Friday, 13 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 11


Asrul Effendi

Ina berdiri di muka pintu sambil memandangku dengan matanya yang bulat. Comel je dia berpakaian baju kurung serba merah jambu serta reben diikat kemas di kepala dengan warna yang sama. Mukanya tidak sepucat kelmarin dan aku bersyukur demamnya sudah kebah sepenuhnya. Dia seperti teragak-agak untuk masuk ke dalam bilikku.

“Ina, kenapa sayang?” tegurku.

Ina melangkah masuk ke dalam bilikku lambat-lambat sebelum melompat naik ke atas katilku. Dia memintal-mintal rambutnya yang sedikit kerinting sambil memandangku. “Ermm…Tok Mak kata hari ni Ina akan dapat mama baru. Betul ke, papa?”

Aku bangun dan merapati Ina. Aku menariknya duduk di atas pangkuanku dan mengusap rambutnya. Ada riak ragu-ragu di wajah anak tunggalku. “Betul, Ina. Kenapa? Ina tak suka ke dapat mama baru?” soalku lembut.

“Ina suka…Suka sangat! Tapi…” kata-kata Ina dibiarkan tergantung. Matanya terkebil-kebil memandangku.

“Tapi apa, sayang?” tanyaku dengan nada memujuk.

Ina tunduk seketika sebelum kembali memandangku. “Tapi, mama baru Ina tu nanti akan suka tak dengan Ina?” Kedengaran Ina begitu risau sekali. Matanya membulat. Keningnya dijongketkan. Terasa sayu di hati mendengarkan pertanyaan Ina. Tentunya kepedihan hati mengenangkan ibu kandungnya sendiri tidak mempedulikannya tidak dapat dibuang begitu sahaja. Kini kedatangan ibu tiri pasti mengundang rasa ragu-ragu di hatinya.

Aku mengukir senyuman manis kepadanya dan cuba meyakinkannya. “Siapa yang takkan suka kat Ina, hmmm? Mestilah mama baru Ina nanti akan suka pada Ina. Ina kan comel, baik, tapi Ina mesti sentiasa baik, tak mahu nakal-nakal tau…” Aku menguis hidungnya. Ina mengangguk-angguk mendengar kata-kataku. Aku menyambung lagi. “Cumanya, mungkin Ina tak patut panggil dia mama sebab mama Ina ada lagi, kan? Mungkin Ina boleh panggil dia ibu ke atau ummi?” Aku memberikan cadangan. Sememangnya status mama Ina masih dipegang Mona, jadi aku rasakan tidak begitu sesuai untuk Ina memanggil Lia dengan panggilan mama jua.

Ina terdiam seakan memikirkan tentang cadanganku. Ina seorang anak yang amat bijak. Kadang-kadang aku sukar mempercayai bahawa Ina masih berumur lima tahun, sedangkan cara pemikirannya sudah menjangkau kanak-kanak yang berusia tujuh atau lapan tahun. Ina tahu tentang ibunya yang lari meninggalkannya ketika dia hanya berusia dua tahun. Aku tidak merahsiakan pemergian Mona dari hidup kami. Cuma aku masih belum menceritakan mengapa Mona meninggalkan kami.

“Ina, nama mama baru Ina, Intan Marliana. Papa rasa dia mesti suka kalau Ina panggil dia ummi…”

Ina senyum kepadaku dan aku membalas senyumannya. Kini riak lega mewarnai wajah comelnya. “Dah! Ina pergi turun bawah. Papa nak sambung bersiap ni. Tok Mak semua dah siap ke?” soalku.

“Dah, papa. Semua orang tengah tunggu papa…”

“Okey. Kejap lagi papa turun.”

Ina lari meninggalkan bilikku. Dia kelihatan lebih ceria daripada tadi. Aku lega. Aku benar-benar berharap agar Ina dapat menerima Lia dalam kehidupan kami dan sebaliknya.

Aku berdiri menghadap cermin dan melihat diriku sendiri. Sepasang mata perang merenung diriku kembali. Suatu ketika dahulu, aku pernah teruja bersiap-siap begini untuk ke majlis perkahwinanku…tujuh tahun yang lalu. Aku begitu gugup ketika itu, begitu muda dengan hati penuh berbunga-bunga. Kini aku menghadapi hari pernikahanku dengan rasa tenang dan aman. Semestinya aku lebih matang dan lebih dewasa sekarang. Tiada lagi perasaan seperti suatu ketika dulu – bangga di hati dapat menakluki hati Mona yang menjadi rebutan anak-anak Dato’ dan Tan Sri yang turut bersama-sama menuntut bersamaku. Sudah begitu lama rasanya peristiwa itu semua berlalu. Kini aku akan memulakan episod baharu dalam hidupku.

Intan Marliana...gadis yang telah menawan hati kedua orang tuaku. Gadis pemalu yang mempunyai paras rupa yang mempesonakan. Perasaan lelakiku tidak dapat menafikan yang aku tertarik dengan parasnya itu. Aku juga tertarik dengan perwatakannya yang ayu, sedikit pendiam serta peribadinya yang begitu taat kepada ibu dan bapanya.

