Sunday, 15 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 12


Intan Marliana

Aku duduk berhadapan cermin dan melihat diriku sendiri. Kak Suhaila masih membetulkan dan mengemaskan ikatan tudungku. Solekan di muka bersesuaian dengan tema moden persalinan bajuku. Tidak begitu tebal dan sangat bersahaja. “Terima kasih Kak Ngah, solekkan Lia. Pandai Kak Ngah. Tak payah sibuk-sibuk Lia nak cari mak andam, kan?”

Kak Suhaila tersenyum mekar. Jelas dia bangga dengan pujianku. “Sama-sama, Lia. Kak Ngah kan tengah belajar macam mana nak make-upkan orang kahwin ni. Dah dua-tiga orang pengantin yang Kak Ngah solekkan. Lagipun Kak Ngah memang minat dalam bidang ni…”

Aku menggenggam tangannya. “Baguslah kalau macam tu. Kak Ngah tak nak buat full time ke?”

Kak Suhaila memandangku di dada cermin sambil tersenyum. Tangannya meramas kedua-dua bahuku. “Kak Ngah ada fikir jugak nak buat sepenuh masa tapi tunggulah bila Rima dengan Irfan dah besar sikit. Kalau diaorang dah mula sekolah nanti, manalah tahu Angah bagi Kak Ngah buat kerja ni full time, kan?”

Alaah, Kak Ngah ni…buat apa nak tunggu diaorang masuk sekolah? Orang selalu kahwin masa hujung minggu atau cuti sekolah pun. Bukannya hari-hari biasa…Kalau Kak Ngah kena pergi buat kerja mengandam, pandai-pandailah Angah tu jaga anak-anak…Okey apa macam tu?” Aku memandang Kak Suhaila dari pantulan cermin.

Hmmm…betul jugak cakap Lia tu…Nanti-nantilah Kak Ngah fikirkan…Kena bincang dengan Angah Lia tu jugak…”

Aku mengangguk. “Angah tu mesti okey punya. Kan dia sayang gila pada Kak Ngah?” usikku. Kak Suhaila tersipu mendengar usikanku.

Kak Suhaila memberikan touch-up yang terakhirnya ke wajahku. “Lia, Kak Ngah doakan Lia bahagia dengan Fendi, hingga ke akhir hayat,” lalu memberikan kucupan mesra di atas kepalaku. “Sebahagia Kak Ngah dan Angah,” bisik kak Suhaila hampir ke telingaku.

Aku menghadiahkan senyuman manis kepada Kak Suhaila. “Terima kasih, Kak Ngah…” Terharu.

Kak Suhaila berlalu meninggalkan aku berseorangan di dalam Honeymoon Suite, Hotel Istana. Sememangnya Abang Syam bahagia melayari kehidupan berumah tangga dengan Kak Suhaila. Itu sudah pasti. Kak Suhaila melayan abang Syam dengan baik lagi mesra manakala Abang Syam pula, tidak segan-silu mempamerkan sifat kasih sayangnya kepada Kak Suhaila. Aku tumpang bahagia melihat kemesraan dan kebahagiaan mereka. Pernah terdetik di hatiku mahu mempunyai hubungan sebegitu dengan teman hidupku sendiri. Apakah bakal menjadi realiti?

Aku mengeluh. Nasib baik Honeymoon Suite ini ada bilik utama dan ruang tamu. Jadi aku boleh bersiap secara bersendirian di dalam bilik manakala Effendi bersiap di ruang tamu.

Sudahkah dia bersedia? Apa mungkin dia akan kelihatan lebih tampan daripada semalam? Ah, semalam Effendi betul-betul telah membuat gadis-gadis lain menggigit jari! Sepupu-sepupuku secara terang-terangan memuji gaya penampilan Effendi semalam. Nisha pula sering mengusikku dengan memuji kehebatan serta ketampanan Effendi yang ternyata sungguh segak dan macho ketika mengenakan persalinan lengkap baju Melayu, dan kemudiannya persalinan seperti seorang pahlawan Melayu. Aku mengakui kebenaran di sebalik kata-kata Nisha. Aku hanya memuji di dalam hati betapa sempurnanya seorang lelaki bernama Asrul Effendi ini.

Dia sering memandangku dengan pandangannya yang cukup redup. Sungguh menggoda. Mampu membuat aku merasakan yang diri ini amat istimewa di matanya. Kucupannya di dahiku menghangatkan. Genggaman tangannya mendebarkan.

