Tuesday, 14 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 9

BAB 9

Sudah lama Qistina tidak merasa gembira, segembira hari ini! Dr. Ilyas Khan seorang yang sangat kelakar. Pecah perut Qistina mendengar cerita-cerita sejarah palsu yang direka doktor muda ini tatkala dia dibawa ke beberapa tempat bersejarah di kota London. Qistina sudah pun mengetahui sejarah sebenar tempat-tempat yang dibawa Dr. Ilyas Khan, jadi gurauan doktor itu benar-benar menghiburkan hatinya.

Sekali-sekala dia akan cuba membetulkan fakta sejarah yang dibentangkan Dr. Ilyas Khan dan mereka akan ‘bergaduh’ sambil ketawa. Rindu Qistina mendengar gelak tawanya sendiri. Jangan harap dia boleh terketawa sebegitu jika orang di sebelahnya ialah Ian Iskandar. ‘Hesy! Kenapa aku boleh fikir pasal mamat tu sekarang ni pulak?’ Walaupun jasadnya bersama Dr. Ilyas Khan, namun ingatannya masih melayang kepada Ian Iskandar!

So, how long do you intend to hide the fact that you are actually an intelligent girl?” Dr. Ilyas Khan bertanya. Hujah-hujah yang diberikan Qistina ketika membetulkan fakta sejarah negara England tadi menyerlahkan tahap kepintaran gadis itu.

Qistina yang pada mulanya tersentak dengan soalan Dr. Ilyas Khan pantas menyembunyikan riak terkejutnya dan mula tersenyum.

Well, I never pretended to be stupid!!”

Tawa Dr. Ilyas Khan terletus kuat. Seronok dia meluangkan masa bersama gadis ini. Gadis ini amat istimewa. Dia berasa amat selesa dengan Qistina. Jarang dia dapat merasakan keselesaan yang begitu cepat pabila bersama dengan seorang yang baru dikenali seperti ini. Selalunya keserasian dan keselesaan bersama rakan baharu akan mengambil masa untuk dikembangkan. Lain pula kali ini.

So where did you study?”

“LSE,” jawab Qistina sepatah.

Kening Dr. Ilyas Khan terjungkit ke atas. “Wow! I’m impressed!” Terbukti Qistina bukan calang-calang orang.

Qistina tersipu. Entah mengapa dia begitu selesa berbual-bual dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun hanya tiga jam mereka meluangkan masa bersama. Dengan ketiadaan Timah, dia memerlukan seorang teman untuk meluangkan masa bersama. Dia nampak keikhlasan daripada sinar mata dan isyarat tubuh Dr. Ilyas Khan.

Mereka kini duduk sambil minum kopi di kafé berhampiran Tower of London. Seperti yang dipinta Dr. Ilyas Khan, Qistina kini sibuk menceritakan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di Malaysia memandangkan Dr. Ilyas Khan tidak pernah bercuti ke Malaysia. Sedang Qistina asyik bercerita, dia terperasan riak wajah Dr. Ilyas Khan yang berubah menjadi terkejut dan sedikit tegang. Matanya tertumpu ke suatu arah.

Qistina terdiam dan matanya turut terkalih ke arah pandangan mata Dr. Ilyas Khan. Dia melihat seorang gadis tinggi lampai berbangsa Pakistan sedang berposing sambil memaut lengan seorang lelaki berkulit putih. Gambar mereka diambil. Mereka kemudian berlalu dari situ, tanpa menyedari panahan mata Dr. Ilyas Khan. Qistina kembali memandang Dr. Ilyas Khan.

“Ilyas, is something wrong?” barulah kini Qistina selesa memanggil Dr. Ilyas Khan dengan nama Ilyas sahaja.

Wajah Dr. Ilyas Khan masih tegang. Kini berbaur sedih.

Someone you know?” Qistina bertanya lagi.

My ex-fiancee…” perlahan Dr. Ilyas Khan bersuara.

