Monday, 3 November 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 18

BAB 18

“Kau pasti pompuan yang kau nampak tu Sarah?” Farid bertanya kepada sahabatnya Badrul.

“Aku taklah pasti sangat sebab pompuan tu pakai spec hitam. Lepas tu bertudung litup dan berjubah pulak tu…Tapi masa aku jalan melintasi dia kat KLIA tadi, dia tengah cakap dalam telefon. Suara dia macam suara Sarah!” Badrul menjeling ke arah Farid yang duduk bertentangan dengannya di atas sofa. Sudah beberapa hari Farid menumpang dan bersembunyi di kondonya. Semuanya gara-gara takut ditangkap polis atau paling ditakutinya, daddynya serta papa mentuanya.

“Aku tak rasa tu Sarah…” Farid memberikan pandangan. “Takpe…nanti aku akan jumpa jugak dengan dia…dia takkan boleh lari daripada aku!” dengus Farid.

Badrul memandang Farid. “Kenapa kau belasah dia teruk sangat macam tu? Apa dia buat kat kau?” sedikit marah nada suara Badrul. Dia tidak mengerti bagaimana Farid tergamak memukul isterinya sampai begitu sekali. Padahal Sarah Qireena yang dikenalinya seorang yang lembut perwatakannya. Menurut apa sahaja kemahuan Farid. Tidak pernah membantah. Namun, melihat cara Sarah Qireena memandang Farid, terdetik di hatinya yang mengatakan Sarah Qireena sebenarnya takut akan suaminya.

“Ah, tu kau tak payah nak ambik tahulah…Itu antara aku dengan Sarah!” sombong Farid membalas. “Kau tolong pergi beli aku dinner. Aku nak rehat kejap!”

Mencerlung mata Badrul memandang Farid yang telah kembali baring di atas sofa dan menutup matanya. ‘Dahlah menumpang rumah aku! Tau nak memerintah je…Ingat aku ni kuli dia ke apa?’ Namun kata-kata amarah itu hanya mampu diucapkan Badrul di dalam hatinya sahaja. Dia tahu benar perangai Farid. Pemalas! Baran! Hanya cakap Farid sahaja yang betul dan perlu diikuti.

Badrul bangun lalu mencapai kunci keretanya dari atas meja. Belum sempat dia melangkah menghampiri pintu masuk, daun pintu terlebih dahulu telah diketuk dari luar. Tanpa berlengah, Badrul membuka pintu. Terkejut besar dia melihat Tan Sri Ali Saifuddin dan Dato’ Malek berdiri di muka pintu. Dato’ Malek menolak Badrul ke tepi dan melangkah masuk. Marah dia melihat Farid berbaring di atas sofa seolah-olah tiada apa yang terjadi di sekelilingnya.

“Farid!” tempik Dato’ Malek.

Farid tersentak. Suara itu dikenalinya. Matanya dibuka perlahan. Tercengang dia melihat daddy serta papa mentuanya di hadapan mata. Dia langsung duduk dan meraup mukanya. ‘Mimpi ke aku ni?’ Farid segera memalingkan mukanya ke arah Badrul. Sangkanya Badrullah yang telah membocorkan rahsia persembunyiannya selama ini. Tanpa bersuara Badrul menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah dapat meneka tuduhan yang dilemparkan dari anak mata Farid kepadanya.

“Pengecut punya budak! Kat sini kau bersembunyi ya!” getus Dato’ Malek. “Mana Sarah?”

“Mana Farid tahu?” Farid membalas. Takut dia melihat wajah bengis ayahnya itu. Papa mentuanya masih diam tidak bersuara. Setakut-takut dia kepada daddynya, takut lagi dia kepada Tan Sri Ali Saifuddin.

“Hei! Bukan kau ke yang belasah dia separuh mati?! Siapa yang ajar kau pukul pompuan ni hah? Tak malu! Tahu nak malukan daddy dengan mummy je. Apa kau nak cakap pada papa Ali?”

Farid mendongak dan memberanikan diri memandang papa mentuanya. Terus dia merendahkan pandangannya. Tidak sanggup melihat wajah bengis papa mentuanya itu.

