Wednesday, 1 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 2

BAB 2

Sudah dua jam bas meninggalkan Terminal Bas Hentian Duta. Timah sudah pun terlentok di sebelah Qistina. Qistina masih memandang kosong ke luar tingkap. Bas ekspres masih meluncur laju membelah Lebuh Raya Utara-Selatan. Tidak sabar rasanya untuk memeluk Mak Esah dan merasakan belaian kasih daripadanya. Mak Esahlah yang terlalu memanjakannya selama ini, bukan Puan Sri Ani Suraya. Rasanya, dia tidak pernah merasakan air tangan ibu kandungnya sendiri. Semuanya Mak Esah. Setitik susu badan ibu kandungnya pun, tidak pernah dia rasa.

Namun, rasa kasih dan sayangnya kepada Puan Sri Ani Suraya tidak pernah pudar dari jiwanya. Jasa ibu kandung yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan tidak akan dilupakannya. Biarlah Puan Sri Ani Suraya terlalu sibuk untuk membesarkan Qistina dengan tangannya sendiri. Dia tahu Puan Sri Ani Suraya menyayanginya, dengan caranya yang tersendiri.

Pagi tadi Qistina menerima mesej daripada kakaknya memintanya pulang ke rumah dan memohon kemaafan daripada papanya. Qistina dinasihati agar akur dengan permintaan papanya agar kehidupannya di kemudian hari lebih terjamin dan kekal mendapat sokongan papanya. Qistina tersenyum mendapat mesej daripada kakaknya itu. Ingin sahaja dia membalas bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah, dan bukan daripada papanya. Namun dia hanya mampu bertanya siapakah yang meminta kakaknya itu menghantar mesej kepadanya. Balasan yang diterima, ‘mama.

Pasti mamanya memikirkan bahawa dirinya tidak mampu berdikari. Risau dengan keadaan dirinya yang nekad meninggalkan rumah daripada tunduk pada permintaan papanya. Namun mama tidak tahu kecekalan hatinya. Walaupun Qistina anak yang bongsu, peribadi dan perwatakannya lebih cekal dan kuat daripada kakak serta abangnya sendiri.

Tiba-tiba Qistina merasakan lengannya dikuis lembut. Dia memalingkan mukanya. Timah terkebil-kebil sambil menggosok matanya. “Kau tak tidur ke?” soal Timah sambil menekup mulut yang tiba-tiba menguap.

“Aku tak ngantuklah…”

Timah mengamati wajah Qistina. Matanya melekap kepada kecantikan Qistina yang begitu terserlah. Sesetengah orang bila pakai tudung lawa, tetapi bila freehair, tidak lawa. Dan ada orang, sebaliknya pula. Namun Qistina begitu anggun ketika mengenakan tudung dan ketika freehair juga begitu. Qistina memang lain daripada yang lain. Begitu classy di mata Timah. Kekayaan dan kemasyhuran keluarganya, langsung tidak menghilangkan sifat rendah diri dalam jiwanya. Namun ada sesuatu mengenai Qistina yang membezakannya daripada perempuan lain.

“Apasal kau tenung aku macam tu? Awning tudung aku tak betul ke? Susah jugak ek nak pakai tudung bawal ni?” Sambil bertanya, Qistina mengusap-ngusap tudung di kepalanya.

“Aku rasa tudung bawal ni sesuailah dengan kau. Kau nampak cantik sangat, Ina,” ikhlas Timah menyuarakan pendapatnya. Pagi tadi, ketika Qistina keluar dari bilik siap berbaju kurung cotton berwarna putih dengan bunga-bunga kecil berwarna ungu muda bersama tudung bawal, juga berwarna ungu, Timah hanya mampu terlopong melihat perubahan Qistina. Rambut Qistina yang panjang, lurus serta ikal, tidak lagi kelihatan. Disorok kemas dalam ikatan tudung di kepala.

“Aku pakai tudung bukan berniat nak cantik, Tim.” Qistina tidak selesa mendengar kata-kata Timah sebentar tadi.

“Eh, aku ikhlas bagi pendapat aku je, Ina. Kau tu, memang dah lawa mengalahkan ratu cantik kat Malaysia ni. Jadi pakai apa pun, kau akan tetap cantik jugak, my fren!”

