Friday, 13 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 10


“Bang, kenapa abang nangis?” Syam mengesat air mata dengan lengan baju dan mendongak melihat wajah isterinya, Suhaila. Entah bila isterinya itu berdiri di hadapannya. Dia langsung tidak perasan. Berkerut dahi Suhaila memandang Syam dengan riak wajah yang begitu risau sekali. Syam menarik tangan isterinya untuk sama duduk bersamanya di birai katil.

Syam menggelengkan kepalanya. “Budak-budak dah tidur?” soalnya terlebih dahulu. Pertanyaan si isteri, dibiarkan sepi.

“Dah, bang. Penat sangat agaknya,” balas Suhaila. “Abang? Kenapa ni?” Suhaila masih tidak berpuas hati pabila Syam tidak menjawab pertanyaannya.

Syam mengukirkan sekuntum senyuman manis kepada Suhaila. Cuba menghilangkan rasa risau yang melanda hati isterinya itu. “Takde apa, Su. Abang nangis bukan sebab abang sedih. Tapi sebenarnya abang rasa gembira sangat malam ni...” Syam mengusap pipi Suhaila lembut.

Suhaila membalas senyuman suaminya. Ada riak lega di wajahnya. “Su tahu kenapa. Su pun rasa macam tu, bang…tak sangka ya, bang? Abang tahu, masa nak balik dari rumah mak tadi, mak peluk Su! Mak cium Su!” Suhaila tersengih memikirkan kembali perlakuan ibu mentuanya sebentar tadi. Teruja benar lagak Suhaila. Dia masih tidak percaya apa yang telah terjadi malam ini. Syam tumpang gembira melihat Suhaila begitu gembira. Jelas kelihatan di wajah isterinya itu.

Selama ini, walaupun Puan Seri melayani Suhaila dengan baik dan jelas menyayangi anak-anak Syam bersama Suhaila, tetapi ada sesuatu ‘kekurangan’ antara hubungan Puan Seri dengan Suhaila. Bukannya Puan Seri tidak mesra dengan Suhaila…Mereka sering berbual-bual bersama, tetapi mungkin keikhlasan daripada seorang ibu yang dicari-cari Suhaila selama ini, tidak pernah dirasakannya. Sudah lapan tahun Syam mengahwini Suhaila, dan selama itu jugalah Suhaila menanti keikhlasan ibu mentuanya dengan penuh kesabaran. Syam sedar selama ini, Suhaila mendambakan kasih sayang yang tulus ikhlas daripada Puan Seri, memandangkan ibu kandungnya sendiri telah lama meninggalkannya.

“Mak pun peluk dan cium abang tadi. Abah pun!” Syam mencelah.

Suhaila menggenggam tangan suaminya. “Su bersyukur sangat Allah dah bukakkan hati mak dan abah untuk terima kita. Abang tak tahu macam mana selama ni Su hidup dengan penuh rasa kekesalan. Kesal, disebabkan Su, abang tersisih daripada keluarga abang sendiri.” Lirih suara Suhaila.

Syam menggelengkan kepalanya lantas mengesat air mata jernih yang tiba-tiba mengalir dari tubir mata isterinya. “Jangan cakap macam tu, sayang. Abang tak pernah salahkan Su. Abang yang tergila-gilakan Su dulu. Abang yang kemaruk nak kahwin sangat dengan Su, walaupun Su sanggup tunggu abang…Abang tak nak Su rasa bersalah walau sedikit pun. Memang abang tak berpelajaran tapi abang bahagia. Bahagia sangat! Su dan anak-anak kita, harta abang yang takde galang gantinya…”

Suhaila mengangguk tanda menerima penjelasan Syam.

“Abang pun gembira sangat tengok Along tadi. Along dah lama menderita. Kesian Along selama ni. Cuma kita je yang tak tahu…tak nampak. Walaupun Along tu lelaki, tapi abang tahu Along rasa jauh hati sangat dengan mak dan abah. Selama ni abang tak tahu macam mana nak tolong Along. Abang pun tumpang rasa bersalah sebab tak dapat nak rapatkan hubungan Along dengan mak dan abah…”

“Yalah, bang. Kalau Su boleh terasa hati dengan mak selama ni, apa lagi Along, kan? Kesian Along…” Suhaila menyokong kata-kata Syam.

Syam sedih mengenangkan nasib abangnya, Mail, selama ni. “Su, kalaulah anak kita yang buat perangai macam Along atau abang dulu, Su buat apa, ya?” tanya Syam serius. Ingin menyelami hati seorang ibu.

Suhaila mengeluh kecil. “Entahlah, bang. Su tak tahu nak jawab…Kadang-kadang kita ni terlalu mengharap pada anak-anak kita. Su rasa semua mak bapak nak yang terbaik untuk anak-anak mereka… Mahu anak-anak diaorang berjaya dalam hidup…tapi kalau anak kita tak ikut cakap kita, tak semestinya diaorang ni semua akan gagal dalam hidup, kan? Mungkin ada yang akan gagal, tapi mungkin ada yang berjaya…Kita cuma kena sentiasa sayang dan sokong mereka. Su sedar restu mak bapak tu penting buat seorang anak. Entahlah bang…” Jeda. “Errr…katalah Rima atau Irfan nak kahwin masa umur diaorang lapan belas atau sembilan belas tahun, abang bagi tak?” Giliran Suhaila menyoal Syam.

