Thursday, 28 April 2016

Rafique's Girl - Bab 15 (Akhir di Blog)

Kad nama D’Jammerz Music & Studio sekali lagi dibelek kemudian wajah didongak ke hadapan. Rafique mula berjalan. Kad nama diseluk ke dalam kocek kemeja. Pintu kaca ditolak dari luar. Seorang lelaki muda berimej rock yang sedang menyusun buku-buku muzik di rak mengangguk lalu tersenyum. “Selamat datang, Encik...”

Rafique sekadar mengangguk. Mata meliar ke kedai muzik kepunyaan Danial serta Joseph. “Danial ada?” soal Rafique.

Pemuda tadi berkerut seketika sebelum tersenyum kembali. “Oh, encik maksudkan Boy ke? Dia keluar pergi tapau nasi kejap. Kejap lagi dia balik. Encik duduklah dulu ya?” sopan pemuda tadi menuding ke arah sofa berangkai tiga di tepi dinding.

Rafique akur. Dia melabuhkan duduk. Nampaknya Danial hanya mahu dikenali sebagai Boy, tidak kira dalam kalangan keluarga, sahabat atau orang luar. Sangkanya dulu, Boy itu hanya panggilan yang digunakan oleh Dhamira. Rupa-rupanya, semua yang mengenali Danial menggunakan panggilan Boy. Aduh... banyak betul salah sangka dan buruk sangka yang telah dilakukannya sepanjang mengenali dua beradik itu.

Not bad...’ fikir Rafique melihat peralatan muzik yang dijual di kedai D’Jammerz ini. Dia tidak tahu sangat tentang muzik, tapi dia boleh agak yang Danial serta rakan-rakannya memang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ini. Dari tempat duduknya, Rafique mengamati gambar-gambar yang tersusun elok di serata dinding. Kebanyakannya gambar D’Jammerz ketika membuat persembahan. Rafique bangun. Ingin melihat dari jarak yang lebih dekat.

Ada gambar Anis sedang menyanyi dan ada juga gambar penyanyi yang tidak dikenalinya. Mungkin penyanyi lama sebab nampak Danial begitu muda lagi dalam gambar itu. Ada satu gambar yang menarik matanya untuk melihat dengan lebih teliti. Gambar Dhamira di atas pentas sedang menyanyi secara duet dengan Danial. Wajah gadis itu sangat ceria... sungguh bercahaya... senyumannya begitu memukau...

“Tu masa kita orang kat kolej...” Rafique berpaling mendengar suara yang agak dekat di belakangnya.  “Ada persembahan entah apa entah aku pun dah tak ingat...” sambung Danial memberi penjelasan tanpa diminta. Dia berlalu ke kaunter. Meletakkan bungkusan nasi yang baru dibeli ke atas meja.

“Chot, nah... nasi kau...” tutur Danial kepada pekerjanya.

“Terima kasih, bos muda...” sengihan meleret dihadiahkan kepada Danial.

“Banyaklah kau punya bos muda. Dapat makan free je terus panggil aku bos muda, ya?” sindir Danial. “Dah pergi makan kat belakang!”

Hai! Bos yang keluar belikan makanan untuk pekerja sendiri? Baiknya!

Lelaki yang dipanggil Chot tadi terus mencapai bungkusan plastik dari atas meja dan berlalu. Pintu di bahagian belakang kedai dibuka.

“Kau nak apa datang sini? Nak beli gitar ke?” duga Danial. Kedatangan Rafique ke kedainya tidaklah memeranjatkan sebenarnya. Dia tahu Rafique akan mencarinya. Selepas kejadian pada malam terakhir mereka di Cherating tempoh hari, mereka tidak lagi berkesempatan untuk berjumpa. Seawal pagi Ahad lagi Dhamira sudah mengajaknya pulang ke Kuala Lumpur. Enggan menunggu rakan-rakan yang lain untuk pulang bersama-sama.

Rafique mendekati kaunter. “Aku nak jumpa kau...”

“Jom masuk bilik aku. Aku panggil staf aku jaga kedai kejap...” Namun sebelum sempat Danial ke belakang untuk memanggil stafnya yang sedang menikmati waktu rehat, seorang pemuda Cina muncul daripada bukaan pintu yang digunakan Chot tadi. “Andy, jaga depan...” arah Danial. Lelaki tadi hanya mengangguk.

Danial membuka pintu di bahagian kanan kedai. Ada tangga menuju ke tingkat atas. Rafique membuntuti langkah Danial. Tiba di tingkat atas, Rafique mengerling ke arah kanan. “Tu studio,” jelas Danial. Danial berjalan ke hujung koridor lalu membuka pintu di bahagian kirinya. Bilik yang sederhana besar. Ada dua meja tersusun secara sebelah menyebelah dalam bilik pejabat ini. Danial mengambil tempat di meja bersebelahan jendela. Rafique meneka meja yang satu lagi itu milik Joseph.

Tanpa dipelawa, Rafique melabuhkan duduk di hadapan meja Danial.

“Kalau kau datang sini nak minta maaf pasal bengkak kat bibir aku ni, tak payahlah. Don’t bother! Aku tak rasa apa-apa pun. Lagipun tengok kesan merah kat pipi kau malam tu pun, aku dah puas hati... Kira kau dan aku dah 0-0 la...” terjah Danial mengungkit balasan yang diterima Rafique di tangan Dhamira kerana telah menumbuknya.

Rafique sedar Danial menyindirnya namun dia tak rasa apa-apa. Dia tahu mulut Danial begitu. “Apa pun, aku tetap nak minta maaf. Aku dah buruk sangka dengan korang berdua...”

Danial sekadar menjongket bahu.

