Thursday, 19 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 18 (Akhir di Blog)

Pagi-pagi lagi Mastura sudah bertandang ke rumah Aina Yasmin. Jelas dengan riak wajah yang tidak puas hati dengan langkah bagai orang yang hendak berkawad sahaja. Menghempas-hempas kaki ke atas tanah. Macam sedang mencari mangsa yang ingin dipijak sahaja lagaknya. Dilihatnya Aina Yasmin sedang duduk bersendirian di atas gazebo di belakang halaman rumah. Kakinya terjuntai ke bawah sambil dihayun perlahan.

“Kau ni kenapa? Dari malam tadi aku call, asyik masuk voice mail je?” Tanpa salam Mastura terus menerjah. Mastura menghenyakkan punggungnya kasar di sebelah Aina Yasmin.

Aina Yasmin mengeluh. “Aku off phone. Aku takde moodlah nak pergi mancing…” nak tak nak sahaja Aina Yasmin membalas. Wajah kelat Mastura tidak ingin dipandang. Buat dia rasa bersalah saja nanti.

“Eleh… takde mood konon,” cemik Mastura. “Dia yang tak sabar-sabar nak pergi mancing! Tahu-tahu cancel. Budak-budak tu frust tau. Esok kita berdua dah nak balik KL. Entah bila boleh lepak dengan diaorang tu lagi…” Geram betul Mastura dengan kelakuan Aina Yasmin. Senang-senang je dia membatalkan rancangan mereka hari ini.

“Kalau kau nak pergi, kau pergilah, Mas. Takde aku pun takpe kan?” Dengan nada malas sahaja Aina Yasmin membalas. Nada yang membuat Mastura semakin membahang.

“Hesy, kau ni! Kau period ya??” teka Mastura. Dia tidak puas hati dengan perangai kawannya itu. “Kau yang off phone, aku yang kena menjawab dengan Abang Aazad tau! Bila dia pun tak boleh call kau, dia call aku!” bentak Mastura. “Senang je kau, kan? Dasar pengecut!”

Aina Yasmin menoleh ke arah Mastura. Rasa bersalah menerjah ke dalam diri. Sehingga kini dia masih belum menghidupkan telefon bimbitnya. Jadi, dia tidak tahu siapa yang telah mencuba menghubunginya sejak semalam. Entah berapa banyak missed calls agaknya!  “Sorry, Mas. Aku dah susahkan kau… Aku tensionlah!! Aku tak boleh nak fikir…Aku balik kampung ni, ingatkan nak tenangkan fikiran tapi sebenarnya fikiran aku bertambah kacau sejak semalam!” Dia langsung tidak berkecil hati pabila Mastura menggelar dirinya pengecut tadi. Sudah biasa dengan mulut Mastura. Dia tahu Mastura tidak memaksudkan dirinya begitu.

Mastura menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahulah dia mengapa Aina Yasmin bertindak membatalkan rancangan mereka hari ini. Tentu fikiran temannya itu kacau-bilau memikirkan apa yang terjadi semalam. Ditokok-tambah pula dengan kata-katanya sendiri kepada Aina Yasmin sebelum dia pulang semalam. Mereka diam membisu seketika. Setelah agak lama begitu, Mastura baru menyedari keadaan rumah Aina Yasmin yang sepi. “Mak kau mana? Senyap je? Abang-abang kau pulak?”

“Angah bawak mak pergi pasar. Along entah ke mana… Kata nak jumpa kawan.”

“Oh… Eh, ada orang datanglah…” Mastura menjengukkan kepalanya ketika melihat kelibat seseorang berjalan di ruang hadapan rumah. “Eh, Man dengan Pian rupanya…”

Aina Yasmin tidak berganjak dari tempat duduknya. Namun dia mengukirkan senyuman tatkala melihat kehadiran Lukman dan Sufian yang kian menghampiri mereka. Salam diberi dan dibalas mesra. Lukman dan Sufian mengambil tempat di bangku-bangku yang mengelilingi meja bulat berdekatan gazebo yang diduduki Aina Yasmin dan Mastura.

Apasal pagi lagi dah bertandang kat rumah aku ni?” soal Aina Yasmin. “Awalnya korang bangun?” sindir Aina Yasmin.

“Eh, awal ke ni? Dah nak dekat pukul sembilan dah pun…” balas Sufian. “Lagipun kita orang mana bangun lambat dah sekarang ni… Esok-esok bila dah kerja, lagilah kena bangun awal…” Matanya tidak berkalih dari wajah Aina Yasmin. Wajah yang bersih daripada sebarang solekan itu kelihatan begitu tulen dan cantik di matanya, walaupun sedikit tidak bermaya.

“Haaa… tahu pun!” sampuk Mastura.

Apasal cancel plan hari ni?” soal Sufian. Matanya masih galak memandang Aina Yasmin.

Mastura menjongket bahu. Dia menuding jari ke arah Aina Yasmin. “Cer tanya kawan kita kat sebelah ni… dia yang cancel. Aku on je…”

Alaaa… lain kalilah mancing, ya? Aku nak spend time dengan mak dan abang-abang aku la… Esok aku dah nak balik KL semula dah,” Aina Yasmin memberi alasan. “Lagipun, kat KL nanti pun kita boleh pergi memancing…” Aina Yasmin memberi isyarat kepada Mastura agar tidak bersuara. Biarlah Mastura seorang sahaja yang tahu gelora yang melanda jiwanya ketika ini. Tidak perlu dikongsi bersama yang lain.

Hmmmtakpelah kalau macam tu…” keluar juga suara Lukman.

“Eh, nanti bila kita orang dah dapat kerja kat KL, kita orang akan contact korang tau… Bolehlah bawak kita orang jalan-jalan kat KL tu nanti… Aku dah lama tak turun KL… Macam manalah rupa KL sekarang ni, ya?” Sufian menepuk-nepuk bibirnya dengan jari telunjuknya. Agaknya sedang membayangkan suasana banda raya Kuala Lumpur.
                                      
“Beres!” Mastura teruja. “Any time, bro…”


 “Assalamualaikum…”

Laungan suara yang sedikit kuat yang datang dari hadapan rumah membuatkan empat pasang mata terhala ke hadapan. Spontan mereka menjawab salam. Muncul kelibat Iqbal bersama ‘kawannya’, yakni lelaki yang telah menjadi punca kepada keadaan diri Aina Yasmin yang berkecamuk… ‘Oh, rupanya along pergi jumpa Abang Aazad… kata nak jumpa kawan…’

“Eh, ramainya! Korang ada meeting tergempar ke ni?” soal Iqbal sambil bersalam-salaman dengan Lukman dan Sufian. Ameer Aazad juga begitu. Iqbal menarik bangku dan menghulurkannya kepada Ameer Aazad. Iqbal mengambil bangku yang terakhir lalu duduk di sebelah Ameer Aazad. Aina Yasmin diam tidak berkutik.

