Friday, 8 May 2015

Teaser 1 Gemalai Kasih

Asrul Effendi

Gelak ketawa dari ruang dapur membuat aku tidak senang duduk di ruang tamu. Aku bangun dan berjalan menuju ke dapur. Aku menggeleng kepala melihat suasana dapur yang berselerak dan muka Ina yang diwarnai tepung. Lia sedang mencairkan coklat di dalam periuk di atas api yang kecil. Di pipinya juga tercalit sedikit tepung. Aroma kek yang sedang dibakar membuatku menelan air liur.

Lia tersipu-sipu melihatku. Ina pula lebih besar ilai ketawanya melihat aku sudah bercekak pinggang.

“Apa ni? Ya Allah, bersepahnya…” gerutuku. Rimas!

Lia mengangkat bahunya dan tergelak. Ina juga tidak mahu menjawab pertanyaanku. Aku memang pantang melihat benda berselerak. Semuanya mesti kemas dan tersusun. Namun, melihatkan kegembiraan Ina membuat kek dengan Lia, suatu perkara yang tidak pernah dilakukan seumur hidupnya, aku tidak sampai hati untuk bersuara. Aku memaksa diriku untuk duduk di sebelah Ina dan menelan sahaja kerimasan yang menyelubungi jiwaku.

Lia memadamkan nyalaan api di atas dapur. Loceng ketuhar berbunyi dan Lia berhati-hati mengeluarkan kek yang sudah siap dibakar dan meletakkannya ke atas meja. Kek dikeluarkan dari dalam bekas tin kek dan disejukkan sebentar. Aku dan Ina hanya memerhati. Ina sudah nampak tidak sabar untuk menikmati kek buatan tangannya sendiri. Lia kemudian menyalut coklat yang telah cair ke keseluruhan bahagian kek. Tangannya penuh dengan coklat. Ina mencalit jarinya ke dalam cairan coklat di dalam mangkuk dan menjilat jarinya. Lia juga begitu. “Mmmmm sedapnya,” kata Ina. “Papa cubalah…”

Aku menggelengkan kepalaku. Tiba-tiba Lia mencalit jarinya dengan coklat cair dan menyuakan jarinya hampir ke mulutku. Jari sama yang telah dihisapnya sebentar tadi. Matanya memandangku nakal. Bibirnya terukir senyuman seolah-olah mencabarku. Aku menjongketkan keningku dan memandangnya. Jarinya masih dekat dengan bibirku. Melihatkan aku masih tidak bergerak, Lia mula menarik jarinya. Senyuman nakal yang memekar di wajahnya sebentar tadi kini berubah tawar. Pantas aku menyambar pergelangan tangannya. Lia terkejut. Aku menarik jarinya kembali dekat ke mulutku dan menghisapnya. Mataku langsung tidak berkalih dari matanya. Lia menarik nafasnya ketika jarinya dihisap. Matanya membulat sebelum berubah redup. Terus lenyap senyuman dari wajahnya. “Mmmm…memang sedap…” bisikku menggoda. Aku masih lagi memegang pergelangan tangannya. Mata kami tetap bertaut.

Kini aku pula mencalitkan jariku dengan cairan coklat. Aku dekatkan jariku ke bibirnya dan memandangnya. Giliranku mencabarnya untuk mengikut langkahku. Aku mahu Lia pula merasakan cairan coklat dari jariku. Teragak-agak Lia memasukkan jariku ke dalam mulutnya. Dadaku tiba-tiba bergelora! Jantung berdegup kencang dan nafas terasa tersekat-sekat. Aku tidak tahu sama ada Lia menyedari perubahan diriku ini kerana dia kini tertunduk malu. Ina masih ralit mencalit jarinya ke dalam mangkuk dan langsung tidak menghiraukan kami.



Aku berdeham sedikit, cuba untuk menenangkan kembali suasana yang tiba-tiba menjadi tegang sebentar tadi. “Bila boleh rasa kek ni?”

Hmmm…kenalah tunggu sejuk betul-betul dulu.” Suara Lia sedikit serak.

Alaaaa….,” ngomel Ina. “Ina nak makan sekarang…”

Lia menggelengkan kepalanya. “Ina pergi mandi, salin baju dulu. Dah habis comot dah ummi tengok. Ummi pun nak mandi. Badan ummi bau kek!” Lia mengangkat lengan kanannya dan membawanya dekat ke hidung lalu menghidunya. Comel saja aksinya itu.

Aku sengaja mahu mengusiknya. Aku bangun lalu mendekatkan hidungku ke lehernya. Bersentuhan. Aku mengambil nafas dalam-dalam. Lia tergamam dengan perlakuanku dan tubuhnya kaku. Namun dibiarkan sahaja aku dekat dengannya. Mungkin kerana Ina masih memandangnya. “Haah, memang badan ummi bau kek…tapi sedap…” Aku memuji. Aku menangkap mata bulatnya. Aku mengenyitkan mataku. Spontan pipinya memanas.

Lia terkebil-kebil memandangku. Aku tergelak kecil. Ina turut sama ketawa melihat reaksi Lia. Lia tersedar dan menjelingku. Aku ketawa besar dan pantas menguis hidung Lia. Aku membawa Ina ke sinki dan mencuci mukanya. Kemudian aku menyuruhnya naik ke atas untuk mandi. Lia pula sedang sibuk mengemas dapur. Pura-pura sibuk mungkin, sekadar menyembunyikan kegugupannya tadi. Aku mahu menolongnya namun Mak Cik Leha tiba-tiba muncul dan menawarkan dirinya untuk mengemas segala yang masih berteraburan di atas meja.

“Terima kasih, mak cik…” ucap Lia penuh sopan.

“Lia, pergi siap. Kita lunch kat luar hari ni. Dengan Ina sekali…” Aku mengingatinya.

“Okey, bang.” Lia masih tidak memandangku. Dia terus berlalu. Aku tersenyum bahagia…