“Aku nak jumpa Mira...” pinta Rafique seolah-olah meminta izin daripada Danial. “Nak minta maaf...”

“Hah yang tu susah sikit, bro. Mira tengah marah gila dengan kau. Muka kau pun dia tak nak tengok!”

Rafique menelan liur. Pemergian Dhamira dari Cherating tanpa sedikit pun mahu bertemu dengannya sememangnya memberikan isyarat yang nyata betapa gadis itu menyimpan rasa marah terhadapnya. Dan Rafique benar-benar terasa dengan ‘kehilangan’ Dhamira. Yalah... pergi bersama-sama, tapi pulang dengan orang lain... Shafika pun telah memberikan layanan yang amat dingin kepadanya pagi itu. Sepatah dua sahaja adiknya itu mahu berbicara dengannya. Itu pun apabila perlu... Rupa-rupanya Shafika tak bisa tidur semalaman kerana asyik dikejutkan oleh Dhamira yang terganggu dalam tidurnya. Sudah tentu gadis itu rasa tertekan dengan kejadian malam itu sehinggakan tidurnya tidak mampu lena. Dan Rafique tambah rasa bersalah...

“Kau tak payah jumpa dia la... Nanti aku sampaikan ucap maaf kau pada dia...” tawar Danial. Wajah Rafique diamati.

“Tapi tak sama...”

“Sama je... minta maaf jugak kan?”

Rafique menggeleng kepala. “Dia kat mana sekarang?”

“Keluar dengan Fika...”

“Oh...” Jeda. “Kenapa kau sengaja biar aku fikir yang bukan-bukan? Aku tahu yang kau tahu aku anggap korang berdua kekasih...”

“Bukan kau sorang je yang fikir macam tu. Dan aku tak pernah kisah apa orang fikir tentang aku dengan Mira. Keselamatan dia, hati dia dan kebahagiaan dia lebih penting daripada apa yang orang lain fikir tentang kita orang berdua!” Tajam mata Danial menikam ke mata Rafique.

“Keselamatan dia? Is she in danger?” Berkerut wajah Rafique. Kenapa semua yang dikenalinya dalam bahaya? Mula-mula keluarganya. Kini Dhamira juga?

You’ll never know. Macam-macam orang gila kat luar sana tu...” balas Danial memberikan jawapan yang selamat. Termasuk Damia yang merupakan ibu kepada semua yang gila di luar sana.

“Kau nak lindungi dia daripada siapa?”

“Lelaki dan perempuan yang hanya tahu nak ambik kesempatan atas kebaikan dan kelemahan kakak aku tu...” Pertama kali Danial mengaku Dhamira sebagai kakaknya.

Rafique teringin sekali ingin bertanyakan tentang Damia dan Kuzim tapi dia tidak rasa yang dia mempunyai alasan untuk mengambil tahu. Dia bukan sesiapa dalam keluarga Danial. Dia tidak mahu dianggap cuba menjaga tepi kain orang...

“Kau buat dia macam dia tu budak kecik... Lagipun, dia tak nampak lemah pada aku...”

“Aku peduli apa? Dia tu amanah. Aku pernah gagal sekali dan aku tak akan benarkan diri aku gagal untuk kali kedua...” Bayangan Kuzim muncul di layar mata sebelum pantas Danial menghalaunya pergi.

Terjongket kening Rafique. Pernah gagal? Sebab itukah Danial amat berahsia tentang hubungan sebenarnya dengan Dhamira. Ah... lagi banyak maklumat yang diterima mindanya, lagi keliru jadinya!

“Aku ada kerja kat studio ni. Kau ada apa-apa lagi?”

Rafique menggelengkan kepala. Kepala yang tiba-tiba rasa berat dan bingung. “Takpelah kalau macam tu. Aku pergi dulu...” Tangan dihulur. Lama Danial membatu sebelum tangan Rafique disambut. Tidak perlu mengucap sebarang kata. Danial memahami permintaan Rafique yang menghulurkan salam perdamaian.

Entah mengapa melihat kelibat Rafique yang keluar dari biliknya membuat dia terdetik sesuatu. Dia yakin Rafique akan lekas-lekas mencari Dhamira. Lelaki itu tidak nampak seperti seseorang yang akan menangguhkan sesuatu perkara. Lihat sahaja hari ini. Baru sehari pulang ke Kuala Lumpur, lelaki itu sudah mencarinya untuk meminta maaf. Walaupun Rafique lelaki yang serius dan tegas, dan berbeza 100% jika dibandingkan dengan Kuzim, hatinya semakin yakin mengatakan dialah orang yang dicari selama ini.

Melihat kekuatan Rafique berlawan kata-kata dengan Damia, dia yakin Rafique dapat melindungi Dhamira. Rafique nampaknya tidak terkesan langsung dengan kecantikan Damia dan tidak kelihatan seperti mudah tewas dengan godaan wanita. Ya, Rafique tidak selemah Kuzim. Kuzim seorang yang lembut bicara, romantik dan mudah mempamerkan sifatnya yang penyayang sedangkan Rafique langsung tidak pandai menzahirkan kasih sayangnya, meskipun kepada adik-adiknya sendiri. Mulut Rafique lantang berbicara tanpa berlapik dan lidahnya setajam pedang samurai. Pada dasarnya, Rafique langsung tidak sesuai digandingkan dengan Dhamira, namun hatinya berdetik sebaliknya. Pelik...

Semoga hatinya tidak salah kali ini. Tidak sanggup lagi menanggung kesal untuk kali yang kedua...

********

“Shaf, Fika keluar pergi mana?” soal Rafique melalui talian.

“Entah, katanya nak cari barang untuk butik... Tapi dia kata tak lama...”