Qistina tergelak. Dicubitnya lengan Timah yang juga ketawa mendengar lawaknya sendiri. “Aku jeles tengok lesung pipit kau tu…kat pipi ada lekuk, kat dagu ada lekuk…tu yang buat Along gila bayang kat kau tu!” Timah masih berjenaka. “Dulu Along kata kau ni versi Melayu pelakon Preity Zinta.” Teringat Timah akan kata-kata abangnya suatu waktu dahulu yang pernah membandingkan Qistina dengan pelakon terkenal Bollywood itu. Semua kerana lesung pipit sebelah di wajah Qistina. Sama seperti Preity Zinta.

“Ish! Kau jangan! Tak hingin aku dapat adik ipar macam kau ni! Dahlah kau lagi tua daripada aku!” Qistina membalas sambil ketawa. Sudah lama dia tahu yang abang Timah menyimpan perasaan terhadapnya, namun Qistina tidak pernah memberi sebarang harapan kepada Khairul. Malah beberapa kali Qistina memberi bayangan kepada Khairul yang dia hanya menganggap Khairul seperti abangnya, tidak lebih daripada itu.

“Kau tak payah risaulah Ina. Along tak lama lagi nak bertunang!”

“Hah? Ye ke? Alhamdulillah. Fuh! Lega aku, Tim. Taklah kekok sangat bila abang Khairul ada nanti.”

Timah tersenyum. Abangnya sudah lama menyimpan perasaan terhadap kawan baiknya ini. Cumanya tidaklah sampai dia berterus-terang akan perasaannya kepada Qistina. Khairul tahu dia hanya bertepuk sebelah tangan. Maka, dia lebih sanggup memendamkan segala perasaannya, daripada meluahkannya kepada Qistina, takut akhirnya akan kehilangan Qistina sebagai sahabat.

“Ha-ah. Dia nak bertunang dengan anak sepupu mak. Kira macam dia akan kahwin dengan dua pupulah.”

“Oh,” kata Qistina sambil mengangguk perlahan. “Kau lak, camna?”

Timah tersentak dengan pertanyaan Qistina. “Hei! Aku mana ada calon lagi? Siapalah yang nak kat orang tembam macam aku ni? Engkau lainlah! Semua orang tergila-gilakan kau!”

“Kau ni! Dah berbuih mulut aku cakap dengan kau. Janganlah terlampau merendah diri sangat. Lagipun, sesetengah lelaki suka dengan perempuan yang berisi tau!” Qistina cuba meyakinkan Timah.

Timah tersenyum. Qistina tidak suka setiap kali Timah merendah-rendahkan dirinya di hadapan Qistina. “Yalah tu! Mata kau lainlah, Ina.” Timah sedar dirinya tidaklah secantik Qistina, namun dia tetap bersyukur Allah mengurniakannya dengan sifat yang secukupnya. Tiada yang kurang. Cuma tubuhnya yang rendah dan sedikit tembam, sering menjadi bahan usikan teman-teman lelaki sejak di bangku sekolah lagi. Penat berdiet. Tetapi sukar benar untuk dirinya menguruskan berat badan.  

“Kau tak boleh biar ejekan orang lain affect kau! Kau kena yakin dengan keistimewaan kau sendiri!” Kata-kata yang sama yang sering diucapkan kepada Timah untuk membina keyakinan dirinya. “Kalau luaran cantik macam mana pun, tapi hati dia busuk, orang still akan kata dia tu tak cantik.”

Yelah, yelah…” Senyuman di bibir masih terukir. Sayang benar akan kawannya ini. Dia yang lagi tua daripada Qistina sepatutnya membawa peranan seorang kakak, bukannya Qistina, tetapi Timah tidak berkecil hati. Timah akan tetap mengingati segala nasihat dan pesanan Qistina buat dirinya.

