Thursday, 27 August 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 1


Kilauan cahaya dari batu berlian yang diikat megah pada cincin emas putih menyapa sepasang mata coklat cair milik Aina Yasmin. Dibelek-beleknya cincin itu entah untuk kali yang ke berapa. Dia pun sudah tidak ingat. Dulu, cincin itu terletak elok di jari. Kini, cincin itu hanya terletak elok di dalam kotak baldu berwarna merah. Sudah hampir tiga tahun dia tidak memakai cincin itu. Bukan kerana benci. Bukan kerana tidak berkenan di hati. Cuma kerana cincin itu sudah tidak muat lagi di jari manisnya…

Itulah cincin tunangnya…
                      
Cincin yang disarungkan ke jari manisnya ketika usianya baru menginjak lapan belas tahun oleh Puan Shima, ibu kepada tunangnya merangkap sepupu kepada ibu Aina Yasmin. Kiranya, Aina Yasmin telah bertunang dengan dua pupunya sendiri. Pertunangan yang diatur bagi memenuhi syarat yang dikenakan bapa Aina Yasmin, Haji Zainal Abidin sebelum keizinan untuk menyambung pelajaran ke bumi Amerika diberikan. Aina Yasmin akur dengan syarat bapanya ketika itu. Demi merealisasikan cita-citanya untuk bergelar seorang graduan…untuk menjadi anak yang dibanggakan oleh kedua-dua orang tuanya…dan untuk menjadi ‘seseorang’ di mata seorang lelaki bernama Ameer Aazad…

Aina Yasmin mengeluh. Cincin yang masih dipegang diletakkan kembali ke dalam kotak lalu disimpan ke dalam laci di meja tulisnya. Laci yang sudah dikosongkan sejak beberapa hari lalu. Dia nekad. Sebelum dia kembali ke tanah air minggu hadapan, dia perlu menghubungi tunangnya untuk melepaskan segala yang terbuku di hati sejak berkurun lamanya. ‘Biarlah apa nak jadi. Aku mesti putuskan pertunangan ni…’

Notebook yang masih terpasang dipandang sepi untuk seketika. Kemudian e-mel terbaharu daripada abang sulungnya, Muhammad Iqbal dicari. ‘Nasib baik along ada alamat e-mel Abang Aazad…Sekarang tinggal nak karang surat ‘cinta’ je pada mamat tu…’ Aina Yasmin mengomel sendirian. ‘Aku yakin dia mesti setuju nak putuskan pertunangan kita ni…’

Assalamualaikum Abang Aazad,

Maaf sekiranya kehadiran e-mel ini mengganggu Abang Aazad. Min harap abang tak terkejut terima e-mel daripada Min ni, memandangkan kita tak pernah pun berhubung selama ni walaupun kita dah lima tahun lebih bertunang.

Straight to the point, Min tahu kenapa abang bersetuju untuk bertunang dengan Min dan abang pun tahu kenapa Min bersetuju bertunang dengan abang dulu. Jadi tak perlulah Min huraikan kat sini. Min tahu abang terpaksa. Cumanya, seperti yang abang tahu, sebab mengapa kita bertunang dulu sudah menjadi tidak relevan lagi sekarang ni.

Sebab tu Min percaya yang pertunangan kita tidak perlu diteruskan lagi. Abang pun tentunya tidak mahu terus terikat dengan gadis yang abang benci…or to be more precise, ‘perempuan entah apa-apa, badan kurus sekeping macam jantan, kulit berkilat terbakar dan langsung takde selera nak dipandang…’ Don’t worry. I am not offended by all those things. They were all true, sad to say...

Min akan balik Malaysia tak lama lagi. Min akan berterus-terang dengan mak dan abang-abang Min. Insya-Allah, diaorang akan terima keputusan Min ni. Min yakin yang abang pun takkan ada bantahan kan?? I really hope we could settle this soon so that we’ll both be free to lead the lives the way we want them to be.

Ikhlas,
Aina Yasmin

Aina Yasmin berkira-kira untuk menekan ikon ‘send’. E-mel yang dikarang diulang baca. ‘Nak hantar ke tak…nak hantar ke tak...’ Seulas bibirnya digigit kuat. Itulah tabiatnya ketika gelisah, tertekan, resah, keliru dan segala perasaan negatif yang menerpa dirinya. Sudah teramat biasa melakukannya, hinggakan dia sendiri tidak tahu pun dia sedang melakukannya. Sudah menjadi tindakan refleks baginya.

