Friday, 6 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 3


Asrul Effendi

Aku belek dokumen di atas mejaku dan membacanya dengan teliti. Sambil mengurut dahiku untuk menghilangkan rasa pening yang semakin kerap kurasakan kebelakangan ini, tangan kananku mencapai pen dakwat daripada pemegang pen untuk menulis nota-nota kecil di tepi perenggan yang mengandungi inti pati perjanjian antara syarikat milik keluargaku dengan syarikat penasihat yang terpilih, yang merupakan satu daripada lima syarikat yang telah mengemukakan tender.

Interkom di tepi mejaku berbunyi dan suara setiausahaku, Linda, mengganggu konsentrasiku. “Encik Effendi, ibu Encik Effendi di talian 1.”

Aku mengangkat ganggang telefon tanpa memberi sebarang balasan kepada Linda dan terus menekan butang 1. Aku menjawab salam ibu dan mendengar ibu bertanyakan khabarku dan juga anakku, Ina. Ibu bercakap bagaikan seorang yang sangat teruja dan kelajuan pernafasannya menggambarkan bahawa ibu ingin menyampaikan kepadaku suatu berita gembira. Aku membiarkan sahaja ibu bertanyakan itu dan ini, dan aku tahu memang itu cara ibu. Sengaja menunggu saat-saat akhir sebelum tiba pada cerita yang betul-betul ingin disampaikannya. Aku layankan sahaja…

Akhirnya, ibu berkata, “Fendi, ingat tak masa mama tanya dulu bila Fendi nak kahwin lagi? Fendi jawab Fendi belum lagi jumpa sesiapa yang nak dijadikan isteri. Fendi ingat tak?” Soal ibuku dengan nada teruja.

“Fendi ingat, mama” jawabku acuh tidak acuh. Dahiku berkerut memikirkan apa yang ingin disampaikan oleh ibu sebenarnya. Sesungguhnya, aku amat rimas setiap kali ibu menyentuh soal kahwin dan mahu mencarikan mama baharu buat Ina. Aku tidak perlukan semua itu.

“Fendi, mama dah jumpa calon isteri yang sesuai buat kau, nak…”

Aku tersentak dan pen yang kugenggam langsung terjatuh ke atas meja.

“Ma? Mama cakap apa ni?” soalku kebingungan.

“Fendi tak ingat ke? Fendi sendiri yang suruh mama carikan calon untuk Fendi, kan? Ingat tak?” tanya ibu berkali-kali.

“Memanglah Fendi ada cakap, ma. Tapi tu gurau je,” kataku sambil tertawa kecil. Teringat bagaimana ibu sering mendesak agar aku berkahwin lagi setiap kali aku berkunjung ke rumah ibu. Sehinggakan secara tidak serius, aku memberi cadangan agar ibu yang mencarikan jodoh untukku, hanya sekadar untuk melenyapkan desakan ibu yang bertali arus.

“Mana boleh bergurau soal kahwin?” tegur ibu. “Bila Fendi mintak mama carikan isteri untuk Fendi, mama carilah. Hah, dah jumpa pun!”

Aku mendengus. “Mama, berapa kali Fendi nak cakap yang Fendi tak nak kahwin lagi?” Aku ulangi kembali sebab-sebab mengapa aku senang hidup berdua sahaja dengan Ina, dan betapa aku tidak perlukan seorang isteri dalam hidupku. Cukuplah aku seorang memberikan kasih dan sayang sebagai seorang ibu dan bapa kepada Ina. Hidup kami cukup sempurna, walaupun Ina tidak mempunyai ibu di sampingnya.

“Fendi, tak semua perempuan macam Mona, nak. Kesianlah pada Ina. Kau tak mahu Ina dapat kasih sayang seorang ibu, ke?” tanya ibuku dengan nada sedih. Mungkin berjauh hati dengan nada suaraku sebentar tadi. “Dah lebih tiga tahun Fendi bercerai. Yang sudah tu sudahlah. Mama nak Fendi bahagia. Mama berkenan betul dengan anak kawan mama ni. Intan Marliana Zulkifli nama dia. Orangnya cantik, berbudi bahasa, hormat kat orang tua dan dia ni ada ijazah undang-undang lagi tau, bijak orangnya…”

Aku hanya membisu mendengarkan ibu bercerita mengenai seorang gadis bernama Intan Marliana. Ibu berterusan bercerita dan aku sekali-sekala berkata “hmmm” sambil mataku kembali membaca dokumen yang kutinggalkan sebentar tadi.

“Fendi setuju?” soal ibu tiba-tiba. “Fendi? Fendi dengar tak mama cakap ni?”

Keluhan berat kulepaskan. Penat! “Fendi dengar, mama. Mama nak Fendi jumpa dengan pompuan ni, kan? Dia dah setuju ke nak jumpa Fendi?”

“Dah. Mak dia baru je telefon mama tadi. Nanti mama bagi tahu rancangannya pada Fendi. Ok, Fendi. Mama pergi dulu. Nanti mama call balik, ya?” kata ibu mengakhiri perbualan kami sebelum sempat aku berkata apa-apa lagi.

