Wednesday, 22 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 14 (Bahagian 1)

BAB 14

Tuk! Tuk! Tuk!

“Qistina, Qistina, wake up!”

Qistina bangun daripada perbaringan. Matanya ditenyeh. Jam di tangan menunjukkan pukul 5.00 pagi. Dia seperti rasakan yang dia baru sahaja berjaya melelapkan mata selepas mengerjakan solat Subuh awal pagi tadi.

“Qistina?”

Ya, betul. Dia tidak bermimpi. Memang kedengaran suara Naseem di luar pintu. Qistina bingkas bangun dan mencapai tudungnya. Takut terserempak dengan Ian Iskandar di luar bilik. Setelah pintu dibuka, Naseem dengan muka yang amat pucat terus mencengkam lengan Qistina.

What’s wrong, Naseem?”

It’s madam. She’s having leg cramps. She’s in pain…” Belum sempat Naseem habis berkata-kata, Qistina pantas berlari menuruni anak tangga lalu menuju ke bilik Puan Mariam.

Di dalam bilik, Ian Iskandar sedang memicit kaki ibunya. Qistina menelan air liurnya. Lelaki itu hanya bersinglet dan berseluar pendek paras lutut. Mungkin begitu caranya dia tidur pada musim panas begini. Sempat gadis itu melihat otot-otot yang tersembul dari tubuh sasa itu sebelum melarikan anak matanya. Malu!

“Madam?” perlahan Qistina bersuara. Dia mendekati Puan Mariam. Bimbang dia melihat wajah Puan Mariam yang sedang berkerut menahan sakit. Puan Mariam membuka matanya. Gadis itu berdiri begitu hampir dengan Ian Iskandar. Dalam kesakitannya, sempat juga dia berfikir betapa cocoknya gadis ini di sebelah anak lelaki tunggalnya ini. Memang sepadan. Yang lelakinya tegap dan tampan manakala yang si gadis pula begitu ayu dan jelita.

Ada apa saya boleh bantu, Encik?”

Ian Iskandar memandang Qistina dengan pakaian tidurnya. Mungkin gadis itu tidak perasan yang baju tidurnya hanya berlengan pendek. Kulit lengan Qistina yang licin dan putih kemerahan menangkap pandangannya. Giliran Ian Iskandar pula menelan air liurnya. Menahan gelora yang tiba-tiba datang menyapa.

“Hmmm…mummy saya dah makan ubat tahan sakit…” serak suara Ian Iskandar. Naluri lelakinya masih bergetar. Ian Iskandar pun tidak tahu mengapa dia menyuruh Naseem mengejutkan Qistina tadi. Qistina pula masih tidak memandang Ian Iskandar. Segan!

“Qistina, jangan bimbang, dear. Kadang-kadang memang saya akan diserang kekejangan macam ni. Lepas makan ubat tahan sakit, selalunya sakit tu akan hilang…”

 “Nak saya picitkan kaki madam? Encik tak pakai minyak?”

“Awak ada minyak urut atau minyak gamat tak, Qistina?”

Ada, nanti saya ambik.” Qistina kembali ke dalam bilik tidurnya untuk mengambil minyak gamat yang dibawa dari Malaysia. Setelah kembali, Ian Iskandar bangun untuk membenarkan Qistina mengambil tempatnya. Qistina menuangkan sedikit minyak gamat ke tangan dan melumurnya di atas kedua-dua kaki Puan Mariam yang sedikit tegang. Kaki Puan Mariam diusap kuat dan dipicit sehingga terasa panas. Ian Iskandar hanya memerhati kelembutan tangan Qistina mengusap-usap dan memicit kaki ibunya. Dari tangan Qistina, pandangan Ian Iskandar naik pula ke wajah gadis itu. Dia tersenyum sendirian. Manis wajah itu, walaupun baru bangun daripada tidur.

“Qistina, you’ve got magic hands…sekarang kesakitan saya hampir hilang dan kaki saya dah tak kejang lagi…thanks, dear!” Kerutan di wajah Puan Mariam telah mula hilang. Kesakitan dan ketegangan yang dirasakan kini banyak berkurangan setelah mendapat perhatian Qistina selama lebih dua puluh minit lamanya.