Takpe ke aku sindir dia macam tu?’ Aina Yasmin menyoal sendirian. ‘Tapi memang betul apa, yang dia tak pernah sekali pun cuba nak call aku atau contact aku…Padahal aku tunang dia! Nampak sangat dia tak pernah pedulikan aku, langsung tak pernah kisah tentang aku yang sorang-sorang kat negara orang ni…’ Walaupun Aina Yasmin cuba menidakkannya, namun hakikatnya terlalu pedih untuk ditelan. Ditambah pula dengan kata-kata hinaan yang pernah dilemparkan Ameer Aazad dulu, masih sakit dirasakan. Masih terngiang-ngiang di telinganya. Seolah-olah baru semalam dia mendengar semuanya dari balik tingkap bilik tetamu di rumah orang tua Aina Yasmin. Ameer Aazad yang sedang melepaskan bara di dada kepada teman rapatnya kerana dipaksa bertunang dengan Aina Yasmin, langsung tidak menyedari kata-katanya telah ditangkap sepasang telinga Aina Yasmin dan menikam terus hingga ke tangkai hati gadis itu.

“Apa kau hangin sangat ni, bro?” soal Daniel Darus.

“Mana aku tak hangin! Kau pun akan hangin jugak kalau kena paksa bertunang dengan perempuan yang entah apa-apa tu!” Keras sahaja nada suara Ameer Aazad. Langkah Aina Yasmin di luar halaman yang kebetulan ingin masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang terkaku. Lantas dia bersembunyi di balik dinding di luar jendela bilik di tingkat bawah banglo Haji Zainal Abidin. Dia ingin mendengar dengan lebih jelas kata-kata Ameer Aazad kepada rakannya itu. Baru semalam mereka ditunangkan. Dan atas jemputan Haji Zainal Abidin, Ameer Aazad bersama rakannya telah bermalam di rumah Haji Zainal Abidin, sebelum bakal berangkat pulang ke Kuala Lumpur tengah hari nanti.

“Kau ni tak baik tau, kutuk tunang sendiri!” Daniel Darus cuba memberikan nasihat agaknya.

“Kau pun tengok sendiri kan budak tu semalam? Dahlah badan kurus sekeping macam jantan, kulit pulak berkilat semacam je, macam terbakar. Eee…aku langsung takde selera nak pandang…Kau tengok aku! Takkan pompuan macam tu layak nak berdampingan dengan orang macam aku ni?” dengan angkuh Ameer Aazad membangga diri.

Tanpa sedar, Aina Yasmin mengalirkan air mata. Teramat sedih mendengar tunang sendiri mengungkapkan kata-kata menghina dirinya. Namun digagahkan juga dirinya kekal berdiri di situ.

“Mak aku pun macam tak logik je nak aku bertunang dengan budak hingusan tu. She is six years younger than me, siot! Aku dah nak mula kerja, dia baru nak sambung belajar! Apa ke jadah??”

Aina Yasmin mendengar Daniel Darus ketawa kecil. Lucu agaknya mendengar seorang gadis dihina sebegitu.

“Alah…takpelah budak tu muda pun. Memanglah nampak macam budak sekolah sangat lagi…Umur pun baru lapan belas. Esok-esok, kau tak tahu. Entah-entah kau yang ternganga tengok budak tu berubah nanti…”

“Eleh, kau jangan bagi aku harapan palsulah Daniel. Mustahil budak tu boleh berubah. Nama bukan main cantik lagi, bak bidadari, tapi rupa…hampeh!” kejam Ameer Aazad membidas kenyataan Daniel Darus. Langsung tiada perasaan belas terhadap gadis itu.

Walaupun sudah lebih lima tahun peristiwa itu berlalu, Aina Yasmin masih mampu mengalirkan air mata setiap kali dia terkenangkan kembali kata-kata yang begitu menyakitkan hatinya. Kata-kata yang membuat dia berasa amat rendah diri hingga kini. Bukan dia pinta lahir sedemikian rupa. Tidakkah Ameer Aazad menyedari bahawa dia telah menghina dan mengutuk ciptaan Allah yang Maha Esa? Siapakah dirinya untuk mengata dia begitu? Walaupun Ameer Aazad dikurniakan paras rupa yang cukup tampan lagi sempurna, layakkah dia untuk menghina kurniaan Penciptanya sendiri?

