Thursday, 30 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 16

BAB 16

Selesai makan tengah hari dan mengerjakan solat Zuhur, Qistina turun ke bawah dengan niat untuk menyambung tugasnya menemani Puan Mariam. Setibanya di tingkat bawah, suara riuh-rendah dan tawa gurau-senda kedengaran. Mesti kembar Ian Iskandar, Iman Elena bersama anaknya sudah tiba dari kota Paris.

Pintu bilik Puan Mariam terbuka luas. Qistina teragak-agak berdiri di muka pintu. Sebagai orang luar, Qistina tidak mahu mengganggu suasana Puan Mariam menyambut kepulangan Iman Elena bersama anaknya, serta sesi melepaskan rindu yang berbuku di hati.

Qistina berpaling. Namun, sebelum sempat dia mengambil langkah yang kedua, Puan Mariam memanggil namanya. Qistina berhenti melangkah dan memalingkan tubuhnya kembali.

“Masuklah, Qistina. Jangan malu. Kenalkan...ni anak perempuan mummy, Iman dan cucu mummy, Daniel.” Sungguh ceria suara Puan Mariam memanggil Qistina masuk ke dalam biliknya.

Qistina mengukirkan senyuman kepada Iman Elena dan menghulurkan tangannya. Benar kata Puan Mariam. Iman Elena langsung tidak menyerupai Ian Iskandar, mahupun Puan Mariam. Rupa Iman Elena lebih kepada orang Melayu. Berambut hitam, berkulit kuning langsat dan bermata coklat cair. Mungkin dia lebih mengambil iras bapanya dan Ian Iskandar pula mengambil iras ibu mereka. Cantik! Sungguh cantik! Tinggi dan langsing. Persis seorang model.

Iman Elena menyambut tangan yang dihulurkan Qistina dan lantas memeluk gadis itu. Terpinga-pinga Qistina sebentar sebelum dia membalas pelukan bakal adik iparnya itu. Bakal adik ipar yang lebih berusia daripada Qistina sendiri. Senyuman di wajah Iman Elena begitu lebar, begitu mesra, begitu ikhlas. Qistina merasa lega.

“Jadi, inilah gadis yang berjaya mencuri hati Ian! Hmmm….padanlah….cantiknya bakal adik ipar Kak Iman ni…Cantik sangat!” Iman Elena memuji.

Not adik ipar, Iman,” Puan Mariam membetulkan kata-kata Iman Elena. “Dia akan berkahwin dengan abang Iman, jadi dia akan jadi kakak ipar Imanlah!”

Qistina tersipu. “Saya Qistina. Panggil je Ina.”

“Saya Iman Elena. Panggil aje Iman. Hmmm…rasa kekoklah pulak, mummy. Iman ni kan lagi tua daripada Ina, but anyway, welcome to the family, Ina!” Sekali lagi Iman Elena memeluk Qistina. Gadis itu benar-benar tersentuh dan terharu dengan penerimaan Iman Elena ke atas dirinya. Buat sejenak, terasa dia dipeluk kakaknya sendiri Sarah Qireena, yang tidak diketahui keadaannya ketika ini.

“Terima kasih, Iman…” Qistina pun tidak selesa memanggil Iman dengan panggilan namanya sahaja, padahal Qistina jauh lebih muda daripada Iman Elena.

“Errr…tak boleh panggil Kak Iman ke? Rasa macam tak hormat pada orang yang lebih berusia daripada Ina pulak…”

Puan Mariam tersenyum. Begitu tinggi nilai-nilai keMelayuan yang ada pada diri Qistina, walaupun begitu lama dia menetap di negara Barat. Lima tahun hidup di kota London tidak melunturkan walaupun sedikit nilai-nilai murni di dalam hatinya. “Jangan bimbang, Ina. Mummy yakin Iman tak kisah…”

“Yang tu pulak, anak buah Ina. Nama dia Daniel,” kata Iman Elena sambil menunjuk ke arah kanak-kanak lelaki comel yang masih dalam dakapan Puan Mariam. Tembam dan gebu pipi Daniel. Sungguh comel. Daniel juga kelihatan seperti ada iras Melayu dan ada juga iras orang putih. Daniel hanya melihat Qistina kehairanan.

