Friday, 20 March 2015

Meminjam dari FB page Lovenovel :)

Kini boleh didapati dari Penerbitan Lovenovel. Alhamdulillah...

GEMALAI KASIH OLEH Lynn Safiya
HARGA
RM26 SM (AHLI RM23)
RM29 SM (AHLI RM26)

Tuesday, 17 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 15 (Akhir di Blog)


Asrul Effendi

“Lia dah siap?”

“Sikit lagi, bang. Kejap, ya?”

Cuak sedikit wajah Lia mendengar soalanku. Dia hanya mengilas pandang kepadaku. Masih tidak sanggup bertentang mata denganku sejak kejadian petang tadi. Aku juga masih belum ‘pulih’ sepenuhnya daripada kejutan yang ‘dihadiahkan’ kepadaku sebaik sahaja aku melangkahkan kaki masuk ke dalam kamar tidurku ini. Rasanya jantungku masih belum berdegup secara normal sejak petang tadi.

Malam ini mama akan mengadakan jamuan ringkas makan malam di rumahnya bagi meraikan adikku Asma yang akan pulang ke Los Angeles esok. Malam ini banyak mata akan bertumpu kepada aku dan Lia memandangkan inilah kali pertama kami akan muncul di khalayak ramai sejak disatukan tiga minggu yang lalu. Tentu mereka teringin melihatkan perkembangan hubungan aku dan Lia.

Lia masih mengenakan tudung di kepalanya. Padan dengan warna blaus suteranya yang berbunga ungu kemerahan serta skirt labuh berwarna putih. Solekan di wajahnya ringkas dan menawan. Tangannya yang sedikit terketar ketika mengenakan kerongsang di bahunya menandakan dia kurang selesa apabila aku asyik memerhatikannya. Aku suka melihat dia begitu…sering tidak tentu arah apabila aku berada dekat dengannya. Membuatkanku yakin bahawa dia juga sebenarnya tertarik denganku. Cuma dia tidak menyedarinya. Aku tersenyum di dalam hati melihat kekalutannya.

Kerana Lia begitu muda, dia mungkin tidak tahu bagaimana hendak mencerna perasaannya sendiri. Lainlah dengan diriku yang pernah mengenal erti ghairah dan keinginan. Aku tidak nafikan bahawa aku juga tertarik dengannya. Tarikan antara aku dengannya seperti magnet. Begitu kuat kurasakan. Aku hanya akan menipu diriku sendiri seandainya aku tidak mahu mengakui bahawa naluriku langsung tidak terusik apabila menyentuhnya atau membelai rambutnya, walaupun tanpa sedarnya.

“Abang cuba tengok Ina dah siap ke belum?” soalan Lia menyedarkanku daripada lamunan.

Aku tahu Lia sengaja mahu aku pergi meninggalkan bilik tidur kami agar dia akan berasa lebih selesa bersiap tanpa kehadiranku yang asyik merenungnya. Aku tersenyum tetapi akur.

Aku mengorak melangkah menuju ke bilik Ina dan melihat dia sedang memegang sebuah buku di tangannya.

“Ina dah siap? Ina baca apa tu?”

“Ina tengah baca buku Iqra’ ni. Kat sekolah Ina, takde pun siapa-siapa ajar Ina ngaji. Ummi yang ajar Ina. Ummi kata Ina pandai. Jadi Ina nak practice bacalah…”

Terharu aku mendengar kesudian Lia mengajar Ina mengaji. Aku rasa bersalah melepaskan tanggungjawabku ini kepadanya. Aku yang sepatutnya mengajar Ina mengaji, bukan Lia.

Lia tiba-tiba muncul di muka pintu bilik Ina. “Bang, Lia dah siap. Ina jom cepat! Tok Mak mesti dah tunggu dah ni.” Lia menghulurkan tangannya kepada Ina. Ina melompat turun dari katilnya lalu menyambut tangan Lia. Aku mengekori mereka turun ke bawah. Suatu perasaan halus menyelubungi diriku tatkala melihat hubungan mesra antara Lia dengan anak tunggalku. Lia begitu ikhlas menerima dan melayan Ina. Dia tidak sekadar berpura-pura. Aku yakin akan itu.

“Lia okey? Ready untuk malam ni?” Disebabkan Ina turut berada di dalam kereta, aku tidak dapat berkata-kata dengan jelas tetapi aku mengharapkan agar Lia mengerti akan maksudku.

Lia berpaling. “Lia nervous sebenarnya.” Aku mengerling ke arahnya. Mata Lia memancarkan kerisauannya.

“Abang faham. Ramai jugak yang mama ajak kali ni. Mesti mama pun nak tengok perkembangan hubungan kita. Abang harap Lia takkan kekok untuk bermesra dengan abang. Mesti semua yang ada nanti akan perhatikan kita.”

Lia mengangguk. “Lia cuba.”

“Abah dengan mak tak dapat datang kan?”

“Ha’ah. Diaorang ada hal dengan Pak Ngah kat kampung.”

Aku mengangguk.

Sampai sahaja di rumah kedua orang tuaku, mama pantas memeluk Lia dan Ina. Kelihatan makcik-makcik dan pakcik-pakcikku turut sama memeriahkan majlis makan malam ini. Sekejap sahaja Ina hilang daripada pandangan. ‘Pasti mencari atuknya’, fikirku. Aku tidak risau. Dia sudah terlebih biasa di rumah ini.

Seperti yang kuduga, walaupun aku sibuk melayan tetamu kedua orang tuaku sambil memperkenalkan Lia kepada para jemputan, ramai yang asyik memandang ke arah kami. Walaupun Lia masih malu-malu, dia membiarkan sahaja aku memimpin tangannya atau memaut bahunya atau merangkul pinggangnya. Memang pada mulanya aku bisa merasakan dirinya yang sedikit kaku pabila aku menyentuhnya. Namun Lia tidak pernah menolak tanganku. Senyumannya juga tidak pernah lekang dari bibirnya dan aku yakin semua yang hadir telah jatuh suka akan peribadi Lia yang lembut lagi pemalu. Lia memang amat menawan malam ini. ‘What a charming little girl, she is…

Ada suatu ketika, aku galak merenung Lia dari jauh, yang sedang asyik berbual dengan adikku, Asma. Lia yang mula perasan dirinya diperhatikan memalingkan wajahnya ke arahku dan untuk beberapa detik, mata kami bertaut. Wajahnya merona kemerahan. Pasti malu dengan renunganku. Lia akhirnya tewas lalu mengalihkan pandangannya. Apabila aku turut mengalihkan pandanganku, kulihat mama tersenyum memandangku. Penuh makna. Terserlah rasa kepuasan di wajah mama apabila melihat reaksi aku dan Lia sebentar tadi.

Pandanganku kembali bertumpu ke arah Lia. Sepanjang malam, sepasang mataku asyik mencarinya apabila dia tiada di sisiku. Mataku juga seolah-olah dapat merasakan kehilangan sekiranya tidak dapat menatap seraut wajah ayu isteriku itu.

Aku inginkannya!

Nah! Akhirnya aku mengakuinya. Aku inginkannya! Aku dambakan sentuhannya. Aku ingin menjadi suaminya dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Aku ingin bermesra dengannya, dan ingin dia merasai sentuhanku. Aku ingin mengembalikan hakku sebagai suami, hak yang aku sendiri telah lucutkan dahulu, tetapi aku tidak berdaya melanggar janjiku. Janjiku untuk melepaskannya daripada melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteriku.

Apa yang telah terjadi kepadaku? Bagaimana aku boleh membiarkan perasaan ini menular tanpa sedarku?

Setiap kali aku di pejabat, naluriku ingin lekas-lekas pulang ke rumah agar dapat meluangkan masa dengannya. Di rumah, aku akan menahan rasa geloraku dan hanya masuk ke dalam bilik tidur bila kutahu Lia sudah pun lena diulit mimpi. Hanya dalam tidurnya, aku mempunyai kebebasan penuh untuk menatap setiap inci wajahnya serta tubuhnya dan mengusap rambutnya yang sentiasa mencabar aku untuk membelainya. Aku seolah-olah menjadi seorang pencuri. Mencuri-curi membelai isteriku sendiri sedangkan dia halal untukku.

