Monday, 27 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 15

BAB 15

“Ke mana dia pergi? Takkan awak tak nampak dia tinggalkan hospital ini? Macam mana awak semua buat kerja ni, hah?” marah Tan Sri Ali Saifuddin kepada doktor dan jururawat-jururawat yang bertugas. Mereka hanya mampu tunduk menikus. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan-soalan Tan Sri Ali Saifuddin itu.

“Habis tu sekarang awak nak buat apa? Saya dah pesan jaga dia elok-elok. Awak tau tak saya ni siapa? Kalau cerita ni keluar surat khabar, tak malu saya nanti?” Bertambah merah wajah Tan Sri Ali Saifuddin. Bersusah payah dia cuba merahsiakan kecederaan Sarah Qireena daripada pengetahuan polis. Sekarang perlukah dia membuat laporan polis ke atas kehilangan anaknya itu?

“Hesy! Menyusahkan orang je!” bentak Tan Sri Ali Saifuddin lagi.

‘Tapi Sarah dah besar. Taulah dia nak jaga diri dia. Malu aku kalau reporter tau pasal Sarah!’

“Yang tercegat kat situ buat apa? Kemas barang anak saya ni! Siapkan discharge papers dia! Dalam rekod, anak saya Sarah Qireena sudah didischargekan, faham? Saya tak mahu dengar berita kehilangan anak saya ni keluar kat surat khabar. Kalau keluar, saya saman semua yang ada dalam bilik ni, dan pihak hospital sekali, faham?” Tan Sri Ali Saifuddin berkata dengan angkuh. Sehingga hendak tersembul biji matanya memandang doktor yang bertugas.

“Sudahlah tu, papanya…” Puan Sri Ani Suraya cuba memujuk, namun tidak diendahkan suaminya itu. Amarahnya sudah sukar untuk dikawal lagi.

Sudahlah hubungan dengan besannya Dato’ Malek bin Mustaffa sedikit terjejas akibat tindakan menantunya, Farid ke atas Sarah Qireena. Sekarang bukan setakat Farid sahaja yang lari entah ke mana, Sarah Qireena pula menghilangkan diri. Marah betul dia!

Syukur, jururawat Siti Aishah tidak bertugas hari ini. Maka rahsia Sarah Qireena masih kekal rahsia. Di dalam suatu bilik kecil di tengah ibu kota, Sarah Qireena, mengalirkan air mata kesyukuran…

***********

Assalamualaikum Tim,

Aku risau tak dapat khabar berita dari kau sejak kau call aku hari tu. Aku risaukan kakak aku! Kakak aku tu lemah dan dia takut benar dengan papa aku. Aku risau, Tim.

Aku ada banyak benda nak cerita dengan kau. Tapi susah betul nak cerita melalui e-mel ni. Tapi yang paling utama, aku akan berkahwin minggu depan! Mesti kau terkejut kan? Berkahwin dengan Ian Iskandar, lelaki yang bertakhta dalam hatiku. Kau pun tau perasaan aku padanya kan? Tapi, walaupun aku gembira bakal berkahwin dengannya, aku sedih sebab kau tak de masa aku kahwin nanti. Kau, Mak Esah, Pak Atan, mama dan papa…Aku tak de sesiapa kat sini, Tim. Kalaulah kau ada dengan aku…

Tim, kau tolong doakan kebahagiaan dan kesejahteraan aku, ya? Doakan agar perkahwinan aku ni akan kekal sehingga ke akhir hayat.

Aku pergi dulu, Tim. Rindu sangat-sangat dengan kau.

Wassalam.
Ina

Butang send ditekan dan mesej dihantar. Qistina mengeluh.

Sudah tiga hari peristiwa lamaran di Brighton Pier berlalu. Tiga hari jugalah kelibat Ian Iskandar langsung tidak kelihatan di rumah itu. Entah ke mana dia menghilang. Dari pagi hingga ke malam dia menghilangkan diri. Sehinggakan Qistina tidak berkesempatan berbincang dengan lelaki itu tentang hal perkahwinan mereka. Makan malam juga berseorangan. Qistina hanya sempat bertemu Ian Iskandar sekejap sahaja ketika Dr. Ilyas Khan datang menziarahi Puan Mariam semalam. Kemudian dia terus meninggalkan rumah. ‘Hari ni dah Rabu. Ahad nak kahwin. Nak kahwin pakai apa? Aku nak buat persiapan apa? Hesy! Geram betullah dengan mamat sorang ni!’

Qistina semakin gusar. Banyak perkara yang dia tidak mengetahui tentang lelaki itu. Ian Iskandar pernah berkata dirinya amat berahsia, namun lelaki itu juga tiada bezanya. ‘Hmmm, mungkin aku boleh bertanya pada madam!’