“Kita orang boleh join ke?” Iqbal mengerling ke wajah adiknya yang sudah mengeruh. Dia pasti Ameer Aazadlah puncanya. Sejak semalam dia memerhatikan gelagat Aina Yasmin. Dia ingin tahu sama ada benar ataupun tidak telahan Ameer Aazad yang mengatakan adiknya itu menyimpan perasaan terhadapnya. Nampak seperti Ameer Aazad telah berkata yang benar. Namun jelas adiknya sedang cuba melawan perasaannya itu. Dia ingin meneliti adiknya lagi.

“Eh, takde apa-apalah bang… Saja je datang melepak kat sini, since plan nak pergi memancing dah tak jadi…” jelas Sufian. Setelah menjawab pertanyaan Iqbal, matanya dikembalikan ke wajah Aina Yasmin.

“Bila korang balik?” soal Iqbal lagi.

Emm... dah dua hari dah…” Sufian menjawab tanpa sedikit pun mengalihkan sorotan matanya. Aina Yasmin langsung tidak menyedari perhatian yang diberikan Sufian. Dia lebih banyak tunduk merenung genggaman tangannya. Namun pandangan mata Sufian yang ralit memerhati Aina Yasmin pantas sahaja ditangkap Ameer Aazad. Maklumlah, mereka menjamah ‘pemandangan’ yang sama.

“Baguslah. Abang bangga korang semua ni dah berjaya. Tak ramai anak kampung kita ni dapat pergi belajar sampai ke luar negara. Nak kata masuk universiti pun boleh bilang dengan jari je. Harap-harapnya korang berempat ni akan jadi contoh yang baik untuk budak-budak kampung yang lain. Jangan asyik nak merempit atau menagih dadah je kerja…”

Sufian dan Lukman sama-sama mengangguk, mengiakan pendapat Iqbal itu. Mastura serta Aina Yasmin tekun mendengar. Rasa terharu dengan kata-kata bangga yang dituturkan alongnya itu. ‘Agaknya kalau arwah abah ada, mesti arwah abah pun bangga…’ Aina Yasmin sempat berfikir.

So kenapa tak jadi memancing? Abang ingatkan korang dah pergi dah tadi…” Giliran Iqbal menanyakan soalan yang sama.

Aina Yasmin mengilas pandang ke arah Ameer Aazad yang masih tidak bersuara sejak tadi. Ameer Aazad dilihatnya sedang memandang Sufian dengan renungan yang sangat tajam. Seram Aina Yasmin melihatkan cara renungan itu. ‘Kenapa pulak tu? Macam tak puas hati je?’

Mastura, Lukman dan Sufian masing-masing menunggu Aina Yasmin yang memberi alasan kerana dialah yang telah membatalkan rancangan mereka pagi ini. Apabila Aina Yasmin memilih untuk terus berdiam diri, Mastura yang membuka peti suara. “Emm…lain kalilah bang. Kita orang nak lepak kat sini je dulu…” Ringkas.

Aina Yasmin memandang Mastura. Ucapan terima kasih dihantar melalui pandangan mata.

“Eh, korang tak minum ke? Adik? Kenapa tak buat air?” Malu Aina Yasmin ditegur alongnya. Tetamu yang datang tidak dijamu air. ‘Apa punya anak daralah aku ni?’

“Haah ya. Lupa pulak.” Aina Yasmin melompat turun dari gazebo. Selipar jepun disarung ke kaki. “Korang nak air panas ke sejuk?” sempat dia bertanya. Mempamerkan riak selamba. Padahal, Allah sahaja yang tahu apa yang cuba disembunyikan sejak kehadiran lelaki bernama Ameer Aazad tadi.

“Sejuklah. Tadi dah minum air panas…” pinta Sufian.

“Nak aku tolong ke?” soal Mastura.

“Eh, tak payahlah. Kau duduk jelah… Kejap je ni…” tolak Aina Yasmin. Dia cuba berlalu tanpa memandang ke arah Ameer Aazad. Dia tidak tahu mengapa lelaki itu diam sedari tadi. Langsung tidak mahu mencelah ketika mereka semua berbual tadi. Marahkah dia?

Aina Yasmin masuk ke dalam dapur melalui pintu belakang. Dia membuka peti ais dan mengeluarkan botol air kosong yang dingin untuk membancuh minuman sejuk. Dia meletakkan botol air ke atas meja.

“Kenapa matikan telefon?”

Aina Yasmin terkejut sehingga terangkat bahunya. Kus semangat! Langsung tidak menyedari Ameer Aazad mengekorinya masuk ke dalam rumah. Dia berpaling. Ameer Aazad menghampiri Aina Yasmin dari arah pintu. Dia menarik kerusi dan melabuhkan duduk. Wajahnya serius. Tegang.

Aina Yasmin berdebar-debar melihat si tunang yang nampak rugged dengan jean lusuh berwarna biru dan berbaju-T berwarna putih. Tentunya lelaki itu juga mahukan penjelasan pada soalan yang ditanyanya semalam dan juga tentang tuduhannya terhadap lelaki itu. Dia menelan air liur.

“Min tak nak diganggu…” Aina Yasmin berterus-terang. Dia berjalan ke arah kabinet dan mencari jus oren Sunquick. Kemudian tangannya ligat mencari jag. Dia membawa jag ke meja. Mata Ameer Aazad tidak lari daripada setiap perlakuan Aina Yasmin. Lembut betul tunangnya yang satu ini. Selembut sentuhan yang pernah singgah di wajahnya.

Ameer Aazad berdehem. Tidak mahu fikirannya melayang. “Min kan tahu abang nak call Min malam tadi? Min sendiri yang setuju, kan?” tajam matanya memandang Aina Yasmin. Kembali memfokuskan fikirannya kepada punca dia tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam semalam dan bukan terbuai dengan gerakan Aina Yasmin yang penuh gemalai itu.

Aina Yasmin mengangguk kecil. Terketar-ketar tangannya memegang sudu untuk membancuh jus oren. “Min mintak maaf tapi Min betul-betul tak nak diganggu malam tadi…” Dia masih tidak memandang ke arah lelaki itu. Takut.

“Kenapa?”

Aina Yasmin menggigit bibir. ‘Apa nak jawab ni? Nak tipu atau nak berterus terang?’

Aina Yasmin memilih untuk berterus-terang. “Sebab Min keliru, Min rasa tertekan dengan semua ni…” suaranya bergetar. Dia tidak tahu bagaimana reaksi Ameer Aazad mendengar penjelasannya. Dia masih tunduk.

“Maksud Min, tertekan dengan hubungan kita?” teka Ameer Aazad. Dia tidak puas hati tidak dapat melihat riak wajah yang disembunyikan gadis itu.

Aina Yasmin diam. Seakan hilang sabar, Ameer Aazad merenggut pergelangan tangan tunangnya yang sedang membancuh minuman. Terhenti gerakan tangan Aina Yasmin. Pantas Aina Yasmin memandang Ameer Aazad. Tergamam dia dengan tindakan lelaki itu.

“Min rasa tertekan dengan hubungan kita?” desak Ameer Aazad. Soalan yang sama diulang.

Lambat-lambat Aina Yasmin mengangguk. Dia melabuhkan kembali pandangannya. Ameer Aazad melepaskan genggaman tangannya.

