi.

“Keputusan papa muktamad. Zara dah sampai. Papa akan panggil dia masuk sekarang!”

Izara di luar, menelan liur. Masanya telah tiba. Menunggu Datuk Arifin memanggilnya masuk.

Pintu bilik tetamu yang didiami Amzar di tingkat bawah rumah mentuanya ini ditarik dari dalam. Amzar tidak dibenarkan pulang ke kondominiumnya sendiri kerana keadaannya begitu. Maka mereka akan tinggal bersama di rumah ini sehingga keadaan mengizinkan Amzar untuk pulang ke rumahnya sendiri.

“Zara, meh masuk...”

Takut-takut Izara meloloskan diri melalui jenang pintu. Datuk Arifin memimpin tangan menantunya masuk ke dalam. Datin Khadijah tidak kelihatan pula. Entah ke mana ibu mentuanya itu.

Tajam sepasang mata yang memandangnya dari arah katil. Tajam dan menakutkan. Dan Izara kembali mengenakan topeng yang sentiasa menghiasi wajah sejak menjadi isteri kepada lelaki di hadapannya ini. Tenang dan bersahaja.

“Eh, kau dengar sini, ya!” jerkah Amzar yang sedang bersandar di kepala katil. “Kalau bukan kehendak papa, tak ingin aku nak kau jaga aku, kau faham tak? Aku tak ingin!”

“Abang!” tegur Datuk Arifin. Tidak suka dengan bahasa yang digunakan Amzar. Di hadapan mereka dulu, Amzar tidak pernah sekasar ini dengan Izara. Namun, dia sedar bahawa selama ini, Amzar hanya berpura-pura di hadapan mereka. Mungkin di belakang mereka, beginilah cara Amzar melayan Izara.

“Nak tak nak, aku masih akan ceraikan kau! Kes hari tu aku tak tarik balik, cuma ditangguhkan. Kau tunggu je! Aku dapat berjalan je nanti, kau akan aku ceraikan!”

“Astaghfirullah, abang! Mengucap abang! Papa tak pernah ajar abang biadab macam ni!” Datuk Arifin melabuhkan mata ke wajah menantunya. “Zara, Zara masuk dan berehat dulu, ya? Zara ingatkan apa yang doktor nasihatkan hari tu?”

Izara mengangguk. “Ya, pa...”

Datuk Arifin menghampiri menantunya. “Zara, sabar ya? Papa berterima kasih Zara sudi jaga Am... Pertolongan Zara takkan papa lupakan sampai bila-bila...”

Datuk Arifin meninggalkan Izara berduaan bersama Amzar. Di dalam hati dia berdoa agar Izara dikurniakan kesabaran yang tinggi menangani kerenah anak sulungnya. Dia turut berdoa agar Amzar akan menyedari betapa besar kesalahannya menolak kehadiran Izara selama ini dan mengagungkan cintanya bersama wanita yang langsung tidak layak menerima hatinya.

Pintu dikatup perlahan. Dia tersandar di dada pintu. Ampunkan aku ya Allah kerana terpaksa menyeksa hati Izara sekali lagi. Tapi biarlah ini percubaan dan ikhtiarnya yang terakhir. Dia yang menjanjikan Izara untuk Amzar setelah bapa Izara menyelamatkan nyawanya beberapa tahun yang lalu. Melihat betapa sukarnya kehidupan Encik Mustafa sekeluarga, laju saja mulut mengukirkan janji agar kehidupan keluarga besannya dapat dibantu.

Izara yang ketika itu baru tamat sekolah menengah, dihantar melanjutkan pelajaran ke kolej di Kuala Terengganu terlebih dahulu. Setelah segulung diploma berjaya diraih, terus saja Datuk Arifin masuk meminang Izara walaupun tanpa persetujuan Amzar. Hati tidak mampu menerima buah hati Amzar, Tina sebagai menantu, justeru Izara menjadi pilihan yang pertama. Izara yang mentah... Izara yang polos... Izara yang sentiasa tenang... Tidak sukar untuk dirinya dan isteri jatuh sayang pada Izara. Dan di hati penuh yakin yang Amzar tidak akan mengambil masa yang lama untuk menerima Izara. Namun, jauh tersasar jangkaannya. Amzar tekad membuang Izara hanya selepas tiga bulan akad dilafazkan.


