Wednesday, 15 October 2014

Demi Bahagia Ini - Bab 10

BAB 10

Qistina melipat surat khabar dan kembali meletakkannya di atas meja kecil di tepi katil Puan Mariam. Puan Mariam masih tersenyum mendengar berita terakhir yang dibaca Qistina tadi mengenai sorang pencuri yang tertidur di atas katil di dalam rumah yang ingin dirompaknya.

“Kelakar kan, madam? Penat sangat agaknya pencuri tu sampai tertidur. Tak payah susah-susah polis nak kejar dan tangkap dia…”

Puan Mariam kembali ketawa. “Qistina, awak buat saya ketawalah! Sejak awak datang, saya rasa happy sangat. Ada je bahan awak untuk buat saya ketawa, kan?” Puan Mariam jarang rasa bersedih sejak kehadiran Qistina di sisinya. Sayangnya kepada gadis itu juga bertambah-tambah dari sehari ke sehari.

“Saya pun happy kat sini, madam…” ikhlas Qistina menyuarakan perasaannya.

Ye ke awak happy, Qistina?” Mata Puan Mariam terlekap di wajah Qistina. Redup dan terharu.

“Kenapa madam tanya saya macam tu? Mestilah saya happy. Madam tak percaya?”

“Bukan malam tadi awak bergaduh dengan Ian?” Puan Mariam menduga.

Qistina terkejut. Matanya membulat. ‘Macam mana madam tau pulak ni?’

“Saya boleh dengar suara Ian dari dalam bilik saya…Apa yang dia marahkan sangat tu?” balasan daripada Puan Mariam menjawab soalan yang berlegar di minda Qistina.

Qistina tunduk lalu mengeluh. “Dia tak suka saya keluar dengan Dr. Ilyas. Lepas tu bila saya cakap saya nak cari bilik sewa dan keluar dari rumah ni, dia marah!”

Puan Mariam tersenyum. Suka dia mendengarkan keberanian anaknya dalam mengakui tidak suka Qistina keluar dengan Dr. Ilyas Khan. Bilalah pula anaknya itu akan berani meluahkan yang lebih lagi??

“Awak akan keluar lagi dengan Dr. Illyas?”

Qistina memandang Puan Mariam. Mengapa Puan Mariam tersenyum? Macam suka pun ada, macam geli hati pun ada. Qistina kehairanan seketika.

“Saya pun sebenarnya serba salah, madam. Dia ajak saya pergi charity dinner Sabtu ni. Dia nak saya menyamar jadi girlfriend dia…semata-mata nak tayang saya pada bekas tunang dia…saya tak selesalah madam…” Qistina berterus-terang. Hanya dengan Puan Mariam sahaja dia selesa begitu. Apa yang ditanya Puan Mariam dijawabnya tanpa ragu-ragu.

Hati Puan Mariam melonjak gembira. Dia tahu Ian Iskandar juga akan menghadiri jamuan makan malam yang sama, disebabkan syarikat Ian Iskandar merupakan satu daripada penderma utama kepada hospital kanak-kanak yang menerima sumbangan derma tersebut. Dia mahu Ian Iskandar melihat gadis idamannya di samping lelaki lain. Mungkin itu sahaja caranya untuk ‘memaksa’ Ian Iskandar untuk pantas mengambil tindakan.

“Awak patut pergi, Qistina. Dr. Ilyas sekadar ingin awak menemaninya. Tak salah, kan?”

“Entahlah, madam. Saya tak selesalah kena berlakon jadi girlfriend dia,” ujar Qistina.

“Saya rasa awak boleh percaya pada Dr. Ilyas. Saya kenal dia dah lama. Dia takkan ambil kesempatan ke atas awak, kalau itu yang awak risaukan…I know he’s a perfect gentleman!” Puan Mariam cuba meyakinkan.

“Saya tau dia baik. Saya selesa keluar dengan dia, madam. Tak rasa janggal langsung bila dengan dia…tapi nak berlakon jadi teman wanita dia? Saya tak beranilah madam, tapi saya dah janji nak berikan jawapan saya esok bila dia datang sini.”

Puan Mariam mengangguk-angguk. “Baguslah. Awak patut pergi dan berseronok … Saya tak nampak apa masalahnya, Qistina. Lagipun awak memang takde plan Sabtu ni kan?”

Qistina masih teragak-agak. Kenapa Puan Mariam beria-ia sangat mahu dia menemani Dr. Ilyas Khan?

“Belum ada…tapi…”

“Tapi apa, Qistina? Awak takde baju?” pantas Puan Mariam meneka.

