Monday, 16 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 14


Intan Marliana

Sepanjang malam aku tidak bisa tidur. Asyik memikirkan tentang apa yang diperkatakan Effendi malam tadi. Kata-kata yang telah membunuh segala harapanku untuk membina rumah tangga bersama seorang lelaki bergelar suami. Aku sangkakan dia bersetuju berkahwin denganku atas dasar patuh kepada permintaan ibu dan bapanya, sama sepertiku. Dan bukan kerana aku diperlukan hanya untuk menjamin kemenangannya di mahkamah nanti. Aku mendengus. Geram dan marah pabila dipermainkan begitu rupa.

Walaupun dia pilihan orang tuaku, ketika hatiku mula berubah, terbit harapan di hatiku untuk membina sebuah keluarga bersamanya. Sekiranya orang dulu-dulu boleh berkahwin dan membina kebahagiaan bersama walaupun atas dasar pilihan keluarga, kenapa tidak kami? Tetapi harapan itu hancur berkecai kini. Tiada erti ‘selama-lamanya’ dalam kamus kehidupanku kini. Aku hanya diperlukan untuk jangka masa yang singkat. Cukup singkat!

Apa yang harus aku lakukan?

Yang pasti, aku telah diberi pilihan dan apa pun pilihanku nanti, dia akan akur dengan keputusanku. Apakah aku akan memilih untuk kekal menjadi isterinya setelah semuanya selesai nanti? Ah! Mana pergi harga diriku nanti sekiranya aku membuat keputusan sebegitu sedangkan aku tahu dia langsung tidak mahu mengahwiniku, kalau bukan kerana tindakan Mona? Takkan aku sanggup mahu berterusan menjadi isterinya sedangkan sudah jelas hatinya sudah tertutup buat mana-mana perempuan? Dia sendiri telah mengakuinya.

Lagipun, Effendi memilih untuk berterus-terang denganku, hanya kerana dia tidak mahu aku beranggapan yang dia mencintaiku. Aku tahu dia tidak mencintaiku dan dia langsung tidak mengharapkan cinta daripadaku. Cuma silapku adalah memikirkan yang dia berkahwin denganku, kerana taat kepada permintaan orang tuanya dan akan belajar menerimaku sebagai isterinya, sama seperti aku ingin menerimanya sebagai suamiku.

Tetapi sanggupkah aku diceraikan? Sama ada sekarang atau di kemudian hari? Apa pula pandangan kedua-dua ibu bapaku nanti? Apakah mereka dapat menerima hakikat kegagalan rumah tanggaku?

‘Ya Allah. Bantulah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku sangat buntu.’ Aku meraup wajah. Pelipis yang terasa sakit aku picit perlahan.

Pintu bilik air tiba-tiba diketuk lembut. Aku tersentak. “Lia? Lia kat dalam ke?” suara Effendi mengejutkanku. Hinggakan terangkat sedikit bahuku.

Aku membuka pintu dan melihatnya siap berpakaian di hadapanku. ‘Bila dia bangun?’ fikirku. ‘Berapa lama aku duduk dalam bilik air ni?’ Mataku tidak dapat menidakkan ketampanannya yang santai berjean biru lusuh serta berbaju Polo berwarna hitam. Baju yang muat-muat di badan menyerlahkan dadanya yang bidang dan lengan yang berotot. Aku pantas melarikan pandangan dari tubuhnya ke wajahnya.

“Lia. Sarapan dah siap. Abang janji nak ambik Ina pagi ni. Lia boleh siap sekarang? Abang tunggu Lia kat bawah.” Effendi memandangku kehairanan. Pasti tertanya-tanya mengapa aku memerapkan diri di dalam bilik air ini.

Aku mengangguk. Effendi lantas mengatur kaki keluar dari kamar. Syukur aku sudah siap berpakaian selepas mandi tadi. Niat di hati ingin mencuri ketenangan dan berfikir sebentar di dalam bilik air ini. Tidak tahu sama ada aku bebas menggunakan ruang-ruang lain di dalam rumah ini. Ini bukan rumahku, tetapi aku sekadar menumpang untuk sementara waktu sahaja. Kehadiranku tidak diingini sepenuhnya. Aku tidak layak menjadi permaisuri di dalam istana ini. Aku melangkah malas menuju ke cermin.