“Dia pergi macam mana?”

“Mira ambik dia kat rumah. Diaorang keluar lepas zuhur tadi. Nanti dah sudah, Mira akan hantar Fika balik... Kenapa, long?”

Takde apa-apa.”

Rafique mendengar adiknya mengeluh.

“Kenapa, Shaf?”

“Dari pagi Shaf asyik gelisah je la, long...” adu Shafique kepada abangnya. Dia tidak suka rasa begini. Dari kecil, apa-apa yang melibatkan kembarnya, dia akan berasa berat hati seperti kini. “Tapi Shaf tak tahu kenapa...”

Tegak telinga Rafique. “Shaf selalu ke rasa macam ni?”

“Kalau melibatkan Fika, ya. Kalau Fika rasa tak sihat, Shaf pun akan mula tak sihat walaupun Fika jauh. Hari yang Fika kena serang dengan Naqib dulu, Shaf rasa tak sedap hati macam Shaf rasa sekarang ni la. Ni yang Shaf risau sangat ni... Satu kerja tak jadi apa ni...”

Rafique mula berasa tidak sedap hati. Jangan dibuat main dengan intuisi atau gerak hati seseorang, lebih-lebih lagi jika melibatkan seorang daripada pasangan kembar. “Shaf, kau balik rumah sekarang. Along pun akan terus gerak ke sana...” Cuba sedaya-upaya untuk tidak memperdengarkan rasa cuak yang semakin mencengkam.

“Okey, long...” Shafique akur. “Nak Shaf call Fika?”

“Ya. Call Fika suruh balik sekarang!” arah Rafique sebelum talian dimatikan. Kereta dipecut ke arah rumah abi serta ibunya di Bangsar.

Monday, 25 April 2016

Rafique's Girl - Bab 14

“Sayang... abang bersyukur sangat Allah temukan kita. Dan abang happy sangat sayang dapat terima abang...”

Dhamira tertunduk malu.

“Abang tak sabar nak tunggu sayang habis belajar. Enam bulan je lagi kan?”

Dhamira mengangguk. “Kenapa abang tanya?”

“Yalah... abang serius dengan hubungan kita. Abang bukan nak main-main. Abang yakin dengan hati abang, jadi abang tak nak tangguh-tangguh walaupun kita baru je kenal. Dahlah abang nak rapat dengan sayang pun susah. Berapa lama abang cuba, tau? Banyak rintangan yang abang kena tepis terutamanya si Boy tu...” lembut kata-kata yang meluncur dari bibir Kuzim. “Abang nak ikat sayang cepat-cepat!”

Manis senyuman Dhamira. “Abang tak rasa Mira masih terlalu muda ke? Apa benda pun Mira tak tahu... Camna nak jadi isteri?” soal Dhamira malu-malu.

Takpe... abang tak kisah... Dah kahwin nanti, mesti semua pandai...” Kuzim mengenyit mata. Wajah Dhamira merona merah.

Kuzim memejamkan matanya rapat-rapat. Masih bisa terbayang di matanya betapa indahnya senyuman yang menghiasi wajah Dhamira setiap kali dia membicarakan soal masa depan. Ketika itu, dia memaksudkan setiap patah perkataan yang lahir dari bibirnya. Sumpah! Dia memang berniat menjadikan Dhamira suri hatinya. Walaupun beza umur mereka lima tahun dan Dhamira dirasakan masih terlalu muda dan kurang matang, dia tidak menghiraukan semua itu. Dia yakin Dhamira diciptakan untuknya...

Betapa sukar perjalanannya mendapatkan Dhamira. Danial enggan memperkenalkan Dhamira kepada dirinya walaupun diminta beberapa kali. Kali pertama Kuzim melihat Dhamira sahaja hatinya sudah terpikat. Maka didesaknya Danial, yang ketika itu sedang menjalani praktikal di syarikat tempat dia bekerja, untuk menemukan dirinya dengan Dhamira. Bermacam-macam alasan diberikan Danial. Namun Kuzim tidak berputus asa. Kesungguhan yang ditunjukkan akhirnya berjaya mengubah fikiran Danial. Dhamira berjaya jatuh ke tangannya...

Kuzim tersenyum sendirian. Manisnya saat-saat itu... Dapat memiliki sekeping hati yang pada mulanya begitu sukar untuk ditawan. Hakikat bahawa Dhamira masih belajar dan hanya berusia dua puluh dua tahun sedangkan dia sudah berumur dua puluh tujuh tidak diendahkan. Dhamira sangat-sangat istimewa. Dan dia tidak dapat mengelak daripada mengakui bahawa ada secebis rindu yang bertamu buat Dhamira di kamar hatinya...

“Sayang!” suara meleret di belakangnya membuat semua memori terus berlari pergi. Pinggangnya dirangkul erat dari belakang. “You buat apa kat balkoni ni? I balik pun you tak sedar...” rengek Damia.

Kuzim mengusap tangan yang melingkar di pinggangnya. “I tengah fikir pasal presentation esok. Tu yang I tak sedar you dah balik...” bohong Kuzim. “You dari mana ni?”

“Dari ofis klien. Model I buat hal masa shooting tadi. Mengada-ada betul. Stress I tau! Time I dulu, kalau tengah kerja, I betul-betul fokus. Takde nak main-main. Ni muda-muda lagi dah diva. Fed up betul! I pulak kena pujuk klien tadi...” ngomel Damia.

Kuzim memalingkan tubuhnya. Bahu Damia dipaut lembut. “Sebab you serius dalam kerjalah muda-muda lagi you dah berjaya ada modelling agency sendiri. Diaorang tu tak fikir masa depan. Asyik nak buat hal je...”