Memang Lia masih muda, jauh lebih muda daripadaku dan berkemungkinan besar tidak tahu bagaimana untuk menjadi isteri kepada seorang usahawan yang berjaya dan dikenali ramai sepertiku. Isteri yang akan menjadi ibu segera kepada anakku, Ina. Kenangan pertemuan kami yang pertama kali kembali ke ingatan. Aku tersenyum sendirian. Aku harap Lia masih ingat akan janjinya kepadaku dulu. Adakah dia akan tetap mengotakannya? Aahhh…aku hanya akan tahu bila berhadapan dengannya nanti.

Aku mengambil nafas dalam-dalam dan pantas meninggalkan kamar tidurku. Tidak berpaling lagi.

Seperti yang diperkatakan Ina, semua ahli keluargaku telah siap sedia menungguku. Ku lihat perbualan antara mama, papa dan adik perempuanku, Asma Elliati terhenti dengan kehadiranku. Asma pulang bercuti sempena meraikan perkahwinanku. Sudah hampir setahun Asma tidak pulang. Terlalu sibuk dengan kerjaya fesyennya dan mengendalikan butiknya di Los Angeles untuk meluangkan masa pulang bercuti menjenguk kami. Namun, aku gembira dengan kepulangannya kali ini.

Rakan perniagaanku yang juga teman rapatku, Saiful, juga telah siap menungguku untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang pengapit. Segak bergaya Saiful dengan persalinan baju Melayu serta songkoknya.

“Dah siap, Fendi?” tanya ibuku. “Handsomenya anak mama ni!” Mama tiba-tiba menyeka air mata yang terbit dari kelopak matanya. Mama merapatiku. “Fendi, mama doakan Fendi bahagia di sisi Lia. Mama bahagia dengan keputusan Fendi ni. Bahagia sangat! Restu mama dan papa sentiasa ada dengan Fendi, ya?”

Aku senyum. Aku memeluk sebentar ibuku. Terharu.

Adikku Asma kini merapatiku. Dia mengucapkan tahniah kepadaku. “Mama dah cerita pada adik pasal Lia. Adik akan sentiasa doakan kebahagiaan abang.” Asma menggenggam tanganku tanda sokongannya.

Thanks, dik…” ucapku. “Cantik adik abang hari ni…Mana cilok baju kurung ni?” usikku. Susah untuk melihat adik tunggalku ini berbaju kurung. Rimas katanya. Dia lebih gemar berpakaian santai sahaja, seperti slek yang dikenakan dengan blaus atau kemeja.

Asma mencebik. Leher baju kurung ditarik. Tidak selesa. “Mama yang belikan…rimaslah…” gerutunya.

Ibuku menggelengkan kepalanya. Tahu sangat dengan selera pakaian adikku. “Habis tu? Takkan nak masuk masjid dengan skirt atau jean? Cuba hormat majlis sikit…” bebel ibuku.

Wajah Asma bertambah kelat. Aku menyimpul senyum melihat gelagat Asma yang tidak pernah berubah.

“Jom? Kita dah lambat ni,” ajakku, cuba meleraikan ‘perbalahan’ antara Asma dengan ibuku.

Ibu mengangguk tanda bersetuju untuk memulakan perjalanan ke masjid berdekatan dengan rumah Lia. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang tiga puluh minit dan tidak seharusnya kami lambat sampai ke sana. Aku memimpin tangan Ina naik ke keretaku sementara yang lain menuju ke kenderaan masing-masing.

Saiful sempat mengusikku sebelum sempat aku masuk ke dalam kereta. “Hei Fendi! Apa hal last minute sangat kau ajak aku jadi pengapit ni, hah? Tiba-tiba je kau nak kahwin? Hujan takde ribut takde, tahu-tahu kau nak kahwin! Tak cakap pada aku pun sebelum ni? Padahal banyak kali kita meeting sama-sama…”

Aku hampir ketawa mendengar omelan Saiful. Sempat juga dia mencilok skrip cerita Pendekar Bujang Lapok.

Sorrylah, bro. Aku sibuk sangat sampai tak sempat nak cerita. Nantilah bila-bila, ya? We’ll have coffee or something.” Sememangnya aku tidak tahu bagaimana untuk menceritakan perihal perkahwinan ‘tergemparku’ kepada rakan-rakan perniagaanku ataupun teman rapatku. Walaupun Saiful tergolong dalam kategori teman rapatku dan juga merupakan rakan perniagaanku, aku tidak tahu sama ada aku mempercayainya 100%. Aku tidak mahu mereka berprasangka buruk terhadap Lia, tetapi aku tidak mahu juga sengaja mereka cerita tentang ‘kisah percintaan’ kami yang sememangnya tidak wujud.

“Okey, bro! Aku serius nak tahu macam mana one of the most eligible bachelors in KL ni boleh tersangkut and terburu-buru nak kahwin. Aku pun curious nak tengok calon isteri kau ni! Mesti someone special!! Kalau tak, takkan kau tak sabar-sabar nak kahwin, kan?” Saiful menepuk-nepuk belakangku sambil ketawa.