Explain!” pinta Ameer Aazad. Serius. Tegang. Tegas.

Aina Yasmin mengeluh. Dia bergerak menuju ke peti ais semula untuk mengambil kiub-kiub ais. Dengan cermat dia meletakkan kiub-kiub ais tadi ke dalam jag.

“Susah Min nak jelaskan…tapi Min rasa abang boleh agak kenapa Min rasa tertekan…” Aina Yasmin memberanikan diri memandang Ameer Aazad. Pandangan matanya seolah-olah mencabar lelaki itu untuk menidakkan tekaannya.

Ameer Aazad melawan pandangan tunangnya. “Kenapa? Sebab abang tak sabar-sabar nak kahwin dengan Min? Sebab tu?”

Membulat mata Aina Yasmin. Tidak sangka yang Ameer Aazad akan terus mengaku akan tindakannya sejak akhir-akhir ini yang sering membangkitkan soal kahwin. Ameer Aazad bangun. Berdiri tegak di hadapan Aina Yasmin. Kini Aina Yasmin terpaksa mendongak. Ameer Aazad tunduk dan mendekatkan wajahnya ke muka Aina Yasmin. Nafas hangat Ameer Aazad singgah di wajahnya. Aina Yasmin terkedu. Dia cuba menjauhkan wajahnya. Hampir terlentok tubuhnya ke belakang.

“Memang abang tak sabar nak kahwin dengan Min. Min je yang tak boleh nak hadapi kenyataan yang Min ni akan jadi milik abang jugak satu hari nanti. Antara lambat dengan cepat je. Whether now or later, you will belong to me, I can promise you that, my dear! So why waste time? Why not marry me now?

Tercengang Aina Yasmin. Ikrar yang ditabur Ameer Aazad dengan nada yang begitu dalam dan perlahan membuat dirinya bagai terawang-awang di udara. Matanya terkebil-kebil memandang wajah tegang Ameer Aazad. ‘Dia melamar aku ke ni?’

Lama mereka bertatapan. Nafas Ameer Aazad kencang menahan gelora hatinya. Turun naik dadanya. Marah bercampur geram. Amat payah untuk dia mempertahankan benteng kesabarannya. Kalau tidak diingatkan tentang sifat Aina Yasmin yang cengeng, pasti amarahnya sudah diletuskan tadi. Marah memikirkan tentang Aina Yasmin yang mematikan telefon bimbitnya semalaman dan yang telah membatalkan rancangan mereka untuk bertemu hari ini tanpa sebarang alasan. Naik lenguh tangannya semalam mendail nombor telefon Aina Yasmin. Entah berapa puluh kali. Tidak termasuk pesanan yang dihantar tanpa sebarang balasan daripada gadis itu! Bernanah rasa di hati.

“Kenapa abang desak Min macam ni? Abang tak faham ke bila Min cakap Min belum bersedia?” lirih nada suara Aina Yasmin. Wajahnya merayu. Dia tidak tahan didesak dan berterusan didesak oleh Ameer Aazad.

“Sampai bila?” nada suara Ameer Aazad sudah mengendur. Tidak sampai hati melihat wajah Aina Yasmin yang keruh berbaur sayu. Memang itu kelemahannya. Tidak, bukan itu. Gadis itu merupakan kelemahannya. Segalanya tentang gadis itu merupakan kelemahannya!

“Min tak tahu... tapi Min ingat Min ada lebih daripada lima bulan lagi untuk fikir tentang kita?”

Ameer Aazad mengeluh. Seakan tidak sanggup menunggu tamatnya tempoh enam bulan yang dia sendiri telah tetapkan.

Fine! But if you change your mind, I’m readyNo questions asked, Min. I promise you. Just say the word and I’ll take care of everything…” ujar Ameer Aazad.

Aina Yasmin melarikan pandangan. Mendoakan agar Ameer Aazad tidak mendengar larian jantungnya yang asyik dup dap dup dap dari tadi. Aina Yasmin menarik nafas dalam-dalam bagi menenangkan kembali perasaannya. Sesuatu yang mustahil! Takkanlah dirinya sanggup mengaku dirinya hendak berkahwin dengan Ameer Aazad dalam masa yang terdekat ini. Macam tak logik. Aina Yasmin menggelengkan kepalanya sekali. “Boleh tak Min sambung balik kerja Min ni?” pinta Aina Yasmin. Dia ingin melarikan diri daripada isu kahwin ini.

Ameer Aazad tidak menjawab namun dia menjarakkan dirinya dari Aina Yasmin. Aina Yasmin bergegas menyusun gelas-gelas di atas dulang. Sebelum sempat Aina Yasmin mengangkat dulang, tangan Ameer Aazad terlebih dahulu mengangkatnya. “Mehlah sini abang bawakkan. Min bawak jag air tu.” Ameer Aazad mula mengambil langkah.

“Abang?” seru Aina Yasmin perlahan. Ameer Aazad berpaling. Kelembutan cara panggilan gadis itu meredakan kepanasan hatinya secara automatik. Mudahnya!

Aina Yasmin menggigit bibir. Wajah lelaki itu ditatap. “Min mintak maaf pasal malam tadi…” Itu sahaja yang bisa dilafazkannya. Mengharap agar lelaki itu mengerti apa yang cuba disampaikan. Dia tahu dia bersalah. Hanya memikirkan tentang hati dan perasaannya tanpa sedikitpun memikirkan tentang orang lain.

Ameer Aazad mengangguk. “But you still owe me an explanation about your accusation that I lied last night. Abang tak lupa tu. Bila tiba masanya nanti, abang akan mintak penjelasan daripada Min…”

Seperti yang telah dijangkakan, Ameer Aazad tidak akan membiarkan panggilan daripadanya semalam berlalu begitu sahaja. ‘Gasaklah kau Min. Kau yang tuduh dia tipu bila dia mengaku yang dia tak pernah bencikan kau. Bersedialah dengan jawapannya nanti…’ Aina Yasmin sudah berdebar-debar hanya memikirkan tentang bakal tibanya waktu itu.

Ameer Aazad menyambung langkahnya namun tiba-tiba sahaja dia berhenti di pintu dapur yang menghadap ke halaman luar. Nasib baik Aina Yasmin sempat berhenti. Kalau tidak, pasti mukanya akan tersembam ke belakang tubuh lelaki itu! Ameer Aazad memalingkan dirinya menghadap Aina Yasmin sekali lagi dan merenungnya tajam. “Oh, cakap pada Pian yang abang akan korek biji mata dia kalau dia tak henti-henti tenung tunang abang… I don’t share what belongs to me! Faham??” Tanpa menunggu sebarang balasan, Ameer Aazad terus melangkah meninggalkan Aina Yasmin kaku di tempatnya.

‘Pian? Kenapa dengan Pian? Bila masa dia tenung-tenung aku?’ Aina Yasmin menelan liur. ‘I don’t share what belongs to me? Dia anggap aku ni dia punya?’ Kenapa hati rasa senang? Rasa damai dengan akuan yang dilafazkan?