Aku letakkan kembali ganggang telefon ke tempatnya dan bangun menuju ke tingkap bilik pejabatku. Mataku liar memandang panorama di hadapanku. Kota yang padat dengan bangunan-bangunan pencakar langit langsung tidak mengendahkan kegelisahan yang kini melanda hatiku. Gelisah memikirkan permintaan ibu. Buntu mencari jalan agar aku dapat lari daripada meneruskan dengan rancangan ibu tanpa mengecilkan hati ibu, walaupun sedikit. Sesungguhnya aku faham hati ibu dan aku mengerti harapannya. Namun payah sekali untuk aku menuruti permintaannya.

Pasti ibu masih ingat pengalamanku yang lalu. Ya, seakan baru semalam aku mengalaminya, meniti hidup berumah tangga yang lebih pahit berbanding manisnya, yang lebih racun daripada madunya. Tidak mungkin aku mahu mengulangi apa yang pernah terjadi sebelum ini. Bukan kerana aku takut untuk menghadapinya, tetapi selagi nyawa masih belum meninggalkan jasadku, selagi itu aku tidak akan membiarkan Ina disakiti lagi!

Sedangkan ibu kandungnya sendiri tidak dapat memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya buat anaknya sendiri, inikan pula ibu tiri. Masakan aku sanggup melihat Ina menjadi pengemis kasih daripada seorang ibu tiri? Tidak! Hatiku memberontak.

Namun, sanggupkah aku menolak permintaan ibu? Adakah aku bersikap adil pada Ina? Ina dijaga oleh ibuku ketika aku bekerja di pejabat dan setiap kali aku ke luar negara atas urusan kerja. Ina hanya dapat bersamaku pada waktu malam, itu pun kadang-kadang dia sudah tertidur ketika aku mengambilnya dari rumah ibuku, dan juga pada hujung minggu, sekiranya aku tiada urusan penting di pejabat.

Apa mungkin Ina memerlukan seorang ibu lebih daripada aku memerlukan seorang isteri? Kata-kata ibu sebentar tadi tiba-tiba menerjah ke dalam sanubariku. Pada usia Ina yang mentah begini, Ina memerlukan kasih sayang dan belaian seorang ibu. Seseorang yang masih bisa bermain dan bergurau dengannya. Ibuku, walau masih boleh memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang seorang nenek kepada cucunya, pada usia sebegini dia tiada tenaga dan kekuatan untuk bermain dengan Ina, dengan cara yang Ina inginkan.

Aku pula terlalu sibuk dengan duniaku. Bukannya aku tidak boleh mencari seorang pengganti. Bak kata seniwati Sarimah dalam filem Tiga Abdul, ‘sekali kita ketet sepuluh yang datang!’ Tetapi aku yang malas melayan wanita-wanita yang kononnya memujaku.

Aku mengeluh melepaskan kesalku. Sesungguhnya aku telah bertekad untuk tidak lagi menaruh harapan kepada seorang insan bergelar wanita. Aku yakin diri ini tidak mampu lagi menaburkan rasa kasih serta rasa cinta kepada insan lain selain daripada Ina. Aku tidak kesal, jauh lagi berasa sedih. Sudah lama aku menerima takdirku…kutelan segenap kegagalanku…dan kubuang seluruh kekesalanku…demi Ina.

Aku kembali ke mejaku lalu duduk. Aku pantas menyambar ganggang telefon di atas mejaku dan menekan butang untuk menghubungi setiausahaku. “Linda, cancel all my appointments today. I do not wish to be disturbed.”

Yes, sir! Errr…Encik Effendi okey ke? Boleh saya bantu?” Linda tiba-tiba menunjukkan sifat keprihatinannya kepadaku. Bukan aku tidak tahu yang dia sudah lama menaruh perasaannya terhadapku tetapi aku saja yang tidak mengendahkannya. Aku tahu, jika aku memberikan walau setitik harapan kepadanya, pasti dia akan menjadi milikku tetapi aku langsung tidak berminat! Kalau bukan sebab Linda seorang yang amat handal dalam kerjayanya, efisien dan tahu mengikut kemahuan serta rentakku yang cepat lagi agresif, pasti sudah lama aku menukar setiausaha yang baharu.

Nasib baik juga Linda tidak pernah melangkahkan kakinya melepasi garisan hubungan bos-setiausaha dan selalu berkelakuan profesional di hadapanku, walaupun sesekali dia pernah cuba mendapatkan perhatianku.  Pernah sekali dia menghadiahkan aku bunga sempena hari jadiku tetapi aku terus menegurnya dan melarangnya daripada mencampuradukkan kerja dengan kehidupan peribadi. Dia nampak amat berkecil hati ketika aku memulangkan jambangan bunga itu kembali kepadanya namun aku pura-pura tidak nampak. Pernah juga dia menjemputku ke majlis hari jadinya yang dianjurkan kawan-kawannya, tetapi aku menolak secara baik. Aku tidak mahu dia melihatku sebagai seorang kawan. Biar hanya sebagai seorang majikan. Lagi selamat begitu!

“Saya okey.” Ringkas aku berkata-kata sebelum mematikan talian interkom.

Aku harus berfikir sedalam-dalamnya mengenai perkara yang dibangkitkan ibuku tadi. Apakah harus aku akur dengan permintaan ibu? Yang pasti, aku mesti mengambil langkah berhati-hati demi menjaga hati dan perasaan ibu.

Dokumen di atas meja kucapai semula.


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....