“Sama-sama, madam,” balas Qistina sambil tangannya masih memicit kaki Puan Mariam.

“Qistina, tak payahlah picit kaki saya lagi. Saya dah rasa lebih baik. Semua, pergilah tidur semula.”

Qistina dan Ian Iskandar teragak-agak untuk mematuhi arahan Puan Mariam itu. “Are you sure, mummy?” tanya Ian Iskandar.

“Madam, saya tak kisah temankan madam,” Qistina juga bersuara.

Puan Mariam menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia pantas menghalau Naseem, anak lelaki dan calon menantunya keluar dari biliknya. Di luar, Qistina dan Ian Iskandar berjalan beriringan tanpa sebarang kata. Naseem sudah menghilang masuk ke dalam biliknya. Qistina masih risaukan Puan Mariam dan tidak menyedari pandangan lelaki yang berjalan di sebelahnya.

“Terima kasih Qistina!” Terdengar ucapan itu semasa Qistina sampai di muka pintu biliknya. Ian Iskandar juga sedang berdiri di hadapan pintu biliknya sendiri.

Dahi Qistina berkerut. “Untuk apa, Encik?”

“Kerana ambil berat…”

“Oh, takde apa-apa Encik. Saya ikhlas…”

Ian Iskandar mengambil beberapa langkah dan berdiri di hadapan Qistina. Qistina mula cuak. Dia terpaksa mendongak untuk memandang lelaki itu. Tinggi betul dia. Kalau Qistina tidak memandang wajah Ian Iskandar, dia terpaksa memandang tubuh lelaki itu yang begitu terdedah sekarang ini. Resah gelisah dia berdekatan dengan Ian Iskandar begitu. Bagai nak tercabut jantungnya yang sedari tadi tidak berhenti bergendang.

“Qistina, kalau saya sakit, awak akan risau jugak ke?” perlahan suara Ian Iskandar. Seolah-olah berbisik.

Naik bulu roma Qistina mendengarnya. Dia menelan air liurnya yang terasa pahit.  Tiba-tiba Qistina terasa seperti kekurangan oksigen. ‘Kenapalah mamat ni suka sangat menyeksa aku?’

“Insya-Allah, Encik….errr…saya masuk dulu, Encik….” Qistina pantas ingin melarikan diri namun ditahan Ian Iskandar. Lelaki itu sengaja menghalang pintu masuk bilik tidur Qistina. Hampir sahaja Qistina melanggar tubuh sasa itu.

Ian Iskandar tersenyum. “Qistina, bila awak akan berhenti lari daripada saya? Awak tahu saya takkan berhenti kejar awak kan? Larilah ke mana pun. Saya tetap akan jejak awak sampai dapat!”

“Encik, kenapa Encik macam ni? Dulu Encik tak macam ni…Encik tegas dan serius saja…tetapi sekarang kenapa Encik jadi macam ni?” Qistina memberanikan diri bertanya. Lelaki ini seolah-olah menduga ketahanan hatinya. ‘Dia ingin aku jatuh terjelepok ke bumi agaknya, baru dia puas hati.’

“Awaklah puncanya, Qistina. Awak yang merubah segalanya untuk saya…” Pandangan mata Ian Iskandar cukup redup. Memukau.

‘Ya Allah. Adakah lelaki ini untukku?’ “Encik, tolong ke tepi. Saya nak sambung tidur saya…”

“Qistina, jumpa awak pukul 10.00! Jangan lambat…” Ian Iskandar sempat berpesan sebelum dia berlalu masuk ke dalam biliknya. Qistina menghela nafas lega. Dia sukar untuk berfikir secara rasional apabila berada terlalu dekat dengan Ian Iskandar.

Tepat pukul 10.00 pagi, Qistina masuk ke ruang tamu. Sebelum itu sempat dia menjenguk Puan Mariam yang telah pun pulih sepenuhnya daripada kekejangan kaki awal pagi tadi. Jururawat gantian kini bersamanya, jadi Qistina tidak begitu risau meninggalkan Puan Mariam di rumah.

