Wednesday, 5 November 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 19 (Akhir di blog)

BAB 19

Qistina terpaku dalam duduknya. Seluruh tubuhnya dirasakan kaku dan membeku. Dia pantas mendongak dan memalingkan wajahnya ke arah Ian Iskandar dan ternyata lelaki itu juga sedang merenungnya tajam. Bagai ada sesuatu yang ingin disampaikan lelaki itu melalui pandangan matanya. Adakah ini semua sekadar kebetulan? Betulkah apa yang ditangkap telinga Qistina sebentar tadi?

Jurunikah sebentar tadi menyebut nama Ian Iskandar bin Idris Mansor. Ian Iskandar bin Idris Mansor? Mengapa nama ayah Ian Iskandar sama dengan nama ayah Remy? Selama ini dia menyangkakan yang nama sebenar Ian ialah Ian bin Iskandar.

‘Bodohnya aku! Kenapa aku tak pernah tanya nama penuhnya?’ Qistina memerlukan penjelasan. Telinganya tidak mampu mendengar apa-apa lagi. Semuanya dirasakan bak angin lalu.

Ian Iskandar menghampirinya. Ian Iskandar tahu Qistina dapat meneka apa yang selama ini dibukukan di dalam hati. Dia dapat melihat dengan jelas reaksi Qistina sebentar tadi. Dia hanya berharap Qistina dapat bersabar dan tidak menyerangnya sehingga mereka pulang ke rumah.

Tangan dihulurkan. Qistina tidak menyambutnya. Dia masih terpinga-pinga. Sudah selesai ke lafaz ijab dan kabul?

“Qistina,” bisik Ian Iskandar perlahan. “Saya akan jelaskan semuanya nanti. Sekarang, sambut tangan saya dulu.”

Iman Elena yang duduk bersebelahan Qistina menguis lengan Qistina. Qistina tersentak dan akhirnya menyambut huluran tangan Ian Iskandar. Dia mengucup tangan suaminya itu untuk kali pertama. Rasa keliru berbaur rasa syahdu yang amat sangat. Ian Iskandar kemudian mengucup dahi isterinya itu. Hangat. Lama. Penuh rasa kasih! Kemudian bibir Ian Iskandar mendarat pula di kedua-dua pipi Qistina. Qistina terkedu.

That’s enough, Ian. You’ll have plenty of time for that later!” suara garau Muhammad Mikail, suami Iman Elena merangkap pengapit Ian Iskandar berseloroh.

Terasa darah menyerbu ke muka Qistina. Malu dia diusik begitu. Ian Iskandar hanya menyengih. Ian Iskandar sengaja berlambat-lambat menyarungkan cincin di jari manis Qistina kerana mahu berlama memegang tangan gadis itu yang terasa begitu sejuk sekali. Selepas semuanya berakhir, Iman Elena memeluk dan mencium pipi Qistina. Gembira!

Sungguh ringkas majlis akad nikah mereka, namun amat bermakna. Walaupun tiada Timah, Mak Esah, Pak Atan serta ahli keluarganya yang lain, Qistina tetap rasa bersyukur. Kini, dia sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang dicintainya. Dia kini menjadi hak Ian Iskandar sepenuhnya. Papanya kini sudah tiada hak lagi untuk menentukan masa depannya. Qistina berasa sangat lega.

Namun perasaan bercampur-baur yang dirasakan sebentar tadi masih menyelubungi dirinya. Apakah penjelasan yang bakal didengarinya daripada Ian Iskandar?

Iman Elena mengajak Qistina meninggalkan masjid. Sebuah resepsi ringkas telah dirancangkan di rumah Puan Mariam untuk tetamu yang hadir untuk majlis akad nikah tadi. Ketika Qistina melangkah keluar dari pintu masjid, dia mendengar namanya disapa dari belakang. Dia memalingkan tubuhnya dan tersenyum melihat Dr. Ilyas Khan.

“Ilyas, you came!” Gembira Qistina melihat sahabatnya itu. “Alone?” Qistina bertanya sambil matanya meliar mencari kelibat seseorang.

Dr. Ilyas Khan mengangguk. “Told you I wouldn’t miss your wedding for the world, right? And yes I came alone. After what Fatma did to you, I’m not going to take her back that easily!” jelas Dr. Ilyas Khan.

