Monday, 13 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 8

BAB 8

“Assalamualaikum…” Suara Timah di talian menerbitkan sekuntum senyuman di bibir Qistina.

Waalaikumussalam, Tim. Aku ni! Kau dapat mesej aku sebelum ni tak? Aku call ni nak tau kau dapat ke tak je, sebab aku tak dapat balasan kau pun.”

Sorry Ina, aku tak sempat nak balas. Tapi aku dapat mesej kau. Nombor telefon dengan alamat kau pun aku dah simpan.”

“Okey. Alamat tu aku mintak daripada pembantu rumah bos aku ni. Nasib baik dia tau. Kalau kau nak e-mel macam biasa pada aku pun tak pe, Tim. Bolehlah kita berhubung macam biasa…err…kau okey, Tim? Mak Esah dengan Pak Atan sihat?”

Kitaorang kat sini semua sihat, Ina. Kau tak payah risau…kau cuti ke hari ni?”

“Hari Ahad aku cuti…aku keluar cari barang keperluan sikit tadi. Sekarang aku dok lepak kat taman. Kejap lagi baru balik…Okey, Tim. Aku hang up dulu. Saja nak call tanya tu je tadi. Kalau ada apa-apa, kau mesejlah aku, ek? Assalamualaikum.”

Qistina mematikan talian sebaik mendengar balasan salam daripada Timah. Lega dapat menghubungi temannya itu. Qistina percaya Timah akan merahsiakan lokasi Qistina daripada pengetahuan keluarganya. Setahun akan berlalu dengan cepat. Pejam celik, pejam celik sudah setahun. Sementara itu, Qistina harus memastikan yang dia bakal mendapat tempat di mana-mana syarikat di London yang memerlukan khidmat akauntan sepertinya. 

Alangkah bahagianya sekiranya dia dapat melanjutkan lagi pelajarannya dan mengambil peperiksaan ACCA agar dia boleh menjadi seorang akauntan bertauliah suatu hari nanti. Namun papanya mahu dia segera pulang sebaik sahaja tamatnya majlis penerimaan ijazah baru-baru ini. Papanya tidak mahu dia menyambung pengajiannya di London dan mahu dia mengambil peperiksaan ACCA di Malaysia sahaja. Rupa-rupanya papanya mahu dia berkahwin dengan Remy. Itulah sebabnya mengapa papanya begitu tegas tidak mahu dia menyambung pelajarannya di London, walaupun sudah mendapat tawaran di sini.

Qistina kembali menyaksikan suasana di sekitar taman. Sengaja melengahkan waktu pulangnya. Tidak mahu bertembung dengan Ian Iskandar yang tentunya menghabiskan hari Ahad di rumah sahaja. Sejak makan malam yang sedikit tegang bersama Ian Iskandar dua malam lepas, Qistina cuba menjauhkan diri daripada Ian Iskandar. Namun sedikit sukar memandangkan Ian Iskandar bertegas mahu makan malam dengannya. Ian Iskandar masih cuba mahu mengorek cerita peribadinya, walaupun tidak disukai Qistina. Buat masa ini, Qistina masih berjaya menepis pertanyaan demi pertanyaan daripada Ian Iskandar tetapi sampai bila? Itu yang paling dirisaukannya.

Akhirnya, Qistina tiada alasan lagi. Dengan perlahan dia bangun dari bangku di taman itu dan mula mengatur langkah pulang ke rumah.

***********

Sudah lebih tiga minggu Qistina menjadi seorang peneman. Hari ini Dr. Ilyas Khan akan datang untuk memeriksa Puan Mariam. Kehadirannya, seperti biasa ditemani Ian Iskandar dan Natalie Brown. Qistina membalas senyuman dan ucapan hello daripada doktor kacak itu. Seperti lazimnya, Qistina bangun untuk meninggalkan bilik namun kali ini ditahan Puan Mariam.

No, don’t go, dear. Tunggu sini dengan saya...” pinta Puan Mariam. Qistina menurut tetapi memilih untuk berdiri sedikit jauh dari katil Puan Mariam dan berhampiran dengan pintu bilik, agar kehadirannya tidak mengganggu pemeriksaan yang akan dijalankan ke atas Puan Mariam.

