Wednesday, 27 July 2016

Special Entry Gemalai Kasih - 9 June 2015

Effendi

“Papa… Ina teringin nak makan kek…”

Aku melipat surat khabar dan menoleh ke arah kanan. Wajah Ina dengan mata yang bulat menghadirkan senyuman di wajahku. Aku mengangkat Ina ke ribaku.

“Ina nak kek apa? Nanti papa pergi beli...”

Ina menggelengkan kepalanya. “Ina nak kek macam umi buat tu... Ina tak nak kek beli kat kedai...”

Aku tersenyum. Pantas kenangan Ina bersama-sama membuat kek coklat bersama isteriku, Lia, menari-nari di ingatan. Kenangan yang cukup manis. Semanis aising coklat yang masih terasa di lidahku hingga ke saat ini. Rasa yang tak mungkin ada tandingannya. Hanya kerana keberanian Lia menawarkan kemanisan itu dengan jarinya, tidak mungkin aku bisa merasa nikmat menjamah kek lain selain apa yang Lia pernah sajikan untukku.

“Umi mungkin tak larat la Ina...” pujukku lembut. Dalam keadaan Lia yang mengandung, tidak mungkin aku mahu menyusahkan Lia begitu.

“Umi tak larat apa?”

Aku berpaling. Wajah Lia yang sedikit lesu menangkap simpatiku. Dia melabuhkan duduk rapat di sisiku. Kepalanya dilentokkan manja ke bahuku. Lenganku dipaut rapat ke dada. Sejak Lia disahkan mengandung, sifat manjanya berganda entah berapa kali. Asyik mahu menempel di sisiku. Aku yang boleh dikatakan agak ketandusan kasih sayang daripada seorang isteri selama ini, hanya mampu berdoa agar sifat manjanya ini dan rasa ingin selalu dekat denganku tidak akan berakhir setelah dia melahirkan nanti.

“Ina nak kek, umi... kek yang macam umi buat masa birthday umi dulu...” rengek Ina.

“Lia... kalau Lia tak larat, tak payah la turutkan... abang tahu Lia tak berapa sihat sangat...” ujarku sebelum sempat Lia membalas permintaan Ina itu.

Lia mengangkat kepala dari bahuku. Dia mengusap pipi Ina perlahan. “Ina, hari ni umi tak larat nak buat kek... kepala umi ni pening dari pagi tadi. Kita cuba esok kalau umi dah sihat sikit ya?” pujuk Lia dengan wajah penuh merayu.

“Umi pening kepala ke?” soal Ina penuh simpati.

Lia menganggukkan kepala.

“Kenapa papa tak picit kepala umi? Papa tak kesiankan umi ke? Papa tak sayang umi?” soal Ina bertalu-talu.

Aku dan Lia berbalas pandang. Agak lucu kurasakan soalan-soalan daripada Ina itu. Tidak kesian? Tidak sayang? Kerat tangan la kalau tak sayang!

“Mestilah papa sayang. Tadi papa dah picit kepala umi, tapi papa berhenti lepas umi tertidur...” Aku menurunkan Ina sebelum menarik Lia agar melabuhkan kepalanya ke atas pahaku. “Meh, baring sini. Abang picit kepala Lia...”

Lia akur. Matanya terpejam. Kerutan di dahinya menunjukkan kesakitan yang dialaminya bukanlah sedikit.

“Kesian umi... ni semua adik punya pasal...” marah Ina.

“Jangan marah adik, sayang... adik tak bersalah...” balas Lia perlahan dengan mata yang masih terpejam. Tangannya mengusap perlahan perut yang semakin menampakkan bentuknya.

“Habis tu? Papa ke yang bersalah buat umi macam ni?” soal Ina masih tidak puas hati.



Aku tergamam. Tangan yang memicit kepala Lia pegun seketika. Mata Lia turut tercelik. Seketika kemudian Lia ketawa halus. Ketawa yang seakan mengejekku.

Errr...”

Tawa Lia semakin kuat. Aku menjelingnya geram. Pipinya kucubit perlahan. Lia kembali duduk. Matanya bersinar dengan cahaya kebahagiaan. Bibirnya merekah dengan senyuman meleret. Suka agaknya melihat aku terkial-kial mencari jawapan yang sesuai bagi pertanyaan Ina.

“Sampai hati papa buat umi pening kepala macam ni... papa kata papa sayang umi!” tuduh Ina lagi. Dia bercekak pinggang konon mempertontonkan marahnya.

“Ya, sayang... sebab papa sayang umi la umi pening kepala macam ni. Tapi umi sikit pun tak marah pada papa sebab umi pun sayaaaang sangat pada papa... dan sebab papa sayang umi, Ina akan dapat adik tak lama lagi... Umi rela pening kepala hari-hari macam ni asalkan papa tak berhenti sayang pada umi...” Lia membalas bagi pihakku.