Qistina menggelengkan kepalanya. Memanglah bahu dia sakit diperlakukan Dr. Fatma Ali, tetapi sikit pun dia tidak menyimpan dendam terhadap bekas tunang Dr. Ilyas Khan itu. “Ilyas, you know I don’t hold a grudge against her…I just want you to be happy…”

I know….and I’m so lucky to have you as my friend…” ikhlas Dr. Ilyas Khan menyuarakan isi hatinya.

Qistina tersenyum lagi. “Come, shall we? You’re coming for the reception, right?”

Of course! I’ll see you soon. You’d better go, Qistina. Ian is waiting for you. He has been frowning all the while I’m talking to you!” Dr. Ilyas tergelak. Ian Iskandar nampaknya masih bersikap cemburu walaupun Qistina telah sah menjadi miliknya.

Qistina mengangguk dan meninggalkan Dr. Ilyas Khan. Dari jauh, dia melihat Ian Iskandar sedang bersandar di tepi keretanya sambil menyilang tangan ke dada. Santai dan amat seksi.

Pandangan mata Ian Iskandar tidak berganjak dari wajah isterinya itu. Dengan perlahan, kerutan di dahinya dan ketegangan di wajahnya mula hilang. Keayuan serta kejelitaan isterinya itu mendamaikan jiwanya. Pandai betul adiknya Iman Elena menyolek wajah Qistina. Dia seolah-olah terpukau dengan wajah isterinya itu. Langsung tidak dapat mengalihkan pandangan matanya. Isterinya? Ya! Akhirnya gadis di hadapannya kini telah selamat menjadi isterinya. Isterinya! Istilah yang begitu bermakna sekali. Syukur, ya Allah atas anugerah yang terindah ini…

Qistina semakin hampir dengan kereta Ian Iskandar. Gelabah dia melihat cara Ian Iskandar mengamati dirinya dari kepala hingga ke kaki. Langkah Qistina terhenti di hadapan Ian Iskandar. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kepada suaminya itu yang masih terpaku memandangnya. Mereka saling berpandangan. Qistina menggigit bibirnya. Resah dia menanti Ian Iskandar memulakan bicara.

Iman Elena dan suaminya yang berdiri tidak jauh daripada pasangan pengantin baharu itu saling berpandangan. Masing-masing seakan bertanya apa yang sedang terjadi antara Ian Iskandar dengan Qistina. Muhammad Mikail berdehem. Terangkat bahu Qistina. Terkejut dia! Ketika melihat riak wajah Iman Elena dan suaminya, Qistina pantas tunduk. Malu dia ditangkap begitu.

Shall we go now? The sooner we leave, the faster the both of you can begin on your honeymoon!” Muhammad Mikail berseloroh.

Iman Elena mencubit perut suaminya ketika melihat wajah Qistina yang merona merah. Muhammad Mikail sudah tergelak besar. Ian Iskandar menolak bahu adik iparnya itu, namun senyuman nakal terukir di wajahnya. Makin bertambah besar ketawa Muhammad Mikail.

Ian Iskandar menarik perlahan lengan Qistina dan membukakan pintu kereta. Qistina menurut. Ian Iskandar mengambil tempat dan mula memandu keluar dari kawasan masjid. Dari semasa ke semasa, dia mengilas pandang kepada Qistina yang duduk di sebelahnya, masih membisu.

“Ina cantik sangat hari ni!” Perlahan Ian Iskandar bersuara.

Dari tadi lagi dia ingin memuji kecantikan Qistina, tetapi dia kehilangan kata-kata apabila pertama kali melihat Qistina sebelum bertolak ke masjid tadi. Qistina kelihatan berseri-seri dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, seolah-olah hari inilah hari yang paling bahagia bagi dirinya.

Qistina menoleh. “Terima kasih,” jawab Qistina ringkas. Ian Iskandar pun apa kurangnya? Pertama kali melihat Ian Iskandar serba lengkap dengan persalinan baju Melayunya, Qistina hampir ternganga. Rasanya dia tidak pernah melihat Ian Iskandar setampan dan sesegak itu! Reaksi Puan Mariam pun begitu. Sehingga mengalir air matanya melihat Ian Iskandar mengenakan persalinan baju Melayunya dan selepas itu Qistina pula kelihatan indah dan cukup jelita di matanya.