Qistina kini mengerti. Gadis yang direnungnya tadi adalah bekas tunangnya. Sungguh tidak disangka. Dr. Ilyas Khan begitu ceria, begitu murah dengan senyuman, sarat dengan tawa dan jenaka, namun rupanya di dalam hati, ada luka yang amat dalam. Mungkin masih berdarah…

I’m sorry…” Qistina mengucapkan kata simpatinya.

Dr. Ilyas Khan memandang wajah Qistina yang kini suram. Terharu dia dengan kesedihan yang dipancarkan Qistina bagi pihaknya. “Hey, these things happen…” Dr. Ilyas Khan menantikan Qistina menanyakan lebih lanjut lagi tentang kisah cintanya, kerana bukankah sifat semula jadi seorang perempuan begitu? Sentiasa ingin tahu. Sudah ramai kawan-kawan wanitanya bertanyakan tentang hal dirinya dan bekas tunangnya. Dia pasti Qistina juga mempunyai sifat ingin tahu seperti perempuan lain.

Namun Qistina masih diam. Air kopi dihirup perlahan. Dr. Ilyas Khan masih menunggu. Apabila Qistina masih tidak menunjukkan tanda-tanda ingin bertanya, Dr. Ilyas Khan merasa hairan. Ternyata Qistina lain daripada perempuan lain. Gadis ini amat menghormati ruang peribadinya.

Aren’t you going to ask me what happened?”

Qistina memandang Dr. Ilyas Khan. Kenapa soalan itu ditanya dengan nada suara yang begitu pelik sekali? ‘Salahkah aku kerana tidak bertanya?’

It’s really none of my business. But if you want to let it out and share with me the details, I’m all ears…”

Dr. Ilyas Khan tersenyum. Senang dia dengan jawapan Qistina. Tanpa berlengah, dia memulakan ceritanya tentang cintanya yang tidak kesampaian dengan gadis bernama Dr. Fatma Ali. Bagaimana mereka telah ditunangkan sejak kecil lagi, atas arahan dan demi menurut tradisi keluarga, namun cinta yang mula berputik antara mereka ketika zaman persekolahan membuatkan impian keluarga mereka untuk melihat mereka bersatu, menjadi semakin manis dan bermakna.

Enam bulan yang lalu, Dr. Fatma Ali telah jatuh cinta dengan seorang lelaki berbangsa Scottish dan nekad memutuskan pertunangan dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun ditentang keras keluarganya. Ternyata daripada cara renungan Dr. Ilyas Khan kepada bekas tunangnya tadi, dia masih mencintai wanita itu.

You still love her don’t you?” Qistina meneka.

I’ve loved her for so long, I don’t know how not to love her!” Begitu jujur Dr. Ilyas Khan melahirkan perasaannya.

She’s a very stupid woman!” kritikan yang diberikan Qistina dibuat secara bersahaja dengan senyuman di bibir. “Well, she is if she can’t appreciate your love for her! Don’t worry! One day she’ll come crawling back to you on her hands and knees! Mark my words!”

Dr. Ilyas Khan ketawa besar. Ketegangan di wajahnya terus hilang. Pandai Qistina memujuk dan mengambil hatinya. “Qistina, I don’t know why but it’s so easy to talk to you! I hope we can be good friends.” Ikhlas Dr. Ilyas Khan menyuarakan hasrat di hati.

Qistina tersenyum. Dia juga merasakan keserasian dengan Dr. Ilyas Khan. “I’d like that very much! Mereka saling berpandangan. Dan pada saat itu, terjalinlah ikatan persahabatan yang tulus antara Dr. Ilyas Khan dengan Sofiah Qistina Tan Sri Ali Saifuddin.

Hari sudah lewat. Sudah menganjak ke waktu Maghrib ketika Dr. Ilyas Khan menurunkan Qistina di hadapan rumah Puan Mariam. Syukur mereka sempat bersolat Asar, walaupun lewat, ketika menikmati makan malam di sebuah restoran Arab di Edgware Road tadi. Hai, nasib baiklah musim panas. Waktu Asar begitu panjang.

