Thursday, 19 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 18 (Akhir di Blog)

Pagi-pagi lagi Mastura sudah bertandang ke rumah Aina Yasmin. Jelas dengan riak wajah yang tidak puas hati dengan langkah bagai orang yang hendak berkawad sahaja. Menghempas-hempas kaki ke atas tanah. Macam sedang mencari mangsa yang ingin dipijak sahaja lagaknya. Dilihatnya Aina Yasmin sedang duduk bersendirian di atas gazebo di belakang halaman rumah. Kakinya terjuntai ke bawah sambil dihayun perlahan.

“Kau ni kenapa? Dari malam tadi aku call, asyik masuk voice mail je?” Tanpa salam Mastura terus menerjah. Mastura menghenyakkan punggungnya kasar di sebelah Aina Yasmin.

Aina Yasmin mengeluh. “Aku off phone. Aku takde moodlah nak pergi mancing…” nak tak nak sahaja Aina Yasmin membalas. Wajah kelat Mastura tidak ingin dipandang. Buat dia rasa bersalah saja nanti.

“Eleh… takde mood konon,” cemik Mastura. “Dia yang tak sabar-sabar nak pergi mancing! Tahu-tahu cancel. Budak-budak tu frust tau. Esok kita berdua dah nak balik KL. Entah bila boleh lepak dengan diaorang tu lagi…” Geram betul Mastura dengan kelakuan Aina Yasmin. Senang-senang je dia membatalkan rancangan mereka hari ini.

“Kalau kau nak pergi, kau pergilah, Mas. Takde aku pun takpe kan?” Dengan nada malas sahaja Aina Yasmin membalas. Nada yang membuat Mastura semakin membahang.

“Hesy, kau ni! Kau period ya??” teka Mastura. Dia tidak puas hati dengan perangai kawannya itu. “Kau yang off phone, aku yang kena menjawab dengan Abang Aazad tau! Bila dia pun tak boleh call kau, dia call aku!” bentak Mastura. “Senang je kau, kan? Dasar pengecut!”

Aina Yasmin menoleh ke arah Mastura. Rasa bersalah menerjah ke dalam diri. Sehingga kini dia masih belum menghidupkan telefon bimbitnya. Jadi, dia tidak tahu siapa yang telah mencuba menghubunginya sejak semalam. Entah berapa banyak missed calls agaknya!  “Sorry, Mas. Aku dah susahkan kau… Aku tensionlah!! Aku tak boleh nak fikir…Aku balik kampung ni, ingatkan nak tenangkan fikiran tapi sebenarnya fikiran aku bertambah kacau sejak semalam!” Dia langsung tidak berkecil hati pabila Mastura menggelar dirinya pengecut tadi. Sudah biasa dengan mulut Mastura. Dia tahu Mastura tidak memaksudkan dirinya begitu.

Mastura menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahulah dia mengapa Aina Yasmin bertindak membatalkan rancangan mereka hari ini. Tentu fikiran temannya itu kacau-bilau memikirkan apa yang terjadi semalam. Ditokok-tambah pula dengan kata-katanya sendiri kepada Aina Yasmin sebelum dia pulang semalam. Mereka diam membisu seketika. Setelah agak lama begitu, Mastura baru menyedari keadaan rumah Aina Yasmin yang sepi. “Mak kau mana? Senyap je? Abang-abang kau pulak?”

“Angah bawak mak pergi pasar. Along entah ke mana… Kata nak jumpa kawan.”

“Oh… Eh, ada orang datanglah…” Mastura menjengukkan kepalanya ketika melihat kelibat seseorang berjalan di ruang hadapan rumah. “Eh, Man dengan Pian rupanya…”

Aina Yasmin tidak berganjak dari tempat duduknya. Namun dia mengukirkan senyuman tatkala melihat kehadiran Lukman dan Sufian yang kian menghampiri mereka. Salam diberi dan dibalas mesra. Lukman dan Sufian mengambil tempat di bangku-bangku yang mengelilingi meja bulat berdekatan gazebo yang diduduki Aina Yasmin dan Mastura.

Apasal pagi lagi dah bertandang kat rumah aku ni?” soal Aina Yasmin. “Awalnya korang bangun?” sindir Aina Yasmin.

