Thursday, 16 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 11

BAB 11

“Encik, saya…saya…saya tak boleh…” terketar-ketar Qistina bersuara. Takut benar dia dengan Ian Iskandar. Tidak pernah dia melihat Ian Iskandar marah sebegitu.

“Qistina, saya perlukan penjelasan!” suara Ian Iskandar masih tegang tetapi sudah sedikit mengendur melihat ketakutan Qistina.

“Saya dah tak nak dengar awak cakap yang awak tak suka cakap hal-hal peribadi atau hal peribadi awak tak de kena-mengena dengan kerja awak! Saya tak nak dengar tu semua…Saya nakkan awak berterus-terang dengan saya je…jangan anggap saya sebagai majikan awak tapi anggaplah saya sebagai seorang lelaki yang ingin mengahwini awak…”

Mata Qistina berkaca. Kata-kata Ian Iskandar bagai meretakkan tembok yang dibina selama ini. Dia buntu. Buntu sangat!

Dengan perlahan dia mula berkata. “Yang tadi tu, kawan saya…satu universiti dengan saya. Saya ada degree in accounting dari LSE.” Qistina terdiam. Tidak tahu mengapa dia mulakan dengan cerita itu. “Lima tahun saya tinggal kat London ni, sejak A-levels lagi, kemudian sambung buat degree.” Suara Qistina mendatar. Tiada berperasaan.

Ian Iskandar hanya diam. Tidak mahu mengganggu tumpuan Qistina.

“Tak sampai sebulan saya balik KL, saya datang ke sini balik. Tapi kali ini sebagai peneman ibu Encik.”

“Apa nama penuh awak, Qistina?” Ian Iskandar baru tersedar dia tidak tahu nama penuh Qistina. Dalam kontrak, Qistina hanya menandatangani namanya sebagai Qistina. Nama penuhnya juga tidak diisi secara penuh. Kerana terdesak mahukan Qistina menjadi peneman ibunya, dia tidak menghiraukan tentang perkara yang dianggap remeh itu. Lagipun, kontrak itu hanya untuk setahun. Tiket dan pasport Qistina juga tidak pernah berada di tangannya. Semuanya diselesaikan oleh setiausahanya.

“Sofiah Qistina,” sengaja Qistina tidak menyebut nama papanya.

“Binti?” Ian Iskandar bertanya.

“Ali” ringkas Qistina menjawab.

“Kenapa awak mintak tawaran kerja tu, Qistina?”

Qistina terdiam. Rahsia yang dipegangnya selama ini daripada pengetahuan Ian Iskandar, apakah bakal berkubur hari ini?

“Sofiah Qistina!” Kali pertama Ian Iskandar memanggil nama penuh Qistina. Dia sedang mencuba sedaya upaya untuk bersabar dengan Qistina. Qistina menoleh ke arah Ian Iskandar.

“Encik, boleh tak kalau saya tak nak jawab soalan Encik tu?” Qistina separuh merayu. Terkedu juga dia mendengar Ian Iskandar memanggil nama penuhnya. Ada suatu perasaan halus yang menerpa.

Ian Iskandar melihat kesayuan di wajah gadis idamannya itu. Matanya memancar cahaya kesedihan. Dahinya berkerut seolah-olah menahan kepedihan yang amat sangat. Ingin sahaja Ian Iskandar menarik gadis itu ke dalam pelukannya. Apa sahaja agar kesayuan dan kesedihan itu dapat hilang dari wajahnya.

“Saya perlu tahu, Qistina…please!” Ian Iskandar cuba berlembut.

Qistina melarikan pandangannya. Lama dia diam membisu. Ian Iskandar masih menanti.

“Saya perlukan sebab untuk tinggalkan Malaysia...Saya perlu pergi jauh. Jadi tawaran pekerjaan Encik datang bergolek…saya terus saja mohon dan saya bersyukur sangat Encik pilih saya…” perlahan suara Qistina seolah-olah berbisik. “Syukur sangat-sangat…”

“Awak lari dari siapa, Qistina? Siapa yang buat awak jadi macam ni?”

