Thursday, 12 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 9


Esok, Encik Zulkifli akan menjalankan tanggungjawab terakhirnya terhadap anak bongsunya, merangkap anak perempuan tunggal dalam keluarga. Dia akan mewalikan anaknya itu dan bakal melepaskannya ke tangan suaminya. Mulai esok, Lia hanya akan patuh kepada suaminya, dan bukan kepada Encik Zulkifli lagi. Lia tidak perlu akur kepada apa-apa perintah bapanya lagi. Syurganya kini bukan lagi terletak di telapak kaki ibunya, tapi pada suaminya.

Esok lusa, Lia akan pergi meninggalkan rumah ini, mungkin untuk selama-lamanya. Tinggallah Encik Zulkifli bersama isterinya melayari sisa-sisa hidup mereka yang entah bila akan berakhir. Namun dia yakin Lia tidak akan sekali-kali melupakan mereka walaupun sudah memegang status isteri kelak. Cuma selepas ini, Lia perlu mendapatkan izin suaminya sekiranya dia ingin menjenguk mereka berdua.

Encik Zulkifli tidak dapat mengelak perasaan sebak yang bertandang. ‘Lia, Lia…Abah akan merinduimu, nak…’

Mata Encik Zulkifli masih tertancap ke arah Lia. Wajah yang agak tua itu tersenyum bila Lia tersenyum dan ikut tergelak tatkala mendengar gelak ketawa Lia yang duduk berseorangan di atas pelamin. Sudah lama dia tidak mendengar gelak tawa anaknya itu. Lia sibuk mengenakan gaya di atas pelamin seperti yang diminta sepupu-sepupunya yang sibuk mengambil gambarnya. Encik Zulkifli tidak menduga betapa rindunya dia mendengar keceriaan dan ilai ketawa anak gadisnya selama ini. Dia cuba menahan air mata daripada mengalir.

Kini, Encik Zulkifli sedar yang dia tidak perlu lagi menundukkan mukanya ketika berhadapan dengan adik-beradiknya yang lain. Tiada langsung rasa malu pada dirinya kini. Dia sudah tidak peduli lagi. Dia sudah jemu untuk merasa malu. Kata-kata sindiran yang pernah dihamburkan mereka kepadanya lebih sepuluh tahun yang lalu tetap terpahat di ingatan. Namun Allah Maha Kuasa. Segala rasa malu yang selama ini ditanggungnya, tidak sehebat perasaan malu yang ditanggung abang serta adik perempuannya sekarang ini. Mungkin inilah balasan Tuhan kepada mereka yang mengeji serta sering mengatanya dulu.

Sekurang-kurangnya, anak-anaknya tidak melakukan dosa ataupun perkara yang haram di sisi agama. Mereka juga bukanlah penjenayah yang menjadi sampah masyarakat. Mereka cuma berkahwin pada usia muda dan sudahnya hanya menjadi seorang tukang membuat perabot dan seorang lagi menjadi mekanik. Mungkin tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan dengan pencapaian Mail dan juga Syam, namun mereka bekerja untuk mendapat rezeki yang halal.

Lain pula dengan anak kepada abang Encik Zulkifli yang gah menjadi seorang doktor tetapi ditangkap berkhalwat dengan isteri orang dalam keadaan yang cukup mengaibkan. Terpampang di dada pelbagai akhbar semasa yang memaparkan kisah mereka. Juga dengan anak adik perempuan Encik Zulkifli yang dicanangkan sebagai seorang usahawan muda lagi berjaya, tetapi kini disabit kesalahan menipu dan menggelapkan wang pelanggan-pelanggannya. Entah berapa lama lagi dia terpaksa meringkuk dalam penjara, Encik Zulkifli sendiri tidak tahu.