Aku cepat-cepat mengenakan tudungku untuk dipadankan dengan blaus biru dan seluar panjang berwarna hitam di badanku lalu mencapai tas tangan. Aku turun ke bawah menuju ke ruang makan.

“Duduklah. Abang tunggu Lia makan bersama ni,” pelawa Effendi penuh sopan. Dia sudah pun mengambil tempat di meja makan.

Aku menarik kerusi kayu jati dengan penuh hati-hati. Beratnya. Dudukku bertentangan dengan suamiku. Aku hanya tunduk. Tidak sanggup bertentangan mata dengannya. Hati masih terluka dengan luahannya malam tadi.

Sarapan dijamu bersama tanpa sebarang perbualan. Kaku dan tidak selesa. Kulihat Effendi asyik memandangku dan kadangkala seperti dia ingin berkata sesuatu kepadaku. Tetapi dia tidak meneruskannya. Aku hanya tunduk dan memaksa diriku menjamah nasi goreng yang telah siap terhidang di atas pingganku. Suapanku berselang-selikan tegukan Nescafe panas. Sukar untukku menghabiskan nasi goreng buatan Mak Cik Leha. Namun aku bersyukur kelibat Mak Cik Leha tidak kelihatan. Lega aku tidak perlu melakonkan watakku pada saat-saat begini di hadapannya. Sudah tentu fail!

Ketika dalam perjalanan menuju ke rumah ibu Effendi, yang terletak kurang lima minit dari rumahnya, Effendi bertanya sama ada aku telah membuat keputusanku.

“Belum lagi. Lia tak tahu nak cakap apa…” ujarku perlahan. Sesungguhnya aku perlukan masa untuk membuat keputusanku.

Effendi mengerling ke arahku. “Sebenarnya, Lia takde pilihan lain, betul tak?” Soalannya tiba-tiba menimbulkan rasa amarahku. “Takkan Lia nak bercerai sekarang sedangkan kita baru je dua hari kahwin? Apa pulak kata mak dan abah Lia nanti, kan?”

Aku memandangnya tajam. “That was your plan from the very beginning, wasn’t it?” tuduhku.

“Ya betul! Itu memang rancangan abang. Abang tahu Lia akhirnya akan menurut permintaan abah dan mak Lia untuk berkahwin dengan abang. Sebab itu abang yakin Lia akan jadi isteri abang.” Dia mengaku tanpa riak bersalah.

Ingin sahaja aku melepaskan rasa marahku padanya tetapi kami sudah pun sampai di hadapan pintu pagar rumah keluarga mentuaku. Ombak amarah yang tiba-tiba melanda, ku tahankan sahaja.

“Lia, kita dah sampai. Kalau Lia nak marah abang pun, abang mintak Lia tunggu bila kita dah sampai rumah nanti. Not here, please.” Effendi merayu. Matanya dalam merenungku. Tidak sukar untuk dia meneka perasaanku. Mungkin jelas dari riak wajahku dan kekakuan tubuhku.

Aku mengekorinya keluar dari perut kereta menuju ke pintu masuk. Ina sudah sedia menunggu. Dia membuka pintu lalu terus melompat ke dakapan Effendi. Effendi mengucupnya mesra dan memintanya bersalam denganku. Aku menyambut huluran tangannya dengan seyuman yang sedikit dipaksa sebelum mengucup pipi gebunya. Ina membalas senyumanku.

“Fendi, Lia, mehlah masuk dulu,” mama menyapa kami dari ruang tamu. Dia bangun dari sofa dan mendekati kami yang masih berdiri di muka pintu.

Takpelah, ma. Kita orang ada hal ni. Nantilah, ya bila-bila kita orang singgah.” Effendi menolak pelawaan ibunya.

“Yalah, mama faham. Pengantin barulah katakan. Mesti nak luangkan masa berdua, kan? Kalau Fendi nak tinggalkan Ina sehari dua lagi atau seminggu dua dengan mama pun takpe,” sindir mama sambil tersenyum lebar.

Aku faham benar dengan usikan ibu mentuaku. Luangkan masa berdua? ‘Tidak mungkin akan terjadi, mama.’

Effendi menolak cadangan mama dengan baik sambil mengambil beg pakaian Ina dan meminta diri untuk pulang. Aku mengikut Effendi bersalam dengan mama. “Balik dulu, ma.”