Qistina tunduk. “Papa saya…” Air mata Qistina mula mengalir dan menitik ke atas telapak tangannya.

“Apa yang papa awak buat, Qistina?” desak Ian Iskandar. Ingin sahaja dia menyeka air mata yang mengalir jatuh ke pipi mulus gadis itu. Ah, seandainya gadis itu miliknya, pasti dia akan memeluk dan membiarkan Qistina menangis di dalam dakapannya…dan tentulah dia akan cuba memujuk dan terus memujuk dengan sentuhan dan belaian mesra…

“Dia…dia halau saya dari rumah, Encik…Dia dah tak mengaku saya anak dia…” jawab Qistina dalam tangis.

Ian Iskandar terkedu. Dia tidak menyangka inilah derita yang ditanggung Qistina selama ini. Inilah rahsia yang disimpan selama ini. Padanlah Qistina langsung tidak memberitahu kedua orang tuanya tentang dirinya yang kini berada di kota London ini.

“Kenapa, Qistina?”

Qistina menyeka air matanya dan memandang Ian Iskandar. Matanya merayu. “Encik, boleh tak hantar saya balik? Saya tak nak terlepas solat Maghrib…Please, Encik…” Qistina sekadar memberi alasan. Dia tahu sekiranya dia menceritakan hal keluarganya kepada Ian Iskandar, dia mungkin tidak dapat mengawal tangisannya.

Mata Ian Iskandar masih menjamah wajah Qistina dan pipi gadis itu yang dibasahi air mata. Terlalu berat agaknya untuk gadis itu meluahkan segala yang terpendam. Ian Iskandar tidak sampai hati untuk memaksa dan berterusan mendesak Qistina, walaupun hatinya memberontak ingin tahu.

“Qistina, saya akan hantar awak balik. Tapi kita mesti selesaikan semua ni. Lepas solat nanti, saya nak kita sambung balik perbincangan kita. Awak tak boleh lari daripada saya Qistina. Saya perlukan semua jawapan daripada awak...”

Qistina hanya diam. Menolak pun tidak, mengiakan pun tidak. Akhirnya, Ian Iskandar memecut laju.

Sampai di rumah, Ian Iskandar terus naik dan masuk ke dalam biliknya. Qistina melangkah longlai menuju ke bilik Puan Mariam. Dia mengetuk perlahan dan membuka pintu. Puan Mariam masih belum tidur dan sedang menonton berita di televisyen.

Terkejut Puan Mariam melihat kelibat Qistina di muka pintu dengan wajah yang sugul serta suram. Ada kesan air mata di matanya. Puan Mariam menekan punat pada alat kawalan jauh dan televisyen dimatikan. “Qistina? Kenapa ni, dear?” Risau dia melihat Qistina dalam keadaan begitu.

“Madam? Boleh saya masuk sekejap?” Qistina hanya mahu menatap wajah Puan Mariam sebagai ganti wajah Mak Esah yang amat dirinduinya. Puan Mariam seolah-olah menyayanginya seperti Mak Esah. Dia perlukan sentuhan dan belaian seorang ibu di saat-saat ini.

“Sudah tentu, dear!” Puan Mariam sedikit cuak. Dia tahu Qistina keluar makan malam bersama anaknya. Apa yang telah Ian Iskandar lakukan sehingga gadis ini kelihatan begitu sedih? Sehingga menangis?

Qistina menghampiri katil dan duduk di tepi Puan Mariam. “Madam, saya saja nak tengok madam okey ke tak malam ni…” Qistina beralasan.

Puan Mariam mengusap lembut pipi Qistina. “Kenapa ni, love? Ian ada kata apa-apa yang menyakitkan hati Qistina ke?” Qistina terdiam. Belaian Puan Mariam membuat dia rasa disayangi.

“Tak de apa-apa madam. Saya cuma rindukan penjaga saya kat Malaysia tu, jadi bila saya rindukan dia, saya pandang wajah madam, terubat rindu di hati saya…”

Puan Mariam terharu mendengar kata-kata Qistina. “Qistina, saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Beritahu saya!”