“Eh, awal ke ni? Dah nak dekat pukul sembilan dah pun…” balas Sufian. “Lagipun kita orang mana bangun lambat dah sekarang ni… Esok-esok bila dah kerja, lagilah kena bangun awal…” Matanya tidak berkalih dari wajah Aina Yasmin. Wajah yang bersih daripada sebarang solekan itu kelihatan begitu tulen dan cantik di matanya, walaupun sedikit tidak bermaya.

“Haaa… tahu pun!” sampuk Mastura.

Apasal cancel plan hari ni?” soal Sufian. Matanya masih galak memandang Aina Yasmin.

Mastura menjongket bahu. Dia menuding jari ke arah Aina Yasmin. “Cer tanya kawan kita kat sebelah ni… dia yang cancel. Aku on je…”

Alaaa… lain kalilah mancing, ya? Aku nak spend time dengan mak dan abang-abang aku la… Esok aku dah nak balik KL semula dah,” Aina Yasmin memberi alasan. “Lagipun, kat KL nanti pun kita boleh pergi memancing…” Aina Yasmin memberi isyarat kepada Mastura agar tidak bersuara. Biarlah Mastura seorang sahaja yang tahu gelora yang melanda jiwanya ketika ini. Tidak perlu dikongsi bersama yang lain.

Hmmmtakpelah kalau macam tu…” keluar juga suara Lukman.

“Eh, nanti bila kita orang dah dapat kerja kat KL, kita orang akan contact korang tau… Bolehlah bawak kita orang jalan-jalan kat KL tu nanti… Aku dah lama tak turun KL… Macam manalah rupa KL sekarang ni, ya?” Sufian menepuk-nepuk bibirnya dengan jari telunjuknya. Agaknya sedang membayangkan suasana banda raya Kuala Lumpur.
                                      
“Beres!” Mastura teruja. “Any time, bro…”


 “Assalamualaikum…”

Laungan suara yang sedikit kuat yang datang dari hadapan rumah membuatkan empat pasang mata terhala ke hadapan. Spontan mereka menjawab salam. Muncul kelibat Iqbal bersama ‘kawannya’, yakni lelaki yang telah menjadi punca kepada keadaan diri Aina Yasmin yang berkecamuk… ‘Oh, rupanya along pergi jumpa Abang Aazad… kata nak jumpa kawan…’

“Eh, ramainya! Korang ada meeting tergempar ke ni?” soal Iqbal sambil bersalam-salaman dengan Lukman dan Sufian. Ameer Aazad juga begitu. Iqbal menarik bangku dan menghulurkannya kepada Ameer Aazad. Iqbal mengambil bangku yang terakhir lalu duduk di sebelah Ameer Aazad. Aina Yasmin diam tidak berkutik.

“Kita orang boleh join ke?” Iqbal mengerling ke wajah adiknya yang sudah mengeruh. Dia pasti Ameer Aazadlah puncanya. Sejak semalam dia memerhatikan gelagat Aina Yasmin. Dia ingin tahu sama ada benar ataupun tidak telahan Ameer Aazad yang mengatakan adiknya itu menyimpan perasaan terhadapnya. Nampak seperti Ameer Aazad telah berkata yang benar. Namun jelas adiknya sedang cuba melawan perasaannya itu. Dia ingin meneliti adiknya lagi.

“Eh, takde apa-apalah bang… Saja je datang melepak kat sini, since plan nak pergi memancing dah tak jadi…” jelas Sufian. Setelah menjawab pertanyaan Iqbal, matanya dikembalikan ke wajah Aina Yasmin.

“Bila korang balik?” soal Iqbal lagi.

Emm... dah dua hari dah…” Sufian menjawab tanpa sedikit pun mengalihkan sorotan matanya. Aina Yasmin langsung tidak menyedari perhatian yang diberikan Sufian. Dia lebih banyak tunduk merenung genggaman tangannya. Namun pandangan mata Sufian yang ralit memerhati Aina Yasmin pantas sahaja ditangkap Ameer Aazad. Maklumlah, mereka menjamah ‘pemandangan’ yang sama.

“Baguslah. Abang bangga korang semua ni dah berjaya. Tak ramai anak kampung kita ni dapat pergi belajar sampai ke luar negara. Nak kata masuk universiti pun boleh bilang dengan jari je. Harap-harapnya korang berempat ni akan jadi contoh yang baik untuk budak-budak kampung yang lain. Jangan asyik nak merempit atau menagih dadah je kerja…”

Sufian dan Lukman sama-sama mengangguk, mengiakan pendapat Iqbal itu. Mastura serta Aina Yasmin tekun mendengar. Rasa terharu dengan kata-kata bangga yang dituturkan alongnya itu. ‘Agaknya kalau arwah abah ada, mesti arwah abah pun bangga…’ Aina Yasmin sempat berfikir.