“Itu bukan masalahnya, madam…macam saya katakan tadi, saya tak pandailah nak berlakon jadi girlfriend orang. Saya takde pengalaman…”

Qistina tidak tahu bagaimana lagi hendak menjelaskan mengapa dia tidak selesa menemani Dr. Ilyas Khan ke majlis itu. Dahlah kena berlakon jadi teman istimewa Dr. Ilyas Khan. Lepas itu, dia tahu Ian Iskandar pasti tidak suka. Qistina tersentak. ‘Eh, tapi kenapa pulak aku kena kisah dia suka ke tak? Yang aku nak jaga hati dia sangat ni kenapa? Dia sendiri tak pernah tau nak jaga hati aku. Asyik nak marah-marah je.’

“Nantilah, saya fikirkan madam.”

Puan Mariam tersenyum. Dia harus memastikan Qistina bersetuju menemani Dr. Ilyas Khan ke majlis itu. “Qistina, tolong panggilkan Natalie. Saya nak buang air…”

“Baik, madam.” Qistina melangkah keluar dari bilik Puan Mariam untuk mendapatkan Natalie Brown.

***********

Seusai solat Isyak, Qistina mencapai BlackBerrynya. Dia tersenyum ketika melihatkan ada satu e-mel daripada Timah. Dia pantas membacanya. Senyuman pantas hilang dari wajahnya ketika membaca isi e-mel tersebut.

‘Assalamualaikum, Ina.

Apa khabar, sahabatku? Aku harap kau tenang dan aman di sana. Aku dengan famili aku sihat macam biasa. Mak dan ayah sibuk dengan persiapan pertunangan Along. Along yang nak bertunang tapi dia relaks je. Mak ayah aku yang tunggang-langgang buat persiapan. Nak kata kena paksa, tak jugak. Along jugak yang dah setuju dulu. Tapi dia buat tak kisah je. Aku pun tak taulah abang aku sorang tu!

Aku ada benda nak cerita dengan kau. Baru-baru ni, aku pergi hospital. Aku kena buat medical check-up untuk tempat kerja baru aku tu. Aku terserempak dengan kakak kau. Kak Sarah tak nampak aku. Aku tengok dia lemah je. Dalam hospital pun pakai cermin mata hitam. Tangan kiri dia berbalut, tapi aku rasa tak patah. Mungkin terseliuh. Bila dia nak ambik ubat, dia tanggalkan cermin mata hitam dia. Masa tu aku nampak lebam kat mata kiri dia. Teruk jugak aku tengok. Dari mata aku, aku rasa dia macam kena pukul. Tapi aku tak pasti. Kesian aku tengok. Lemah macam tu pun, tak de siapa teman dia pergi hospital.

Kau rasa abang Farid pukul dia ke?

Kau doakanlah Kak Sarah. Aku pun akan doakan kakak kau tu. Aku pergi dulu, Ina. Nanti aku e-mel lagi. Tak seronoklah kau dah tutup FB account kau. Nanti bila balik KL, kau bukak balik tau!

Jaga diri kau baik-baik. Assalamualaikum.

p/s Aku rindu giler pada kau!

Mata Qistina mula berkaca. Betul ke Kak Sarah kena pukul? Dengan abang Farid ke?

Simpati terhadap kakaknya datang berbakul-bakul. Dia tahu kakaknya tidak mahu berkahwin dengan abang Farid pada mulanya, namun setelah digertak dan diugut papanya, kakaknya mengalah. Kakaknya tidak sekuat Qistina. Mudah digertak dan cepat mengalah. Mungkinkah abang Farid juga daripada spesies yang sama dengan Remy? Tidak bertanggungjawab?

Qistina tidak pernah bertanya mengapa kakaknya tidak mahu berkahwin dengan abang Farid dulu memandangkan Qistina jauh di London dan hubungan mereka yang tidak pernah rapat, menyukarkan Qistina untuk mendekati kakaknya dan menyelami hati dan perasaan kakaknya itu. Mesti ada sebab mengapa kak Sarah membantah dulu, kan? Hati Qistina tertanya-tanya.

‘Ya Allah, Kau lindungilah kakakku. Sesungguhnya dia seorang yang lemah.’ Tidak putus-putus Qistina berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan kakaknya. Itu sahaja yang mampu dilakukan untuk Sarah Qireena.

Di samping itu, kata-kata rindu Timah tadi mencuit hatinya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia memerlukan temannya itu. Di kala hatinya sedang kacau-bilau dan huru-hara disebabkan seorang lelaki bernama Ian Iskandar, dia tiada teman untuk berkongsi perasaan.

***********

Keesokan paginya, Dr. Ilyas Khan hadir membawa sejambak bunga ros merah untuk Qistina. Dr. Ilyas Khan benar-benar mengharapkan agar bunga ros itu dapat mencairkan hati Qistina untuk bersetuju menemaninya ke majlis makan malam Sabtu ini. Dia betul-betul memerlukan pertolongan gadis itu.

