Sunday, 15 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 13


Asrul Effendi

Aku membuka dan menutup kembali daun pintu bilik perlahan-lahan. Kulihat Lia duduk bersandar di tepi katil. Aku menghampirinya. Ternyata dia tidak menyedari kehadiranku apabila kulihat matanya terpejam. Aku mengambil kesempatan itu untuk memerhatikannya. Pertama kali aku dapat melihatnya tanpa ikatan tudung di kepalanya. Rambutnya yang panjang, lurus dan ikal jatuh indah melepasi bawah dadanya. Jari-jemariku terasa gatal ingin membelai rambutnya itu. Kelihatan halus dan licin.

Nafasku tersekat melihat keindahan yang terpamer di hadapanku yang ternyata asli dan semula jadi. Tiada secalit solekan pun di wajahnya. Kulitnya licin, halus dan bersih. Matanya yang terpejam menyerlahkan lagi kelentikan bulu matanya yang lebat tanpa perlukan pertolongan maskara. Bibirnya bak delima merkah. Merah dan basah, walaupun tanpa secalit gincu. Sungguh comel dia mengenakan baju pijama daripada kain kapas berwarna biru di tubuhnya. Walaupun bajunya berlengan panjang dan seluarnya panjang hingga ke buku lali, dia tetap kelihatan menawan di mataku.

Aku tidak faham reaksi diriku terhadap dirinya. Begitu aneh sekali. Aku bukannya berusia belasan tahun lagi, mahupun berusia 20-an untuk berkelakuan sebegini. Aku sudah lali dengan kecantikan seorang wanita. Tetapi mengapa lain benar kali ini? Apakah disebabkan aku sudah sekian lama tidak mendampingi atau mempunyai hubungan intim dengan seorang wanita sehinggakan aku tidak dapat mengawal perasaanku kini? Atau ini semua disebabkan Lia, dan bukan kerana dia hanya seorang wanita? Aku tidak tahu…

Dengan perlahan, aku melabuhkan punggungku di sebelahnya. Lia terjaga dan pantas membetulkan duduknya. Berus rambut di tangannya jatuh ke atas lantai. Dibiarkan sahaja. Matanya berkelip-kelip cuba untuk menghilangkan rasa kantuk, agaknya. Wajahnya diraup sekali. Rambutnya dikuak ke belakang. Begitu gemalai gerak-gerinya.  

“Lia dah mengantuk sangat ke? Ke kita nak bincang esok pagi je?” Kesian pula melihatnya begitu.

“Tak, tak. Lia okey. Lia cuma rehatkan mata Lia je tadi…” dalih Lia.

Sememangnya, aku tidak mahu berlengah ataupun bertangguh lagi. Semuanya perlu aku jelaskan kepadanya. Aku tidak mahu dia tersalah faham akan segalanya.

“Abang nak jelaskan semuanya pada Lia. Abang nak Lia faham situasi abang sepenuhnya, supaya tak de salah sangka antara kita.” Aku memulakan bicara.

Lia mengangguk dan membiarkan aku terus berbicara. Aku menghela nafas panjang. Sesungguhnya ini bukan sesuatu yang mudah bagiku.

“Sebenarnya, masa mama mula-mula beritahu abang pasal Lia dan nak kenenkan Lia dengan abang, memang abang tak nak kahwin dengan Lia. Sama macam Lia yang tak nak kahwin dengan abang.” Aku berterus-terang.

Lia nampak terkejut dengan pengakuanku. Apa taknya. Selama ini aku yang beria-ia menampakkan keinginanku untuk mengahwininya. Matanya membulat memandangku. Hilang sudah kantuknya.

“Abang masih tak terbukak hati nak kahwin lagi selepas gagal dalam perkahwinan pertama dulu tapi baru-baru ni, something happened yang buat abang tukar fikiran…” Jeda. Lia masih memandangku dengan riak tidak percaya. Aku bersuara lagi. “Abang dapat surat daripada peguam Mona, bekas isteri abang, untuk dapatkan hak penjagaan Ina. Abang betul-betul terkejut dapat surat tu sebab sebelum ni, Mona yang tinggalkan Ina dan abang. Dia langsung tak nak pada Ina. Masa tengah mengandung lagi dia tak nak pada anak tu. Sejak dia tinggalkan Ina, sekali pun dia tak pernah datang jenguk Ina. Dia memang tak pernah kisahkan Ina. Jadi abang tak tahu kenapa tiba-tiba Mona nakkan hak penjagaan Ina.”