“Madam, boleh tak saya peluk madam?” perlahan Qistina meminta. Hanya satu pelukan untuk menenangkan hatinya ketika ini.

Puan Mariam mendepangkan tangannya. Tanpa berlengah lagi, Qistina merapatkan tubuhnya dan memeluk Puan Mariam. Dia memejamkan matanya. Dalam ingatannya, dia sedang memeluk Puan Mariam, Mak Esah dan juga Puan Sri Ani Suraya sekali gus. Ketiga-tiga wanita yang amat-amat disayanginya.

Dengan perlahan, Qistina meleraikan pelukannya. Terasa sedikit lega di hati. “Terima kasih, madam. Saya naik dulu. Tak Maghrib lagi. Madam dah solat?”

Puan Mariam mengangguk. Hatinya masih tertanya-tanya mengapa Qistina berkelakuan sedikit pelik malam ini. “Qistina, kadang-kadang tak elok kita simpan sesuatu rahsia tu terlalu lama dalam hati kita. Ia tak bagus untuk jiwa kita. Luahkan, Qistina. You’ll feel much better.”

Qistina tersenyum tawar. Apakah Ian Iskandar boleh menerima dirinya seadanya sekiranya dia tahu apa yang Remy pernah lakukan kepadanya? Apa jenis perempuan yang sanggup mengikut lelaki ke tempat-tempat yang tidak elok sebegitu? Memang dia sendiri yang telah menempa nasibnya. Salah dia sendiri kerana telah membenarkan dirinya masuk ke dalam tempat-tempat yang hina sebegitu. Salah dia juga kerana telah menurut paksaan ibunya untuk memakai baju seksi, iaitu gaun pendek sampai ke paras lutut, tanpa lengan dan yang melekap ketat di tubuhnya, seolah-olah ingin menggoda Remy. Dia yang menyebabkan Remy bertindak ganas terhadapnya malam itu. Dia yang menimbulkan nafsu lelaki Remy terhadapnya. Dia yang bersalah.

Mungkin, elok juga sekiranya Ian Iskandar tahu siapa dirinya yang sebenar. Dengan itu, Ian Iskandar tidak lagi ingin mendekatinya atau mengahwini dirinya. Biarlah Ian Iskandar menolak dirinya sekarang daripada menolaknya di kemudian hari, di saat Qistina telah menyerahkan hatinya kepada lelaki itu.

“Madam, saya naik dulu. Terima kasih untuk segalanya…” Qistina meminta diri dan naik ke atas bilik. Berat hati Puan Mariam melepaskan gadis itu pergi begitu sahaja. Gadis yang masih muda begitu, terlalu sarat menanggung duka. Amat jelas betapa gadis itu dahagakan kasih dan sayang. Qistina seorang yang sangat pemurah dalam memberikan kasih sayangnya kepada Puan Mariam. Qistina juga perlu disayangi. Dibelai dan dimanja. ‘Mengapa anaknya terlalu lambat mengambil tindakan?’ marah dia kepada Ian Iskandar.

Qistina menadah tangan meminta petunjuk daripada Ilahi. Dia masih berteleku di atas sejadahnya. ‘Ya Allah. Berikanlah kekuatan kepada hambu-Mu ini, ya Allah…berikanlah kekuatan untuk menempuh segala cabaran dan dugaan yang Kau kurniakan kepadaku…sesungguhnya aku ini hanya hamba-Mu yang lemah…”

Qistina menunggu masuknya waktu Isyak. Seusai solat Isyak, Qistina berlegar-legar di dalam bilik tidurnya. Dia tahu Ian Iskandar ingin sambung berbicara dengannya, tetapi di mana? Malam sudah semakin lewat. Sudah pukul 10.30 malam sekarang. Sedang Qistina asyik dengan keluh kesahnya, pintu biliknya diketuk perlahan. Walaupun perlahan, Qistina merasakan ketukan itu bagai dipalu dengan menggunakan tukul besi. Bahunya terangkat tanda terkejut.