Dr. Ilyas Khan turun dari kereta dan berjalan mengiringi Qistina ke pintu. Kunci pintu dikeluarkan dari tas tangan. Pintu dikuakkan sedikit. “Thanks, Ilyas. I really had a fun time today!”

Dr. Ilyas Khan tersenyum. “Me too! I’ll see you tomorrow, okay?”

Qistina mengangguk. Esok banyak lagi tempat yang ingin dibawa Dr. Ilyas Khan, walaupun Dr. Ilyas Khan tahu Qistina telah pun melawat semua tempat yang dirancangkan Dr. Ilyas Khan itu. Alasan Dr. Ilyas Khan hanyalah kerana Qistina tidak pernah melawat tempat-tempat itu bersamanya. Dengan orang lain, itu tidak dianggap sama.

Qistina masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu. Dia berlari-lari anak meniti anak tangga naik ke atas. Girang rasa di hati. Ketika berada pada anak tangga yang paling akhir, dia terlanggar sesuatu objek yang solid dan keras. Dia terkejut dan hampir menjerit. Tubuhnya melayang dan terdorong ke belakang. Sekiranya objek itu tidak memaut pinggangnya, dia pasti akan jatuh tergolek ke bawah semula. Spontan Qistina memaut objek yang menyambarnya. Qistina melangut. Matanya bertaut dengan sepasang mata biru yang sedang merenungnya tajam. Tangan Qistina masih memaut lengan Ian Iskandar. Takut dirinya terpelanting ke belakang sebentar tadi.

Jantungnya berdegup kencang. Hatinya berdebar-debar. Nafasnya turun naik akibat kejutan ekoran perlanggaran tadi. Dengan tangan masih di pinggang Qistina, Ian Iskandar menarik Qistina naik satu anak tangga agar berdiri teguh di atas lantai. Untuk seketika, tubuh mereka begitu rapat sekali. Tangannya kini berkalih dari pinggang ke lengan Qistina. Qistina menelan liur. “Maaf, Encik. Saya tak nampak Encik kat situ tadi…” Qistina ingin menarik lengannya daripada cengkaman Ian Iskandar tetapi lelaki itu mengeratkan lagi pautannya.

Qistina memandang Ian Iskandar. Dahinya berkerut. Panahan mata Ian Iskandar membuat dia rasa gelisah. ‘Kenapa dia tengok aku macam tu? Boleh pengsan kalau dia berterusan tenung aku macam ni!’

“Awak pergi mana, hah? Sampai lewat macam ni baru ingat nak balik!!”

‘Amboi! Papa dan mama aku pun tak pernah kisah aku nak balik pukul berapa. Apahal pulak mamat ni bising-bising macam ni?’

“Encik, tolong lepaskan tangan saya…” Qistina tidak selesa dengan perlakuan Ian Iskandar. Lambat-lambat Ian Iskandar menurut.

“Awak masih belum jawab soalan saya, Qistina!” bentak Ian Iskandar. Mana dia tidak marah, sejak petang tadi dia menunggu kepulangan Qistina. Niat ingin makan malam bersamanya. Apatah lagi tiga hari tidak dapat meluangkan masa untuk makan malam bersama dengan gadis itu, gara-gara sikap cemburunya sendiri. Cemburu gadis itu menerima pelawaan Dr. Ilyas Khan untuk berjanji temu. Tengok-tengok dia yang tidak tahan menanggung rindu terhadap gadis itu! ‘Tulah, nak mogok konon!’

Kini gadis itu telah pun pulang. Tetapi lewat sebegini? Sempat telinganya menangkap perbualan antara Dr. Ilyas Khan dengan Qistina sebentar tadi. Tingkap bilik tidurnya, yang terletak betul-betul di atas pintu masuk di tingkat bawah, memang dibiarkan terbuka untuk membenarkan udara masuk ke dalam bilik yang sememangnya sudah hangat. ‘Hesy! Bukan main lagi. Boleh panggil mamat tu dengan nama ‘Ilyas’ saja! Bukan main mesra lagi. Meluat aku! Dahlah nak keluar lagi esok! Tak boleh jadi ni!’