“Tulah... I penat sekarang ni. Tak larat nak keluar makan...”

“I pun malas nak keluar sebenarnya. Ingatkan nak minta you tolong masak apa-apa... I lapar...”

Damia membuat muka. “Buat sandwic bolehlah. Lain I tak larat...”

Aduh... Balik-balik sandwic. Kalau tak sandwic, salad. “I tak lalu la nak makan sandwic. I nak makan nasi...”

“Hesy you ni! You kan tahu I tak makan nasi! I kena jaga badan. Walaupun I dah tak jadi model, I have to look good in front of my clients. Kalau you nak makan jugak, nanti I potongkan salad untuk you, nak?”

Kuzim mengeluh. “Takpelah. I keluarlah kejap lagi cari apa-apa...” putus Kuzim. Tekak sudah tak dapat nak terima makanan ruji isterinya.

“Ikut suka you la. I nak berendam dalam tub kejap. Nak hilangkan stress...” Damia berlalu masuk ke dalam bilik. Baju ditanggal tanpa sedikit pun rasa malu. Kuzim melihat tubuh isterinya yang terdedah. Terus teringat kata-kata bakal suami Dhamira tempoh hari. Ya. Damia memang terlalu kurus. Ketika peluk, memang tiada rasa indahnya. Berbeza dengan Dhamira. Walaupun tubuh gadis itu kecil sahaja, namun tidaklah sekeping seperti Damia. Masih ada lekuk di tempat yang seharusnya ada lekuk. Astaghfirullah... Kuzim meraup wajah. Apa kena dengan aku ni?

Sejak pertemuan dengan Dhamira di Multi Mall, Kuzim sering membandingkan isterinya dengan Dhamira. Perbezaan dari segi personaliti, tabiat, kesukaan dan macam-macam lagi. Perbezaan yang begitu ketara sehingga terdetik beberapa kali persoalan sama ada dia telah tersilap memilih kaca akibat dibutakan dengan kecantikan dan nafsu. Akhir-akhir ini, kenangannya bersama Dhamira asyik singgah di ingatan. Kebencian Danial yang sedikit pun tidak pernah luntur, membuat perasaan bersalah yang menghimpit dadanya hingga kini, sukar untuk dilenyapkan.

Sudah dua tahun kecurangannya diketahui... dengan cara yang begitu memalukan bagi dirinya. Sudah dua tahun dia kehilangan Dhamira dan mencipta permusuhan dengan Danial. Sudah setahun enam bulan dia beristerikan Damia. Bahagiakah dia? Tidak disangkal yang ketika dia mula-mula mengahwini Damia, terasa diri amat-amat mencintai isterinya itu. Tapi... Mengapa hatinya terasa berat? Mengapa rasa bersalah terhadap Dhamira tidak mampu pudar walaupun adik iparnya itu sudah pun memaafkannya? Mengapa dia sukar memberikan jawapan sama ada dirinya benar-benar bahagia dengan Damia atau tidak?


Gagal mencari jawapan yang dicari, Kuzim pantas mencapai kunci kereta dari atas meja solek dan keluar dari emper mewah miliknya bersama Damia.

Rafique's Girl - Bab 13

“Lambatnya korang balik...” komen Dhamira. “Dari pagi keluar, dah senja macam ni baru balik hotel?”

“Amboi, kau ni dah boleh jadi bini dah Mira! Mengomel sebijik macam ibu aku!” Shafika ketawa sebelum tubuh dilempar ke atas katilnya. Fuh! Penatnya!

“Cis! Kureng!” cebik Dhamira. “Banyaknya plastik! Kau borong apa?” Dhamira memanjangkan leher mengintai bungkusan plastik yang dicampak Shafika tadi.

“Kita orang lama lepak kat Kemaman tadi. Dok tepi sungai... round kedai... borong keropok... makan... lepak...” Shafika duduk tegak di atas katil. “Tapi yang paling best, aku, Shaf dengan along banyak berbual tau hari ni... Banyak benda along nak tahu pasal aku dan Shaf. Macam-macam along tanya...”

Dhamira gembira melihat wajah Shafika yang berseri-seri. Alangkah bahagianya kalau Damia mahu melakukan perkara yang sama dengannya dan Danial. Tiba-tiba hati berdetik. Terfikir tentang Damia membuat Dhamira sedar yang dia masih belum mengucap terima kasih kepada Rafique kerana telah sudi ‘berlakon’ di hadapan Kuzim serta kakaknya tempoh hari. ‘Aduh... nak kena ucap terima kasih ke? Ni yang aku lemah ni...’
                                                                                                                                          
I’m so happy for you, Fika!”

“Aku happy sangat hari ni, Mira. Mamat sejuk beku tu macam dah cair sikit... bukan sikit tapi banyak...” gelak Shafika. “Tapi, pagi tadi aku nampak secebis daripada perangai along yang buat aku gelar dia mamat sejuk beku dulu...”

Berkerut dahi Dhamira tidak mengerti.

“Alah kau ni! Dengan Anis!”

Tegak telinga Dhamira jadinya. “Kenapa dengan Anis?”

“Dia cuba menggedik dengan along pagi tadi. Baik punya manja dia cuba menyendeng pada along, sebijik macam kucing Parsi nenek aku! Adeh... kesian aku tengok...”

“Kau ada kat situ ke masa tu?”

“Aku tengah tambah lauk kat meja bufet tu. Sambil-sambil tu, aku pasanglah telinga... Naik bulu roma aku siot... Tak cukup belajar lagi si Anis ni nak mengurat... nampak low class sangat...”

Kening Dhamira sudah terjongket. Tidak sabar mahu mendengar cerita panas ini.