Puan Mariam, sejak diberitahu tentang rancangan anak lelakinya untuk berkahwin dengannya, semakin ceria dan gembira. Tekanan darahnya sentiasa stabil, degupan jantungnya kuat dan dia semakin rajin untuk melakukan senaman pada kakinya. Puan Mariam seolah-olah mendapat semangat baharu. Nafas baharu!

Lain pula dengan Natalie Brown yang semakin menyombongkan dirinya dengan Qistina. Qistina tidak mengambil pusing akan kelakuan jururawat itu. Dia tahu bukan dirinya yang tergedik-gedik mendapatkan perhatian Ian Iskandar selama ini jadi tidak perlu untuk dia merasa bersalah dengan wanita itu. Walaupun Qistina menyedari yang Natalie Brown menyimpan perasaan terhadap Ian Iskandar, namun Ian Iskandar tidak membalas perasaan itu. Perasaan lelaki itu hanya untuk dirinya.

Qistina turun ke bawah. Pasti Puan Mariam sudah terjaga daripada tidur siangnya. Qistina mengetuk pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Puan Mariam tersenyum melihat kedatangan Qistina. “Dear, masuklah...masuk...”

Qistina mengambil tempatnya.

“Qistina tahu, esok Iman akan datang dari Paris. Dia baru call mummy tadi. Mummy rindu sangat dengan dia dan Daniel. Tapi suami dia tak dapat datang…mungkin sempat datang untuk majlis akad nikah je…”

Qistina tersenyum. Gembira melihat Puan Mariam begitu teruja dengan berita yang baru diterimanya. “Saya pun…tak sabar nak jumpa Puan Iman…”

“Apa Puan, Puan pulak ni Qistina? Dia akan jadi adik ipar Qistina tau!” Puan Mariam tergelak kecil.

“Dia tahu pasal saya ke, madam?”

“Ya Allah, Qistina...Janganlah panggil mummy madam lagi. Qistina kan akan berkahwin dengan anak mummy hujung minggu ni,” makin besar ketawa Puan Mariam. “Qistina patut mula panggil saya mummy tau!”

Qistina tersipu. Sudah banyak kali Puan Mariam mengingatkannya agar menukar panggilan ‘madam’ kepada ‘mummy’, sama seperti Ian Iskandar yang meminta Qistina memanggilnya ‘Ian’ dan bukan ‘Encik’. Namun lidahnya sudah seakan terbiasa dengan panggilan ‘madam’ dan ‘Encik’ itu.

“Mestilah Iman dah tahu pasal Qistina. Iman tahu pasal Qistina sejak mula Qistina bekerja dengan mummy lagi. Cuma dia tak berkesempatan balik ke London untuk berjumpa dengan Qistina. Mummy rasa, Iman pun dah call Ian tanyakan pasal perkahwinan tu. Mummy tahu, Iman pun tak sabar nak jumpa Qistina…gadis yang telah berjaya mencairkan hati batu anak teruna mummy…” tawa Puan Mariam terletus lagi.

‘Hai! Mamat ni boleh cerita pada orang lain pasal hal perkahwinan kita, tapi dengan aku, sikit tak bercerita. Tak boleh jadi mamat ni!’ getus Qistina di dalam hati.

“Kenapa Qistina? Ada sesuatu yang Qistina fikirkan ke?” Puan Mariam bertanya apabila melihatkan Qistina tidak sama-sama ketawa dengannya. Sayang betul Puan Mariam kepada gadis itu! Teringat lagi ketika Ian Iskandar memaklumkan kepadanya tentang hasrat mereka untuk berkahwin sebaik sahaja pulang dari Brighton hari Ahad lepas. Ucapan kesyukuran terus sahaja dipanjatkan kepada Ilahi.

Doanya yang berterusan untuk Ian Iskandar dan Qistina dimakbulkan Allah. Dia benar-benar bersyukur dan gembira gadis ini akan menjadi menantunya. Dia turut yakin hingga ke dasar hatinya yang Ian Iskandar akan bertemu sinar kebahagiaan yang dicari selama ini bersama Qistina. 

“Panggil Ina je mummy. Pendek dan ringkas, kan mummy?” Qistina tersenyum meleret. Kali pertama dia memanggil Puan Mariam dengan panggilan ‘mummy’. Tersentuh hati dan naluri Puan Mariam mendengarnya.

Qistina mengeluh. “Entahlah mummy…rasanya macam semuanya berlaku dengan begitu pantas sekali! Tak tahu kenapa Encik Ian…errr…I mean Ian, nak kahwin cepat sangat. Lepas dia buat keputusan nak kahwin dalam masa seminggu, dia terus menghilangkan diri. Macam-macam Ina nak bincang dengan dia…tapi dia takde…” Qistina mengadu. Qistina juga telah merubah panggilan dirinya sendiri daripada ‘saya’ kepada ‘Ina’. Lebih mesra dirasakan begitu.

