Thursday, 23 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 14 (Bahagian 2)


Bab 14 

(sambungan)

“Encik? Ma…macam mana Encik tau?” tergagap-gagap Qistina bersuara. Cuak dia mendengar panggilan nama penuhnya tadi.

Kali ini Ian Iskandar tersenyum sinis. “Setiausaha saya kat KL fakskan salinan pasport awak. Dari situ senang saya nak siasat siapa ayah awak!”

Qistina mengalihkan pandangannya dari wajah Ian Iskandar yang semakin menegang.

“Encik siasat diri saya? Kenapa?”

“Sebab awak terlampau berahsia dengan saya! Jadi...apakah yang sebenarnya menyebabkan seorang anak perempuan jutawan terkemuka di KL ni dihalau bapanya keluar dari rumah, hmm?”

Qistina tahu misi pelariannya kini hampir tamat. Ian Iskandar sudah tahu siapa dirinya dan keluarganya. Tidak mungkin dia dapat berselindung lagi.

“Huh! Rupanya selama ini, yang bekerja sebagai peneman ibu saya ialah anak seorang Tan Sri. Anak seorang jutawan!” Ian Iskandar masih menyindir.

Qistina sudah tentu tidak menyedari bagaimana terkejutnya dia apabila mengetahui latar belakang keluarga Qistina malam tadi. Pulang dari majlis amal malam tadi, dia masuk ke dalam bilik bacaan di rumah, dan melihat faks yang diterima daripada penyiasat persendirian yang telah diupahnya di Kuala Lumpur. Namun niatnya untuk bersemuka dengan Qistina malam tadi terbantut apabila Qistina menerima panggilan daripada temannya, Timah.

“Qistina, beritahu saya apa yang terjadi.”

Lama Qistina mendiamkan diri. Akhirnya, dia bersuara. Lemah. “Encik, apa yang Encik tau pasal ayah saya?” Qistina memandang ke hadapan.

“Saya hanya tau tentang latar belakang syarikat dan bisnesnya serta sejauh mana kejayaannya. Dari segi peribadi, banyak juga cerita pasal abang dan kakak awak, terutama cerita perkahwinan mereka yang diadakan secara besar-besaran sebelum ini…tapi tak banyak cerita pasal awak…kenapa agaknya, ya?”

“Encik, kalau saya cerita pada Encik, saya akan bukakan aib keluarga saya sendiri…Encik faham tak dilema saya?”

“Qistina, saya bukan nak canang pada satu dunia hal pasal keluarga awak. Untuk pengetahuan saya sendiri je. Saya orang yang nak mengahwini awak…takkan awak tak faham lagi niat dan maksud saya?” Keras suara Ian Iskandar. Panas hatinya ketika ini.

Qistina tunduk. Tangan kanannya kini sakit diramas tangan kirinya. “Encik tak payahlah cakap macam tu pada saya…Encik takkan nak kahwin dengan saya lagi kalau…” kata-kata Qistina dibiar bergantung begitu sahaja.

“Kalau apa? Kalau saya tau apa terjadi pada awak dan keluarga awak? Begitu?” Ian Iskandar mengeluh. Geram dia dengan kedegilan Qistina. “Kenapa susah betul awak nak percayakan saya, Qistina?” lirih suara Ian Iskandar. Kecewa betul dia dengan gadis itu.

Qistina masih tunduk. Ian Iskandar mencapai tangan kanan Qistina dan menggenggamnya erat. Ditariknya tangan Qistina agar berlabuh di atas pehanya. Qistina tergamam. Kehangatan tangan Ian Iskandar mengalir ke seluruh tubuhnya. Qistina cuba menarik tangannya namun genggaman Ian Iskandar begitu kuat. “Kenapa awak tarik? Ni kan tangan saya?!” tanya Ian Iskandar lembut.