Ian Iskandar melihat Dr. Ilyas Khan bersama bunga di tangan dan wajahnya terus berubah masam mencuka. Sangkanya Dr. Ilyas Khan ingin mengurat buah hatinya. Hatinya terus terbakar melihat Qistina tersenyum girang menerima pemberian bunga daripada Dr. Ilyas Khan. ‘Macam tak pernah dapat bunga! Eleh, aku pun boleh bagilah…Lagi besar daripada tu pun aku boleh bagi…’ Ian Iskandar mencemuh sendirian.

Another bribe, doc?” usik Qistina. Di hadapan Ian Iskandar dan Puan Mariam, dia tidak selesa memanggil Dr. Ilyas Khan dengan panggilan nama Ilyas sahaja. Pada waktu kerja, dia harus tampak professional.

Dr. Ilyas Khan tergelak kecil. “If this would help, then why not?”

Hanya Ian Iskandar seorang yang tidak memahami inti pati perbualan antara Qistina dengan Dr. Ilyas Khan. Dia melihat Qistina dan Dr. Ilyas Khan saling berbalas pandangan. Kalau diikutkan hati, dia mahu saja menarik Qistina keluar dari bilik itu dan menguncinya di dalam biliknya. Biar gadis itu tidak dapat ditatap lelaki lain selain dirinya!

So, I’m waiting for your answer, Qistina!”

Qistina mengangguk. Dr. Ilyas Khan tersengih lebar. Puan Mariam tersenyum girang. Ian Iskandar menahan marah yang amat dalam.

Well, then. It’s a date!” isytihar Dr. Ilyas Khan dengan nada gembira.

Qistina mengukirkan senyuman lalu keluar dari bilik Puan Mariam. Dia tahu Ian Iskandar sedang menahan amarahnya. Amat ketara daripada pandangan Qistina. Sejak Dr. Ilyas Khan menghulurkan jambangan bunga kepadanya lagi, dia sudah merasakan reaksi negatif daripada Ian Iskandar. Wajahnya berubah menjadi tegang, dan rahangnya bergerak-gerak seolah-olah dia mengetap giginya. Matanya bertukar kemerahan. Pasti setelah mengetahui dia akan menemani Dr. Ilyas Khan ke majlis amal Sabtu ini, dia akan marah-marah lagi. Kalau benarlah Ian Iskandar merasa cemburu terhadap Dr. Ilyas Khan, maka benarlah juga Ian Iskandar mempunyai perasaan terhadap dirinya. Sekiranya Ian Iskandar meluahkan perasaannya kepada Qistina, sanggupkah Qistina menerima dan membalasnya. Jujurnya, dia merasai sesuatu di dalam hatinya untuk lelaki itu. Namun apakah perasaan itu? Bukan ke baru-baru ini dia telah membuat keputusan untuk menyahkan perasaan itu dan menutup hatinya ketat-ketat? Bolehkan lelaki itu menerima dirinya seadanya?

Pintu bilik Puan Mariam dibuka. Dr. Ilyas Khan berjalan beriringan dengan Ian Iskandar dan diikuti Natalie Brown. Qistina bangun dari sofa di ruang tamu dan melangkahkan kaki untuk masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Ketika Qistina hampir berselisih dengan Dr. Ilyas Khan, Dr. Ilyas Khan menahan perjalanan Qistina. Dia membisik perlahan dekat di telinga Qistina, namun bisa didengari Ian Iskandar yang berdiri begitu hampir dengan Dr. Ilyas Khan.

“Qistina, thank you very much. I owe you one! Any time you need a favour from me, just let me know, okay?”

No worries, doc. Forget about it.”

No, Qistina. I mean it.”

Qistina tersenyum. Keikhlasan dari wajah Dr. Ilyas Khan mendamaikan. Dia bertuah mengenali Dr. Ilyas Khan dan menjalin persahabatan dengannya.

Dr. Ilyas Khan menghulurkan tangannya kepada Ian Iskandar. “I’ll come back on Friday.” Lega apabila huluran tangannya bersambut. Risau juga dia melihatkan ketegangan di wajah Ian Iskandar, tetapi dia perlu berlagak bersahaja. Betul kata ibu Ian Iskandar. Lelaki itu memang menggilai Qistina. Dr. Ilyas Khan sedari tadi hanya menunggu tumbukan padu ke wajahnya dari buku lima Ian Iskandar. Dia tahu Ian Iskandar cemburu. Cemburu yang amat sangat! Jika Dr. Ilyas Khan berada di tempat Ian Iskandar, tentunya dia juga akan membelasah cukup-cukup, seperti yang selalu ingin dilakukan kepada teman lelaki bekas tunangnya.