“Tu hal rumah tangga Farid. Daddy tak perlu masuk campur! Sarah isteri Farid, hak Farid…takde siapa boleh kacau…”

Dato’ Malek hilang kesabaran yang dibendungnya. Dicekaknya baju di leher Farid dan memaksa Farid berdiri. “Kurang ajar punya budak!” Ditamparnya muka Farid dengan tangan kanannya. Tan Sri Ali Saifuddin tidak menghalang. Sesungguhnya dia ingin melakukan lebih lagi terhadap menantunya itu. Kurang ajar!

Daddy pukul Farid? Daddy tak pernah pukul Farid! Sekarang pasal pompuan tu, daddy sanggup pukul Farid?”

Pompuan tu isteri kamu! Isteri kamu! Patutnya dah lama daddy pukul Farid. Taklah Farid jadi macam sekarang ni…” Dato’ Malek melepaskan dengan kasar pegangannya di baju Farid dan Farid terdorong ke belakang. Marah dan malu Farid dilakukan begitu, terutama sekali di hadapan Badrul yang selama ini begitu menyanjungnya.

“Alaaah…memanglah Sarah tu isteri Farid, tapi dia bukannya pilihan Farid! Daddy dengan papa made a business arrangement! Selama ni Farid anggap papa jual Sarah pada Farid dan daddy jual Farid kepada Sarah so that both of you could make a profit together…jadi Farid boleh buat apa saja pada Sarah…”

Tan Sri Ali Saifuddin terduduk mendengar kata-kata Farid. Dia sudah tidak mendengar lagi jeritan dan hamburan kata-kata kesat Dato’ Malek terhadap Farid. Dia hanya mendengar perkataan ‘jual’ dari mulut kurang ajar menantunya itu.

“Kenapa kau pukul dia?” Tan Sri Ali Saifuddin akhirnya bersuara. Perlahan.

“Hai, suka hati Faridlah!” Pertama kali Farid bersifat kurang ajar terhadap papa mentuanya. Selama ini dia terlalu menggeruni papa Sarah Qireena. Kini kerana ego dan kelelakiannya tercabar, dia berani menjawab begitu kepada pertanyaan Tan Sri Ali Saifuddin tadi.

“Ikut daddy sekarang!” perintah Dato’ Malek.

“Pergi mana? Farid nak duduk sinilah…” bidas Farid.

“Jangan degil. Kalau degil, daddy panggil polis!” Dato’ Farid hanya mengugut. Tidak sesekali dia akan menyerahkan anak lelaki tunggalnya itu kepada pihak polis. Farid bakal mewarisi harta dan perniagaannya. Anak-anak perempuannya yang lain tidak meminati bidang perniagaan ini, maka sandarannya hanyalah kepada Farid. Dato Malek’ juga menyedari Tan Sri Ali Saifuddin tidak akan sekali-kali membuat laporan polis. Takut reputasinya akan tercemar dengan berita-berita negatif sebegini.

Dengar sahaja ugutan daddynya itu, Farid mula takut. Dia bangun dan terus keluar dari rumah Badrul. Di muka pintu dia sempat berpesan, “Bad, kau kemas baju aku semua, lepas tu kau hantar kat rumah daddy aku!”

Panas hati Badrul mendengar arahan Farid itu. ‘Mengada-ada betul! Sikit ucapan terima kasih pun takde!’

“Ali, aku minta maaf. Farid tak pernah kurang ajar macam ni…Aku tak tau mana silapnya. Biar aku bawak dia balik dulu. Kalau ada apa-apa, aku akan call…” Dato’ Malek memegang bahu Tan Sri Ali Saifuddin. Malu betul dia dengan kelakuan Farid sebentar tadi.

Tan Sri Ali Saifuddin hanya mengangguk. Hatinya masih panas mendengar kata-kata Farid mengenai Sarah Qireena. Dia tahu bagaimana hendak mengajar menantunya itu. Hanya kerana dia tidak melaporkan perkara ini kepada pihak polis, tidak bermaksud dia akan melepaskan Farid begitu sahaja. Dia hanya menunggu masa. Yang paling utama, Sarah Qireena mesti dicari dahulu. Bagaimana pula dengan Sofiah Qistina? Tan Sri Ali Saifuddin mengeluh…Dia benar-benar buntu!

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....