‘Ah…kalaulah dia tengok aku sekarang, akan terngangakah dia?’ Aina Yasmin berangan kecil. Sungguh dia ingin mengipas egonya sedikit ketika ini. Aina Yasmin sekarang dengan Aina Yasmin dahulu bagai langit dan bumi…Orang yang kata ya, bukan dia yang kata. Tapi dia tidak hiraukan kata orang lain, melainkan orang itu bernama Ameer Aazad!

“Abang Aazad, badan Min dah tak sekeping macam dulu…” luah Aina Yasmin ke skrin notebooknya. “Kulit Min pun dah tak terbakar macam dulu…” Skrin notebooknya diam tidak membalas.

Untuk kali yang terakhir, Aina Yasmin mengulang baca e-mel yang dikarang. Dengan lafaz Bismillah, Aina Yasmin menekan ikon ‘send’. Mata dipejamkan seketika. Nah, kini dia telah melakukannya. Dia tidak boleh berpatah balik. Apa nak jadi, jadilah…

***********

Beribu-ribu batu nun jauh di Kuala Lumpur, ketika warga kota kebanyakannya pasti sudah lena diulit mimpi, seorang lelaki yang masih menghadap laporan kewangan syarikat di skrin notebook terkejut kecil mendengar nada ‘ting’ penanda penerimaan e-mel ke dalam inboxnya. Sedikit hairan dengan kehadiran e-mel tersebut ketika lewat malam begini. Halaman di skrin dikecilkan dan e-mel yang baru diterima daripada seseorang yang tidak dikenali dibuka. ‘Siapa pulak AY0707 ni?’

‘Ya Allah! Daripada Min?’ bisiknya sebaik melihat nama yang terukir di penghujung e-mel yang diterima.

E-mel berkandungan empat perenggan itu dibaca dengan penuh debaran di hati. Mukanya diraup beberapa kali. Satu keluhan kesal dilepaskan. Bukan sahaja kesal dengan permintaan Aina Yasmin, tetapi lebih kesal terhadap ego yang dijulang begitu tinggi suatu ketika dahulu sehinggakan apabila egonya telah diletakkan kembali ke tempat yang lebih rendah dalam dirinya, perasaan malu pula telah menawan sepelusuk jiwanya… Malu yang menyebabkan dirinya mengambil langkah bisu dan berterusan tidak menghubungi tunangnya yang satu itu.

Kini, apa yang dikhuatiri berlaku juga. Aina Yasmin ternyata sudah mengalah. Bukan salah Aina Yasmin. Dia yang tidak pernah mahu menerima gadis itu sebagai bakal isterinya. Dia yang sengaja mendiamkan sahaja perkara itu, kerana tahu dia tidak akan pernah mahu meneruskan cadangan ayah Aina Yasmin serta ibunya sendiri untuk menyatukan mereka. Cuma dibiarkan sahaja dulu. Demi sebuah janji, dia hanya perlu menunggu Aina Yasmin menamatkan pengajiannya. Kemudian barulah dia akan memutuskan pertunangannya dengan gadis itu. Tapi itu dulu... ketika Ameer Aazad menganggap dirinya bagai dewa yang hadirnya begitu istimewa untuk mana-mana gadis yang mendampinginya.

Tapi kini? Takkan dia masih mahu meneruskan pertunangan ini? Walaupun dia sudah berubah dan bukan lagi Ameer Aazad yang dulu, wajarkah dia berkahwin dengan seorang gadis yang langsung tidak dicintainya? Kini Aina Yasmin mahu memutuskan ikatan pertunangan mereka. Bukankah itu yang dia mahukan dulu? Melepaskan ikatan yang menjerut lehernya? Bukankah keputusan Aina Yasmin ini seharusnya diraikan? Tetapi, mengapa pula dirinya tidak mahu bersorak gembira dengan ‘kebebasan’ yang diberikan ini? Mengapa?