“Encik kan tahu saya keluar dengan Dr. Ilyas. Saya balik lepas makan malam dengan dia.” Qistina mengusap-usap lengannya yang sedikit sakit dicengkam Ian Iskandar tadi.

Apasal balik lambat sangat? Awak tu perempuan, tahu tak?” Ian Iskandar sendiri berasa malu bila mendengar ayat-ayat yang terpacul keluar dari mulutnya. Macam suami cemburu pun ada, macam bapa garang pun ada.

“Encik, saya tahu saya ni perempuan. Hari ni kan hari cuti saya. Jadi tak salah kan saya nak keluar? Lagipun, takde dalam kontrak saya yang menyatakan saya ada curfew!” Berani Qistina menjawab. Sesungguhnya dia tidak suka disergah sebegitu rupa oleh Ian Iskandar. Lelaki di hadapannya ini menunjukkan sifat-sifat cemburu. ‘Betul ke telahan aku ni? Tapi kenapa dia nak cemburu pulak?’

“Berani sangatlah keluar dengan lelaki yang awak tak kenal! Kata tak biasa keluar dengan lelaki!” sindir Ian Iskandar lalu mendengus kuat. Mengungkit apa yang pernah dikatakan Qistina dahulu.

‘Sakit ke mamat ni? Apasal macam nak tersembul je biji mata dia ni? Tahulah mata tu cantik gila, tapi tak payahlah terbeliak macam tu sekali! Hesy!’

“Encik, madam yang cadangkan saya keluar dengan Dr. Ilyas.” Tiba-tiba Qistina mahu menguji. Betul ke Ian Iskandar cemburu? “Tapi saya senang keluar dengan Dr. Ilyas. Dia baik. Tak sabar nak keluar dengan dia esok!”

Mata Ian Iskandar membulat. Wajahnya bertukar merah. Qistina telah bertemu dengan jawapan kepada pertanyaannya sendiri.

“Jangan keluar dengan dia esok!” Ian Iskandar memberi arahan.

Kini mata Qistina pula membulat. “Kenapa pulak?” Pandai-pandai saja si Ian Iskandar ni memberi arahan. Qistina tidak puas hati.

“Sebab saya nak bawak awak pergi satu tempat.” Laju Ian Iskandar memberi cadangan. Cadangan yang baru saja berlegar di fikirannya.

“Tempat apa?” Terpinga-pinga Qistina memandang wajah kacak Ian Iskandar. Terasa seperti berada di hadapan pelakon Hollywood, Hugh Jackman.

“Awak ikut jelah!” Ian Iskandar masih memerintah.

Qistina menggelengkan kepalanya. “Maaf, Encik. Saya dah janji dengan Dr. Ilyas nak keluar dengan dia esok. Saya tak mahu mungkir janji.”

Sebelum Ian Iskandar sempat bersuara, pantas Qistina mencelah. “Encik, saya masuk dulu. Saya tak solat Maghrib lagi. Takut terlepas pulak. Assalamualaikum.” Qistina terus berlalu tanpa menunggu balasan daripada Ian Iskandar. Meninggalkan Ian Iskandar yang masih membara dengan api cemburunya.

Setelah pintu bilik ditutup, Qistina bersandar ke pintu. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Debaran hatinya masih terasa. Jantungnya masih belum kembali normal. Selama tiga hari, Ian Iskandar cuba menjauhkan diri daripadanya. Kini dia di depan mata. Qistina mengenang kembali reaksi tubuhnya ketika berada begitu dekat dengan Ian Iskandar tadi. Tidak pernah dia merasakan perasaan yang begitu huru-hara seperti tadi. Dari mana datangnya keberanian dan ketenangan ketika menjawab setiap kata-kata Ian Iskandar tadi sedangkan dadanya berkocak dengan begitu hebat sekali?