Mama mengangguk sambil mengusap pipiku. Aku terharu campur sebak. Terharu kerana tiada syak di hatiku akan perasaan dan penerimaan mama terhadap diriku. Aku sebak memikirkan terpaksa berpura-pura di hadapan keluargaku dan juga mentuaku akibat keputusan Effendi yang ternyata memihak kepada dirinya seorang. Selfish!

Kami beredar dari rumah mama dan sangkaku kami akan pulang ke rumah. Namun Effendi terus membawa kereta menghala ke arah yang berlainan.

“Kita nak pergi mana ni?” Aku menyoalnya.

“Kita tak habis bincang lagi, kan?” balas Effendi.

Aku hanya membatukan diri. Nampaknya dia tidak mahu berbincang di rumah. Mungkin tidak mahu Mak Cik Leha atau suaminya mengetahui permainannya. Permainan serta penipuannya.

Effendi memandu menuju ke Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur. Ina duduk di kerusi belakang sambil bermain dengan anak patungnya dan langsung tidak menyedari ketegangan antara aku dengan Effendi.

Setibanya kami ke tempat yang dituju, kami berjalan menuju ke taman permainan kanak-kanak. Ina berjalan antara aku dengan Effendi sambil memimpin tangan papanya. Tiba-tiba, Ina memegang tangan kiriku. Tangannya terasa kecil dan halus. Aku tunduk untuk memandangnya kerana tidak sangka dia akan memegang tanganku, pada masa yang sama dia mendongakkan kepalanya untuk memandangku. Wajahnya menampakkan keraguan, seolah-olah dia takut menunggu reaksiku. Aku senyum lalu menggenggam tangan kecilnya. Effendi menyaksikan perlakuanku sambil mengukirkan senyuman penuh makna. Mata kami bertaut buat seketika.

Effendi membiarkan Ina bermain di taman permainan tersebut sambil memantaunya dari jauh.

“Duduk, Lia,” pinta Effendi.

Aku menurut. Aku melabuhkan punggung di bangku berdekatan. Dia mengambil tempat di sebelah kananku. Paha kirinya menyentuh sedikit paha kananku. Aku mengengsot sedikit ke kiri untuk menjarakkan sedikit tubuhku. Effendi hanya memandang.

“Kenapa abang tak berterus-terang je dengan Lia sebelum kita kahwin?” Aku terus menerjah. Tidak berdaya kutahan lagi.

“Sebab abang tak mahu bagi Lia peluang tolak pinangan abang! Mama ada ceritakan pada abang segalanya tentang Lia…macam mana Lia patuh menurut permintaan abah Lia untuk menjadi seorang peguam, macam mana Lia bersetuju bertemu dengan abang sebab mak Lia yang suruh dan macam-macam lagi. Lia sangat taat pada abah dan mak. Jadi, abang tahu kalau mak suruh Lia kahwin dengan abang, Lia pasti akan bersetuju jugak. Cumanya, kalau mak dan abah Lia tahu sebab sebenar abang nak kahwin dengan Lia, diaorang mungkin takkan setuju. Diaorang mesti takkan lepaskan Lia jadi isteri abang. Jadi abang diamkan saja…”

Riak bersalahkah itu yang singgah di wajahnya?

“Abang tak patut buat Lia macam ni,” kataku dengan nada yang sangat kesal. “Abang kejam...”

You were my only hope! Abang takde pilihan lain…”

“Lia masih tak faham kenapa abang pilih Lia!” Aku masih merungut.

Effendi mengeluh kecil. “Macam abang cakap semalam, memang abang kenal ramai perempuan lain tapi takde sorang pun yang menepati cita rasa mama. Abang tahu mama tak pernah sukakan Mona tapi mama tak pernah cakap apa-apa pun pada abang. Mungkin mama lebih kenal Mona daripada abang sendiri. Lagipun perempuan-perempuan lain yang abang kenal tu, semuanya nakkan harta abang je. Diaorang semua tak ikhlas nak mencintai abang, apa lagi Ina.”

Effendi menggapai tangan kananku dan menggenggamnya. Hangat. Aku tersentak namun membiarkan sahaja. Aku ingin menyaksikan sendiri sejauh mana kesungguhannya dalam mempengaruhi keputusanku. “I really need your help, Lia. Abang sanggup buat apa saja sebagai balasan, tapi tolonglah abang untuk kekalkan Ina dalam penjagaan abang.” Effendi merayu lagi.