Aku hanya tersenyum hambar. Memang aku tak sabar nak kahwin dengan Lia tapi bukan atas sebab yang difikirkan Saiful itu. Biarlah dia memikirkan yang aku tergila-gilakan Lia, sehinggakan tidak sabar-sabar untuk menikahinya. Biarkan…Agenda sebenarku tiada siapa yang perlu tahu…


************

Kedatangan kami disambut meriah oleh ahli keluarga Lia. Aku difahamkan jurunikah sudah pun bersedia menunggu di dalam masjid. Aku mengambil tempatku di hadapan jurunikah yang bertugas. Aku mengambil masa memandang ke sekelilingku serta mengerling ke arah Lia yang duduk sopan bersimpuh tidak jauh di hadapanku. Persalinan indah kain renda berwarna putih, sepadan dengan persalinan baju Melayuku, menghiasi Lia dengan begitu cantik sekali. Lia tunduk ke bawah, langsung enggan memandangku dengan kedua belah tangannya tergenggam erat di atas ribanya. Aku tidak dapat meneka perasaannya ketika ini. Temannya, Nisha, merangkap pengapitnya, setia duduk di sebelah kirinya.

Ketika jurunikah memulakan upacara praakad nikah dengan memberi salam serta membaca bacaan doa, Lia mendongakkan mukanya dan memandangku. Untuk seketika pandangan kami bertaut. Dadaku mula berdebar. Naluri mula bergelora.

Kulihat wajahnya disolek indah, meyerlahkan lagi keayuan serta kejelitaannya. Aku terpegun melihat kejelitaannya, sehingga mendetikkan sesuatu di dadaku. Namun Lia kelihatan begitu gugup dan ada bait-bait ketakutan pada pandangan matanya itu. Aku merenungnya dalam-dalam seolah-olah memberikan sedikit kekuatanku kepadanya. Lia harus tabah. Tiada siapa melainkan ahli keluarga terdekat yang harus tahu bahawa pernikahan ini tidak direstui diri Lia sendiri. Lia mesti kelihatan ceria dan gembira, seolah-olah dia akan dinikahi dengan lelaki yang paling dicintainya. Sekiranya Mona mendapat tahu yang Lia sebenarnya tidak mahu mengahwiniku, rancanganku pasti tidak akan berjaya.

Entah bagaimana, Lia seakan dapat meneka kegusaran yang melanda jiwaku, lantas memberikanku sekuntum senyuman. Aku terpanar. Manis sekali. Menggetarkan jantungku. Walaupun senyumannya hanya seketika sebelum Lia kembali menundukkan mukanya, namun cukup memberikan gambaran pada semua yang hadir di dalam masjid tentang keihklasannya menjadi isteriku. Aku menghela nafas lega.

Aku mengembalikan perhatianku kepada jurunikah di hadapanku dan menjawab semua pertanyaannya dengan jelas dan yakin. Setelah beberapa ketika, Lia sah menjadi isteriku dengan sekali lafaz. Selepas semua dokumen siap ditandatangani, ku lihat Lia bangun menuju ke ruang solat wanita. Sepertinya, aku turut mengerjakan solat sunat dua rakaat tanda syukur ke hadrat Ilahi.

Sekembalinya Lia daripada mengerjakan solat sunatnya, aku diminta meneruskan dengan upacara membatal air sembahyang. Aku bangun dan merapati tempat duduknya. Ketika sudah berada di hadapannya, kedengaran suara ibu Lia memintanya bersalam dan mengucup tanganku. Lia menurut. Kedua tangannya memaut tanganku, lantas dia tunduk untuk mengucup tanganku. Suatu perasaan halus menyelubungiku tatkala bibir Lia menyentuh tanganku. Damai. Ya Allah, begitu sejuk tangannya. Seperti beku. Bertali arus lensa kamera merakamkan detik bersejarah itu.

Kini upacara menyarungkan cincin ke jari manis Lia pula. Aku memegang tangan kanannya yang lembut lalu menyarungkan cincin emas yang bertatahkan butir-butiran berlian di sekelilingnya, pada jari manis Lia. Giliran Lia pula menyarungkan cincin di jariku. Semuanya berlaku tanpa Lia sedikit pun memandang ke wajahku. Lia diminta menyalamiku sekali lagi atas permintaan jurufoto yang tidak puas-puas merakam gambar kami. Lia menurut.

Lia kembali bangun daripada posisi tunduknya dan membiarkan matanya separas butang baju Melayu di leherku – masih tidak mampu bertentangan mata denganku. Aku menongkat dagunya ke atas untuk memaksanya memandangku. Lia tiada pilihan lagi. Mata bertentang mata. Ya Allah! Betapa indahnya kurniaan-Mu kepadaku ini! Aku merapatkan diriku padanya dan mengucup dahinya. Lama. Ternyata Lia sedikit terkejut dengan perbuatanku, namun dia pantas menutupnya apabila tersenyum malu. Aku terpaku!