Panggilan namanya dari luar mengembalikannya ke alam nyata. Dia mengatur langkah yang langsung tiada semangat.


Monday, 16 November 2015

Yang Bermukim Di Hati - Bab 17

“Banyaknya lauk yang kita masak ni mak… Macam nak jamu orang je?” Aina Yasmin melihat lauk-pauk yang terhidang di atas meja makan. Terbuka seleranya. Ada ayam kampung goreng berempah, gulai daging, kerabu pucuk paku, asam pedas ikan pari dan sambal tumis kerang. Ulam daun raja serta sambal belacan turut menambah selera.

“Biarlah sekali-sekala anak-anak mak berkumpul. Apa salahnya? Dahlah tu. Korang pergilah solat zuhur. Lepas Jumaat nanti, kita makan sama-sama… Errr… adik, Mas, nanti bila turun pakai tudung tau. Along bawak kawan…” Hajah Amirah memberi arahan. Di dalam hati dia berasa teruja sangat. Menantikan kehadiran para tetamu yang sudi bertandang ke rumahnya tengah hari nanti. Dia sudah tidak sabar.

Sedap Aina Yasmin dan Mastura bermalas-malasan di atas katil selepas solat zuhur, sambil menunggu kepulangan Iqbal dan Shafiq dari masjid. “Mas, kau rasa Man tu handsome tak?” Aina Yasmin terkenang detik pertemuan dengan Lukman dan Sufian pagi tadi.

Mastura menoleh sembilan puluh darjah ke arah Aina Yasmin yang baring di sebelahnya. “Apasal kau tanya aku pulak?”

“Aku rasa Man tu bertambah coollah…Dari dulu dia memang cool, tapi sekarang ni bertambah cool…” Dari dulu Lukman teman yang tidak banyak bicara namun mindanya tajam. Rakan sekolah menganggap Lukman seorang lelaki yang sedikit sombong, namun bagi Aina Yasmin dan Mastura, Lukman bukanlah begitu. Sikap Lukman sememangnya tidak begitu mesra dengan mereka yang tidak rapat dengannya. Sekarang Lukman bertambah segak dan macho! Dia kelihatan semakin sukar didekati, lagak seorang lelaki misteri membuatkan seseorang itu bertambah keinginan untuk mengorek segala rahsia di hatinya.

“Ya ke? Aku tak perasan pun…” bidas Mastura.

“Apa kata lepas ni kau cuba tengok betul-betul si Man tu? Pakai teropong kalau boleh. Manalah tahu kau boleh tersangkut dengan dia nanti…” usul Aina Yasmin.

Lengan Aina Yasmin menerima cubitan Mastura. Menjerit Aina Yasmin. Bisa betul!

“Kau jangan mengada-ada ya! Aku simbah kau dengan cuka getah nanti…” ugut Mastura.

“Amboi! Garangnya!!” gelak Aina Yasmin. Sudah masak dia dengan ugutan kosong temannya itu. Brutal je lebih!

“Adik, Mas, jom turun makan. Along dengan angah dah balik…” jeritan Hajah Amirah kedengaran dari tingkat bawah.

“Baik, mak…” balas Aina Yasmin kuat. Tangan Mastura ditarik lembut. Tudung dipakai ala kadar. Mastura juga begitu. Aina Yasmin masih berpakaian seperti ketika ‘merendek’ di sungai tadi. “Jom makan! Aku lapar tahap gaban ni…” Mastura hanya menurut langkah Aina Yasmin menuruni tangga.

Senyuman di bibir terus mati melihat tetamu-tetamu yang duduk di ruang tamu. ‘Bila masa pulak diaorang ni sampai? Mak kata tadi kawan along yang nak datang…’ Sangka Aina Yasmin, ayah angkat Ameer Aazad tidak jadi datang memandangkan dia tidak menerima apa-apa berita daripada Ameer Aazad tentang perkara ini sejak pertemuan dengan Tan Sri Khir Razak di pejabat Ameer Aazad tempoh hari.

“Adik, apa tercegat tu? Meh salam Auntie Shima…” tegur Hajah Amirah.

Aina Yasmin tersentak ketika ibunya memanggil. Dia melarikan pandangan daripada renungan penuh rindu Ameer Aazad. ‘Pandai-pandai je kau ni, Min. Ya ke renungan rindu?’

Dia menyalami dan mengucup tangan Puan Shima. Puan Shima memeluk dan mengucup lembut dahi Aina Yasmin.

‘Bilalah aku dapat peluk dan cium dia macam tu?’ bisik Ameer Aazad sendirian. Direnungnya wajah Aina Yasmin sepuas hati. Semenjak mereka keluar untuk membeli cincin tempoh hari, inilah kali pertama dia dapat melabuhkan pandangan ke wajah tunangnya itu. Rindu betul! Keinginan untuk pulang ke kampung sempena cuti hari ini membuatkan dirinya sibuk menyelesaikan tugas-tugasan yang menggunung di pejabat. Maka tiada kelapangan langsung untuk bertemu dengan Aina Yasmin. Matanya berlabuh pula ke jari manis Aina Yasmin. Suka dia melihat pemberiannya tersarung megah di jari halus gadis itu. Rasa pemberiannya dihargai. Namun, rasa yang paling menguasai dirinya tentu sahaja rasa kepuasan kerana jelas gadis itu telah dijanjikan untuknya.
                           
Aina Yasmin menundukkan kepala sedikit tanda hormat ke arah Tan Sri Khir Razak yang duduk bersebelahan dengan Ameer Aazad. Dia mencuri pandang ke arah tunangnya. Bergetar jantungnya melihat Ameer Aazad berbaju Melayu berwarna maroon, berkain pelikat serta bersongkok. Sangat-sangat mengancam di matanya.

“Adik dah jumpa dengan ayah angkat Aazad?” tanya Hajah Amirah.

Laju sahaja Aina Yasmin berpaling ke arah suara ibunya. “Dah, mak. Errr… mak, adik ke dapur dulu…” Aina Yasmin melarikan diri.

Iqbal memandang ke arah Ameer Aazad sambil tersenyum penuh makna. Keningnya dijongket-jongketkan. Pandangan mereka tidak ditangkap oleh orang lain.

“Eh, jomlah kita makan. Dah pukul 2.00 lebih dah ni…moh, moh…” Hajah Amirah menjemput.

Di ruang makan, Aina Yasmin menyenduk nasi ke dalam pinggan sementara Mastura menuangkan air sirap bandung yang telah siap dibancuh ke dalam gelas. Yang lain sudah menarik kerusi. Aina Yasmin terkial-kial menyendukkan nasi pabila menyedari sepasang mata hazel tidak putus-putus merenungnya. Selesai sahaja tugasnya, dia mencari kerusi kosong. Syukur ada di sebelah abang sulungnya. Mastura sudah pun mengambil tempat di sebelah kanannya. Mastura langsung tidak menyedari mata Syafiq yang kadang-kala berlabuh ke wajahnya lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Jangan malu-malu ya… Makanlah… Semua ni Min dengan Mas yang masak…” jemput Hajah Amirah penuh sopan.