Suasana kembali sepi. “Saya tahu apa yang Ina fikirkan. Sabar ya. Saya akan jelaskan semuanya nanti

Qistina tidak membalas. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Ian Iskandar mengeluh. Dia tidak tahu apa yang difikirkan Qistina ketika ini.

Setibanya di rumah, Ian Iskandar memegang kemas tangan Qistina dan membawanya masuk ke dalam rumah. Walaupun tetamu sudah mula hadir dan memenuhi ruang tamu, Ian Iskandar menarik Qistina masuk hingga ke dalam bilik Puan Mariam. Puan Mariam telah sedia duduk di atas kerusi roda, dengan niat untuk menyertai majlis resepsi untuk anak dan menantunya itu. Walaupun dia kesal kesihatannya tidak mengizinkannya menghadiri majlis akad nikah anak lelakinya, namun dia tetap bersyukur dapat menyaksikan Ian Iskandar membawa pulang menantunya itu.

Naseem keluar dari bilik Puan Mariam sambil mengukirkan senyuman kepada Qistina. Dia turut merasa gembira dengan penyatuan majikannya bersama gadis itu.

Mummy, ni Ian bawak balik menantu mummy!”

Qistina berlutut di sebelah kerusi roda Puan Mariam lalu menyalami dan mengucup tangan ibu mentuanya yang amat disayanginya itu. Puan Mariam pula memeluk erat Qistina dan mencium dahi menantu baharunya. Mata mereka berdua mula berkaca. Tanpa sebarang bicara, Puan Mariam mengusap penuh kasih kepala Qistina. Qistina hanya memandang dengan perasaan yang cukup sebak dan terharu.

“Qistina, Ian…” Puan Mariam memanggil.

Ian Iskandar pula merapati ibunya. “Mummy gembira sangat hari ni! Ian, mummy nak Ian jaga Ina baik-baik dan cintailah dia sepenuh hati. Jujur dan setialah kepadanya. Cuma dia! Setiap kali Ian rasa nak curang pada Ina, ingatlah pada mummy dan macam mana perasaan mummy bila daddy Ian curang pada mummy dulu,” pesan Puan Mariam kepada anaknya.

Qistina semakin terharu. Kata-kata Puan Mariam mengingatkan kembali kata-kata Iman Elena kepadanya baru-baru ini.

Mummy, Ian janji yang Ian akan hanya mencintai Qistina seorang dan hanya dia saja ada dalam hati Ian.

Qistina menoleh ke arah Ian Iskandar. Air matanya yang jernih, mengalir perlahan ke pipi. Kesungguhan Ian Iskandar mengucapkan kata-kata janji di hadapan ibunya meruntun jiwanya. Ian Iskandar menyeka lembut air mata isterinya itu. Pandangan matanya redup dan penuh dengan cinta.

“Qistina,” Puan Mariam memanggil. Qistina mengalihkan pandangannya.

“Saya, mummy?” serak suara Qistina.

Mummy percaya Ina boleh bahagiakan Ian. Sentiasa jaga nama baik dan maruah suami. Bersabarlah dengannya sebab Ian ni kadang-kadang susah nak handle. Tengok jelah cemburu dia pada Ina dengan Dr Ilyas selama ni.” Puan Mariam menjeling ke arah Ian Iskandar. Masam wajah Ian Iskandar apabila Puan Mariam menyindirnya. Qistina tersenyum.

Which reminds me, mummy perlu ucapkan terima kasih kepada Dr. Ilyas sebab dah jalankan rancangan mummy dengan baik sekali!”

Qistina dan Ian Iskandar saling berbalas pandang. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan Puan Mariam. Akhirnya Ian Iskandar bertanya, “Rancangan apa?”

Mummylah yang minta Ilyas rapat dengan Ina. Saja je nak buat Ian cemburu. Mummy rasa, Ian ni terlampau lambat nak ambil tindakan. You were too slow for my liking! Bila Ian rasa tercabar dengan kehadiran Ilyas, barulah terkocoh-kocoh nak cuba dapatkan Ina. Takut terlepas, kan?”

Ian Iskandar pada mulanya merasa terkejut dengan pengakuan Puan Mariam itu. Namun dengan perlahan, dia mula tersenyum.