Aku memanggil Ina yang duduk berhampiran ibuku dan membawanya dekat dengan Lia. Ina menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Lia, tetapi Lia mengejutkanku apabila menarik tangan Ina dan mendakapnya. Lia mencium kedua-dua pipi Ina yang ternyata amat teruja dan gembira dengan perlakuan Lia itu. Aku hanya mampu tersenyum. Lia membalas senyumanku. Aku memandang Lia dengan pandangan penuh rasa terima kasih kerana dia telah mengotakan janjinya kepadaku. Di mata orang luar yang tidak mengetahui bagaimana Lia dan aku disatukan, pasti tidak akan merasakan apa-apa yang tidak sempurna dengan penyatuan ini.

Majlis akad nikah disusuli dengan kenduri di rumah orang tua Lia. Majlis resepsi daripada pihak lelaki akan disusuli pada keesokan malamnya di Hotel Istana. Mataku mengekori tubuh kecil Lia ketika dia meninggalkan masjid untuk kembali ke rumahnya. Aku kekal menunggu di dalam masjid untuk menyalin baju Melayuku ke persalinan songket berwarna cream.

Saiful membantuku dan amat teliti dalam memastikan semuanya terletak dengan sempurna di tubuhku. Keris di pinggang, tengkolok di kepala, semuanya diamati dan dibetulkan. “Susah nak tengok orang pakai songket untuk kenduri kahwin sekarang ni. Semua ikut perubahan trend dan fesyen. Tapi kau masih ikut tradisi, bro. Aku respect betul…” ujar Saiful.

“Mama aku yang pilih…Aku ikutkan je…” jelasku.

Saiful masih melurutkan tangannya di atas bahuku, membetulkan letak duduk bajuku. Hanya setelah dia benar-benar berpuas hati dengan penampilanku, barulah dia membenarkan aku keluar dari masjid.

“Fendi, aku cemburu dengan kau…”

Pengakuan Saiful mengejutkanku. Pantas aku menoleh memandangnya. Cemburu? Apasal pulak?

“Engkau dapat isteri idaman jejaka satu Malaya!”

Aku tergelak kecil.

“Kali pertama aku pandang isteri kau tadi, aku yang rasa sejuk, tenang, aman. Ini pulak kau yang akan berpeluang melihat kesejukan dan ketenangan tu semua depan mata kau setiap hari. Aku betul-betul cemburu dengan kau, but I’m happy for you, bro!”

Aku menepuk-nepuk belakang bahu Saiful. “Insya-Allah, kau akan jumpa jugak dengan ‘Lia’ kau sendiri suatu hari nanti…” balasku.

“Padanlah cepat sangat kau nak kahwin, bro. Aku dah faham sekarang. Kalau aku jumpa pompuan macam ni pun aku takkan tunggu lama-lama. Aku akan terus sambar sebelum orang lain yang sambar dulu!” Tawa aku dan Saiful sama-sama terlepas mendengar kata-kata akhir daripada Saiful itu sambil melangkah ke luar kawasan masjid. Ahli rombonganku sedia menunggu untuk mengiringiku berjalan ke rumah orang tua Lia.

Paluan kompang mengiringi kehadiran rombonganku tepat jam 1.00 tengah hari. Lia sedia menunggu di perkarangan rumah dengan persalinan songket berpotongan kebaya labuh. Kami mengatur langkah mendekati diri masing-masing. Kelihatan Nisha membisikkan sesuatu ke telinga Lia membuatkan Lia tersenyum dan tersipu malu. Lia menyambut kedatanganku dan memaut lenganku. Aku menggenggam tangannya di lenganku. Sejuk. Kami mula berjalan masuk ke dalam rumah.

Kami bersanding sebentar di atas pelamin, sekadar untuk bergambar dengan sanak keluarga. Tiada upacara merenjis tepung tawar diadakan. Aku difahamkan ini adalah atas permintaan Lia sendiri yang mahukan upacara persandingan yang serba ringkas sahaja.

Terdengar suara ibuku bergurau senda dengan besannya sambil mengusik kami di atas pelamin. Sebuah kerusi kayu antik panjang bertilamkan kusyen baldu, dikongsi duduk bersama Lia. Aku merasai bahunya menyentuh bahuku. Lia diusik agar memandang ke arah kamera manakala aku diminta memegang tangan Lia agar gambar kelihatan lebih cantik dan romantik.

Tangan Lia masih amat sejuk kurasakan, menandakan kegelisahan serta kegugupannya bersanding di atas pelamin berdua-duaan bersamaku. Sempat aku mengerling sekilas ke arahnya. Ketika itu juga dia memalingkan mukanya menghadapku. Pandangan matanya penuh dengan rasa gemuruh. Aku menggenggam tangannya. Simpati aku terhadapnya. Tidak putus-putus dia diusik sanak-saudaranya. Gamat suasana ruang tamu rumah mentuaku.