Aku diam sejenak mengenang kembali isi kandungan surat daripada peguam Mona yang telah kuterima.

“Abang berbincang dengan peguam abang. Dia kata sebab Mona sudah bersuami sekarang dan umur Ina masih lima tahun, peluang Mona untuk dapatkan Ina sangat cerah. Abang sanggup buat apa saja untuk tidak melepaskan Ina pada Mona. Jadi, abang ubah fikiran pasal perkahwinan kita. Abang buat keputusan untuk mengahwini Lia untuk menguatkan lagi kes abang dan mengekalkan hak penjagaan Ina sepenuh masa. Memang abang ada banyak bukti yang boleh tunjukkan yang Mona tak layak menjaga Ina di mahkamah nanti, tapi abang juga nak tunjukkan pada mahkamah yang hidup Ina sempurna sekarang dengan kehadiran Lia sebagai ibunya…” Kebenaran akhirnya aku luahkan.

Lia tunduk ke bawah tetapi sempat aku melihat garis-garis luka di mata serta wajahnya. Aku faham sekiranya dia merasakan dirinya dipergunakan semata-mata untuk kepentinganku sendiri. Memang itulah kenyataannya…tetapi mengapa hati ini rasa begitu bersalah kerana melukai perasaannya? Sebelum ini, semasa membuat keputusanku, aku langsung tidak memikirkan akan perasaannya. Agendaku perlu dilaksanakan dengan apa-apa cara sekali pun!

Terdetik juga di hatiku untuk tidak berterus-terang dengan Lia mengenai keputusanku untuk menjadikannya isteriku. Biar dia menyangkakan yang aku juga patuh kepada permintaan kedua orang tuaku…tetapi aku tidak sanggup untuk membohonginya.

Bagaimana sekiranya Lia mulai jatuh cinta padaku nanti? Atau mula memasang impian untuk membina rumah tangga bersamaku hingga ke akhir hayatnya? Pasti dirinya akan lebih terluka sekiranya dia mendapat tahu sebab sebenar aku mengahwininya. Dirinya begitu muda dan rapuh ketika ini. Seperti wanita lain, tidak mustahil jikalau Lia bakal jatuh cinta padaku. Aku tidak sanggup mempermainkan perasaannya. Sekurang-kurangnya, jika aku berterus terang dengannya dari sekarang, Lia mungkin dapat mengawal perasaannya dengan lebih baik lagi dan tidak akan membiarkan dirinya jatuh cinta padaku. Kerana aku tidak mungkin dapat menjanjikan ‘selama-lamanya’ dalam hubungan ini.

“Lia ni calon yang amat sesuai untuk abang. Lia tiba tepat pada masanya. Maafkan abang sebab abang tahu yang Lia tak nak kahwin dengan abang dan abang tahu yang Lia memang harapkan abang untuk putuskan hubungan kita sebelum ni. Tapi apakan daya. Abang tak sanggup kehilangan Ina…”

Lia kembali memandangku. Hatiku pedih melihat kesuraman di wajahnya. Matanya berkaca. Air matanya mula bergenang. “Jadi, apa yang abang harapkan daripada Lia? Lia ni sebagai isteri patung abang? Isteri pura-pura untuk membutakan mata Hakim nanti?” bergetar suara Lia. Mungkin menahan marah. Mungkin juga menahan sebak.

Mengapa hati ini terasa ingin menarik tubuhnya ke dalam pelukan agar hilang rasa sedihnya akibat perbuatanku? Aku yang melukainya, jadi mengapa pula aku ingin memujuknya? Aku mengepal erat tanganku agar tidak mencapai tubuhnya.

“Kalau abang menang kat mahkamah nanti dan abang dapat hak penjagaan Ina sepenuhnya, apa abang akan buat dengan Lia? Abang akan ceraikan Lia?” tanya Lia penuh kecewa.