“Hari Sabtu atau Ahad ni baru Ina dapat jumpa suami Iman, Muhammad Mikail.”

“Hai, Daniel…” Qistina menyapa. “Comelnya, Iman…geram Ina tengok! Dia faham bahasa Melayu tak Iman?”

“Sikit-sikit je…dia lebih selesa cakap bahasa Inggeris atau French. Papa dia orang sini, orang England tapi kerja kat Paris. Jadi kalau kat rumah, taklah selalu sangat nak cakap French…”

“Iman pulak, nampaknya masih fasih bercakap bahasa Melayu!” Qistina memuji.

“Habis tu, bersekolah, membesar semua kat KL? Takkanlah tak ingat bahasa ibunda sendiri pulak kan?” Iman Elena masih memerhati Qistina. Tentunya dia sudah banyak mendengar cerita mengenai gadis itu daripada ibunya. Puan Mariam sakan bercerita tentang perubahan ketara yang melanda abang kembarnya sejak kehadiran Qistina. Iman Elena tumpang gembira. Sudah lama dia menanti saatnya Ian Iskandar mempunyai isteri dan keluarga sendiri. 

Mummy perlukan apa-apa?” Qistina bertanya lembut.

No, my dear. Hari ni mummy happy sangat. Semua anak mummy ada bersama mummy hari ni. Tak lama lagi pulak, Ina akan kahwin dengan Ian. Takde apa lagi yang kurang dalam hidup mummy…” Ayat terakhir Puan Mariam disulami dengan esakan kecil tanda Puan Mariam begitu gembira dengan kepulangan Iman Elena dan cucunya Daniel.

Qistina tersenyum. “Mummy nak Ina tinggalkan mummy dengan Iman?”

No, dear. Duduk la sini. Anak-anak kesayangan mummy ada kat sini dan mummy nak luangkan masa dengan dua orang buah hati mummy ni.”

Iman Elena dan Qistina sama-sama tergelak kecil. Masing-masing mengambil tempat di tepi katil Puan Mariam. Qistina di tempat biasanya dan Iman Elena mengambil tempat bertentangan dengannya.

Mereka menghabiskan masa petang dengan bercerita sambil bergurau senda. Kelihatan Puan Mariam begitu ceria dan bersemangat. Tidak putus-putus dia ketawa mendengar perbualan Iman Elena dan Qistina. Pertama kali Puan Mariam melihat sinar kebahagiaan dan kegembiraan terpancar daripada anak mata Qistina. Puan Mariam benar-benar mengharapkan agar Ian Iskandar dapat membahagiakan Qistina setelah sekian lama Qistina menanggung duka. Qistina begitu selesa menyerap segala kasih sayang yang dicurahkan Puan Mariam untuk dirinya, dan kini daripada Iman Elena pula. Puan Mariam berdoa agar awan mendung yang sentiasa mengekori perjalanan Qistina selama ini akan beredar jua akhirnya dan hanya akan ada corakan warna pelangi yang bakal menghiasi kehidupannya bersama keluarga baharunya ini.

Daniel pula sudah elok terlentok tidur di sebelah Puan Mariam. Boleh lena dia walaupun berada di tengah-tengah kebisingan dan dikelilingi gelak ketawa. Qistina menawarkan dirinya untuk mengangkat Daniel naik ke atas.

“Boleh Ina? Tangan Iman ni tak kuat sangat lagi. Hari tu terseliuh sikit masa main bola dengan Daniel. Dukung sekejap-sekejap boleh, tapi kalau sampai nak naik tangga, tangan Iman ni tak kuat sangat lagi…”

“Boleh, Iman. Tak jadi masalah pun. Ina nak letak Daniel kat bilik mana, ya?”

Errrr…boleh tak Ina letak Daniel sebelah bilik Ian? Rasanya beg-beg Iman tadi, Naseem letakkan kat dalam bilik tu.”