“Encik, lepaskan tangan saya…Please...” Qistina separuh merayu. Dia sedar apa yang dilakukan lelaki itu salah. Namun di hati kecilnya, dia merasakan ketenangan dek kehangatan tangan lelaki itu. Pelik!

No, ni tangan saya, Qistina. Segala apa yang ada pada awak adalah milik saya! Saya cuma pinjamkan semula pada awak je…” Ian Iskandar tahu dia harus berlembut dengan Qistina. Dia perlu memujuk gadis itu agar percaya akan niatnya yang tulus lagi ikhlas.

“Encik, kenapa Encik buat saya macam ni?” Qistina sudah penat. Penat dengan kerenah lelaki di sebelahnya ini yang sentiasa mendesaknya.

Ian Iskandar kini menyimpul jari-jemari Qistina dengan jari-jemarinya. Suatu perasaan halus menyelebungi dirinya pabila merasakan kelembutan jemari Qistina bersatu dengan jemarinya. Dia suka akan perasaan itu. Dia tidak mahu perasaan itu berakhir. Biarlah dia merasakannya sehingga hembusan nafasnya yang terakhir.

“Sebab saya sayangkan awak, Qistina! Takkan awak tak tau? Mustahil awak tak tau perasaan saya pada awak selama ini….saya tak nak awak bersedih, Qistina. Sandarkanlah kesedihan awak tu pada bahu saya…” Ian Iskandar akhirnya meluahkan perasaannya kepada gadis itu. Matanya tajam merenung mata Qistina yang telah mula berkaca.

Qistina tergamam. Kata-kata keramat yang ditunggu-tunggu lahir juga dari bibir Ian Iskandar. ‘Wahai lelaki, sayang awak itu akan mati sebaik saja awak tau apa yang pernah terjadi pada saya…’ Kalau diikutkan hati, ingin sahaja Qistina meraung di situ. Di saat cintanya berbalas, di saat itu jugalah, cinta itu bakal direntap dari genggamannya.

“Awak tak percaya, Qistina? Percayalah…saya ikhlas…”

Qistina tidak membalas. Dia masih berperang dengan perasaannya sendiri. Akhirnya dia mengalah. Biarlah lelaki itu tahu segalanya tentang dirinya sekarang. Tidak perlu ditangguh lagi. Tidak adil membiarkan lelaki itu berterusan menyayanginya begitu…

“Encik tau macam mana papa saya boleh berjaya dan berkuasa macam sekarang? Kebanyakannya daripada hasil titik peluhnya sendiri, walaupun sebenarnya saya tak yakin papa saya bersikap adil dan telus dalam urusan bisnesnya. Teruk kan saya? Tak percaya pada papa saya sendiri. Tapi, papa saya jugak bijak menggunakan anak-anaknya untuk mencapai hasratnya untuk lebih kaya dan lebih berkuasa! Papa saya terlalu kemaruk dengan meluaskan empayarnya, mengumpul wang dan harta, terlalu tamak…terlalu sombong dan bongkak…terlalu pentingkan social status,” Qistina mendengus.

Ian Iskandar hanya mendengar luahan hati Qistina. Walaupun suara gadis itu kosong dan mendatar, garis-garis kekecewaan dan kesedihan jelas kelihatan di wajahnya. Jari-jemari gadis itu terasa dingin dalam genggamannya.

“Papa lupa asal usulnya, lupa pada Tuhan…lupa pada segalanya…Encik tau siapa yang membesarkan saya sebenarnya? Mak dan ayah Timah, merangkap orang gaji di rumah tu! Mama dan papa tak pernah lekat kat rumah…”

Maka keluarlah segala kebaikan dan kasih sayang tidak berbelah bagi yang dicurahkan Mak Esah dan Pak Atan kepadanya. Diceritakan kepada Ian Iskandar kehidupan sebenarnya selama ini. Betapa kebaratannya kehidupan keluarganya dan betapa bahagianya dia dapat hidup di kota London ini, jauh daripada pengaruh keluarganya, walaupun hatinya memberontak dengan rasa rindu yang amat sangat terhadap orang-orang yang disayanginya.