Dia membuka pintu. Tanpa sepatah kata, Ian Iskandar masuk ke dalam bilik Qistina dan terus duduk di atas sofa. Qistina masih tercegat di muka pintu. Tangannya masih di tombol pintu. Terpinga-pinga dia melihat Ian Iskandar duduk di dalam biliknya.

‘Amboi, amboi…sesedap rasa je dia masuk dalam bilik aku. Sungguh kurang sopan!’

“Habis tu, awak nak berdiri tercegat kat situ je? Masuklah!” Ian Iskandar bersuara.

“Encik…errr…tak manis macam ni Encik. Boleh tak kalau kita bincang kat bawah je? Kat ruang tamu ke?” Qistina masih belum berganjak dari tempat dirinya. Masih tercegat di muka pintu.

No, Qistina. Saya tak nak mummy saya dengar perbincangan kita ni. Awak jangan risau. Kat sini tak de siapa yang akan buat serbuan tangkap khalwat!”

Mencerlung mata Qistina memandang Ian Iskandar. Geram! ‘Boleh pulak dia buat lawak macam ni!’

“Kalau kena tangkap pun, bagus jugak, kan? Boleh terus kahwin!” balas Ian Iskandar lagi dengan selamba. Sengihannya nakal dan menggoda.

Ian Iskandar hilang kesabarannya pabila melihat Qistina masih tidak berganjak. Dia bingkas bangun dari sofa. Dia mengayun langkah mendekati Qistina, menutup pintu bilik Qistina dan menarik Qistina menuju ke sofa. Qistina terkejut dengan tindakan pantas daripada Ian Iskandar itu. Tidak sempat dia mengelak. Cengkamannya di lengan Qistina begitu kuat dan kemas. Qistina dipaksa duduk bersebelahan dengannya. Qistina mengengsot sedikit untuk menjarakkan dirinya daripada Ian Iskandar. Ian Iskandar melepaskan tangannya perlahan-lahan.

“Encik, this is really not proper!” Qistina masih membantah. Risau apa pula kata Puan Mariam atau Naseem nanti sekiranya mereka mendapat tahu dirinya berdua-duaan dengan Ian Iskandar begini.

“Awak jangan risau. Kalau saya tak boleh kawal diri saya, dah lama saya terkam awak! Dari dulu lagi…” ujar Ian Iskandar bersama seukir senyuman nakal di bibir.

Qistina terkedu dengan kata-kata Ian Iskandar. ‘Berani dia cakap macam tu!’ Qistina boleh merasakan pipinya semakin hangat.

“Kan senang kalau awak jadi isteri saya, Qistina. Berdua-duaan macam ni dalam bilik pun takpe, kan? Nak buat lebih daripada duduk bersebelahan macam ni pun boleh…Awak pun takdelah risau macam ni…”

Ian Iskandar sengaja mengusik. Walaupun selamba, dia sebenarnya serius dalam pertuturannya. Gadis itu terlalu menawan di matanya. Dia begitu tertarik dengan Qistina dan terlalu menginginkannya. ‘Memang kalau ikutkan hati, dah lama aku nak terkam je dia ni. Tapi dia ni terlalu istimewa…terlalu berharga…Aku mesti berhati-hati, takut-takut aku akan melukai perasaannya…’

Pipi gadis itu semakin merah. Ian Iskandar terpaksa menggenggam tangannya agar dia tidak mengusap dan membelai pipi itu, seperti yang mahu dilakukan ketika itu. Ian Iskandar kembali serius. Qistina begitu kaget, begitu kaku.

“Qistina, awak takut dengan saya?”

Qistina memandang Ian Iskandar. Pandangan Ian Iskandar menyeru agar dia bercakap benar. “Saya rasa pernah sekali-dua saya rasa takut dengan Encik. Kalau Encik marah-marah, kadang-kadang saya rasa takut. Tapi saya tahu Encik takkan sakiti saya.” Berhati-hati Qistina menuturkan kata.