Puan Mariam melihat wajah Qistina yang diselubungi rasa keliru. Dia tahu mengapa Ian Iskandar membuat keputusan terburu-buru begitu. Ian Iskandar telah pun terlebih dahulu meluahkan segala kerisauannya kepadanya. Apa pun keputusan yang dibuat Ian Iskandar, segalanya adalah untuk kebaikan Qistina…semuanya adalah kerana Qistina…

“Ina rasa macam belum bersedialah, mummy…Ina perlukan masa…”

“Kenapa Ina? Ina tak pasti ke dengan perasaan Ina pada Ian?”

“Tak…tak, mummy. Bukan itu…bukan soal hati atau perasaan Ina mummy, tapi….” Qistina mengeluh. “Mummy, banyak lagi perkara yang Ina tak tahu tentang Ian…”

Puan Mariam mengerti belenggu yang sedang melanda gadis itu.

“Ina nak tahu kisah hidup Ian, kan? Mungkin tentang bapa Ian?” perlahan suara Puan Mariam.

“Bukan tu je, mummy…banyak lagi…Ina tak tau apa yang Ian suka dan apa yang dia tak suka…Ina tak tau macam-macam pasal Ian…terutama sekali latar belakang dia…”

Mummy, maafkan Ina mummy…” ucap Qistina apabila wajah Puan Mariam bertukar menjadi keruh.

No dear, Ina tak perlu pun minta maaf. Mummy tahu Ina ada hak untuk tahu…tapi biarlah Ian sendiri yang beritahu pada Ina. Ina sabar, ya?”

Qistina tiada pilihan lain. Dia tidak rela mendesak Puan Mariam setelah keceriaan yang hadir sebentar tadi sudah hilang dari wajah itu.

“Macam mana nak tanya kalau Ian takde kat rumah…dia pergi mana sebenarnya, mummy?”

“Rindu ke?” Puan Mariam mengusik. “Tak ke mana-manalah Ina. Dia sibuk buat persiapan perkahwinan tu. Short noticelah katakan…”

“Tu la mummy…Ina mintak tangguh dia tak nak…”

Puan Mariam kembali tersenyum. Biarlah Ian Iskandar sahaja yang memberi penjelasan. Lambat laun, Qistina akan tahu juga perkara sebenarnya. Sehingga itu, biarlah Ian Iskandar berusaha memiliki gadis di hadapannya ini.


***********


Are you sure?” Ian Iskandar memicit dahinya yang terasa mencucuk-cucuk. Kepalanya terasa berat. Namun tidak seberat hatinya.

Okay. Get everything ready! I don’t want any slip-ups. Everything must be perfect, you understand?” Ian Iskandar mematikan telefon dengan Jeffrey, penyiasat persendirian dari Kuala Lumpur.

Penat sungguh dia! Hendak menguruskan majlis akad nikah lagi, hal keluarga Qistina lagi, dan juga yang berkenaan dengan Remy Dato’ Idris Mansor. Semua rancangan mesti menjadi. Tidak boleh tidak! Majlis akad nikah akan berlangsung hari Ahad ini di Masjid East London. Masa begitu suntuk. Lagi empat hari sahaja. Semua rancangan mesti direncanakan sebelum Ahad ini. ‘Ya Allah, permudahkanlah, ya Allah…’

Sudah tiga hari dia tidak sempat meluangkan masa bersama Qistina. Rindu betul dia kepada gadis itu. Hendak membawanya bersama untuk membeli cincin kahwin pun tidak sempat. Ian Iskandar seorang sahaja yang memilih dan lantas membeli. Begitu juga dengan baju nikah untuk Qistina. Dia tidak mahu menyewa baju nikah untuk Qistina. Bukannya tidak boleh. Di kota London ini tiada yang mustahil. Rakyat Malaysia dan persatuan-persatuan kebudayaan ada di mana-mana. Tetapi dia mahukan yang istimewa untuk gadis itu.

Syukur dia telah diperkenalkan kepada seorang wanita Melayu yang telah lama menetap di kota London yang sudi menjahit sepasang baju kurung moden untuk Qistina. Naseem pula telah ditugaskan untuk ‘meminjam’ sepasang baju kurung Qistina, juga daripada potongan baju kurung moden, yang telah dibawanya dari Malaysia, yang masih terlipat kemas di dalam almarinya, untuk dijadikan ukuran. Teringat kembali bagaimana sukarnya untuk menerangkan kepada Naseem bagaimana rupanya baju kurung itu.

‘Nasib baik dia bawak baju kurung dari Malaysia, kalau tak bawak, pening jugak kepala…Hesy! Susah betul nak buat persiapan kahwin ni sendiri-sendiri. Tu la…nak surprise kan dia konon!’

Semuanya mahu dilakukan tanpa pengetahuan Qistina. Dia mahu Qistina betul-betul teruja dan terkejut dengan segala persiapan yang telah diaturkannya. Hanya untuk Qistina. Tidak sabar dia hendak melihat reaksi Qistina apabila melihat segala rancangannya nanti. Hatinya berbunga riang.