“Wah, macam berkenduri kita hari ni. Saya suka betul lauk kampung macam ni…” teruja Tan Sri Khir Razak melihat lauk-pauk yang terhidang. Senang dia dengan layanan ibu serta abang-abang tunang Ameer Aazad. Penuh dengan tatasusila keluarga Melayu.

“Min, tolong ambikkan lauk kerabu tu?” pinta Mastura dengan nada berbisik. Segan dia hendak mencapainya sendiri. Agak jauh.

Aina Yasmin mencapai sudu pada saat dan ketika Ameer Aazad turut mencapai sudu yang sama. Tangan mereka berlaga. Aina Yasmin terus menarik tangannya yang bagaikan terkena renjatan elektrik. Ameer Aazad juga begitu. Mata mereka bertaut.

Errr… Min ambiklah dulu…” Ameer Aazad beralah. Cuba menstabilkan kembali perasaannya yang berkocak.

Aina Yasmin menganggukkan kepala. Dia akur. Menggigil tangannya mencedok lauk untuk Mastura. Jangan terjatuh sudu yang dipegang sudah! ‘Control ayu, Min!’

“Sedapnya, Mirah… berselera betul aku makan…” puji Puan Shima. Hajah Amirah tersenyum bangga. “Hai, bertuahlah siapa dapat memperisteri Min dengan Mas nanti…”

Aina Yasmin serta Mastura hanya tunduk membisu. Malu! Syafiq mengerling ke arah Mastura. Dia mengeluh di dalam hati.

“Mas ni kawan Yasmin ke?” tanya Tan Sri Khir Razak kepada Hajah Amirah.

“Haah, Tan Sri. Dari sekolah rendah lagi diaorang berkawan rapat… Mas pun dah macam anak saya sendiri dah… Sekarang kat KL tu diaorang menyewa satu rumah. Lega saya Min dapat duduk satu rumah dengan Mas. Daripada tinggal dengan orang yang saya tak kenal, eloklah duduk dengan Mas…” terang Hajah Amirah. Dia kenal hati dan budi kawan anaknya ini. Keluarga Mastura pun daripada orang yang baik-baik.

Tan Sri Khir Razak mengangguk. “Saya pernah ajak Yasmin datang ke rumah saya. Tapi sibuk sangat agaknya. Yasmin, kalau datang rumah Uncle nanti, bawaklah Mas sekali, ya?” Tan Sri Khir Razak mengalih pandangannya ke arah Ameer Aazad pula. “Zad, bila nak bawak bakal menantu papa datang rumah?”

Hampir tercekik Aina Yasmin dibuatnya. Pantas dia mencapai air sirap bandung dan diteguknya perlahan. Ameer Aazad mengerling ke wajah Aina Yasmin yang mula memerah. Penuh menggoda kerlingannya itu.

“Bila-bila pun boleh, pa. Tapi ada orang tu yang susah sangat nak ajak jumpa… Ada je alasan dia…” perli Ameer Aazad. Matanya menjeling semula ke arah Aina Yasmin yang sudah semakin merah padam.

“Yasmin, bila nak datang rumah Uncle? Uncle sunyi kat rumah tu. Aazad asyik sibuk memanjang. Seminggu sekali masa hujung minggu baru dapat makan bersama dengan Aazad. Iqbal dan Syafiq pun, jemputlah sekali, ya? Bawak mak bila-bila mak turun KL. Uncle suka kalau ada tetamu… Lagi ramai lagi bagus. Taklah sunyi sangat…”

“Insya-Allah, Uncle,” tutur Iqbal dan Syafiq serentak.

“Yasmin?” Tan Sri Khir Razak masih menunggu jawapan daripada Aina Yasmin.

Errr… Insya-Allah, Uncle…” balas Aina Yasmin perlahan. Sempat dia menjeling geram ke arah Ameer Aazad. ‘Kalau tak usik aku tak sah!’ Ameer Aazad mengenyit mata. Gatal. Terkedu Aina Yasmin jadinya. Berderau darah naik ke muka. Dia kembali tunduk. Jantungnya berdetak tidak menentu.

Selepas menjamu selera, kesemua mereka bergerak kembali ke ruang tamu. Mastura membantu Aina Yasmin mencuci pinggan serta mengemas meja. Air dijerang dan kopi panas dibancuh. Mastura ke hadapan mengangkat cawan-cawan yang elok tersusun di atas dulang. Derap kaki yang menghampiri dapur tidak diendahkan Aina Yasmin. Sangkanya Mastura kembali ke dapur untuk membantu. Aina Yasmin menyimpan bekas gula dan menutup teko. Siap!

“Assalamualaikum, tunang abang…” suara dalam begitu hampir dengan telinganya. Aina Yasmin terkejut. Syukur dia masih belum mengangkat teko lagi. Kalau sudah diangkat, mahu jatuh berkecai agaknya dek serangan jantung.

Aina Yasmin menoleh. Senyuman Ameer Aazad begitu manis dan menggoda.

Waalaikumussalam…” mata Aina Yasmin mencari kelibat Mastura. Tidak mahu terlalu lama memandang wajah tampan Ameer Aazad.

“Mas kat depan. Dia mintak abang tolong Min…” seolah-olah tahu sahaja apa yang dicari tunangnya itu.

Errr… Min dah siap pun. Dah takde apa lagi nak ditolong…” Aina Yasmin tunduk. Tidak mampu menatap wajah yang masih tersenyum. Wajah yang mempamerkan riak kasih berbaur miang.

“Okey… Hmmm… sedap Min masak tadi. Abang berselera betul. Tak pernah abang makan banyak macam tadi… Betul cakap mama... Bertuahnya abang nanti bila Min jadi isteri abang…” Ameer Aazad menanti wajah Aina Yasmin bertukar warna. Penantiannya tidak lama. ‘Hah… kan dah merah…’

“Bukannya Min masak semua… Mas pun masak jugak…” Aina Yasmin merendah diri. Di dalam hati sudah berbunga-bunga dipuji tunang sendiri. Kembang kuncup jadinya.

Senyuman di bibir Ameer Aazad semakin memekar. Senang dengan sikap rendah diri tunangnya itu.

Errr… abang pergilah depan… Nanti Min bawakkan kopi…” Aina Yasmin menghalau Ameer Aazad. Rimas dia duduk berduaan dengan Ameer Aazad. Bahaya!

Meh abang angkatkan air tu…”

Belum sempat Aina Yasmin menahan, Ameer Aazad sudah mengangkat teko berisi kopi dan berlalu ke ruang tamu. Aina Yasmin terpaksa membuntuti langkah Ameer Aazad.

Penuh cermat Ameer Aazad menuangkan kopi ke dalam cawan. Tidak kekok langsung. Tiada setitik air kopi pun yang tumpah. Aina Yasmin kagum. ‘Hesy, kau ni. Tu pun nak kagum. Semua orang boleh tuang air dalam cawan apa!’ Marah Aina Yasmin kepada dirinya sendiri. ‘Tapi, ya ke semua orang pandai tuang air dalam cawan? Kalau angah yang buat, mesti dah tumpah!’

