Saturday, 1 November 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 17




BAB 17

Keesokan paginya, Iman Elena mengetuk pintu bilik Qistina. Di tangannya, sehelai baju kurung moden berwarna putih untuk dipadankan ke tubuh kecil Qistina. Setelah pintu dibuka, Iman Elena pantas masuk dan memaksa Qistina mencuba baju nikah yang telah ditempah Ian Iskandar khas untuknya.

Qistina tergamam melihat kerja tangan yang begitu halus dan indah di matanya. “Ian tempah ni untuk Ina?” tanyanya tidak percaya sambil tangannya melurut-lurut di atas kain satin yang terasa begitu lembut di kulitnya.

“Cantiknya baju ni, Iman…jahitan manik-manik kat baju ni begitu kemas…cepatnya siap!!” Qistina berterima kasih kepada si tukang jahit di dalam hati atas kerja tangan yang amat memuaskan hatinya.

Atas desakan Iman Elena, Qistina mencuba baju pengantin yang bakal dikenakan hari Ahad ini. Cukup padan dan sempurna di tubuhnya. “Macam mana Ian tahu ukuran baju ni, Iman? Elok-elok je muat.”

Iman Elena masih membisu. Matanya tidak putus-putus melihat Qistina yang begitu sempurna mengenakan persalinan nikahnya. Walaupun tanpa solekan, Qistina kelihatan sangat ayu dan jelita di matanya. Tidak sabar dia hendak melihat reaksi Ian Iskandar ketika melihat Qistina mengenakan persalinan ini nanti.

“Dia curi baju Ina untuk dapatkan ukuran!” Iman Elena membocorkan rahsia Ian Iskandar, sambil tergelak kecil. “Ina, hari ni mummy bagi cuti kat Ina. Ina ikut Iman pergi shopping tau. Banyak barang yang kita nak kena beli ni…Ina ikut, ya?”

“Tapi…Ian bagi ke Ina cuti?”

“Bagi…Iman dah tanya sejak semalam lagi, so tak payah risau. Abang dah setuju nak jaga Daniel masa kita keluar nanti. Sekarang jom turun breakfast dengan mummy. Lepas tu dalam pukul 10.00 kita keluar.”

Sakan betul Iman Elena membeli-belah. Namun kebanyakan barangan yang dibeli adalah untuk Qistina. Kasut, untuk dipadankan dengan persalinan akad nikah nanti, beg tangan, inai, alat-alat solek dan minyak wangi. Ketika Iman Elena menarik tangan Qistina masuk ke dalam kedai yang menjual pakaian-pakaian dalam wanita, Qistina mula berasa segan. Iman Elena meminta Qistina memilih beberapa helai gaun baju tidur. Qistina agak keberatan pada mulanya. Bukannya dia tidak biasa mengenakan gaun baju tidur yang jarang serta seksi begitu. Memang itulah cara dia berpakaian untuk tidur ketika bersendirian di rumah sewanya di London dulu, dan juga ketika berada di rumah papanya di Kuala Lumpur.

Namun kali ini, dia tahu niat Iman Elena adalah untuk dia mengenakan gaun tidur itu selepas berkahwin dengan Ian Iskandar nanti. Dia malu! Sungguh malu! Iman Elena terpaksa memujuk dan memujuk…Wajah Qistina yang kemerahan menggambarkan yang gadis itu berasa malu dan segan dengan gaun-gaun tidur yang telah dipilih Iman Elena untuknya. Akhirnya, tanpa menanti kata persetujuan daripada Qistina, Iman Elena terus membuat bayaran di kaunter. Beg plastik diserahkan kepada Qistina.

“Ina, hati suami kena pandai jaga. Kita tak nak suami kita tengok kat perempuan lain kan? Jadi, isteri kena pandai ambil hati suami dan salah satu caranya ialah sentiasa kelihatan menggoda di mata suami kita. Hal-hal di dalam bilik tidur kena jaga. Ina tak perlu rasa malu. Abang tu akan jadi suami Ina pun. Semua pada Ina akan jadi halal pada mata abang nanti. Tiada batasan antara suami isteri ni. Percayalah, okey!”

“Tapi Ina malulah, Iman. Selama ni, Ina tidur sorang-sorang je pakai gaun yang macam tu…”

“Mula-mula memanglah malu. Tapi, malam pertama adalah malam yang akan kita kenang seumur hidup kita, tau. Ina mesti nak malam tu malam yang istimewa kan? Bukan saja untuk Ina, tapi untuk suami jugak.” Tanpa segan silu Iman Elena berkongsi ilmu rumah tangga serta pesanan dengan Qistina.