Aku tahu aku tiada pilihan lain selain daripada bersetuju dengan permintaannya. Dia bijak menjeratku. Mana bisa aku meminta cerai daripadanya sekarang. Aku memegang gelaran isteri baru masuk hari ketiga. Apa pula kata mak dan abah nanti? Tentu mereka malu sekiranya berita perceraian aku keluar di dada-dada akhbar nanti. Entah-entah masuk Malaysian Book of Records sebagai perkahwinan yang paling singkat dalam sejarah perkahwinan di Malaysia. Nampaknya, terpaksalah aku berlakon menjadi isterinya agar dia tidak akan kehilangan Ina.

“Baiklah, Lia sanggup tolong abang tapi Lia ada syarat-syaratnya.” Aku tegas bersuara.

Effendi menghela nafas lega dan menguatkan lagi genggamannya pada tanganku. Ketegangan di wajahnya terus lenyap.

“Bila ada orang luar, Lia akan cuba berlakon sebagai isteri abang. Cuma abang kena bagi Lia masa untuk menyesuaikan diri Lia dengan abang. Lia tak biasa...”

Effendi mengangguk tanda setuju.

“Tapi abang mesti bagi Lia kebebasan dalam kehidupan Lia. Lia nak kebebasan untuk pergi bekerja, untuk bergerak ke sana-sini, untuk berjumpa keluarga ataupun kawan-kawan Lia. Lia nak bebas keluar dengan kawan-kawan Lia dan abang tak boleh nak halang Lia. Lia tahu batas-batas Lia sebagai seorang isteri, jadi abang tak perlu risau. Cuma Lia tak nak setiap sekali Lia nak keluar, Lia kena mintak izin abang.” Aku meletakkan syaratku yang pertama.

“Okey. Abang setuju.” Laju sahaja Effendi memberikan persetujuannya.

“Lagi satu....abang ingat apa abang cakap malam tadi? Yang abang dengan rela lepaskan Lia daripada tanggungjawab Lia sebagai isteri?” Soalku inginkan kepastian. Bagiku, tidak perlu aku melaksanakan tanggungjawabku yang satu itu sekiranya tempoh perkahwinan aku dengannya akan ternokhtah suatu hari nanti. Aku hanya isterinya di atas kertas. Cukuplah sekadar aku melakonkan watak aku itu. Tidak perlu melebih-lebih. Sudahnya, aku jua yang akan terluka nanti.

Riak wajahnya bertukar untuk seketika tetapi pantas Effendi menyembunyikannya.  Apakah maksud riak wajahnya tadi? Kecewakah? “Abang ingat...” Perlahan Effendi bersuara.

“Dan kalau semuanya dah selesai, abang takkan halang Lia, kalau Lia…kalau Lia…” Kata-kataku terhenti. Tidak sanggup aku meneruskannya. Tidak pernah aku bermimpi untuk berkahwin dan akhirnya diceraikan. Tetapi, inilah hakikatnya. Effendi tidak berniat untuk menganggap aku sebagai isterinya…tidak mahu membina rumah tangga ini hingga ke akhirnya…

Kening Effendi bertaut. “Kalau itu yang Lia mahu, abang takkan halang,” kata Effendi memahami sepenuhnya maksudku. “Lia, sekali lagi abang mintak maaf. Dan abang berterima kasih pada Lia. Lia boleh mintak apa saja daripada abang. Abang akan tunaikan sebagai balasan.”

Aku diam. Tidak tahu bagaimana hendak membalas.

Ina tiba-tiba berlari ke arah kami. “Papa, Ina dahagalah…” rengekannya menghentikan seketika perbincangan kami.

Effendi memaut bahu Ina. “Okey, papa pergi beli air kejap. Ina duduk sini temankan umi, ya?”

‘Umi? Aku suka…’

Ina mengambil tempat di sebelahku dan asyik memandangku. Inilah kali pertama aku ditinggalkan berduaan dengan Ina. Entah mengapa, setiap kali memandangnya, terdetik rasa simpati yang amat dalam terhadapnya. Seorang anak yang tidak berdosa, tidak pernah merasai kasih sayang daripada ibu kandungnya, walaupun ibu kandungnya masih bernyawa. Secara spontan aku mengusap pipinya yang tembam lagi gebu.

“Ina dah sekolah?” soalku ingin memecahkan kesunyian.