Sofiah Qistina. Nama gadis itu sering meniti di bibirnya. Tidak sabar dia menanti saat ijab dan kabul di mana Qistina akan menjadi isterinya yang sah. Impian yang selama ini disulam indah bakal menjadi kenyataan. Wajah ayu dan manis gadis itu akan sentiasa menjadi tatapannya. Tubuh dan jasad gadis itu akan menjadi teman tidurnya. Ahhh…bahagianya…Ian Iskandar tersenyum memikirkan malam-malam indah yang bakal menanti…

***********

Pulang dari taman bersama Puan Mariam, kelihatan Dr. Ilyas Khan sedang menanti di ruang tamu. Hajatnya ingin berbicara dengan Qistina. Setelah Qistina memastikan Puan Mariam sudah selesa di atas katilnya, Qistina kembali ke ruang tamu. Dia sedikit kehairanan dengan kunjungan Dr. Ilyas Khan pada waktu begini.

Hey, Qistina. Thanks for seeing me! Errr…so how’s the wedding preparations going on?” Dr. Ilyas Khan memulakan perbualan. Hatinya tumpang gembira apabila mendengar berita tentang majlis perkahwinan Qistina dengan Ian Iskandar hujung minggu ini.

Qistina ketawa kecil. “What wedding preparations? I seriously don’t know what’s going on! I believe Ian’s taking care of everything…”

You know, I’m really happy for you. When you first told me you were getting married to Ian, I wasn’t at all surprised! I knew there was something between the two of you…I could see the sparks flying. You guys have a very strong chemistry…” Dr. Ilyas Khan tersenyum.

Qistina turut tersenyum. Dia langsung tidak menyangkakan Dr. Ilyas Khan, sebagai orang luar, boleh mengagak dan menilai perasaan Ian Iskandar dan juga dirinya, padahal dia sendiri begitu sukar untuk membaca isi hati bakal suaminya itu. “I’m sorry I can’t be your girlfriend anymore!” Qistina mengusik.

Tawa mereka terletus.

That is what I wanted to talk to you about!” Dr. Ilyas Khan bersuara sebaik sahaja tawanya reda.

Rupanya sejak majlis makan malam beberapa hari yang lalu, Dr. Ilyas Khan telah menerima panggilan daripada Dr. Fatma Ali yang bersungguh-sungguh mahu bertemu dengannya. Akan tetapi, Dr. Ilyas Khan masih beralasan dan tidak mahu berjumpa dengan bekas tunangnya itu.

That’s why I need you to act as my girlfriend one last time, before I agree to meet up with her…”

What? Why?”

Well, you were the one who told me not to make it easy for her, right? I want to make her suffer for a few more days…”

I don’t know, Ilyas…” ujar Qistina meleret. Berat hati Qistina hendak membantu Dr. Ilyas Khan kali ini. Mengingatkan sifat Ian Iskandar yang mencemburui hubungannya bersama Dr. Ilyas Khan, membuatkan Qistina teragak-agak untuk memberi persetujuannya. Dia mahu menjaga hati dan perasaan bakal suaminya itu.

Just one last time, Qistina. We are throwing a farewell party tomorrow night for one of our friends who will be moving to Scotland. I know Fatma’s going to be there coz this friend is very close to her. Will you come with me to the party?”

I don’t think I should…” Qistina berbelah bagi.

Are you afraid Ian might say no? Why don’t I talk to him?” Dr. Ilyas Khan masih cuba memujuk Qistina.

Talk to me about what?” suara Ian Iskandar yang dalam kedengaran dari muka pintu. Qistina memalingkan wajahnya ke arah suara itu. Suara yang amat dirinduinya. ‘Hesy! Hari ni dia balik kerja awal pulak. Tiba-tiba je dia muncul!’

Ian Iskandar dan Qistina saling berpandangan. Melepaskan rindu yang membara di dalam hati masing-masing. Ian Iskandar sedikit cemburu melihat bakal isterinya duduk berduaan dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun dia menyedari hubungan mereka tidak seperti yang dia sangkakan sebelum ini. Namun, sebagai seorang lelaki, dia tetap merasa cemburu melihat Qistina beramah mesra dengan lelaki lain.

Ian Iskandar berjalan menuju ke sofa dan melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Qistina. Rapat. Bahu mereka bersentuhan. Ian Iskandar memandang Dr. Ilyas Khan dan mengulangi soalannya sebentar tadi.

I would like to borrow your fiancée tomorrow night. Just for a couple of hours…” Dr. Ilyas Khan menceritakan secara ringkas niatnya untuk membawa Qistina ke majlis perpisahan untuk rakannya malam esok.

As your fake girlfriend?” Ian Iskandar bertanya. Tidak sinis namun agak mendatar.

Dr. Ilyas Khan ketawa. “Yes, as my fake girlfriendfor the last time, Ian. I promise.