“Duduklah, adik. Apa tercegat kat situ?” Hajah Amirah bersuara. Hanya ruang di sebelah Puan Shima sahaja yang kosong. Jadi Aina Yasmin melabuhkan duduk di situ.

Mereka berbual-bual kosong. Aina Yasmin hanya mendengar. Langsung tidak mencelah. Sesekali ketika dia mengangkat kepala, matanya akan bertembung dengan mata Ameer Aazad. Pernah sekali ketika pandangan mereka berlaga, Ameer Aazad mengenyit mata. Aina Yasmin menarik nafas. Terasa jantungnya dipalu kencang dan dada terasa menghimpit. Terkejut dia dengan keberanian Ameer Aazad di hadapan orang lain. Risau juga sekiranya aksi Ameer Aazad tadi ditangkap abang-abangnya. Dahi Aina Yasmin berkerut. Dia mencerlungkan mata. Cuba memberi amaran kepada tunangnya itu untuk tidak berkelakuan nakal begitu. Tak sanggup sekiranya jantungnya langsung gagal berfungsi kerana asyik dipaksa mengepam darah sahaja.

Ameer Aazad mengawal tawa. Enak betul pemandangan yang menghiasi ruang matanya. Pandai Aina Yasmin mengambil tempat betul-betul berhadapan dengannya. Boleh dia bermain mata dengan tunangnya itu. ‘Sopan betul dia duduk sebelah mama… Bilalah aku bisa memilikinya, ya Allah?’

“Zad, sudah-sudahlah main mata dengan tunang kamu tu…” Teguran Tan Sri Khir Razak membuat Ameer Aazad tersentak. Laju dia menoleh ke arah ayah angkatnya itu. Merah wajahnya menanggung malu. “Macam dah kemaruk sangat pulak papa tengok kamu ni…” Tan Sri Khir Razak menggeleng-gelengkan kepala.

Aina Yasmin menjeling geram ke arah tunangnya. Bukan sahaja wajah Ameer Aazad memerah. Wajahnya turut terbias warna yang sama gara-gara ditegur Tan Sri Khir Razak. ‘Tulah… gatal lagi…’ Aina Yasmin menggigit bibir. Pipi mula terasa kebas.

Ameer Aazad menggaru kepala yang tidak gatal. Dia hanya mampu menyengih macam kerang busuk.

“Shima, anak teruna kamu ni macam dah angau je aku tengok… Kita kahwinkan jelah dia ni cepat-cepat…” Tan Sri Khir Razak memandang ke wajah Puan Shima, wanita yang telah melahirkan anak angkatnya itu.

Mereka yang berada di ruang tamu semua ketawa kecuali Aina Yasmin. Hatinya membara. Aina Yasmin meramas-ramas tangannya.

“Saya tak kisah Abang Khir. Lagi cepat lagi saya suka… Ada orang nak jaga makan pakai anak saya tu… Taklah saya risau sangat…” Puan Shima mengiakan cadangan Tan Sri Khir Razak itu. Puan Shima berbalas senyuman dengan Hajah Amirah, sepupunya.

Ameer Aazad mencuri pandang ke arah Aina Yasmin yang menunduk. Gelagat Aina Yasmin yang memulas-mulas tangan di atas ribanya memberi maksud yang begitu jelas. Namun Ameer Aazad memilih untuk meneruskan dengan rancangannya. Dia tidak boleh berpatah balik.

Syafiq turut memandang adik tunggalnya. Dahinya berkerut. Mengapa adiknya nampak gelisah sahaja?

“Macam mana Mirah?” soal Puan Shima.

“Aku serahkan semuanya pada budak-budak ni untuk buat keputusan, Ima. Diaorang dah besar. Aku ikut je…” Hajah Amirah memberikan pandangan.

Aina Yasmin menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai ibu yang tidak pernah memaksa.

“Tapi aku rasa Min ni belum bersedia lagi…” tambah Hajah Amirah lagi. “Dia pun baru je mula kerja kat KL tu. Bila dia dah bersedia nanti, aku kahwinkan terus!!” Kalaulah Aina Yasmin sudah bersedia, alangkah bahagianya… Bilalah agaknya Aina Yasmin bisa menerima perasaannya yang memang sudah wujud untuk Ameer Aazad?

‘Terima kasih, mak. Sayang mak!’ Aina Yasmin hanya mampu menghantar ucapan terima kasih melalui pandangan mata.

Ameer Aazad memandang Iqbal. Pandangan penuh merayu dan mengharap. Iqbal menggeleng. Dia tahu apa yang cuba dipinta Ameer Aazad itu, namun dia tidak akan bersuara. Bukan dirinya untuk memaksa adiknya itu. Ameer Aazad kecewa. Harapannya agar Hajah Amirah bersetuju dengan usul Tan Sri Khir Razak untuk mempercepatkan perkahwinan mereka nampaknya tidak kesampaian. Tengok-tengok, ibu tunangnya itu menyerahkan kepada Aina Yasmin untuk membuat keputusan.

“Betul ke Min belum bersedia lagi?” Puan Shima bertanya. Tangan Aina Yasmin yang duduk di sebelahnya digenggam. Sejuk tangan anak sepupunya itu.

Errr… Haah, Auntie. Kalau boleh, Min nak kerja dulu. Belum bersedia nak berumah tangga…”

Dari ekor matanya, Aina Yasmin melihat Mastura menjegilkan matanya. Memberi amaran kepada temannya itu. Aina Yasmin menjongket kening tanda tidak mengerti.

Ameer Aazad mengeluh hampa. ‘Susahnya nak jadikan dia isteri aku! Berapa lama lagi aku terpaksa tunggu ni? Yang gatal mintak enam bulan tu siapa suruh?’ marah Ameer Aazad di dalam hati.

Hmmm…kalau macam tu, takpelah…” ada nada kecewa di wajah Puan Shima. Seperti Ameer Aazad yang tidak sabar mahu memperisteri Aina Yasmin, dia juga tidak sabar ingin menjadikan Aina Yasmin menantunya.

Selepas berbual-bual sambil menghirup kopi, Puan Shima akhirnya meminta diri. Hampir dua jam mereka berada di rumah Hajah Amirah. Ketika mereka saling bersalaman, Ameer Aazad mencuri peluang untuk mendekati tunangnya yang ketika itu sedang berdiri di sebelah Mastura. “Min, esok kita jumpa boleh? Abang datang ambik Min…” nada suara Ameer Aazad separuh merayu.

Aina Yasmin mendongak. “Errr… Esok tak boleh sebab Min dah janji dengan kawan-kawan nak memancing…” Aina Yasmin beralasan. Lengannya yang kuat disiku Mastura tidak diendahkan.

“Kalau macam tu, boleh abang join sekali?”

“Hah?” Aina Yasmin terpinga-pinga sendirian. Blur sahaja wajahnya. Kepalanya yang dibalut tudung digaru perlahan.

“Boleh, boleh… Jomlah Abang Aazad. Lagi ramai lagi best,” Mastura pula yang bersetuju. Giliran Aina Yasmin pula menyiku lengan kawannya itu. Sibuk aje!