Mereka menghabiskan baki perjalanan sambil berbual mesra. Ada sahaja hendak dibualkan. Timah berhati-hati untuk tidak mengungkit kejadian semalam agar keterujaan Qistina untuk pulang ke kampungnya tidak tergugat. Dia sedar Qistina masih sedih dibuang keluarganya, namun pandai menyembunyikannya dengan senyuman serta gurauannya. Sesungguhnya, Qistina sudah biasa bersendirian. Timah yakin Qistina boleh hidup tanpa bantuan mama dan papanya.

************

“Assalamualaikum,” Timah memberi salam sambil mendaki anak tangga. Qistina hanya membuntuti rakannya itu. Inilah kali pertama Qistina menjejakkan kakinya ke rumah Mak Esah dan Pak Atan. Selama ini, Qistina banyak kali ingin mengikut Mak Esah pulang ke kampung, namun tidak dibenarkan mama dan papanya. Sejak Mak Esah dan Pak Atan berhenti berkhidmat di kediaman rumah orang tua Qistina, Qistina hanya berpeluang melepaskan rindunya terhadap Mak Esah dan Pak Atan sekiranya mereka menziarahi Timah di Kuala Lumpur. Dan Timah akan memastikan ibu dan ayahnya akan datang ke Kuala Lumpur setiap kali Qistina pulang bercuti dari pengajiannya.

Qistina mengikut Timah untuk turun ke dapur, di bahagian belakang rumah. Suasana riuh-rendah di ruang dapur tiba-tiba berubah menjadi sepi ketika Timah mengulangi ucapan salamnya di ambang pintu dapur. Mak Esah bangun dari tikar mengkuang yang direntang di atas lantai dapur dan pantas meluru ke arah Timah. Dipeluk dan diciumnya si Timah untuk melepaskan rindu terhadap anak bongsunya itu.

Mak Esah mengilas pandang ke arah Qistina. “Siapa kawan yang kau…Ya Allah! Ina!!!” jerit Mak Esah, setelah senyuman serta lesung pipit Qistina muncul di wajahnya. Masakan dia boleh lupa akan lesung pipit itu! Ditolaknya Timah ke tepi dan disambarnya Qistina ke dalam pelukan. “Ya Allah, anak mak dah balik! Rindunya Mak Esah dengan kau, Ina…” Dalam tangis, Mak Esah mencium pipi dan dahi Qistina berulang kali.

“Amboi, mak ni! Dah jumpa Ina, Timah ni dah tak ingat lagi.” Timah memuncungkan sedikit mulutnya, tetapi di dalam hati, dia amat terharu melihat Qistina dipeluk mesra ibunya tadi. Langsung tiada perasaan cemburu di hatinya.

Mak Esah menjarakkan tubuhnya dan mengamati wajah Qistina. Qistina menyeka air mata kegembiraan yang mengalir dari mata Mak Esah. Air matanya sendiri tidak dihiraukannya. Mak Esah membiarkan sepasang matanya menjalar dari kepala Qistina, yang kemas dilitupi tudung, hingga ke kaki. Kemudian balik ke wajah Qistina yang teramat dirinduinya.

“Apa kecoh-kecoh ni?” Suara seorang lelaki menyapa dari pintu belakang rumah di bahagian dapur.

“Bang, tengok siapa datang ni!?” jerit Mak Esah.

Timah menyambut bapanya dengan menyalami dan mengucupi tangan bapanya. Kemudian dia melihat ibunya menarik tangan Qistina menghampiri bapanya. “Assalamualaikum, Pak Atan,” lembut Qistina bersuara.

Pak Atan ternyata terkejut melihat kunjungan Qistina ke rumahnya. Dia makin terkejut melihat perubahan Qistina. “Waalaikumussalam.” Serak suara Pak Atan. “Sampai jugak Ina ke rumah Pak Atan ni. Syukur Alhamdulillah. Moh kita naik atas. Banyak cerita Pak Atan nak dengar dari Qistina.”

Mak Esah ingin mengikut ajakan suaminya itu. “Wawa, aku naik kejap. Kau buatlah apa yang patut, ya.” Sempat Mak Esah berpesan kepada jiran sebelah rumahnya.

Makcik Salwa hanya mengangguk. “Tak pe, Esah. Ramai tukang masak bertauliah kat sini. Kau pergilah naik jumpa anak kau tu.”