Lewat petang keesokannya, Qistina menerima sebuah bungkusan daripada Dr. Ilyas Khan. Ketika bungkusan diterima, Ian Iskandar masih belum pulang ke rumah. Naseem membawa bungkusan tersebut masuk ke dalam bilik Puan Mariam beberapa minit sebelum Qistina selesai dengan tugasannya untuk hari itu. Bungkusan dibuka. Qistina tersenyum melihatkan sepasang gaun labuh berwarna hitam terlipat kemas di dalam. Di celah-celah lipatan, Dr. Ilyas Khan menulis nota: 

As promised, my girlfriend!”

Qistina tergelak.

“Kenapa Qistina? Apa yang lucunya?” Hairan Puan Mariam melihat gelagat Qistina.

“Dr. Ilyas janji nak belikan saya baju untuk dinner nanti sebagai balasan saya bersetuju menjadi temannya. Ni la bajunya madam! Tengoklah nota yang dia tulis kepada saya, madam.” Qistina menghulurkan nota kepada Puan Mariam. Puan Mariam turut tergelak membaca nota daripada Dr. Ilyas Khan.

Qistina mengangkat baju dan membentangkannya di atas katil Puan Mariam.

“Wow! Cantiknya baju ni madam!!” Qistina memuji.

Gaun labuh berwarna hitam dengan skirt kembang di bawah pinggang, berlengan panjang dan dihiasi labuci dan manik-manik kecil berwarna emas yang dijahit dengan begitu teliti dan elegan sekali. Sulaman halus dengan benang emas di sekeliling pergelangan tangan dan leher menambah seri gaun tersebut. Gaun itu juga mempunyai tiga lapisan kain dalam, agar kembang pada skirt gaun itu nampak lebih beralun. Ala-ala baju kembang yang selalu dikenakan heroin-heroin Bollywood kegemarannya.

“Mesti awak cantik sangat bila pakai dress ni nanti, Qistina. Kenapa tak cubanya saja?” Puan Mariam turut teruja.

“Nanti-nanti jelah madam. Takkan nak cuba sekarang. Nanti hari Sabtu nanti, sebelum keluar, saya tunjuk baju ni pada madam, ya?”

“Okey, dear. Tapi saya nak lihat Qistina sebelum awak pergi tau?”

“Okey, madam. Saya janji.”

Qistina kembali melipatkan gaun dan memasukkan ia kembali ke dalam bungkusan tadi. Qistina bangun dan mendekati Puan Mariam. Tangan dihulur. “Saya masuk bilik dulu, madam.” Tangan Puan Mariam dikucup.

“Okey, dear. Jumpa lagi esok.” Matanya meleret mengekori belakang Qistina sehinggalah gadis itu hilang di sebalik pintu. Bilalah Ian Iskandar akan menyedari betapa istimewanya gadis ini?

‘Ya Allah, tetapkanlah gadis ini sebagai jodoh anakku, kerana aku tahu hanya Qistina sahaja yang benar-benar boleh memberikan kebahagiaan buat anakku itu. Kasih sayangnya begitu luhur, begitu suci…Kau makbulkanlah hasratku ingin melihatnya menjadi menantuku, ya Allah.’

Di dalam bilik, Qistina teruja ingin mencuba gaun yang dihadiahkan Dr. Ilyas Khan. Pandai betul Dr. Ilyas Khan memilih baju untuknya. Gaun itu terletak sempurna di tubuhnya. Tidak terlalu ketat. Padanan yang elok dan kemas. Lengannya cukup menutup pergelangan tangannya. Kainnya panjang melebihi buku lali.

Hmmm…aku kena cari kasut tumit tinggi ni. Baru kain ni tak nampak labuh sangat,” katanya sendirian.

Qistina memandang jam di tangan. ‘Rasa macam takde mood je nak makan malam dengan mamat tu. Mesti ada je yang tak kena nanti…hmmm…mesti dia nak tanya pasal Dr. Ilyas Khan lagi.’Qistina bermonolog sendiri.

Qistina menyalin pakaiannya dan membersihkan diri. Selepas solat Asar, dia baring sebentar. Cuaca panas sedikit melemaskan. Matanya mula layu. Akhirnya, dia terlelap.


***********

Qistina terjaga ketika mendengar pintu biliknya diketuk. Dia menenyeh matanya. Jam di tangan menunjukkan pukul 7.15 malam. Qistina bangun, mencapai tudung dari atas katil lalu membuka pintu. Ian Iskandar berdiri di muka pintu.

“Qistina, awak okey ke? Dah lama saya ketuk pintu bilik awak.” Berkerut dahi Ian Iskandar. Risau dia memikirkan kemungkinan sesuatu telah terjadi kepada Qistina.

“Maaf, Encik. Saya tak dengar. Saya tertidur…” Qistina masih lagi membetulkan tudungnya.

Ian Iskandar menatap wajah gadis di hadapannya. Wajah inilah yang telah mengganggu ketenteraman jiwanya selama ini. Namun, pada masa yang sama, wajah ini jugalah yang boleh melahirkan kedamaian di jiwanya. Sesungguhnya dia mahu menatap wajah itu di setiap saat waktu celiknya.