“Ya Allah, macam pinang dibelah dua, pengantin baru ni! Mengalahkan perkahwinan sesama artis. Pandainya Seri, kau cari menantu! Macam bintang filem, bukan main lagi hensemnya…” usik seorang makcik, yang ku yakini kenalan ibu mentuaku.

Kemudian ada kawannya yang lain pula berkata, “Seri, kalau aku tahu anak dara kau cantik macam ni, dah lama aku pinang untuk anak aku si Zaimi tu. Kalau tak si Zaimi pun, si Helmi. Kalau tak si Helmi pun, si Rudy. Mana-mana jelah. Tak kisahlah asal dapat Lia jadi menantu aku…Sekarang kan dah melepas…” diikuti dengan ilaian ketawa semua yang mendengar usikan mereka.

Lia kelihatan tidak selesa dengan usikan mereka. Terbit sejenak rasa bangga di hati mendapat isteri yang begitu lengkap pakejnya seperti Lia, yang menjadi idaman bukan sahaja ibuku sendiri, tapi ibu-ibu lain yang hadir ke majlis kami. Ternyata Lia merupakan calon menantu mithali pilihan para ibu yang tentukan mahukan yang terbaik untuk anak-anak lelaki mereka.

Ketika duduk bergandingan di meja santapan, aku sempat berbisik kepadanya. “You okay? Hang in there, ya?”

Lia hanya mampu menganggukkan kepalanya. Aku juga mengambil peluang menggenggam tangannya yang masih sejuk dari bawah meja. Lia menoleh ke arahku lalu tersenyum. Aku terpanar sekali lagi. Sudah berkali-kali dadaku dihentam hebat oleh perasaan halus itu. Parah macam ni…

“Amboi, romantiknya pengantin ni. Asyik pandang-pandang je…” kedengaran suatu suara mengusik kami. Lia pantas mengalihkan pandangannya lalu tunduk. Sempat pipinya yang memerah menangkap pandanganku.

“Hai la, kalau aku dapat isteri cantik macam ni pun, aku pun tak nak terlepas pandang…” suara garau seorang lelaki tua kedengaran. Para tetamu yang mendengar komen-komen usikan tadi bergegar ketawa. Aku mendengar Lia melepaskan nafasnya perlahan-lahan.

Selesai kenduri di rumah Lia, aku kembali ke rumahku di Damansara Heights manakala Lia kekal bermalam di rumah mentuaku. Ketika Lia menghantarku ke kereta, dia menyalami dan mengucup tanganku. Suatu suara di hatiku menyatakan hasratku untuk mendakapnya, tetapi tidak mampu aku lakukan. Namun aku tidak berdaya menolak keinginanku untuk mengucup dahinya sekali lagi. Suatu ketenangan aku rasakan pabila dapat mengucupnya begitu. Terasa aku benar-benar suaminya dan dia isteriku yang sentiasa memohon restuku. “Sleep well, my dear. I’ll see you tomorrow…”

Senyuman manis Lia mengiringi pemergianku. Mengapa hati terasa berat meninggalkannya? Adakah aku sudah merasa rindu?


***************

Keesokan paginya, seperti yang telah dirancangkan, aku menjemput Lia dari rumah orang tuanya. Lia sudah pun bersiap dengan beg dan beberapa buah kotak untuk diangkut berpindah ke rumahku. Lia nampak begitu sedih meninggalkan kedua orang tuanya dan berjanji akan menziarahi mereka selalu.

“Jumpa mak dan abah malam karang, ya?” Lia berkata lembut.

“Mak, abah…Fendi gerak dulu. Assalamualaikum…” Aku menyalami tangan ibu dan ayah mentuaku sebelum mengiringi Lia masuk ke dalam kereta.

Di dalam kereta, Lia diam membisu dan hanya memandang ke luar tingkap. Aku tahu dia tidak selesa berdua-duaan denganku apabila dengan jelas tangan kanan di atas ribanya tidak henti-henti menggenggam dan meramas tangan kirinya. Tidak sukar hendak meneka mengapa dia tidak selesa bersamaku, namun aku berharap Lia boleh berpura-pura bermesra denganku sekiranya ada orang lain bersama-sama kami nanti.

“Abang nak ucapkan terima kasih pada Lia sebab Lia ingat janji Lia pada abang,” kataku dengan lembut, memecah keheningan suasana. Sambil memandu, aku mengerling ke arah Lia.

Lia menoleh memandangku, seakan terkejut. Mungkin kerana aku membahasakan diriku dengan panggilan ‘abang’. Namun dia tidak memberikan sebarang tindak balas. Lia cuma mengangguk.

“Jangan lupa. Bila-bila masa je lepas ni, kalau Lia perlukan favour daripada abang, abang janji akan tunaikannya…”

Diam. Tiada balasan.

“Oh ya! Resepsi malam ni mula pukul 8.00 tapi kejap lagi ada rehearsal jadi kita masih kena pergi sana tengah hari ni. Hotel Istana ada sediakan bilik untuk kita bersiap, jadi lepas rehearsal, kita tak payah balik rumah.”