Geli hati Ameer Aazad melihat Aina Yasmin dan Mastura berbalas sondolan. “Okey. Kalau macam tu, nanti bagi tahu abang pukul berapa abang patut datang sini ya? Abang balik dulu, Min. Malam nanti, abang call. Jangan tak angkat pulak…” Ameer Aazad memberi pesanan.

Aina Yasmin tidak membalas. Dia memandang wajah Ameer Aazad yang masih teruja dengan ajakan Mastura. Redup mata Ameer Aazad memandangnya. Akhirnya, Aina Yasmin mengangguk. Ameer Aazad tersenyum tampan. Aina Yasmin kepanasan… Kali ini bukan kerana marah ataupun geram… tetapi kerana perasaan halus yang bertandang ke hati. Sudah beberapa kali perasaan ini menyapa hatinya. Setiap kali Ameer Aazad memandangnya seolah-olah dialah perempuan yang paling penting dalam hidup lelaki itu dan setiap kali senyumannya terukir, dia akan merasakan debaran yang sama. Perasaan apakah itu?

“Kau ni teruklah Min!” marah Mastura sebaik sahaja dia dan Aina Yasmin masuk kembali ke dalam bilik tidur Aina Yasmin. Lengan Aina Yasmin ditepuk kuat. Kalau diikutkan hati, dia ingin menyekeh temannya itu.

Auww! Kau ni dah kenapa?” Aina Yasmin tidak berpuas hati diserang begitu. Lengan yang terasa pedih disapu perlahan. Berkerut mukanya menahan sakit. Apa kena Mastura ni? Tiba-tiba saja!

“Kesian kat Abang Aazad tadi, tau! Dia ajak kau keluar, kau tak nak. Dia ajak kahwin, tak nak… Kau ni nak apa sebenarnya, hah? Nak tunggu kena tinggal macam aku ni?” asak Mastura. Dia tidak puas hati dengan sikap jual mahal Aina Yasmin terhadap tunangnya sendiri.

“Apa kau mengarut ni?” Aina Yasmin pura-pura tidak mengerti.

Mastura berasa geram dengan temannya itu. “Min, kadang-kadang Allah tak beri kita peluang kedua. Kita kena rebut peluang yang dah ada depan mata…” suara Mastura melirih. Dia menghempaskan lelah di birai katil. “Aku nampak Abang Aazad betul-betul serius dan ikhlas dengan kau. Kau tahu, sepanjang aku dengan Johan, tak pernah sekali dia bangkitkan tentang isu kahwin atau nak jadikan aku isteri dia… Dia tak pernah bangkitkan hal masa depan. Aku cuma objek untuk dia habiskan masa yang terluang. Walaupun dia macam tu, aku tetap berharap…”

Aina Yasmin duduk di sebelah Mastura dan memaut bahunya. Dia memeluk temannya itu. “Aku tak pasti sama ada aku akan jumpa dengan seorang lelaki yang bersungguh-sungguh nak kahwin dengan aku macam Abang Aazad nakkan kau! Aku tolak lelaki lain sebab hati aku dah terpaut pada Johan. Tapi semuanya sia-sia.” Mastura memandang tepat ke mata Aina Yasmin. “Kau jangan nak buat macam-macam alasan lagi, Min. Kata Abang Aazad tak ikhlaslah, nakkan kau sebab kau dah berubahlah… tu semua alasan kau nak lari daripada kebenaran!”

Pautan di bahu Mastura dilepaskan lambat-lambat. Aina Yasmin tunduk. Terasa kebenaran menuding jari tepat ke hidungnya.

“Sejak diaorang datang tengah hari tadi, aku asyik tengok cara dia pandang kau, Min. Tak pernah sekali Johan pandang aku macam tu…” Mastura menyeka air matanya yang tiba-tiba mengalir. Sangkanya Johan tidak lagi mempengaruhi kehidupannya. Namun dia salah. Luka yang ditinggalkan lelaki itu masih segar dan dalam. “Dia sayang pada kau, Min! Aku yakin tu! Dan aku kecewa tengok kau yang masih menidakkan perasaan kau sendiri.”

“Aku tahu dia sayang aku, Mas. Abang Aazad dah pernah lafazkannya pada aku…” perlahan Aina Yasmin bersuara. Hatinya benar-benar terkesan dengan luahan hati Mastura itu. “Aku perlukan sikit masa je lagi, Mas. Aku tak nak terburu-buru.  Biar aku benar-benar yakin dengan perasaan aku ni…”

“Aku harap kau tahu apa yang kau buat. Aku sendiri rasa cemburu dengan perasaan Abang Aazad pada kau. Aku bukan nak paksa, tapi kau jangan tolak tuah selalu sangat, Min. Kau jugak yang akan menyesal nanti…” pesan Mastura sebelum bingkas bangun. “Aku balik dulu, Min. Dah lama aku kat sini. Jumpa kau esok…”

Aina Yasmin turut bangun. Tubuh Mastura dipeluk erat. Kesedihan yang dirasai Mastura menarik-narik tangkai hatinya. “Sabar ya, Mas. Allah duga kau sebab Allah nak bagi lelaki yang lebih baik daripada Johan untuk kau. Kau ingat tu!”

Mastura hanya mampu mengangguk. Pelukan Aina Yasmin dibalas sekejap. Kemudian dia berlalu meninggalkan Aina Yasmin keseorangan. Aina Yasmin menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Kata-kata Mastura diulang-ulang dalam mindanya. Ada kebenarannya. Mastura pernah bercinta dan pernah dilukai. Maka segala yang dibicarakan Mastura tadi perlu dititikberatkan. Dia sedar akan itu.

Seperti baru teringat akan sesuatu, Aina Yasmin pantas bangun lalu membuka almari bajunya. Diselak dan diseluk. Akhirnya tangannya menyentuh sesuatu yang keras. Dia menarik keluar benda yang dicarinya itu. Diari lamanya! Entah mengapa dari umurnya enam belas tahun sehingga menginjak lapan belas tahun, Aina Yasmin mengabdikan momen-momen penting dalam kehidupannya di dalam diari itu. Peninggalannya ke bumi Amerika dengan hati yang remuk membuatkan dirinya tidak lagi menulis. Sudah begitu lama dia meninggalkan diari itu di dalam almarinya. Sudah hampir terlupa akan kewujudannya.

Dia mula menyelak helaian demi helaian. Tersenyum dia dengan kenaifannya sendiri. Banyak cerita tentang dirinya bersama teman-teman rapatnya. Sekali-sekala ada coretan mengenai Ameer Aazad. Ketika umurnya enam belas tahun, dia menulis:

Hari ni si dia datang melepak. Dia kata cuti. Seperti biasa, dia langsung tak tegur aku. Aku rasa dia macam tangkap aku tenung dia la tadi… kau kena lebih berhati-hati, Min!

Aina Yasmin tersenyum. Sudah tentu ‘si dia’ yang dimaksudkan ialah Ameer Aazad.