Entah berapa kali aku terpaksa menahan diriku daripada mengucupnya, memeluknya atau mempamerkan ghairahku kepadanya. Aku tahu dia tidak membenciku. Seorang wanita mulia bernama Intan Marliana tidak tahu bagaimana untuk membenci sesiapa pun. Cuma aku tahu dia masih terluka dengan pengakuanku dan sentiasa mencuba menjauhkan dirinya daripadaku. Ada tembok besar yang memisahkan aku dan dia. Namun aku tidak menyalahkannya.

Teringat aku kembali kepada sekujur tubuh Lia yang hanya dilitupi tuala putih pendek paras peha, ketika dia keluar dari bilik mandi petang tadi. Rambutnya yang basah serta bahunya yang masih dihinggapi titis-titis air amat menggodaku. Dia tidak menjangkakan kepulanganku yang terlebih awal daripada biasa. Lia terkesima melihat kehadiranku di dalam bilik dan untuk seketika, dia kekal berdiri memandangku dengan keadaan dirinya masih berkemban, dengan mulut yang sedikit ternganga dan mata yang terbuka luas.

Sepasang mataku meratah tubuhnya yang seharusnya menjadi milikku. Aku menelan air liurku dan cuba mengawal gelora nafsuku. Merah muka Lia menahan malu. Entah bagaimana, Lia tiba-tiba tersedar daripada rasa terkejutnya dan hampir berlari menuju ke katil lalu mengutip pakaiannya. Lia kembali menguncikan dirinya di dalam bilik mandi. Aku melepaskan nafasku yang tersekat-sekat perlahan-lahan dan cuba untuk melupakan apa yang kulihat sebentar tadi. Lia bukanlah seorang penggoda. Pasti dia tidak tahu bagaimana untuk menggunakan kecantikannya serta kesempurnaan tubuh badannya untuk menggodaku. Namun, segala perbuatan Lia amat menggiurkan, walaupun tanpa sedarnya.

Lazimnya, Lia mempunyai ruang privasi yang secukupnya ketika di dalam bilik. Aku akan pastikan aku akan bangun pagi terlebih dahulu daripadanya dan pantas meninggalkan bilik agar dia lebih selesa bersiap tanpaku. Begitu juga ketika aku pulang dari pejabat. Lia akan memastikan dirinya selesai mandi dan menyalin pakaian sebelum waktu pulangku agar aku bebas menggunakan bilik tidur dan bilik air berseorangan.  

Tetapi aku lupa untuk memberitahunya akan rancanganku untuk pulang lebih awal hari ini agar tidak terlewat mengunjungi majlis anjuran kedua orang tuaku. Aku tersenyum mengenangkan betapa Lia masih malu-malu ketika dia keluar dari bilik mandi dengan siap berpakaian. Lia langsung tidak mampu bertentangan mata denganku. Kalau ikutkan hati dan perasaanku, hendak sahaja aku menerkam dirinya tadi dan merasakan kembali nikmat kehidupan berumah tangga.

Tapi aku yakin. Apa yang aku rasa ini sekadar nafsu...tiada apa-apa perasaan lain...Tak mungkin wujud perasaan lain!

“Hai, tengah fikir pasal apa tu?” suara mama tiba-tiba mengejutkanku daripada lamunan. Bayangan Lia yang menghuni mindaku sejak petang tadi terbang entah ke mana.

Takde apa-apa, ma…” Aku membalas acuh tidak acuh. ‘Kacaulah mama ni!’ gumamku. ‘Baru je nak berangan…’

“Ya ke takde apa-apa? Tengah fikir pasal kerja ke atau tengah fikir pasal benda lain?” Mama mengusik.

“Mestilah fikir pasal kerja, kan? Mama punya pasal, Fendi kena cut short meeting petang tadi, tau?” Giliranku mengusik mama.

Alaaah…kerja tak pernah habis. Apa guna ada manager kalau semua pun Fendi masih kena handle?” cemuh mama.

Aku menggelengkan kepala melihat wajah cemberut mama. “Tak semua Borhan boleh handle, ma. Projek yang kat Dubai tu tak boleh lepas semua pada dia. Inilah projek pertama kita dekat Dubai. Projek ni bukan kecik, ma. Fendi masih kena pantau dan sekali-sekali Fendi kena turun padang…” bidasku.

Sejak syarikat Razidah Global Corporation Sdn Bhd, yang mulanya dibangunkan bapaku dan kini bersamaku, menerima pengiktirafan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak projek yang berpengkalan di luar negara diterima syarikat. Syarikat yang menawarkan khidmat kerja-kerja kejuruteraan, khidmat luar pesisir (offshore) bagi industri minyak dan gas kini begitu dikenali sebagai syarikat yang tulus dan berintegriti.

“Tapi malam ni, boleh tak kalau Fendi tak fikir pasal kerja? Esok adik dah nak balik ke LA. Entah bila lagilah dia boleh balik KL lagi…” Nada suara mama bertukar sedih. Matanya ditalakan ke arah Asma yang masih berbual dengan Lia.

Yelah ma. Fendi bergurau je dengan mama tadi,” pujukku. Tidak sampai hati melihat mama bersedih.

Mama tersenyum sambil memaut lenganku.

“Mama suka tengok Lia berkenalan dan bermesra dengan tetamu kita. Adik pun tak habis-habis puji Lia pada mama. Lia cantik sangat malam ni, kan Fendi?” Mama cuba memancing reaksiku.

Ye ma.” Aku bersetuju sahaja dengan pendapat mama. Seperti mama, mataku turut mengamati Lia. Suatu kedamaian melanda jiwaku setiap kali aku menatap wajahnya. ‘Kenapa dengan aku ni?’

Aku diam mendengar celoteh mama. Sedang mama asyik bercerita, kelihatan Asma datang ke arah kami sambil menarik tangan Lia. Lia nampak kaget. ‘Kenapa pulak ni?’ fikirku.

“Abang, bila abang nak bawak Lia datang LA?” soal Asma setelah mereka berada betul-betul berhadapan denganku dan mama.

“Adik, apasal tak panggil ‘Kak Lia’? Dia kan kakak ipar adik,” tegur mama sebelum sempat aku memberikan balasan.

“Betullah tu, ma tapi adik kan lagi tua daripada Lia ni hah. Lia ni masih terlalu muda. Macam tak kena pulak nak panggil ‘Kak’,” balas Asma sambil tergelak kecil. Lia turut tersenyum.

Takpe, mama. Sebenarnya, Lia tak kisah pun.” Lia cuba menyokong Asma. Mereka berbalas pandang.

“Eh! Mana boleh?” Bantah mama. “Pangkat kakak ipar tetap kakak ipar. Tak manis kalau adik panggil ‘Lia’ camtu je. Apa kata orang nanti…Macam tak hormat kat kakak ipar pulak.” Mama ternyata serius mengenai perkara ini.

“Okeylah…okeylah…” ngomel adikku.

Sememangnya Asma lebih berusia daripada Lia. Usia Asma sudah menjangkau tiga puluh tahun, tetapi dia masih belum berkahwin. Tiada jodoh, katanya. Tetapi aku tahu, dia sebenarnya seakan serik untuk berkahwin apabila melihat kegagalan rumahtanggaku dulu.

Asma mengulangi pertanyaannya kepadaku.

“Bila nak bawak Lia ke LA? Hmmm…Bila-bilalah nanti, ya? Sekarang abang sibuk dengan projek Dubai tu. Tak boleh nak ambik cuti. Lagipun, Lia ni baru je dapat tawaran kerja kat KL. Lagi dua minggu Lia dah kena mula kerja. So memang tak boleh nak ke LA sekarang.”