Amzar kini keseorangan. Kekasih hati yang disanjung menggunung telah meminta ruang untuk berfikir setelah menyedari Amzar mungkin akan lumpuh seumur hidupnya. Maka ini merupakan peluang keemasan untuk mencampakkan Amzar ke dalam jagaan Izara. Semoga ikatan perkahwinan anaknya ini dapat diselamatkan. Semoga Allah memberkati usahanya.... Itu saja yang diharapkannya... Itu sahaja...

Tuesday, 27 September 2016

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 2

Sudah sepuluh minit Izara menunggu. Kelihatan peguam yang dilantik oleh Amzar turut gelisah dan asyik mengilas pandang ke arah jam di tangan. Hakim pun sudah bertanya. Mahu diteruskan atau ditangguhkan sahaja?

Izara mengeluh. Dia mengambil cuti hari ini semata-mata ingin menyaksikan sendiri lafaz cerai yang akan dilakukan oleh Amzar ke atas dirinya. Kalau kes ditangguhkan, alamat dia perlu mengambil cuti lagi. Sudahlah dia baru saja mendapat pekerjaan. Takkan nak minta cuti lagi?

‘Hesy! Dah tahu pagi ni ada kes, bertolaklah awal dari KL tu!’ rungut Izara di dalam hati.

Sedetik kemudian, telefon peguam syarie yang mewakili Amzar bergetar di atas meja. Berkelip-kelip lampu di skrin. Dia meminta izin daripada Hakim untuk menjawab sebentar.

Mata Izara tidak lari daripada wajah peguam itu. Perubahan riak di wajah si peguam meyakinkannya bahawa dia baru menerima berita yang kurang baik.

Sebaik telefon dimatikan, peguam itu meminta agar kes ditangguhkan pada suatu tarikh yang tidak pasti. Izara terkedu.

“Yang Arif, anak guam saya ditimpa kemalangan awal pagi tadi di lebuh raya Karak. Keadaannya kritikal. Dia tak dapat hadir ke mahkamah hari ni...”

Astaghfirullah.... Berdetup jantung Izara mendengar penjelasan daripada peguam Amzar. Amzar kemalangan? Dia memejamkan mata sebentar...

*********

Kaki melangkah lemah masuk ke bahagian Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur ini setelah tujuh jam perjalanan menaiki bas ekspres dari kampung. Izara mendapat berita Amzar telah dipindahkan dari Hospital Bentong ke Kuala Lumpur. Ibu serta ayahnya sudah mendahuluinya jauh di hadapan. Dia tidak mahu berada di sini, namun mengenangkan diri masih memegang status isteri kepada Amzar, digagahkan jua dia ke mari.

Menonong Izara berjalan. Tanpa sedar, dirinya sudah dipeluk kuat oleh Datin Khadijah. “Zara, menantu mama... Zara datang?”

Izara membalas pelukan ibu mentuanya. “Ya, ma. Zara ada kat sini...” Dari ekor mata, Izara melihat bapanya sudah pun memeluk Datuk Arifin untuk menghulurkan simpati.

Lama mereka berpelukan. Melepaskan rindu setelah tiga bulan tidak ketemu, sedangkan sebelum ini, hampir setiap minggu dia menziarahi mentuanya itu.

“Zara... Am... Am...” tersekat-sekat suara Datin Khadijah.

“Kenapa, ma? Kenapa dengan Abang Am?”

“Am lumpuh...”

“Ya Allah...”

“Ada masalah dengan tulang belakang Am... Doktor kata dia tak pasti sama ada keadaan Am ni sementara atau akan kekal sampai bila-bila...” tangis Datin Khadijah sedih.

“Sabar, ma...” Izara cuba memujuk sambil menepuk bahu ibu mentuanya.