“Hai... you tengok show I malam tadi kan?” Anis memulakan langkah. Suaranya sengaja dimanjakan. Terhenti tangan abangnya yang sedang menuang kopi ke dalam cawan. Abangnya cuma mengangguk kecil. “You nampak macam you enjoy sangat tengok I menyanyi semalam. Kalau you nak personal show, I sudi je nak bagi you yang special...”

Personal show? Adeh nak speaking London sangat kau dik!!’ fikir Shafika. ‘It’s private showlah!!’

Abangnya menjongket kening. Wajah masih serius. “No, thanks!” tolak abangnya. Masih sopan.

Anis semakin mendekat. “You tak nak belanja I minum ke? Kejap lagi I dah nak balik KL... Maybe we can drink-drink before I go?” Suara Anis sengaja dilembutkan.

Hampir tersembur tawa Shafika mendengar kata-kata gadis itu. Rosak, rosak... Minum-minum dah jadi drink-drink? Dengan suara serak-serak basah yang dimiliki Anis, memang menggoda ajakannya, kalau bukan kerana kerosakan bahasanya.

Kedengaran alongnya melepaskan keluhan kecil. “Maaf... Saya dah ada program...” Masih sopan.

Berubah sedikit wajah Anis namun dia pantas mengerling menggoda. “Kalau macam tu, biar I yang belanja you nak? You duduk KL kan? Maybe we can meet, talk-talk and go for fun?” ajak Anis tidak putus asa.

Kali ini Shafika menekup mulut. Lucu mendengar bahasa Inggeris yang seakan diMelayukan. Macam mana alongnya masih boleh kekal serius, ek?

“Dik, apa kata adik fokus je pada kerjaya adik, supaya adik lebih berjaya? Adik berbakat. Guna bakat adik untuk menyanyi, bukan untuk pick-up lelaki macam ni. Kalau adik takde rasa malu pada mak bapak cuba goda lelaki secara terang-terangan macam ni, malulah pada Tuhan dik...” Pedas!

Shafika melihat wajah Anis berubah kelat sekelat-kelatnya. Dia menghentak kaki sebelum berlalu. Egonya tercalar. Aduh... mulut abangnya boleh tahan tau. Manalah teman wanitanya dulu tidak lari?

“Padanlah aku tengok muka Anis merah semacam...” ujar Dhamira. Tentu gadis itu rasa malu disindir sebegitu.

“Kadang-kadang Anis tu memang patut kena ajar. Huh! Ada hati nak goda along aku! Cis! Kau tahu dia pernah cuba nak try Shaf?” soal Shafika.

“Apa? Shaf pun? Yang aku tahu, dia pernah cuba goda Boy!”

Shafika menggeleng kepala. “Apa nak jadi dengan si Anis tu. Kalau mak dia kat kampung tahu perangai Anis dah teruk macam ni, mesti mak dia sedih...”

Dhamira mengangguk tanda setuju. Ya, mesti Mak Cik Habsah sedih... melihat anak gadis yang dulu begitu kekampungan kini sudah berubah agak kebaratan. Sayang... kehidupan di kota mampu mengikis rasa malu dan nilai yang dititipkan oleh kedua-dua ibu bapa sepanjang lapan belas tahun hidup di desa.

“Okey, aku nak mandi... malam ni kita lepak pantai ek? Macam dulu-dulu...”

“Beres...”


Malam itu, mereka menikmati makan malam secara barbeku di perkarangan kolam renang yang menghadap pantai. Tinggal mereka berlima setelah ahli kumpulan D’Jammerz yang lain pulang ke Kuala Lumpur. Rafique cuba untuk menyesuaikan dirinya kerana dia tahu Dhamira serta si pemain gitar merupakan insan-insan yang penting dalam kehidupan adik-adiknya. Masa dan peluang yang diberikan adik-adiknya untuk mendekati mereka tidak akan disia-siakan. Biarlah matanya sakit melihat Dhamira duduk rapat di sebelah si pemain gitar. Biarlah perut rasa mual melihat si pemain gitar mengupas kulit udang untuk si gadis. Biarlah... Dia tahu kemampuannya untuk melihat semuanya itu di hadapan mata. Dia sudah menanam azam untuk tidak lagi berharap... atau berkeinginan sesuatu yang tidak mungkin akan menjadi miliknya...

“Aduh kenyangnya...” Shafique mengadu.

“Kau ni, Shaf. Orang dah lama berhenti makan tau! Kau tu je yang tak sudah-sudah...” ngomel Dhamira. Makan macam diri tu ada sepuluh perut tapi badan Shafique tetap maintain.

“Dah nama pun ‘all you can eat barbeque bufet’, aku makanlah...” balas Shafique selamba. “Bayar mahal-mahal tapi makan secoet je buat hape? Membazir je!”

Shafika serta Dhamira masing-masing menggelengkan kepala. Tak pernah berubah perangai Shafique ni. Kaki melantak!

Perut yang kekenyangan dibiar berehat seketika. Mereka kini sudah mengambil tempat agar jauh dari kawasan barbeku. Jauh daripada pengunjung hotel yang masih menikmati santapan di tepi kolam renang.

Danial melabuhkan punggung atas butiran pasir yang masih terasa hangat lebih kurang dua puluh kaki dari gigi air. Yang lain hanya menurut. Dhamira melunjurkan kaki ke hadapan. Dia duduk di antara Danial dengan Shafika. Bahunya disandarkan ke bahu Shafika. Danial sudah mula memetik gitar. Malam terasa sangat nyaman... damai... Bulan penuh yang menghiasi dada langit seakan begitu dekat sehingga terasa bisa dicapai oleh tangan...