“Encik, ada apa Encik?” Qistina memandang Ian Iskandar yang begitu ralit menatap wajahnya. ‘Teruk sangat ke muka aku bangun tidur ni?’

Ian Iskandar tersentak. Terus melayang angannya sebentar tadi. “Qistina, saya ada perkara nak bincang dengan awak. Boleh tak awak siap? Kita makan malam di luar hari ni.”

‘Makan malam kat luar? Bahaya ni! Kalau aku nak lari daripada dia, aku nak lari ke mana? Kalau makan kat dalam rumah, senang aku lari masuk bilik je.’

Errr…saya…saya…” tergagap-gagap Qistina cuba mencari alasan.

“Kenapa? Takut?” sinis Ian Iskandar bertanya. Bukan dia tidak sedari riak wajah Qistina yang berubah bimbang selepas cadangan untuk makan di luar diberi tadi.

“Tak, Encik tapi…”

“Tak de tapi-tapi. Saya tunggu awak kat bawah!” Ian Iskandar langsung tidak mahu memberi ruang kepada Qistina untuk menolak. Dia terus berlalu dan membiarkan Qistina terkial-kial di ambang pintu.

Qistina mencebik. ‘Suka-suki je dia paksa aku ikut dia…asyik nak mengarah orang je! Kalau aku tak nak ikut jugak?’ marah Qistina di dalam hati. Geramnya! Qistina tahu dia terpaksa menurut. Dia sedar Ian Iskandar itu majikannya.

Qistina pantas menyalin pakaiannya kepada yang lebih sesuai untuk keluar makan malam. Disarungnya seluar slack berwarna hitam dan blaus sutera berwarna ungu muda. Setelah tudung terletak kemas di atas kepala, Qistina mencapai tas tangan dan keluar bilik menuju ke ruang tamu.

Ian Iskandar bangun dari sofa ketika melihat Qistina tercegat berdiri di muka pintu. Cantiknya dia! Sekejapnya dia bersiap? Langsung tiada solekan di wajahnya. ‘Hai, kalau dah memang cantik, pakai apa pun cantik. Tak payah bersolek pun cantik!’

“Encik, saya dah siap,” ujar Qistina apabila melihat Ian Iskandar kekal berdiri bersama renungannya. Tidak tahan Qistina ditenung sebegitu. Semakin terjatuh dia nanti. Errr…jatuh? Jatuh cinta ke?

Ian Iskandar mengangguk. Pintu hadapan rumah dibuka dan dibiarkan Qistina berjalan melepasinya. Haruman Coco Chanel menyapa deria bau Ian Iskandar. Menyusuk naluri lelakinya.

Qistina memasuki kereta Jaguar milik Ian Iskandar. Dengan serta-merta dia terus teringatkan kereta kesayangan papanya. Papanya terlalu sayangkan kereta Jaguarnya sehinggakan tiada siapa dibenarkan memandu kereta itu melainkan papanya sendiri atau pemandu peribadinya. ‘Berapa banyak kereta dia ada ni? Mewahnya!’ sempat Qistina berfikir.

Ian Iskandar terus memandu ke destinasi yang tidak diketahui Qistina. Suasana sepi di dalam kereta. Qistina asyik memandang ke luar tingkap. Ian Iskandar pula asyik menoleh untuk memandang Qistina. Gadis itu bukan main ramah lagi jikalau dengan ibunya atau ketika bersama Dr. Ilyas Khan. Tetapi kalau bersamanya, susah betul hendak bersuara. Ian Iskandar tidak puas hati!

Sehingga kereta diparkir, keadaan masih begitu. Qistina mengikut langkah Ian Iskandar keluar dari perut kereta. Apabila keluar, dia mengamati suasana sekelilingnya. Dia terus merasa gusar. Dia kenal betul dengan tempat ini kerana dia sering mengunjunginya sebelum ini. ‘Janganlah dia bawak aku makan kat Restoran Teratai!’ Dia kenal dengan seorang dua pekerja di restoran itu.

Qistina membuntuti Ian Iskandar. Memang Ian Iskandar berniat membawanya makan di Restoran Teratai. Langkah Qistina terhenti. “Encik!” Qistina memanggil. Sedikit kuat suaranya.

Ian Iskandar berpaling. Sedikit terkejut dengan panggilan daripada gadis yang mengekorinya dari belakang itu. Ian Iskandar menjungkitkan keningnya seolah-olah bertanya kenapa dia dipanggil. Wajah cuak Qistina menjadi perhatian.

“Encik nak makan kat situ ke?” Qistina menunjuk ke arah pintu masuk Restoran Teratai.

Ha’ah. Kenapa? Awak tak rindu masakan Malaysia?”