Ameer Aazad meraup mukanya sekali lagi. Perasaan kesal tadi kini telah berubah keliru. Keliru dengan perasaannya sendiri.

‘Tapi bukan ke aku akan lagi happy kalau pertunangan ni diputuskan?’ Ego seorang lelaki tetap berkata-kata. Walau tinggi mana atau rendah mana seseorang daripada kaum Adam itu meletakkan egonya, ego itu tetap ada, dan masih bisa berkata-kata. Tapi bagaimana pula dengan janji yang telah pun dilafazkannya berkali-kali sebelum ini kepada ayah Aina Yasmin?

Ameer Aazad kembali menuntaskan pandangannya ke skrin notebook. Ayat yang satu ini bagai menarik pandangan matanya berulang kali. ‘Badan kurus sekeping macam jantan, kulit berkilat terbakar dan langsung takde selera nak dipandang…’

Dia macam pernah dengar ayat itu…tapi di mana, ya? Ameer Aazad memicit dahinya. Moga dengan perbuatan itu, lebih mudah untuk dia mengingat kembali apa yang telah tiada di dalam kotak ingatannya. Mengapa jantungnya berdebar-debar ketika matanya meniti baris ayat itu? ‘Kenapa ayat tu familiar sangat?’

Tiga minit berlalu. Ameer Aazad tersentak. Tubuhnya ditegakkan. Bagai hendak terlompat keluar jantungnya. ‘Allah! Aku yang cakap ayat tu dulu…Astaghfirullah!!!’

Ameer Aazad bangun dari kerusi di meja tulisnya. Langkah diayun merentasi segenap ruang di dalam kamar tidurnya. Dia resah gelisah. Kata-kata yang diucapkan kepada temannya dahulu ketika amarah sedang berkocak hebat di dada, kini menghantuinya. Langsung tidak pernah menyangka yang Aina Yasmin telah mendengar segala yang diluahkan itu. Kesiannya Aina Yasmin. Pasti hatinya terluka!

Teringat dia dengan pesanan Ustaz Bahari ketika menghadiri kuliah Subuh di surau berdekatan dengan rumahnya baru-baru ini. Berdosa sekiranya kita menyakiti hati sesama insan. Allah tidak akan memaafkan kita selagi orang yang kita sakiti itu tidak memaafkan kita. Rasanya, itulah yang diingatinya.

Setelah penat berjalan mundar-mandir tanpa tujuan, Ameer Aazad melabuhkan punggung di birai katil. Ah, seandainya masa bisa diputarkan…dia akan lebih menjaga tutur katanya… Walaupun pada hakikatnya, tunangnya bukanlah seorang yang cantik atau menawan, namun dia tidak seharusnya menghina gadis itu sedemikian rupa. Dia benar-benar menyesal dengan kelancangan bahasanya. Apatah lagi dirasakan dirinya sudah pun menerima balasan daripada Yang Maha Kuasa. Spontan tangannya diangkat lalu mengusap bahagian wajah yang elok terlindung dek jambangnya. Ngilu.

‘Baiklah tunangku…your wish is my commandbut we’ll do it my way!’ Ameer Aazad akhirnya membuat keputusan. Dia tidak akan membantah apa-apa pun yang diputuskan gadis itu. Kebebasan yang dipinta akan diberikan dengan hati yang rela. Mungkin mereka memang tiada jodoh. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana yang mengikat mereka bukanlah cinta, tetapi sebuah janji…Namun, dia perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu. Sesuatu bagi menebus segala dosanya!

Lantas lima perkataan sahaja yang dibalas kepada Aina Yasmin. ‘Agreed, but with one condition!’


Wednesday, 26 August 2015

Yang Bermukim Di Hati - Sinopsis


Agak lama blog ni bersawang.... sibuk berhibernasi menyiapkan manuskrip...

Insya-Allah, novel Lynn yang ketiga bertajuk Yang Bermukim Di Hati, akan diterbitkan beberapa bulan lagi di bawah Penerbitan Lovenovel. Ni cover olok-olok dulu...

