Sunday, 8 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 5


Asrul Effendi

Aku memerhatikan sahaja Lia beredar meninggalkanku. Aku menghela nafas panjang dan kembali duduk di tempat dudukku. Aku tersenyum sendirian mengenangkan perbualan kami sebentar tadi. Ternyata Lia begitu gugup dan amat gelisah sepanjang pertemuan sebentar tadi. Lia tidak seperti yang kusangkakan. Dia tidak mahu berkahwin denganku! Pelik betul! Selama ini, aku tidak pernah berjumpa dengan seorang wanita pun yang tidak mahu menjadi isteriku. Lia merupakan wanita yang pertama.

Sejak aku mula dikenali ramai sebagai seorang usahawan yang berjaya, aku sering didampingi wanita-wanita daripada pelbagai golongan yang ingin mendapatkan perhatianku. Apatah lagi apabila mendapat tahu status aku yang sudah tidak lagi beristeri. Majalah-majalah berunsur perniagaan, mahupun berunsur gaya hidup, banyak menyiarkan dan menceritakan latar belakangku serta kejayaanku di pentas perniagaan yang mampu kucapai pada usia muda begini.

Aku sudah lali dengan pelbagai cubaan untuk mendampingiku. Ada yang tanpa segan silu menelefon ke pejabatku semata-mata ingin mengajakku makan malam dan sebagainya. Ada yang cuba menghampiriku ketika aku menjamu selera bersama rakan-rakan perniagaanku, atau ketika aku menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di hotel-hotel atau dewan-dewan konvensyen, sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Aku yakin aku bisa dapat memiliki mana-mana sahaja wanita di hadapanku dengan hanya perlu memberi secebis balasan atau sedetik harapan kepada mereka. Namun, aku langsung tidak berminat untuk mengalihkan perhatianku daripada Ina dan dunia perniagaanku. Sampailah ke saat ini…saat di mana aku perlu meyakinkan Lia untuk menjadi isteriku, suatu perkara yang tidak pernah aku lakukan untuk mana-mana gadis pun.

Lia…pilihan ibu buat diriku…

Aku kembali mengenangkan pertemuan dengan Lia sebentar tadi. Bagiku, Lia tidak mempunyai perwatakan seorang peguam. Dirinya begitu pemalu dan kurang keyakinan diri. Namun wajahnya sungguh manis dan ayu. Kulitnya cerah dan licin. Pipinya yang sedikit tembam dan gebu seakan tidak menampakkan umurnya yang telah menjangkau dua puluh empat tahun. Kalau ibu tidak memberitahu umurnya kepadaku, pasti ku fikir yang Lia baru berusia sembilan belas atau dua puluh tahun. Bibirnya merah dan terbentuk sempurna. Bulu matanya yang lentik pula menyerlahkan lagi keayuan serta kelembutannya. Wajahnya yang sedikit bulat dirangka indah dengan litupan tudung yang diikat kemas dan rapi.

Geli hatiku melihatkan Lia yang tidak lama boleh bertentangan mata denganku. Dia pantas mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Walaupun aku sudah lali dengan paras wanita yang cantik dan jelita, Lia langsung tidak menggunakan paras wajahnya untuk menarik perhatianku. Tiada kerlingan mata yang menggoda, mahupun lirik senyuman yang membawa seribu makna. Lia sungguh tulen, sungguh asli, sungguh pemalu, sungguh lain daripada yang lain...

Namun, hati lelakiku tidak dapat menafikan ada suatu daya tarikan antara aku dengan Lia sebentar tadi. Aku merasakannya setiap kali dia memberanikan diri melawan renunganku. Lia juga kelihatan sepertiku. Gugup tidak menentu. Mungkin aku lebih bijak menyembunyikan reaksi tubuhku terhadapnya berbanding dengan dirinya yang jauh lebih muda daripadaku.

Aku masih terkejut mengenangkan Lia menolak perkahwinan yang telah diaturkan oleh kedua orang tua kami. Aku sangkakan Lia bersetuju untuk bertemu denganku semata-mata untuk menyatakan persetujuannya dengan perkahwinan ini. Sangkaanku jauh meleset. Nasib baik aku pantas menggunakan akalku untuk memerangkapnya. Aku berharap agar rancanganku ini berjaya.

Sejak ibu memberitahu akan rancangannya untuk menjodohkan aku dengan Lia, memang aku membantah pada mulanya. Tetapi, dengan akur pada permintaan ibu, aku rasakan bahawa ia akan lebih memberi manfaat kepadaku daripada sebaliknya. Pertemuan dengan Lia sebentar tadi memberi keyakinan kepadaku bahawa apa yang kurancangkan ini tepat dan pasti berjaya.