Qistina hanya menjadi pemerhati. Tekanan darah Puan Mariam diambil. Kedua belah kaki Puan Mariam diangkat dan dibengkokkan. Dahi Puan Mariam berkerut menahan sakit. Anggota tubuh badan yang lain juga diangkat dan dibengkokkan. Ian Iskandar juga sepi tidak berbicara. Matanya mengamati wajah ibunya. Jelas terpancar rasa kasihan terhadap ibunya. Qistina merasa sedikit cemburu akan hubungan rapat antara Ian Iskandar dengan ibunya. Suatu yang hanya ada antara Qistina dengan Mak Esah dan tidak dengan ibu kandungnya sendiri.

“Mariam, I believe your leg is strong enough to go through your next operation. Have you thought about what I said last week?” Dr. Ilyas Khan menyoal Puan Mariam.

Doc, I have told you again and again. No more operations!” Puan Mariam membantah. Qistina dan Ian Iskandar saling berpandangan. Qistina teringat akan pertolongan yang dipinta Ian Iskandar dulu. Qistina masih belum lagi berkesempatan memujuk Puan Mariam untuk menjalani pembedahan yang ketiga. Dia tahu, dia harus memulakan sesi memujuk dengan segera.

Dr. Ilyas Khan mengeluh dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang selalu diduduki Qistina. “Mariam, what are you afraid of? You do want to walk again, don’t you?”

Puan Mariam tidak membalas. Matanya mula berkaca.

Mummy, what are you afraid of?” Ian Iskandar pula bersuara dengan nada lembut. Puan Mariam masih menyepi.

Ian Iskandar mengalihkan pandangannya kepada Natalie Brown. “Natalie, could you please excuse us?”

Natalie Brown mengangguk dan mengambil langkah untuk keluar dari bilik Puan Mariam. Qistina merasa serba salah. Dia memilih untuk menyusul langkah Natalie Brown kerana dia merasakan hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang perlu berada di dalam bilik ketika itu. 

“Saya tak cakap yang awak yang awak pun perlu keluar, Qistina!” suara dalam Ian Iskandar menahan langkah Qistina.

Qistina memandang Ian Iskandar. Sedikit terkejut dengan larangan keras daripada lelaki itu. Wajah Ian Iskandar kelihatan sedikit tegang. Qistina kembali ke tempatnya sebentar tadi. Ian Iskandar masih merenung gadis itu. Dia tahu gadis itu cuba menjauhkan diri daripadanya. Dia mengerti mengapa, tetapi dia tidak akan berputus asa dengan cubaannya untuk mendekati gadis itu.

Natalie Brown tertanya-tanya mengapa gadis itu diminta kekal di dalam bilik dan dirinya diminta keluar. Panas hatinya dengan lelaki yang tidak pernah memberikan sebarang perhatian kepadanya walaupun sudah hampir dua tahun dia menjadi jururawat peribadi ibu Ian Iskandar. Lelaki itu kekal menganggap hubungan mereka atas dasar profesional sahaja. Tetapi sejak Qistina diambil bekerja, pandangan matanya hanya bertumpu kepada gadis itu seorang. Di hati kecilnya dia merasa cemburu, namun tidak menyalahkan gadis itu. Daripada pemerhatiannya selama ini, gadis itu langsung tidak menyedari maksud daripada pandangan yang dilemparkan Ian Iskandar kepadanya. Dan gadis itu sendiri tidak pernah cuba untuk menarik perhatian Ian Iskandar. Pelik!

“Mariam, we only want what’s best for you, you know that right?” lembut suara Dr. Ilyas Khan. Masih cuba memujuk Puan Mariam.

“Doc, I don’t want to talk about it right now!” Puan Mariam masih berdegil. Qistina telah pun dimaklumkan bahawa pembedahan ketiga ini bakal memungkinkan Puan Mariam berjalan semula. Namun Qistina mengesyaki sebab sebenar mengapa dia tidak mahu meneruskannya. Teringat penerangan daripada Ian Iskandar, bagaimana dia nyaris-nyaris kehilangan ibunya semasa pembedahan kedua sebelum ini. Puan Mariam tentunya takut untuk menghadapi risiko kematian sekali lagi.

