Friday, 30 October 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 12

“Abang dah gila, ya?” Ini bukan kali pertama Ameer Aazad membangkitkan soal kahwin.

Ameer Aazad ketawa kecil. Lucu dia mendengar soalan daripada Aina Yasmin.

“Abang kenal ke Min ni siapa? Abang tahu tak yang Min ni masih seperti dulu? Yang tomboy, yang lasak, yang minat memancing, yang suka panjat pokok… abang jangan ingat sebab rupa Min dah berubah, perangai Min pun dah berubah!!” Aina Yasmin tidak tahu lagi bagaimana hendak menyedarkan Ameer Aazad. Jenuh sudah dia menyatakan hal yang sama. Sebelum lelaki itu menyesal di kemudian hari, baik dia berterus-terang sahaja.

Terus mati senyuman dari wajah Ameer Aazad. Ternyata Aina Yasmin masih tidak memahami kata-katanya melalui talian telefon baru-baru ini.

“Min tak nak abang menyesal. Abang dengan Min memang macam enggang dan pipit. Abang tak salah dulu bila abang cakap yang Min tak padan dengan abang. Min sedar tu! Dan sekarang pun Min masih sedar. Min tak nak abang terikat dengan Min hanya sebab arwah abah. Arwah abah dah takde. Min…”

Stop it, Min! Just stop it!!” Ameer Aazad melepaskan rasa terkilan dari celah gigi. Dia tidak betah mendengar kata-kata Aina Yasmin yang penuh dengan rasa rendah diri, lalu dia mencelah. Dicapainya tangan Aina Yasmin dari atas meja dan digenggamnya erat.

Aina Yasmin terkedu. Dia kehilangan kata-kata. Tangan kecilnya tenggelam digenggam oleh tangan besar Ameer Aazad. Hangat. Dia cuba menarik tangannya namun gagal. Ternyata genggaman tangan lelaki itu terlalu kuat. ‘What the…?’

Tajam mata hazel Ameer Aazad menikam ke mata coklat cair Aina Yasmin. Entah mengapa kali ini renungan lelaki itu memerangkap Aina Yasmin. Dia tidak dapat melarikan matanya daripada ditatap Ameer Aazad.

How many times must I tell you? Berapa kali lagi abang nak kena jelaskan pada Min?” tegang suara Ameer Aazad. “Abang dah cakap yang abang terima Min seadanya! Abang tak kisah Min ni siapa! Min tak faham-faham lagi ke? Apa yang perlu abang cakap lagi supaya Min faham??” Ameer Aazad mencuba sedaya-upaya untuk mengawal nada suaranya. Dia menyedari kelemahan tunangnya itu dan tidak mahu Aina Yasmin menangis lagi. ‘Susah juga hendak bersabar ni rupa-rupanya!’ Selama ini dia tidak pernah kisah kepada siapa dia melepaskan barannya.

“Min nak abang buktikan? Sekarang jugak abang boleh buktikan. Kalau Min setuju, abang boleh terus jumpa mak dan abang-abang Min. Kita kahwin! Secepat mungkin!”

“Apa?” bisik Aina Yasmin. Suaranya sudah hilang entah ke mana gara-gara penangan Ameer Aazad. Dadanya terasa sempit. Ruang udaranya terasa sesak. Dia lemas.

“Min tak percaya pada abang kan? Min ingat abang masih macam dulu? Baik, sekarang abang nak buktikan pada Min yang abang bukan macam dulu lagi. Boleh?” cabar Ameer Aazad. Ketajaman renungannya bisa membelah dada Aina Yasmin.

Pucat wajah gadis itu. Sekiranya Ameer Aazad serius dengan niatnya, alamat ‘selamatlah’ dia. Bagaimana hendak bertentang dengan wajah ibunya yang tentunya penuh dengan seribu satu pengharapan?

Aina Yasmin menelan air liur. Perit. Pahit. “Abang kata enam bulan?”

“Itu masa abang nak bagi peluang pada Min untuk kenali abang dan abang sebaliknya. Tapi nampaknya macam Min tak bersungguh-sungguh nak bagi abang peluang tu. Min asyik bangkitkan perkara yang sama. Abang dah tak tahu nak buat apa lagi untuk yakinkan Min!”

Aina Yasmin tunduk. Kecut perutnya. Ternyata lelaki ini serius. Adakah ini balasan terhadap dirinya yang sering mengungkit tentang isu yang sama? Walaupun beberapa kali dia telah mendengar penjelasan daripada tunangnya itu, mengapa hatinya masih tidak dapat menerimanya? Terlampau dalam sangatkah luka yang dipalitkan lelaki itu?

No… jangan…” rayu Aina Yasmin. “Min belum bersedia…” Tangan yang digenggam Ameer Aazad ditarik perlahan. Kali ini Ameer Aazad membiarkan. “Min mengaku yang Min susah nak percaya yang abang dapat terima Min sebagai tunang abang. Apa yang abang cakap pasal Min dulu dah jadi sebati dalam jiwa Min. Dah jadi macam rekod tersekat kat dalam kepala… yang akan ulang-ulang main benda yang sama pada setiap masa. Bukan senang untuk Min lupakan hinaan abang pada Min dulu…” Aina Yasmin tunduk. Dia memilih untuk membuka perasaan hati. Biar Ameer Aazad mengerti mengapa dia begitu.

“Min hilang keyakinan diri disebabkan kata-kata abang tu. Walaupun Min pernah dengar macam-macam orang kampung cakap pasal Min dulu, kata-kata abanglah yang paling berbekas di hati Min… mungkin sebab abang tunang Min. Min tak tahu macam mana nak ubah tanggapan Min pada diri Min sendiri… Bila ada orang puji Min cantik, Min anggap orang tu penipu dan hanya nak main-mainkan Min. Bila ada orang kirim surat atau hadiah tanda mahu jadikan Min teman istimewanya, Min terus buang dalam tong sampah… sebab Min tak percaya ada orang boleh jatuh hati pada orang yang hodoh macam Min…”

Kaku tubuh Ameer Aazad mendengar rintihan tunangnya itu. Dia merasakan dirinya begitu hina sekali, begitu berdosa! Inilah akibatnya menuturkan kata-kata mengikut rasa… akhirnya badannya yang binasa! Betapa terseksanya Aina Yasmin selama ini… ya Allah! Bagaimana harus dia merawat luka yang telah ditaburkan terhadap tunangnya sendiri?