“Dah…sekolah Ina best tau. Cikgu Ina pun best.” Petah Ina menjawab. Wajahnya berubah ceria. Mungkin teruja pabila aku membangkitkan isu sekolahnya.

“Ya ke? Apa yang best?” Comel sungguh Ina ni.

“Sekolah Ina ada buai, ada gelongsor, ada pondok…Lepas tu, Ina ramai kawan. Cuma Ina tak suka kawan dengan boys. Boys naughty!” Ina mengerutkan wajahnya. Ingin menekankan perasaannya terhadap kanak-kanak lelaki di sekolahnya mungkin.

Aku tergelak kecil mendengarnya. Ina terus bercerita tentang sekolah serta kawan-kawannya. Terserlah kebijaksanaannya. Ternyata Effendi merupakan seorang bapa yang baik serta penyayang. Melebihkan Ina dalam segala hal dan dalam segala keputusan yang dibuatnya. Apakah aku akan melakukan perkara yang sama demi melindungi anak tunggalku seperti apa yang dilakukan oleh Effendi ini? Entahlah. Mungkin juga…

Aku masih melayan Ina untuk terus bercerita.

“Umi ni cantiklah!” Ina tiba-tiba menukar topik.

“Eh! Ya ke? Mana ada…Ina lagi cantik daripada umi.” Entah mengapa, membahasakan diriku sebagai ‘umi’ kepada Ina membuatku rasa amat selesa. Sejuk hatiku mendengar Ina memanggilku dengan panggilan ‘umi’.

“Papa, papa! Umi ni cantik kan?”

Tanpa ku sedari, Effendi sedang berdiri di belakang bangku kami sambil memegang tiga kotak minuman. Effendi mengambil tempat di sebelah Ina. Selepas menghulurkan sekotak minuman kepada Ina dan sekotak lagi kepadaku, pandangan Effendi melekap tepat ke wajahku.

“Memang umi ni cantik…cantik sangat!” Effendi berkata-kata dengan suara yang dalam tetapi lembut. Sepasang matanya seolah-olah membelai wajahku. Walaupun tanpa sentuhan, aku masih bisa merasakan kehangatannya. Aku pasti mukaku semakin memerah. Effendi tersenyum. Garisan di pipinya itu benar-benar menggodaku.

Aku tunduk. Renungannya membuatku rasa tidak selesa. Ah! Aku mesti kuat! Ini semua lakonan semata-mata. Dia langsung tidak merasakan apa-apa pun terhadapku. Bodohlah aku sekiranya aku jatuh hati terhadapnya. Aku mesti pandai mengawal perasaanku agar tidak ‘termakan’ dengan kata-kata pujiannya. Tetapi…mampukah aku? Sesungguhnya, aku tidak dapat menafikan bahawa daya tarikan dan auranya amat kuat sekali. Jika aku tidak berhati-hati, aku bakal terjatuh nanti!

Mengapa aku tidak berperasaan begini ketika dengan Azim dulu? Tiada debaran yang kurasakan setiap kali Azim merenung ke mataku. Aku tidak gugup atau merasa tidak menentu bila bersamanya, padahal aku mencintainya! Tetapi bila bersama Effendi, semuanya menjadi tidak menentu. Sah-sah aku tidak mencintai Effendi. Aku langsung tidak memahami diriku sendiri!


*************

Hari-hari yang berlalu membawa aku lebih dekat dengan Ina. Sementara menunggu tawaran pekerjaan, aku banyak meluangkan masa dengannya. Effendi kembali bekerja semula seperti biasa dan tinggallah aku di rumah menemani Ina sebelum dan selepas waktu persekolahannya. Aku hanya bersama Effendi pada waktu sarapan dan waktu makan malam. Di rumah pun, Effendi kerap memencilkan dirinya di dalam bilik kerjanya, dan hanya masuk ke dalam bilik tidur kami ketika aku sudah lena dibuai mimpi. Selalunya, aku tidak akan sedar pukul berapa dia masuk ke dalam bilik tidur kami setiap malam.

Kadang-kadang aku terjaga di tengah malam kerana terasa diri seperti diperhatikan, walaupun dalam tidurku. Ketika aku membuka mata, kulihat Effendi sedang tidur di sebelahku. Terkadang juga aku merasa seperti disentuh dan dibelai. Namun aku tahu itu semua hanyalah mainan tidurku.