Sakiti orang yang dicintainya? Tentu sekali tidak!! ‘Dalam sekelip mata sahaja aku jatuh cinta kepadanya’.

“Memang saya tak akan sakiti awak, Qistina. Saya tak akan sekali-kali sakiti awak…” suara Ian Iskandar perlahan, sangat romantik di telinga Qistina.

Qistina berasa pelik dengan perubahan ketara dalam kelakuan Ian Iskandar. Qistina menggelengkan kepalanya sekejap untuk menghilangkan fikiran yang tidak munasabah ini. Ian Iskandar romantik? Huh! Sehingga ke hari ini, kalau tidak bercakap dengan menyindir, mesti bercakap dengan nada marah. Mana pernah mahu berlembut dengannya?

“Encik, Encik nak apa sebenarnya ni? Saya penat. Saya nak tidur…”

“Saya nak tau apa yang papa awak buat kat awak, hingga awak lari sampai ke London?”

Qistina tunduk seketika. Tidak tahu bagaimana hendak bermula.

Akhirnya, Qistina memandang Ian Iskandar semula. “Kenapa? Kenapa Encik nak tau? Saya pernah berjanji pada Encik yang saya takkan biarkan masalah peribadi saya mengganggu tugas saya kan? Saya sentiasa ceria depan ibu Encik. Saya tak pernah tunjuk rasa sedih saya pada ibu Encik. Pernah tak ibu Encik mengadu tentang saya?”

Ian Iskanda terdiam.

“Tak pernah, kan? Jadi apa sebabnya saya kena ceritakan kisah hidup saya, yang sangat-sangat peribadi kepada Encik?” tenang Qistina bersuara. Dia masih cuba mempertahankan hak peribadinya daripada dicungkil lelaki itu. “Saya tau Encik ni majikan saya…tapi Encik ada tanya hal peribadi dari semua pekerja Encik?”

No, Qistina, cuma awak! Saya tak perlu tau hal peribadi pekerja saya yang lain, tapi saya perlu tahu pasal awak…” bentak Ian Iskandar. Itulah hakikatnya. Di depan matanya pagi, petang, siang dan malam, hanyalah gadis itu. Kadang-kadang dia tidur dengan nama gadis itu di bibirnya sambil berdoa, gadis itu akan menjadi miliknya yang abadi.

“Kenapa cuma saya?” suara Qistina melirih. Sesungguhnya dia sudah penat. Penat dengan desakan demi desakan daripada Ian Iskandar.

“Sebab saya nak kahwin dengan awak sorang je, Qistina! Saya tak nak kahwin dengan mana-mana pekerja saya yang lain!! Jadi kenapa saya kena sibuk tanya hal peribadi orang lain? Saya tak kisah hal orang lain. Pedulikan diaorang tu semua!” Suara Ian Iskandar kembali lembut.

“Tapi saya tak kata saya nak kahwin dengan Encik. Terang-terang saya dah cakap tadi yang saya tak boleh kahwin dengan Encik, kan?”

Ian Iskandar mendengus perlahan. Dengan renungan yang tajam, Ian Iskandar mendekatkan wajahnya ke wajah Qistina lalu berkata lembut tetapi tegas.

“Awak akan jadi isteri saya, Qistina! Kalau tak hari ni, esok dan kalau bukan esok, lusa. Masa je yang belum ditentukan lagi tapi lebih baik awak terima aje kenyataan yang awak akan jadi isteri saya!”

Qistina tergamam. “Encik tak boleh paksa saya!” terketar-ketar Qistina menyatakan rasa tidak puas hatinya. Ian Iskandar begitu tekad ketika menuturkan kata.

Senyuman terukir di bibir Ian Iskandar. “Saya tahu saya tak boleh paksa awak, Qistina. Tapi percayalah, awak akan jadi isteri saya!” dengan yakin Ian Iskandar berbicara.