I’m so sorry….” bisik Ameer Aazad perlahan. Hanya ucapan maaf yang bisa dilafazkan berulang kali… Sedarlah dia mengapa Aina Yasmin sering membangkitkan isu yang sama setiap kali mereka berbicara. Gadis itu masih tidak dapat melupakan dan mungkin tidak bisa melupakan kata-kata nista yang pernah dihamburkannya dulu. “Please give me a chance to make it up to you…” Ameer Aazad merayu lagi. Sejak bertemu Aina Yasmin, hanya itu yang dia tahu. Meminta maaf dan merayu…

Sememangnya Aina Yasmin tiada pilihan. Dia telah pun bersetuju dengan ‘syarat-enam-bulan’ Ameer Aazad dan persetujuannya telah dimaklumkan kepada Hajah Amirah, Puan Shima serta abang-abangnya. Mana mungkin ditarik balik?

“Abang masih ada enam bulan…” Aina Yasmin mengangkat wajah. Dia ikhlas kali ini.

Ameer Aazad menghela nafas panjang. Wajah ayu tunangnya ditatap dengan penuh rasa terima kasih. Mata mereka bertaup. Tersekat nafas Aina Yasmin melihat pandangan daripada tunangnya itu. Pandangan yang seperti menghantar pesanan rasa sayang. Pandangan yang melekat terus ke hati.

Hati Ameer Aazad turut merasakan debaran yang sama. Debaran yang begitu asing bagi dirinya. Kini dia yakin dengan perasaan yang melanda sejak mula mendengar suara Aina Yasmin melalui telefon selama ini. Suara yang bisa membuat dia rindu. Suara yang bisa menggegarkan jantungnya. Tanpa wajah. Hanya suara. Dia tidak perlu berdolak-dalik lagi. Sememangnya, dia telah jatuh cinta… dan perasaan itu begitu mencengkam jiwanya...

***********

“Terima kasih, tunang abang sebab sudi temankan abang malam ni…”

Aina Yasmin mengangguk. Tangannya sudah sedia untuk membuka pintu kereta. Kereta Ameer Aazad sudah terparkir di hadapan rumah sewa Aina Yasmin.

“Min?” seru Ameer Aazad.

Aina Yasmin memalingkan tubuhnya. “Hmmm?”

“Abang nak bawak Min jumpa ayah angkat abang. He knows about you and he can’t wait to meet you.”

Dahi Aina Yasmin berkerut. “Min… Min seganlah…”

“Nak segan kenapa pulak… Papa okey. Dia nak sangat jumpa dengan Min…”

“Nantilah Min fikirkan… Rasa macam tak proper pulak.”

“Abang faham…” Ameer Aazad akur.

Kalau diikutkan adat, memanglah kurang manis kalau si gadis yang menziarahi keluarga si lelaki. Sepatutnya, ayah angkat Ameer Aazadlah yang datang ke rumah Hajah Amirah jika ingin bertemu dengannya. Eh, betul ke begitu? Rasanya itulah pesanan yang pernah dititipkan oleh Hajah Amirah dulu. ‘Perigi tak boleh cari timba dan perigi tak boleh terhegeh-hegeh pergi ke rumah si timba selagi keluarga si timba tak datang rumah si perigi dulu!’

“Abang?” Giliran Aina Yasmin menyeru tunangnya. Dia ragu-ragu untuk meneruskan dengan niat hatinya.

Hmmm?”

“Abang pernah tanya Min apa yang Min suka dan apa yang Min tak suka, kan?” Teragak-agak Aina Yasmin berbicara.

Ameer Aazad mengangguk. Wajah Aina Yasmin yang sedikit takut-takut ditatap lembut.

Aina Yasmin memberanikan diri menatap wajah Ameer Aazad. “Emmm… Min tak suka lelaki berjambang…” perlahan Aina Yasmin menyuarakan pendapatnya. Terluah jua.

Kening Ameer Aazad terjongket mendengar pengakuan tunangnya itu. Spontan juga tangannya naik ke muka. Menyentuh rahang dan pipi yang dipenuhi bulu yang sentiasa dijaga rapi. “Abang rasa kalau abang cukur semua jambang abang ni, Min tak sudi nak pandang muka abang…” Ameer Aazad berterus-terang. Pandangan jijik daripada teman wanitanya dulu sebaik sahaja dia sedar daripada koma selepas kemalangan yang menimpa dirinya, kembali ke ruang mata. Parut hodoh yang mencemar wajahnya perlu disembunyikan.

“Kenapa abang cakap macam tu? Abang nak sorokkan parut kat muka abang tu ke?” Dengan selamba Aina Yasmin membangkitkan tentang parut di wajah Ameer Aazad. Walau cuba disembunyikannya, seseorang itu masih boleh melihatnya, apatah lagi sekiranya Ameer Aazad berada dekat di hadapan mata.

Tersentak Ameer Aazad jadinya. Tidak pernah ada seorang pun yang berani menyebut tentang hal parutnya secara berdepan dengannya selama ini. Mereka cuma berani menyebutnya di belakangnya sahaja. Mengumpat dan mencerca. Dia kelu tiada jawapan.

“Nampaknya kita berdua sama je…” keluh Aina Yasmin.

“Maksud Min?” Ameer Aazad tidak mengerti.

We are both ashamed of how we look…”

Ameer Aazad menarik nafas. Kebenaran yang begitu menyakitkan. ‘Macam mana dia tahu?’

Aina Yasmin tersenyum tawar. “Dari kecik, Min tak pernah kisah pasal apa orang cakap pasal Min. Min pekakkan je telinga sebab Min sedar yang apa yang ada pada Min semuanya kurniaan daripada Allah. Sampailah hari lepas kita bertunang… bila Min dengar sendiri pendapat abang pasal Min… lepas tu barulah Min rasa malu… malu dengan paras rupa Min…”

Ameer Aazad memejamkan matanya. Tidak mampu memandang ke wajah sayu tunangnya. Malu dia dengan apa yang pernah dilakukannya dulu.

All this while, I let your opinion of me ruled the way I lived my lifenow you are doing exactly the same thing! You are letting other people’s opinion of your face rule your life! Don’t make the same mistakes I did… you’ll live to regret it…” Sebaik meluahkan kata-kata itu, Aina Yasmin melangkah kaki keluar dari perut kereta. 