Di ruang tamu, Mak Esah mengambil tempat di antara Qistina dan Timah. Tidak dapat lagi dibendung soalan yang ingin ditanyanya sejak tadi. “Mama dengan papa Lia tau ke pasal perubahan Lia ni?”

Qistina menggelengkan kepalanya. Wajahnya berubah menjadi suram. Begitu juga dengan wajah Timah. Mak Esah tidak jadi untuk bertanya dengan lebih lanjut lagi apabila melihat isyarat dari mata Timah yang meminta ibunya agar tidak meneruskan dengan pertanyaannya.

“Bila kamu balik, Ina?” Pak Atan cuba mengalihkan topik perbualan.

“Tak sampai dua minggu pun. Cuma Ina tak sempat nak call Pak Atan dengan Mak Esah.”

Pak Atan mengangguk. “Dah grad?”

“Dah, Pak Atan. Mama dan papa tak dapat datang masa Ina grad hari tu. Busy sangat agaknya.”

Pak Atan dapat menangkap kesedihan di sebalik senyuman yang terukir di bibir Qistina. Sampai hati Tan Sri Ali Saifuddin dan Puan Sri Ani Suraya tidak melapangkan masa untuk menghadiri majlis konvokesyen anak mereka sendiri. Bukannya hari-hari seseorang anak itu mencapai kejayaan yang begitu membanggakan kedua orang tuanya. Takkan sampai tidak boleh mengambil cuti untuk sama-sama meraikan kejayaan anak mereka? Ke luar negara atas urusan kerja boleh pula, tetapi ke luar negara untuk menghadiri majlis konvokesyen anak sendiri tidak boleh.

“Cantiknya kau, Ina. Bertambah ayu Mak Esah tengok. Mula-mula tadi Mak Esah tak kenal, Ina.”

Qistina tersenyum. Lega Mak Esah melihat kesuraman tadi sudah hilang dari wajah Qistina. “Terima kasih, Mak Esah. Ina masih orang yang sama. Tak berubah pun.”

Mak Esah mengusap lembut pipi Qistina. “Rindu Mak Esah pada kau, Ina. Syukurlah Ina dah ada depan mata Mak Esah sekarang.”

“Mak Esah, Pak Atan, kalau Ina duduk sini dalam seminggu boleh?”

Mak Esah dan Pak Atan saling berpandangan. Sedikit hairan dengan permintaan Qistina tadi. Pak Atan memandang Timah pula. Timah mengisyaratkan dengan gelengan kecil kepalanya agar tidak bertanya mengapa.

“Mestilah boleh. Berapa lama yang Ina nak duduk sini, duduklah. Mak Esah tak kisah. Mak Esah lagi suka!” Qistina menggenggam erat tangan Mak Esah tanda terima kasih. “Timah, Ina, pergilah masuk bilik dulu. Lepas solat, pergi dapur, makan apa yang ada. Lepas tu mana yang larat tolong untuk kenduri malam ni, tolonglah. Kalau penat, tak pe. Rehat je dalam bilik.”

Qistina mengikut Timah masuk ke dalam biliknya. Dilabuhkan penatnya di atas katil. “Kau pergilah mandi dulu, Tim. Aku nak rehat kejap. Lepas kau dah sudah, kau kejut aku, ya?” Qistina memejamkan matanya. Terubat sudah rindunya terhadap Mak Esah dan Pak Atan. Dia mengerti Mak Esah dan Pak Atan ingin tahu apa yang menyebabkan dia datang ke mari. Biarlah. Banyak lagi masa untuk dia menceritakan segalanya kepada mereka. Timah hanya menggelengkan kepalanya melihatkan kawannya berbaringan di atas katil tanpa membuka tudungnya. Biarlah dulu…

************

Para jemputan kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan Timah menggenggam segulung ijazah kini beransur pulang. Qistina berdiri di atas beranda memerhatikan Timah dan Mak Esah mengiringi para jemputan keluar dari halaman rumah.

“Ina?” suara yang amat dikenalinya itu, menyapanya dari pintu depan rumah.