Kenapa dia pandang aku semacam je masa along peluk aku tadi? Memanglah aku sedih. Kena marah dengan abah… Nasib baik along ada nak pujuk aku. Sayang along! Takkan dia marah sebab along berhenti main karom dengan dia semata-mata nak pujuk aku?

Dia membaca lagi.

Hari ni aku genap 17 tahun. Tengah hari tadi masa along dengan angah balik, si dia ada sekali. Along hadiahkan aku pancing baru. Angah pulak belikan aku rantai tangan silver. Kenapa dahi dia berkerut bila aku peluk dan cium along dan angah tanda terima kasih? Aku hairan betullah dengan dia tu… Puas along ajak aku makan bersama-sama diaorang tapi aku segan. Aku tahu si dia tak suka dengan aku… Daripada cara dia pandang aku pun aku tahu…

Helaian diselak lagi. Terbit senyuman di bibirnya tatkala membaca kisahnya dengan rakan-rakannya. Episod memanjat pokok untuk melepaskan kucing yang tidak pandai hendak turun ke bawah, episod kena kejar dengan babi hutan yang tersesat masuk ke kampung mereka, episod memancing bersama Lukman dan Sufian dan banyak lagi kisah yang sudah hampir dilupakan. Ketika sampai ke helaian seterusnya, dia terkedu.

Benci abah!! Kenapa samakan aku dengan Kak Munah?? Tak pasal-pasal aku kena bertunang dengan si dia. Aku baru 18 tahun!!! Aku tak nak bertunang dengan si dia. Dia tu sombong, perasan bagus dan tak pernah kisah pasal aku pun!! Aku tak suka dia!! Sampai hati abah…

Aku adalah ‘pompuan entah apa-apa, badan kurus sekeping macam jantan, kulit berkilat terbakar dan langsung takde selera nak dipandang…’ Kenapa aku harus menangis?? Dah macam-macam orang kata aku sebelum ni. Tapi aku tak pernah kisah dan aku tak pernah menangis. Hinalah aku macam mana pun, aku hanya akan pekakkan telinga. Allah yang ciptakan aku sebegini rupa jadi aku tak boleh menyesal dengan takdirku. Tapi kenapa hari ni aku menangis? Kenapa kata-kata si dia terlampau pedih, terlampau sakit dan terlampau berat untuk aku terima? Kenapa hatiku ini rasa seperti retak seribu??

Esok aku akan tinggalkan semuanya. Aku akan pergi untuk menggapai cita-citaku… Aku ingin lupakan segalanya. Aku ingin belajar berdikari dan tanamkan kembali semangatku yang telah hilang… Aku akan tunjukkan kepada si dia yang walaupun aku tidak layak berada di sampingnya, aku bukanlah gadis yang tidak mahu memajukan dirinya sendiri. Gadis hodoh sepertiku masih mempunyai tempat dalam dunia ini dan bisa menyumbangkan bakti kepada mereka yang memerlukannya…

Betul ke selama ini dia sekadar menyimpan rasa minat atau ‘crush’ terhadap Ameer Aazad? Betul ke dia tiada perasaan lain selain daripada perasaan tidak matang seorang gadis belasan tahun sepertinya dulu? Jika benar, mengapa dia menangis ketika dihina lelaki itu, padahal Intan dan rakan-rakannya yang lain pernah menggunakan bahasa yang lebih dahsyat lagi? Mengapa dia perlu menanamkan kembali semangatnya yang hilang? Mengapa dia perlu buktikan dirinya kepada Ameer Aazad sekiranya lelaki itu langsung tidak bermakna buat dirinya?

Diari di dalam tangan ditutup kasar. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Dia buntu campur keliru dengan perasaannya sendiri. ‘Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini…’ Terdetik doa di dalam hati.

Mata dibuka. Nafas dihela. Telefon bimbitnya dicapai. Tanpa berfikir panjang, suatu nombor dicari dan didail. Dia menanti dengan penuh debaran.

“Assalamualaikum, tunang abang…” suara garau itu menyapa halwa telinganya. Seperti biasa, ada getaran halus datang membelai perasaannya.

Waalaikumussalam…” Lemah suara Aina Yasmin. Aina Yasmin menegakkan tubuhnya. Mencari kekuatan. Sesungguhnya dia perlukan suatu jawapan atas kekeliruan yang berlegar-legar di mindanya.

“Abang, Min nak tanya…” Tiada mukadimah di awal perbualan. Straight to the point.

Hmmm… tanyalah…”

“Abang… abang pernah tak benci pada Min?” Tepat pada persoalan yang menghantuinya.

“Apa punya soalan ni Min?” suara Ameer Aazad berubah tegang, namun Aina Yasmin meneruskan juga.

Dengan satu nafas, Aina Yasmin mengulangi soalannya. “Min nak tahu sama ada sebelum ni, abang pernah benci Min atau tak?”

No! Never! Abang tak pernah sekali-kali benci pada Min!” Jawapan Ameer Aazad berbaur rasa tidak puas hati.

“Masa dulu tu?”

“Tak! Abang tak benci pada Min… tak pernah…” tegas Ameer Aazad sekali lagi. Tidak faham dengan sikap Aina Yasmin.

“Abang tipu…” lirih suara Aina Yasmin menuduh Ameer Aazad. Dia tidak percaya.

“Min!!!” suara Ameer Aazad naik satu oktaf. Tidak puas hati sangat-sangat! Mengapa dia rasakan seolah-olah Aina Yasmin sengaja mencari alasan untuk menolaknya? Apa kena dengan tunangnya itu?

Aina Yasmin memejamkan mata. Sedih kerana Ameer Aazad tidak berterus-terang dengannya. Susah sangat ke hendak mengaku? Terlintas kenangan lalu di hadapan mata. Ameer Aazad yang tidak pernah mahu menegurnya. Ameer Aazad yang membuat muka setiap kali dirinya dipeluk abang-abangnya. Ameeer Aazad yang tidak sudi memandang wajahnya…

“Min, what is this all about? What’s wrong?”

Mungkin bukanlah suatu tindakan yang bijak menelefon Ameer Aazad ketika emosi dirinya begitu rapuh ketika ini. Aina Yasmin sedar akan kebodohannya.

Takde apa-apa, bang. Maaf mengganggu. Min letak dulu. Assalamualaikum…”

Aina Yasmin mendengar Ameer Aazad memanggil namanya dengan kuat sebelum talian dimatikan. ‘Mesti dia marah… tapi kenapa dia tipu?’

Tiba-tiba Aina Yasmin teringat tentang ajakan Mastura kepada Ameer Aazad untuk turut serta memancing bersama mereka esok. Aduh! Dia tidak mahu berjumpa lelaki itu! Dia perlu menenteramkan hati dan fikirannya dulu buat masa ini. Aina Yasmin mencapai telefon dan menghantar pesanan kepada Mastura.

Salam Mas, aku x jadi pergi mancing esok. Tlg inform pada semua cancel ya, termasuk Abg Aazad. Tq.

Telefon dimatikan tanpa menunggu balasan daripada Mastura. Dia tidak mahu menerima sebarang panggilan buat sementara waktu ini. Biarlah…