“Okey,” balas Lia dengan nada perlahan.

“Apa yang Lia sedang fikirkan sekarang?” tanyaku selepas lebih lima belas minit masa berlalu tanpa sebarang bicara. Hanya lagu nyanyian Christina Perri, A Thousand Years di radio menjadi peneman.

Lia seakan teragak-agak untuk berkata-kata namun dia memberanikan diri mencuba. “Ingat tak Fendi ada cakap dengan Lia yang lepas kita kahwin, Fendi akan ceritakan pada Lia kenapa Fendi kahwin dengan Lia?”

Aku mengangguk. “Ya. Abang ingat. Tapi…biarlah kenduri ni semua selesai dulu, ya? Nanti abang akan jelaskan.”

Lia bersetuju tanpa banyak soal.

Errr…Ina mana?” soal Lia, yang kukira sekadar untuk memecah suasana di dalam kereta yang kembali dipenuhi dengan suara mendayu-dayu Christina Perri tadi.

“Ina ada dengan mama. Nanti mama bawak dia ke hotel malam karang.

“Oh…”

Errr Lia,” sambungku lagi. “Abang rasa lepas ni elok kalau Lia tak panggil abang dengan nama abang. Tapi panggil ‘abang’. Lagi proper. Tak manis kalau orang luar dengar Lia panggil suami sendiri dengan nama je. Lagipun, abang jauh lebih tua daripada Lia…I’m nine years older than you!”

Lia mengeluh kecil. “Lia tak biasa…”

“Lia kenalah biasakan lepas ni…” saranku.

“Lia cuba…tapi mula-mula ni mungkin rasa janggal sikit sebab Lia tak biasa…”

Aku cuma diam namun berpuas hati dengan balasannya. Sekurang-kurangnya dia tidak terus membantah dan mahu mencuba.

Keretaku mula memasuki perkarangan rumah. Sementara Mak Cik Leha dan Pak Cik Osman sibuk memunggah beg dan kotak-kotak dari perut bonet kereta, aku mempersilakan Lia masuk ke dalam rumahku. Aku membawanya ke sekeliling rumahku agar dia lebih selesa kelak dan ketika membawanya naik ke atas, Lia mengatakan sesuatu yang agak melucukan.

“Besarnya rumah Fendi…eh…abang ni! Kenapa duduk rumah besar-besar kalau hanya ada ab..abang dengan Ina je?” Aku menyimpul senyum tatkala Lia cuba membetulkan panggilannya kepadaku. Tergagap-gagap dia hendak menyebut perkataan ‘abang’ itu. Susah sangat agaknya.

Tidakkah dia tahu tahap kekayaanku? Tidakkah dia sedar siapa suaminya ini?

“Kenapa? Lia lagi suka rumah kecik ke?” tanyaku sambil tertawa kecil.

Lia mengetap bibir. “Bukan macam tu la tapi…tak ke lagi selesa kalau rumah tu serba sederhana? Bukan sebab Lia tak suka, tau? Cuma sekadar bertanya.”

Balasan daripada Lia mengesahkan lagi pendapatku bahawa Lia berkahwin denganku bukan disebabkan harta kekayaanku dan kemewahan yang bakal dikecapnya dengan menjadi isteriku. Entah mengapa hakikat ini benar-benar membahagiakanku.

Aku membuka pintu bilik utama dan mengajaknya masuk. “Ni bilik kita. Nanti Mak Cik Leha akan pindahkan barang-barang Lia ke dalam bilik ni...”

Lia kelihatan teragak-agak untuk melangkahkan kakinya masuk ke dalam bilik yang sudah terbuka. Dia menelan air liur. “Errr…kita berdua akan sama-sama kongsi bilik ni?”

“Yalah! Habis tu Lia ingat apa?” tanyaku perlahan. Kening kujongketkan.

Takdetakde apa-apa…” katanya gugup dan sedikit gelisah.

Aku tertanya-tanya sendiri mengapa Lia beranggapan bahawa dia tidak akan berkongsi bilik denganku, lebih-lebih lagi aku sudah pun menjadi suaminya. Tetapi aku biarkan sahaja soalan itu berlalu.

Lia memerhatikan bilik tidur kami dan berjalan menuju ke tingkap yang berpemandangan kolam renang di belakang rumahku. Aku menghampirinya dan berdiri di sebelahnya. Ku amati wajahnya dari tepi. Ternyata Lia sedang berperang dengan perasaannya ketika itu dan aku tidak tahu bagaimana untuk menenangkannya. Sudahnya, aku mengajaknya turun ke bawah untuk bersedia bertolak ke Hotel Istana.

Aku perkenalkan Lia kepada pembantu rumahku, Mak Cik Leha dan pemanduku, Pak Cik Osman. Pak Cik Osman merupakan suami kepada Mak Cik Leha. Mereka berdua sudah terlalu lama bekerja dengan keluargaku. Pada mulanya mereka berdua bekerja di rumah orang tuaku. Namun setelah berkahwin, ibu meminta mereka berdua bekerja di rumahku. Setelah aku bercerai dengan Mona pun mereka masih lagi kekal bersamaku.