Qistina menoleh. Di bibirnya terukir sekuntum senyuman yang manis. “Abang Khairul! Abang Khairul apa khabar?” Sejak Qistina sampai ke rumah Mak Esah dan Pak Atan siang tadi, barulah sekarang dia dapat bertegur sapa dengan Khairul, abang Timah. Khairul pulang lewat petang tadi dari Ipoh, sejurus sebelum masuknya waktu Maghrib dan terus bersiap untuk ke masjid untuk menjemput orang masjid. Langsung tidak berpeluang untuk menegur Qistina.

Khairul mendekati Qistina yang berdiri di anjung rumah. “Abang sihat, Alhamdulillah. Ina macam mana?” Direnungnya wajah gadis yang amat disayanginya itu. Sudah setahun tidak berjumpa, Qistina kini semakin jelita, semakin ayu, semakin mempesonakan. Dibuangnya perasaan itu jauh ke dalam lubuk hatinya. Tidak mahu Qistina merasa tidak selesa di sampingnya.

“Ina okey. Ina dengar abang dah nak bertunang, ya? Tahniah Ina ucapkan.” Senyuman yang terukir di bibirnya tulus dan ikhlas. Entah mengapa hatinya tidak pernah bertaut kepada Khairul. Bukannya Khairul tidak tampan, bukannya Khairul tidak baik. Cuma tiada sebarang perasaan sayang di hatinya melainkan perasaan sayang terhadap seorang abang dan seorang teman.

“Terima kasih…” Khairul berdiri di sebelah Qistina dan sama-sama memandang ke hadapan. “Mak kata Ina nak duduk sini dengan Timah selama seminggu. Betul ke? Bila nak mula kerja dengan syarikat papa?” Khairul pantas bertanya soalan lain kepada Qistina. Tidak mahu memberi peluang kepada Qistina bertanyakan perihal pertunangan yang bakal diikatnya tidak lama lagi. Dia belum bersedia.

Qistina mengeluh kecil. “Entahlah…” Itu sahaja yang mampu dijawab Qistina. Tidak tahu bagaimana untuk berterus-terang dengan Khairul. Biarlah sekali sahaja dia menceritakan kepada mereka nanti.

Mak Esah dan Timah mula melangkahkan kaki naik ke atas rumah. “Moh kita masuk rumah. Kat luar ni banyak nyamuk,” pelawa Mak Esah. Qistina dan Khairul hanya menurut. Qistina mengikut Timah turun ke dapur untuk mengemas mana-mana yang perlu.

Sejam kemudian, semua ahli keluarga Pak Atan dan Qistina duduk bersandar di ruang tamu, kepenatan. Kopi yang baru dibancuh dihirup perlahan. Lebihan kuih-muih daripada kenduri tadi, dijamu dan dinikmati bersama. Mak Esah memandang Pak Atan, sambil mengisyaratkan ke arah Qistina dengan matanya. Pak Atan mengerti.

“Ina, kamu kenapa sebenarnya ni? Tak nak cerita pada kami ke?” lembut Pak Atan bertanya. Pak Atan melihat Timah dan Qistina berbalas-balas pandang. Cawan di tangan diletakkan kembali ke atas piring dan dilabuhkan di atas meja kopi di ruang tamu. Qistina tahu dia tidak boleh melengahkan lagi. Inilah masanya untuk berterus-terang dengan ‘keluarga angkat’nya ini. Tiada rahsia di antara mereka.

“Sebenarnya, Pak Atan, Mak Esah, Ina….errr…Ina kena halau dari rumah, semalam…” Qistina tunduk ke bawah. Tidak sanggup untuk melihat riak wajah Pak Atan dan Mak Esah.

Ternyata mereka begitu terkejut mendengar kata-kata Qistina. Khairul juga begitu. Masing-masing berbalas pandang. Timah sahaja yang kelihatan tenang.

“Ya Allah! Kenapa Ina? Ina ada buat salah ke?” Mak Esah cuba meneka.

Qistina menggerakkan bibir, langsung diluahkan segala apa yang terjadi sejak dia pulang dari London. Mana yang perlu ditapis, dia tapis elok-elok. Tidak perlu dia menceritakan tentang Remy dan perangainya secara terperinci. Cukuplah dia mengatakan bahawa si Remy tu anak manja kesayangan Dato’ Idris Mansor, seorang buaya darat, kaki botol, suka berparti dan yang tidak pernah puas berdampingan dengan seorang perempuan pada sesuatu masa.