Qistina mengangguk. Dia bangun dan dengan perlahan agar tidak mengejutkan Daniel, dia mencempung anak kecil itu ke dalam pelukan dan melangkah keluar dari bilik Puan Mariam. Sempat juga dia mencium pipi gebu Daniel, yang sedari tadi dicemburuinya. Iman Elena hanya mampu tersenyum melihat Qistina mengangkat dan mencium Daniel dengan penuh kasih.

Ketika Qistina menghampiri anak tangga...

“Qistina?” suara dalam Ian Iskandar memanggilnya dari belakang. Qistina memalingkan tubuhnya dan mengukirkan senyuman manis kepada bakal suaminya itu, sehingga menampakkan lesung pipitnya. Rindu dia kepada lelaki itu!

Terpanar Ian Iskandar melihat senyuman Qistina yang semestinya ditujukan khas untuknya. Tidak pernah Qistina memandangnya begitu…dengan pandangan yang sarat dengan kasih dan sayang…Dia mahu Qistina sentiasa memandangnya begitu. “Ina buat apa tu?”

Membulat mata Qistina mendengar Ian Iskandar membahasakan dirinya dengan ‘Ina’, dan bukan ‘awak’ atau ‘Qistina’ sebagai lazimnya sebelum ini. Dia suka! Suka sangat-sangat. Kedengaran begitu mesra.

“Daniel tertidur kat bilik mummy tadi, jadi Ina nak angkat dia naik bilik kejap. Bagi dia lagi selesa…”

Qistina kembali meniti anak tangga. Ian Iskandar bagai dipukau, hanya mengekori Qistina naik ke atas. Entah mengapa hatinya bagai ditarik-tarik melihat Qistina mencempung anak saudaranya itu. Perasaan yang begitu halus menimpanya. Terbayang seketika Qistina mendukung anaknya sendiri suatu hari nanti. Zuriatnya, dari benih kasihnya. ‘Ah, tak sabarnya…’

Di tingkat atas, Ian Iskandar memintas Qistina lalu membukakan pintu bilik bersebelahan dengan biliknya. Qistina tidak pernah masuk ke dalam bilik ini. Saiznya kecil sedikit berbanding bilik Qistina namun masih selesa dengan segala perabot tersusun kemas dan rapi. Dengan perlahan, Qistina meletakkan Daniel ke atas katil.

Ketika Daniel bergerak-gerak sedikit, Qistina menepuk perlahan pahanya, hinggalah dia kembali lena. Ian Iskandar hanya memerhati perlakuan Qistina dengan pandangan yang cukup redup. Dia seakan jatuh cinta sekali lagi dengan gadis itu. Terpesona dia melihat kelembutan serta sifat keibuan bakal isterinya itu.

Dengan isyarat mata dan kepala, Qistina mengajak Ian Iskandar keluar dari bilik itu dan membiarkan Daniel dalam lenanya.

Di luar bilik, Ian Iskandar memaut lembut lengan Qistina. “Ina nampak selesa pegang Daniel tadi. Ina memang biasa ke dengan budak-budak?”

Qistina menggelengkan kepalanya. “Errr…tak jugak. Ina sebenarnya jarang bergaul dengan budak-budak. Tapi Ina rasa Ina sukalah dengan budak-budak dan Daniel pun comel je…comel sangat-sangat!”

Ian Iskandar tersenyum lebar mendengar jawapan Qistina. Qistina memang seorang gadis yang penyayang. “Ina tahu tak kenapa Ina sangat istimewa di mata saya?”

Suara romantis Ian Iskandar bagaikan melodi indah di telinga Qistina. Qistina membalas renungan Ian Iskandar. Tubuhnya terasa kehangatan asmara yang dipancarkan oleh Ian Iskandar daripada suara, gaya dan panahan matanya. Sungguh mengasyikkan. Indahnya cinta!

“Kenapa?” bisik Qistina.