“Encik,” kata Pak Cik Osman kepadaku. “Encik nak saya drive ke Hotel Istana?”

Takpe, pakcik. Tak payah. Saya drive sendiri. Jangan lupa datang dengan Mak Cik Leha malam ni, ya?” kataku sambil memaut lengan Lia berjalan menuju ke kereta. Lia memandangku kehairanan tetapi menurut sahaja masuk ke dalam perut kereta.

“Encik,” Mak Cik Leha menegurku dari belakang. Aku berpaling.

“Ya?”

“Baju untuk malam ni dah ada dalam kereta, bersama beg Puan yang ada kat kerusi belakang…Saya tak keluarkan dari kereta…”

Aku mengangguk dan masuk ke dalam kereta. Selepas lima minit berlalu, aku cuba mengingatkan Lia kembali pada janjinya. “Lia, malam ni, semua ahli keluarga abang, kawan-kawan abang dan rakan-rakan perniagaan abang akan hadir ke majlis kita. Jadi abang harap, Lia sekali lagi dapat ‘berlakon’ yang Lia bahagia dan gembira dengan perkahwinan kita ni. Kalau kita kat khalayak ramai, orang akan nampak kita as the happy couple. So you have to get used to me touching you in public.

Berkerut dahi Lia memandangku. “Kenapa penting sangat apa yang orang fikir pasal kita?” soal Lia, sedikit tidak puas hati.

“Lia kena fikir. Jodoh kita ni diaturkan oleh kedua orang tua kita. Abang pulak ada Ina. Abang tak nak nama dan maruah famili kita tercalar dengan kata dan fitnah orang. Lia suka kalau orang kata Lia kahwin dengan abang sebab tamakkan harta abang sedangkan Lia tak cintakan abang? Padahal kita kenal dalam tempoh kurang tiga bulan. Ramai yang kenal abang kat luar tu. Cukuplah sekali maruah abang dan keluarga abang tercalar dulu…” Aku menjeling ke arahnya sebelum kembali memandang ke hadapan.

Aku tahu Lia sedang memikirkan kata-kataku. “Abang tahu Lia sayangkan mak dan abah Lia dan tak mahu diaorang menanggung malu kalau-kalau ada cerita yang kita tak bahagia, sampai ke telinga diaorang, betul tak?”

Aku pasti pertanyaanku yang terakhir itu sampai betul-betul ke hatinya. Aku tahu betapa Lia menyayangi ayah serta ibunya dan sudah pasti dia tidak mahu berita buruk mengenai hal rumah tangga kami sampai ke telinga mereka.

“Sampai bila macam ni?” soal Lia perlahan.

“Sampai bila-bila!” kataku dengan nada tegas. Aku mengeluh. “Lia akan lebih faham lagi nanti. Tunggulah ya? Nanti abang jelaskan semuanya.”

Kami akhirnya sampai di Hotel Istana. Hotel yang telah menjadi saksi pertemuan aku dan Lia yang pertama kali lebih kurang tiga bulan dulu. Barangan yang dibawa dibawa naik ke Honeymoon Suite.

Kami bersedia untuk rehearsal untuk majlis malam nanti dan tiada lagi perbincangan serius antara aku dengan Lia. Ternyata Lia begitu kekok dalam percubaannya untuk ‘bermesra’ denganku ketika berada di khalayak ramai tetapi aku tidak memaksanya. Aku tahu ini bukan mudah baginya dan aku bersyukur dia mahu menurut kata-kataku. Jelas dia sedang mencuba. Itu sahaja cukup untukku buat masa ini.

Saiful dan Nisha, selaku pengapit pengantin lelaki dan perempuan, turut serta menjalani rehearsal tidak lama selepas kami sampai di Hotel Istana. Nisha agak mesra denganku. Aku senang melihat betapa teguhnya ikatan persahabatan antara Lia dengan Nisha. Mereka berdua amat rapat sekali. Sesekali mereka berbual tanpa menghiraukan orang lain di sekeliling mereka. Sungguh asyik berbicara sehinggakan aku bebas mengamati segala tingkah laku Lia, tanpa sedarnya. Lia seorang yang amat lembut – daripada pergerakan tangannya dan juga lentokan kepalanya. Sesekali tangannya akan menyentuh atau menguis lengan Nisha ketika bercerita.

“Hai! Relakslah, bro. Tengok bini sendiri macam tak sabar-sabar nak terkam je aku tengok? Tak berkelip mata kau!” usik Saiful.

Aku tergelak mendengar kata-kata Saiful. Cuba menutup malu kerana ditangkap merenung isteri sendiri.

“Lawa giler bini kau, bro. Pandai kau cari! Dia ada adik perempuan tak yang boleh kau kenen dengan aku? Kakak pun takpe, bro! Aku tak kisah…” Mata Saiful berlabuh di wajah Lia.