Mummy ni! Sebab mummylah Ian hampir-hampir jadi gila, tau! Takut Ina ni terlepas ke tangan si Ilyas tu. Sampai hati mummy buat Ian macam tu…”

Puan Mariam ketawa senang. Qistina masih terpinga-pinga di situ. Tiba-tiba meragui keikhlasan Dr. Ilyas Khan dalam menjalinkan ikatan persahabatan dengannya. Sekiranya tidak diminta Puan Mariam, adakah Dr. Ilyas Khan masih sudi berkawan dengannya?

“Ina, kenapa sayang?” soal Puan Mariam apabila melihat riak wajah Qistina yang sedikit berubah.

Qistina menggelengkan kepalanya. Ini persoalan yang boleh ditanyakan secara terus kepada Dr. Ilyas Khan nanti. “Takde apa-apa mummy.

“Jom. Masa untuk melayani tetamu kita,” ajak Puan Mariam. Qistina dan Ian Iskandar bingkas bangun daripada kedudukan mereka. Ian Iskandar menolak kerusi roda Puan Mariam menuju ke ruang tamu.

Tidak ramai tetamu yang hadir. Hanya saudara terdekat serta kenalan yang rapat sahaja. Namun kelibat jururawat Natalie Brown tidak kelihatan. Qistina difahamkan dia telah pun meletakkan jawatannya pada hari Jumaat yang baru lalu dan mulai hari Isnin nanti, jururawat lain pula akan mula bertugas. Qistina mengesyaki Natalie Brown meletakkan jawatannya kerana tidak sanggup melihat Ian Iskandar menjadi suami kepada Qistina. Namun kerana Natalie Brown tidak pernah mahu bertegur sapa, apatah lagi berbual dengannya, maka sukar untuk Qistina menanyakan sebab mengapa dia meletakkan jawatannya sebagai jururawat peribadi Puan Mariam.

Iman Elena memperkenalkan Qistina kepada saudara mara sebelah ibunya yang begitu mesra dan ramah menerima kehadiran Qistina dalam keluarga Puan Mariam. Ian Iskandar hanya memerhati dari jauh, sambil melayan para tetamu yang hadir. Qistina sempat juga berbual dengan rakan sekelasnya dari universiti, Keith Anderson, yang ditemuinya di luar Restoran Teratai, pada malam Ian Iskandar melamar Qistina buat pertama kalinya. Seronok Qistina mendengar cerita Keith Anderson tentang perkembangan rakan-rakan mereka ketika di universiti dulu.

Tidak lama selepas itu, Ian Iskandar melihat Qistina menghampiri Dr. Ilyas Khan. Wajah Qistina kini berubah serius. Ian Iskandar tidak dapat mendengar apa yang dibualkan mereka.

“Ilyas, madam told me about her plan to get Ian and me together, and apparently you were also involved in it?” perlahan suara Qistina bertanya. Dia mahu mendengar daripada Dr. Ilyas Khan sendiri tentang kemusykilan yang melanda hatinya.

Dr. Ilyas Khan tersengih meleret. Keningnya dijongket-jongketkan.

“Hmmm…the plan worked, didn’t it?” Dr. Ilyas Khan melihat wajah Qistina yang masih serius dan pantas menelan senyumannya. “What’s wrong, Qistina? Why the long face? You should be happy, no?” Risau dia melihat Qistina begitu.

So, it was all a plan? You never really wanted to be friends with me?” Qistina meluahkan keraguan hatinya. Dr. Ilyas Khan tersentak. Dia pantas menidakkan kata-kata Qistina itu.

“Qistina, you know that’s not true! Yes, I asked you out because madam wanted me to but I didn’t know we would get along so well! You have to believe me. I’m so glad to have known you and call you my friend!” Bersungguh-sungguh Dr. Ilyas Khan cuba meyakinkan Qistina. Qistina telah menjadi rakannya yang sangat baik dan dia tidak sanggup kehilangan Qistina sebagai temannya.

Qistina masih merasa ragu-ragu. Hari ini sahaja, sudah dua kejutan diterimanya. Satu mengenai nama penuh Ian Iskandar dan keduanya pula, tentang rancangan Puan Mariam yang melibatkan Dr. Ilyas Khan. Dia benar-benar keliru.

Dr. Ilyas Khan yang melihat Qistina masih diam beria-ia memperdengarkan penjelasannya kepada Qistina. Lama-kelamaan hati Qistina mula mempercayai ketulusan dan keikhlasan Dr. Ilyas Khan dalam menghulurkan salam persahabatan kepadanya. Tiada ragu-ragu lagi. Lega Dr. Ilyas Khan.