“Abang ni asyik dengan kerja je. Sikit-sikit kerja. Sikit-sikit kerja. Jangan esok, Kak Lia ni pun cabut lari jugak…baru padan muka.” Asma cuba bergurau tetapi dimarahi mama. Tidak mahu kisah Mona diungkit kembali, agaknya. Apatah lagi di hadapan Lia. Lia lari meninggalkanku? Suatu yang tidak mahu aku fikirkan buat masa ini. Namun Asma tidak mahu mengalah.

Yelah, ma. Baru je kahwin dan masuk ofis balik. Tak bercuti pun. Tak bawak Kak Lia ni pergi honeymoon pun…” gerutu Asma lagi.

“Eh, betul jugak cakap adik ni, Fendi. Korang ni tak pergi honeymoon pun!” Mama tiba-tiba bersetuju dengan pendapat Asma.

“Eh! Takpe, ma. Lia tahu abang Fendi sibuk. Kitaorang boleh pergi honeymoon bila-bila masa je. Lagipun, Lia tak lama lagi akan mula kerja.” Tergagap-gagap Lia cuba menolak cadangan Asma yang disokong penuh mama.

“Tapi, ada dua minggu lagi, kan? Sempat apa kalau nak pergi jalan-jalan sekarang. Nanti mama nak cakap dengan papalah. Fendi ni kerja sampai tak bawak isteri pergi honeymoon pun! Mana boleh macam ni!” Tegas suara mama menegurku.

Lia memandangku seolah-olah merayuku untuk melakukan sesuatu. Ternyata dia tidak selesa dengan cadangan mama. Entah mengapa hati sedikit tergores melihat Lia yang jelas tidak mahu berdua-duaan bersamaku dalam suatu sesi bulan madu.

“Fendi buatlah arrangement. Mama boleh jaga Ina masa Fendi dengan Lia takde nanti. Takde hal…”

Aku tidak tahu bagaimana untuk lari daripada rancangan mama ini. Lia juga memandangku dengan penuh harapan agar aku boleh memikirkan jalan keluar daripada masalah ini.

Memikirkan hal Mona yang semestinya mencari peluang untuk menyelongkar kesalahan dan keburukanku agar dia boleh menang dalam kes perebutan hak penjagaan Ina nanti, sememangnya cadangan mama begitu bernas sekali. Sememangnya penting untuk aku sentiasa dilihat bersama-sama Lia di khalayak ramai. Malahan, dengan izinku, gambar perkahwinan kami telah pun dicetak dan disiarkan oleh suatu majalah berunsur gaya hidup baru-baru ini. Aku sengaja memberikan gambar Lia sedang meribakan Ina sambil duduk tersenyum di sebelahku kepada majalah tersebut sebagai rancanganku untuk menunjukkan kepada umum betapa ‘bahagia dan sempurna’nya kehidupan kami sekarang ini.

“Habis projek Dubai tu macam mana?”

Alaah…itu papa boleh cover. Lagipun projek kat Vietnam tu baru je habis. Papa mesti boleh tolong coverkan untuk Fendi. Jangan risaulah. Nanti mama cakap dengan papa.” Mama tegas membantah alasanku. Aku tidak mempunyai alasan lain lagi… ‘Sorry little girl…We’re trapped…’ Aku menghantar isyarat mengaku kalah kepada Lia.

Mama berlalu meninggalkan kami sambil menarik tangan Asma untuk berjalan bersamanya. Tinggallah Lia berdua bersamaku.

“Kita nak buat macam mana ni?” bisik Lia perlahan. Lia memandangku kerisauan.

Hmmm, untuk nampak perkahwinan kita ni real, terpaksalah kita ikut je cakap mama tadi. Betul jugak cakap mama. Nampak pelik kalau kita tak pergi honeymoon…” balasku.

Lia terdiam. Ternyata dia tidak bersetuju dengan pendapatku. Semakin tepat sangkaanku yang Lia tidak mahu berdua-duaan denganku.

“Kita bawak Ina sekali, tak boleh ke?” soal Lia. Ada isyarat merayu di sebalik pertanyaannya itu.

Aku tersenyum.

“Boleh. Abang pun tak selesa tinggalkan Ina dengan mama. Kalau sekejap-sekejap takpe. Mama pun bukannya larat sangat.”

Lia mengangguk. Terlihat sedikit kelegaan di wajahnya. Aku tidak dapat menahan diriku daripada mengusap pipinya. Pandangan kami bertaup. Gelora itu datang lagi. Lekas-lekas aku memimpin tangannya dan membawanya berkenalan dengan para jemputan yang lain.

Para tetamu semakin ramai meninggalkan rumah orang tuaku memandangkan malam semakin larut. Aku merebut sedikit peluang untuk berbual dengan adikku serta menyampaikan sedikit pesanan kepadanya agar lebih kerap menelefon mama serta papa yang sentiasa merinduinya. Aku juga menasihatinya agar menjaga diri yang berseorangan di negara asing dan tidak menghampakan harapan mama dan papa kami untuk melihatnya berumah tangga suatu hari nanti.

Adik tahu, bang. Jodoh adik tak datang lagi. Nak buat macam mana, kan? Tapi…adik bahagia tengok abang dah ada pengganti perempuan tu…” ujar Asma.

Asma sentiasa merujuk Mona sebagai ‘perempuan itu’. Perasaan marahnya serta rasa setianya kepadaku tidak membenarkannya untuk memanggil Mona dengan panggilan ‘kak Mona’. Kata Asma, Mona tidak layak untuk dihormati atau dipanggil dengan sebarang gelaran yang memberikannya hak sebagai seorang kakak.

Adik tengok Lia tu baik orangnya. Lembut pulak tu. Masa adik borak-borak dengan Ina tadi, Ina banyak cerita pasal Lia. Semuanya baik-baik belaka. Takde satu pun yang negatif. Adik harap abang akan bahagia dengan Lia…”

Aku hanya mampu tersenyum. Biarlah Asma bersangka baik pada Lia. Tiada satu keburukan pun yang patut tercalit ke arah Lia, yang begitu mulia di mataku. Aku tahu, kebahagiaan dengan Lia hanya sementara sahaja. Aku senang dengan kemesraan yang dipamerkan Lia untukku, walaupun aku tahu dirinya hanya berpura-pura. Untuk seketika waktu yang aku ada dengannya ini, biarlah aku menganggap segala sentuhannya, lirikan matanya, senyumannya serta renungannya adalah jujur dan ikhlas untukku…Semuanya akan menjadi kenangan untukku yang akan menemani diriku yang bakal kehilangannya suatu hari nanti…

Asma memeluk Lia tanda perpisahan ketika kami memulakan langkah untuk beredar dari rumah orang tuaku. Lia menyambut Ina yang lena dalam pelukan papa dan mendukungnya hingga ke kereta. Senyuman daripada papa dan mama mengiringi pemergian kami. Ina tetap lena dalam pelukan Lia.

Sekiranya orang luar melihat aku, Lia dan Ina ketika ini, pasti tiada ada yang cacat di mata mereka. Mereka akan melihat sebuah keluarga yang cukup sempurna. Tetapi hakikatnya? Pernah dulu aku angankan sebuah keluarga bahagia yang dibina bersama insan yang amat kucintai…namun angan itu ku campakkan jauh dari hidupku. Kini angan itu datang lagi menjengukku…tika Lia hadir sebagai isteri membawa kasih dan sayangnya…walaupun bukan untukku, cukup buat anakku…Aku tetap bersyukur Lia hadir dalam hidupku…mengembalikan sejenak anganku yang lalu…

Ya Allah…berikanlah kekuatan kepadaku untuk melepaskannya, bila tiba masanya nanti… 


***************

Dua hari sebelum berlepas ke destinasi bulan madu, aku membawa Lia menghadiri majlis yang dirancang papa bersama kakitangan-kakitangan syarikat keluargaku, untuk memperkenalkan Lia kepada semua. Papa menempah sebuah dewan di Hotel Hilton Kuala Lumpur untuk meraikan perkahwinan ku bersama Lia, dan pada masa yang sama, untuk ‘menunjukkan’ menantu baharunya bukan sahaja kepada kakitangan syarikat tetapi kepada rakan kongsi-rakan kongsi syarikat yang tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan kami di Hotel Istana.