Ameer Aazad tergamam di tempat duduknya. Dia melihat Aina Yasmin hilang di balik pintu utama. Dia berasa begitu terkesan dengan kata-kata Aina Yasmin. Bagai meramas-ramas jantungnya sehingga membuatnya tercungap-cungap seolah-olah ketandusan udara. Gadis itu baru berusia dua puluh tiga tahun. Enam tahun lebih muda daripadanya. Namun dia merasakan dirinya banyak kekurangan berbanding gadis itu. Gadis itu sebenarnya lebih tabah dan lebih kuat daripada dirinya.

Bertahun-tahun Aina Yasmin dicemuh dan dihina dek kerana dirinya yang tidak sempurna seperti gadis-gadis lain. Namun dia tetap tabah dan tidak pernah menyesali kurniaan Allah kepadanya. Sehinggalah orang yang menghinanya merupakan tunangnya sendiri. Berbanding pula dengan dirinya, dia baru sahaja menerima nasib yang sama sejak dua tahun yang lalu. Sekejap sangat jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilalui Aina Yasmin, dan semestinya tidak seteruk hinaan yang diterima Aina Yasmin. Dia hanya menerima pandangan jijik atau geli daripada orang yang pernah mengenalinya dulu. Mereka tidak berani mencemuh di hadapannya. Itu pun dia sudah terasa. Maka disembunyikan parut yang hodoh itu melalui tumbuhan bulu-bulu di wajahnya.

Kata-kata Aina Yasmin memang benar. Dia membenarkan pandangan orang lain mempengaruhi cara kehidupannya. Dia mula berubah sikap kerana perubahan dirinya ekoran daripada kemalangan itu. Dia memilih untuk menyisih teman-temannya kerana mereka terlebih dahulu menyisihnya. Mengapa? Hanya kerana kehadiran sebuah parut di wajahnya? Karut!!

Ameer Aazad akhirnya meneruskan pemanduan. Dia perlukan nasihat dan pandangan daripada seseorang yang begitu bermakna dalam hidupnya. Dia terus memandu…





Monday, 19 October 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 11

“Apa monyok je ni beb? Aku nak makan pun tak selera tengok muka kau macam ni!” Mastura menguis nasi di pinggannya. Dari petang tadi dia disajikan dengan wajah suram Aina Yasmin. “Kau kata nak citer dengan aku apa masalah kau ni. Aku dah lama tunggu kau bukak mulut ni, tau…” gerutu Mastura lagi.

Aina Yasmin memerhatikan kawannya mencapai gelas berisi air sirap lalu menghirupnya. Dia bangun lalu membawa pinggan yang hampir tidak berusik ke dapur. Setelah membuang sisa nasi dengan rasa yang amat berdosa dan mencuci apa yang patut, dia kembali ke meja makan. Dia menunggu Mastura menghabiskan makanannya. Sepuluh minit kemudian, Mastura mengajak Aina Yasmin ke ruang tamu.

“Kak Ti tak balik lagi?” Aina Yasmin menyoal sekadar berbasa-basi tentang kawan Mastura yang turut menyewa bersama-sama mereka.

“Belum. Lambat kut hari ni… Biasalah dia tu. Kalau ada closing account je, lambatlah dia balik…”

Aina Yasmin mengangguk. Kak Wati merupakan senior Mastura di UIA dulu. Mereka sama-sama menyewa di rumah teres itu sejak beberapa bulan yang lalu.

“Hah, cepatlah cerita!” desak Mastura.

Lambat-lambat Aina Yasmin memulakan ceritanya. Hanya pada Mastura dia boleh meluahkan isi hatinya. Walaupun mereka terpisah selama lima tahun lamanya, tiada apa pun yang dapat merubah tali persahabatan antara mereka. Mereka tetap berhubung. Mastura seoranglah yang tahu segalanya tentang Ameer Aazad, tentang rasa jijik dan benci lelaki itu terhadapnya, tentang mengapa dia mahu memutuskan pertunangan mereka sebelum ini dan tentang ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan lelaki itu. Mastura juga tahu tentang tekad Aina Yasmin yang masih akan memutuskan pertunangannya dengan Ameer Aazad selepas tamat tempoh enam bulan nanti.

“Jadi, lepas kau nangis kau terus blah?” tanya Mastura sebaik sahaja Aina Yasmin mematikan ceritanya.

“Yalah. Buat apa nak tunggu lagi? Baran rupanya dia tu. Ada ke patut dia cakap aku tipu dia? Eeeee… geram betul! Menyesal aku setuju nak bagi dia enam bulan! Kalau aku tahu dia ni cepat marah, tak hingin aku nak bertunang dengan dia!!” Aina Yasmin melepaskan geram. “Yang kau ni pun satu! Apasal kau tak bagi tahu aku dia tu CEO Warisan? Kalau aku tahu, sumpah aku takkan mintak kerja kat situ!” Lengan Mastura ditampar kuat, objek bagi melepaskan geramnya.

“Aduh! Sakitlah siot!!” Berkerut dahi Mastura. Lengannya yang terasa perit diusap laju. “Memang sengaja aku tak beritahu kau!”

“Kenapa?” Bengang.

“Sebab aku nak kau bagi peluang pada diri kau sendiri…”

“Peluang? Aku tak fahamlah! Sengajalah tu cakap tak nak kasi habis! Dari dulu macam ni… lembap!!” Aina Yasmin masih tidak puas hati. Seenak rasa dia mengutuk temannya sendiri. Rasa geram yang berbuku terhadap Ameer Aazad seolah-olah dilempiaskan kepada Mastura.

Mastura menjelirkan lidahnya.

“Cepatlah explain!!” pinta Aina Yasmin dengan tidak sabar. Matanya dijegilkan.

“Yalah, kau ni kan dah lebih lima tahun bertunang! Disebabkan status kau ni yang dah bertunang, kau tak pernah izinkan mana-mana lelaki lain dekat dengan kau, walaupun aku tahu kau tu ramai peminat. Kau setia pada Abang Aazad sorang je walaupun kat mulut kau kata kau benci pada dia. Kau tak pernah pandang remeh pada hubungan kau yang dah terikat dengan Abang Aazad. Aku rasa kau tak patut sia-siakan masa lima tahun yang kau dah korbankan untuk setia kepada Abang Aazad tu!”