Original pic by Nurul Huda

Sinopsis

Disebabkan semangat yang membara mahu menyambung pelajaran ke luar negara, Aina Yasmin terpaksa akur pada syarat bapanya untuk bertunang dengan dua pupunya, Ameer Aazad, lelaki yang ego, perasan bagus dan jelas membencinya. Selama lima tahun mereka ditunangkan, tidak pernah sekali pun mereka berhubung. Pertunangan atas dasar terpaksa dan demi sebuah janji semata-mata tidak mungkin menjanjikan bahagia buat mereka.

Maka Aina Yasmin nekad untuk memutuskan pertunangan mereka sebaik sahaja segulung ijazah berada dalam genggaman. Sangkanya tentu Ameer Aazad tidak akan membantah kerana sedar lelaki itu amat membenci dirinya. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Ameer Aazad mengenakan syarat sebelum bersetuju mahu memutuskan pertunangan mereka. Syarat yang membuat Aina Yasmin tersepit dan keliru.

Ameer Aazad yang pernah hanyut dalam keasyikan dunia suatu ketika dulu, kini telah berubah seratus peratus. Lelaki ini kini mahu memburu cinta Aina Yasmin. Mahu berpegang pada janjinya kepada bapa gadis itu. Namun bukan mudah untuk Aina Yasmin menerimanya setelah kata-kata hinaan yang pernah dilemparkan kepada Aina Yasmin dulu masih memberikan kesan yang amat mendalam kepada gadis itu.

“Badan kurus sekeping macam jantan, kulit pulak berkilat semacam je, macam terbakar. Eee…aku langsung takde selera nak pandang…Kau tengok aku! Takkan pompuan macam tu layak nak berdampingan dengan orang macam aku ni?” – Ameer Aazad

Sukarnya melenturkan hati seorang Aina Yasmin. Sukarnya menagih peluang kedua daripada gadis yang pernah dilukainya dulu. Sukarnya untuk Aina Yasmin menerima lelaki itu! Namun sukar lagi bagi Ameer Aazad untuk mengaku kalah. Gadis itu harus dimiliki walau dengan cara apa sekali pun! Itu tekadnya.

Dalam misi memburu cinta Aina Yasmin, hubungan mereka dilanda dugaan yang hebat. Aina Yasmin begitu mudah mengaku kalah kerana tidak sanggup lagi dilukai oleh lelaki yang sama berulang kali. Cukuplah peluang yang telah diberikan kepada Ameer Aazad. Tiada lagi!

Masih adakah peluang bagi Ameer Aazad untuk meraih cinta Aina Yasmin? Bisakah dia merawat hati Aina Yasmin yang sudah retak seribu dan mempertahankan ikatan suci mereka? Benarkah tiada lagi ruang di hati Aina Yasmin buat Ameer Aazad?


Okey, Insya-Allah nanti Lynn akan mula post bab-bab awal ya?

Salam sayang,
Lynn Safiya

Monday, 17 August 2015

Demi Bahagia Ini - Novel Pilihan Pembaca 2014

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Beberapa bulan lepas, Penerbitan Lovenovel telah menganjurkan undian terbuka di laman FB mereka yang membolehkan para pembaca novel membuat undian ke atas karya-karya terbitan Lovenovel yang mereka minati sepanjang tahun 2014...

Keputusan yang diumumkan semasa majlis jamuan Hari Raya Penerbitan Lovenovel yang diadakan pada 15 Ogos 2015 adalah seperti yang berikut:


Saya tidak menaruh harapan yang besar untuk novel Demi Bahagia Ini memandangkan novel ini baru dikeluarkan pada bulan Oktober 2014, dan karya-karya lain adalah hebat-hebat belaka. Walaupun novel DBI memenangi kategori Hero & Heroin Pilihan Pembaca 2014 dan Hero Diminati Pembaca 2014, saya amat-amat gembira kerana diundi sebagai pemenang untuk kategori Novel Pilihan Pembaca 2014. Anugerah inilah yang paling bermakna bagi penulis kerdil seperti saya. Alhamdulillah... syukur sangat-sangat... 

Terima kasih kepada para pembaca novel Demi Bahagia Ini...
Terima kasih kerana meminati watak Ian Iskandar & Sofiah Qistina...
Terima kasih kerana sudi menerima karya saya...

Semoga kalian semua dapat menangkap pengajaran yang cuba saya sampaikan dalam Demi Bahagia Ini dan semoga Allah berkati semua usaha kita, InsyaAllah...