“Sebab dalam hati Ina ni penuh dengan kasih sayang. Sungguhpun macam-macam dah berlaku dalam hidup Ina, tapi kasih sayang yang ada dalam diri Ina sangat banyak …sayang kepada penjaga Ina, Mak Esah dan Pak Atan, sayang pada teman dan sahabat, sayang pada ahli keluarga saya terutama sekali mummy saya, dan yang penting sekali…” Ian Iskandar sengaja berjeda.

Qistina setia menanti Ian Iskandar menyudahkan ayatnya yang masih tergantung. Ian Iskandar mengambil satu langkah mendekati Qistina. Sungguh rapat kedudukan mereka ketika ini. Qistina mula berdebar-debar. Reaksi yang sama setiap kali Ian Iskandar berada di hadapan matanya. Ian Iskandar mengusap kepala Qistina yang dibaluti tudung.

“Dan yang penting sekali, sayang Ina pada saya…” bisik Ian Iskandar dekat dengan telinga Qistina. “Kalau boleh semua sayang yang ada dalam diri Ina tu saya nak bolot seorang…saya tak nak kongsi dengan orang lain, tapi saya tau saya tak boleh tamak macam tu. Cuma saya nak tau sama ada pernah tak Ina sayang pada orang lain seperti Ina sayang pada saya?”

Qistina tersenyum kecil. Suka mendengar Ian Iskandar bercakap lembut dengannya begitu. Tersentuh juga hati kecilnya pabila mengetahui dirinya begitu istimewa di mata lelaki itu. Sesungguhnya Qistina tidak pernah merasa begini dengan mana-mana lelaki sebelum Ian Iskandar dan dia pasti, tiada lelaki lain yang dapat mengambil tempat Ian Iskandar di dalam hatinya. Perasaan yang hadir dalam sekelip mata. Sungguh tidak disangka-sangka!

Pandangan Ian Iskandar penuh berharap. Menanti bibir merah itu menidakkan pertanyaannya. “Tak pernah…dan Insya-Allah, tak akan pernah ada…”

Kalau diikutkan hati, ingin sahaja Ian Iskandar menyambar gadis itu ke dalam dakapannya, dan memeluknya sepuas hatinya, namun dia masih tahu batas-batasannya.  Walaupun salah, dia tidak dapat menolak keinginannya untuk membelai pipi mulus gadis itu. “Terima kasih, sayang…”

Jantung Qistina nyaris-nyaris jatuh ke bumi mendengar panggilan Ian Iskandar yang terakhir itu. Matanya membulat, seolah-olah tidak percaya lelaki itu membahasakannya begitu. Terasa dirinya amat-amat disayangi…Hatinya berbunga-bunga…mekar dan mengharum. Lama mereka saling berpandangan…masing-masing menghitung detik dan ketika mereka akan saling disatukan tidak lama lagi…

“Ina jadi keluar dengan Dr. Ilyas malam nanti?” Ian Iskandar memecah kesunyian.

Qistina mengangguk. Ian Iskandar mengeluh kecil. Seakan menyesal pula membenarkan gadis itu menemani Dr. Ilyas Khan malam nanti. Semestinya dia akan terlepas bermakan malam dengan Qistina dan tentunya tidak dapat menjamu matanya ke wajah gadis itu nanti.

“Jaga diri, ya,” pesan Ian Iskandar. “Jangan nakal-nakal, tau. Bila berlakon jadi kekasih Ilyas nanti, jangan terlebih-lebih berlakon pulak. Ingat! Saya kat sini kekasih Ina yang sebenar! Bukan si doktor tu!” getus Ian Iskandar.

“Kenapa? Cemburu ke?” Qistina bertanya dengan sekuntum senyuman manis di bibir. Lucu dia mendengar pesanan Ian Iskandar tadi.

“Hai, mestilah. Tak suka Ina jadi kekasih olok-olok Ilyas tu. Sakit mata saya tengok Ina bermesraan dengan lelaki lain,” serius Ian Iskandar berkata. “Ingat, ni yang terakhir tau! Lepas ni, no more!” Tegas.

Qistina mengangguk. “Tahu. Ina faham. Lepas ni Ina takkan jadi kekasih dia lagi…Emmm…dah jumpa Iman kat bawah?”