Selama dua jam yang berikutnya, Qistina dan Ian Iskandar melayan para tetamu sehinggalah tetamu yang terakhir meninggalkan rumah itu.

Di fikiran Qistina, kini tinggal satu lagi kejutan yang masih perlu diselesaikan. Qistina tidak akan berasa puas selagi segala persoalannya ketika di dalam masjid tadi belum berjawab.

Qistina memeluk Iman Elena ketika meminta diri untuk naik ke atas. Kakinya terasa sangat lenguh kerana berdiri untuk sekian lamanya hari ini. Dia mahu berehat sebentar. Dia mengucapkan terima kasih dengan setulus hatinya atas segala pertolongan Iman Elena bagi menjayakan majlis hari ini. Iman Elena terharu mendengar kata-kata Qistina. Dia membalas pelukan kakak iparnya itu.

Seperti biasa, Qistina menyalami dan mencium tangan Puan Mariam. Dan dengan lemah Qistina menaiki tangga untuk memasuki bilik tidurnya. Bunyi loceng pintu yang menandakan kehadiran seseorang di luar rumah tidak dihiraukannya. Dia perlukan masa untuk bersendirian seketika.

Pintu biliknya dibuka. Qistina terlopong. Matanya liar memerhatikan keadaan biliknya yang kembali kepada keadaan asal ketika mula menjejakkan kaki ke dalam bilik ini dahulu. Barang-barangnya di atas meja solek semua tiada. Tangannya membuka almari dan sehelai bajunya pun tiada di dalamnya. Matanya melilau mencari BlackBerry yang diletakkan di atas meja kecil di tepi katil. Pun tiada!

Qistina terpinga-pinga sendirian. Mana pergi semua barangannya?

“Apa Ina buat kat dalam bilik ni?” Qistina pantas memalingkan tubuhnya apabila mendengar suara Ian Iskandar agak hampir di belakangnya. Entah bila suaminya muncul pun dia tidak tahu. Langsung tidak menyedari dirinya diekori. Ian Iskandar berjalan merapati Qistina di tengah-tengah bilik.

“Mana pergi barang Ina semua?” Soalan Ian Iskandar dijawab dengan soalannya sendiri. Mata Qistina masih meliar memandang ke sekelilingnya.

Ian Iskandar tersenyum. Tampan betul apabila lelaki itu senyum begitu. Qistina mula merasa tidak tentu arah.

“Kat dalam bilik Inalah…” jawab Ian Iskandar meleret.

Dahi Qistina berkerut. “Yelah…patutnya dalam bilik Inalah ni…tapi kenapa takde pulak?” Qistina masih belum mengerti sepenuhnya maksud di sebalik kata-kata Ian Iskandar tadi.

Ian Iskandar mengusap pipi isterinya itu. Kini dia bebas melakukan segala kehendak hatinya tanpa perlu berfikir panjang lagi. Qistina adalah halal di sisinya. Qistina menarik nafas. Sentuhan lembut di pipinya membuat dirinya rasa disayangi. Dia membiarkan sahaja Ian Iskandar mengusap dan membelai pipinya. Dia suka, walaupun degupan jantungnya sudah mula memecut laju!

‘Hai! Tak faham lagi isteri aku ni rupanya…’

“Bilik Ina bukan di sini lagilah, sayang! Bilik Ina, bilik Ian…bilik kita! Mestilah barang Ina semua dah masuk dalam bilik kita! Naseem yang alihkan masa kita kat masjid tadi…Emm, bilik Ian lagi besar daripada bilik Ina ni…jadi Ian rasa kita berdua akan lagi selesa kat sana…”

Qistina terkedu lalu terus tunduk. Malu dia dengan kebodohan sendiri. Dan malu mendengar Ian Iskandar memanggilnya ‘sayang’ untuk kali kedua dalam sejarah perkenalan mereka. Ian Iskandar menongkat dagu Qistina agar bertentangan mata dengannya. Wajah Qistina yang semakin memerah ditatap dengan penuh rasa kasih. Tentunya isterinya itu berasa malu kerana perlu berkongsi bilik dengannya mulai dari hari ini.

“Ina nak cari apa dalam bilik ni?” Suara Ian Iskandar masih lembut.