Apa sudah jadi dengan dirinya? Mengapa Ian Iskandar bisa membuat dia tidak tenteram, gelisah, tidak tentu arah, tidak keruan, kelam-kabut dan juga pada masa yang sama, merasa rindu? Sedikit pun dia tidak merasa jijik ketika Ian Iskandar merangkul pinggang serta lengannya tadi. Tidak seperti ketika Remy…Ingatannya kepada peristiwa itu pantas dikaburkan…

Qistina kembali ke alam realiti. Walaupun perasaan mungkin telah lama berputik di hatinya untuk Ian Iskandar, dia mesti kambuskan perasaan itu dalam-dalam. Dia tidak layak untuk Ian Iskandar. Bibir Remy terlebih dahulu telah merampas ciuman pertamanya…tangan Remy terlebih dahulu telah merasmikan tubuhnya. Qistina memejamkan matanya…Dia tidak layak untuk Ian Iskandar…Dia sedar perkara itu tetapi mengapa hatinya terasa ingin menangis? Adakah dia mengharapkan lelaki itu menjadi teman hidupnya? Qistina takut untuk mencari jawapannya.

************

Qistina cuba melupakan Ian Iskandar dan menumpukan perhatian kepada cerita-cerita khayalan Dr. Ilyas Khan. Tetapi bukan mudah. Wajah tegang Ian Iskandar asyik bermain di mata. Panahan mata Ian Iskandar masih berbisa. Kehangatan rangkulan Ian Iskandar di pinggangnya masih terasa. Namun, ketika Dr. Ilyas Khan datang ke rumah Puan Mariam siang tadi, kelibat Ian Iskandar tidak kelihatan. Entah ke mana menghilang.

Qistina pula merasa hairan dengan kelakuan Puan Mariam tadi. Ketika Qistina menjenguk Puan Mariam sebelum kedatangan Dr. Ilyas Khan tadi, Puan Mariam sibuk bertanyakan tentang ‘perbualan’ antara Ian Iskandar dengan Qistina malam tadi. Rupanya suara kuat Ian Iskandar didengarinya sehingga ke bawah. Qistina berterus-terang dengan Puan Mariam dan menceritakan segala apa yang berlaku malam tadi. Puan Mariam asyik menyengih mendengar penceritaan Qistina, terutamanya ‘perintah larangan’ yang dikenakan Ian Iskandar terhadap diri Qistina hari ini. Tanpa pengetahuan Qistina, hati Puan Mariam dilanda musim bunga yang hebat!

Hari ini Qistina dan Dr. Ilyas Khan berjalan-jalan di sekitar Oxford Street, di mana tumpuan jutaan manusia yang ingin membeli-belah di kota London ini. Namun, mereka tidak membeli-belah tetapi sekadar berjalan-jalan, bercerita dan berjenaka. Dr. Ilyas Khan menceritakan kepada Qistina mengenai minatnya yang mendalam terhadap ilmu perubatan dan kerenah-kerenah pesakit yang pernah dirawatnya. Lama Dr. Ilyas Khan bercerita. Ceria betul dia hari ini.

“Oh, Qistina! I need a favour from you…” tiba-tiba sahaja Dr. Ilyas Khan memohon pertolongan daripada Qistina.

Qistina menjungkitkan keningnya. “What favour?”

There will be a charity dinner next Saturday for the children’s hospital. I would be honoured if you could accompany me to the event.”

Qistina mengeluh. Serba salah dibuatnya.

“Qistina, actually, it’s more than that…Errr…I need you to pretend to be my girlfriend for the evening!”

What?” Qistina tergelak kecil. Berlakon jadi teman wanita Dr. Ilyas Khan? “No don’t tell me, your beloved Dr. Fatma will be there too?”

Dr. Ilyas Khan tersipu. Senyumannya meleret dan nakal. Qistina telah mendapat jawapan kepada soalannya tadi.

“Oh! So you want to use me to make her jealous, huh?” Qistina sedikit pun tidak berkecil hati walaupun dia memuncungkan sedikit mulutnya. Dia tahu hati Dr. Ilyas Khan masih dengan Dr. Fatma Ali.

