Wednesday, 4 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 2


Puan Seri melangkah keluar dari bilik Lia, dan menutupkan pintu dengan rapat. Dia menghela nafas panjang dan terus melangkah kaki menuju ke kamar tidurnya. Wajah Lia yang sugul serta penuh kekesalan masih terbayang di ruangan matanya. Dia lantas duduk di birai katil sambil berdoa agar Allah meredai keputusan yang telah diputuskan dirinya bersama suami untuk anaknya, Lia. Sesungguhnya dia menyedari betapa berat untuk Lia menerima keputusan ini, tetapi dia yakin inilah yang terbaik buat Lia.

Bagi Puan Seri, Lia seorang sahajalah anaknya yang tidak pernah melukakan hati dan perasannya serta suami. Lia seorang anak yang mulia di mata mereka berdua. Puan Seri tahu semua pengorbanan Lia selama ini adalah semata-mata untuk mengubat kembali luka yang tercalit di hati mereka, dek perbuatan abang-abang Lia sendiri. Walaupun dia tahu ada masa-masanya Lia seakan memberontak atas apa yang diputuskan mereka untuknya, Lia tetap menurut kehendak mereka walaupun Lia terpaksa menolak keinginan hatinya sendiri. Puan Seri sedar akan itu…

‘Maafkan mak, Lia,’ bisik Puan Seri. ‘Suatu hari nanti, kau akan faham kenapa ini semua diputuskan buatmu.’

Bukan maksudnya, mahupun suaminya menjadikan Lia mangsa ke atas kekesalan mereka selama ini. Lia bukanlah galang ganti. Ibu mana yang tidak mahu melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup? Ibu mana yang tidak mahu melihat semua anaknya bahagia? Dia tidak terkecuali. Dia juga seperti ibu-ibu lain…

Kehampaan mereka berdua selama ini terubat dengan kepatuhan Lia pada apa saja keputusan yang dibuat untuknya. Puan Seri masih ingat, ketika Mail dan Syam nekad untuk tidak menyambung pelajaran mereka walaupun mendapat keputusan peperiksaan SPM yang amat cemerlang, impiannya untuk melihat anak-anak lelakinya berpendidikan dan berjaya menggenggam ijazah tidak kesampaian. Harapan yang ditaburkan kepada kedua-dua anak lelakinya berkecai bak cermin pecah seribu, tidak mungkin dapat dicantum semula.

‘Mail, Mail’ keluh Puan Seri. Anak sulung yang disangka akan menggalas tanggungjawab membantu menyara keluarga, nekad berkahwin pada usia yang begitu mentah lagi. Perbalahan antara Mail dengan Puan Seri serta suami atas keputusannya, seperti baru semalam berlaku. Seminggu selepas berita gembira yang diterima Mail atas keputusan cemerlang SPMnya, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan keputusan Mail pada malam itu.

Memang Puan Seri perasan yang Mail banyak berdiam diri ketika makan malam pada malam itu. Mail yang selalunya banyak bercerita dan kerap mengusik adik-adiknya, seakan kaku sambil menyuapkan nasi ke mulutnya. Puan Seri menyangka bahawa dia mungkin berasa penat dek keluar bersama rakan-rakannya pada siang tadi. ‘Mungkin dia akan kembali ceria sekiranya mendapat rehat yang secukupnya lepas makan malam nanti,’ fikir Puan Seri.

“Mak, abah, Along ada nak bincang sesuatu dengan mak dan abah,” kata Mail, sebaik sahaja Encik Zulkifli menyalakan rokoknya menandakan dia sudah kenyang menjamu selera.

“Apa dia?” soal Encik Zulkifli. “Mehlah kita ke depan. Biar Lia kemas meja makan ni,” ajak Encik Zulkifli sambil bangun meninggalkan meja makan.

Puan Seri mengekori suaminya ke ruang tamu. Dia berlabuh di atas sofa di sebelah suaminya sambil memerhatikan Mail mengambil tempat di hadapan mereka berdua. Gaya Mail sedikit kaku dan wajahnya mempamerkan jiwanya yang keresahan. Lia dan Syam pula masih di meja makan sambil terjenguk-jenguk ke ruang tamu, tentunya dengan penuh rasa ingin tahu.