“Maksud kau?” Berkerut dahi Aina Yasmin cuba memahami penjelasan daripada Mastura tadi.

“Lima tahun, Min! Lima tahun kau setia pada dia walaupun dia sering curangi kau! Kau tahu dia curang, tapi kau masih setia. Kenapa? Tapi sekarang dah terbalik. Kau tak nak kat dia tapi dia yang tak nak lepaskan kau! Jadi aku rasa kau perlu bagi peluang pada diri kau sendiri untuk mengenali tunang kau sendiri. Otherwise, aku rasa sia-sia je kau korbankan lima tahun daripada hidup kau untuk setia pada lelaki tu!”

“Aku setia sebab janji aku pada arwah abah dulu… bila arwah abah dah takde dan aku pun dah habis belajar, barulah aku rasa berani untuk putuskan pertunangan aku dengan dia!”

“Tapi aku tak percaya kau benci dia! Tanya diri kau sendiri, Min! Betul ke kau benci? Atau benci kat mulut tapi bukan di hati?” desak Mastura. Bukan dia tak kenal temannya itu. Dia mahu Aina Yasmin bersifat tulus kepada dirinya sendiri dan bukan membohongi hatinya sendiri begini.

Panas hati Aina Yasmin mendengar terjahan soalan-soalan daripada Mastura. “Kenapa kau tanya aku macam tu?”

“Sebab aku kenal kau bukan sebulan-dua! Aku kenal kau dah lama, Min! Dulu aku tahu kau memang ada crush dengan Abang Aazad!”

Merah muka Aina Yasmin. “Alaaah tu dulu, zaman masa kita budak-budak lagi… Sama macam kau ada crush dengan cikgu yang ajar kita subjek Sejarah dulu!! Takde bezanya! Aku dah takde perasaan tu lagilah!!” bidas Aina Yasmin bersungguh-sungguh.

“Buktikan!!” cabar Mastura.

“Maksud kau?”

“Kau dah setuju nak bagi dia enam bulan kan? Jadi kau kena ikhlaskan diri kau. Kau kena betul-betul bagi dia peluang dan kau kena bukak hati kau. Kau tak boleh bertahan pada niat kau yang masih nak putus lepas enam bulan nanti, seolah-olah enam bulan ni takde makna apa-apa pun buat kau. Kau kejam kalau macam tu, Min. Kau bagi harapan palsu pada dia! Kau setuju bagi dia enam bulan, tup tup kau putuskan pertunangan. Tu tak adil!!” bentak Mastura.

Riak wajah Aina Yasmin diulit rasa bersalah. “Aku... aku cuma kesian pada mak dan Auntie Shima. Diaorang macam mengharap sangat. Kalau tak pasal mak dengan Auntie Shima, aku takkan setuju dengan syarat dia…” Aina Yasmin mengaku dengan suara yang perlahan. “Lagipun dia yang kata takpe kalau aku nak putuskan jugak lepas enam bulan nanti…”

That’s wrong, Min. Apa yang kau buat tu salah! Kau main-mainkan perasaan orang... Apa bezanya kau hampakan harapan mak kau dengan Auntie Shima sekarang atau enam bulan dari sekarang? Diaorang tetap akan rasa kecewa dengan keputusan kau ni! Aku mintak maaf sangat-sangat sebab tak beritahu kau yang Abang Aazad tu CEO di Warisan. Tapi niat aku ikhlas nak bagi peluang pada kau. You owe it to yourself, Min! Auntie Shima kata dia dah berubah kan? Kau tak curious ke? Kau tak nak cuba kenali tunang kau sendiri? Aku rasa kau akan menyesal kalau tak bagi peluang tu pada dia dan pada diri kau sendiri!”

Aina Yasmin menggigit bibir. Dia tidak dapat menidakkan kata-kata Mastura itu. Memang dia nampak kejam kerana tidak pernah ikhlas ketika memberi persetujuan kepada ‘syarat-enam-bulan’ yang dikenakan Ameer Aazad. Di hatinya, dia telah pun meletakkan keputusan untuk putus jua walau apa pun terjadi. Sekurang-kurangnya dia boleh berkata kepada ibunya yang dia telah pun memberi peluang kepada Ameer Aazad tetapi hatinya masih tidak dapat menerima lelaki itu sebagai suaminya. Dia langsung tidak memikirkan tentang hati dan perasaan lelaki itu, hanya kerana lelaki itu tidak pernah memikirkan tentang hati dan perasaannya dulu.

“Min, lepas kau grad dulu, kau sengaja tak nak balik Malaysia konon nak cari kerja kat sana. Kau kata kau nak cari pengalaman dan kumpul duit sikit. Tapi sebenarnya kau tak berani nak berdepan dengan Abang Aazad kan? Kau sengaja lengah-lengahkan kepulangan kau ke Malaysia...” duga Mastura.

Aina Yasmin terkedu. “Mas... masa tu aku tak tahu apa yang perlu aku buat. Aku belum bersedia nak kahwin. Aku takut kalau aku balik, mak akan paksa aku kahwin dengan Abang Aazad sebagai menunaikan permintaan arwah abah. Aku takut nak mintak putus. Bila aku dah yakin dengan keputusan aku, barulah aku decide nak balik Malaysia...”

“Kau kan dah setuju dengan syarat Abang Aazad. Tapi aku tengok kau ni macam...” Jeda. Mata Mastura membulat seolah-olah baru mencernakan sesuatu. “Kau ni nak balas dendam, ya?” teka Mastura.

“Mana ada??” laju sahaja Aina Yasmin membantah. Dia tidak mahu mengaku. Rasa bersalah mula mencengkam jiwa.

“Lantak kaulah, Min. Kau nak tipu diri kau sendiri kau tipulah. Aku tak kuasa nak layan…” Mastura bangun. Bosan dia dengan sikap berpura-pura Aina Yasmin. Sebelum sempat dia berlalu, Aina Yasmin memaut lengannya dan menariknya agar dia kembali duduk di atas sofa.

Sorry, Mas. Aku tak tahu apa kena dengan aku sebenarnya ni… Aku takut sebenarnya!” lambat-lambat Aina Yaskin mengaku di hadapan temannya.

“Takut apa?” Kening Mastura bertaut.