“Daripada umur saya lapan belas tahun, saya hidup sendiri. Saya terkontang-kanting di sini, tercari-cari siapa sebenarnya diri saya. Saya sangat kehilangan...sangat sunyi dan sangat keseorangan…Syukur Allah sentiasa bersama saya, kalau tak saya pasti hanyut seperti ahli keluarga saya yang lain…” Setitik air mata Qistina mengalir ke pipinya mengenangkan waktu-waktu itu. Dia menggunakan tangan kirinya untuk menyeka air matanya memandangkan tangan kanannya masih digenggam erat Ian Iskandar.

“Tak seorang pun datang pada hari graduation sayaBayangkanlah betapa tak pentingnya saya kepada mereka? Takde seorang pun yang datang…mama call cuma ucapkan tahniah tapi hati saya sakit...sangat sakit …” Qistina tersedu kecil. Luluh hati Ian Iskandar melihat kesedihan itu.

“Papa paksa saya balik lepas graduation walaupun saya nak sambung buat ACCA kat sini. Saya mulanya tak tau kenapa…tapi rupanya papa nak jadikan saya senjata terakhirnya untuk mencapai kepentingannya sendiri…sama seperti apa yang dia pernah buat pada abang dan kakak saya…” Qistina tunduk merenung tangannya yang enak diramas Ian Iskandar.

“Papa nak saya kahwin dengan anak rakan perniagaannya. Tak lama lepas saya balik KL, barulah saya tahu niat sebenar papa. Sebelum tu saya dipaksa keluar dengan lelaki tu…Selepas tiga kali keluar dengannya, saya dah tak sanggup lagi….”

Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya. “Saya berkeras tak mahu kahwin dengan lelaki tu. Saya tak sanggup! So papa beri saya kata dua…sama ada saya kahwin jugak atau saya kena keluar dari rumah tu…tapi kalau saya pilih untuk keluar dari rumah tu, saya bukan lagi anak papa…” Air mata Qistina tumpah lagi. Kata-kata papanya masih membelah jiwanya. Darah merah masih mengalir dan lukanya masih dalam seperti dulu.

Hati Ian Iskandar bagai dirobek melihat penderitaan Qistina. Kalau boleh dia tidak mahu melihat gadis idamannya itu mengalirkan air mata atas apa sebab pun jua. Biarlah dirinya sahaja yang menanggung segalanya bagi pihak Qistina.

“Siapa lelaki itu Qistina? Apa yang dia buat sampaikan awak tak nak kahwin dengan dia?” serak suara Ian Iskandar.

Ian Iskandar seolah-olah dapat meneka ciri-ciri lelaki yang dipaksa kahwin dengan Qistina. Kalau tidak, masakan gadis itu berkeras tidak mahu mengikut kata-kata papanya? Qistina seorang gadis yang terlalu baik, terlalu penyayang. Dan daripada apa yang diceritakan, seorang yang patuh kepada arahan papanya selama ini, kecuali arahan papanya untuk berkahwin dengan lelaki itu. ‘Mesti lelaki itu juga mempunyai latar belakang yang seakan sama dengan keluarga Qistina.’

“Dia…dia…” Qistina tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Tak mengapa, Qistina. Saya kat sini, awak tak perlu risau apa-apa…” Apabila Qistina masih diam, Ian Iskandar mendekatkan dirinya kepada gadis itu. Bahu mereka bersentuhan.

“Qistina, tengok sini. Dia tiada di sini, okey. Saya yang kat sini. Beritahulah saya...” perlahan suara Ian Iskandar, memujuk dan terus memujuk…

Dengan suara yang terketar-ketar, Qistina menceritakan pengalaman keluar berjanji temu dengan Remy, tanpa sekali menyebut nama lelaki itu di hadapan Ian Iskandar. Janji temu pertama, janji temu kedua dan janji temu yang terakhir. Wajah Ian Iskandar semakin menegang. Tanpa disedarinya, genggamannya pada tangan Qistina semakin kuat, sehingga menyakiti gadis itu.