“Belum. Jom turun sekali?”

Qistina mengekori langkah Ian Iskandar dan bersama-sama mereka menghabiskan waktu petang bersama Iman Elena dan Puan Mariam.


************

“Qistina, I’m really sorry. Please forgive me.” Entah ke berapa kali Dr. Ilyas Khan meminta maaf. Menyesal dia dengan apa yang telah terjadi sebentar tadi.

“Ilyas, forget it. It wasn’t your fault,” ujar Qistina untuk kesekian kalinya juga. “She was upset. I told you she wouldn’t be happy to see me there…”

Yes, but I didn’t think she would act that way…I’ve never seen this side of her before!”

Qistina mengeluh. Kehadirannya bersama Dr. Ilyas Khan ke majlis perpisahan rakan Dr. Ilyas Khan tadi, walaupun mendatangkan hasil seperti yang diharapkan, tetap dicemari apabila Dr. Fatma Ali bersikap sedikit kurang ajar terhadap Qistina. Dr. Fatma Ali hadir ke majlis itu berseorangan tanpa teman lelakinya dan sering menjeling ke arah Qistina, yang sentiasa ditemani Dr. Ilyas Khan. Dr. Ilyas Khan pula bijak memainkan peranannya sebagai teman lelaki Qistina dan kelihatan sungguh manja dan romantis di sampingnya.

Akhirnya, kerana tidak dapat menahan kepanasan hatinya barangkali, Dr. Fatma Ali telah datang menghampiri Qistina serta Dr. Ilyas Khan dan dengan suara yang lantang meminta penjelasan mengenai hubungan mereka. Dengan selamba Dr. Ilyas Khan menjawab, “She’s the love of my life…” sambil memaut lengan Qistina. Wajah Dr. Fatma Ali serta-merta berubah menjadi pucat dan matanya mula berkaca.

Muzik yang dimainkan dengan sedikit kuat menenggelamkan kata-kata Dr. Fatma Ali seterusnya, namun jelas didengari oleh Qistina dan Dr. Ilyas Khan. Dr. Fatma Ali dengan rendah diri telah memohon maaf daripada Dr. Ilyas Khan dan memintanya diberi satu peluang lagi. Sebelum Dr. Ilyas Khan sempat menjawab, Dr. Fatma Ali telah menuduh Qistina mencuri cinta hatinya, merampas kekasihnya. Qistina benar-benar simpati dengan Dr. Fatma Ali kerana jelas di matanya Dr. Fatma Ali masih mencintai Dr. Ilyas Khan.

She didn’t steal me away from you, Fatma. You better watch your words!” Dr. Ilyas Khan berkata dengan nada yang marah. Jari telunjuknya ditujukan ke wajah Dr. Fatma Ali. “You had already broken off our engagement way before Qistina came into my life!”

Dr. Fatma Ali terdiam. Dia mengakui kata-kata bekas tunangnya itu namun luka di hatinya terlalu pedih. Hatinya terlalu sakit menyaksikan adegan-adegan romantik yang dipamerkan secara terang-terangan oleh sepasang kekasih itu. Sejak melihat Dr. Ilyas Khan bermesra dengan wanita lain di majlis makan malam tempoh hari, tiba-tiba sahaja timbul suatu kesedaran di hatinya tentang cintanya yang masih utuh buat lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tergamak memutuskan pertunangan mereka hanya disebabkan lelaki berbangsa Scottish itu yang jauh lebih berada dan lebih berpengaruh daripada Dr. Ilyas Khan. Bodoh betul dia!

Akhirnya, Dr. Fatma Ali berlalu dari situ. Namun dengan sengaja, sempat dia melanggar kuat bahu Qistina sehingga gelas minuman yang dipegang Qistina jatuh berkecai ke atas lantai. Syukur serpihan kaca tidak mengenai kakinya.

“Qistina, are you really alright?” Dr. Ilyas Khan masih risau. “I’m really sorry, okay?” Dr. Ilyas Khan tidak jemu-jemu meminta maaf daripada Qistina.