Dr. Ilyas Khan menjungkit-jungkitkan keningnya beberapa kali. Tawa mereka berdua terletus. Dr. Ilyas Khan mengaku itulah niatnya. Tidak mahu menghadiri makan malam itu bersendirian. Apatah lagi dia yakin Dr. Fatma Ali akan hadir bersama teman baharunya.

I don’t know, Ilyas…” Qistina bersuara sejurus sahaja tawa mereka mulai reda. “It would be difficult for me because I’ve never had a boyfriend before! And, I’m terrible at acting! Your plan may fail…why don’t you try someone else?”

Dr. Ilyas Khan terkejut mendengar pengakuan Qistina. Sukar mempercayai gadis di hadapannya tidak pernah mempunyai teman lelaki istimewa. Dia tahu Ian Iskandar mempunyai perasaan terhadap gadis itu. Begitu jelas di matanya cara Ian Iskandar sering merenung ke arah gadis itu. Kalau tidak, masakan ibu Ian Iskandar begitu yakin dengan rancangannya?

Namun, Dr. Ilyas Khan tidak mungkin meminta pertolongan rakan wanitanya yang lain, kerana mereka turut sama dikenali bekas tunangnya itu. Semua kenalan mereka sama. Jadi dia memerlukan pertolongan Qistina yang langsung tidak dikenali Dr. Fatma Ali. Qistina merupakan calon yang tepat. Qistina pula seorang gadis yang masih muda, jelita dan sangat menawan. Tidak sukar untuk berlakon yang dirinya sudah kemaruk mencintai gadis itu di hadapan bekas tunangnya nanti.

That’s why I can’t ask someone else. You are my only hope!”

Qistina bingung. ‘Takkanlah Ilyas takde kenalan wanita yang tidak dikenali bekas tunangnya itu? Susahlah macam ni…”

I’ll think about it. I’ll let you know by Tuesday morning when you come to visit madam.”

Dr. Ilyas Khan bersetuju. Dia tidak mahu terlalu mendesak Qistina walaupun keadaannya benar-benar terdesak ketika itu. “I’ll buy you a new dress if you agree okay? My treat! In exchange for your assistance…”

Hey! I’ve not agreed yet! So stop trying to bribe me…” Qistina mengusik. Sekali lagi Dr. Ilyas Khan ketawa besar. Qistina turut ketawa.


*************

Malam itu, Ian Iskandar sedia menanti Qistina di meja makan. Dia perasan Qistina pulang pada pukul 6.30 petang tadi, dihantar oleh Dr. Ilyas Khan hingga ke muka pintu. Pasti malam ini dia akan makan malam di rumah. Tidak sabar dia hendak menjamu matanya ke wajah gadis yang telah berjaya mencuri hatinya itu.  

Tepat jam 7.30 malam, Qistina masuk ke ruang makan dan mengambil tempatnya. “Assalamualaikum, Encik.” Lembut Qistina bersuara. Tanpa sedarnya, hatinya mula melonjak riang melihatkan lelaki itu sedang menunggunya.

Waalaikumussalam.” Ian Iskandar memandang wajah lembut gadis itu. Rindunya! “How was your date?” Tidak sabar Ian Iskandar ingin tahu.

Date? Bila masa aku pergi berdating? Dengan Dr. Ilyas Khan ke?’

“Errr…fine…” teragak-agak Qistina menjawab.

Ian Iskandar mengetap bibir. Masih terngiang-ngiang di telinganya gelak ketawa Qistina di luar rumah petang tadi pabila bersama Dr. Ilyas Khan. Sakit hatinya!

“Awak dah serius ke dengan dia?”

Qistina hampir tersedak. Diletakkan kembali gelas jus oren yang dihirupnya.

“Tak, Encik. Saya hanya kawan je dengan dia. Tak lebih daripada tu…”

Ian Iskandar mendengus. “Huh! Kawan konon! Macamlah saya akan percaya…” ‘Dah dua hari keluar berdua. Lepas tu boleh gelak-gelak sakan bersama. Bukan main mesra lagi! Yelah tu kawan!’