Aku menelan air liur yang terasa begitu pahit. “Abang tak nak tipu Lia. Memang pada mulanya abang memang merancang untuk ceraikan Lia. Tapi bukan tanpa sebarang pampasan. Sebagai balasan Lia menjadi isteri abang, abang akan pastikan hidup Lia akan terjaga lepas ni. Kalau Lia tak nak kerja pun, abang jamin Lia akan hidup senang…Tapi sekarang…” Aku terdiam. Mendengar perkataan ‘cerai’ yang lahir dari bibir Lia tadi membuatku tidak senang duduk. Padahal, aku memang sudah merancang segalanya…

“Tapi sekarang apa?” suara Lia mula serak. Matanya membulat memandangku. Mengharap penjelasanku.

“Sekarang abang beri Lia hak untuk membuat keputusan sepenuhnya...”

Lia menggelengkan kepalanya dan memandangku dengan penuh tanda tanya. “Keputusan apa? Lia tak faham.”

“Kalau mahkamah dah buat keputusan nanti, walau apa pun keputusannya, abang serahkan pada Lia untuk buat keputusan tentang masa depan Lia sendiri. Kalau Lia nak tetap jadi isteri abang, abang terima dan abang takkan lepaskan Lia, tapi kalau Lia nak abang lepaskan Lia pada masa tu, abang janji abang akan lepaskan…”

Lia seakan tidak percaya dengan apa yang aku baru sampaikan kepadanya. Dia bangun dan berjalan lemah menuju ke jendela. Mungkin untuk menenangkan fikirannya.

“Lia?” Aku menyeru namanya. Dia langsung tidak mengendahkan panggilanku.

Aku bangun lalu mengekorinya dan menunggu dia berkata-kata seterusnya. Daripada arcanya yang terpancar melalui tingkap, aku melihat Lia memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya dilepaskan berat membuatkan dadaku turut terasa berat dihempap pilu.

“Lia hanya alat untuk kepentingan abang, kan? Abang sikit pun tak fikirkan hati dan perasaan Lia. Langsung tak penting, kan?” Sinis Lia menuduhku dengan mata yang masih terpejam. Namun aku tidak menafikan tuduhannya kepadaku. Memang itulah hakikatnya.

Lia mencelikkan matanya. Dia membuang pandangan kosong ke luar tingkap sebelum memalingkan tubuhnya untuk berhadapan denganku. “Maknanya sekarang abang nak Lia ni jadi isteri abang di atas kertas jelah, kan? Depan orang, kita akan berlakon kita ni suami isteri tapi hakikatnya tak begitu, kan? Betul macam tu? Jadi kenapa kita kena kongsi satu bilik?” soal Lia bertubi-tubi.

Terketar-ketar suara Lia menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepadaku. Dia nampak hampa dengan penjelasanku. Hampa dan terluka. Tapi kenapa? Bukankah Lia juga yang tidak mahu berkahwin denganku terlebih dahulu? Apakah dia sudah merubah fikirannya? Aku benar-benar keliru!

“Lia kena fikir, mahkamah mungkin akan panggil makcik Leha atau pakcik Osman sebagai saksi sekiranya ada yang sangsi tentang hubungan kita. Mungkin Ina juga akan dipanggil. Jadi kita mesti kongsi bilik tidur yang sama, untuk buktikan yang kita suami isteri dalam erti kata yang sebenar. Lia, abang tahu abang kejam buat Lia macam ni and I realize that I’m being really unfair to you. Tapi, sebagai ganti, abang dengan rela lepaskan Lia daripada sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri. Abang akan bagi apa saja yang Lia nak. Money is not an issue.” Bersungguh-sungguh aku cuba memujuknya untuk bersetuju dengan rancanganku ini. Tidak boleh tidak, Lia mesti setuju!

Kulihat Lia mengepal dua-dua belah tangan di sebelahnya. Cuba menahan marah. “Abang ingat Lia kahwin dengan abang sebab Lia nakkan duit abang ke? Nakkan harta abang?” Nada suara Lia naik satu oktaf.

