Wednesday, 22 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 13

BAB 13

Puan Seri Ani Suraya menatap wajah anak perempuannya yang lesu, bengkak dan lebam, dengan pandangan penuh kasih dan simpati. Entah berapa lama Sarah Qireena menanggung semua ini, dia sendiri tidak tahu. Sekelumit rasa bersalah timbul di hati. Ke mana pergi naluri keibuannya selama ini? Dalam kesibukannya berpersatuan selama ini, takkan dia tidak merasa sebarang kelainan apabila Sarah Qireena sering memberi alasan untuk tidak menemaninya, seperti lazim yang dilakukan selama ini?

Rupanya, inilah yang cuba disembunyikan anaknya itu selama ini. Sampai hati Farid berkelakuan begini terhadap isterinya sendiri. Apakah puncanya? Hatinya tertanya-tanya. Kini Farid lesap entah ke mana. Tahu pula dia takut! Padahal Tan Sri Ali Saifuddin telah pun membuat keputusan untuk tidak membuat laporan polis. Malu, katanya jikalau berita ini dihidu pemberita dan disensasikan.

Teringat dulu kata-kata Sarah Qireena kepadanya suatu waktu dahulu. “Mama, Sarah tak naklah kahwin dengan si Farid tu…boleh tak mama pujuk papa? Sarah betul-betul tak suka dengan dia.”

“Eh, kenapa pulak Sarah tak suka dengan dia? Orangnya tinggi, handsome, kaya, ramai perempuan yang nak kat dia tu…Sarah sorang je yang tak nak…Lagipun, bukannya senang mama nak pujuk papa tu. Bila papa dah buat keputusan, apa mama cakap pun papa takkan dengar…”

Wajah Sarah Qireena berubah menjadi keruh ketika itu. Kepada siapa lagi harus dia mengadu jikalau ibu sendiri pun tidak mahu menolongnya?

Puan Seri Ani Suraya masih teringat pujukan demi pujukan yang dibuat anak gadisnya itu, namun tidak dihiraukannya. Suaminya telah terlebih dahulu membuat keputusan. Tiada apa dan tiada siapa pun yang boleh merubahnya. Akhirnya ugutan si suami berjaya merubah hati si anak gadisnya. Air mata yang berjurai-jurai langsung tidak melembutkan hati si suami. Kadang-kadang Puan Seri Ani Suraya berasa terkilan dengan sikap suaminya itu yang terlalu berkeras dengan anak-anak. Tidak pernah mahu mengalah atau berlembut dengan mereka.

Kini seorang anak perempuan terlantar tidak sedar di hospital dan seorang lagi anak gadis mereka hilang entah ke mana. Rindunya dia kepada Sofiah Qistina!!! Anak yang begitu lembut di luarannya, namun begitu kuat dan cekal di dalamannya.

Puan Seri Ani Suraya bangun dan mendekati Sarah Qireena. “Sarah, mama balik dulu. Esok mama datang lagi, tapi mungkin lewat petang. Pagi mama ada meeting…”

Sarah Qireena tidak menjawab. Matanya masih tertutup rapat. Apabila pintu bilik ditutup rapat, Sarah Qireena mencelikkan matanya. Dia tiada banyak masa lagi. Dia harus bertindak segera. Papanya ke Singapura atas urusan kerja dan hanya akan pulang beberapa hari lagi. Mamanya akan datang ke hospital lewat petang esok, jadi dia ada lebih kurang dua puluh empat jam untuk menjalankan rancangannya.

Sudah dua hari dia di hospital ini. Sakit di seluruh tubuh badannya tidak dapat menandingi sakit di lubuk hatinya. Dia menekan butang untuk memanggil jururawat yang bertugas. Selang dua minit kemudian, jururawat datang menjenguknya.

Ada apa Puan? Boleh saya bantu?” lembut jururawat itu bertanya.

Cik boleh bagi saya pinjam telefon bimbit Cik?” serak dan terketar-ketar suara Sarah Qireena. ‘Kau mesti kuat Sarah. Cukuplah menjadi seorang yang terlampau pengecut selama ini…’ Sarah Qireena tahu dia tidak boleh menggunakan telefon bimbitnya sendiri. Takut panggilannya dikesan papa atau Farid nanti. “Nanti saya bayar balik…”

Jururawat itu tersenyum dan menghulurkan telefon bimbit dari poketnya. “Nanti saya datang balik dalam masa sepuluh minit,” katanya sambil berlalu, dengan niat untuk memberikan ruang kepada pesakit itu membuat panggilannya.

Tangan Sarah Qireena menggeletar memegang telefon bimbit pinjam itu. Nombor yang telah dihafalnya sejak dua minggu lalu didail. Sarah Qireena melepaskan nafas lega apabila panggilannya berjawab. “Mak Esah? Sarah ni…Maaf Mak Esah, Sarah tak boleh cakap lama. Mak Esah, boleh bagi tau Sarah nombor telefon Timah?”

Nombor yang diberi, dihafal di dalam kepala. “Terima kasih Mak Esah…” Talian dimatikan dan nombor yang baru diberi Mak Esah didail.

Selepas lima deringan, suara Timah kedengaran di talian. Dengan nafas yang panjang, Sarah Qireena tanpa segan silu meminta pertolongan Timah, kawan baik adik tunggalnya. Diceritakan segala rancangan dengan ringkas tetapi teliti. Tidak sekali Timah mencelah. “Boleh, Timah?”

“Boleh, kak Sarah. Kak Sarah jangan risau. Saya akan buat sampai berjaya!” suara Timah yang bersungguh-sungguh menenteramkan hati Sarah Qireena. Kini dia hanya perlu menunggu.

Ketika jururawat kembali untuk mengambil telefon bimbitnya, Sarah Qireena merayu, “Cik, tolong jangan beritahu sesiapa tentang panggilan yang saya buat ni. Saya rayu dari seorang perempuan kepada seorang perempuan yang lain. Ini antara hidup dan mati saya. Cik tengoklah keadaan saya…maut belum datang menjemput saya lagi, tapi kalau Cik tak rahsiakan pasal perkara ni, saya berani janji dengan Cik yang mungkin dalam masa terdekat ni, saya akan kembali ke hospital ini dalam keadaan tidak bernyawa…tolonglah berjanji dengan saya…”

Jururawat itu terpinga-pinga mendengar rayuan pesakit itu. Dalam laporan, tertulis pesakit itu dipukul perompak, namun dia berasa pelik juga kerana sejak pesakit itu ditahan di wad, tiada seorang polis pun yang datang ke hospital untuk mengambil keterangannya.

“Saya janji Puan. Saya tidak akan beritahu sesiapa pun yang Puan telah meminjam telefon saya.”

Sarah Qireena mengangguk. Sekilas dia memandang tag nama jururawat muda itu. ‘Terima kasih Siti Aishah,’ ucap Sarah Qireena di dalam hati.


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....