Iman Elena menarik tangan Qistina masuk ke dalam kafe Starbucks untuk berehat dan minum sebentar. Minuman Mocca Frappuchino melegakan tekak yang panas serta kekeringan.

“Iman tengok abang tu dah kemaruk sangat dengan Ina. Iman tak pernah tengok abang macam ni…” Iman Elena kembali bersuara selepas minuman diteguk sepuasnya.

“Ian dulu orangnya macam mana, Iman?” Qistina ingin sangat mengenali diri Ian Iskandar sebelum dia bertemu dengan lelaki itu.

“Abang ni dari dulu orangnya serius. Tegas. Bertanggungjawab. Dialah yang menjaga mummy dan Iman. Abang terpaksa menjadi dewasa pada umurnya baru menjangkau sepuluh tahun. Masa tu mummy bercerai dengan daddy. Ia bukannya mudah untuk kami. Sampailah abang menjadi remaja dan kemudian dewasa, dia tak pernah bukakan hati dia untuk mana-mana perempuan. Bukannya dia tak laku. Berduyun-duyun perempuan cuba nak pikat dan goda dia. Tapi dia tak pernah layan…dia sentiasa cool je…hati dia macam tertutup…” Iman Elena melepaskan keluhan.

“Iman rasa mungkin abang takut nak jatuh cinta sebab dia dan Iman sama-sama lihat depan mata kita sendiri penderitaan yang mummy tanggung semasa bercerai dengan daddy. Tapi Ina berjaya membuka hati abang. Iman tak pernah tengok abang macam ni.”

Qistina tekun mendengar kata-kata Iman Elena. Sedih dia mendengar cerita tentang latar belakang kehidupan keluarga Ian Iskandar.

“Kenapa mummy dan daddy bercerai, Iman?”

Iman Elena mengeluh. “Daddy seorang ahli perniagaan yang sangat berjaya. Masa mula-mula kahwin dengan mummy diaorang bahagia. Sangat bahagia! Lepas tu daddy mula berubah. Jarang balik rumah. Mula abaikan tanggungjawab pada keluarga. Rupanya daddy ada perempuan lain. Dengan salah seorang aktres terkenal pada masa tu. Daddy kahwin dengan perempuan tu, tanpa pengetahuan mummy. Rupanya, dah lama daddy kahwin lain dan selama ni, daddy tipu mummy! Tapi daddy tak adil. Dia lebihkan famili baru dia, terutama sekali anaknya dengan perempuan tu!” Suara Iman Elena melirih. Tanpa disedari Qistina menggenggam tangan Iman Elena di atas meja.

“Ina patut tengok keadaan abang masa tu! Lepas mummy dapat tau pasal daddy dan famili barunya, mummy terseksa sangat. Abang pun suffered. Dia tak cakap pada Iman tapi Iman rasa abang anggap dirinya seorang yang tak berguna di mata daddy. Daddy lebih utamakan anak lelaki barunya berbanding abang. Selepas mummy dan daddy bercerai, daddy langsung tak kisahkan kita orang. Syukur mummy dapat banyak haknya daripada daddy. Bolehlah kita orang hidup. Abang dan Iman dapat study sampai ke UK.”

Mata Qistina mula berkaca tatkala Iman Elena menceritakan kesengsaraan yang ditanggung Ian Iskandar ketika usia yang masih boleh dianggap terlalu mentah. Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa membesar tanpa kasih sayang dan perhatian daripada seorang bapa, yang lebih mengutamakan seorang anak lelakinya yang lain.

“Kenapa mummy tak balik ke London lepas perceraian tu?”

Mummy masih bekerja kat kedutaan masa tu. Lagipun mummy dah terlalu cintakan agama Islam dan nak abang dan Iman sama-sama mendalami Islam. Mummy rasa kalau kita pindah balik ke UK, abang dan Iman takkan praktikkan agama Islam tu. Jadi dia terus tinggal di KL.”

“Iman tahu tak, banyak yang Ina tak tau pasal Ian. Dia langsung tak pernah ceritakan pasal ni pada Ina…Ina pun tak tahu macam mana Ina boleh setuju nak kahwin dengan dia, atas dasar perasaan dan kata hati semata-mata…” Qistina meluahkan kegelisahannya pada Iman Elena. Mengharapkan pengertian bakal iparnya itu.

“Ina rasa macam ada banyak lagi yang Ian tak cerita pada Ina.”