“Boy... aku tengah mood jiwang ni, walaupun aku ni awek pun takde... Kau nyanyikan aku satu lagu, bro?” pinta Shafique.

“Apa kau ingat aku jukebox ke boleh main mintak-mintak lagu?” gurau Danial. Shafique ketawa. “Kau nak lagu apa?”

“Aku nak lagu Count on Me, Bruno Mars... Aku nak tujukan lagu ni khas kepada...”

“Diamlah kau!” hambur Dhamira. “Nak main tuju-tuju lagu pulak! Sengal!” Mengekek Shafique ketawa. Shafika turut sama gelak.

Rafique hanya memerhati. Duduknya di sebelah Shafique bertentangan dengan Dhamira, Danial serta Shafika. Terhibur dengan gelagat adik bongsunya yang seperti tidak cukup umur ini. Shaf, Shaf...

Dan Danial mula bernyanyi. Lagu yang ditujukan khas buat teman-temannya yang sentiasa ada tatkala sedih atau gembira... You can count on me, like one, two, three, I’ll be there...

Shafika memaut lengan Dhamira lalu kepalanya disandarkan ke bahu temannya itu. Menghayati bait-bait lagu yang menggambarkan perasaan mereka berempat. Sahabat seumur hidup! Susah atau senang, mereka akan teguh bersama. Dan apabila rangkap selepas korus mula dinyanyikan oleh Danial, Rafique mengetap bibir. Pandangan yang dihantar si pemain gitar ke arah Dhamira membuat dia panas punggung... If you ever forget how much you really mean to me, everyday I will remind you...

Dhamira tersenyum manis. Lagu ini memang istimewa. Sesuai dinyanyikan kepada seorang sahabat. Berkobar-kobar Dhamira menepuk tangan sebaik sahaja Danial tamat mendendangkan lagu permintaan Shafique tadi. Rafique mencebik di dalam hati. Eleh! Macam sedap sangat!

“Mira... aku rindu nak dengar kau nyanyi...” ujar Shafika perlahan sambil mengangkat kepalanya dari bahu Dhamira. “Dah lama sangat...”

Dhamira menelan liur. Berubah riaknya... Sayu...

Tak berkelip mata Rafique. Mengapa suara adiknya tadi kedengaran begitu sedih?

“Kau dah tak main gitar?” soal Shafika. Dhamira menggeleng. “Piano?” Geleng lagi. “Aku nak request kau nyanyi satu lagu boleh?” pujuk Shafika lembut. Mata Rafique, Danial dan Shafique tidak berkalih dari wajah Dhamira.

“Aku... aku...”

“Kita berlima je ada kat sini, Mira. Just us. Please?” Wajah penuh mengharap ditayang.

Dhamira menoleh ke arah Danial. Pada pandangan Rafique, Dhamira seolah-olah meminta izin daripada si pemain gitar untuk memenuhi permintaan Shafika, walhal sebenarnya dia hanya ingin mencuri sedikit semangat... secebis kekuatan...

Danial menyerahkan gitar kepada kakaknya. Kepala diangguk tanda bersetuju dengan permintaan Shafika. Dhamira mengambil nafas. Lama dia menyentuh tali gitar kepunyaan Danial. Membelek gitar itu seolah-olah tidak pernah memetiknya. Gitarnya sendiri sudah lama tidak berusik. Sudah berkarat agaknya! Hanya elok terletak di hujung kamar tidurnya. Dan jari-jemarinya mula menari-nari.

Merenung ke luar jendela, melihat kebesaran-Nya...

Suara lunak Dhamira yang melagukan lagu AdaMu, bisa membuat sesiapa yang mendengar tersentuh. Rafique seolah-olah dikembalikan pada suatu malam dulu, sewaktu pertama kali dia mendengar suara Dhamira. Suara yang telah menggegarkan jantungnya... suara yang telah membangkitkan suatu perasaan aneh di sanubarinya. Dan pada malam ini, suara itu sekali lagi membuat jantungnya berlari tidak menentu dan perasaan aneh itu hadir kembali mengetuk pintu hatinya.

Suatu malam dulu, Dhamira menyanyikan lagu-lagu rancak dan ceria, kecuali lagu Sedetik Lebih yang dinyanyikan dengan begitu mendayu-dayu. Dan pada malam ini, tubuh Dhamira memancarkan aura kesedihan... suaranya sayu, wajahnya pilu... Takkan gadis semuda ini bisa menyimpan kesakitan yang sebegini dalam?

Kerna Kau yang satu yang setia bersamaku, di kala ku jatuh ku bangkit kerna-Mu...

Mata Dhamira berkaca lalu dipejam rapat. Seribu satu kisah sedih berlayar di depan mata. Masih terasa sakitnya ketika dia jatuh dulu, dan bangunnya tidak lain hanyalah demi cintanya kepada Yang Maha Esa... Bangkitnya daripada jatuh yang agak panjang bukanlah suatu perkara yang mudah, namun dia berjaya juga. Dengan semangat yang dititipkan adik serta teman-temannya, dia kini sudah bisa tersenyum dan ketawa. Syukur akan nikmat-Mu, ya Allah...

Thanks, beb...” Shafika memaut bahu temannya. Pipi Dhamira dikucup penuh kasih. Dia sedar bukanlah sesuatu yang mudah untuk Dhamira menurut permintaannya itu. “Terubat rindu aku nak dengar suara kau...”

Dhamira berpaling ke arah Danial. Gitar kembali diserahkan kepada adiknya. Sempat Danial mengusap lembut pipi kakaknya. Basah. Kepala Dhamira diusap perlahan lagak memujuk seorang kanak-kanak kecil.

Korang ni boleh tak hormat sikit pada orang lain?”