Ian Iskandar kelihatan begitu rugged dan tampan dengan mengenakan seluar jean pudar berwarna biru dan baju-T berwarna putih. Dadanya terus berdebar-debar kencang. ‘Kenapa dengan aku ni?’

Tanpa pengetahuan Qistina, jantung Ian Iskandar juga berdegup secara tidak normal. Begitu hebat paluan gendang di dalam dadanya ketika melihat Qistina begitu santai dengan seluar jean berwarna biru gelap serta blaus kain kapas berwarna biru muda, yang dihiasi bunga-bunga kecil pelbagai warna. Mereka saling berpandangan. Tarikan antara mereka begitu kuat dan padu. Sama ada Qistina, mahu pun Ian Iskandar, masing-masing tidak pernah sekali pun dalam hidup mereka berasa begini. Cinta yang terbuku di hati, apakah mampu diucapkan?

“Dah siap?” tanya Ian Iskandar sambil berdiri dari sofa.

Qistina hanya mengangguk. Tidak percaya akan keupayaan suaranya sendiri untuk berkata-kata.

Ian Iskandar membukakan pintu kereta untuk Qistina. Ian Iskandar menghidupkan enjin, dan terus memandu keluar dari kota London.

“Kita ke mana, Encik?”

Brighton. Pernah pergi sana?”

“Pernah, Encik. Sekali dengan kawan-kawan…”

“Kali ni awak pergi dengan saya…”

Qistina tidak membantah. Dia suka tempat itu. Dah lama juga dia tidak menghidu udara pantai dan bersantai di tepi laut yang mendamaikan. Sesungguhnya Qistina suka dengan pantai. Suka sangat! Dia boleh duduk dan memandang ke arah laut berjam-jam lamanya, semata-mata untuk mencari ketenangan dan kedamaian.

“Qistina, boleh tak saya minta sesuatu dengan awak?”

“Apa, Encik?”

Ian Iskandar mengilas pandang kepada Qistina. “Boleh tak untuk hari ni, awak tak panggil saya Encik? Panggil saya Ian je. Lagipun hari ni hari cuti awak kan?”

Qistina menggigit bibirnya. “Saya…saya…”

“Kenapa Qistina? Berat sangat ke permintaan saya tu? Lainlah kalau saya mintak awak panggil saya abang atau sayang, kan?” Ian Iskandar tersenyum nakal. Matanya melirik sepintas ke arah Qistina yang jelas gelisah.

Qistina membetulkan duduknya. “Tapi, Encik…saya kerja ke, saya cuti ke, Encik tetap majikan saya…”

“Saya nak tukar status majikan kepada suami, awak pulak yang tak nak…” Ian Iskandar menyindir.

Qistina mengetap bibir geram. “Encik, boleh tak Encik jangan cakap macam tu…saya tak selesa…”

“Kenapa Qistina? Saya tak layak ke jadi suami awak?” perlahan Ian Iskandar bertanya, tapi setiap perkataan itu dapat ditangkap dengan jelas oleh Qistina.

Qistina pantas menoleh dan memandang Ian Iskandar. Sebenarnya dialah yang tidak layak menjadi isteri kepada seorang lelaki bernama Ian Iskandar. “Bukan macam tu, Encik…”

Ian Iskandar mengeluh. “Awak dah jatuh cinta pada Dr. Ilyas ke?”
               
‘Kenapa tiba-tiba keluar topik ni pulak? Hesy! Pening aku dibuatnya.’

“Saya dengan Dr. Ilyas kawan je Encik. Tak lebih dari tu! Lagipun saya baru je kenal dia…”

Ian Iskandar tidak percaya. “Kawan? Malam tadi saya rasa kemesraan awak dengan dia melebihi batas seorang kawan, Qistina. Awak cuba nak tipu saya? Saya tahu apa yang saya nampak semalam.” Walaupun Ian Iskandar tidak meninggikan suaranya, namun Qistina masih rasa terkesan dengan kata-kata lelaki itu.