Dan setiap kali aku bangun dari lenaku pada setiap pagi, Effendi sudah terlebih dahulu pergi meninggalkan bilik kami.

Di hadapan Mak Cik Leha, Pak Cik Osman dan juga Ina, kami cuba berbicara dan berinteraksi sebagai pasangan suami isteri yang lain. Kami jarang berdua-duaan di dalam rumah melainkan ada Ina. Effendi melayanku dengan baik serta penuh hormat dan tidak pernah meminta haknya sebagai seorang suami. Dia ternyata memegang kepada janji.

Suatu pagi, selepas Ina sudah ke sekolah, aku menerima panggilan telefon daripada Abang Mail. Abang Mail ingin bertemu denganku. Aku mencadangkan agar pertemuan biarlah di rumah orang tua kami sahaja tetapi Abang Mail menolak dengan alasan ingin berbincang secara sulit denganku. Aku bersetuju dan kami bertemu di Restoran Mas Merah di ibu kota.

“Lia sihat?”

“Lia okey. Along camana?”

“Along sihat, macam biasa.” Abang Mail tersenyum. “Along saje je nak jumpa Lia, nak tanya pendapat Lia tentang sesuatu.”

“Pendapat apa Long?”

“Pasal Kak Mila…” meleret balasan abang Mail. Meleret dan perlahan.

Aku terkejut. Sudah lama aku tidak mendengar Abang Mail menyebut nama bekas kakak iparku itu.

“Sebelum Lia bertunang dulu, Mila ada datang jumpa Along. Along pun terkejut sebenarnya. Sejak kita orang bercerai dan Mila berkahwin lain, memang Along tak pernah jumpa dia lagi. Tiba-tiba je dia muncul.” Abang Mail memulakan cerita.

“Dia nak apa, Along?”

Diam.

“Lia tahukan, tak lama lepas Mila tinggalkan Along dulu, dia kahwin dengan bos dia kat kilang tu. Bos dia tu pangkat pengurus, anak tuan punya kilang pulak tu, mestilah kaya, kan? Mila tergoda dengan kekayaan yang dilimpahkan bosnya tu sampai sanggup tinggalkan Along. Sebelum tu, Along pernah tangkap mereka berduaan di dalam bilik sewa kami, dalam keadaan yang sangat memalukan.” Abang Mail tunduk. Wajahnya berubah kelam.

Aku terkejut. Walaupun aku tahu tentang kecurangan Kak Mila, namun Abang Mail langsung tidak pernah menceritakan padaku tentang ‘penangkapan’ Kak Mila bersama kekasihnya itu.

“Mila kahwin kat sempadan. Rupa-rupanya Mila ni bukan isteri pertama si Lokman tu. Dia tergila-gilakan Mila sebab kecantikan Mila. Lepas kahwin barulah Mila tahu yang dia sebenarnya ada madu tapi dia masih tetap setia dengan Lokman. Malangnya, Lokman yang tak setia. Masih mencari perempuan lain walaupun dah ada dua orang isteri. Mila ditipu hidup-hidup…”

“Astaghfirullah…” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. ‘Kesiannya Along…’

“Biasalah Lia, bila duit dah banyak, kan? Macam-macam boleh buat! Mila tak tahu perangai Lokman yang sebenarnya, hinggalah Mila jatuh sakit. Bila Mila check kat hospital, barulah Mila tahu yang dia ada kanser pangkal rahim akibat dijangkiti virus. Kemungkinannya jangkitan daripada Lokman. Entah dengan perempuan mana yang Lokman tidur dan dapat virus tu, lepas tu dia jangkitkan pada Mila.”

“Ya Allah, Along…” Aku menekup mulut.

“Lokman baru-baru ni meninggal. Dia accident. Mila takde tempat nak tuju sebab keluarga Lokman tak tahu pun Lokman kahwin dengan Mila. Lokman pun tak pernah daftarkan perkahwinan mereka kat sini. Puas Mila cari surat nikah tapi tak jumpa.  Kadi dengan saksi pun Mila tak kenal. Yalah, kahwin kat sempadanlah katakan. Jadi, Mila susah nak buktikan yang dia isteri kedua Lokman. Bila dia pergi jumpa dengan madu dia, madu dia halau dia dari rumah. Madu dia tak percaya yang dia isteri Lokman. Isteri pertama Lokman sampai sekarang masih percayakan suami dia. Dia kata Mila penipu.”