Lia begitu anggun mengenakan kebaya labuh berwarna merah manggis yang dipadankan bersama kain batik lepas yang dijahit kemas dan rapi. Sulam-sulaman bunga kecil pelbagai warna menghiasi baju kebaya, menambahkan lagi kemanisan si pemakainya, yang sememangnya sudah ayu dan jelita. Perasaan bangga yang kurasakan setiap kali dia berjalan beriringan denganku, sukar untuk aku gambarkan.  

Semua yang hadir ingin mengambil peluang berkenalan serta beramah mesra dengannya. Aku sendiri berasa sukar untuk mendekatinya apa lagi berkepit di sebelahnya memandangkan ramai yang mahu berbincang itu dan ini denganku. Saiful pula tidak habis-habis memuji kecantikan Lia sehingga membuatku rasa kurang selesa.

Tiba-tiba Saiful menguis lenganku. “Bro, tu si Megat is making a move on your wife.”

Aku melihat ke arah yang ditunjukkan Saiful tadi. Jelas kelihatan Megat Sarafuddin, Pengarah Urusan dari syarikat pembekal utama kepada syarikatku sedang berbual dengan Lia. Nama Megat juga sedang meningkat naik, seiring dengan namaku dalam kalangan usahawan-usahawan muda tanah air sekarang ini. Bezanya dengan diriku, Megat seorang playboy dan gemar bertukar-tukar pasangan. Dia juga sering bersaing denganku dalam segenap perkara – kereta, pangkat, harta dan sebagainya. Cumanya, aku tidak pernah ingin bersaing dengannya. Dia sendiri yang meletakkan diriku sebagai pesaingnya, mungkin sebagai pemangkin untuknya mencapai kejayaan yang lebih tinggi daripadaku.

“Takkan dengan wife kau pun dia nak bersaing jugak?” Saiful bersuara lagi. “Eh, aku tengok wife kau macam tak selesa je…”

Aku melihat tangan Megat kejap di siku Lia seolah-olah cuba memimpin Lia agar berjalan. Lia pula sedang cuba menarik tangannya. Hatiku tersentak! Panas. Aku pantas menghulurkan gelas minumanku kepada Saiful dan mengorak langkah menuju ke arah Lia dan Megat. Dari jauh aku bisa mendengar Megat asyik ‘menjual’ dirinya kepada Lia.

“Nanti kalau you free, I boleh bawak you tengok ofis I. It has a magnificent view!” Megat bermegah-megah.

“Hai sayang! Sorry abang lama dengan Saiful tadi. Sayang lapar?” Aku merapatkan diriku pada Lia.

Lia kelihatan tergamam dengan sapaanku. Aku merangkul bahunya dan menariknya rapat ke tubuhku. Lia cuma menggelengkan kepalanya sebagai menjawab pertanyaanku.

Aku memandang Megat. “Hai Megat. How are you?” soalku berbasa-basi.

Fine, fine!” Dia menghulurkan tangannya kepadaku namun matanya masih tertumpu kepada Lia. Hati bertambah panas. “Sorry tak dapat attend your wedding hari tu. I wasn’t in the country. Tapi I should have known that orang macam you ni hanya akan kahwin dengan seorang perempuan macam depan I ni. Mana you jumpa bidadari ni?” Mata Megat meliar dari wajah Lia hingga ke kaki, sebelum berlabuh kembali ke wajah isteriku. Kesabaranku semakin menipis.

Aku memandang Lia yang jelas tidak selesa dengan cara Megat memandangnya. “Yes, I am a very lucky man. Very lucky indeed. Please excuse us, ya? I nak introduce Lia to my staff. Thanks for coming, Megat.” Aku tidak mengendahkan soalannya kepadaku. Aku tidak mahu berlama-lama di situ atau memberi ruang kepada Megat untuk menjual minyaknya kepada Lia.

Aku mendorong Lia agar berjalan bersamaku. Megat kelihatan sedikit kecewa dengan pemergian Lia. Lia melepaskan nafasnya. “Errr…tu kawan abang ke?” Lia teragak-agak sedikit ketika menanyakan soalan sebaik sahaja kedudukan kami sudah agak jauh daripada Megat.

“Bukanlah kawan, tapi macam business partner. Kenapa?” Aku masih merangkul bahunya.

Lia menggelengkan kepalanya. “Takde apa-apa.” Lia cuba menyembunyikan sesuatu daripadaku.

Aku tunduk sedikit lalu mendekatkan bibirku ke telinganya yang dilitupi tudung. “Lia tak selesa, ya?” Aku meneka.

Lia memandang mukaku. “A little…Nasib baik abang datang bawak Lia pergi. Lia tak tahu macam mana nak escape tadi…cara dia pandang Lia buat Lia rasa seram!” Lia membawa tangan naik ke leher. Aku mengerti perasaannya.

Marahku terhadap Megat bertandang kembali. “Apa lagi yang dia cakap pada Lia selain daripada nak bawak Lia tengok ofis dia?” Aku perasan suaraku sedikit tegang. Masih terbayang tangan Megat menyentuh Lia sebentar tadi.

“Errr…dia ajak Lia keluar makan, lepas tu dia nak tunjukkan ofis dia…Peliklah dia tu…Ajak Lia keluar pulak. Macamlah dia tak tahu yang Lia ni isteri abang?”

Aku mendengus. “Just ignore him. Dia memang macam tu. Suka menggatal dengan perempuan cantik! Lia ni pulak lebih daripada cantik, jadi tu yang dia menggatal lebih-lebih tu…”

Lia memandangku kehairanan. Namun terselit garis-garis kepuasan di wajahnya mendengar aku memuji kecantikannya begitu. Di dalam hati aku bersyukur Lia tidak terkesan dengan godaan Megat tadi.

“Kenapa? Lia tak percaya ke?”

Dengan perlahan Lia menjawab. “Lia tak perlu cantik pada orang lain. Cukup pada mata abang seorang…” Senyumannya melirik menusuk hingga ke kalbu. Entah berapa lama mata kami bertatapan begitu. Ingin sahaja aku menariknya ke dalam pelukanku!

“Lia, jom teman saya makan?” Saiful tiba-tiba datang dari sebelah kananku. Pandangan kami terlerai.

Lia mengambil nafas untuk menjawab pelawaan Saiful namun sebelum sempat Lia berkata-kata, aku terus mencelah, “Hah, takde. Lia kena teman aku makan. Apasal lak dia nak kena teman kau?”

Aduh. Hatiku terasa panas sekali lagi.

Alaaa, kau ni bro…janganlah jealous. Possessive sangatlah kau ni! Kat rumah, hari-hari dia boleh teman kau makan, kan? Hari ni biarlah dia teman aku. Aku pun nak berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan isteri kau ni. Manalah tahu kot-kot dia ada sepupu ke yang carbon copy dengan dia ni. Boleh aku masuk meminang!” seloroh Saiful.

Lia tergelak mendengar usikan Saiful.

Takde. Jangan nak mimpi. Kat sini pun dia kena teman aku makan.” Aku menolak alasan Saiful mentah-mentah. ‘Kurang asam punya kawan…’

Aku membawa Lia ke meja bufet. Jauh daripada Saiful. Aku tahu Saiful cuma bergurau, tetapi kenapa hati masih terasa panas? Tanganku masih memaut bahu Lia. Sengaja mahu mengiklankan kepada semua, terutama sekali Megat dan Saiful tentang status Lia sebagai isteriku! Kepunyaanku! Milik mutlakku!