“Encik, sakit…lepaskan tangan saya…” Qistina mengadu.

Ian Iskandar tersedar akan perlakuannya namun tidak melepaskan tangan Qistina. Dia hanya mengurangkan sedikit tekanan genggamannya itu.

“Maafkan saya…Apa dia buat pada awak Qistina?” Tajam renungan Ian Iskandar hingga ke dasar hati Qistina. “Beritahulah saya!”

Qistina membalas renungan Ian Iskandar dengan linangan air mata. Ketika itu hanya mereka berdua berada di tepian pantai itu. Ribuan manusia lain tidak wujud pada pandangan mereka. Hanya ada Ian Iskandar dan Sofiah Qistina.

Peristiwa malam itu diceritakan secara terperinci kepada Ian Iskandar. Walaupun payah untuk dikongsi bersama, namun digagahkan jua dirinya mengeluarkan kata-kata.

“Saya hampir kehilangan maruah saya malam tu…kalau difikirkan balik, macam-macam boleh terjadi. Dia boleh hentikan lif tu, dia boleh paksa saya masuk ke bilik hotel sebab kami memang kat hotel masa tu...apa saja boleh berlaku...” Naik bulu roma Qistina memikirkan segala kemungkinan itu.

“Dia mabuk...Saya boleh rasa wine dari bibirnya...dan saya tak upaya melawan lagi...dia...dia terlalu kuat…” Qistina tersedu.

Kepanasan hati Ian Iskandar kini sampai ke tahap mendidih. Cuba membayangkan Qistina dalam keadaan yang diceritakan itu. Membayangkan Qistina disakiti dan dianiaya sebegitu. Keinginan untuk melindungi gadis itu begitu tebal dalam jiwanya. Dan keinginan untuk membalas dendam terhadap lelaki durjana itu mula berputik.

“Sa…saya rasa jijik pada diri saya sendiri…apa yang dia dah buat...Tapi nak buat macam mana, itu semua salah saya sendiri…”

“Apa? Apa maksud awak?”

Qistina menarik tangannya daripada genggaman Ian Iskandar. Kali ini dibiarkan sahaja lelaki itu. Qistina mengesat air matanya dengan kedua tangannya.

“Kalau Encik tengok baju yang mama paksa saya pakai malam tu, Encik pun tentu akan salahkan saya jugak!” balas Qistina perlahan. “Saya malu dengan diri saya sendiri malam tu. Saya yang ikut dia pergi ke parti tu, saya yang berpakaian tak senonoh dan seksi macam tu…saya yang buat dia…”

“Jadi awak rasa apa yang berlaku ni salah awak?” Ian Iskandar mencelah. Tidak puas hati dengan cara pemikiran Qistina.

“Mungkin bukan salah saya sepenuhnya, tapi saya yang telah mendorong dia melakukan perkara tu pada saya…mungkin dia ingat saya sengaja ingin menggodanya dengan berpakaian seksi begitu…”

Rubbish!” kuat suara Ian Iskandar. Qistina tersentak.

“Qistina,” Ian Iskandar kembali mengendurkan suaranya. “Awak tak paksa dia buat macam tu pada awak…dia patut bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku…”

Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya, tidak percaya. “Saya jugak bersalah, Encik…”

“Qistina, awak rasa dengan awak berpakaian menutup aurat macam ni, awak akan terlepas dari sebarang cubaan daripada lelaki yang bernafsu syaitan macam tu? Awak boleh jamin tak, yang takde sorang lelaki pun akan serang awak, akan cuba nodai awak, hanya kerana awak pakai baju yang menutup aurat awak?”