Qistina terdiam. Dia seolah-olah terpukau dengan panahan mata Ian Iskandar yang seakan dapat melihat hingga ke dasar hatinya. Tarikan yang dirasakan begitu kuat. Bagaikan magnet. Tidak pernah dia berperasaan begitu. Lama mereka saling berpandangan. Jantung Qistina mula berdegup kencang. Jantung Ian Iskandar berirama rentak yang sama. Dada Qistina mula terasa sesak. Dada Ian Iskandar sudah lama dilanda badai.

“Qistina….”

‘Ya Allah! Apa yang mamat ni cuba buat ni? Suara semakin romantik. Lepas tu dia pandang aku macam akulah orang yang dia paling sayang…’

Qistina pantas melarikan pandangannya. Dia bangun. “Encik, boleh tak Encik keluar sekarang?” Dia perlu berseorangan. Segala macam perasaan sedang menimpanya ketika ini. Dia sendiri tidak mengerti. Yang dia tahu, dia perlu melarikan diri daripada Ian Iskandar buat masa ini.

Ian Iskandar turut bangun. Dekat dia berdiri di sebelah Qistina.

“Saya takkan putus asa, Qistina. Saya benarkan awak lari daripada saya malam ini tapi saya tak akan berhenti mengejar awak. Saya bagi awak rehat sekejap je malam ni sebab saya nampak awak penat sangat. Saya takkan putus asa. Awak akan jadi milik saya!” Tegas Ian Iskandar bersuara.

“Encik, saya tak pernah pun tanya apa-apa soalan peribadi pada Encik. Saya betul-betul tak faham dengan Encik ni!” Qistina melepaskan ketidakpuasan hatinya.

“Siapa suruh tak tanya? Ada saya kata tak boleh tanya? Tanyalah? Saya sudi menjawabnya…” nada suara Ian Iskandar seolah-olah mencabar Qistina. Ian Iskandar kembali duduk di atas sofa. Tangan Qistina direntap perlahan agar kembali duduk di sebelahnya. “Saya ni akan jadi suami awak jugak kan? Jadi...tanyalah! Awak boleh tanya saya apa saja yang awak mahu.” Terbit senyuman segaris di bibirnya.

‘Eeee….perasannya mamat ni? Siapa yang nak kahwin dengan dia ni? Eh, betul ke aku tak nak? Nak ke tak nak? Tapi macam mana dengan Remy?’ Qistina berperang dengan perasaannya sendiri.

“Saya masih di sini, Qistina…” Ian Iskandar memujuk.

“Saya…saya…tak tau nak tanya apa, sebenarnya.”

“Apa sajaapa-apa saja…”

Qistina tidak mahu terperangkap dengan apa yang Ian Iskandar cuba lakukan. Dia tahu Ian Iskandar hanya lakukan ini agar Qistina menceritakan segala rahsia yang terpendam di dalam hatinya sebagai balasan.

“Saya tau apa yang Encik cuba lakukan!”

Ian Iskandar menjungkitkan keningnya. “Apa, Qistina?”

“Encik nak saya tanya soalan peribadi pada Encik sebagai alasan Encik mahu memaksa saya menceritakan hal peribadi saya bukan? Itu maksud Encik sebenarnya!”

Ian Iskandar tersenyum. “Pandai awak Qistina! Tak sia-sia saya pilih awak jadi isteri saya!”

Qistina semakin tergoda dengan kata-kata dan riak wajah Ian Iskandar. Dia semakin lemas dalam kebiruan mata Ian Iskandar. Qistina menggigit bibirnya, tidak tahu bagaimana lagi untuk membalas kata-kata Ian Iskandar.

Ian Iskandar tahu Qistina tidak akan mengalah malam ini. Dan malam semakin lewat. Dia tidak seharusnya memaksa gadis itu menurut sahaja arahannya, walaupun itu sebenar kemahuannya sendiri. Perasaan belas kepada gadis itu tiba-tiba menenggelamkan niatnya untuk mencungkil rahsia gadis itu. Walau apa pun sebenarnya yang cuba dia lindungi, Ian Iskandar nekad untuk menerima gadis itu seadanya dan cuba sedaya-upayanya untuk membalut segala kedukaan di hatinya. Dia tidak mahu gadis itu bersedih lagi. Dia mahu gadis itu menyandarkan segala masalahnya ke bahunya. Hebat betul perasaan cinta yang telah menghuni sepelusuk hatinya untuk gadis di hadapannya ini!