“Takut akan timbul perasaan pada dia… Aku tak pernah jatuh cinta, Mas. Tahu-tahu kena bertunang dengan lelaki yang benci pada aku, yang pernah hina aku macam-macam. Hati aku sakit, Mas. Sampai sekarang masih terasa… Lepas aku tanamkan rasa benci ni sejak bertahun-tahun lamanya, aku takut kalau perasaan aku berubah jadi yang lain pulak… Aku takut, Mas!!”

“Kau takut jatuh cinta dengan Abang Aazad?” teka Mastura lagi.

Aina Yasmin mengangguk lemah. “Dari dulu aku cakap dengan diri aku, aku tak nak kahwin dengan lelaki ego, sombong, baran, yang tak tahu nak jaga perasaan orang lain dan yang pentingnya, aku tak nak kahwin dengan lelaki yang mementingkan paras rupa! Dia shallow, Mas. Dia rapat dengan along dan angah tapi pada masa yang sama dia benci pada aku hanya sebab rupa aku buruk! Tak secantik girlfriends dia dulu. Aku tahu dia rasa aku tak padan berdampingan dengan dia! Tapi sekarang, konon dah berubah! Sebab apa? Sebab aku dah tak buruk macam dulu?” Penuh emosi Aina Yasmin mencurah rasa.

“Min, dia mintak peluang kedua daripada kau sebelum dia tahu kau dah berubah. Kau jangan lupa tu! Dia sendiri kata dia tak kisah rupa kau macam mana, kan?” Mastura mengingatkan kembali. Dia tidak mahu Aina Yasmin berterusan bersangka buruk terhadap Ameer Aazad.

“Aku tak tahulah, Mas. Bukan senang aku nak lupakan kata-kata hinaan dia dulu. Aku rasa rendah diri selama ni sebab dia. Bila orang puji aku cantik, aku tak percaya! Aku anggap orang tu nak main-mainkan aku. Bila dia puji aku cantik, aku terus jadi benci! Aku benci bila orang yang dulu hina aku macam-macam boleh puji aku cantik sekarang!”

Mastura menggenggam erat tangan Aina Yasmin. “Dari dulu aku, Man dengan Pian tak pernah anggap kau buruk, Min. Hati kau yang cantik yang kita orang nampak. Kalau Pian atau Man tengok kau sekarang, mesti diaorang pun terkejut dengan perubahan kau. Kau memang cantik, Min. Percayalah…” Sedih Mastura setiap kali Aina Yasmin mengungkit tentang hinaan yang pernah diterimanya dulu. Bukan sahaja Ameer Aazad pernah menghinanya, kawan-kawan sekampung dan di sekolah juga sama. Mereka hanya memandang luaran Aina Yasmin sahaja.

Aina Yasmin diam.

“Apa kau nak buat sekarang?”         

“Entahlah, Mas. Aku tak tahu. Kalau boleh aku nak je berhenti kerja dari situ. Aku malas nak tengok muka dia tu. Dahlah ofis Warisan sama bangunan dengan Icon! Hesy! Rimas, tahu tak?”

“Eh, mana boleh? Penat-penat aku carikan kerja untuk kau, tau! Tahu-tahu nak berhenti! Banyak cantik!!” tempelak Mastura.

Alaaah… nak malu apanya? Kau bukan kerja kat situ pun!”

“Yalah, tapi aku kenal beberapa orang kat Warisan tu. Aku yang paskan CV kau pada HR. Malu aku tau bila orang yang aku rekomen cabut lari lepas tiga hari bekerja!! Kau jangan buat pasal!” Melayang-layang jari telunjuk Mastura di hadapan muka Aina Yasmin. Dia serius dengan amaran yang diberikan.

Aina Yasmin menjeling. Sebelum sempat dia membalas, telefon bimbitnya berbunyi. Nama ‘Along’ tertera di skrin.

“Assalamualaikum, along…” sapanya lemah.

Iqbal menjawab salam Aina Yasmin. “Dik, along ada kat luar rumah adik ni. Keluar kejap!”

“Hah? Along ada kat luar? Okey, jap!” Pantas Aina Yasmin melompat bangun dan berlari ke biliknya. Dia mencapai tudung express dan menyarungkannya. Tidak menghiraukan dirinya yang hanya berseluar sukan dan berbaju-T lengan panjang. Santai.

“Mas, along ada kat luar. Aku keluar kejap.”

Hmmm…” balas Mastura acuh tidak acuh. Dia mencapai majalah dari atas meja kopi.

“Tak nak jumpa along?” Aina Yasmin menduga. Dia masih mencari suatu jawapan tentang kewujudan suatu ‘hubungan’ antara Mastura dengan abang sulungnya itu.

“Buat apa?” Mastura bertanya. Riak wajahnya ‘blur’.

Takde apa-apalah… Aku keluar dulu…” Aina Yasmin hampa. Reaksi Mastura tidak seperti yang diharapkan.

Di luar pagar, Iqbal bersandar di bonet kereta Honda Accordnya. Aina Yasmin menyalami tangan abangnya dan memeluk sekejap lelaki itu. Lebar senyuman Iqbal dengan sikap manja adiknya itu. Dia merangkul bahu Aina Yasmin dan mencium dahi adiknya.

“Rindu, along!” Tiba-tiba diri terasa sebak. Rasa ingin menangis saja dengan kehadiran abangnya itu. Tatkala hatinya sedang sakit dan keliru, dia hanya ingin melihat wajah-wajah orang yang dia sayang. Mungkin kekusutan di dalam hatinya bisa lenyap. Kalau tidak lenyap pun, asal berkurangan sedikit pun tidak mengapa.

“Hei, kenapa ni?” risau Iqbal mendengar suara Aina Yasmin yang sedikit bergetar. Iqbal menjarakkan tubuhnya dari Aina Yasmin. Cuba mencari riak wajah yang disembunyikan adiknya itu. Lampu jalan yang malap tidak membantu.

Aina Yasmin pantas mengerdipkan matanya bagi menghilangkan sisa-sisa air mata yang tiba-tiba sahaja muncul sebelum sempat ditangkap oleh abangnya.

Takde apa-apalah! Along datang ni nape? Nak bawak adik keluar makan ke? Adik dah makanlah dengan Mas…” Aina Yasmin meneka. Dibuat-buatkan suaranya agar berbunyi ceria. Tidak mahu alongnya berfikir yang bukan-bukan. Jenuh hendak menjawab nanti.