“Err…Ina cari BlackBerry Ina. Nak tengok kalau-kalau ada mesej daripada Timah je…”

“Daripada Timah ke daripada Khairul?” Ian Iskandar menduga.

Qistina menjeling suaminya itu. ‘Tak habis-habis dengan sifat cemburunya tu.’

“Daripada Timahlah…takde maknanya Ina nak dapat mesej daripada abang Khairul.”

Ian Iskandar tersenyum puas walaupun tidak berapa suka dengan panggilan ‘abang’ yang digunakan untuk si Khairul itu. “BlackBerry Ina ada kat dalam bilik kita. Tapi, boleh tak Ina check kejap lagi? Sekarang ni, ada orang nak jumpa Ina kat bawah. Kita turun, ya?”

Qistina mengangguk. “Ada tetamu lagi ke?”

Hmmm…ni tetamu istimewa…” 

“Tetamu istimewa?”

Ha’ah. Ina, kalau Ina suka dengan tetamu ni, saya nak hadiah!” Ian Iskandar tersenyum kecil.

Qistina mengerutkan dahinya. “Hadiah? Hadiah apa?”

“Sesuatu yang dah lama saya nak sangat daripada Ina sejak dulu lagi.” Redup pandangan mata Ian Iskandar.

Qistina membalas pandangan Ian Iskandar dan cuba memahami maksud daripada kata-kata Ian Iskandar. Qistina tertanya-tanya sendiri di dalam hati. ‘Apa yang dia nak sebenarnya ni? Adakah dia maksudkan malam pertama mereka?’ Qistina mula merasa cuak dan sangat-sangat malu. Terus dia tunduk.

Ian Iskandar ketawa kecil melihat reaksi Qistina. Dia merapati Qistina dan berbisik ke telinganya, “I meant a kiss from you, sayang…Ina fikir apa?” Ian Iskandar tidak habis-habis mengusik isterinya.

Terus Qistina melangut dan memandang Ian Iskandar yang masih dengan senyuman nakalnya. Tanpa berfikir, laju sahaja tangan Qistina mencubit perut Ian Iskandar. Wajahnya semakin terbakar. Panas dirasakannya!

‘Pandai dia nak usik aku, ya? Bukan main lagi…’

Tawa Ian Iskandar terletus. Dibawanya Qistina merapati tubuhnya dan dipeluknya kejap. Qistina terkesima berada dalam pelukan suaminya buat pertama kali. Hangat dakapan lelaki itu. Sehangat asmara yang dirasakan sedang membara di dalam sanubarinya. Qistina mengangkat tangan dan merangkul pinggang Ian Iskandar, sekali gus membalas pelukan suaminya.

Untuk seketika, Qistina melabuhkan pipinya di sebalik jantung suaminya itu. Degupan jantung Ian Iskandar mendamaikan. Sekuntum senyuman terukir di bibir merah Qistina. Ian Iskandar mengucup kepala Qistina yang dibaluti tudung itu. Dia benar-benar bahagia pabila merasakan tangan Qistina melingkari pinggangnya tanda isterinya membalas pelukannya tadi.

Ian Iskandar melepaskan nafasnya dalam-dalam. Matanya dipejam erat. Dieratkan lagi pelukannya seketika sebelum rangkulannya dilepaskan perlahan-lahan. Dia tidak dapat menolak keinginannya untuk mencium dahi dan kedua belah pipi isterinya itu. Akhirnya, tangan Qistina digenggam kemas.

“Jom, ada orang nak jumpa Ina kat bawah …” Ajak Ian Iskandar. Dia takut dia tidak dapat menahan gelora hatinya sekiranya mereka berdua berterusan berpelukan begini.

Qistina mengekori langkah Ian Iskandar menuruni anak tangga sehingga ke muka pintu ruang tamu. Melihat seorang wanita berjubah hitam berdiri membelakanginya, Qistina terus memberikan salam. “Assalamualaikum!”


4 comments:

  1. I love your book! Keep it up! Worth every single ringgit that i spend...love your style.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you Norzalina Sulaiman...Alhamdulillah...I'm so glad you enjoyed DBI...

      Delete
  2. best cerita ni...tahniah sis!!!! saya suka :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Norbaity, kerana sudi memilih DBI!!! Really appreciate it :)

      Delete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....