Ian Iskandar mengeluh. Dia memandang sekilas kepada Qistina. Gadis itu hanya diam menyepi. ‘Mereka hanya kawan, Ian. Mereka hanya kawan…’ Ian Iskandar memujuk hatinya. Dia tahu dia tidak boleh terlalu mengongkong gadis itu.

Sure. I have no objections if Qistina has no objections…” Dengan berat hati Ian Iskandar membenarkan.

Qistina memandang Ian Iskandar. Tidak menyangkakan yang Ian Iskandar akan memberikan kata persetujuannya. Ketika wajah Ian Iskandar dipandang barulah Qistina perasankan betapa wajah itu kelihatan penat dan sedikit tegang. Timbul bibit-bibit kerisauan di hati Qistina. Mengapa Ian Iskandar bersusah-payah mengendalikan hal-hal berkaitan majlis perkahwinan mereka tanpa meminta pertolongan langsung daripadanya? Qistina nekad untuk berbincang dengan Ian Iskandar malam nanti.

“Qistina?” Dr. Ilyas Khan meminta kepastian.

Qistina menoleh ke arah Dr. Ilyas Khan dan mengangguk. “One last time, Ilyas and you’d better be prepared for some cat fight. I have a feeling she’s not going to be very happy to see me there!”

Don’t worry, Qistina. I promise you, nothing’s going to happen. She’s not the type to make a scene…”

Dahi Ian Iskandar berkerut. Tiba-tiba sahaja dia merasa ragu-ragu membenarkan Qistina menemani Dr. Ilyas Khan. Tidak mahu apa-apa perkara buruk terjadi kepada gadis itu. “She’d better not, Ilyas…hmmm I’m having second thoughts now.” Ian Iskandar menyuarakan kerisauan hatinya.

Oh come on, Ian. Don’t worry. It’s gonna be fine. I’m not going to let anything happen to your girl…” Dr. Ilyas Khan berdiri dan mengucapkan salam selamat tinggal. “Thanks, Qistina. I’ll pick you up at 8.00, alright? The party starts quite late tomorrow.”

Qistina mengangguk. Tinggallah dia bersama Ian Iskandar di ruang tamu itu. Suasana sepi seketika. Mereka saling berbalas pandang.

“Ni kali terakhir, Qistina. Lepas ni saya tak benarkan awak menyamar jadi kekasih Dr. Ilyas lagi, faham?” Tegas Ian Iskandar bersuara. Mana boleh menyamar? Bahaya!

Qistina mengangguk perlahan. Ian Iskandar memandang wajah halus itu. Wajah yang sering menghantui lenanya. Begitu manis dan ayu di matanya. ‘Inilah dia bakal isteriku! Inilah dia permata hatiku. Inilah dia penawar segala rindu dendamku.’ Ian Iskandar sudah tidak sabar menunggu saat dan detik mereka bakal disatukan. Dia akan memegang status suami kepada gadis di hadapannya ini. Betapa bertuahnya dia!!

“Encik, boleh saya tanya satu soalan?” suara merdu Qistina mengocak lamunan Ian Iskandar sebentar tadi.

“Qistina, bilalah telinga saya boleh dengar awak panggil saya dengan nama saya? Kempunan saya tau!” Ian Iskandar mengusik, namun terselit nada serius dalam bicaranya. “Tak romantiklah kalau awak panggil saya Encik macam tu…”

Qistina menggigit bibirnya. “Saya nak tanya pasal majlis kita Ahad ni. Enc…errr…awak betul nak teruskan jugak? Tak nak tangguhkan dulu?”

Ian Iskandar hampir tersenyum mendengar Qistina membetulkan panggilannya sebentar tadi. “Kenapa awak tanya macam tu?”

Takdelah…saya tak tau apa-apa pun pasal majlis tu. Hari ni dah hari Rabu. Kalau rasa macam masa tu terlampau suntuk, saya rasa elok kalau kita tangguhkan dulu majlis tu.” Qistina memberikan pandangannya.

“Qistina, kan saya kata satu hari pun saya takkan tangguhkan. Kita tetap akan bernikah hari Ahad ni. Awak tak perlu risau. Saya dah rancangkan segalanya. Percayakan saya, okey?”

Qistina mengeluh kecil. Tidak tahu lagi bagaimana hendak menyuarakan pendapatnya. “Saya tak faham kenapa kita mesti tergesa-gesa macam ni. Macam kahwin koboi je…awak faham tak apa maknanya tu?”

“Saya tahu…tapi saya bangsa yang tak pernah hiraukan apa orang lain nak cakap pasal diri saya. Lagipun, kita bukannya kat Malaysia. Takde siapa kisah sama ada kita kahwin koboi ke, apa ke…”        

“Tapi awak nampak penat sangat! Betul ke takde apa yang saya boleh tolong?” Qistina bertanya lagi. Masih tidak berpuas hati.