“Taklah… along dari ofis ni… tak balik rumah pun lagi…”

“Padanlah bau acham!” perli Aina Yasmin. Tangannya dikibas-kibas di hadapan hidungnya. Memang Iqbal masih lagi berpakaian pejabat. Cuma tali leher sahaja sudah ditanggalkan dan lengan baju dilipat hingga ke paras siku.

“Banyaklah acham!” Iqbal menunjal dahi adiknya. Geram dia dituduh masam. Mana ada berpeluh pun. Duduk dalam bilik berhawa dingin sepanjang hari lagi! Lagipun, hari ni dia tidak turun ke site.

Aina Yasmin ketawa kecil. Dia menampar manja dada Iqbal sebagai balasan dahinya ditunjal tadi.

“Along datang bawak hajat!”

“Hajat? Hajat apa? Nak adik panggilkan Mas ke?” Aina Yasmin tidak faham. Masih mahu mengaitkan Mastura dengan abang sulungnya.

“Hesy! Nak panggil Mas buat apa? Along bawak hajat tunang tersayang!”

Berkerut dahi Aina Yasmin. Sungguh dia tidak mengerti kata-kata abangnya.

“Tu hah…” ujar Iqbal lagi sambil menuding jari ke arah belakang Aina Yasmin.

Aina Yasmin berpaling. Dia hanya melihat kereta BMW 7-Series berwarna putih dengan cermin bertinta gelap terparkir tidak jauh dari situ. Langsung tidak nampak siapa yang memandu. “Siapa?”

“Kan along cakap tunang tersayang…” Iqbal yang kini berdiri di belakang Aina Yasmin memaut kedua-dua bahu adiknya. “Tu, Aazad nak jumpa. Along bawak dia datang sini sebab dia tak tahu adik tinggal kat mana…” Iqbal menolak sedikit tubuh adiknya agar mengambil langkah ke hadapan. Tangannya di bahu adiknya dilepaskan.

Pada mulanya, tubuh Aina Yasmin terdorong ke hadapan akibat ditolak abangnya itu. Namun dia pantas mengambil satu langkah ke belakang. Kembali ke tempat asalnya tadi. Dia memalingkan wajah serta tubuhnya. Dia belum bersedia untuk berjumpa dengan lelaki itu sejak insiden yang berlaku tengah hari tadi.

“Along!! Kenapa along bawak dia datang sini?” Aina Yasmin tidak puas hati dengan tindakan abangnya. Geram betul dia! Mencerlung matanya memandang ke wajah Iqbal. ‘Pandai-pandai je along ni! Bukan nak tanya aku dulu!’

Tanpa sedarnya, Ameer Aazad membuka pintu kereta dan keluar dari perut kereta. Dia telah melihat setiap kelakuan dan gerak-geri Aina Yasmin sejak gadis itu keluar dari rumah tadi. Ada rasa cemburu menerjah di dada tatkala melihat gadis itu dipeluk Iqbal tadi, walaupun dia sedar Iqbal itu abang kandung tunangnya. Pantas dia cuba melenyapkan rasa cemburu itu. Ameer Aazad turut melihat aksi tunangnya yang memalingkan wajahnya sebentar tadi. Sudah pasti tidak sudi bertemu pandang dengannya.

“Aazad telefon along, mintak tolong along. Along tolonglah… kenapa panik sangat ni??” Ameer Aazad mendengar penjelasan Iqbal kepada Aina Yasmin. Seketika itu, Aina Yasmin dilihat menggeleng-gelengkan kepalanya. Ameer Aazad mengeluh. Dia sedar Aina Yasmin tidak mahu bersua muka dengannya. Mungkin masih terasa dengan apa yang berlaku di pejabat Icon Properties Sdn Bhd siang tadi. Dia mengatur langkah mendekati Aina Yasmin dan Iqbal. Dia berhenti melangkah dan berdiri kurang satu kaki dari Aina Yasmin.

“Min, abang nak cakap sikit dengan Min…” perlahan Ameer Aazad bersuara. “Boleh kita keluar sekejap?”

Aina Yasmin tidak berpaling. Dia masih berdiri berhadapan Iqbal dan membelakangi Ameer Aazad. Tubuhnya kaku.

Pelik Iqbal melihat kelakuan adiknya yang tidak mengendahkan Ameer Aazad. “Adik, Aazad tengah cakap dengan adik tu!” tegur Iqbal.

Tidak mahu abangnya mengesyaki sesuatu, dia berpaling. Terkejut melihat Ameer Aazad yang berdiri agak hampir dengannya. Seperti abangnya, lelaki itu masih berpakaian pejabat. Aina Yasmin masih diam.

“Min, jom kita keluar makan kejap?” ajak Ameer Aazad. “Abang dah mintak kebenaran along Min tadi, dan along dah izinkan.”

“Min dah makan dengan Mas… Min malaslah nak keluar. Min penat…” dalih Aina Yasmin. Dingin nada suaranya.

Iqbal menepuk bahu adiknya. Tidak gemar dengan cara adiknya membalas pelawaan Ameer Aazad itu, yang dirasakan sedikit kurang ajar.

Aina Yasmin melihat perubahan di wajah Ameer Aazad. Dia berasa sedikit bersalah.

Please, Min? Abang ada hal nak bincang dengan Min…” rayu Ameer Aazad.

Belum sempat Aina Yasmin menjawab, Iqbal mencelah bagi pihaknya, “Pergilah dik. Sekejap je. Pergi ikut Aazad. Nanti Aazad hantar adik balik.” Iqbal memandang Ameer Aazad pula. “Jangan lambat sangat ya, Zad? Tak manis!”

“Aku janji, Bal. Aku nak jumpa Min kejap je,” tutur Ameer Aazad. Iqbal mengangguk.

Aina Yasmin mengilas pandang ke jam tangannya. Baru menginjak ke pukul 8.15. Awal lagi sebenarnya.

Tanpa pilihan Aina Yasmin mengangguk. “Tunggu kejap. Min nak ambik purse.”

Sambil Aina Yasmin masuk ke dalam untuk mengambil dompetnya, Ameer Aazad berbual kosong dengan Iqbal. Sudah agak lama mereka tidak berkesempatan untuk berbual seperti dulu.

Di dalam rumah, Mastura menegur. “Hoi! Kenapa muka macam asam boi je ni?”