Aku menggelengkan kepalaku. Sukar untukku bayangkan nasib yang menimpa Kak Mila.

“Mila datang jumpa Along sebab masa dia dah tak lama lagi, Lia. Dia datang untuk mintak kemaafan daripada Along atas semua dosa dia yang lalu. Along dah lama maafkan. Cuma keluarga Mila je yang masih susah nak maafkan dia. Tapi Along percaya, lambat laun, diaorang akan maafkan Mila…” sambung Abang Mail.

“Apa lagi yang Kak Mila cakap dengan Along?”

Abang Mail menghela nafas berat.“Mila dah insaf sekarang. Dia dah banyak berubah sebab dia tahu masa dia kat dunia ni dah tak lama. Bila-bila saja dia boleh pergi tinggalkan kita semua. Dah lama jugak Mila hidap penyakit ni …Errr…Along nak tanya pendapat Lia la…” Jeda.

“Apa dia?” Tanyaku dengan nada tidak sabar.

“Along sebenarnya dah buat keputusan untuk jaga Mila sampai ke akhirnya.”

Aku terkejut.

“Along fikir Mila dah takde siapa lagi dalam dunia ni. Kawan pun takde. Untuk masa yang tinggal ni, biarlah Along jaga dia. Dia pun asyik turun naik hospital je sekarang. Takde siapa jaga dia. Walaupun dia bekas isteri Along dan Along dah takde sebarang tanggungjawab dah terhadap dia, Along tak sampai hati nak biar dia berseorangan dalam keadaan macam ni. Lainlah kalau keluarga dia dapat terima dia balik.”

Ya Allah! Mulianya hati abang ku ini! Walaupun hatinya pernah dihancur lumat-lumat oleh wanita ini, dia masih boleh menerima malahan mahu menjaganya pula. Perasaan terharu bertandang.

“Salah ke apa yang Along nak buat ni, Lia?” soal abang Mail penuh ragu-ragu.

Aku menggelengkan kepalaku. “Lia rasa apa yang Along nak buat tak salah. Lia sokong keputusan Along sepenuhnya,” kataku sebak. Bertuahnya Kak Mila. “Along akan beritahu mak dengan abah ke?”

Giliran Abang Mail menggelengkan kepalanya. “Tak payahlah, Lia. Mulanya Along ada cadang nak beritahu mak dan abah tapi, biarlah Along dengan Lia je yang tahu. Nanti lain pulak fikir mak dengan abah tu. Hubungan Along baru je nak baik dengan diaorang. Takut nanti, Along sebut je nama Mila, terus kucar-kacir balik semuanya…”

Aku bersetuju dengan pendapat Abang Mail. Ya. Biarlah dulu. Sesetengah perkara biarlah ayah dan ibuku tidak tahu. “Yalah Along. Betul jugak cakap Along. Nanti bila Along rasa nak beritahu, Along beritahulah nanti, ya?” usulku.

Abang Mail mengangguk. Dia tersenyum manis. “Lega Along dapat bincang dengan Lia. Dah lama Along pendam ni semua sorang-sorang. Along tak nak kacau Lia sebelum ni sebab Along tahu Lia tengah runsing fikirkan hal perkahwinan dengan Effendi. Jadi Along tunggu semuanya selesai barulah cari masa nak jumpa dengan Lia. Terima kasih, Lia luangkan masa untuk jumpa Along hari ni...”

“Eh! Takde apa-apa lah Long. Lia kan tengah menganggur ni. Mestilah banyak free time, kan?” Aku bergurau. Tidak selesa Abang Mail menyentuh tentang Effendi. Aku tidak mahu Abang Mail menyoal yang bukan-bukan tentang aku dan Effendi kerana aku takut tidak mampu untuk berbohong dan menyimpan kebenaran daripada abangku.

Abang Mail tersenyum. Nampak garis-garis kelegaan di wajahnya. Aku benar-benar kagum dengan kekuatan abangku ini. Kak Mila bertuah kerana pernah mengenali seorang lelaki seperti Abang Mail. Aku hanya mampu berdoa yang suatu hari nanti Abang Mail akan berjumpa dengan seorang wanita yang akan menyedari betapa bertuahnya dia mendapat seorang suami sepertinya. Aku bercadang untuk melawat Kak Mila dalam waktu yang terdekat ini.




No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....