Dahi Qistina berkerut. Cuba memikirkan apa yang diperkatakan Ian Iskandar kepadanya. Kepada Timah, Qistina telah pun meluahkan rasa berdosanya kerana tergamak mengenakan pakaian yang begitu terdedah dan seksi di tubuhnya. Mungkin itulah balasan Tuhan kepadanya. Tuhan telah memberi peringatan kepadanya tentang dosa mendedahkan aurat seperti yang telah dilakukannya malam itu.

“Qistina, setiap lelaki mempunyai nafsu. Yang membezakan seorang lelaki dengan yang lain hanyalah bagaimana kuatnya dia melawan nafsu yang kadang-kadang dikuasai syaitan. Awak cuma seorang mangsa, Qistina. Awak tak sepatutnya menyalahkan diri awak.”

Sukar untuk Qistina menerima pujukan Ian Iskandar itu. Dia tetap rasa bersalah malam itu. Dia seharusnya lebih berhati-hati dan mendengar kata hatinya pada malam itu. Semoga Allah mengampunkan dosanya selama ini, mendedahkan auratnya kepada yang bukan mahramnya untuk sekian lamanya.

“Qistina, sebab tu ke awak mula bertudung?”

“Tak, Encik. Saya dah lama ingin bertudung, tapi takut nak menyuarakan hasrat saya pada mama dan papa saya. Selama ni pun saya bersolat secara senyap-senyap dan bersembunyi…bila papa saya halau saya dari rumah, barulah saya berani mengubah cara pemakaian saya sebab sekarang saya bukan lagi di bawah tanggungjawab dia…”

Rasa hormat yang begitu tinggi singgah di dalam hati Ian Iskandar terhadap gadis itu. Betapa dia bersyukur Qistina mempunyai kecekalan yang cukup kuat untuk melawan cara kehidupan keluarganya selama ini. Qistina tidak terikut-ikut dengan budaya yang diterapkan mama dan papanya. Qistina mempunyai pendiriannya sendiri.

Tiba-tiba Ian Iskandar teringatkan kata-kata Qistina yang tergantung tadi. ‘Encik takkan nak kahwin dengan saya lagi kalau…

Ian Iskandar kembali menarik tangan Qistina. Kuat cengkamannya. “Qistina, sebab ni ke awak tolak lamaran saya? Awak ingat saya tak mahu kahwin dengan awak selepas saya tahu pasal ni semua?”

Qistina melihat wajah Ian Iskandar yang seolah-olah sedang marah. Sakit di tangan digenggam lelaki itu tidak diendahkan.

Dia mengangguk kecil. “Antara sebahagian alasannya, Encik.”

“Dan sebahagian lagi?”

Sukar untuk Qistina berterus-terang mengapa dia menolak lamaran Ian Iskandar dulu. Ketika itu Ian Iskandar hanya ingin mengahwininya atas sebab ingin membahagiakan ibunya dan menuruti permintaan ibunya agar ibunya bersetuju menjalani pembedahan lanjutan untuk kakinya itu.

“Takkan Encik tak tau…”

“Kalau saya tau, saya tak tanya, Qistina!” bentak Ian Iskandar.

Qistina mengeluh. “Bukan ke hari tu Encik kata yang Encik nak kahwin dengan saya sebagai memenuhi impian ibu Encik je? Supaya lepas tu ibu Encik akan bersetuju menjalani pembedahan nanti? Takkan saya nak terima lamaran Encik kalau itu sebab mengapa Encik nak kahwin dengan saya?!”

Tekaan Ian Iskandar rupanya tepat sekali. Qistina langsung tidak tahu akan perasaannya terhadap gadis itu. Ian Iskandar melepaskan keluhan berat.

“Qistina, itu sekadar alasan saya saja. Takkan saya nak kata dengan awak, saya dah jatuh gila dengan awak, sebab tu saya nak kahwin dengan awak. Tapi hakikatnya, memang saya dah jatuh cinta dengan awak. Awak buat saya separuh gila, Qistina! Awak tau tak?”