Aina Yasmin mengeluarkan dompet dari tas tangannya. “Abang Aazad ada kat luar la. Dia ajak aku keluar. Ada hal nak bincang katanya… Aku malas, tapi along pulak yang melebih-lebih suruh aku ikut Abang Aazad!” adu Aina Yasmin. Wajahnya mencuka.

Terbeliak mata Mastura. “Hah? Abang Aazad ada kat luar? Hehehe…dia nak pujuk kaulah tu…” teka Mastura. “Hei! Takkan nak keluar macam tu. Sempoi sangatlah kau ni. Pergilah salin baju. Pakailah bedak dengan lipstick sikit!” Mastura menegur. Kepalanya digeleng-gelengkan. Selekeh sangat Aina Yasmin ni!

“Hesy, tak kuasa! Aku bukan nak mengurat dia. Biar dia tengok aku macam mana. Takde hal aku nak bersolek bagai. Aku masih Min yang dulu. Dia je yang tak tahu. Dahlah… malas nak layan kau!” bidas Aina Yasmin.

Dengan langkah yang berat Aina Yasmin keluar dari rumah. Dia merapati Iqbal. “Jomlah ikut sekali, along,” ajak Aina Yasmin. Dia tidak selesa berdua-duaan bersama Ameer Aazad sahaja.

“Tak nak along kacau daun orang bercinta…” usik Iqbal. Dia membuat muka.

Mencerlung mata Aina Yasmin kepada abangnya. Sempat lengan abangnya dicubit geram. Ameer Aazad hanya tersengih. ‘Menyampah!’ bisik Aina Yasmin di dalam hati.

Dia mengikut Ameer Aazad masuk ke dalam kereta mewahnya. Tergamam Aina Yasmin sekejap melihat bahagian dalaman kereta Ameer Aazad. ‘Kayanya mamat ni!’

Ameer Aazad menghidupkan enjin dan kereta mengaum laju meninggalkan perkarangan taman perumahan di Wangsa Maju itu.

Aina Yasmin merasa janggal berdua-duaan di dalam kereta bersama Ameer Aazad. Suasana sepi menyelebungi perjalanan mereka. Sekali-sekala Ameer Aazad mengilas pandang ke arah Aina Yasmin yang tidak berkalih daripada memandang ke luar tingkap. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan dengan tunangnya itu. ‘Marah atau merajuk dia ni?’

Ameer Aazad memandu ke arah Wangsa Walk Mall. Diparkirkan keretanya berhampiran dengan restoran TGI Fridays. Dia mematikan enjin kereta lalu memandang ke arah Aina Yasmin. “Min okey temankan abang makan kat situ?” Jarinya menunjuk ke arah restoran TGI Fridays.

Mata Aina Yasmin mengikut ke arah yang ditunjukkan jari telunjuk Ameer Aazad. “Takpe ke Min pakai macam ni je?” Segan pula dia mengenakan pakaian santai begitu. Ingatkan hendak menjamu selera di restoran atau gerai biasa-biasa sahaja.

Takpe, abang tak kisah… Jom?” ajak Ameer Aazad sambil membuka pintu kereta.

Dengan hati yang tidak begitu rela, Aina Yasmin turut keluar dari perut kereta. Dia membuntuti langkah Ameer Aazad masuk ke dalam restoran itu. Pelayan yang bertugas membawa mereka ke sebuah meja kosong di hujung ruang restoran lalu menghulurkan menu. Aina Yasmin duduk sementara Ameer Aazad mengambil tempat bertentangan dengannya.

“Min nak makan?”

Aina Yasmin menggelengkan kepala. Walaupun dia hampir tidak menjamah makanan yang dibelinya ketika makan malam bersama Mastura tadi, dia tidak merasa lapar. Dia tiada selera untuk menjamah apa pun ketika ini. Sudahnya, Aina Yasmin hanya memesan teh-o ais limau sahaja, aka ice lemon tea, kalau mengikut tulisan di dalam menu.

Sesudah Ameer Aazad membuat pesanan, mata Ameer Aazad berlabuh ke wajah tunangnya. Wajah yang bersih tanpa secalit solekan. Namun begitu indah dan berseri pada pandangan matanya. Kulit yang berwarna kuning langsat itu begitu licin dan halus. Kening yang terbentuk indah dan alis mata yang begitu lentik. Ulas bibir yang merah begitu mempesonakan, walaupun tidak tercalit pewarna merah gincu bibir. Mengapa dia tidak pernah perasankan ciri-ciri wajah Aina Yasmin dulu? Dari dulu kening dan alis matanya begitu. Dari dulu bentuk dan warna bibirnya begitu. Mengapa dia hanya memandang pada kulit yang kusam dan ‘terbakar’ sahaja? Mengapa dia hanya memandang bentuk fizikal tubuh Aina Yasmin sahaja? Mengapa dia hanya memandang dengan mata kasar dan tidak dengan mata hati?

Aina Yasmin sudah tidak senang duduk. Cara Ameer Aazad memandangnya sama seperti tengah hari tadi. ‘Macam tak pernah tengok pompuan!’

“Marah pada abang lagi?” Lembut Ameer Aazad memecahkan kesunyian antara mereka.

“Siapa yang marah siapa, sebenarnya?” sindir Aina Yasmin. Dia memberanikan diri membela diri. Soalan yang ditanya jelas menudingkan kesalahan ke arah Ameer Aazad.
                              
Ameer Aazad mengangguk tanda dia mengakui kesalahannya. Memang dia yang melepaskan marahnya dahulu. “Abang mintak maaf…”

Aina Yasmin mencemik lalu mengetap bibir. ‘Senang je nak mintak maaf. Tuduh aku macam-macam, lepas tu mintak maaf. Banyak cantik? Menyampah aku!’

Riak wajah Aina Yasmin memberi isyarat yang amat jelas kepada Ameer Aazad tentang perasaan Aina Yasmin pada ketika itu. Dia mengeluh. “Bukan niat abang nak gores hati Min. Abang terlepas cakap. Abang tak tahu kenapa abang rasa marah sangat bila Min rahsiakan status Min daripada staf Icon. Lepas tu, bila abang perasan yang Min tak pakai cincin tunang tu, abang bertambah marah. Maafkan abang. Abang bersalah sebab bersangka buruk dengan Min macam tu… Langsung tak terlintas di fikiran abang yang cincin tu dah tak muat lagi…”

Aina Yasmin masih tidak mahu memandang ke wajah Ameer Aazad. Rasa benci dan meluat terhadap lelaki itu masih bersisa.