Mereka mendengar Qistina bercerita tanpa sebarang gangguan. Sesekali mereka mengangguk, dan sesekali mereka menggelengkan kepala.

“Habis tu, Ina nak buat apa sekarang?” soal Mak Esah. Kasihan dia mendengar nasib Qistina. Dari dahulu lagi dia menyedari kemahuan Tan Sri Ali Saifuddin mesti diturut anak isterinya. Tiada siapa yang berani membantah kehendaknya. Kini, hanya Qistina yang berani.

“Ina nak cari kerjalah Mak Esah. Tak bolehlah goyang kaki je, kan?” Qistina cuba senyum. Namun senyumannya tawar dan hambar. “Ina mungkin nak cari kerja kat London.”

Timah tersentak. “Bila kau buat keputusan ni?” London? Jauhnya! Dia tidak sanggup berpisah dengan Qistina lagi.

Qistina memalingkan wajahnya untuk merenung Timah yang duduk bersebelahan dengannya. “Kan aku cakap semalam aku tak boleh kerja kat KL. Ramai sangat orang kenal papa dengan mama aku. Tapi kalau difikirkan balik, bukan setakat KL je, kat mana-mana pun kat Malaysia ni orang kenal dia orang. Jadi susahlah aku nak cari kerja kat Malaysia ni. Baik aku balik London je. Aman hidup aku!”

Sebenarnya, keputusan untuk mencari kerja di London hanya diputuskan ketika di dalam bas pagi tadi. Makin difikirkan, makin tenang hatinya.

Timah menggelengkan kepalanya. “Kau nak tinggalkan aku lagi, Ina?” Matanya mula berkaca. “Kau baru je balik. Sekarang ada hati nak cari kerja kat London pulak. Sampai hati kau Ina…” lirih suara Timah.

Qistina mula tidak berasa selesa. Khairul pula asyik merenungnya tanpa henti sejak tadi. Tidak tahu apa yang difikirkannya. Langsung tidak bersuara.

“Alaah, Tim. Janganlah sedih. Selama ni pun aku tak de, kan? Tapi kita masih macam dulu jugak. Tak de beza pun, kan?” Qistina cuba memujuk Timah. Dia tidak mahu Timah menangis kerana dia tahu dia akan turut menangis bersama Timah. Dia tidak boleh melihat temannya mengalirkan air mata. Kesedihan temannya, kesedihannya juga.

Mak Esah tidak bersetuju dengan rancangan Qistina kerana dia juga tidak sanggup berpisah dengan anak yang dibesarkannya itu. Namun, di hati kecilnya, dia tahu keputusan Qistina adalah yang tepat dan yang terbaik demi menjaga aqidah serta imannya. Dia tahu pengaruh Tan Sri Ali Saifuddin begitu kuat dan dia juga tahu apa yang papa Qistina sanggup lakukan bagi memaksa Qistina tunduk kepadanya. Bukankah langkah yang sama pernah dilakukan kepada kakak Qistina, Sarah Qireena dulu untuk memaksanya berkahwin dengan Farid?

Tiada siapa boleh lari daripada kemahuan Tan Sri Ali Saifuddin. Dia tidak mahu Qistina menjadi mangsa ‘kekejaman’ papanya yang gila kuasa dan gila harta itu. Elok juga sekiranya Qistina ‘menghilangkan diri’ untuk sementara waktu. Mana tahu dalam masa itu juga Qistina akan berjumpa dengan jodohnya sendiri? Sayang, Qistina tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap Khairul. Walaupun begitu, sekiranya Qistina mempunyai perasaan terhadap Khairul pun, tidak mungkin Tan Sri Ali Saifuddin akan membenarkan Qistina berkahwin dengan anak orang gaji sepertinya.

“Mak Esah setuju!” tegas Mak Esah bersuara.

Timah terpinga-pinga. Dia ingatkan ibunya akan membantah keputusan Qistina sebentar tadi.