“Ilyas, stop apologising, okay? She obviously still loves you and she’s hurting because she thinks you’re with me. Her reaction was probably normal. But, I really think you guys should talk things over…settle the things that need to be settled between the two of you.”

Does your shoulder still hurt? You want me to have a look at it?” Dr. Ilyas Khan menyedari betapa kuatnya hentakan pelanggaran bahu oleh Dr. Fatma Ali sebentar tadi.

No, I’ll be fine,” balas Qistina, walaupun bahunya masih terasa sengal. “I’ll go inside now, okay. Good luck with Fatma, Ilyas. I wish you all the happiness with her. Will I be seeing you on Sunday?”

Thanks, Qistina, for everything that you’ve done for me. You’re a true friend! And yes, you’ll be seeing me on Sunday. I wouldn’t miss your wedding for the world!”

Qistina mengeluarkan kunci rumah dan membuka pintu masuk. Setelah Qistina hilang daripada pandangan, Dr. Ilyas Khan pantas menyeluk sakunya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor telefon Ian Iskandar didail. Bahu Qistina harus diperiksa. Dia tahu Qistina tentu dalam kesakitan. Dia cukup-cukup menyesal dengan perbuatan bekas tunangnya itu. Sungguh tidak disangka-sangka.

Ian Iskandar menjawab panggilan Dr. Ilyas Khan. Dia mendengar dengan teliti penceritaan serba ringkas tentang apa yang telah terjadi kepada Qistina sebentar tadi. Selepas mendengar ucapan maaf daripada Dr. Ilyas Khan, Ian Iskandar mematikan talian telefon. Hatinya dipagut kebimbangan.

‘Kalau tak serius, takkan Dr. Ilyas sanggup telefon aku?’

Ian Iskandar keluar dari biliknya dan mengetuk pintu bilik adiknya. Dimintanya Iman Elena memeriksa bahu Qistina. Kalau boleh, memang dia sendiri mahu memeriksanya, namun apakan daya. Qistina masih belum sah menjadi isterinya.

Iman Elena akur dengan permintaan Ian Iskandar apabila melihat betapa keruh serta bimbangnya wajah abang kembarnya itu. Iman Elena mengetuk pula pintu bilik Qistina. Ketika pintu dibuka, Iman Elena melangkah masuk dan menutup pintu. Ian Iskandar dibiarkan berdiri di luar pintu. Ian Iskandar berjalan berlegar-legar di tingkat atas. Tidak sabar dia hendak mengetahui keadaan Qistina. Marah betul dia dengan Dr. Ilyas Khan kerana tidak melindungi Qistina dengan sebaik-baiknya.

Sepuluh minit kemudian, Iman Elena keluar dari bilik Qistina. Dilihatnya Ian Iskandar masih setia menunggu.

“Dia macam mana?”

“Dia okey. Cuma ada lebam sikit kat bahu dia. Kuat agaknya bahu dia kena langgar tadi.”

“Dia rasa sakit ke?” Berkerut dahinya. Dia tidak mahu Qistina merasakan sebarang kesakitan. Biarlah dia sahaja mengambil-alih segala kesakitan yang ditanggung gadis itu.

Iman Elena tersenyum di dalam hati. Betul kata ibunya. Abangnya ini memang sudah berubah…

“Sakit sangat!” tipu Iman Elena. Padahal Qistina telah pun memberitahunya sebentar tadi yang kesakitan yang dirasakannya kini cuma berbaki.

Ian Iskandar menarik nafas. Tanpa berfikir panjang, dia mengetuk pintu bilik Qistina. Qistina membuka pintu dan hairan melihat Ian Iskandar serta Iman Elena berada di luar biliknya. Ian Iskandar dengan muka yang sedikit tegang dan dahi yang berkerut, manakala Iman Elena dengan senyuman yang kelihatan agak nakal. Qistina hairan melihat kelibat kedua-dua kembar itu yang jelas memberi riak wajah yang berbeza.

“Jom, kita pergi hospital,” ajak Ian Iskandar sambil memaut dan menarik lengan Qistina.