Tangan Qistina dibelai dan diramas membuat Qistina panas di tempat duduknya. Nafasnya mula tersekat-sekat. Dia semakin lemas…Apatah lagi baru mendengar luahan hati lelaki itu. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya tadi.

“Encik cintakan saya?”

“Lebih dari segalanya, Qistina!”

“Separuh gila? Apa Encik cakap tadi? Saya tak faham…” Qistina tidak akan berpuas hati selagi segalanya tidak dibentangkan dengan jelas kepadanya. Dia tidak mahu berteka-teki lagi.

“Awak begitu dingin dengan saya, tak pernah mesra macam awak mesra dengan Dr. Ilyas…Awak boleh senyum dan bergurau senda dengan Dr. Ilyas tapi dengan saya? Awak buat tak endah saja,” lagak Ian Iskandar seolah-olah merajuk.

“Encik kan majikan saya…takkan saya nak bermesra-mesra dengan Encik? Mana boleh saya cross the line macam tu? Lagipun…”

“Lagipun apa?”

“Saya tak selesa dengan Encik…Encik banyak sangat tanya soalan…semua pasal saya Encik nak tau! Lepas tu bila cakap dengan saya, asyik nak marah-marah je…selalu je tak puas hati dengan saya.” Giliran Qistina pula bercakap dengan nada merajuk.

Ian Iskandar tersenyum. “Tapi saya suka!”

Qistina menjeling. Senyuman Ian Iskandar semakin melebar. Pertama kali Qistina menjeling manja kepadanya.

“Errr…Encik…boleh saya tanya satu soalan?” Qistina menggigit bibirnya. Teragak-agak untuk bertanya.

Ian Iskandar mengangguk.

“Encik tak rasa apa-apa ke lepas saya cerita tadi?”

“Macam-macam saya rasa, Qistina. Rasa teramat marah pada lelaki tu, sedih dan kecewa sebab awak teraniaya tetapi tetap bersyukur awak tak sempat diapa-apakan…”

“Jadi, Encik masih nak kahwin dengan saya walaupun selepas apa yang saya beritahu Encik tadi? Encik tak rasa saya ni kotor?” 

Soalan itu begitu pelik di telinga Ian Iskandar. “Ya Allah, Qistina! Benda tu jadi bukan atas kemahuan awak! Saya sikit pun tak salahkan awak dalam perkara ni. Kenapa awak perlu rasa kotor? Mengarut! Dan ya, saya masih nak kahwin dengan awak Qistina! Apa yang awak cakap pada saya tadi sikit pun tak merubah perasaan saya pada awak!”

Qistina seolah-olah tidak mempercayai kata-kata Ian Iskandar itu. Cukup membahagiakan dirinya. Dia benar-benar terharu. Sangkaannya selama ini begitu meleret jauh. Perasaan Ian Iskandar terhadapnya tidak berubah. Baiknya dia. Langsung secalit kesalahan pun dia tidak letakkan di atas bahu Qistina.

“Qistina, sudikah awak jadi isteri saya? Berilah peluang kepada saya melindungi awak daripada apa atau sesiapa saja. Awak tak perlu laluinya berseorangan lagi…” Ian Iskandar melamar gadis idamannya untuk kali kedua.

‘Ya Allah…benarkah ini sedang terjadi? Dalam masa yang begitu singkat?’

“Encik tak rasa macam kita baru sangat kenal ke? Saya kat sini baru sebulan lebih …”

“Satu hari ke, sebulan ke, setahun ke…tu semua tak penting kalau kita tau apa dalam hati kita. Hari-hari awak ada kat depan mata saya. Awak tak rasa apa yang saya rasa? Awak tak rasa debaran yang saya rasa ketika bersama awak?”

Qistina tertunduk malu.

“Qistina, berapa kali harus saya lamar awak? Awak sudi ke tak jadi isteri saya ni?” seakan tidak sabar lagi Ian Iskandar menanti jawapan daripada gadis itu.