“Untung kau dapat suami yang matang macam Fendi, Lia,” kata pujian daripada Mak Ngah masih kuingat. Kata-kata Mak Ngah itu adalah antara beratus-ratus pujian yang aku terima daripada kaum keluarga dan sahabat handai yang mengunjungi kenduri di rumah orang tuaku semalam.

Malam ini pula, semua kenalan Effendi akan hadir ke majlis resepsi kami dan apakah reaksi mereka nanti agaknya bila melihat aku sebagai isterinya? Layakkah aku menjadi isterinya? Aku tidak biasa hidup dalam dunianya yang penuh kemewahan. Dapatkah aku membawakan watak seorang wanita yang amat mencintai suaminya di hadapan semua kenalan Effendi nanti?

Memang aku telah bertekad untuk menerima takdirku ini dan aku telah menerima Effendi sebagai jodohku walaupun aku tidak mencintainya dan aku tahu dia juga tidak mencintaiku. Mungkin takdir aku untuk bercinta hanya selepas berumah tangga. Cuma, aku masih belum memikirkan sepenuhnya bagaimana harus aku melalui kehidupan sebagai isterinya. Aku tidak tahu apa yang dia mahu daripadaku…apa yang dia harapkan daripadaku…sebagai isterinya…

Siang tadi, ketika Nisha dan Saiful turut hadir untuk menjalani sesi rehearsal bersama-sama kami, Effendi memberi sepenuh perhatiannya kepadaku. Dia memanggil namaku dengan lembut serta beberapa kali memegang tanganku. Setiap kali aku mencuri memandangnya, ternyata ketika itu dia juga sedang merenungku. ‘Ahhh…pandai sungguh dia berlakon depan orang lain,’ fikirku sendiri. Aku tidak seharusnya ‘termakan’ dengan sifat romantik dan keprihatinannya kerana itu semua merupakan lakonannya semata-mata untuk mengaburi mata semua yang memandang.

Tetapi…mengapa aku terasa debaran di hati setiap kali dia merenung ke mataku?  Bagai suatu panahan yang menusuk menembus jantungku. Setiap kali tangannya menggenggam tanganku, akan aku rasakan kehangatannya mengalir ke seluruh tubuhku. Terdetik seketika jantungku dan perasaanku terasa berdebar-debar. Aku tidak mengerti reaksiku terhadap sentuhan dan renungannya itu. Apakah dia menyedari semuanya itu? Alangkah malunya aku sekiranya dia tahu apa yang melanda di jiwaku tatkala dia menyentuhku.

Aku teringat pabila jari-jemarinya menyulam jari-jemariku siang tadi ketika dia mengajakku ke coffee house. Walaupun hanya memaut tanganku, tetapi kehangatannya terasa seperti dia memeluk segenap tubuhku!

Bunyi telefon bimbitku menandakan ada pesanan diterima, menyedarkanku. Pesanan daripada Nisha mengatakan dia menungguku di luar ruangan Ballroom di bawah. Aku melihat jam di telefon bimbitku. Sudah hampir pukul 8.00 malam. Aku menyimpan telefon bimbitku ke dalam tas tangan lalu bangun berdiri. Ku lihat diriku sekali lagi di cermin. Aku harus mengumpul segenap kekuatanku untuk menempuh malam ini. Semua mata akan memerhatikan segala tingkah lakuku.

Tekanan yang kurasakan ketika kenduri di rumahku semalam tidak seperti yang kurasakan kini. Semalam, hanya sanak saudara, jiran tetangga dan teman yang rapat sahaja yang hadir. Majlis kenduri cukup ringkas. Tiada majlis merenjis walaupun aku dan Effendi bersanding sebentar demi memenuhi permintaan sanak-saudara. Selepas bersanding, kami makan beradab. Jadi ‘lakonan’ kami semalam tidak memerlukan aksi yang begitu meyakinkan. Para jemputan datang, makan dan pergi.

Tidak seperti malam ini! Para jemputan akan duduk serentak di dalam Ballroom dan akan menyaksikan setiap atur cara majlis, sama seperti mereka menyaksikan lakonan teater di atas pentas. Dan akulah pelakon utamanya. ‘Ya Allah! Berilah kekuatan kepadaku…’ Aku memejamkan mataku. Mencari ketenangan, mencari kekuatan.