Di meja bufet, Linda, setiausahaku juga sedang mengambil makanan. Aku memperkenalkan Lia kepadanya. Lia tersenyum dengan manis sekali sambil menghulurkan salam perkenalan. Linda menyambut tangan Lia dengan senyuman yang agak kering dan tawar. Lia nampak teragak-agak untuk beramah mesra dengan Linda. Mungkin dia perasan akan reaksi kaku Linda tadi.

Aku pantas mengambil pinggan dan menghulurnya kepada Lia. Kami mengambil makanan. Linda asyik menjeling ke arah kami. Aku tidak mengendahkannya. ‘Nak cemburu pulak minah ni. Sedarlah diri tu sikit!’

Aku teringatkan kata-kata Saiful tadi. ‘Betul ke aku ni jealous? Betul ke aku ni possessive?’ Sememangnya terbakar hatiku melihatkan Megat bersama Lia tadi. Begitu juga ketika Saiful asyik memandang Lia. Ah, aku ni lelaki. Lia pula isteriku. Mestilah aku tidak menyukai Lia menjadi tatapan lelaki lain! Aku mahu diriku sahaja yang bebas melihat keindahan ciptaan Ilahi buatku ini. Isteriku, amanahku! Hanya untukku!

Aku tidak mengendahkan tanggapan orang lain terhadapku. Yang penting, cukuplah suatu ketika dulu aku menjadi seorang suami yang dayus ketika Mona menjadi isteriku. Kali ini, aku tidak akan mengulangi kesilapanku…


Monday, 16 March 2015

Gemalai Kasih - Bab 14


Intan Marliana

Sepanjang malam aku tidak bisa tidur. Asyik memikirkan tentang apa yang diperkatakan Effendi malam tadi. Kata-kata yang telah membunuh segala harapanku untuk membina rumah tangga bersama seorang lelaki bergelar suami. Aku sangkakan dia bersetuju berkahwin denganku atas dasar patuh kepada permintaan ibu dan bapanya, sama sepertiku. Dan bukan kerana aku diperlukan hanya untuk menjamin kemenangannya di mahkamah nanti. Aku mendengus. Geram dan marah pabila dipermainkan begitu rupa.

Walaupun dia pilihan orang tuaku, ketika hatiku mula berubah, terbit harapan di hatiku untuk membina sebuah keluarga bersamanya. Sekiranya orang dulu-dulu boleh berkahwin dan membina kebahagiaan bersama walaupun atas dasar pilihan keluarga, kenapa tidak kami? Tetapi harapan itu hancur berkecai kini. Tiada erti ‘selama-lamanya’ dalam kamus kehidupanku kini. Aku hanya diperlukan untuk jangka masa yang singkat. Cukup singkat!

Apa yang harus aku lakukan?

Yang pasti, aku telah diberi pilihan dan apa pun pilihanku nanti, dia akan akur dengan keputusanku. Apakah aku akan memilih untuk kekal menjadi isterinya setelah semuanya selesai nanti? Ah! Mana pergi harga diriku nanti sekiranya aku membuat keputusan sebegitu sedangkan aku tahu dia langsung tidak mahu mengahwiniku, kalau bukan kerana tindakan Mona? Takkan aku sanggup mahu berterusan menjadi isterinya sedangkan sudah jelas hatinya sudah tertutup buat mana-mana perempuan? Dia sendiri telah mengakuinya.

Lagipun, Effendi memilih untuk berterus-terang denganku, hanya kerana dia tidak mahu aku beranggapan yang dia mencintaiku. Aku tahu dia tidak mencintaiku dan dia langsung tidak mengharapkan cinta daripadaku. Cuma silapku adalah memikirkan yang dia berkahwin denganku, kerana taat kepada permintaan orang tuanya dan akan belajar menerimaku sebagai isterinya, sama seperti aku ingin menerimanya sebagai suamiku.

Tetapi sanggupkah aku diceraikan? Sama ada sekarang atau di kemudian hari? Apa pula pandangan kedua-dua ibu bapaku nanti? Apakah mereka dapat menerima hakikat kegagalan rumah tanggaku?

‘Ya Allah. Bantulah hamba-Mu ini. Sesungguhnya aku sangat buntu.’ Aku meraup wajah. Pelipis yang terasa sakit aku picit perlahan.

Pintu bilik air tiba-tiba diketuk lembut. Aku tersentak. “Lia? Lia kat dalam ke?” suara Effendi mengejutkanku. Hinggakan terangkat sedikit bahuku.

Aku membuka pintu dan melihatnya siap berpakaian di hadapanku. ‘Bila dia bangun?’ fikirku. ‘Berapa lama aku duduk dalam bilik air ni?’ Mataku tidak dapat menidakkan ketampanannya yang santai berjean biru lusuh serta berbaju Polo berwarna hitam. Baju yang muat-muat di badan menyerlahkan dadanya yang bidang dan lengan yang berotot. Aku pantas melarikan pandangan dari tubuhnya ke wajahnya.

“Lia. Sarapan dah siap. Abang janji nak ambik Ina pagi ni. Lia boleh siap sekarang? Abang tunggu Lia kat bawah.” Effendi memandangku kehairanan. Pasti tertanya-tanya mengapa aku memerapkan diri di dalam bilik air ini.

Aku mengangguk. Effendi lantas mengatur kaki keluar dari kamar. Syukur aku sudah siap berpakaian selepas mandi tadi. Niat di hati ingin mencuri ketenangan dan berfikir sebentar di dalam bilik air ini. Tidak tahu sama ada aku bebas menggunakan ruang-ruang lain di dalam rumah ini. Ini bukan rumahku, tetapi aku sekadar menumpang untuk sementara waktu sahaja. Kehadiranku tidak diingini sepenuhnya. Aku tidak layak menjadi permaisuri di dalam istana ini. Aku melangkah malas menuju ke cermin.

Aku cepat-cepat mengenakan tudungku untuk dipadankan dengan blaus biru dan seluar panjang berwarna hitam di badanku lalu mencapai tas tangan. Aku turun ke bawah menuju ke ruang makan.

“Duduklah. Abang tunggu Lia makan bersama ni,” pelawa Effendi penuh sopan. Dia sudah pun mengambil tempat di meja makan.

Aku menarik kerusi kayu jati dengan penuh hati-hati. Beratnya. Dudukku bertentangan dengan suamiku. Aku hanya tunduk. Tidak sanggup bertentangan mata dengannya. Hati masih terluka dengan luahannya malam tadi.

Sarapan dijamu bersama tanpa sebarang perbualan. Kaku dan tidak selesa. Kulihat Effendi asyik memandangku dan kadangkala seperti dia ingin berkata sesuatu kepadaku. Tetapi dia tidak meneruskannya. Aku hanya tunduk dan memaksa diriku menjamah nasi goreng yang telah siap terhidang di atas pingganku. Suapanku berselang-selikan tegukan Nescafe panas. Sukar untukku menghabiskan nasi goreng buatan Mak Cik Leha. Namun aku bersyukur kelibat Mak Cik Leha tidak kelihatan. Lega aku tidak perlu melakonkan watakku pada saat-saat begini di hadapannya. Sudah tentu fail!

Ketika dalam perjalanan menuju ke rumah ibu Effendi, yang terletak kurang lima minit dari rumahnya, Effendi bertanya sama ada aku telah membuat keputusanku.

“Belum lagi. Lia tak tahu nak cakap apa…” ujarku perlahan. Sesungguhnya aku perlukan masa untuk membuat keputusanku.

Effendi mengerling ke arahku. “Sebenarnya, Lia takde pilihan lain, betul tak?” Soalannya tiba-tiba menimbulkan rasa amarahku. “Takkan Lia nak bercerai sekarang sedangkan kita baru je dua hari kahwin? Apa pulak kata mak dan abah Lia nanti, kan?”

Aku memandangnya tajam. “That was your plan from the very beginning, wasn’t it?” tuduhku.