Lia telah mengembalikan perasan bangga di hati mereka sekeluarga. Bakal bergelar seorang peguam bela dan peguam cara, Lia tidak pernah menconteng arang ke muka mereka sebagai ibu dan bapa. Lia sentiasa menjadi sebutan sanak saudara mereka sebagai anak mithali yang taat dan solehah. Lia sering dijadikan contoh dan teladan. Fikir Encik Zulkifli, sekiranya Tuhan mengambil nafasnya yang terakhir kini, dia tidak akan menghalang, mahupun merintih. Dia reda! Kerana dia sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan segenap usaha dan tenaga. Kini dia tiada kesal lagi. Tiada kesal lagi…

Sekejap tadi, jelas kelihatan di mata Encik Zulkifli betapa isterinya telah berjaya mengetepikan segala perasaan hampa yang dirasakannya dan kembali menerima Mail ke pangkuan keluarga. Encik Zulkifli yakin Seri juga berperasaan sedemikian terhadap Syam. Dia bersyukur dengan perkembangan terbaharu ini. Dan dia tahu ini semua kerana Lia dan segala pengorbanannya. Lia telah menyatukan mereka semula…

Mata Encik Zulkifli masih memandang Lia yang duduk di atas pelamin dengan jari-jemarinya siap berinai. Seorang demi seorang ahli keluarganya naik ke atas pelamin untuk sama-sama bergambar dengan Lia. Kini giliran Syam, isterinya Suhaila serta kedua-dua anak mereka. Kemudian Mail pula naik bersama. Diikuti Puan Seri. Kedengaran pula suara memanggil nama Encik Zulkifli untuk turut sama bergambar.

Hati Encik Zulkifli terus terasa sebak. Sudah hampir berkurun lamanya mereka tidak mengambil gambar sekeluarga. Dia pun sudah tidak ingat lagi bila kali terakhir gambar keluarga dirakam. Dengan perlahan Encik Zulkifli mengambil tempatnya bersebelahan Puan Seri di sebelah kiri dan Mail di sebelah kanannya. Dia meletakkan sebelah tangannya di atas bahu Puan Seri dan sebelah lagi di atas bahu Mail. Ternyata Mail terkejut dengan perlakuan Encik Zulkifli tetapi membiarkan sahaja tangan bapanya terletak kemas di atas bahunya. Encik Zulkifli meramas sedikit bahu Mail dan dia mengharapkan agar Mail faham dengan maksud yang cuba disampaikan. Mail menoleh memandang Encik Zulkifli dengan air mata yang bergenang di kelopak matanya. Encik Zulkifli tidak menghiraukan jurugambar yang sibuk memberi arahan itu dan ini. Dia terus sahaja memeluk anaknya Mail dengan penuh kesayuan.

Syam dan Lia saling berpandangan. Encik Zulkifli turut memeluk Syam sebagai tanda kasihnya kepada Syam sambil melihat air mata Lia tiba-tiba tumpah ke pipinya. Suhaila yang prihatin terus sahaja membantu mengesat air mata Lia dengan sehelai tisu nipis, memandangkan jari-jemari Lia telah siap berinai.

‘Inilah keluargaku. Aku terima setiap mereka seadanya. Aku bersyukur, ya Allah dengan apa yang Kau telah kurniakan kepadaku,’ bisik Encik Zulkifli sendirian.

Malam yang semakin meriah kian menyemarakkan lagi perasan di hati mereka sekeluarga. Puan Seri kelihatan menawan dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya. Terpancar sinar kebahagiaan dari matanya. Langsung tidak mengadu penat atau sakit sejak kebelakangan ini.

Walaupun malam kian melabuhkan tirainya, namun tiada siapa ingin menamatkan suasana ceria dan penuh kegembiraan itu. Semuanya masih sibuk bergurau-senda dan bercerita itu dan ini. Tidak lama kemudian, Lia dengan perlahan sambil dibantu Suhaila, meninggalkan ruang tamu untuk kembali ke bilik tidurnya. Sambil dia melangkah anak tangga satu demi satu, Lia melirik memandang suasana meriah di ruang tamu sambil tersenyum. Senyuman yang memberikan makna yang begitu dalam. Senyuman yang menggambarkan kepuasan dan kegembiraan di hatinya. Di hati kecil Encik Zulkifli, dia berdoa agar suatu hari nanti, senyuman yang akan diberikan Lia nanti akan disulami rasa cinta yang mendalam terhadap suami dan keluarga baharunya. Itu sahaja doa dan harapannya terhadap anak bongsunya ini. Selepas itu, dia tidak akan berharap untuk apa pun jua.


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....