Ian Iskandar mengeluh kecil melihatkan Qistina diam membisu. “Baiklah Qistina, we’ll have it your way. Pergilah tidur. Jumpa esok ya.” Ian Iskandar bangun dan merenung gadis itu sejenak sebelum beredar dari bilik Qistina.

Qistina melepaskan nafas dalam-dalam. Lega lelaki itu telah meninggalkannya. Dia tidak tahu apa akan terjadi dengan perasaannya yang sudah lama berkocak sekiranya Ian Iskandar berlama duduk di sebelahnya. Mungkin dia akan terus bersetuju dengan lamaran Ian Iskandar tanpa berfikir panjang lagi. Itu yang paling ditakutinya. Dia tidak layak untuk Ian Iskandar, walaupun dia sudah merasai suatu perasaan halus terhadap lelaki itu.

Qistina mencapai BlackBerrynya dan pantas menaip e-mel yang panjang lebar kepada Timah. Hanya Timah tempatnya mengadu…

Ian Iskandar bersandar di sebalik pintu bilik Qistina dan melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Dadanya yang masih berdebar-debar ditekap dengan tangannya. Di hadapan Qistina, dia pandai menyembunyikan pergolakan perasaannya agar nampak bersahaja sahaja. Walhal pada hakikatnya, gadis itu memang telah memporak-perandakan perasaannya, nalurinya, hatinya…segalanya.

Ian Iskandar turun ke bawah. Ingin mendapatkan pendapat ibunya. Syukur ibunya masih belum tidur. Dia duduk di atas birai katil ibunya dan termenung jauh.

What’s wrong, dear?” Puan Mariam terpaksa mengulangi pertanyaannya dua kali lagi sebelum Ian Iskandar mendengar suara ibunya.

I’ve fallen in love, mummy! Pertama kali dalam hidup ni, Ian jatuh cinta. ..tapi perempuan tu selalu cuba melarikan diri daripada Ian!”

Bahagianya Puan Mariam mendengar pengakuan berani mati anaknya itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu!

“Qistina?” Puan Mariam pura-pura tidak tahu.

Ian Iskandar mengangguk.

“Apa yang Ian cakap padanya tadi hinggakan dia begitu sedih?”

Ian Iskandar terkejut dengan pertanyaan ibunya. Bagaimana ibunya boleh tahu?

Mummy nampak dia?”

Puan Mariam mengangguk. “Dia datang jumpa mummy tadi dan wajahnya nampak begitu sedih. Mummy tahu dia menangis. ….Ian, you have to treat her with care…dia mungkin nampak tabah tapi sebenarnya dia benar-benar sensitif dan mudah terasa …”

Ian Iskandar tergamam mendengar kata-kata ibunya. Dia seakan dapat meneka sesuatu. “Mummy tahu tak kenapa papa Qistina halau dia?”

“Dah tentu, tapi mummy tak boleh nak beritahu Ian. Mummy dah janji. Ian kenalah tanya dia sendiri.”

‘Hailah mummy! Itulah yang aku dah lama cuba buat ni. Tapi susah betul nak korek rahsia si Qistina ni…’

“Tadi Ian melamar dia…” ujar Ian Iskandar perlahan.

Puan Mariam terkejut. Mulutnya sedikit ternganga. Kalau betul Ian Iskandar telah melamar Qistina, mengapa Qistina kelihatan begitu sedih?

“Apa? Ian lamar dia? Apa dia jawab?”

She said no!” Ian Iskandar menjawab selamba.

Puan Mariam ketawa besar. Sakit perutnya mentertawakan anak terunanya ini. Ian Iskandar tertanya-tanya mengapa ibunya menggelakkannya sehingga begitu sekali.  Panas sedikit hatinya. Sangkanya ibu akan bersimpati dengannya. Ini tidak. Gelak sakan.