“Awak risau kan saya ke?” Soalan Qistina dijawab dengan soalan.

Senyuman terukir di bibirnya. Yang dia tahu, gadis itu masih belum menyuarakan isi hatinya. Hanya Ian Iskandar sahaja yang telah mengucapkan kata sayang dan cinta terhadap gadis itu. Walaupun Qistina dengan rela hati telah bersetuju untuk berkahwin dengannya, namun Ian Iskandar masih menunggu luahan hati gadis itu terhadapnya.

“Tak kuasa! Buat apa nak risau?” Qistina membalas sambil berdiri. Malas melayan lelaki itu! Niatnya untuk meninggalkan Ian Iskandar terbantut apabila lelaki itu merenggut lembut pergelangan tangannya. Tangannya ditarik dan Qistina kembali duduk di tempatnya.

Ian Iskandar seolah-olah boleh meneka perasaan gadis itu yang seakan tidak puas hati dengannya. Merajukkah dia?

“Kenapa ni? Awak marah ke?” Ian Iskandar bertanya dengan suara yang lembut.

“Awak ni nak kahwin dengan siapa agaknya, ya? Dengan orang bunian agaknya, ya? Ke awak nak kahwin sorang-sorang? Saya ni tak penting agaknya…tak perlu tahu pasal apa pun tentang majlis perkahwinan kita nanti…” Sinis Qistina bersuara, diulit juga dengan rasa tidak puas hati dan kecewa.

Ian Iskandar tidak pernah melihat Qistina begini. Sebelum ini, Qistina jarang-jarang menunjukkan emosinya, selain daripada sikapnya yang dingin walaupun sentiasa sopan, beradab dan hanya sesekali dia akan menunjukkan sifatnya yang tidak selesa dengan sesuatu perkara, seperti ketika ditanya soalan-soalan yang bersifat peribadi. Tapi dia suka Qistina begini! Menunjukkan Qistina semakin selesa dengannya, dan berani mempamerkan emosi dirinya yang sebenar.

“Saya sebenarnya tak nak susahkan awak, Qistina. Saya yang beria-ia nak kahwin dengan awak, jadi biarlah saya yang uruskan segala persiapan.” Ian Iskandar masih bersuara dengan nada yang perlahan. “Esok, bila adik saya datang dari Paris, dia pun boleh tolong saya uruskan beberapa perkara lain…”

Qistina membuka mulut untuk mencelah namun Ian Iskandar pantas menyambung kata-katanya. “Awak tak perlu risau, Qistina. Baju awak pun saya dah tempahkan…”

Qistina mengeluh. Tidak tahu lagi bagaimana hendak menyuarakan pendapatnya. ‘Pandai-pandai je dia tempahkan baju aku. Entah muat entah tidak nanti, padan muka dia….sudahlah…malas nak layan lagi. Buat sakit hati aku je…’

“Kalau macam tu, nampaknya dah takde apa lagi yang perlu dibincangkan. Saya naik dulu…” Untuk kali kedua, Qistina bangun dan terus melangkah. Ian Iskandar hanya membiarkan sahaja gadis itu meninggalkannya. Matanya mengekori tubuh Qistina sehingga gadis itu hilang daripada pandangan.

Salahkah dia tidak berkongsi apa yang dirancangkan kebelakangan ini bersama Qistina? Niatnya bukan tidak mahu berkongsi dengan cinta hatinya itu, tetapi lebih kepada mahu memberi kejutan buat gadis itu. Harapannya agar Qistina tidak akan berperasaan marah begini setelah dia tahu apa yang telah dirancangkan oleh dirinya untuk menggembirakan gadis itu.

Naseem mengetuk pintu ruang tamu dan menyampaikan pesanan daripada Qistina yang dia tidak akan makan malam bersama Ian Iskandar malam nanti. Ian Iskandar tersenyum segaris. ‘Merajuk agaknya dia…alaaah tak bestnya makan sorang-sorang malam ni…dahlah orang balik awal sebab tak tahan rindu! Sekarang orang yang dirindu pulak merajuk…”

Selepas meluangkan masa bersama ibunya dan makan malam bersendirian di ruang makan, Ian Iskandar meniti anak tangga naik ke atas. Ketika di atas, dia mendekati pintu bilik Qistina yang ditutup rapat. Hatinya tiba-tiba diselubungi kerisauan mengenangkan gadis itu yang mungkin kelaparan.

‘Nanti sakit perut, aku jugak yang susah,’ ngomelnya di dalam hati, sengaja memberi alasan untuk mengetuk pintu bilik Qistina.

Ketika pintu dibuka Qistina, ketika itu jugalah telefon BlackBerrynya berdering. Ditinggalkan Ian Iskandar di muka pintu dan masuk kembali ke dalam bilik untuk mencapai BlackBerrynya. Ian Iskandar, tanpa dijemput, masuk ke dalam bilik Qistina lalu menutup pintu. Dia melihat Qistina berjalan menuju ke tingkap sebelum menjawab panggilan telefonnya.