Fine, Mariam. We’ll do it your wayso what will you be up to today?” Dr. Ilyas Khan mengalah dan pantas mengalihkan topik perbualan.

Puan Mariam memandang Qistina. “To the park again, of course!”

Dr. Ilyas Khan dan Ian Iskandar turut memandang Qistina. Qistina mula kalut menjadi tumpuan jejaka-jejaka kacak di hadapannya. “So, Qistina….Have you been around London since you got here?” soal Dr. Ilyas Khan.

Not yet, doc,” Qistina membalas. Memang sejak Qistina tiba di kota London ini, dia masih tidak berpeluang bersiar-siar ke tempat-tempat yang selalu dikunjungi pelawat-pelawat dari serata dunia. Tetapi, tempat-tempat itu bukanlah asing bagi Qistina. Dia sudah banyak kali mengunjungi tempat-tempat tersebut selama lima tahun hidup di celah-celah kesibukan kota London ini.

Well, in that case, why don’t I show you around London this weekend?” pelawa Dr. Ilyas Khan.

Qistina terkedu. Puan Mariam tersenyum. Ian Iskandar terasa panas.

“Errrr…” Qistina tidak tahu bagaimana untuk menolak dengan baik pelawaan Dr. Ilyas Khan itu.

Go ahead, dear!” Puan Mariam menyampuk. Suka dia melihat wajah Ian Iskandar yang sedikit kemerahan. “Doc is a true Londoner! He’ll be the best tourist guide you’re ever going to get!”

Qistina tersenyum. ‘Apa salahnya, kan? Dia nak bawak aku jalan-jalan je…taklah aku boring sangat hujung minggu nanti…’

Oh how kind of you to say so, Mariam!” Dr. Ilyas Khan ketawa senang menerima pujian daripada Puan Mariam.

Qistina masih diam.

How about this Saturday? I’ll come by to pick you up after you’re done for the afternoon?”

Ian Iskandar mengetap bibir. Dia merenung Qistina tajam. Seolah-olah memberikan bahasa isyarat. Dia tidak mahu gadis itu keluar dengan Dr. Ilyas Khan. Dia tidak suka! TIDAK SUKA!

Qistina buat-buat tidak mengerti. “Okay, doc. I’ll see you on Saturday! Thanks…”

Dr. Ilyas Khan tersenyum puas. Puan Mariam juga begitu. Ian Iskandar mendengus perlahan.

Tidak lama kemudian, Qistina ditinggalkan berseorangan dengan Puan Mariam. Dia tekun melakukan tugasnya seperti biasa. Pada waktu petang, Qistina membawa Puan Mariam ke taman dan mereka berlabuh di tempat biasa sambil menikmati angin petang. Mereka berbual-bual kosong sambil bergelak ketawa.

“Qistina, tengok situ.” Puan Mariam menunjukkan ke arah sepasang warga tua yang sedang berjalan berpimpin tangan mengelilingi kolam kecil di hadapan mereka. “Dulu, my parents macam tu…sampai tua loving macam tu…”

Qistina kembali memandang wajah Puan Mariam. Terbit garis-garis kesayuan di wajah Puan Mariam. Sesungguhnya Qistina memahami erti rindu kepada ibu dan bapa. “Diaorang ada lagi, madam?”

Puan Mariam menggelengkan kepalanya. “Dah tak de, Qistina. Hargailah your parents, kalau diaorang masih ada.”

Qistina mengalihkan pandangannya. Qistina memang sentiasa menghargai segala pengorbanan papa dan mamanya selama ini. Jasa mereka mungkin tidak dapat dibalasnya. Menyekolahkannya, menyediakan segala makan dan pakainya dan juga menyara pembelajarannya selama lima tahun di kota London ini. Tetapi bukan atas kehendak Qistina sendiri untuk menjauhkan dirinya daripada mereka.

Mata Puan Mariam masih mengamati wajah Qistina. “Ian beritahu saya keluarga Qistina tidak tahu Qistina di sini. Kenapa begitu, dear?”