Spontan empat kepala terarah ke wajah lelaki yang bersuara dengan agak keras tadi. Dhamira sedikit kecut melihat riak Rafique yang seperti seorang yang memendam rasa marah yang amat sangat! Tapi kenapa?

“Kau apa hal?” soal Danial dengan lagak samseng.

“Kalau kau tak boleh nak hormatkan dia sebagai seorang perempuan, hormatlah pada orang lain yang ada kat sekeliling kau! Korang tak malu ke?”

Shafika mengerling ke arah Shafique. ‘Is this it? Is this what we have been waiting for?’ Shafique menjongket bahu.

Danial meletakkan gitar ke tepi. Namun wajah Rafique tidak lepas daripada pandangan.

“Yang kau tak puas hati ni kenapa?” cabar Danial berani.

“Aku bukan sekadar sakit mata tengok korang dengan tak malunya bersentuh-sentuhan depan orang ramai, tapi aku pun dah terpalit dosa jugak sebab benarkan perkara mungkar berlaku depan mata aku! Korang dah tunjuk contoh yang tak elok pada adik-adik aku!” getus Rafique dari celah gigi. Dia sudah hilang sabar. Sejak hari pertama mereka diperkenalkan di Dewan Perdana Felda, si pemain gitar sudah menyentuh dan memeluk Dhamira tanpa segan-silu. Pedulilah kalau orang kata dia kolot tapi yang haram tetap haram. Dengan teman-teman wanitanya dulu pun, dia cukup pantang kalau ada yang mahu menyentuhnya atau berpimpin tangan dengannya. Sehingga ada yang sentap ditegur apabila gerak dan isyarat tubuh tidak difahami.

Matanya kini berkalih ke wajah Dhamira. “Awak ni pompuan jenis apa, hah? Biar je lelaki lain bebas menyentuh awak. Maruah awak, awak letak kat mana? Awak takde rasa malu ke?” Rafique menyerang Dhamira pula. Ingatkan mata dan hati mampu bertahan. Sikap ‘tidak endah’ yang ditanam sebelum ini tiba-tiba sahaja menghilang tatkala melihat Danial sekali lagi menyentuh Dhamira.

“Along!” celah Shafika dengan suara yang kuat. Telinga tak mampu lagi mendengar kata-kata pedas daripada abangnya. Pantas dia berpaling ke arah Danial. Mahu Danial segera membetulkan salah anggapan abangnya itu. “Boy... aku rasa kau patut...”

Shut up, Fika!” larang Danial keras. Tidak mahu Shafika membocorkan rahsia. Dia mahu Rafique memuntahkan segala amarahnya. Semoga semuanya bisa terlerai pada malam ini juga!

Hati Rafique sakit melihat wajah Dhamira yang jelas terluka mendengar tuduhannya. Namun dia tega dalam niatnya mahu membetulkan yang salah. Dia la yang paling tua antara mereka berlima. Tugasnya adalah untuk menegur dan dia tidak mahu adik-adiknya terikut dengan budaya bercinta yang salah begini.

How dare you!” Dhamira bersuara. Hatinya sakit. Sakit dituduh perempuan yang tiada maruah sedangkan Rafique tidak pernah bertanya hubungan sebenar antara dirinya dengan Danial. Lelaki itu hanya membuat andaian tapi tidak pernah mahu bertanya!

“Lelaki yang macam ni awak nak buat suami? Yang pegang awak sesuka hati?” Rafique meneruskan kata-kata. Jari dituding ke arah Danial.

So what? Takde kena-mengena dengan awak!” Keras suara Dhamira.

Rafique mengangguk. “Memang takde kena-mengena dengan saya. Tapi saya tetap ada hak nak menegur! Saya tak nak adik-adik saya buat benda-benda yang tak senonoh macam awak berdua ni! Awak nampak macam pompuan yang baik-baik. You don’t deserve a guy like him!” Pandangan penuh sindiran dihantar ke arah Danial.

Danial tersenyum sinis. “Oh... aku tak layak untuk Mira? Habis tu lelaki macam mana yang layak? Yang macam kau?” Giliran Danial menyindir.

“Ya, yang macam aku!” Tegas. Serius. Yakin.

Dhamira terkedu. Shafika ternganga dan Shafique tergamam. Danial masih begitu. Tersenyum.

“Aku yang tak malu atau kau yang tak tahu malu? Tak payah angkat bakul la, bro!” sindir Danial lagi.

“Aku tak malu nak berkata yang benar. Aku akan malu kalau buat sesuatu yang akan menjatuhkan maruah orang lain. Yang haram... Yang salah... Aku akan malu!”

“Boy!” Tegang suara Dhamira. “You’d better say something or I will!!” Panas hatinya. Bukan setakat panas. Sudah hampir hangus agaknya. Jika Danial tidak mahu membetulkan salah sangka Rafique, maka biar dia yang menuturkan kata. Apa pun, dia tidak betah membiarkan orang berkata macam-macam tentang dirinya. Ni la satu daripada keburukan terlalu ingin melindungi identiti diri sehinggakan hubungan sebenar antara dirinya dengan Danial pun tidak mahu diiklankan.

“Kenapa? Kau rasa kau ni cukup bagus untuk Mira?” cabar Danial tanpa mempedulikan bantahan kakaknya. Dia perlu meneruskan dengan misinya.

“Aku tak cakap aku bagus! Tapi aku akan jaga maruah perempuan yang aku sayang. Aku takkan sekali-kali heret dia dalam hubungan yang tercemar dengan dosa. Kau tak belajar agama ke hah? Dah tak tahu nak bezakan yang halal dengan haram? Kalau kau tak reti nak jaga, bagi aku yang jaga!”