“Encik, malam tadi tu…errr…sebenarnya saya sekadar berlakon jadi teman istimewa dia je…” Akhirnya Qistina menjelaskan perkara yang sebenarnya. Tidak sanggup sekiranya Ian Iskandar berprasangka buruk terhadapnya.

Ian Iskandar terkesima. Teman istimewa? Berlakon? “Apa yang awak cakap ni, Qistina?”

Qistina menceritakan serba ringkas bagaimana dia telah bersetuju untuk berlakon menjadi teman istimewa Dr. Ilyas Khan, hanya kerana bekas tunang Dr. Ilyas Khan turut berada di majlis amal tersebut.

Tangan Ian Iskandar menggenggam stereng. Segala prasangka serta perasaan marah, dan cemburu yang dirasakan sepanjang malam tadi rupanya sia-sia belaka. “Awak sengaja main-mainkan perasaan saya, Qistina? Awak suka tengok saya tak tentu arah macam malam tadi?” Marah dia memikirkan tindak-tanduk Qistina yang tidak berterus-terang dengannya sejak mula.

“Tak…tak, Encik. Itu bukan niat saya…Kenapa pulak Encik rasa macam tu?”

Ian Iskandar tidak menjawab namun suatu dengusan kasar lahir jua. Nampaknya gadis itu masih tidak tahu akan perasaannya. ‘Butakah dia? Nak kena buat iklan papan tanda besar-besar baru nak tau agaknya!’

Ian Iskandar kekal membisu. Mahu menenangkan kembali perasaannya sebelum bersuara kembali. Qistina sekadar melemparkan pandangan ke luar tingkap. Tidak tahu bagaimana untuk menangani situasi yang sedikit tegang ini.

Sehingga mereka tiba di Brighton, suasana sepi di dalam kereta masih tidak berubah. Setelah kereta diparkir, Qistina mengikut Ian Iskandar berjalan menuju ke Brighton Pier. Cuaca ketika itu panas, namun diselang-seli dengan hembusan bayu dari laut. Di kawasan pantai yang terbuka ini, sukar untuk mencari tempat yang redup. Manusia yang bersantai dan berkelah di tepian pantai memenuhi hampir setiap ruang kosong di atas pasiran pantai. Ian Iskandar tetap berjalan, dan Qistina tetap mengekorinya.

Akhirnya, terdapat tempat duduk yang baru dikosongkan di bawah payung besar yang didirikan di tepi pantai. Ian Iskandar duduk di atas bangku panjang yang dikosongkan dan mengarah Qistina agar duduk di sebelah kirinya. Qistina duduk lalu pandangan matanya menuntas ke arah laut. Tangannya ditongkat di atas meja di hadapannya. Tanpa sedar, dia tersenyum kecil. Udara nyaman dihirup lembut.

Ian Iskandar mengamati gadis di sebelahnya. Amat sukar untuk dia membaca isi hati gadis itu. Terlalu berahsia. Dia ingin tahu segala apa yang tersemat di dalam hati gadis itu. Dia ingin Qistina berkongsi segala-galanya dengannya. Mengapa gadis itu begitu sukar untuk didekati?

Qistina yang menyedari dirinya sedang diamati, menoleh ke arah Ian Iskandar. Hilang senyuman di bibirnya. “Encik, kenapa Encik bawak saya ke mari? Semalam Encik kata Encik ada perkara nak bincang dengan saya, kan?” Qistina masih tidak berupaya untuk mengubah panggilan ‘Encik’ itu, walaupun setelah diminta Ian Iskandar sebentar tadi.

Ian Iskandar tersenyum. Senyuman yang begitu hambar pada pandangan Qistina. “Sofiah Qistina…cantik betul nama awak…secantik orangnya…” Ian Iskandar tidak menjawab pertanyaan Qistina. Nama gadis itu juga diulang-ulang di titian bibirnya. “Sofiah Qistina….Sofiah Qistina binti Tan Sri Ali Saifuddin…”

Qistina terkejut. Betul-betul terkejut! Matanya membulat. Tubuhnya ditegakkan.  Kaku. Tangannya diturunkan dari atas meja. Wajahnya pantas kehilangan darah…

(bersambung)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....