“Ya betul! Itu memang rancangan abang. Abang tahu Lia akhirnya akan menurut permintaan abah dan mak Lia untuk berkahwin dengan abang. Sebab itu abang yakin Lia akan jadi isteri abang.” Dia mengaku tanpa riak bersalah.

Ingin sahaja aku melepaskan rasa marahku padanya tetapi kami sudah pun sampai di hadapan pintu pagar rumah keluarga mentuaku. Ombak amarah yang tiba-tiba melanda, ku tahankan sahaja.

“Lia, kita dah sampai. Kalau Lia nak marah abang pun, abang mintak Lia tunggu bila kita dah sampai rumah nanti. Not here, please.” Effendi merayu. Matanya dalam merenungku. Tidak sukar untuk dia meneka perasaanku. Mungkin jelas dari riak wajahku dan kekakuan tubuhku.

Aku mengekorinya keluar dari perut kereta menuju ke pintu masuk. Ina sudah sedia menunggu. Dia membuka pintu lalu terus melompat ke dakapan Effendi. Effendi mengucupnya mesra dan memintanya bersalam denganku. Aku menyambut huluran tangannya dengan seyuman yang sedikit dipaksa sebelum mengucup pipi gebunya. Ina membalas senyumanku.

“Fendi, Lia, mehlah masuk dulu,” mama menyapa kami dari ruang tamu. Dia bangun dari sofa dan mendekati kami yang masih berdiri di muka pintu.

Takpelah, ma. Kita orang ada hal ni. Nantilah, ya bila-bila kita orang singgah.” Effendi menolak pelawaan ibunya.

“Yalah, mama faham. Pengantin barulah katakan. Mesti nak luangkan masa berdua, kan? Kalau Fendi nak tinggalkan Ina sehari dua lagi atau seminggu dua dengan mama pun takpe,” sindir mama sambil tersenyum lebar.

Aku faham benar dengan usikan ibu mentuaku. Luangkan masa berdua? ‘Tidak mungkin akan terjadi, mama.’

Effendi menolak cadangan mama dengan baik sambil mengambil beg pakaian Ina dan meminta diri untuk pulang. Aku mengikut Effendi bersalam dengan mama. “Balik dulu, ma.”

Mama mengangguk sambil mengusap pipiku. Aku terharu campur sebak. Terharu kerana tiada syak di hatiku akan perasaan dan penerimaan mama terhadap diriku. Aku sebak memikirkan terpaksa berpura-pura di hadapan keluargaku dan juga mentuaku akibat keputusan Effendi yang ternyata memihak kepada dirinya seorang. Selfish!

Kami beredar dari rumah mama dan sangkaku kami akan pulang ke rumah. Namun Effendi terus membawa kereta menghala ke arah yang berlainan.

“Kita nak pergi mana ni?” Aku menyoalnya.

“Kita tak habis bincang lagi, kan?” balas Effendi.

Aku hanya membatukan diri. Nampaknya dia tidak mahu berbincang di rumah. Mungkin tidak mahu Mak Cik Leha atau suaminya mengetahui permainannya. Permainan serta penipuannya.

Effendi memandu menuju ke Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur. Ina duduk di kerusi belakang sambil bermain dengan anak patungnya dan langsung tidak menyedari ketegangan antara aku dengan Effendi.

Setibanya kami ke tempat yang dituju, kami berjalan menuju ke taman permainan kanak-kanak. Ina berjalan antara aku dengan Effendi sambil memimpin tangan papanya. Tiba-tiba, Ina memegang tangan kiriku. Tangannya terasa kecil dan halus. Aku tunduk untuk memandangnya kerana tidak sangka dia akan memegang tanganku, pada masa yang sama dia mendongakkan kepalanya untuk memandangku. Wajahnya menampakkan keraguan, seolah-olah dia takut menunggu reaksiku. Aku senyum lalu menggenggam tangan kecilnya. Effendi menyaksikan perlakuanku sambil mengukirkan senyuman penuh makna. Mata kami bertaut buat seketika.

Effendi membiarkan Ina bermain di taman permainan tersebut sambil memantaunya dari jauh.

“Duduk, Lia,” pinta Effendi.

Aku menurut. Aku melabuhkan punggung di bangku berdekatan. Dia mengambil tempat di sebelah kananku. Paha kirinya menyentuh sedikit paha kananku. Aku mengengsot sedikit ke kiri untuk menjarakkan sedikit tubuhku. Effendi hanya memandang.

“Kenapa abang tak berterus-terang je dengan Lia sebelum kita kahwin?” Aku terus menerjah. Tidak berdaya kutahan lagi.

“Sebab abang tak mahu bagi Lia peluang tolak pinangan abang! Mama ada ceritakan pada abang segalanya tentang Lia…macam mana Lia patuh menurut permintaan abah Lia untuk menjadi seorang peguam, macam mana Lia bersetuju bertemu dengan abang sebab mak Lia yang suruh dan macam-macam lagi. Lia sangat taat pada abah dan mak. Jadi, abang tahu kalau mak suruh Lia kahwin dengan abang, Lia pasti akan bersetuju jugak. Cumanya, kalau mak dan abah Lia tahu sebab sebenar abang nak kahwin dengan Lia, diaorang mungkin takkan setuju. Diaorang mesti takkan lepaskan Lia jadi isteri abang. Jadi abang diamkan saja…”

Riak bersalahkah itu yang singgah di wajahnya?

“Abang tak patut buat Lia macam ni,” kataku dengan nada yang sangat kesal. “Abang kejam...”

You were my only hope! Abang takde pilihan lain…”

“Lia masih tak faham kenapa abang pilih Lia!” Aku masih merungut.

Effendi mengeluh kecil. “Macam abang cakap semalam, memang abang kenal ramai perempuan lain tapi takde sorang pun yang menepati cita rasa mama. Abang tahu mama tak pernah sukakan Mona tapi mama tak pernah cakap apa-apa pun pada abang. Mungkin mama lebih kenal Mona daripada abang sendiri. Lagipun perempuan-perempuan lain yang abang kenal tu, semuanya nakkan harta abang je. Diaorang semua tak ikhlas nak mencintai abang, apa lagi Ina.”

Effendi menggapai tangan kananku dan menggenggamnya. Hangat. Aku tersentak namun membiarkan sahaja. Aku ingin menyaksikan sendiri sejauh mana kesungguhannya dalam mempengaruhi keputusanku. “I really need your help, Lia. Abang sanggup buat apa saja sebagai balasan, tapi tolonglah abang untuk kekalkan Ina dalam penjagaan abang.” Effendi merayu lagi.

Aku tahu aku tiada pilihan lain selain daripada bersetuju dengan permintaannya. Dia bijak menjeratku. Mana bisa aku meminta cerai daripadanya sekarang. Aku memegang gelaran isteri baru masuk hari ketiga. Apa pula kata mak dan abah nanti? Tentu mereka malu sekiranya berita perceraian aku keluar di dada-dada akhbar nanti. Entah-entah masuk Malaysian Book of Records sebagai perkahwinan yang paling singkat dalam sejarah perkahwinan di Malaysia. Nampaknya, terpaksalah aku berlakon menjadi isterinya agar dia tidak akan kehilangan Ina.

“Baiklah, Lia sanggup tolong abang tapi Lia ada syarat-syaratnya.” Aku tegas bersuara.

Effendi menghela nafas lega dan menguatkan lagi genggamannya pada tanganku. Ketegangan di wajahnya terus lenyap.

“Bila ada orang luar, Lia akan cuba berlakon sebagai isteri abang. Cuma abang kena bagi Lia masa untuk menyesuaikan diri Lia dengan abang. Lia tak biasa...”

Effendi mengangguk tanda setuju.