“Mak, abah, errrr….sebenarnya Along nak beritahu yang Along dah buat keputusan tak mahu sambung belajar lagi buat masa ni,” kata Mail memulakan bicara dengan suara yang terketar-ketar.

Puan Seri tersentak! Dia menoleh memandang ke arah Encik Zulkifli dan melihat suaminya jua sepertinya. Encik Zulkifli menarik rokok daripada mulutnya dan bertanya, “Apa kau cakap? Tak nak sambung belajar?”

Mail mengangguk dan bersuara, “Bukan tak nak belajar selamanya, abah, tapi Along nak tangguhkan dulu je. Lagipun bila-bila boleh sambung belajar…” Mail sengaja tidak mahu bertentang mata dengan Puan Seri ataupun Encik Zulkifli.

Encik Zulkifli menggelengkan kepalanya seakan tidak percaya dengan apa yang sedang diperkatakan oleh Mail. Dia lantas mematikan api rokoknya di atas bekas abu rokok yang terletak di atas meja di sebelahnya lalu memandang Mail dengan tajam. “Along, bukan senang nak dapat peluang untuk masuk universiti ni. Dengan keputusan kau ni, kau boleh masuk mana-mana universiti yang kau nak. Tawaran biasiswa pun mesti kau akan dapat dengan keputusan macam tu. Siapa tak nak ambik kau?”

Alaah abah ni…” Mail membantah. “Along nak ambik masa sikit je. Lepas ni Along sambunglah belajar…”

“Kau nak buat apa?” tanya Encik Zulkifli dengan suara yang semakin meninggi. Jelas perasaan marah sudah menakluki diri. Puan Seri masih diam seribu bahasa kerana masih terkejut dengan apa yang diputuskan Mail.

Mail menjawab sambil tunduk ke bawah “Along nak kerja dulu, abah, sebab Along dah janji dengan Mila nak kahwin dengan dia.” Perlahan nada suara Mail, hinggakan telinga mereka berdua hampir tidak dapat menangkapnya.

“Kahwin?” tanya Encik Zulkifli sambil memandang ke wajah Puan Seri.

Sambil menggelengkan kepala, Puan Seri mula bersuara “Bang, apa ni? Seri tak faham….Seri tak faham….” Dia lantas menoleh memandang ke wajah Mail. Syam dan Lia kini muncul dari ruang makan dan berdiri tercegat di ruang tamu dengan muka yang terpinga-pinga.

“Along, apa yang Along cakap ni?” tanya Puan Seri kepada Mail. “Along baru 18 tahun. Kenapa nak kahwin cepat sangat? Takkan Mila tak boleh tunggu sampai Along habis belajar?” Pada ketika itu, rasa benci yang dirasakan oleh Puan Seri terhadap Mila datang secara tiba-tiba. Puan Seri tahu Mila merupakan rakan sekolah Mail dan mereka telah menjalinkan hubungan sejak tingkatan tiga lagi. Tetapi Mila tidak mendapat keputusan yang begitu baik untuk peperiksaan SPM yang lalu dan apakah ini menyebabkan Mail tidak mahu meninggalkan Mila, seorang gadis yang digilai ramai jejaka di kawasan perumahan mereka ini? Takut sepanjang peninggalannya ke universiti nanti, Mila akan beralih arah?

“Bukannya Along nak kahwin sekarang, mak. Along nak kerja dulu setahun ni, nak kumpul duit. Lepas tu, tahun depan baru Along kahwin…” jelas Mail. Wajahnya semakin tegang.

“Mak tak setuju! Mak tahu abah kau pun takkan setuju. Mak nak kau sambung belajar dulu. Lepas dah dapat ijazah, dah dapat kerja, kalau kau nak kahwin masa tu mak takkan larang lagi. Sekarang ni mak tak izinkan!” kata Puan Seri dengan nada keras, agar Mail tidak berani membantah keputusannya. Mail yang dididik dengan begitu baik sekali tentu tidak akan membantah kata-kata ibunya. Puan Seri yakin…

“Betul cakap mak,” sokong Encik Zulkifli. “Abah pun sama. Abah tak benarkan kau buat keputusan terburu-buru macam ni. Apa yang kemaruk sangat nak kahwin ni? Belajar sampai habis dulu!”