Danial ketawa besar. “Korang tak cakap pulak yang abang korang ni ustaz. Sejak bila pandai nak usrahkan orang ni?” sindir Danial.

Sebelum sempat Rafique berfikir dua kali, dia sudah bangun. Seketika kemudian kedengaran suara Dhamira menjerit.

“Along!” pekik Shafika. Shafique bingkas bangun cuba menahan abangnya daripada terus menyerang Danial. Bahu abangnya dipaut.

Danial kekal duduk di tempatnya. Cecair di bibir dilap dengan kekura tangan. Riak wajahnya tidak berubah. Seolah-olah tidak terkesan dengan buku lima buatan tembaga Rafique. Bibir masih mengukirkan senyuman sinis.

Melihat bibir Danial sudah berdarah, tersirap darah Dhamira. Dia bangun. Riak Dhamira sukar dimengerti. Dia sudah hilang sabar.

Pang!!! Terteleng kepala Rafique. Tindakan yang tidak disangka-sangka.

Sekelip mata Dhamira hilang. Laju dia berlari meninggalkan kawasan pantai. “Mira!” jerit Shafika. “Ya Allah! Apa along dah buat ni?” Shafika menjeling abangnya tidak puas hati.

Danial ketawa sekali lagi. Hatinya puas. Bahunya ringan. Dia bangun menghadap Rafique. Bahu Rafique ditepuk beberapa kali. “You owe my sister one hell of an apology, bro!” Dengan kata-kata itu, Danial mencapai gitarnya dan terus melangkah. Meninggalkan Rafique yang kelihatan terkesima dengan kata-kata akhirnya tadi.

What the heck?

Shafique mengeluh. Berat dan panjang. Dengan tidak semena-mena bahagian leher baju-Tnya dicekak. “Shaf? Baik Shaf cakap dengan along! Mira dengan Danial tu siapa sebenarnya...” Rafique melepaskan geram pada adik lelakinya.

“Kenapa along nak marah pada Shaf?” soal Shafika perlahan. “Ada along tanya pada kita orang hubungan diaorang yang sebenar? Along yang tak pernah nak tanya sebelum ni, kan? Along yang buat andaian sendiri...”

Perlahan-lahan, Rafique melepaskan baju Shafique.

“Tak boleh ke along cakap elok-elok? Kalau ya pun diaorang salah, bukan macam tu cara nak menegur. Yang along nak marah sangat tadi tu kenapa? Macam Mira tu hak along pulak!” tembak Shafika. “Tak kisahlah along rasa along berhak menegur ataupun tak, tapi along pun berdosa sebab dah sakitkan hati orang lain!”

Giliran Shafika meninggalkan abang serta adiknya. Hati Dhamira mahu dipujuk. Keras betul kata-kata Rafique tadi. Keras serta tajam. Dia faham sekiranya Dhamira benar-benar terluka sekarang ni. Kalau dia pun, dia pasti akan menangis.

Lama mata Rafique bertumpu ke tubuh Shafika yang semakin menjauh. “Diaorang berdua tu adik-beradik?” soal Rafique perlahan. Terasa tubuh dihempap dengan beban yang sangat berat.

Shafique mengangguk.

“Kenapa selama ni takde siapa nak beritahu along?”

“Sebab along tak tanya... Tapi, kalau along tanya pun tak semestinya kita orang akan beritahu. Ada sebab kenapa life Boy dan Mira ni terlalu private. Shaf tak boleh nak cerita...” Shafique berterus-terang. Memanglah abangnya tidak pernah mahu bertanya, tapi kalaupun Rafique bertanya, mereka bertiga sebelum ini sudah berpakat untuk tidak mendedahkan apa-apa. Hanya Dhamira yang tidak tahu akan rancangan mereka bertiga sebelum ini.

“Mira tu adik?”

Shafique tergelak. “Semua orang ingat Mira tu adik, tapi sebenarnya dia kakak. Boy tu yang adik tapi sebenarnya diaorang berdua sebaya. Mira lahir bulan satu dan Boy bulan dua belas, tahun yang sama... Tapi sebab muka Mira macam baby, semua orang ingat Boy tu lagi tua...”

Why call her Yang?” Rafique ingin tahu mengapa Danial memanggil kakaknya begitu.

To protect her...” Dan Shafique menjelaskan sebab Danial memanggil kakaknya begitu di khalayak ramai. “Dari kecik Boy panggil macam tu sebab Boy dulu tak reti nak sebut ‘kak ngah’. Jadi dia panggil Kak Yang. Tapi depan orang ramai dia panggil Yang je. Dia tak mahu lelaki sembarangan dekat dengan Mira. Mira tu amanah arwah papa diaorang pada Boy. Tu je yang Shaf boleh beritahu. Yang lain, along kena tanya Boy sendiri...”

Rafique mengangguk. Penjelasan Shafique seakan sukar untuk diterima. Segala perlakuan antara Danial dengan Dhamira sejak kali pertama pertemuan mereka diulang tayang di minda. Kasih yang mendalam antara kedua-dua beradik itu rupa-rupanya telah disalahtafsirkan. Danial menjaga Dhamira lagak seorang abang yang terlalu ingin melindungi adiknya, walaupun Danial sebenarnya lebih muda daripada Dhamira. Babak di Multi Mall yang melibatkan kakak mereka Damia turut dikenang. Padanlah Shafika tidak menggunakan nama Danial sebagai bakal suami Dhamira ketika itu. Semakin banyak yang cuba dicernakan, semakin banyak yang masih menjadi tanda tanya. Rafique mengeluh.


Dia tahu dia perlu mencari Danial. Biar dia selesaikan niat untuk meminta maaf dengan si adik dulu. Si kakak... nanti-nantilah dulu...