Qistina mengangguk perlahan. Tidak mampu bersuara. Ian Iskandar tidak berpuas hati. “Qistina...saya perlu jawapan yang kukuh. Ya atau tidak?”

Qistina melangut dan memandang ke wajah Ian Iskandar. “Sa…saya sudi, Encik!”

Sekuntum senyuman manis terukir di wajah kacak lelaki itu. Mata birunya memancar sinar kegembiraan dan tangan Qistina dikucup mesra. Lama. Qistina terkedu.

“Maaf...maafSaya tak boleh kawal diri saya…” ucap Ian Iskandar setelah melihat reaksi Qistina sebentar tadi.

Sepasang kekasih itu saling berpandangan. Rasa bunga-bunga di hati mereka kini kian bersemarak. Rasa cinta berbalas sudah. Angan-angan untuk menyulam kasih dan sayang bakal menjadi realiti. Sukar untuk Qistina mempercayai apa yang sedang berlaku ketika ini.

Setelah sekian lama, Ian Iskandar bersuara kembali. “Qistina, awak hutang saya sesuatu.”

Qistina tidak mengerti.

“Siapa lelaki tak guna yang buat begitu pada awak? Saya nak tahu namanya.” perlahan dan dalam suara Ian Iskandar.

Qistina tidak berani membantah mendengar nada suara Ian Iskandar. “Remy. Remy Dato’ Idris Mansor.” Pahit rasanya menyebut nama lelaki itu.

Bagai hendak gugur ke bumi jantung Ian Iskandar mendengar nama itu meniti di bibir Qistina. Riak wajahnya berubah seketika sebelum dia pantas menyembunyikannya daripada Qistina. Nama itu bagai racun di telinganya. Dia mesti bertindak pantas.

Dia bingkas bangun dan menarik tangan Qistina agar mengikutnya. “Jom. Banyak perkara kita kena buat…”

Qistina terpinga-pinga melihat Ian Iskandar. ‘Kenapa pulak ni?’

“Perkara apa?” Qistina terpaksa berlari-lari anak untuk mengekor langkah panjang lelaki itu.

“Persiapan perkahwinan!”

Qistina menarik tangannya hingga terlerai. Dia berdiri dan tidak mahu melangkah lagi. Ian Iskandar memalingkan tubuhnya agar berhadapan dengan Qistina. “Kenapa?”

“Persiapan perkahwinan?”

“Ya. Persiapan perkahwinan. Persiapan perkahwinan kita. Kita kahwin minggu depan!”

Mulut Qistina ternganga. Kerja gila!

“Apa??! Dalam masa seminggu? Encik ni gila ya?”

“Seminggu, Qistina. Sehari pun tak boleh bertangguh!”

No! Saya tak mahu kahwin terburu-buru macam ni…”

“Maaf Qistina. Saya tak boleh beralah dalam hal ni. Awak tak perlu risau. Saya akan uruskan semuanya. Awak hanya perlu hadir pada hari itu saja!”

Ian Iskandar kembali menarik tangan Qistina. “Encik! Encik! Kenapa cepat sangat? Berilah masa untuk kita saling mengenali dulu. Kita kan baru je kenal?”

“Maaf Qistina…saya tak mau kehilangan awak. Kita kahwin minggu depan dan muktamad!” Tegas suara Ian Iskandar. Qistina tidak mampu membantah walaupun hatinya tertanya-tanya mengapa Ian Iskandar berkelakuan begini.




5 comments:

  1. welcome....mcm mana ye sy nk cr novel nie...sbb sy cr kat kedai buku x ada....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang saya tahu, dekat Minerva Jalan TAR dah ada dijual. Kalau tak, boleh beli secara online melalui lovenovel.com.my.

      Delete
  2. ok...sbb sy duduk kelantan....kat sini mmg x ada....

    ReplyDelete

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....