Mail mengangkat muka. “Abah, Along dah janji dengan Mila. Along dah janji nak kahwin dengan dia dan Along tak nak mungkir janji,” ujar Mail. Matanya merah menahan marah.

“Habis tu, janji kau pada mak dengan abah macam mana pulak? Kau dah lupa?” soal Encik Zulkifli tegas. “Mana lagi penting sekarang ni? Mak dengan abah ataupun si Mila tu? Janji mana yang lebih utama?” Encik Zulkifli menengking tidak puas hati. Pasti rasa terkilan dan kecil hati turut dirasainya, sama seperti Puan Seri.

Mail kembali tunduk. “Maafkan Along, mak…abah…Along tak sanggup kehilangan Mila…”

“Apa maksud Along?” tanya Puan Seri.

Mail menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu bercerita dengan lebih lanjut lagi. Apalah yang berlegar dalam fikiran Mail yang masih terlalu muda ini?

Puan Seri mencuba sekali lagi. “Along,” pintanya dengan suara yang kendur. “Kalau Mila jodoh kau, takkan ke mana nak. Kau sabarlah. Tak lama pun nak belajar ni. Jangan kau sia-siakan peluang yang ada ni. Kesianlah pada mak dan abah…” Dia cuba menahan air matanya daripada mengalir tetapi gagal. Rasa kecewa yang amat sangat meresap ke dalam jiwanya, dan rasa gembira yang baru diraikan, dengan sekelip mata direntap dengan kuat, bagaikan halilintar yang menyambar jantungnya. Syam serta Lia turut merasa terkejut dengan apa yang sedang terjadi. Abang sulung yang sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adiknya, kini lemas ditenggelami rasa cinta dan ketakutan ditinggalkan oleh cintanya.

Mail berdiri dan berkata, “Along dah buat keputusan, mak. Along mintak maaf kalau Along melukakan hati mak dan abah tapi Along nekad. Takde siapa yang boleh menahan Along.” Mail lantas berlalu meninggalkan mereka terpinga-pinga menahan rasa. Dia mengatur langkah keluar dari rumah dan tiada siapa pun berdaya menahannya.

“Along!” panggil Encik Zulkifli. “Along! Mari sini. Abah tak habis cakap lagi!” Namun Mail terus pergi meninggalkan rumah tanpa menghiraukan panggilan bapanya.

Puan Seri menangis melihat Mail pergi. Tanpa disedari, Lia, yang ketika itu baru berusia dua belas tahun, menghampiri lalu memeluk Puan Seri, cuba memujuk ibunya yang sedang menangis, tetapi tiada apa yang dapat menghilangkan kepiluan yang amat sangat yang dirasakan Puan Seri pada malam itu. Puan Seri memandang Syam dengan penuh harapan. Syam yang ketika itu baru berusia lima belas tahun, kini menjadi penyandang harapan kedua orang tuanya.

Setelah berbincang, Puan Seri serta Encik Zulkifli terpaksa merelakan Mail dengan keputusannya, walau terlalu berat untuk ditelan. Mail mula bekerja di kedai membuat perabot di Kelang, yang agak jauh dari rumah orang tuanya. Disebabkan itu, Mail tidak lagi tinggal bersama keluarga kerana tidak sanggup berulang-alik dengan menaiki bas saban hari. Mail mula menyewa bilik tidak jauh dari kedai tersebut dan hubungan mereka anak-beranak, semakin lama semakin jauh dan dingin.

Kenduri kahwin untuk Mail diadakan secara sederhana dan hubungan antara Puan Seri dengan Mila, tidak pernah mesra. Mungkin kerana dia merasakan Milalah yang menyebabkan hancurnya impian serta harapannya, lantas dia tidak dapat menerima Mila dengan sepenuh rasa keikhlasan. Mila juga antara endah dengan tidak endah dengan Puan Seri, dan kerana usianya yang begitu muda, dia tidak begitu mementingkan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Sekali-sekala ketika bertandang ke rumah, sifatnya yang manja dan keanak-anakan menjelikkan Puan Seri. Maillah yang melayan apa sahaja pinta dan mahunya, membuat Puan Seri bertambah kecil hati dan jauh daripada Mail.