Qistina berbelah bahagi. Belum sampai sebulan dia berada di sini, dia sudah merasakan amat rapat dengan Puan Mariam. Kasih dan sayangnya sudah pun tertumpah kepada wanita ini. Dia tidak sanggup membohongi Puan Mariam. Dia merasakan seolah-olah dia membohongi ibunya sendiri.

“Panjang ceritanya, madam. Saya tak mahu terlalu memikirkan kisah lalu tetapi atas dasar rasa hormat saya kepada madam, saya akan cuba berterus-terang dengan madam, mana yang saya mampu.”

Qistina mengeluh. “Saya sebenarnya anak terbuang, madam. Saya dihalau dari rumah semata-mata sebab saya tidak mahu menurut arahan papa untuk mengahwini lelaki yang telah dipilihnya untuk saya…”

Puan Mariam tergamam mendengar penjelasan Qistina. Dia tidak menyangkakan begitu perit nasib gadis di hadapannya ini.

“Tak payahlah saya ceritakan latar belakang keluarga saya. Tu tak penting. Lagipun ia hanya akan membuka aib keluarga saya juga. Tapi saya tak boleh kahwin dengan lelaki yang papa pilih tu, madam. Saya tak sanggup…Jadi papa halau saya dari rumah. Tak lama lepas tu, saya mendapat peluang pekerjaan ni. Jadi tanpa berfikir panjang, saya terus terima. Saya tak rasa selamat kalau saya masih berada di Malaysia. Eloklah saya di sini saja…

Sebab tu saya tak bagi tau ahli keluarga saya, terutama papa dan mama saya pasal pekerjaan ni. Saya mintak maaf madam kerana terlalu merahsiakan perkara ini, terutama daripada pengetahuan Encik Ian. Tapi lagi banyak saya berkongsi cerita saya, lagi banyak soalan Encik Ian akan bertanya kepada saya. Saya tak selesa. Jadi biarlah kisah peribadi saya kekal menjadi hal peribadi saya…”

“Qistina, I’m so sorry for your pain…” Puan Mariam menggenggam tangan Qistina.

“Terima kasih, madam.” Qistina turut memegang tangan Puan Mariam. Sedikit terpujuk dengan genggaman tangan wanita itu.

“Qistina, awak seorang yang berpelajaran. Betul, tak? Awak pernah belajar di sini, kan?”

Qistina terkesima mendengar tekaan Puan Mariam. “Macam mana madam tau?”

“Bukannya susah, Qistina. Cara Qistina membaca surat khabar untuk saya dan cara Qistina bercakap, macam Qistina dah lama tinggal di sini. Your accent and your intonation are both perfect!”

Qistina mengeluh. “Saya ingat saya dapat simpan accent tu tapi nampaknya saya tak berjaya nak sorokkan daripada madam.”

“Berapa lama Qistina tinggal di London?”

Lima tahun, madam. Saya ada degree in accounting…cita-cita nak sambung buat ACCA tapi masih belum tercapai…”

“Keluarga Qistina pasti bangga dengan Qistina!”

“Entahlah madam…kalau diaorang rasa bangga pun, diaorang takkan cakap…” Puan Mariam melihat garis-garis kesedihan di wajah Qistina yang selama ini diulit keceriaan dan senyuman. Ternyata gadis ini menyimpan seribu rasa duka.

“Qistina, mana-mana parents pun akan rasa bangga dapat anak macam Qistina. Kadang-kadang perasaan ini tidak perlu diluahkan…”

Qistina hanya diam. Papa dan mamanya bukan begitu. Sekiranya mereka bangga dengan pencapaiannya, mengapa mereka tidak hadir untuk majlis konvokesyennya? Mungkin mereka hanya akan merasa bangga dengannya sekiranya dia berkahwin dengan Remy dan dengan itu, dapat meluaskan empayar perniagaan papanya.

“Qistina, apa silapnya lelaki yang sepatutnya dijodohkan dengan awak tu?”