So kenapa tak jadi memancing? Abang ingatkan korang dah pergi dah tadi…” Giliran Iqbal menanyakan soalan yang sama.

Aina Yasmin mengilas pandang ke arah Ameer Aazad yang masih tidak bersuara sejak tadi. Ameer Aazad dilihatnya sedang memandang Sufian dengan renungan yang sangat tajam. Seram Aina Yasmin melihatkan cara renungan itu. ‘Kenapa pulak tu? Macam tak puas hati je?’

Mastura, Lukman dan Sufian masing-masing menunggu Aina Yasmin yang memberi alasan kerana dialah yang telah membatalkan rancangan mereka pagi ini. Apabila Aina Yasmin memilih untuk terus berdiam diri, Mastura yang membuka peti suara. “Emm…lain kalilah bang. Kita orang nak lepak kat sini je dulu…” Ringkas.

Aina Yasmin memandang Mastura. Ucapan terima kasih dihantar melalui pandangan mata.

“Eh, korang tak minum ke? Adik? Kenapa tak buat air?” Malu Aina Yasmin ditegur alongnya. Tetamu yang datang tidak dijamu air. ‘Apa punya anak daralah aku ni?’

“Haah ya. Lupa pulak.” Aina Yasmin melompat turun dari gazebo. Selipar jepun disarung ke kaki. “Korang nak air panas ke sejuk?” sempat dia bertanya. Mempamerkan riak selamba. Padahal, Allah sahaja yang tahu apa yang cuba disembunyikan sejak kehadiran lelaki bernama Ameer Aazad tadi.

“Sejuklah. Tadi dah minum air panas…” pinta Sufian.

“Nak aku tolong ke?” soal Mastura.

“Eh, tak payahlah. Kau duduk jelah… Kejap je ni…” tolak Aina Yasmin. Dia cuba berlalu tanpa memandang ke arah Ameer Aazad. Dia tidak tahu mengapa lelaki itu diam sedari tadi. Langsung tidak mahu mencelah ketika mereka semua berbual tadi. Marahkah dia?

Aina Yasmin masuk ke dalam dapur melalui pintu belakang. Dia membuka peti ais dan mengeluarkan botol air kosong yang dingin untuk membancuh minuman sejuk. Dia meletakkan botol air ke atas meja.

“Kenapa matikan telefon?”

Aina Yasmin terkejut sehingga terangkat bahunya. Kus semangat! Langsung tidak menyedari Ameer Aazad mengekorinya masuk ke dalam rumah. Dia berpaling. Ameer Aazad menghampiri Aina Yasmin dari arah pintu. Dia menarik kerusi dan melabuhkan duduk. Wajahnya serius. Tegang.

Aina Yasmin berdebar-debar melihat si tunang yang nampak rugged dengan jean lusuh berwarna biru dan berbaju-T berwarna putih. Tentunya lelaki itu juga mahukan penjelasan pada soalan yang ditanyanya semalam dan juga tentang tuduhannya terhadap lelaki itu. Dia menelan air liur.

“Min tak nak diganggu…” Aina Yasmin berterus-terang. Dia berjalan ke arah kabinet dan mencari jus oren Sunquick. Kemudian tangannya ligat mencari jag. Dia membawa jag ke meja. Mata Ameer Aazad tidak lari daripada setiap perlakuan Aina Yasmin. Lembut betul tunangnya yang satu ini. Selembut sentuhan yang pernah singgah di wajahnya.

Ameer Aazad berdehem. Tidak mahu fikirannya melayang. “Min kan tahu abang nak call Min malam tadi? Min sendiri yang setuju, kan?” tajam matanya memandang Aina Yasmin. Kembali memfokuskan fikirannya kepada punca dia tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam semalam dan bukan terbuai dengan gerakan Aina Yasmin yang penuh gemalai itu.

Aina Yasmin mengangguk kecil. Terketar-ketar tangannya memegang sudu untuk membancuh jus oren. “Min mintak maaf tapi Min betul-betul tak nak diganggu malam tadi…” Dia masih tidak memandang ke arah lelaki itu. Takut.

“Kenapa?”