Qistina memulas-mulas tangannya. Tidak tahu bagaimana untuk berterus-terang dengan Ian Iskandar. Takut jikalau terserempak dengan pelayan-pelayan restoran itu yang dikenalinya. Mesti bermacam-macam soalan akan ditanyakan kepadanya. Tidak sanggup!

Ian Iskandar melihat wajah Qistina yang sedikit suram bercampur risau. “Jomlah. Saya dah lapar ni!” Apabila Qistina masih berdiri tercegat, Ian Iskandar menarik lengan Qistina masuk ke dalam restoran. Terkedu Qistina ketika Ian Iskandar bertindak sedemikian. ‘Sedap-sedap je dia pegang tangan aku. Tak skema betullah mamat ni.’

Masuk ke dalam restoran, mata Qistina meliar mencari wajah-wajah orang yang mungkin dikenalinya. Dia menarik nafas lega tatkala melihat wajah-wajah pelayan yang bertugas malam itu. Tangan Ian Iskandar masih di lengannya. Qistina cuba menarik tangannya daripada cengkaman Ian Iskandar. Ian Iskandar tersentak merasakan tarikan daripada Qistina dan pantas memandang gadis itu. Apabila disedari cengkamannya masih kemas di lengan Qistina, barulah dia melepaskan lengan gadis itu lambat-lambat.

Mereka duduk saling berhadapan. Qistina memilih tempat duduk yang menghadap pintu masuk agar bebas melihatkan sesiapa yang masuk ke dalam restoran itu. Risau sekiranya orang yang dia kenali tiba-tiba masuk ke dalam restoran itu tanpa disedari olehnya.

Qistina memesan nasi lemak. Juadah yang selalu dipesannya setiap kali datang ke restoran ini. Ian Iskandar memesan nasi goreng untuk dirinya sendiri. Pelayan itu berlalu dan meninggalkan Ian Iskandar dengan renungan redupnya terhadap Qistina. Untuk seketika pandangan mereka bertaup sebelum Qistina melabuhkan pandangannya. Tidak tahan lagi menerima panahan mata Ian Iskandar. Semakin cair dia jadinya.

Ian Iskandar mengeluh. Sukar untuk dia memulakan bicara. Namun keputusan telah pun dibuat. Apa pun, dia harus berterus-terang akan niatnya mengajak Qistina keluar malam ini.

“Qistina, saya ada hal penting nak bincang dengan awak.” Ian Iskandar akhirnya mengucapkan kata setelah sekian lama suasana sepi berlanjutan.

Keseriusan suara Ian Iskandar membuat Qistina mendongak memandang Ian Iskandar.

“Tapi kita bincang lepas makan jelah, ya? Nanti terganggu pulak selera awak,” putus Ian Iskandar.

Qistina mula cuak. Takut dia dengan nada suara Ian Iskandar. Bermacam-macam berlegar dalam fikirannya ketika itu. Adakah khidmatnya kurang bagus? Adakah dia akan diberhentikan? Adakah dia akan dihantar pulang ke Malaysia? Seribu satu soalan bermain di mindanya.

“Encik, saya ada buat salah apa-apa ke?” Terketar-ketar suara Qistina. Takut sekiranya Ian Iskandar akan menghantarnya pulang ke Malaysia.

‘Memang awak ada buat salah! Salah besar! Awak telah curi hati saya…awak telah buat saya jatuh gila…awak dah buat saya tak lena tidur…awak dah rampas ketenteraman hidup saya selama ini…awak dah buat saya kenal apa itu cemburu buta…’ jerit Ian Iskandar dalam hati. Tetapi hanya di dalam hati. Tidak mampu diluahkan secara terang-terangan kepada Qistina.

Ian Iskandar menggelengkan kepalanya. Wajah Qistina yang penuh diulit kerisauan dipandang lama. “Tak, awak jangan risau…kejap lagi saya akan bagi tau…”

Qistina mengeluh kecil. Dia harus bersabar.

Mummy saya okey hari ni?” Ian Iskandar sekadar berbual kosong. “Apa awak buat dengan mummy saya hari ni?”

Qistina menceritakan serba sedikit perkembangan ibu Ian Iskandar dan segala aktiviti yang dilakukan mereka bersama hari ini. Apabila makanan yang dipesan tiba, Qistina masih lagi bercerita. Sambil bercerita, Ian Iskandar dan Qistina menjamu selera.

Ian Iskandar tersenyum di dalam hati. Entah mengapa, banyak pula Qistina boleh bercerita malam ini. Selalunya sepatah-sepatah sahaja ayat yang keluar dari bibir munggilnya. Terserlah kasih sayang yang lahir dari hati gadis itu buat ibunya.

“Awak sayang pada mummy saya, Qistina?” Ian Iskandar inginkan kepastian.