“Tapi abang mesti bagi Lia kebebasan dalam kehidupan Lia. Lia nak kebebasan untuk pergi bekerja, untuk bergerak ke sana-sini, untuk berjumpa keluarga ataupun kawan-kawan Lia. Lia nak bebas keluar dengan kawan-kawan Lia dan abang tak boleh nak halang Lia. Lia tahu batas-batas Lia sebagai seorang isteri, jadi abang tak perlu risau. Cuma Lia tak nak setiap sekali Lia nak keluar, Lia kena mintak izin abang.” Aku meletakkan syaratku yang pertama.

“Okey. Abang setuju.” Laju sahaja Effendi memberikan persetujuannya.

“Lagi satu....abang ingat apa abang cakap malam tadi? Yang abang dengan rela lepaskan Lia daripada tanggungjawab Lia sebagai isteri?” Soalku inginkan kepastian. Bagiku, tidak perlu aku melaksanakan tanggungjawabku yang satu itu sekiranya tempoh perkahwinan aku dengannya akan ternokhtah suatu hari nanti. Aku hanya isterinya di atas kertas. Cukuplah sekadar aku melakonkan watak aku itu. Tidak perlu melebih-lebih. Sudahnya, aku jua yang akan terluka nanti.

Riak wajahnya bertukar untuk seketika tetapi pantas Effendi menyembunyikannya.  Apakah maksud riak wajahnya tadi? Kecewakah? “Abang ingat...” Perlahan Effendi bersuara.

“Dan kalau semuanya dah selesai, abang takkan halang Lia, kalau Lia…kalau Lia…” Kata-kataku terhenti. Tidak sanggup aku meneruskannya. Tidak pernah aku bermimpi untuk berkahwin dan akhirnya diceraikan. Tetapi, inilah hakikatnya. Effendi tidak berniat untuk menganggap aku sebagai isterinya…tidak mahu membina rumah tangga ini hingga ke akhirnya…

Kening Effendi bertaut. “Kalau itu yang Lia mahu, abang takkan halang,” kata Effendi memahami sepenuhnya maksudku. “Lia, sekali lagi abang mintak maaf. Dan abang berterima kasih pada Lia. Lia boleh mintak apa saja daripada abang. Abang akan tunaikan sebagai balasan.”

Aku diam. Tidak tahu bagaimana hendak membalas.

Ina tiba-tiba berlari ke arah kami. “Papa, Ina dahagalah…” rengekannya menghentikan seketika perbincangan kami.

Effendi memaut bahu Ina. “Okey, papa pergi beli air kejap. Ina duduk sini temankan umi, ya?”

‘Umi? Aku suka…’

Ina mengambil tempat di sebelahku dan asyik memandangku. Inilah kali pertama aku ditinggalkan berduaan dengan Ina. Entah mengapa, setiap kali memandangnya, terdetik rasa simpati yang amat dalam terhadapnya. Seorang anak yang tidak berdosa, tidak pernah merasai kasih sayang daripada ibu kandungnya, walaupun ibu kandungnya masih bernyawa. Secara spontan aku mengusap pipinya yang tembam lagi gebu.

“Ina dah sekolah?” soalku ingin memecahkan kesunyian.

“Dah…sekolah Ina best tau. Cikgu Ina pun best.” Petah Ina menjawab. Wajahnya berubah ceria. Mungkin teruja pabila aku membangkitkan isu sekolahnya.

“Ya ke? Apa yang best?” Comel sungguh Ina ni.

“Sekolah Ina ada buai, ada gelongsor, ada pondok…Lepas tu, Ina ramai kawan. Cuma Ina tak suka kawan dengan boys. Boys naughty!” Ina mengerutkan wajahnya. Ingin menekankan perasaannya terhadap kanak-kanak lelaki di sekolahnya mungkin.

Aku tergelak kecil mendengarnya. Ina terus bercerita tentang sekolah serta kawan-kawannya. Terserlah kebijaksanaannya. Ternyata Effendi merupakan seorang bapa yang baik serta penyayang. Melebihkan Ina dalam segala hal dan dalam segala keputusan yang dibuatnya. Apakah aku akan melakukan perkara yang sama demi melindungi anak tunggalku seperti apa yang dilakukan oleh Effendi ini? Entahlah. Mungkin juga…

Aku masih melayan Ina untuk terus bercerita.

“Umi ni cantiklah!” Ina tiba-tiba menukar topik.

“Eh! Ya ke? Mana ada…Ina lagi cantik daripada umi.” Entah mengapa, membahasakan diriku sebagai ‘umi’ kepada Ina membuatku rasa amat selesa. Sejuk hatiku mendengar Ina memanggilku dengan panggilan ‘umi’.

“Papa, papa! Umi ni cantik kan?”

Tanpa ku sedari, Effendi sedang berdiri di belakang bangku kami sambil memegang tiga kotak minuman. Effendi mengambil tempat di sebelah Ina. Selepas menghulurkan sekotak minuman kepada Ina dan sekotak lagi kepadaku, pandangan Effendi melekap tepat ke wajahku.

“Memang umi ni cantik…cantik sangat!” Effendi berkata-kata dengan suara yang dalam tetapi lembut. Sepasang matanya seolah-olah membelai wajahku. Walaupun tanpa sentuhan, aku masih bisa merasakan kehangatannya. Aku pasti mukaku semakin memerah. Effendi tersenyum. Garisan di pipinya itu benar-benar menggodaku.

Aku tunduk. Renungannya membuatku rasa tidak selesa. Ah! Aku mesti kuat! Ini semua lakonan semata-mata. Dia langsung tidak merasakan apa-apa pun terhadapku. Bodohlah aku sekiranya aku jatuh hati terhadapnya. Aku mesti pandai mengawal perasaanku agar tidak ‘termakan’ dengan kata-kata pujiannya. Tetapi…mampukah aku? Sesungguhnya, aku tidak dapat menafikan bahawa daya tarikan dan auranya amat kuat sekali. Jika aku tidak berhati-hati, aku bakal terjatuh nanti!

Mengapa aku tidak berperasaan begini ketika dengan Azim dulu? Tiada debaran yang kurasakan setiap kali Azim merenung ke mataku. Aku tidak gugup atau merasa tidak menentu bila bersamanya, padahal aku mencintainya! Tetapi bila bersama Effendi, semuanya menjadi tidak menentu. Sah-sah aku tidak mencintai Effendi. Aku langsung tidak memahami diriku sendiri!


*************

Hari-hari yang berlalu membawa aku lebih dekat dengan Ina. Sementara menunggu tawaran pekerjaan, aku banyak meluangkan masa dengannya. Effendi kembali bekerja semula seperti biasa dan tinggallah aku di rumah menemani Ina sebelum dan selepas waktu persekolahannya. Aku hanya bersama Effendi pada waktu sarapan dan waktu makan malam. Di rumah pun, Effendi kerap memencilkan dirinya di dalam bilik kerjanya, dan hanya masuk ke dalam bilik tidur kami ketika aku sudah lena dibuai mimpi. Selalunya, aku tidak akan sedar pukul berapa dia masuk ke dalam bilik tidur kami setiap malam.

Kadang-kadang aku terjaga di tengah malam kerana terasa diri seperti diperhatikan, walaupun dalam tidurku. Ketika aku membuka mata, kulihat Effendi sedang tidur di sebelahku. Terkadang juga aku merasa seperti disentuh dan dibelai. Namun aku tahu itu semua hanyalah mainan tidurku.

Dan setiap kali aku bangun dari lenaku pada setiap pagi, Effendi sudah terlebih dahulu pergi meninggalkan bilik kami.

Di hadapan Mak Cik Leha, Pak Cik Osman dan juga Ina, kami cuba berbicara dan berinteraksi sebagai pasangan suami isteri yang lain. Kami jarang berdua-duaan di dalam rumah melainkan ada Ina. Effendi melayanku dengan baik serta penuh hormat dan tidak pernah meminta haknya sebagai seorang suami. Dia ternyata memegang kepada janji.