Qistina mengalihkan pandangannya namun sempat Puan Mariam melihat perubahan di riak wajahnya. “Madam, dia bukan seorang lelaki yang baik…tidak patuh pada perintah agama malah sering melakukan perkara-perkara yang diharamkan agama. Jadi saya rasa saya tak berdosa kalau mengingkari perintah papa saya tu.” Qistina tidak sanggup lagi untuk berbicara tentang Remy. Cukuplah sekadar itu. “Madam, saya rayu pada madam. Tolonglah jangan bagi tau Encik Ian pasal saya…” Qistina tidak tahu mengapa dia tidak mahu Ian Iskandar dimaklumkan pasal perkara ini. Dia sendiri berasa hairan…

“Kenapa Qistina?”

“Jujurnya, saya pun tak pasti kenapa, madam…mungkin saya tak mahu simpatinya…”

“Apa pendapat Qistina tentang anak lelaki saya tu?”

“Apa maksud madam?”

Puan Mariam mengeluh di dalam hati. Gadis ini masih tidak menyedari perhatian yang diberikan Ian Iskandar kepadanya selama ini. Ian Iskandar sudah lama memerlukan teman istimewa dalam hidupnya. Telah terlalu lama dia menjauhkan diri daripada cinta. Telah lama dia hidup bersendirian. Puan Mariam dapat merasakan yang gadis ini cukup sempurna buat anaknya itu. Cuma Ian Iskandar terlampau lambat mengambil tindakan. Puan Mariam tidak sanggup melihat gadis ini terlepas begitu sahaja.

“Tak de apa-apa, Qistina. Qistina, if you want to talk about this, you know you can talk to me right?”

I’m not supposed to, madam. Encik Ian pernah berpesan, saya tak boleh membiarkan masalah saya bercampur-aduk dengan tugas saya…sebab itu sebenarnya saya tak mahu bercerita apa-apa pun pasal saya pada madam. Bak kata Siti Nurhaliza, Biarlah Rahsia…” Qistina cuba berjenaka.

Puan Mariam tersenyum tawar. “Qistina, kadang-kadang sekadar berkongsi cerita tak salah, kan? Mungkin Qistina boleh merasa lega dapat berkongsi cerita dengan saya?”

Qistina telah pun bercerita segalanya kepada Timah. Mak Esah, Pak Atan dan Khairul juga sudah tahu segalanya, kecuali apa yang Remy pernah cuba lakukan terhadapnya. Biarlah kisah itu cuma dikongsi bersama Timah sahaja.

“Terima kasih, madam.” Itu sahaja yang diucapkan Qistina. Dia tahu sekiranya Puan Mariam tidak bertanya, dia tidak akan dengan sendirinya bercerita kepada Puan Mariam. Puan Mariam tidak perlu ditambah kerisauannya.

“Madam, boleh saya tanya satu soalan pada madam?” teragak-agak Qistina bersuara.

Puan Mariam mengangguk. Senyuman manis terukir di bibir melihatkan keresahan Qistina.

“Madam, errr…madam tak nak operation kaki lagi sebab apa yang pernah terjadi masa operation yang kedua dulu ke?”

Senyuman Puan Mariam terus mati dari wajahnya.

“Maafkan saya, madam, sebab bertanya soalan ni.” Qistina mula rasa bersalah.

“Qistina, awak seorang sahaja yang tahu isi hati saya. Orang lain asyik paksa saya tapi diaorang tak tahu apa yang saya rasa. Banyak lagi yang saya nak tengok semasa hayat saya ni, Qistina. Saya nak tengok cucu saya membesar. Saya nak tengok anak lelaki saya mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat sendiri…banyak lagi benda yang mustahak daripada ingin berjalan semula, Qistina. Sekurang-kurangnya sekarang, saya masih bernyawa walaupun tidak boleh berjalan…saya masih boleh melakukan ibadat saya…saya masih diberi peluang menjalani kehidupan saya bersama anak, menantu dan cucu saya…Tu lebih penting pada saya, Qistina.”

Mata Qistina mula berkaca. Sedih mendengarkan suara lirih Puan Mariam. “Saya faham, madam. Tapi ajal maut di tangan Tuhan. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Anak-anak madam semua nak tengok madam kembali sihat macam biasa…Kita hanya mampu berusaha dan berdoa, madam.”