“Terpulang pada Encik nak percaya cakap saya atau tidak…” Malas Qistina hendak melayan Ian Iskandar. Qistina mula menyuap nasi beriani ke mulut. ‘Sedap betul air tangan Naseem ni,’ Qistina sempat memuji.

Ian Iskandar tidak tahu bagaimana hendak menangani masalah ini. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia memecat Dr. Ilyas Khan daripada menjadi doktor peribadi ibunya agar doktor itu tidak akan berkunjung lagi ke rumahnya. Tetapi ibunya begitu serasi dengan Dr. Ilyas Khan dan di hatinya, dia tahu Dr. Ilyas Khan bukanlah calang-calang doktor. Bagaimana hendak menjauhkan Qistina daripada Dr. Ilyas Khan?

“Awak akan keluar lagi dengan dia?”

Qistina mendongak. Hatinya tersenyum kecil. Namun riak wajahnya cuba dikekalkan bersahaja. Bukan suatu yang mudah bagi Qistina kerana segala perasaan Qistina sering sahaja terpancar di wajahnya. “Mestilah, Encik…”

“Saya tak suka awak keluar dengan dia!” Ian Iskandar mendengus.

Sukarnya untuk Qistina menahan tawanya.

“Kenapa pulak Encik? Puan Mariam takde masalah pun!”

“Saya majikan awak, Qistina, bukan ibu saya! Saya bertanggungjawab ke atas diri awak dan keselamatan awak. Dahlah parents awak tak tahu awak kat sini. Lepas tu, awak senang-senang je nak keluar dengan lelaki yang awak tak kenal…Saya risaukan keselamatan awak!” Risau ke cemburu? Soalan itu terdetik di dalam hati. Ah! Lantaklah, walaupun mungkin kedua-duanya sekali!

“Encik, Encik janganlah risau. Encik langsung tak bertanggungjawab ke atas diri saya. Saya dah besar. Dah dewasa. Saya tahu macam mana nak jaga diri saya. Selama ni pun takde siapa yang jaga saya. Saya dah biasa sendiri, Encik…” Wajah Qistina sedikit berubah. Tiba-tiba terasa sebak. Qistina merasa pelik. Tadi bukan main hatinya menggelakkan Ian Iskandar. Kenapa sekarang boleh bertukar menjadi sebak pula?

Ian Iskandar tidak suka mendengar kata-kata Qistina. Dia mahu menjadi orang yang bertanggungjawab menjaga dan melindungi gadis itu. Dia tidak mahu Qistina berseorangan lagi. ‘Tapi kenapa gadis ini buta sangat? Takkan dia tak tahu perasaan aku terhadapnya? Hesy, orang perempuan ni. Semua nak kena cakap. Tak boleh ke faham-faham sendiri?’ getus hatinya. Tetapi, mungkin Qistina terlalu muda untuk membaca isyarat dan bahasa tubuhnya selama ini.

“Apa pun, selagi awak duduk di bawah bumbung saya, awak tetap di bawah tanggungjawab saya.”

Berkerut dahi Qistina. Tidak setuju dengan pendapat Ian Iskandar. Papa dia pun tidak pernah menghiraukan hal keselamatan dirinya selama ini. Kalau papanya risau, takkan papanya tergamak memaksanya keluar dengan Remy? Ah, diam sajalah. Nanti bergaduh pulak!

Ian Iskandar melihat riak wajah Qistina. “Kenapa? Tak setuju dengan pendapat saya?”

Qistina menggelengkan kepalanya. Sudu berisi nasi disuapkan perlahan ke dalam mulutnya. Qistina dapat merasakan sepasang mata Ian Iskandar masih bertumpu kepadanya. Dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Dia tahu dia pasti akan tewas.

“Sekarang ibu saya berada di bawah tanggungjawab saya. Begitu jugak dengan Naseem, selagi dia tinggal di dalam rumah ni. Jadi semestinya awak juga di bawah tanggungjawab saya sebab awak juga tinggal di dalam rumah ni,” jelas Ian Iskandar dengan senyuman segaris di bibirnya.