Suatu pagi, selepas Ina sudah ke sekolah, aku menerima panggilan telefon daripada Abang Mail. Abang Mail ingin bertemu denganku. Aku mencadangkan agar pertemuan biarlah di rumah orang tua kami sahaja tetapi Abang Mail menolak dengan alasan ingin berbincang secara sulit denganku. Aku bersetuju dan kami bertemu di Restoran Mas Merah di ibu kota.

“Lia sihat?”

“Lia okey. Along camana?”

“Along sihat, macam biasa.” Abang Mail tersenyum. “Along saje je nak jumpa Lia, nak tanya pendapat Lia tentang sesuatu.”

“Pendapat apa Long?”

“Pasal Kak Mila…” meleret balasan abang Mail. Meleret dan perlahan.

Aku terkejut. Sudah lama aku tidak mendengar Abang Mail menyebut nama bekas kakak iparku itu.

“Sebelum Lia bertunang dulu, Mila ada datang jumpa Along. Along pun terkejut sebenarnya. Sejak kita orang bercerai dan Mila berkahwin lain, memang Along tak pernah jumpa dia lagi. Tiba-tiba je dia muncul.” Abang Mail memulakan cerita.

“Dia nak apa, Along?”

Diam.

“Lia tahukan, tak lama lepas Mila tinggalkan Along dulu, dia kahwin dengan bos dia kat kilang tu. Bos dia tu pangkat pengurus, anak tuan punya kilang pulak tu, mestilah kaya, kan? Mila tergoda dengan kekayaan yang dilimpahkan bosnya tu sampai sanggup tinggalkan Along. Sebelum tu, Along pernah tangkap mereka berduaan di dalam bilik sewa kami, dalam keadaan yang sangat memalukan.” Abang Mail tunduk. Wajahnya berubah kelam.

Aku terkejut. Walaupun aku tahu tentang kecurangan Kak Mila, namun Abang Mail langsung tidak pernah menceritakan padaku tentang ‘penangkapan’ Kak Mila bersama kekasihnya itu.

“Mila kahwin kat sempadan. Rupa-rupanya Mila ni bukan isteri pertama si Lokman tu. Dia tergila-gilakan Mila sebab kecantikan Mila. Lepas kahwin barulah Mila tahu yang dia sebenarnya ada madu tapi dia masih tetap setia dengan Lokman. Malangnya, Lokman yang tak setia. Masih mencari perempuan lain walaupun dah ada dua orang isteri. Mila ditipu hidup-hidup…”

“Astaghfirullah…” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan. ‘Kesiannya Along…’

“Biasalah Lia, bila duit dah banyak, kan? Macam-macam boleh buat! Mila tak tahu perangai Lokman yang sebenarnya, hinggalah Mila jatuh sakit. Bila Mila check kat hospital, barulah Mila tahu yang dia ada kanser pangkal rahim akibat dijangkiti virus. Kemungkinannya jangkitan daripada Lokman. Entah dengan perempuan mana yang Lokman tidur dan dapat virus tu, lepas tu dia jangkitkan pada Mila.”

“Ya Allah, Along…” Aku menekup mulut.

“Lokman baru-baru ni meninggal. Dia accident. Mila takde tempat nak tuju sebab keluarga Lokman tak tahu pun Lokman kahwin dengan Mila. Lokman pun tak pernah daftarkan perkahwinan mereka kat sini. Puas Mila cari surat nikah tapi tak jumpa.  Kadi dengan saksi pun Mila tak kenal. Yalah, kahwin kat sempadanlah katakan. Jadi, Mila susah nak buktikan yang dia isteri kedua Lokman. Bila dia pergi jumpa dengan madu dia, madu dia halau dia dari rumah. Madu dia tak percaya yang dia isteri Lokman. Isteri pertama Lokman sampai sekarang masih percayakan suami dia. Dia kata Mila penipu.”

Aku menggelengkan kepalaku. Sukar untukku bayangkan nasib yang menimpa Kak Mila.

“Mila datang jumpa Along sebab masa dia dah tak lama lagi, Lia. Dia datang untuk mintak kemaafan daripada Along atas semua dosa dia yang lalu. Along dah lama maafkan. Cuma keluarga Mila je yang masih susah nak maafkan dia. Tapi Along percaya, lambat laun, diaorang akan maafkan Mila…” sambung Abang Mail.

“Apa lagi yang Kak Mila cakap dengan Along?”

Abang Mail menghela nafas berat.“Mila dah insaf sekarang. Dia dah banyak berubah sebab dia tahu masa dia kat dunia ni dah tak lama. Bila-bila saja dia boleh pergi tinggalkan kita semua. Dah lama jugak Mila hidap penyakit ni …Errr…Along nak tanya pendapat Lia la…” Jeda.

“Apa dia?” Tanyaku dengan nada tidak sabar.

“Along sebenarnya dah buat keputusan untuk jaga Mila sampai ke akhirnya.”

Aku terkejut.

“Along fikir Mila dah takde siapa lagi dalam dunia ni. Kawan pun takde. Untuk masa yang tinggal ni, biarlah Along jaga dia. Dia pun asyik turun naik hospital je sekarang. Takde siapa jaga dia. Walaupun dia bekas isteri Along dan Along dah takde sebarang tanggungjawab dah terhadap dia, Along tak sampai hati nak biar dia berseorangan dalam keadaan macam ni. Lainlah kalau keluarga dia dapat terima dia balik.”

Ya Allah! Mulianya hati abang ku ini! Walaupun hatinya pernah dihancur lumat-lumat oleh wanita ini, dia masih boleh menerima malahan mahu menjaganya pula. Perasaan terharu bertandang.

“Salah ke apa yang Along nak buat ni, Lia?” soal abang Mail penuh ragu-ragu.

Aku menggelengkan kepalaku. “Lia rasa apa yang Along nak buat tak salah. Lia sokong keputusan Along sepenuhnya,” kataku sebak. Bertuahnya Kak Mila. “Along akan beritahu mak dengan abah ke?”

Giliran Abang Mail menggelengkan kepalanya. “Tak payahlah, Lia. Mulanya Along ada cadang nak beritahu mak dan abah tapi, biarlah Along dengan Lia je yang tahu. Nanti lain pulak fikir mak dengan abah tu. Hubungan Along baru je nak baik dengan diaorang. Takut nanti, Along sebut je nama Mila, terus kucar-kacir balik semuanya…”

Aku bersetuju dengan pendapat Abang Mail. Ya. Biarlah dulu. Sesetengah perkara biarlah ayah dan ibuku tidak tahu. “Yalah Along. Betul jugak cakap Along. Nanti bila Along rasa nak beritahu, Along beritahulah nanti, ya?” usulku.

Abang Mail mengangguk. Dia tersenyum manis. “Lega Along dapat bincang dengan Lia. Dah lama Along pendam ni semua sorang-sorang. Along tak nak kacau Lia sebelum ni sebab Along tahu Lia tengah runsing fikirkan hal perkahwinan dengan Effendi. Jadi Along tunggu semuanya selesai barulah cari masa nak jumpa dengan Lia. Terima kasih, Lia luangkan masa untuk jumpa Along hari ni...”

“Eh! Takde apa-apa lah Long. Lia kan tengah menganggur ni. Mestilah banyak free time, kan?” Aku bergurau. Tidak selesa Abang Mail menyentuh tentang Effendi. Aku tidak mahu Abang Mail menyoal yang bukan-bukan tentang aku dan Effendi kerana aku takut tidak mampu untuk berbohong dan menyimpan kebenaran daripada abangku.

Abang Mail tersenyum. Nampak garis-garis kelegaan di wajahnya. Aku benar-benar kagum dengan kekuatan abangku ini. Kak Mila bertuah kerana pernah mengenali seorang lelaki seperti Abang Mail. Aku hanya mampu berdoa yang suatu hari nanti Abang Mail akan berjumpa dengan seorang wanita yang akan menyedari betapa bertuahnya dia mendapat seorang suami sepertinya. Aku bercadang untuk melawat Kak Mila dalam waktu yang terdekat ini.