Ya. Surat yang kuterima daripada peguam Mona lebih seminggu yang lalu telah merubah pendirianku untuk tidak akan berkahwin lagi. Rancangan ibu hadir tepat pada waktunya. Selagi aku masih bernyawa, aku tidak akan membenarkan Mona merampas Ina daripadaku, kerana aku tahu tindakan Mona sekarang hanyalah untuk menyakiti hatiku dan bukan atas naluri keibuannya terhadap Ina. Sayang! Mona masih belum belajar daripada kesilapannya.

Aku menyeluk saku seluarku untuk mengeluarkan telefon bimbitku dan terus menelefon ibuku. Ibu pantas menjawab pada deringan yang pertama seolah-olah dia memang menunggu panggilan daripadaku.

“Assalamualaikum, Fendi. Mama memang tunggu Fendi telefon mama. So? Macam mana?” tanya ibuku dengan nada begitu teruja sekali.

Aku tersenyum memikirkan kelakuan ibu sedemikian rupa. “Macam mana apa, mama?” tanyaku dengan nada bergurau. Pura-pura tidak mengerti dengan soalan ibu. Sengaja ingin mengusik ibu.

Alaah…kau ni buat-buat tak tahu pulak. Lia camana?”

“Okey!” jawabku ringkas.

“Okey je? Takkan okey je kot?” tanya ibu dengan nada tidak puas hati.

Aku tergelak kecil dan berkata, “Mama, mama! Mama nak dengar apa sebenarnya daripada Fendi ni, hmmm? Mama nak dengar yang apa yang mama cerita pasal Lia tu betul semuanya?”

“Taklah macam tu. Mama nak tahu sama ada Fendi suka ke tak dengan Lia. Tu je,” balas ibuku. 

“Sebenarnya, mana nak tahu betul-betul kalau jumpa sekejap sangat…betul tak, ma? Memanglah orangnya lawa, cantik. Tapi hati budi dia macam mana nak tahu kalau baru jumpa sekali, kan?” Aku masih berterusan mengusik ibu. Padahal aku sudah pun mengakui kepada diriku sendiri betapa Lia menepati ciri-ciri yang kucari untuk menyempurnakan hajat di hatiku.

“Betul cakap Fendi. Tapi kadangkala hati kita akan tahu dan akan dapat tangkap sama ada dia jujur atau tidak. Fendi rasa macam mana?”

Aku sengaja mendiamkan diriku kerana aku tidak ingin menjawab pertanyaan ibu. Memang hati naluriku menyatakan Lia seorang yang baik dan ikhlas. Dia langsung tidak mementingkan harta kekayaanku apabila jelas menolak perkahwinan ini. Lantas aku pula bertanya, “Mama rasa Lia sesuai tak jadi ibu untuk Ina? Fendi tak penting mama, Ina yang lagi utama.”

Ibu mengeluh kecil. “Jujurnya, pertama kali mama bertemu dengan Lia, naluri mama kuat berkata yang dialah orangnya untuk kau, Fendi. Mama tak tahu nak terangkan kenapa mama rasa macam tu. Sebenarnya, mama sikit pun tak pernah rasa macam tu dengan Mona. Maaf ya, Fendi, kalau kata-kata mama ni melukakan hati Fendi,” perlahan ibu mengungkapkan kata.

“Tak, ma. Fendi okay. Fendi tak kecik hati...”

“Entahlah, Fendi. Mama harap Fendi boleh terima Lia seadanya. Walaupun dia daripada keluarga biasa-biasa je, itu tak penting bagi mama.”

“Mama,” seruku perlahan. Inilah masanya untuk aku memberitahu ibu tentang keputusanku. “Kalau mama rasa Lialah orangnya, Fendi tak akan menolak. Fendi akan terima dia sebagai isteri Fendi…”

“Betul ni Fendi?” tanya ibuku seakan tidak percaya dengan kata-kataku. “Fendi tak main-main dengan mama?”

Aku tergelak kecil. “Tak, ma. Fendi serahkan semuanya pada mama. Buatlah apa yang patut. Fendi akan turut semua rancangan mama.” Untuk sekilas, aku memikirkan tentang Lia. Pasti dia terkesan dengan keputusanku ini. Aku tolak jauh-jauh rasa bersalah yang tiba-tiba menerjah. Ina yang perlu aku utamakan buat masa sekarang ini.

“Syukur, Alhamdulillah. Terima kasih, Fendi. Insya-Allah, kau tak akan menyesal dan mama akan doakan kau bahagia, nak,” bisik ibu terharu sebelum memutuskan talian telefon.

Aku tidak pasti sama ada kebahagiaan akan menjadi milikku, tetapi yang pasti, aku harus berhati-hati agar ibuku tidak akan tahu rancangan sebenarku. Mungkin ada yang akan terluka dengan apa yang bakal aku lakukan ini, tetapi aku tidak mahu memikirkan itu semua sekarang ini. Yang paling penting, Mona tidak bisa menghidu rancanganku. Aku mesti melakukannya dengan segera dan penuh berhati-hati. Demi Ina…demi Ina…


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....