Sorry, bro. Lia anak bongsulah dan anak perempuan tunggal dalam keluarga dia,” jelasku.

AlaaahFrustnya aku! Aku tengok bini kau ni lembut je, kan? Lembut yang asli, bukan yang dibuat-buat. Sejuk mata memandang.” Saiful memuji Lia sambil matanya masih berterusan menjalar ke wajah isteriku.

Ada suatu perasaan tidak senang bertandang di hati. “Hello, bro. Jangan pandang lama-lama, ya? Tu isteri aku, tu!” Pada mulanya aku hanya berniat untuk bergurau sahaja dengan Saiful tetapi hakikatnya aku tidak suka melihat Saiful asyik memandang Lia. Tidak suka juga dia memuji-muji Lia. Kenapa agaknya? Adakah aku cemburu? Nonsense! Mona dulu merupakan seorang model. Kerjanya asyik memperagakan diri di khalayak ramai, termasuk lelaki-lelaki yang jelas memandangnya dengan niat yang satu. Bajunya tidak ada yang tidak seksi – terbelah sana, terbelah sini, terdedah sana, terdedah sini. Kadangkala aku merasa dayus membiarkan dia berpakaian begitu. Namun hakikatnya aku tidak pernah rasa cemburu sekiranya lelaki lain menjamah tubuh Mona dengan mata mereka. ‘Ah! Tak mungkin aku cemburu...’

“Hai, bertuahlah kau, Fendi. Kau dah selamat kahwin. Aku ni asyik kena main dengan pompuan je…”

Aku tersenyum mendengar keluhan Saiful. Memang Saiful seorang yang mudah jatuh cinta. Tidak pernah berasa serik. Asalkan ada wanita yang meluahkan perasaannya kepada Saiful, Saiful pasti menyambutnya. Saiful masih bersangka baik terhadap setiap wanita yang mengungkapkan kata sayang dan cinta kepadanya. Padahal mereka hanya mahukan kemewahan yang ditaburkan Saiful kepada setiap yang dicintainya.

“Kau senang sangat termakan dengan kata-kata manja, bro. Kau kena lebih berhati-hati. Kau kena cari orang yang ikhlas nakkan kau…bukan duit kau.” Nasihatku kepada Saiful. Di dalam hati, aku menyambung ‘seperti Lia.’ “Tu, kawan Lia tu tak berkenan ke?”

Saiful beralih pandang kepada Nisha pula. Diamatinya Nisha dari atas ke bawah. “Hmmm…boleh tahan jugakAda boyfriend ke?”

“Entahlah…kalau minat, aku boleh tanya Lia.” Aku cuba menjadi matchmaker. Apa saja asalkan Saiful berhenti daripada menaruh hati pada Lia. Pelik aku ni! Sampai macam tu sekali!

“Nanti-nantilah dulu, bro. Hati aku ni baru je ranap. Aku nampak sendiri Emylia curang dengan lelaki lain…Aku nak chill dululah…”

Aku sangsi mendengar kata-kata Saiful. Dia memang tidak boleh hidup tanpa seorang wanita di sisinya. Mungkin dia tidak mengenali perasaannya sendiri. Mana mungkin begitu mudah dia jatuh cinta? Aku pun sudah tidak boleh kira berapa ramai wanita yang pernah ‘dicintai’ Saiful sebelum Emylia.

Mataku kembali tertala ke arah Lia, yang asyik mendengar cerita Nisha. Walaupun Lia terlalu muda buatku, dia jelas menampakkan kematangannya dalam melayari kehidupannya kini. Dia seorang yang sungguh rasional dan langsung tidak mengikut emosi. Gadis lain di tempatnya mungkin akan memberontak dan membantah dengan apa yang berlaku kepadanya, tetapi bukan Lia. Lia telah berfikir secara matang akan kata-kataku ketika di dalam kereta sebentar tadi dan menerima segala kemungkinan dengan hati terbuka. Dia sanggup mengetepikan perasaannya sendiri demi menjaga maruah dan hati keluarganya.

Kemurnian hatinya tidak dapat kusangkal lagi. Ternyata ibuku telah membuat pilihan yang tepat bagiku.

“Jom, bro. Kita break dulu. Aku laparlah…” ajak Saiful.

Aku mengangguk. Aku bangun dari dudukku dan menghampiri Lia dan Nisha. Aku menghulurkan tanganku kepada Lia. Dia kelihatan terkejut namun cuma seketika sebelum tanganku disambut lembut bersama senyuman yang cukup manis. Aku terpanar. Untuk yang ke berapa kali. Cantiknya dia!!

“Jom makan, si Saiful ni dah lapar sangat,” aku mengajak sambil jari-jemariku menyimpul kemas jari-jemarinya. Terasa kehangatan tangannya menyelinap masuk hingga ke pangkal lenganku. Aku tidak faham reaksi tubuhku apabila berdekatan ataupun bersentuhan dengannya. ‘Macam budak belasan tahun, aku dibuatnya!’ Aku marah kepada diriku sendiri. ‘Come on, Fendi. Control yourself!’


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....