Usia perkahwinan mereka tidak lama. Tidak sampai dua tahun. Mila mula rimas tinggal di bilik sewa bersama Mail dan mula meminta itu dan ini daripada Mail. Puan Seri mendapat tahu daripada Syam yang Mail seakan tidak dapat memuaskan hati Mila yang bosan duduk di bilik sewa mereka ketika Mail pergi bekerja. Maka Mail membenarkan Mila bekerja di kilang membuat sarung tangan tidak jauh dari tempat Mail bekerja. Di situlah bermulanya kisah duka Mail, kisah kecurangan Mila, dan kisah Mail dan Mila yang berakhir dengan suatu perceraian.

Dengan perceraian Mail dan Mila, hubungan mereka sekeluarga tidak juga pulih. Rasa simpati terhadap Mail tidak menjangkau rasa sakit hati, rasa duka, rasa kecewa, rasa amarah yang ditinggalkan Mail buat Puan Seri serta suami. Mail tetap bekerja di kedai yang sama dan terus menyewa di bilik yang sama. Sekali sekali sahaja Mail balik menjenguk orang tuanya. Niatnya untuk sambung belajar masih belum ditunaikan.

Ingatan Puan Seri kepada Mail mengembalikan semula kesedihan yang masih belum dapat dilenyapkan sepenuhnya. Dia menyangka Syam dapat mengembalikan semula semangat dan memulihkan harapan mereka suami isteri untuk melihatnya belajar di universiti. Malangnya, sekali lagi mereka dikecewakan. Syam mengambil pendekatan mengikut jejak langkah abangnya untuk bekerja dan berkahwin pada usia muda. Perceraian Mail sedikit pun tidak merubah keinginannya untuk berkahwin dengan Suhaila. Bantahan serta rajuk yang dipamerkan Puan Seri serta Encik Zulkifli tidak mendatangkan sebarang hasil. Syam juga nekad dengan keputusannya untuk berkahwin pada usia sembilan belas tahun. Tiga tahun selepas Mail melangsungkan perkahwinannya, keluarga Encik Zulkifli berkenduri lagi. Tetapi kini untuk Syam.

Puan Seri mengeluh. Seorang anaknya pembuat perabot dan seorang lagi bekerja sebagai seorang mekanik. Walaupun Syam nampak bahagia hidup bersama isteri dan anak-anaknya, dan walaupun dia dapat menerima kehadiran Suhaila lebih baik berbanding dengan Mila serta rasa bahagia dengan kehadiran cucu-cucunya, dia tidak dapat menolak perasan kecewa yang dua kali terpalit di sanubarinya.

Kini, Lia sahajalah harapan mereka. Puan Seri bangga dengan kejayaan Lia dapat menggenggam segulung ijazah daripada sebuah universiti terkemuka tanah air dan dia bangga Lia bakal menjadi seorang peguam. Puan Seri langsung tidak mengharap sebarang bantuan kewangan daripada Lia. Cukuplah dengan segala pengorbanannya serta kepatuhannya terhadap kedua orang tuanya selama ini. ‘Inilah pengorbanan terakhirmu, Lia,’ fikir Puan Seri. ‘Suatu hari nanti, mak percaya kau akan faham kenapa mak buat begini.’

“Macam mana dengan Lia?” Suara Encik Zulkifli mengejutkan Puan Seri daripada lamunan. Dia menoleh ke arah muka pintu. Encik Zulkifli melangkah kaki masuk ke dalam bilik.

Puan Seri menghela nafas berat. “Mestilah dia tak nak, bang. Tapi macamlah abang tak faham dengan perangai si Lia tu. Mula-mula je dia bantah. Lepas tu, dia mesti ikut punya.”