Puan Mariam mengangguk. “Saya tahu, Qistina….entahlah…biarlah saya fikirkan semula…”

Qistina menggenggam tangan Puan Mariam. “Saya akan selalu doakan yang terbaik untuk madam. Saya sayang pada madam. Saya nak madam sentiasa bahagia di samping keluarga madam.”

Puan Mariam terharu dengan kata-kata Qistina. Bagaimana harus dia menyampaikan hasrat hatinya kepada Qistina dan harapannya untuk melihat Qistina menjadi ahli keluarganya? Yakni menantunya?

“Jom, madam. Kita balik sekarang, ya?” Qistina bangun dan mula menolak kerusi roda Puan Mariam. Langkah diatur perlahan.

***********

Qistina mengangkat pinggan ke dapur. Hari ini sudah masuk tiga hari Qistina makan malam secara bersendirian. Berselera dia makan tanpa sepasang mata biru merenung setiap gerak-gerinya. Sejak Qistina menerima pelawaan Dr. Ilyas Khan untuk keluar bersiar-siar pada hari Selasa lepas, Ian Iskandar seakan ‘merajuk’. Dari hari Selasa hingga ke hari ini, Ian Iskandar tidak pulang untuk makan malam dengannya.

Namun jauh di dasar hatinya, dia ada merasakan suatu ‘kehilangan’. Adakah dia merindui lelaki itu? Mengapa terasa ada ruang kosong di dalam hatinya apabila tidak bersama lelaki itu? Selama ini, hanya Qistina yang cuba menjauhkan diri daripada Ian Iskandar. Kini apabila lelaki itu cuba menjauhkan dirinya daripada Qistina, Qistina pula yang rasa seperti kehilangan. Ya, dia merasa lain tanpa ditemani Ian Iskandar ketika makan malam. Dia berani mengakuinya. Tetapi apakah maksud perasaannya ini?

Seusai solat Maghrib, Qistina mencapai surah Yasin dari atas meja di dalam biliknya. Sebelum sempat dia kembali duduk di atas sejadah, pintu biliknya diketuk. Qistina bangun dan membukanya. Kelihatan Naseem di muka pintu. “Madam wants to see you in her room.”

Okay, Naseem. Thanks! I’ll be down shortly.”

Qistina menanggalkan telekungnya dan menyarungkan tudung di kepalanya. Dia pantas turun menuju ke bilik Puan Mariam dengan surah Yasin masih di tangan. Tidak pernah Puan Mariam memanggilnya malam-malam sebegini. Pintu bilik Puan Mariam diketuk dan dibuka. Puan Mariam sedang baring di atas katil.

“Madam nak jumpa saya? Ada apa yang boleh saya bantu?”

“Qistina, saya rindu nak mendengar bacaan surah Yasin. Malam ni malam Jumaat, kan? Boleh tak Qistina bacakan surah Yasin untuk saya?” pinta Puan Mariam.

Qistina terharu. Dia mengangguk. “Boleh, madam. Saya pun baru je nak baca surah Yasin.”

Qistina mendahulukan bacaan surah Yasin dengan membaca Surah Al-Fatihah dan kemudian berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Surah Yasin dibaca perlahan, lancar dan penuh teliti. Tajwid dijaga. Alunan bacaan begitu merdu. Tersentuh jiwa Puan Mariam mendengar alunan bacaan surah Yasin daripada Qistina. Tanpa disedarinya, air matanya mengalir ke pipi. Rindu sungguh dengan bacaan Al-Quran selama ini.


Sudah lebih lima minit Ian Iskandar berdiri di luar pintu bilik ibunya. Alunan suara gadis itu benar-benar merentap hatinya. Ian Iskandar memejamkan matanya. Pada saat itu, hatinya bulat. Nekad. Gadis itu akan menjadi miliknya. Isterinya. Permaisurinya. Dia akan lakukan apa sahaja untuk memiliki gadis itu. Dia tidak akan lepaskan begitu sahaja gadis yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya yang telah sekian lama terkunci…yang telah lama tidak berpenghuni…

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....