Mummy!” Geram Ian Iskandar jadinya.

Sorry…sorry, dear. Mummy tak bermaksud nak ketawakan Ian…beritahu Mummy apa yang dah terjadi…” Puan Mariam tergelak.

Lucu dia melihatkan riak wajah Ian Iskandar sebentar tadi. Tidak pernah Ian Iskandar begitu. Anaknya itu sentiasa tenang dan bersahaja. Sentiasa cool dan control macho. Kadang-kadang dia boleh bersikap dingin juga. Cuma sejak gadis itu datang ke sini, barulah dia bisa melihatkan riak wajah Ian Iskandar yang berubah-ubah.  

Ian Iskandar menceritakan kepada ibunya segala yang terjadi malam ini. Sesekali ibunya menggelengkan kepalanya, tanda tidak setuju dengan tindakan Ian Iskandar. ‘Takkanlah umur dah masuk tiga puluh tahun pun nak kena ajar jugak pasal perempuan?’

“Kenapa Ian tak beritahu dia apa yang Ian rasa? Kenapa Ian gunakan mummy sebagai alasan untuk mengahwininya?”

“Ian tak boleh beritahu Qistina yang Ian cintakan dia. Ian risau kalau-kalau kata-kata Ian akan buat dia rasa takut.” Ian Iskandar membantah.

“Kalaupun Ian berterus-terang, Qistina mesti takkan percaya cakap Ian.”

“Kenapa tidak?” Puan Mariam tidak memahami.

Ian Iskandar mengeluh. “Ian jatuh cinta kepadanya sejak kali pertama Ian nampak dia berdiri di hadapan Ian semasa di pejabat Ian mummy. But ever since then, I have always been cool towards her, sometimes even cold. Dia takkan percaya kalau Ian beritahu perasaan sebenar Ian terhadapnya…”

“Ian, perempuan perlu tahu...mereka tak boleh meneka apa yang ada dalam hati lelaki. Qistina masih muda dan dia tak pernah jatuh cinta sebelum ni... You have to tell her, son…”

Ian Iskandar mendengar kata-kata ibunya dan cuba mencernakannya dalam fikirannya.

Mummy, Ian akan fikirkan.” Ian Iskandar bangun dan mengucup pipi ibunya. “Terima kasih, mummy…”

“Ian,” Puan Mariam memaut lengan Ian Iskandar. “Mummy rasa gembira sangat sebab Ian pilih Qistina. Ian tahu perasaan mummy terhadapnya, kan? Naluri mummy mengatakan Qistina akan membahagiakan Ian. Dia sangat sempurna untuk Ian!”

Ian Iskandar terharu mendengar kata-kata ibunya. Puan Mariam melihat Ian Iskandar meninggalkan biliknya. Di hatinya tidak putus-putus berdoa agar Ian Iskandar akan bertemu kebahagiaan yang dicarinya selama ini. Dia tahu Ian Iskandar mengunci hatinya selama ini akibat terkesan melihatkan penderitaannya sejak bercerai dengan bapa Ian Iskandar bertahun-tahun yang lalu. Akibat perceraian itu, Ian Iskandar menjauhkan diri daripada cinta. Untuk sekian lamanya. Namun akhirnya, cinta itu telah dapat mengejar dan menakluki hatinya. Dia bersyukur.

Kesan perceraian Puan Mariam dengan bapa Ian Iskandar dan pergolakan rumah tangga mereka begitu ketara kepada Ian Iskandar. Ian Iskandar sering melihat ibunya menangis akibat perceraian itu. Di bahu Ian Iskandarlah ibunya sering berlabuh, walaupun usianya baru mencecah sepuluh tahun. Sudah lama Ian Iskandar keseorangan. Ya Allah, Kau berikanlah kebahagian kepada anakku…kebahagiaan yang dicarinya selama ini.



No comments:

Post a Comment

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....