Tiba-tiba Effendi muncul di belakangku. Aku langsung tidak menyedari kehadirannya di dalam bilik persiapanku sehinggalah kurasakan tangannya di bahuku. Aku mencelikkan mata. Kami saling berpandangan melalui pantulan arca di hadapanku. Sungguh segak dia menggayakan persalinan 3-piece suit hitamnya.  Hanya vest di dalam jaketnya berwarna emas, seperti warna baju persalinanku. Semalam aku cair melihatnya berbaju Melayu lengkap, berserta samping serta songkok. Menyerlahkan kemelayuannya serta susuk badannya yang tegap lagi sasa. Ternyata rupa Effendi ketika itu mampu mengalahkan mana-mana pelakon kegemaranku yang pernah aku lihat bergaya di majalah-majalah hiburan sebelum ini. Dan seperti semalam juga, Effendi kini nampak begitu tampan dan menawan. Auranya amat memukau!

Effendi memaut bahuku dan memusingkan tubuhku untuk berhadapan dengannya. Dia mengamatiku dari atas hingga ke kasutku. “You look beautiful!” bisiknya perlahan.

Aku malu menerima pujian daripadanya. Dia mengangkat daguku. “It’s time. Kita kena turun sekarang. Are you ready?”

Aku mengangguk. “Ready…” balasku, walaupun tubuh terasa masih menggigil.

Effendi mengepakkan lengan kirinya untukku. Aku mengambil nafas yang dalam sebelum memaut lengannya dengan tangan kananku lalu sama-sama berjalan keluar dari bilik menuju ke Ballroom.   

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Apa yang dirancang tengah hari tadi berlalu dengan teratur tanpa sebarang masalah. Ketika majlis hampir bersurai, Effendi memperkenalkanku kepada semua para jemputan yang hadir. Rata-rata mereka begitu mesra berkenalan denganku dan ada juga kaum keluarga Effendi yang memeluk dan menciumku. Ketika jemputan terakhir berlalu pergi, aku menghela nafas lega.

Sesi bergambar juga telah tamat. Penat menggayakan posing itu dan ini bersama Effendi dan sanak keluarga. Berdebar juga ketika jurugambar meminta kami menggayakan aksi romantik untuk diabadikan di layar kanvas. Kami diminta berdiri saling berhadapan sambil Effendi merangkul pinggangku. Aku pula diminta melekapkan kedua-dua tapak tanganku ke dadanya. Pabila aku mendongakkan kepalaku untuk bertentang mata dengannya, terasa jantung Effendi berdegup laju di telapak tanganku. Jantungku juga tidak dapat dikawal lagi. Berlari tidak menentu. Bilalah sesi fotografi ini akan berakhir? Aku semakin lemas disentuh dan didakap Effendi. Semakin sukar untuk mengawal gelora yang melanda.

“Lia, Lia naik atas dulu kemas barang kat dalam bilik, ya? Kita tak tidur kat sini malam ni. Abang nak balik rumah. Biar abang uruskan semuanya dengan pihak hotel. Abang tunggu Lia kat lobi bila Lia dah sudah nanti. Nah kunci bilik,” ujar Effendi sebaik sahaja jurugambar melangkahkan kaki meninggalkan Hotel Istana.

Nisha dan ibuku menemaniku naik ke atas bilik dan membantu mengemaskan barang-barang untuk dibawa pulang ke rumah Effendi. Selepas semuanya selesai, aku kembali turun ke lobi mencari Effendi. Kulihat Effendi sedang berdiri di sebelah Abang Mail, dan dengan tekun mendengar segala yang diucapkan Abang Mail kepadanya. Nampak serius perbualan mereka. Sesekali, kulihat Effendi menganggukkan kepalanya.

“Lia,” panggil Nisha. Aku berpaling.

“Esok Nisha akan balik ke Penang. Tak tahu bila pulak kita akan jumpa lagi. Nisha doakan Lia bahagia selalu,” kata Nisha sambil memelukku. Aku diselubungi kesedihan yang amat sangat kerana terpaksa berpisah dengannya untuk sekian kalinya.

Thanks, Nisha. For everything!” bisikku tulus ikhlas.

Effendi mendekatiku dan mengucapkan selamat tinggal kepada Nisha. Effendi lantas memimpin tanganku menuju ke kereta BMW X5 berwarna hitam yang sudah tersedia di hadapan pintu masuk hotel. Aku bersalaman dengan ahli keluargaku dan masuk ke dalam kereta. Penat sungguh kurasakan. Apa tidaknya… Sudah hampir pukul 12.00 tengah malam.