“Tak. Bukan itu maksud abang. Abang tahu Lia kahwin dengan abang sebab tak nak derhaka pada mak dan abah Lia, itu abang tahu. Tapi, pengorbanan Lia bukannya kecik. Abang hanya nak offer something in return to you, tu je. Please, Lia. I need your help. Abang takkan sentuh Lia sekiranya itu pilihan Lia. Abang akan turut semua permintaan Lia tapi abang mintak sangat Lia dapat bantu abang, demi Ina…Please…” Aku merayu.

“Untuk berapa lama?”

What?” soalku tidak mengerti.

“Abang nak Lia jadi isteri abang untuk berapa lama?” Dingin.

“Abang tak tahu. Proses mahkamah tak boleh nak agak. Abang tak boleh nak janji…” Aku berterus-terang. Tidak mahu salah meneka.

“Kalau kita bercerai lepas tu, apa Lia nak cakap dengan mak dan abah? Apa alasan yang Lia patut beri pada diaorang nanti?” Pandangan Lia kepadaku kosong dan hampa. Penuh luka.

Dada terasa semakin terhimpit. Ya Allah! Berdosanya aku melukakan hatinya. Hati seorang isteri yang baru sehari aku nikahi. “Itu semua serahkan pada abang. Lia tak perlu risau. Abang takkan palitkan apa pun kesalahan pada Lia. Abang akan tanggung semuanya nanti. Di mata abah dan mak Lia, Lia tak bersalah…”

Kulihat Lia mencuba sedaya upayanya untuk tidak menitiskan air matanya. Terkebil-kebil matanya menahan tangis. Aku tahu dia terluka. Mana ada wanita yang mahu berkahwin seandainya dirinya hanya untuk diperalatkan sebegitu rupa? Berkahwin semata untuk diceraikan di kemudian hari…

“Sekali lagi abang mintak maaf pada Lia. Kalau Lia di tempat abang, apa yang Lia akan buat? Sanggupkah Lia buat apa saja demi kebaikan anak tunggal Lia? Sanggupkah Lia biarkan anak Lia jatuh pada tangan orang lain?”

Lia hanya mampu memandangku tanpa mengungkapkan sebarang jawapan. Aku menggenggam kedua belah tangannya. Dia terkejut. “Mama sayangkan Lia dan abang tahu yang lambat laun Ina jugak akan sayangkan Lia. Abang dah perhatikan Lia. Lia baik dan hati Lia sangat lembut. Ina amat perlukan kelembutan itu. Ina tak pernah rasa kasih sayang seorang ibu.” Mataku merayu simpatinya.

“Habis tu, kalau kita bercerai nanti, Ina macam mana? Tak ke kejam kita nanti kalau kita biarkan Ina sayangkan Lia, lepas tu Lia tinggalkan dia? Apa bezanya Lia dengan Mona?”

Kebijaksanaannya menjeratku. Aku tiada jawapan kepada persoalannya. Benar apa yang diperkatakan Lia sebentar tadi. Ina mungkin akan kecewa sekali lagi. Cuma dulu dia masih kecil dan tidak mengingati ibunya. Tapi sekarang Ina sudah boleh memahami kepedihan ditinggalkan orang yang disayanginya.

“Abang tak fikir tu semua?” cabar Lia.

“Yang abang tahu, abang nak Ina sentiasa dengan abang. Kalau Lia buat keputusan untuk bercerai, sekurang-kurangnya abang masih ada Ina. Tahulah macam mana abang nak pujuk dia nanti, kalau Lia tinggalkan abang...” Tenang aku membalas pertanyaannya.

Lia menarik tangannya dari genggamanku. “Memang dari mula lagi Lia dah syak. Tak logik abang nak kahwin dengan perempuan macam Lia padahal abang tak kenal pun Lia ni siapa. Rupa-rupanya, ini memang rancangan abang untuk menjerat Lia!” Dengan nada yang perlahan, Lia bersuara.

Kata-katanya menusuk ke kalbu. Pedih! Lia mengangkatkan wajahnya dan memandang tepat ke mataku. “Orang macam abang ni boleh dapat mana-mana je perempuan kat luar sana. Lia yakin ramai perempuan lain yang nakkan abang tapi kenapa abang pilih Lia? Why me?”