Qistina terpinga-pinga. Tubuhnya terdorong ke hadapan akibat tarikan Ian Iskandar. “Kenapa? Siapa yang sakit? Mummy ke?” Qistina mula risau. Dia memandang ke arah Ian Iskandar sama seperti Ian Iskandar memandangnya. Iman Elena pula seakan tidak tertahan lagi menahan ketawanya. Comelnya melihat pasangan kekasih ini!

“Hesy! Apa pulak mummy? Kan Ina yang sakit?”

“Ina sakit? Sakit apa? Mana ada?” Hairan betul Qistina dengan sikap Ian Iskandar ini.

Ian Iskandar mencerlungkan matanya. Dia menyangkakan Qistina sedang cuba menyembunyikan kesakitannya daripada diketahui lelaki itu. Padahal Qistina seharusnya berkongsi segala rasa dengan dirinya. Bukankah dia bakal suami Qistina juga? Tidak puas hati dia!

“Ina jangan tipu! Saya tahu bahu Ina sakit! Sakit sangat kan? Dr. Ilyas dah ceritakan segalanya pada saya tadi!”

Qistina mengalih pandangannya kepada Iman Elena. Tawa Iman Elena terletus juga akhirnya. Suka dia dapat mengenakan abangnya itu. Abangnya yang sebelum ini begitu cool dan macho, akhirnya jatuh tersungkur kepada gadis yang jauh lebih muda daripadanya ini. Ya! Cinta bisa merubah segalanya!

Ian Iskandar dan Qistina kini memandang Iman Elena. “Maafmaaf…abang…I couldn’t help myself….” ucap Iman Elena dalam ketawanya. “Ina tak apa-apa la! Dia okey, dia sakit sikit je…”

Ian Iskandar mengetap bibirnya. Pautan di lengan Qistina dilepaskan lambat-lambat. Mahu sahaja kepala adiknya ini dipelangkung. ‘Boleh main-main pulak dia! Aku dah risau semacam je tadi.’

Dengan ketawa yang masih berbaki, Iman Elena kembali masuk ke dalam bilik tidur yang dikongsi bersama Daniel. Ian Iskandar dan Qistina sekadar menghantar pemergian Iman Elena dengan ekor mata.

Qistina memandang wajah Ian Iskandar. Terharu dia! Lelaki itu benar-benar risau ke atas dirinya. Sudah lama dia menanggung sakit pening sendirian, kini ada orang yang benar-benar perihatin terhadap dirinya.

“Terima kasih,” ucap Qistina dengan nada penuh terharu.

Pantas Ian Iskandar berpaling. Wajah manis Qistina ditatap mesra. “Untuk apa?” Ian Iskandar tidak mengerti.

Qistina tersenyum. Kini dia pula memaut lengan Ian Iskandar. “Terima kasih sebab risaukan Ina…Selama ni, hanya Mak Esah, Pak Atan dan Tim je yang selalu risaukan Ina…Rasa lain pulak bila ada orang lain yang risaukan tentang Ina sekarang ni…”

Ian Iskandar memandang tangan halus Qistina di lengannya. Pertama kali Qistina menyentuhnya dalam rela. Digenggamnya tangan itu dan dikucupnya perlahan. Qistina terkedu. Nyilu terasa hingga ke hati. “Mestilah saya risau…Betul Ina okey?”

Qistina mengangguk sambil menarik perlahan tangannya daripada pegangan Ian Iskandar. “Ina dah sapu minyak gamat. Insya-Allah okey.”

“Okey, pergilah rehat. Jumpa esok. Good night, love…” ucap Ian Iskandar dengan nada romantik.

Good night, Ian,” balas Qistina lembut.

Mata biru Ian berubah menjadi lebih biru mendengarkan Qistina membahasakan namanya begitu. Sungguh lembut dan merdu di telinga.

‘Ya Allah, biarlah gadis ini menjadi milikku yang abadi…aku tak sanggup kehilangannya. Dan berikanlah kepadaku kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi segala amarahnya hari Ahad ini…Bukakanlah hatinya untuk menerima penjelasanku seadanya…Amin!’



1 comment:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....