Aina Yasmin menggigit bibir. ‘Apa nak jawab ni? Nak tipu atau nak berterus terang?’

Aina Yasmin memilih untuk berterus-terang. “Sebab Min keliru, Min rasa tertekan dengan semua ni…” suaranya bergetar. Dia tidak tahu bagaimana reaksi Ameer Aazad mendengar penjelasannya. Dia masih tunduk.

“Maksud Min, tertekan dengan hubungan kita?” teka Ameer Aazad. Dia tidak puas hati tidak dapat melihat riak wajah yang disembunyikan gadis itu.

Aina Yasmin diam. Seakan hilang sabar, Ameer Aazad merenggut pergelangan tangan tunangnya yang sedang membancuh minuman. Terhenti gerakan tangan Aina Yasmin. Pantas Aina Yasmin memandang Ameer Aazad. Tergamam dia dengan tindakan lelaki itu.

“Min rasa tertekan dengan hubungan kita?” desak Ameer Aazad. Soalan yang sama diulang.

Lambat-lambat Aina Yasmin mengangguk. Dia melabuhkan kembali pandangannya. Ameer Aazad melepaskan genggaman tangannya.

Explain!” pinta Ameer Aazad. Serius. Tegang. Tegas.

Aina Yasmin mengeluh. Dia bergerak menuju ke peti ais semula untuk mengambil kiub-kiub ais. Dengan cermat dia meletakkan kiub-kiub ais tadi ke dalam jag.

“Susah Min nak jelaskan…tapi Min rasa abang boleh agak kenapa Min rasa tertekan…” Aina Yasmin memberanikan diri memandang Ameer Aazad. Pandangan matanya seolah-olah mencabar lelaki itu untuk menidakkan tekaannya.

Ameer Aazad melawan pandangan tunangnya. “Kenapa? Sebab abang tak sabar-sabar nak kahwin dengan Min? Sebab tu?”

Membulat mata Aina Yasmin. Tidak sangka yang Ameer Aazad akan terus mengaku akan tindakannya sejak akhir-akhir ini yang sering membangkitkan soal kahwin. Ameer Aazad bangun. Berdiri tegak di hadapan Aina Yasmin. Kini Aina Yasmin terpaksa mendongak. Ameer Aazad tunduk dan mendekatkan wajahnya ke muka Aina Yasmin. Nafas hangat Ameer Aazad singgah di wajahnya. Aina Yasmin terkedu. Dia cuba menjauhkan wajahnya. Hampir terlentok tubuhnya ke belakang.

“Memang abang tak sabar nak kahwin dengan Min. Min je yang tak boleh nak hadapi kenyataan yang Min ni akan jadi milik abang jugak satu hari nanti. Antara lambat dengan cepat je. Whether now or later, you will belong to me, I can promise you that, my dear! So why waste time? Why not marry me now?

Tercengang Aina Yasmin. Ikrar yang ditabur Ameer Aazad dengan nada yang begitu dalam dan perlahan membuat dirinya bagai terawang-awang di udara. Matanya terkebil-kebil memandang wajah tegang Ameer Aazad. ‘Dia melamar aku ke ni?’

Lama mereka bertatapan. Nafas Ameer Aazad kencang menahan gelora hatinya. Turun naik dadanya. Marah bercampur geram. Amat payah untuk dia mempertahankan benteng kesabarannya. Kalau tidak diingatkan tentang sifat Aina Yasmin yang cengeng, pasti amarahnya sudah diletuskan tadi. Marah memikirkan tentang Aina Yasmin yang mematikan telefon bimbitnya semalaman dan yang telah membatalkan rancangan mereka untuk bertemu hari ini tanpa sebarang alasan. Naik lenguh tangannya semalam mendail nombor telefon Aina Yasmin. Entah berapa puluh kali. Tidak termasuk pesanan yang dihantar tanpa sebarang balasan daripada gadis itu! Bernanah rasa di hati.

“Kenapa abang desak Min macam ni? Abang tak faham ke bila Min cakap Min belum bersedia?” lirih nada suara Aina Yasmin. Wajahnya merayu. Dia tidak tahan didesak dan berterusan didesak oleh Ameer Aazad.

“Sampai bila?” nada suara Ameer Aazad sudah mengendur. Tidak sampai hati melihat wajah Aina Yasmin yang keruh berbaur sayu. Memang itu kelemahannya. Tidak, bukan itu. Gadis itu merupakan kelemahannya. Segalanya tentang gadis itu merupakan kelemahannya!