“Huh! Double standards! How typical!” sinis Aina Yasmin menyindir tunangnya.

“Maksud Min?” Kening terangkat mendengar nada Aina Yasmin.

“Bukan selama ni abang yang tak pernah mengaku status abang ke? Min tak pernah kisah pun bila abang tak nak mengaku yang abang dah bertunang dan Min ni tunang abang. Min tak marah, sebab Min tahu abang malu. Kita tak sepadan. Tapi sekarang kenapa abang nak marah-marah Min pulak? Padahal bukannya Min sengaja. Orang tak tanya, takkan Min nak canang pada semua orang pulak yang Min ni dah bertunang? Min kan baru lagi kerja kat situ. Tak kenal rapat sangat dengan siapa-siapa pun. Tiba-tiba je nak marah. Tuduh Min tipu pulak…”

‘Hah, ambik engkau! Sekali dia marah, berdas-das kena kat muka kau! Padan muka!’ fikir Ameer Aazad. Terkesima dia dengan segala yang lahir dari bibir tunangnya itu. Dia tidak nafikan apa yang diluahkan gadis itu kerana semuanya benar belaka. Memang dia malu mengakui dirinya telah bertunang dulu. Lagi pula dengan Aina Yasmin.

“Abang tak nafikan apa yang Min cakap tu sebab semuanya betul. Memang abang bersalah. Dari dulu abang bersalah. Dan tengah hari tadi pun, I don’t know what came over me. Abang takde penjelasan pasal tadi… Padahal mula-mulanya abang gembira sangat bila tahu yang Min ada kat depan abang. Dah lama abang nak jumpa Min. Tapi tiba-tiba abang tak boleh nak kawal emosi abang. I am really sorry! Please forgive me!” pinta Ameer Aazad dengan begitu luhur dan ikhlas sekali. Wajahnya jelas merayu.

“Tapi kan Min, sekarang abang dah tak berahsia lagi. Kawan-kawan yang masih rapat dengan abang tahu yang abang dah bertunang. Secretary abang tahu, ahli-ahli lembaga pengarah Warisan tahu, ayah angkat abang pun dah tahu. Abang tak pasti sama ada staf kat Warisan atau Icon tahu ke tak, sebab abang baru je jadi CEO kat Warisan tu… tapi abang tak kisah kalau diaorang tahu sekali pun…”

Ameer Aazad memerhatikan tunangnya menggigit bibir. Gadis itu masih tunduk. Enggan bertentang mata dengannya. Dengan sabar dia menunggu gadis itu mengucapkan kata seterusnya. Dia rela menerima apa pun yang bakal dihamburkan tunangnya itu. Memang dia layak menerima kata marah atau cemuhan daripada Aina Yasmin. Dia yang bersalah.

“Min? Please say something!”

Aina Yasmin mengeluh. Belum sempat Aina Yasmin bersuara, pelayan tadi menghampiri meja mereka sambil membawa makanan dan minuman yang telah dipesan. Ameer Aazad menolak pinggannya ke tengah meja. Dia mahu menyelesaikan isu yang tertangguh dengan Aina Yasmin dahulu. Itu lebih utama daripada mengisi perutnya.

“Min? Marahlah abang, kalau itu akan buat Min rasa puas. Abang tak kisah. Abang terima apa pun yang Min nak kata pada abang… Tapi tolonglah jangan diam macam ni… Min, I’ll do anything just as long as you forgive me! Anything, Min!” Tidak berhenti Ameer Aazad merayu. Semakin pakar dia dalam bab-bab begini.

Aina Yasmin mengeluh. Dia tidak tahu apa yang perlu diucapkan. “Min tak tahu…”

“Min tak tahu sama ada boleh maafkan abang?” soal Ameer Aazad. Dia ingin mendapatkan kepastian daripada tutur kata Aina Yasmin itu.

“Bukan… Min tak tahu nak cakap apa pada abang…” Seketika itu, Aina Yasmin mengangkat muka. Pandangan mereka bertemu. Ada getaran di dalam dada Aina Yasmin dan juga Ameer Aazad. Pantas Aina Yasmin melabuhkan pandangan. “Pasal apa yang abang pernah cakap tentang Min dulu, Min dah maafkan. Cuma, kadang-kadang Min akan teringat balik kata-kata abang, setiap kali bila Min rasa Min perlu sedar diri…”

Ameer Aazad terasa bagai ada bongkah batu yang amat besar menimpa bahunya. ‘Ya Allah, sekiranya waktu boleh diputarkan kembali…’ Namun, dia tetap terharu gadis itu rela memaafkannya. Kalau dia di tempat Aina Yasmin, belum tentu lagi dia sudi memaafkan kesalahan orang yang telah menghinanya dulu. Terserlah kecantikan hati dan peribadi tunangnya itu. Kecantikan yang sejak dulu bisa dilihat oleh ibunya sendiri. Betul kata ibunya tentang Aina Yasmin. Hanya dia yang buta. Buta mata dan buta hati…

“Min…” lirih suara Ameer Aazad. “If I could take back the words that had hurt you so badly, I would… I swear it… Abang bukan nak buat alasan, tapi abang masih muda masa tu… disebabkan perempuan-perempuan yang asyik nak dampingi abang, dan ditambah pulak dengan pangkat dan kepercayaan yang ayah angkat abang beri pada abang, abang lupa siapa diri abang yang sebenarnya. Abang kemaruk dengan hal-hal duniawi. Abang lupa pada amanah yang abah Min letakkan pada abang…” Sesungguhnya dia kesal dengan kelalaian serta kealpaannya dahulu.

Mata Aina Yasmin berkaca. Terkesan dengan ucapan maaf demi maaf daripada lelaki itu. Kedengaran begitu ikhlas di telinganya. Cuma hatinya masih terasa.

“Abang serius dengan hubungan kita, Min. Kalau boleh, abang nak Min jadi suri hidup abang. Abang dah sedia nak jadi suami Min!!”

Hampir ternganga Aina Yasmin dibuatnya. Matanya terus memandang ke wajah Ameer Aazad. ‘Apa dia cakap tadi? Suami?? Eeee… Baru je tiga hari lepas aku setuju dengan ‘syarat-enam-bulan’ dia. Tiba-tiba cakap pasal nak kahwin? Oh tidak!!!’