Qistina mengeluh. “Kalau macam tu saya pindahlah, Encik. Saya boleh sewa bilik kat tempat lain. Tiap-tiap pagi saya datang!”

Mati terus senyuman Ian Iskandar. “No!” kuat suara Ian Iskandar. Terangkat bahu Qistina. Terkejut betul dia sehingga jatuh sudu yang dipegangnya ke atas pinggan. “Awak nak langgar kontrak?”

Qistina terkedu. Kenapa lelaki ini tidak tahu berlembut dengannya? Asyik ingin memarahinya. “Tak, Encik!” balas Qistina takut-takut. Dia benar-benar terasa dengan herdikan Ian Iskandar.

“Awak jangan cuba nak cari tempat tinggal yang lain. Kalau apa-apa terjadi pada awak, apa saya nak jawab pada famili awak, nanti?” Ian Iskandar memberi amaran.

Di dalam hati Qistina, dia tahu jawapannya. Tiada siapa pun ahli keluarganya akan kisah akan dirinya lagi. Kalaulah Ian Iskandar tahu dia sudah biasa hidup di kota London ini, mesti dia juga tidak akan berasa risau terhadap dirinya.

“Tapi Encik takde hak nak larang saya keluar dengan sesiapa. Saya keluar di luar waktu kerja saya dan pada hari cuti saya. Encik tak boleh nak larang…”

Ian Iskandar mengakui apa yang diperkatakan Qistina itu benar belaka tetapi dia tidak mahu gadis itu jatuh ke tangan orang lain. Lainlah kalau gadis itu isterinya! Memang dia boleh merantai saja kaki gadis itu. Langsung tidak dibenarkan keluar tanpa ditemani dirinya selaku suaminya.

“Baik! Tapi saya mahu awak berhati-hati, Qistina. Jangan terlalu cepat percaya pada orang yang awak tak kenal!” Ian Iskandar tiada pilihan lain. Dia terpaksa bersetuju dengan pendapat Qistina walaupun hatinya tidak rela dia berbuat demikian.

Lima minit berlalu. Masing-masing diam sambil menikmati makan malam. “Awak dah cuba pujuk ibu saya?” tiba-tiba Ian Iskandar bersuara.

Qistina kembali memandang wajah Ian Iskandar. “Sudah Encik. Ibu Encik kata dia akan fikirkan pasal pembedahan tu.”

“Apa mummy cakap pada awak?” Pandangan mereka bertaut.

“Ibu Encik sebenarnya cukup bersyukur umur dia masih ada, masih panjang. Untuk berjalan kembali tu tak penting baginya, sekiranya risiko pembedahan ketiga tu sama macam pembedahan kedua. Lagi penting untuk dia diberi peluang melihat cucunya membesar dan terutama sekali, dia ingin melihat Encik mendirikan rumah tangga dan ada zuriat sendiri. Jadi baginya, pembedahan ketiga tu tak penting.”

Qistina melarikan pandangannya. Namun sempat dia melihat perubahan di wajah Ian Iskandar. Wajah yang diulit kekesalan dan kerisauan…

“Ibu saya cakap macam tu?” suara Ian Iskandar sudah mengendur.

Ye, Encik.”

Ian Iskandar mengeluh. Apa yang terbuku di hati ibunya terluah sudah. Sekian lama dia cuba memahami mengapa ibunya berdegil tidak mahu menjalani pembedahan ketiga untuk kakinya. Ian Iskandar pernah mengesyaki bahawa ibunya takut menghadapi risiko kematian. Namun kata-kata Qistina tadi menyedarkannya. Banyak lagi harapan ibunya yang masih belum ditunaikan. Kekesalan menyelubungi dirinya. Sudah terlalu lama ibunya menantikan dia membawakan seorang menantu ke pangkuan ibunya. Sudah terlalu lama…

Calon menantu kini berada di hadapan matanya. Dia perlu menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan hasrat hatinya…mungkin bukan sekarang tetapi secepat yang mungkin. Dia tidak boleh berlengah lagi…


2 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....