“Min tak tahu... tapi Min ingat Min ada lebih daripada lima bulan lagi untuk fikir tentang kita?”

Ameer Aazad mengeluh. Seakan tidak sanggup menunggu tamatnya tempoh enam bulan yang dia sendiri telah tetapkan.

Fine! But if you change your mind, I’m readyNo questions asked, Min. I promise you. Just say the word and I’ll take care of everything…” ujar Ameer Aazad.

Aina Yasmin melarikan pandangan. Mendoakan agar Ameer Aazad tidak mendengar larian jantungnya yang asyik dup dap dup dap dari tadi. Aina Yasmin menarik nafas dalam-dalam bagi menenangkan kembali perasaannya. Sesuatu yang mustahil! Takkanlah dirinya sanggup mengaku dirinya hendak berkahwin dengan Ameer Aazad dalam masa yang terdekat ini. Macam tak logik. Aina Yasmin menggelengkan kepalanya sekali. “Boleh tak Min sambung balik kerja Min ni?” pinta Aina Yasmin. Dia ingin melarikan diri daripada isu kahwin ini.

Ameer Aazad tidak menjawab namun dia menjarakkan dirinya dari Aina Yasmin. Aina Yasmin bergegas menyusun gelas-gelas di atas dulang. Sebelum sempat Aina Yasmin mengangkat dulang, tangan Ameer Aazad terlebih dahulu mengangkatnya. “Mehlah sini abang bawakkan. Min bawak jag air tu.” Ameer Aazad mula mengambil langkah.

“Abang?” seru Aina Yasmin perlahan. Ameer Aazad berpaling. Kelembutan cara panggilan gadis itu meredakan kepanasan hatinya secara automatik. Mudahnya!

Aina Yasmin menggigit bibir. Wajah lelaki itu ditatap. “Min mintak maaf pasal malam tadi…” Itu sahaja yang bisa dilafazkannya. Mengharap agar lelaki itu mengerti apa yang cuba disampaikan. Dia tahu dia bersalah. Hanya memikirkan tentang hati dan perasaannya tanpa sedikitpun memikirkan tentang orang lain.

Ameer Aazad mengangguk. “But you still owe me an explanation about your accusation that I lied last night. Abang tak lupa tu. Bila tiba masanya nanti, abang akan mintak penjelasan daripada Min…”

Seperti yang telah dijangkakan, Ameer Aazad tidak akan membiarkan panggilan daripadanya semalam berlalu begitu sahaja. ‘Gasaklah kau Min. Kau yang tuduh dia tipu bila dia mengaku yang dia tak pernah bencikan kau. Bersedialah dengan jawapannya nanti…’ Aina Yasmin sudah berdebar-debar hanya memikirkan tentang bakal tibanya waktu itu.

Ameer Aazad menyambung langkahnya namun tiba-tiba sahaja dia berhenti di pintu dapur yang menghadap ke halaman luar. Nasib baik Aina Yasmin sempat berhenti. Kalau tidak, pasti mukanya akan tersembam ke belakang tubuh lelaki itu! Ameer Aazad memalingkan dirinya menghadap Aina Yasmin sekali lagi dan merenungnya tajam. “Oh, cakap pada Pian yang abang akan korek biji mata dia kalau dia tak henti-henti tenung tunang abang… I don’t share what belongs to me! Faham??” Tanpa menunggu sebarang balasan, Ameer Aazad terus melangkah meninggalkan Aina Yasmin kaku di tempatnya.

‘Pian? Kenapa dengan Pian? Bila masa dia tenung-tenung aku?’ Aina Yasmin menelan liur. ‘I don’t share what belongs to me? Dia anggap aku ni dia punya?’ Kenapa hati rasa senang? Rasa damai dengan akuan yang dilafazkan?

Panggilan namanya dari luar mengembalikannya ke alam nyata. Dia mengatur langkah yang langsung tiada semangat.


2 comments:

  1. Min jangan jadi pengecut... ini semua realiti kehidupan kena hadapi jua... Min kena kuat hadapi ... jangan lari dari masalah... hadapi dgn ketabahan... Min pasti boleh... Aazad jangan mengalah... korek ja biji mata Pian tu... tahu org dah tunang kan... sengaja cari penyakit...

    ReplyDelete
  2. Hehehe Kak Sue... marah bebenor ya... Tq Kak Sue... Pian tu memang gatai!!

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....