Encik Zulkifli mengeluh. Dia membaringkan dirinya yang sedikit kepenatan di atas katil, sambil menyilangkan lengannya di atas dahi. Matanya bertumpu ke arah kipas yang berputar ligat di siling. “Kita ni dah keterlaluan sangat ke, Seri? Kita ni dah banyak sangat paksa dia buat benda yang dia tak suka. Masa dia sibuk nak masuk asrama masa tingkatan 1 dulu, kita tak bagi. Kita nak dia duduk rumah supaya kita boleh control semua gerak-geri dia. Dia nak ambik jurusan sains, kita suruh dia ambik jurusan sastera. Masa dia nak jadi cikgu, kita tak bagi jugak. Kita paksa dia jadi peguam. Sekarang, hal ni pulak. Abang tak mahu dia bencikan kita…”

Puan Seri mendengus. “Mana pernah Lia bencikan kita, bang? Lia soranglah yang sayangkan kita seperti mana anak patut sayang pada mak dan ayahnya. Midah dah cerita segalanya pada Seri pasal budak Effendi tu. Seri berkenan betul dengan dia, walaupun Seri hanya tengok gambar dia je. Sesuai betul dengan Lia, bang. Seri tak kisah pun tentang status dia…”

Encik Zulkifli hanya diam. Matanya tidak berkalih dari kipas yang menjadi santapan matanya.

Puan Seri mencuba lagi. “Lagipun, si Midah tu, berkenan betul dengan Lia. Daripada Lia jatuh pada tangan orang yang entah sape-sape, baik dengan orang yang kita kenal dan rapat dengan kita.”

Akhirnya Encik Zulkifli mengalihkan pandangannya dari siling ke arah isterinya. “Tapi Lia dah besar, Seri. Dia dah dewasa. Dia dah berhak tentukan masa depan dia sendiri.” Encik Zulkifli bangun dan duduk menghadap Puan Seri. Terbit garis-garis kerisauan di wajahnya. “Dia dah banyak sangat berkorban untuk kita. Abang dah tak sanggup dah nak paksa dia buat benda yang dia tak nak. Cukuplah…”

“Bang, ini yang terakhir. Seri betul-betul yakin dengan keputusan kita ni. Lia ni, umur dah dua puluh empat tahun dah. Nak tunggu sampai bila baru nak kahwin? Anak-anak saudara kita yang lain, umur macam ni dah lama kahwin dah…”

Alaah…sekarang ni orang dah tak kisahlah, Seri. Dua puluh empat tu kira muda lagi sekarang ni. Bukan macam zaman kita dulu,” bidas Encik Zulkifli.

“Habis tu, abang tak setujulah dengan keputusan ni?” Soal Puan Seri dengan nada merajuk. Tidak puas hati.

“Abang setuju sampai tahap Lia pergi jumpa dengan Effendi tu je. Kalau dia tak nak kahwin, abang tak nak paksa. Awak pun sama, Seri. Ingat! Kalau Lia tak nak kahwin, kita terima je keputusan Lia bulat-bulat.” Encik Zulkifli memberi amaran.

Alaaa, bang! Malulah Seri dengan Midah nanti.” Puan Seri tidak mahu membayangkan bagaimana hancurnya harapan Puan Hamidah nanti sekiranya Lia tidak mahu berkahwin dengan Effendi. Padahal, dirinya juga yang beria-ia meyakinkan Puan Hamidah bahawa Lia akan menurut kata-katanya. Tidak! Lia mesti menurut kemahuannya!

“Kalau dia kawan rapat awak, dia akan faham dan dia takkan kecik hati.”

Eeeeee! Tak logik betul orang lelaki ni. Ada pulak tak kan kecik hati. Takkan dia tak tahu orang pompuan ni macam mana!’ Puan Seri menjeling dan memuncungkan mulutnya tanda protes. ‘Baik aku diamkan je. Pandailah aku pujuk si Lia tu.’

“Dahlah. Seri nak ke dapur.” Puan Seri pantas keluar dari bilik tidurnya, tetapi dia sempat mendengar bebelan suaminya sendirian yang tidak puas hati isterinya keluar meninggalkannya sedangkan dia masih belum habis berbincang lagi. ‘Hesy, lantaklah!’ dengus Puan Seri.


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....