Iman Elena tersentak. Namun pantas menyembunyikan riak wajahnya yang sedikit berubah sebentar tadi. Sememangnya memang ada rahsia yang disimpan Ian Iskandar daripada gadis ini. Tetapi biarlah Ian Iskandar sendiri yang mendedahkannya nanti.

“Ina, kadang-kadang kalau perasaan kita dan hati kita dah pasti, benda lain tu akan jadi kurang pentingnya…yang penting, Ina kena sentiasa percayakan abang, percaya yang apa yang abang buat semuanya demi Ina…takde orang lain di hati abang melainkan Ina…ingat tu!!”

Qistina memandang Iman Elena. Dia seolah-olah dapat meneka yang Iman Elena sedang cuba perkatakan sesuatu kepadanya. “Apa maksud Iman?”

“Perkahwinan ni kena banyak give and take…sebagai seorang isteri, banyak yang kita kena bersabar, banyak yang kita kadang-kadang terpaksa telan…tapi kita kena saling percaya-mempercayai, selalu berkomunikasi dan kasih sayang tu sentiasa kena pupuk…kadang-kadang sesuatu akan terjadi tanpa disedari atau tanpa kita sangka…Ina sentiasa kena bersedia tentang segala kemungkinan…”

Qistina semakin keliru. Apakah maksud di sebalik pesanan-pesanan Iman Elena itu?

“Ina ada buat solat Istikharah?”

Qistina mengangguk.

“Ada mimpi abang?”

“Entahlah Iman. Mimpi tu tak berapa jelas tapi yang jelas hati Ina…dan perasaan Ina pada Ian semakin hari semakin kuat…”

Iman Elena tersenyum.

“Kadang-kadang tak semua solat Istikharah ni akan datang petunjuk melalui mimpi kan? Kadang-kadang dari dorongan hati kita sendiri…” Iman Elena perasan wajah Qistina yang kini terlalu serius.

“Ina, dahlah…Iman yakin Ina dan abang akan bahagia…Ina betul-betul cintakan abang? Sanggup buat apa saja untuk dia?” Iman Elena sekadar menduga. Walhal jawapannya sudah terang lagi bersuluh di hadapannya.

Qistina mengangguk laju. “Pelik kan?”

“Apa yang peliknya?” Iman Elena tertawa kecil.

“Yalah…Ian tu kan majikan Ina. Lepas tu dia tu selalu tegas je dengan Ina…selalu nak marah-marah je…tak sangka dengan orang macam tu pun Ina boleh jatuh cinta…” Qistina dan Iman Elena sama-sama ketawa. “Betullah orang kata cinta tu buta…”

“Entah-entah abang tu asyik marah Ina sebab dia cemburu kot…cemburu kan Dr. Ilyas mungkin?” Iman Elena meneka. Teringat dia segala cerita Puan Mariam kepadanya melalui telefon saban hari.

“Hmmm…dengan Dr. Ilyas, Ina tau Ian cemburu…tengok orang macam nak makan je…” Qistina tergelak semula mengenangkan reaksi-reaksi Ian Iskandar ketika dia menyangkakan Qistina menjalinkan hubungan dengan Dr. Ilyas Khan. Diceritakan serba sedikit tentang kelakuan Ian Iskandar kepada Iman Elena.

Hampir dua jam mereka berbual dan beramah mesra. Mereka begitu selesa bersama. Iman Elena yang tidak pernah mempunyai sama ada adik perempuan atau pun seorang kakak, menyenangi peribadi Qistina dan mula menyayangi gadis itu, gadis yang kini bertakhta di hati abang kembarnya. Qistina begitu merendah diri dan begitu menghormati dirinya. Sukar untuk dipercayai yang gadis ini dibesarkan dengan harta yang melimpah ruah dan segala kemewahan hidup oleh papa dan mamanya, kerana tiada secalit kesombongan pun yang melekat pada hatinya.

Padanlah abangnya tergesa-gesa mahu menikahi Qistina. Tidak mahu gadis itu jatuh ke tangan orang lain, apatah lagi setelah mendapat tahu sebab utama mengapa Qistina terpaksa meninggalkan negara kelahirannya. Iman Elena tahu Ian Iskandar tidak sabar menantikan hari Ahad ini. Apa pun akan jadi selepas itu, Qistina telah pun menjadi miliknya.





2 comments:

  1. dah boleh dapat kat kedai buku ke

    ReplyDelete
  2. Baby mio, InsyaAllah dah ada. Kat Minerva ada, tapi tak pasti MPH atau Popular dah ada ke tak...

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....