“Ina mana?”

“Ina tidur rumah mama malam ni. Esok abang ambik dia balik rumah.”

Penatnya kurasakan hanya Tuhan yang tahu. Tidak sabar rasanya ingin melabuhkan tubuhku ini ke atas katil. Aku memejamkan mataku sebentar dengan niat hanya untuk berehat. Aku tidak pasti bila aku terlelap di dalam kereta. Bila aku sedar, Effendi sedang memanggil namaku sambil menggoncang lembut bahuku. “Lia, kita dah sampai rumah.”

Aku bingkas bangun dan keluar dari perut kereta. Aku menunggu Effendi mengeluarkan beg dari bonet kereta dan mengekorinya masuk ke dalam rumah. “Lia penat ke? Kalau Lia tak keberatan, abang nak bincang sikit dengan Lia.”

“Lia okey. Abang nak bincang sekarang?” Sudah semakin sebati panggilan ‘abang’ itu meniti di bibirku.

“Lia naik atas dulu. Dalam 10-20 minit nanti abang naik.”

Aku mengangguk dan mengatur langkah meniti anak-anak tangga untuk naik ke atas. Di dalam bilik, aku memerhatikan keadaan sekelilingku. Barang-barang solek serta minyak wangiku sudah tersusun di atas meja solek, bersebelahan barang-barang kepunyaan Effendi. ‘Mana baju-baju aku semua?’ fikirku. Aku membuka almari baju satu persatu dan melihat baju-baju ku sama ada digantung atau dilipat bersebelahan dengan baju-baju Effendi. ‘Cepatnya makcik Leha buat kerja,’ fikirku lagi.

Aneh kurasakan melihatkan barang-barangku tersusun bersebelahan dengan barang-barang kepunyaan Effendi. Bajunya, seluarnya. Inilah kali pertama aku berkongsi bilik dengan seorang lelaki dan kejanggalan yang kurasakan membuatku bergegas mencari baju tidur yang paling sopan untuk kukenakan malam ni. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gemuruhnya aku rasakan kini. Aku tidak tahu apa yang bakal terjadi malam ini. Effendi langsung tidak memberikan sebarang bayangan kepadaku dan seandainya aku boleh menguncikan diriku di dalam bilik ini, aku pasti melakukannya.

Sementara menantikan kemunculan Effendi, aku masuk ke dalam bilik air yang luas serta dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan serba moden. Aku menanggalkan persalinan kahwinku dan lantas membasahi tubuhku dengan pancuran air panas untuk menghilangkan kesan peluh dan lelahku.

Bunyi pergerakan Effendi di luar bilik mandi tiba-tiba membuatku rasa panik dan takut. Kemudian bunyi itu hilang dan terdengar pintu bilik tidur ditutup rapat. Aku mengintai ke luar bilik mandi dan langsung tidak kelihatan kelibat Effendi di dalam bilik. Terus aku berasa lega. Oh! Rupanya dia membentangkan sejadah untukku menunaikan solat Isyak. Tak sangka dia memikirkan itu semua tanpa aku perlu bertanya tentang arah kiblat dan sebagainya.

Selepas solat aku bersedia untuk memulakan perbincangan dengan Effendi. Aku duduk di atas birai katil-empat-tiangnya yang bersaiz king, sambil menyisir rambutku yang lurus dan panjang berkali-kali. ‘Inilah kali pertama Effendi akan melihatku tanpa tudung di kepalaku. Apa agaknya reaksinya nanti,’ fikirku. Adakah dia sukakan perempuan yang berambut panjang atau pendek? Yang lurus atau kerinting?

Aku mengeluh dan melepaskan rasa gementarku melalui hembusan nafasku. Aku sandarkan bahu kanan serta kepalaku pada tiang katil dan memejamkan mataku. Apakah setiap wanita yang bakal melalui malam pertama merasakan seperti apa yang kurasakan kini? Mungkin lain rasanya jikalau berkahwin dengan lelaki pilihan sendiri yang amat dicintainya, berbanding dengan lelaki yang langsung tidak dikenali, sepertiku.


Aku mengesyaki Effendi ingin berbincang denganku mengenai sebab-sebab dia berkahwin denganku, seperti yang dijanjikan kepadaku dulu. Aku menantinya dengan penuh debaran. Sambil itu, aku hanya ingin merehatkan mataku yang kian terasa berat. 

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....