“Sebab Lia sangat istimewa di mata abang!” Aku memberanikan diri mengusap pipinya. Lia terkejut dan mengambil satu langkah berundur ke belakang untuk mengelak sentuhanku. Aku melabuhkan tanganku ke sisi. Terasa diri ditolak. “Dalam usia abang ni, abang dah jumpa bermacam jenis perempuan kat luar sana. Takde satu pun yang berkenan di mata abang. Jiwa diaorang ni kosong, Lia. Macam takde values! Tak macam Lia.”

Aku mengambil satu langkah menghampirinya. Aku tahu Lia tidak boleh menjauhkan dirinya daripadaku ketika ini. Tubuhnya sudah terpaku pada jendela. “Lia seorang perempuan yang menjaga maruah Lia dan keluarga Lia. Lia ikhlas terima takdir Lia walaupun tahu abang duda beranak satu, demi kasih dan sayang Lia pada mak dan abah. Lia sikit pun tak peduli status kekayaan abang dan menolak abang masa pertama kali kita jumpa dulu. Abang tak pernah jumpa perempuan macam Lia. Abang anggap Lia ni anugerah daripada Allah dalam menyelesaikan masalah abang sekarang ni…”

Diam.

“Lia…”

Lia mengangkat tangan tanda dia tidak mahu aku meneruskan kata-kata. Aku akur.

I need to think about this. Bagi Lia sedikit masa. Lia tak boleh nak buat keputusan sekarang,” pintanya.

“Abang faham. Abang harap Lia pun faham kenapa abang pilih untuk berterus-terang dengan Lia dari awal perkahwinan kita. Abang tak nak Lia sangka yang abang…” kata-kataku terputus. Tak sanggup aku meneruskannya.

Lia merenungku tajam. “Abang tak nak Lia sangka yang abang kahwin dengan Lia sebab abang cintakan Lia?” Lia menghabiskan kata-kataku. “Macam tu?”

Aku hanya mampu mengangguk.

Lia mendengus perlahan. “Abang tak perlu risau. Lia tahu abang tak cintakan Lia dan mungkin tak akan pernah cintakan Lia…”

“Lia…” aku cuba membantah kata-katanya itu. Aku tidak suka mendengarnya. Tapi…ada kebenarankah dengan apa yang diperkatakan Lia itu? Sudah tentu aku tidak mencintainya walaupun aku mengakui ada suatu daya tarikan antara aku dengan dirinya…suatu tarikan yang begitu kuat bagiku…tetapi ‘tak akan pernah’ mencintainya? Benarkah begitu?

“Abang tak payah cakap apa-apa lagi. Lia dah faham semuanya. Lia berterima kasih sebab abang berterus-terang dengan Lia. Jadi Lia tak akan harapkan apa-apa daripada abang lepas ni,” celah Lia.

Aku masih tidak senang mendengar kata-katanya. “Lia jangan cakap macam tu! Apa pun, abang ni dah jadi suami Lia dan abang ada tanggungjawab pada Lia. Keselamatan Lia, hal nafkah, makan, minum, pakaian…tu semua abang takkan lepaskan! Abang nak Lia datang pada abang kalau Lia perlukan apa-apa daripada abang. Abang tetap suami Lia dan Lia isteri abang…”

Lia hanya membisu. Aku mengeluh kecil.

“Lia, pergilah tidur. Dah lewat ni. Esok kita bincang lagi.” Suara sudah mengendur. Tidak sampai hati berterusan mendesaknya.

Lia pantas menuju ke katil dan mengambil ruang di sebelah kanan katil. Aku menghampiri katil dan melabuhkan badanku di ruang yang dikosongkan. Bantal guling memisahkan aku dan Lia. Lia memalingkan badannya membelakangiku dan aku pun memadamkan lampu. Aku tahu tiada siapa pun yang mampu melelapkan mata pada waktu itu. Pasti dia sedang memikirkan segala yang telah aku dedahkan padanya sebentar tadi.

Aku memejamkan mataku namun wajah Lia yang penuh luka dan hampa menghantuiku. Lia yang hampir menangis. Lia yang dingin dan beku. Entah bila agaknya aku terlena. Pabila aku tersedar, Lia sudah tiada lagi di sisiku.

    

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....