“Helo? Tim ke tu?”

“Bukan Tim, Ina. Abang Khairul ni….Assalamualaikum, Ina.”

‘Abang Khairul? Apasal pulak dia telefon aku ni?’

Waalaikumussalam, Abang Khairul! Terkejut Ina abang call. Kenapa tak tidur lagi ni? Kan masih terlalu awal kat sana?”

Di belakang Qistina, Ian Iskandar menarik nafas. Dia berdiri kaku dan tangannya digenggam…

“Abang tak boleh tidur….Ina. Errr…Tim kata Ina nak kahwin. Betul ke?” Lirih suara Khairul kedengaran di hujung talian.

Hati Qistina dipaut rasa sedih. Sedih mengenangkan abang Khairul yang sedari dahulu menaruh perasaan terhadapnya. Adakah dia masih berharap?

“Betul, abang. Ina nikah hari Ahad ni…” perlahan Qistina bersuara.

Qistina mendengar keluhan berat di hujung talian. Qistina memejamkan matanya. Dia tahu dia telah melukakan hati Khairul, orang yang menyayangi dirinya lebih daripada abang kandungnya sendiri. Namun, mengapa dia tidak dapat membalas rasa cinta terhadap Khairul?

“Abang….”

No, Ina. Ina tak perlu cakap apa-apa. Abang dah lama tau antara kita memang takde jodoh. Abang akan sentiasa doakan kebahagiaan Ina. Abang cuma nak pastikan yang Ina tau apa yang Ina buat…dan Ina kahwin ni kerana Ina ikhlas dan bukan sebab paksaan…Abang sayangkan Ina dan abang akan tetap sayangkan Ina…abang tak nak sesiapa pun sakitkan hati Ina…”

Sedih…pedih…kesal…Semuanya dirasai Qistina ketika ini. Kata-kata Khairul benar-benar meruntun hatinya.

“Maafkan Ina, abang Khairul…Ina tak berniat nak lukakan hati abang…” ikhlas Qistina memohon maaf daripada Khairul.

“Abang tahu…dan abang tak pernah salahkan Ina…”

“Abang, walau apa pun, abang Khairul tetap abang Ina…Ina tetap adik abang Khairul kan?”

“Ya, abang Khairul tetap abang Ina…” serak suara Khairul. Qistina juga tidak dapat lagi membendung kesedihannya. Air mata yang cuba ditahan tumpah juga akhirnya. “Jaga diri, Ina…abang nak sangat jumpa suami Ina nanti, banyak pesanan yang abang nak sampaikan padanya…”

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, abang akan jumpa Ina dan suami Ina nanti…”

“Abang pergi dulu, Ina. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum.”

Qistina menjawab salam Khairul lalu mematikan talian. Beberapa kali dia mengambil nafas dalam-dalam, untuk menenangkan kembali perasaannya. Dia memalingkan tubuhnya dan terkedu melihat Ian Iskandar begitu hampir dengannya. Sedarlah dia lelaki itu telah mendengar perbualannya sebentar tadi, walaupun Ian Iskandar tidak mungkin dapat mendengar segala kata-kata Khairul kepadanya.

Ian Iskandar mengamati wajah Qistina yang masih basah dek air matanya. Dia boleh meneka apa yang diperbualkan Qistina bersama Khairul, walaupun tidak dapat mendengar secara keseluruhannya. Mata Qistina yang masih berkaca bertembung dengan mata biru Ian Iskandar.

“Sejak bila dia mula cintakan awak?” Ian Iskandar menyoal.

Qistina menjungkitkan bahunya sambil mengesat air matanya. “Entah…saya tak tau sejak bila…”

“Dah lama?”

Qistina mengangguk kecil. “Mungkin.”

“Awak sayangkan dia?”

“Sayang! Sayang sangat…”

Ian Iskandar terkedu mendengar pengakuan Qistina. Hatinya bagai dicucuk sembilu.

“Tapi bukan sayang yang macam awak fikirkan…saya sayang dia macam abang saya sendiri…”

“Tapi dia bukan abang awak, Qistina!” Ian Iskandar masih tidak suka. Dia mahu sayang Qistina kepada lelaki lain yang bukan ahli keluarganya, hanya bertumpu kepada dirinya seorang. Dia tidak mahu Qistina merasai perasaan sayang terhadap lelaki lain, walaupun sekadar seorang teman. Tiada definisi ‘abang angkat’ di dalam kamus Ian Iskandar.

“Saya tahu dia bukan abang saya, tapi dia sayang pada saya dan ambil berat pasal diri saya lebih daripada abang kandung saya sendiri!” Qistina cuba berbahas.