Eeeee…abang siat diaorang hidup-hidup!” Pantas Syam menjawab tanpa berfikir sejenak pun.

Suhaila kelihatan terkejut dengan jawapan suaminya. “Kenapa pulak? Dia kahwin muda boleh, anak-anak tak boleh pulak!” rungut Suhaila. Jelas tidak puas hati dengan balasan Syam sehinggakan bibirnya sedikit memuncung.

Syam tergelak kecil melihat riak wajah isterinya. Tangan Syam yang digenggamnya selama ini dilepas dan ditolak dengan kasar. “Alaah…janganlah marah!” Syam meraih kembali tangan isterinya dan memaksa Suhaila memandangnya. “Su cuba fikir…Su nak anak kita jadi macam Along atau abang, atau Su nak anak kita jadi macam Lia?” Syam menjongket-jongketkan keningnya.

Suhaila terdiam. Dahinya dikerutkan semula seolah-olah cuba memikirkan sedalam-dalamnya soalan Syam tadi. “Hmmm…mestilah nak anak macam Lia,” jawabnya meleret.

Syam tersenyum puas mendengar kata-kata isterinya.

“Abang dah pernah rasa apa yang Along rasa. Walaupun tak seteruk Along, tapi abang tetap merasakannya. Abang tahu macam mana rasanya kalau kita ni dianggap gagal dalam hidup hanya sebab kita tak berpelajaran tinggi…abang tahu abah malu ada anak seperti abang dan Along sebab anak-anak saudara abah yang lain kebanyakannya berjaya dan berpelajaran tinggi. Abah dengan mak bangga dengan Lia. Lia taat pada semua permintaan abah dan mak. Tengok Lia sekarang!” kata Syam penuh bangga. Tiada sedikit pun perasaan cemburu terhadap adik tunggalnya, walaupun Lia disayangi dan dikasihi kedua orang tua mereka, melebihi dirinya dan Mail.

Suhaila mengangguk tanda setuju. “Su rasa Lia tu tak bahagia, tapi dia reda. Abang bertuah dapat adik macam Lia. Su rasalah kan, Lialah yang telah menyatukan semula keluarga abang…”

“Abang setuju. Tengok saja mak dan abah malam ni. Dah lama abang tak rasa pelukan daripada mak atau abah. Dah lama benar!”

Suhaila meraup rambut Syam ke belakang dengan lembut. Sehingga kini, belaian kasih daripada Suhaila masih terasa…Keyakinan dan kesabarannya selama ini menjadi tulang belakang Syam untuk sentiasa bekerja keras. Syam pasti suatu hari nanti, dia akan berjaya merealisasikan impiannya untuk membuka bengkelnya sendiri.

“Tidurlah, Su. Esok pagi-pagi lagi kita dah nak kena pergi rumah mak, tolong apa-apa yang patut…”

Suhaila mencebik. “Tu lah…Kenapa kita tak tidur je rumah mak tadi? Kan senang? Tak payah nak berpindah-randah!!” ngomel Suhaila.

Geli hati Syam mendengar omelan isterinya. Comel sungguh. Syam mencuit hidung Suhaila. “Nak tidur kat mana, wahai sayangku? Rumah tu penuh dengan makcik-pakcik dari kampung. Sesak! Bising pulak tu. Langsung takde privacy. Sah-sah nak usik isteri abang nanti pun tak boleh…”

Suhaila menampar lengan suaminya manja. “Hesy, abang ni! Ke situ pulak dia…” Suhaila tersipu.

Usikan Syam menjadi. Suhaila cuba bangun dan menjauhkan dirinya daripada Syam tetapi lelaki itu pantas meraih pergelangan tangannya. Syam menarik tangan Suhaila dan Suhaila jatuh ke atas ribanya. “Abang ni!!” katanya tertawa.

Syam memeluk Suhaila erat sambil membenamkan kepalanya ke rambut isterinya yang harum mewangi. Dia memejamkan matanya lalu melepaskan rasa hibanya melalui aliran nafasnya yang tiba-tiba tersekat-sekat. Sudah terlalu lama dia merindui ayah dan ibunya. Sudah terlalu lama…Walaupun mereka dekat dengannya, tetapi sebenarnya mereka amat jauh sekali. “Mak sayang kau, Syam!” Kata-kata hikmat itu diucap Puan Seri tatkala memeluk Syam sebentar tadi. Lenyap sudah segala kekesalannya selama ini. Syam bertekad untuk tidak lagi mengecewakan kedua orang tuanya ketika hayat tua mereka ini. Cukuplah dia merasakan keperihan akibat perbuatannya dulu. Tidak mahu dia mengulanginya!   


Suhaila membalas pelukan suaminya…terasa kehidupan mereka sempurna kini. Syukur pada-Mu, Ya Allah…

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....