Redup pandangan Lia berlabuh ke wajahku. Manis senyumannya membuat aku pantas menariknya ke dalam pelukan. Berhenti sayangkannya? Sesuatu yang mustahil! “Papa takkan berhenti sayang pada umi, ever!! Sama macam papa takkan berhenti sayang Ina...” janjiku. “Thanks, sayang selamatkan abang...” bisikku perlahan ke telinga Lia. “Nanti abang kasi upah...”

Lia mencium pipiku mesra. Pipiku diusap perlahan. Hangat terasa sehingga menggetarkan dadaku. Kalau Ina tiada di situ, sudah tentu aku akan membalas perlakuan Lia itu dengan berlipat ganda lagi...

Lia menarik tangan Ina agar mendekati kami berdua. “Umi pun sayang Ina jugak tau!!” lafaz Lia. Mungkin tidak mahu Ina rasa tersisih.

“Ina tahu, umi... hari-hari umi cakap pada Ina...” ungkit Ina. “Okeylah, Ina nak tengok TV...” pantas Ina lari meninggalkan kami bersendirian di ruang tamu itu.

First time Lia tengok abang tak dapat nak jawab soalan Ina...” sindir Lia. “Memang pun pening Lia ni abang yang buat kan?” Lia menjeling manja. “Semua salah abang!”

“Yalah, yalah! Memang salah abang! Kesalahan yang abang jamin abang akan ulangi... lagi dan lagi...” bisikku menggoda. Aku menjongket-jongket kening. Sengaja mengusik Lia...

Lia ketawa. Pipiku ditolak manja.

“Abang harap Lia akan dapat bertahan dengan sakit pening ni semua... Lia pun nak anak lagi lepas ni, kan?”

Pantas Lia mengangguk. “Lia rela dapat sakit pening macam ni sebab tahu punca kesakitan Lia ni, tak lain kasih sayang abang...”

Aku menekup pipi Lia. Terharu dengan kata-katanya. Sesungguhnya dia begitu reda dan sabar dengan segala apa yang dilaluinya kini. Tidak pernah sekali bibir bersungut. Dan aku pasti, segala kepayahan ini akan dibalas dengan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun sementara di dunia, ganjaran yang mampu kuberi tidak lain daripada rasa cinta yang tidak berbelah bagi untuknya, kerana aku tahu Lia tidak pernah meminta-minta selain daripada cinta...

Of course! Semua yang abang buat, mesti dengan kasih sayang... tu Lia tak perlu nak sangsi. Takde satu pun yang abang buat untuk Lia kecuali sebab abang sayangkan Lia... dan sakit pening Lia ni bukti abang sangat-sangat cintakan Lia...” Aku melabuhkan tanganku ke perut Lia. Ya. Inilah bukti penyatuan cinta kami. Cinta yang lahir setelah tewas berperang dengan kedegilan hatiku sendiri. Cinta yang mungkin telah membenih sejak mula... Cuma aku sahaja yang tegar menidakkannya...

Lia menekup tanganku di atas perutnya. Matanya merenung jauh ke dalam mataku. Mata yang dari dulu tidak mampu menipu. Mata yang setiap saat akan memancarkan rasa terlalu inginkannya... dan yang sering mengemis rasa cintanya... Cintanya yang lembut bak sutera, yang hangat bak api membara, yang gemalai bak lenggok bicaranya...

“Lia tak perlukan bukti, abang. Kalau baby ni takde pun, Lia tetap percaya cinta abang hanya pada Lia seorang...”

“Betul?”

Hmmm... it’s so obvious from the way you look at me... Lia doa yang abang sentiasa akan pandang Lia daripada mata yang sama... yang memberi maksud yang sama...” pinta Lia.

“Sayang kan qurratu ‘ain abang... the coolness of my eyes... takkan abang boleh pandang Lia dengan pandangan yang berbeza... sebab abang hanya tahu nak pandang isteri abang sorang... cukup bagi abang...”

Lia tersenyum bahagia. Wajah yang lesu tadi kini bercahaya. Tidak jemu aku mengusap pipi mulusnya.

Tiba-tiba pantas dia bangun. Terkejut aku jadinya. “Eh, nak ke mana ni? Tadi kata pening kepala??”

“Jom buat kek? Lia nak buat kek yang super special... yang banyak aising...” Lia senyum nakal. “Abang nak?”

Aku menelan liur. Tawaran yang membuat aku semakin tidak senang duduk. Tahu maksud di sebalik kata-kata Lia itu. Aising? Emmm.... Aku menjilat bibir yang terasa kering. Aku bangun dan merapatkan wajahku ke wajahnya. “Abang nak... but not from your fingers this time...” bisikku perlahan. “I want it from your lips...”

Lia melarikan wajah. Pipinya yang semakin gebu memerah. Comel. Tanpa sepatah kata dia menarik tanganku mengekor langkahnya. Aku hanya menurut. Bawalah ke mana saja. Aku rela menjadi bayang-bayangnya...