“Kak Jijah...” ibu Izara pula mencuba. Bahu besannya itu disentuh lembut. “Sabar ya. Ni semua dugaan Allah untuk keluarga akak...”

Datin Khadijah merungkaikan pelukan menantunya. Tangan Puan Aishah digenggam erat.

“Abang Am dah sedar ke, ma?” Teragak-agak Izara bertanya.

“Tadi dah sedar... tapi sekarang dia dah tidur semula. Am... Am macam tak boleh terima keadaan dia... Dia mengamuk lepas doktor bagi tahu keadaan dia tadi... Mama risau, Zara...”

Izara terdiam. Gambaran Amzar mengamuk bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibayangkan. Bukan tak biasa Amzar memarahi atau menengkingnya. Tiga bulan menjadi isteri lelaki itu, telinga Izara sentiasa disajikan dengan kata-kata kesat dan pedas. Tidak pernah sekali pun Amzar bercakap lembut dengannya melainkan mereka berada di rumah Datuk Arifin.

Puan Aisyah cuba menenangkan besannya. Dia menarik Datin Khadijah untuk duduk di sebelahnya di ruangan menunggu itu. Izara masih kekal di situ.

“Zara?”

Izara berpaling. Dia tersenyum kecil. “Zaim... apa khabar?”

Zaim tidak membalas. Wajah Izara yang lembut ditatap lama.

“Apa Zara buat kat sini?”

“Abang Am kan kemalangan... Mestilah Kak Zara datang...”

Zaim tersenyum sinis. Dari mula dulu Izara membahasakan dirinya kakak dan Zaim berdegil tidak mahu menurut. Kakak ipar tak kakak ipar. Izara muda tiga tahun daripadanya kut!

“Walaupun orang tu dah buang Zara?”

Izara mengeluh. Dia tidak membalas. Tidak larat mahu bertekak dengan adik iparnya ini. Wajahnya tetap begitu. Tenang.

“Zara...”

“Biarlah Zaim. Kak Zara tahu kat mana letak duduk akak ni di sisi Abang Am... Tapi selagi Abang Am tak jatuhkan talak, akak masih isteri Abang Am...”

“Huh!” dengus Zaim. “Zaim tak faham macam mama Zara boleh hadap lagi muka abang tu. Dah macam-macam abang buat kat Zara. Takkan Zara tak serik-serik lagi?”


Izara mengukirkan senyuman hambar. Serik? Kalau diikutkan hati, mestilah serik. Kulitnya pun tak setebal mana. Orang dah terang-terang tak inginkan dirinya, takkan masih nak menayang muka? Tapi, suaminya kemalangan. Agak keterlaluan sekiranya dia tidak datang menziarahi suaminya sendiri. Jadi, biarlah orang nak kata apa... Dia sedar tanggungjawab yang masih dipegang... Selagi belum dileraikan oleh orang yang berhak...

Cerpen Air Mata Seorang Lelaki - Bab 1



Datuk Arifin merenung tajam ke wajah anaknya. Tidak tertelan rasanya mendengar kata-kata yang meluncur laju dari bibir anaknya tadi. Isterinya di sebelah sudah tersandar kaku. Air mata yang mengalir keluar dari mata isterinya membuatnya bertambah marah dengan anak kandung sendiri. Mata mengerling pula ke arah menantu yang masih menunduk sejak tadi. Wajahnya keruh, namun pipinya kering tanda dia tidak menangis.

“Apa yang abang cakap ni?” soal Datuk Arifin. “Papa tak faham...”

“Abang cakap, abang nak bercerai! Abang dah tak boleh hidup macam ni lagi. Abang tak boleh terima pompuan yang papa pilih untuk abang ni, abang tak boleh! Abang cintakan orang lain!” Keras suara yang dilantunkan Amzar.

Amzar mengerling ke arah Izara yang duduk di sofa tunggal di ruang tamu kondominiumnya. Benci dia akan perempuan yang menyandang gelaran isterinya itu. Benci akan ketenangan yang sentiasa dipamerkan oleh gadis itu walau apa pun yang dilontarkan ke arahnya.