Ye, Encik. Ibu Encik baik sangat. Saya sayang sangat pada ibu Encik.” Perasaan sayang yang ditaburkan kepada Puan Mariam adalah sayang yang selalu dia impikan dapat ditunjukkan kepada ibunya sendiri, Puan Seri Ani Suraya. Namun hubungan Qistina dengan ibunya sendiri tidak semesra hubungannya dengan Puan Mariam.

Ian Iskandar tersenyum. Bahagia dia mendengar pengakuan tulus ikhlas daripada Qistina. Dia tahu ibunya juga amat sayang akan Qistina. Acap kali begitulah yang diucapkan Puan Mariam kepada dirinya tentang perasaannya terhadap gadis itu. Padahal baru lebih kurang sebulan ibunya mengenali Qistina.

Mummy saya pun sayang pada awak Qistina,” balas Ian Iskandar ‘dan saya lebih-lebih lagi sayang pada awak!’ Hampir-hampir sahaja Ian Iskandar meluahkan perasaannya itu namun sempat ditelannya.

Pelayan mula mengemaskan meja dan mengangkat pinggan yang hanya bersisa. Apabila pelayan itu berlalu, Ian Iskandar mula merenung gadis itu semula. Qistina kembali menjadi tidak keruan.

“Qistina, saya nak awak dengar baik-baik apa saya nak cakap, okey? Dan memandangkan apa yang saya nak cakap ni begitu penting, saya harap awak akan dapat menjawab semua soalan saya dengan jujur.”

Qistina semakin risau. Air liur ditelan perlahan. Dahinya berkerut.

“Baik, Encik.”

“Qistina, will you marry me?”

Qistina tergamam. Terkedu. Terkejut. Tercengang. Matanya membulat. Mulutnya sedikit ternganga. ‘Betul ke telinga aku ni? Apa dia cakap tadi?’

“Aa….apa Encik cakap?” Sungguh! Bukan itu yang dijangkakan akan keluar dari mulut Ian Iskandar tadi. Langsung tidak!

“Saya tanya, sudikah awak menjadi isteri saya?” Mata Ian Iskandar redup memandang wajah Qistina yang masih terpinga-pinga.

“Sa…saya…tak faham…”

“Apa yang susah sangat nak faham, Qistina? Soalan simple macam tu pun awak tak boleh faham? Straightforward je kan? Tak de bahasa kias, tak de teka-teki…” Ian Iskandar tersenyum. Geli hati dia melihat riak wajah Qistina. Kali pertama dia melamar seorang gadis dalam hidupnya dan gadis itu kelu seribu bahasa…

Qistina tahu wajahnya kini merona merah. Dia dapat merasakan kepanasan di kedua belah pipinya. “Kenapa tiba-tiba je ni, Encik? Errr…Encik sedar ke apa yang Encik cakapkan ni?”

Ian Iskandar tergelak kecil. Wajah kemerahan Qistina membuat gadis itu bertambah menawan.

“Qistina, umur saya dah tiga puluh tahun dah. Takkan saya tak tau apa yang saya cakapkan ni?!”

“Tapi kenapa?” Qistina masih terpinga-pinga. Adakah dia sedang bermimpi? Ian Iskandar ingin mengahwininya???

Mummy saya dah lama mengharapkan saya beristeri dan mempunyai keluarga sendiri. Selama ni saya tak pernah ambil peduli harapan mummy saya tu. Saya buat-buat tak tau. Tapi saya dah tak boleh nak lengahkan lagi. Saya tak nak menyesal di kemudian hari…Awak yang telah menyedarkan saya, Qistina.”

Qistina terdiam.

“Saya nak tunaikan harapan mummy saya. Saya rasa saya dah jumpa dengan orang yang boleh memberi kebahagiaan kepada mummy saya…”

Qistina mengerti. Hatinya perih dengan pengakuan Ian Iskandar. Lelaki itu mahu mengahwininya hanya untuk memenuhi impian Puan Mariam, dan bukan atas sebab-sebab lain. ‘Habis tu, takkan dia nak cakap dia nak kahwin dengan kau sebab dah jatuh cinta dengan kau! Tak logik langsung, Ina. Takkan dia boleh jatuh cinta dengan orang macam kau, sedarlah diri tu sikit!’ dengus Qistina di dalam hati.

Namun, kata-kata marah untuk dirinya sendiri itu, langsung tidak merubah perasaannya yang tergores dengan kata-kata Ian Iskandar tadi. Sebagai seorang perempuan, dia tidak malu untuk mengakui bahawa sedikit-sebanyak dia ada mengharapkan luahan hati penuh romantis mengiringi lamaran daripada seorang lelaki yang telah menerbitkan suatu rasa di sanubarinya.