“Pak Atan pun setuju!” ternyata Pak Atan juga berfikiran sama dengan isterinya.

Timah tidak berpuas hati. Dia mencebik ke arah ibu dan bapanya. Dia menyangkakan yang kedua orang tuanya akan memujuk Qistina untuk kekal tinggal di Malaysia sahaja.  “Kenapa pulak ni? Mak dengan ayah ni sanggup ke kalau tak jumpa dengan Ina bertahun-tahun lamanya?”

“Itu bukan soalnya, Timah. Kau akan faham nanti…” perlahan Mak Esah bersuara.

“Relakslah, Tim. Bukannya aku nak pergi esok. Aku kena cari kerja dulu kat sana. Nak kena contact balik syarikat-syarikat yang pernah ambik aku kerja masa buat praktikal dulu. Lagipun, kalau aku kerja kat sini, aku takkan rasa amanlah…”

Timah masih tidak mengerti. Namun sebelum sempat dia berkata-kata, isyarat mata daripada ibunya membuat dia diam menyepi. Timah bangun. Ditariknya tangan Qistina bersama. “Jomlah, aku penat. Nak tidur. Besok sambung balik…” Wajah Timah masih masam mencuka.

“Ha-ah, pergilah tidur dulu, Ina. Esok kita sambung balik.” Mak Esah membiarkan sahaja Qistina ditarik Timah. Selepas pintu bilik Timah ditutup, Mak Esah memandang suaminya.

“Kesiannya Ina, bang. Sampai hati Tan Sri buat macam tu kat darah daging dia sendiri.” Suara Mak Esah melirih. “Tapi kalau Ina tak pergi dari sini, Esah tau macam-macam Tan Sri akan buat untuk paksa Ina kahwin dengan si Remy tu.”

Pak Atan mengangguk. Setuju benar dia dengan pendapat isterinya itu.

“Kau kenapa, Along? Senyap je dari tadi?” Mak Esah memandang Khairul pula.

“Nak cakap apa lagi mak? Ina tu bukannya budak kecik. Dia dah boleh buat keputusan dia sendiri. Selama ni pun, mak yang cakap Ina tu tak macam abang dan kakak dia.” Perlahan Khairul bersuara. Dia tidak berhak masuk campur dengan keputusan yang telah dibuat Qistina sebentar tadi. Siapalah dirinya kepada gadis itu. Mungkin lebih baik sekiranya dia terus berjauhan dengan Qistina. Mungkin perasaan yang disangkakan telah hilang selama ini, tetapi telah menerjah kembali sejak petang tadi, dapat dibuang terus jauh dari hati dengan peninggalan Qistina nanti. Dia perlu memupuk kasih sayang agar mekar kepada bakal tunangnya. Bukan kepada gadis itu.

“Taklah…mak tengok kau ni lain macam je…Tak berkelip kau pandang si Ina tu. Kau jangan lupa, Along. Kau tu dah nak bertunang…jangan diharapkan pada yang mustahil…”

Mahu sahaja Khairul menjawab, tiada yang mustahil. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tetapi kali ini, entah mengapa hatinya begitu pasti yang Qistina bukan untuknya. “Tak delah, mak. Takkan Along nak lupa pulak…Errr…mak, ayah, Along masuk tidur dululah. Esok Along balik semula ke Ipoh.”

Lagi cepat Khairul pulang ke Ipoh lagi bagus. Takut dia hanyut dengan perasaannya terhadap Qistina sekiranya dia lebih lama lagi di sini. Biarlah dia yang menjauhkan diri.

“Cepatnya kau nak balik!” Pak Atan tidak berpuas hati. Mak Esah turut sama mengangguk.

“Banyak kerjalah, ayah…” jawapan selamat diberikan.

“Hah, iyalah. Pergilah tidur…”


Pak Atan pun bangun lalu mengunci pintu dan menutup semua tingkap. Selepas lampu dipadamkan, dia dan Mak Esah masuk ke dalam bilik tidur mereka untuk berehat. Di dalam hati mereka masing-masing, dipanjatkan doa kepada Ilahi agar Qistina sentiasa dilindungi dan dijauhkan daripada pengaruh buruk papanya. 

2 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....