“Tu sebab dia ada hati dengan awak, Qistina. Cuba kalau dia takde perasaan pada awak, awak rasa dia akan tetap sayang dan ambil berat pasal awak macam sekarang ni?”

“Ya, saya pasti dia akan tetap ambil berat pada saya…” Qistina mempertahankan Khairul. Tidak suka Ian Iskandar bersangka buruk terhadap Khairul.

“Awak ni kenapa? Apa awak buat dalam bilik saya ni?” Soalan yang sepatutnya diutarakan kepada lelaki itu sejak dari awal lagi.

Ian Iskandar tidak mengendahkan pertanyaan-pertanyaan Qistina. “Awak pernah balas cinta dia?” Tajam renungan Ian Iskandar. Masih tidak puas bertanyakan hal Khairul.

Qistina menggelengkan kepalanya. “Saya tak pernah rasa macam tu pada dia!”

“Jadi, awak pernah rasa macam tu pada siapa?” soal Ian Iskandar lagi.

Qistina terdiam. ‘Takkan dia tak tau? Kenapa mesti tanya? Malunya nak jawab…’

“Qistina, saya sedang menantikan jawapan awak!” desak Ian Iskandar, tidak tertahan lagi. Dia terdesak mahu mendengar luahan kata-kata sayang dari bibir merah itu.

“Takkan awak tak tau?” Seakan berbisik Qistina bersuara.

Ian Iskandar mengambil satu langkah mendekati Qistina. Qistina terpaksa mendongak. “Pada siapa, Qistina?”

Qistina tunduk. Wajahnya merona merah. Malu untuk meluahkan perasaannya kepada bakal suaminya itu. Ketika kedua-dua tangan Ian Iskandar memaut bahu Qistina, Qistina kembali mendongak. Lama mereka bertatapan.

“Pada aw….awak…” akhirnya Qistina berterus-terang.

Ian Iskandar memejamkan matanya buat seketika. Akhirnya dia mendengar pengakuan gadis itu. Dia melepaskan nafasnya yang panjang seolah-olah berasa lega dengan jawapan Qistina itu. Pabila dia membuka matanya, pandangannya kepada Qistina redup dan sedikit menggoda. Pautan di bahu Qistina dieratkan.

Jantung Qistina mula berdegup kencang dan dadanya mula beralun. Pandangan Ian Iskandar benar-benar memukau. Qistina semakin lemas dalam lautan kasih yang jelas terpancar daripada sinar mata lelaki itu…dan Qistina tidak dapat melarikan pandangannya. Mata mereka saling bertaup. Untuk seketika, mereka berada dalam dunia mereka sendiri…hanyut dalam perasaan yang sarat dan berbunga-bunga…

Akhirnya, Qistina tersedar. “Ian, awak patut keluar sekarang…”

Ian Iskandar terpanar mendengar panggilan namanya yang meniti di bibir Qistina buat pertama kali, yang kedengaran begitu merdu di telinganya. Berdentam dentum jantungnya. “Sekali lagi...”

“Awak patut keluar sekarang…”

“Tak...maksud saya, sebut nama saya sekali lagi…”

Barulah Qistina mengerti. Tanpa sedarnya, dia telah menggunakan nama lelaki itu sebentar tadi. Rasa cukup selesa dan manis di bibirnya.

“Ian…”

Ian Iskandar tersenyum lebar. “Thanks, love. Saya keluar sekarang...tapi sebenarnya tadi saya datang sebab nak tanya...Kenapa awak tak nak makan? Awak tak sihat ke?”

Lagi sekali sebutan ‘love’ dari bibir Ian Iskandar membuat jantung Qistina berkocak hebat.

“Bukan tak sihat, saya tak lapar…”

“Saya tak suka awak tak makan…nanti awak sakit perut…boleh tak awak pergi makan? Kalau pun awak marah pada saya, tak perlulah awak balas dendam pada perut awak, kan?” Ian Iskandar mengusik.

Qistina mengetap bibir. “Betul, saya tak lapar…kalau saya lapar, nanti saya pergi cari sendiri…”

“Janji?” Ian Iskandar mahukan kepastian.

Qistina mengangguk.

Okay, then. I’ll bid you goodnight. Sweet dreams, love.”

Panggilan ‘love’ kali ini mendamaikan hati Qistina. Begitu sejuk dan nyaman. Dengan jari telunjuknya, Ian Iskandar mengusap pipi kanan Qistina, pipi di mana tersembunyinya lesung pipitnya yang dalam. Qistina tergamam dengan perlakuan Ian Iskandar yang begitu bersahaja.  Tubuhnya dirasakan terkena renjatan elektrik disentuh Ian Iskandar sebentar tadi. Sebelum Qistina sempat memberikan sebarang reaksi, Ian Iskandar telah pun berlalu meninggalkan bilik tidurnya. Pipinya masih terasa hangat dengan sentuhan Ian Iskandar tadi. Nyilu terasa hingga ke hatinya.


2 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....