“Abang... papa tak faham. Abang baru tiga bulan kahwin dengan Zara. Apa yang tak kena?” soal Datuk Arifin. Isteri di sebelah masih tidak bersuara.

“Semua tak kena, pa. Abang nak tengok muka dia ni pun abang tak selera. Abang dari mula tak nak kahwin dengan dia ni, tapi mama dan papa yang paksa!” Amzar menuding jari ke arah orang tuanya.

“Zara...” seru Datuk Arifin lembut.

Izara menongkat wajah. “Ya, pa?” balasnya perlahan.

Datuk Arifin kelu seketika tidak tahu bagaimana mahu bertanya. “Zara macam mana?”

“Talak terletak kat tangan suami, pa. Zara serahkan semuanya pada Abang Am, kalau itu yang dia mahukan...” Tenang suara yang lahir dari bibir Izara. Namun hatinya yang hancur tiada siapa yang tahu.

“Abang, papa merayu! Fikir masak-masak keputusan abang ni. Apa kurangnya Zara? Zara cukup sempurna untuk abang...” Datuk Arifin cuba mengubah keputusan anaknya yang dirasakan langsung tidak wajar. “Abang baru sangat kahwin. Abang pernah tak cuba nak terima Zara?”

“Abang dah fikir masak-masak dah, pa. Keputusan abang muktamad. Abang akan ceraikan dia!”

Tangisan Datin Khadijah kini sudah tidak dapat dikawal lagi. Terenjut-enjut bahunya.

Izara bangun dari duduknya dan menghampiri ibu mentuanya. Dia duduk bersimpuh di sebelah kaki Datin Khadijah lalu melabuhkan tangan di atas lutut wanita itu. Luluh hatinya melihat si ibu mengalirkan air mata.

“Mama... jangan nangis, ma...” pujuk Izara. “Semuanya akan baik-baik saja...”

Datin Khadijah mengusap kepala menantu kesayangannya. Rasa bersalah mencengkam dada. Rasa yang dia yakin tidak akan pudar selagi nyawanya dikandung badan. Sebaris ayat pun tidak mampu diucapkan. Pendedahan yang dilakukan anak sulungnya ini tidak dapat diterima akal mahupun mindanya.

Meluat Amzar melihat isterinya cuba menenteramkan mamanya. Entah apa yang dipandang kedua orang tuanya pada isterinya pun dia sendiri tak tahu. Huh!

“Zara... Zara nak pergi mana lepas ni? Duduk dengan papa, ya?” pelawa Datuk Arifin dengan nada yang tewas. Pelawaan yang semakin membakar hati Amzar.

Takpe, pa. Biar Zara balik ke kampung je,” tolak Izara lembut. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Biarlah dia kembali ke tempat asalnya. Orang dah tak mahu. Takkan nak dipaksa.

Amzar mencemik. Bagus! Lagi jauh dia berhambus daripada diri serta keluarganya lagi puas hatinya.

“Mama...” esak Datin Khadijah. “Mama tak nak kehilangan Zara...”

Izara sedaya upaya menahan tangis yang kian menerpa. Sedar betapa dia disayangi oleh keluarga mentuanya, walaupun suami sendiri begitu membenci.

“Mama... pertalian kita takkan putus, ma, sampai bila-bila. Walaupun Zara bukan isteri Abang Am lagi, mama tetap ibu Zara sampai bila-bila...”

Datuk Arifin tunduk. Kesal di hati, datang bertimpa-timpa. Segala-gala yang berlaku pada Izara kini tidak lain melainkan kesalahannya juga. Ingin sangat bermenantukan Izara. Namun, yang paling utama, dia seorang yang amat berpegang pada janji. Janji kepada ayah serta ibu Izara untuk menjadikan Izara menantunya tidak pernah dilupakan.

Namun kini... semuanya musnah...


Disebabkan dirinya, Izara bakal diceraikan! Ya Allah! Betapa hebat dugaan-Mu ke atas menantuku ini... Sesungguhnya dia tak bersalah... Sekelumit pun tidak. Yang bersalah hanyalah dirinya... dan Amzar...