Mummy saya sayang pada awak, Qistina. Saya tau mummy pasti dapat terima awak sebagai menantunya. Awak pun kata yang awak sayangkan mummy saya…”

“Memang saya sayang, tapi tak bermakna saya mesti kahwin dengan Encik, bukan? Encik nak kahwin dengan saya hanya sebabkan ibu Encik kan? Jadi harapan Encik lepas berkahwin, madam akan teruskan dengan pembedahan ketiga tu?” Suara Qistina, tenang, bersahaja. Dia pun hairan bagaimana dia boleh setenang itu sedangkan hatinya berombak ganas.

“Sanggup awak tengok mummy saya terlantar menderita begitu, Qistina? Mummy saya dulu seorang yang amat aktif. Boleh masuk marathon, boleh bawak kereta ke sana ke mari, macam-macam aktiviti mummy saya lakukan. Tetapi semuanya hancur lepas kemalangan tu. Saya dah tak sanggup nak tengok mummy saya terlantar macam tu tak boleh nak buat apa! Jadi saya sanggup tunaikan permintaan mummy saya asalkan saya dapat tengok mummy saya berjalan kembali...

Disebabkan awak, hati mummy saya terbuka untuk berbincang tentang pembedahan ketiga tu. Sebelum ni dia langsung tak nak bercakap pun pasal tu. Hanya awak yang berjaya pujuk dia untuk memikirkan pasal pembedahan tu. Saya tahu, selepas dia tengok kita berkahwin, dia akan setuju dengan pembedahan tu.”

“Habis itu, macam mana dengan perasaan saya? Langsung tak penting ke? Encik nak saya kahwin dengan Encik sebab ibu Encik. Macam mana pulak dengan diri saya? Kenapa saya perlu berkorban di sini?”

Ian Iskandar tersentak. Dia tahu di telinga Qistina, dia kelihatan amat mementingkan dirinya sendiri dalam hal ini. Walhal pada hakikatnya, dia mahu Qistina menjadi isterinya melebihi segala hasratnya sebelum ini, tetapi dia harus menggunakan ibunya sebagai alasan untuk melamar Qistina.

Ian Iskandar tidak sanggup meluahkan segala isi hatinya terhadap gadis ini. Takut ditertawakan. Ataupun yang paling ditakutinya, dia akan ditolak gadis itu mentah-mentah. Entah apa akan terjadi kepadanya sekiranya gadis itu menolaknya. Tidak sanggup rasanya, walaupun hanya mengenangkan kebarangkalian perkara itu terjadi.

“Qistina, saya sanggup tunaikan apa saja permintaan awak. Apa saja!” Ian Iskandar rela berjanji. Apa saja demi memiliki gadis itu selamanya.

“Encik sedar ke apa yang Encik mintak dari saya ni?” masih tidak percaya dengan apa yang didengarinya setakat ini.

“Saya sedar Qistina.”

“Encik nak kahwin dengan saya berapa lama? Setahun? Dua tahun? Atau sampai ibu Encik boleh berjalan kembali?” sinis Qistina bersuara. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja Qistina menangis dan melalak di situ. Sampai hati Ian Iskandar membuat dia begitu!

“Selama-lamanya, Qistina!”

Qistina tergamam dengan jawapan tegas daripada Ian Iskandar. Selama-lamanya? Kalau sekadar hendak berkahwin semata-mata kerana mahu ibunya menjalani pembedahan ketiga nanti, kenapa pula Ian Iskandar mahu bersamanya untuk selama-lamanya?

“Awak ingat berkahwin ni main-main ke Qistina? Macam main pondok-pondok? Saya hanya akan kahwin sekali seumur hidup saya…takkan saya nak tentukan tempoh perkahwinan dengan awak?!” marah Ian Iskandar mendengar soalan tidak logik daripada Qistina.

Takkan dia sanggup lepaskan gadis itu setelah gadis itu selamat menjadi isterinya? Tidak pernah terfikir olehnya untuk mengahwini gadis itu untuk suatu jangka masa yang begitu pendek. Dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama Qistina. Tiada orang lain lagi di hatinya. Hanya gadis itu!

Qistina terpinga-pinga. Mata bertentang mata. Sesungguhnya Qistina tidak mengerti. Lelaki di hadapannya ini sudah tidak betul, agaknya.

“Tak logik lansung …” perlahan Qistina bersuara namun didengari Ian Iskandar. “Encik nak kahwin dengan saya sebab nak tunaikan harapan ibu Encik, tapi Encik nak kahwin dengan saya selama-lamanya…” Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya. Ian Iskandar tersenyum.

“Qistina, saya serius. Saya rasa awaklah pilihan yang paling tepat. Awak tidak perlu beri jawapan sekarang. Cukup sekadar awak cakap awak akan fikirkan permintaan saya ni.” Ian Iskandar sengaja tidak mengendahkan kata-kata Qistina yang terakhir itu.

Qistina menggelengkan kepalanya. “Saya rasa saya tak boleh, Encik…permintaan Encik mustahil!” Qistina membuat keputusan.

Berubah riak wajah Ian Iskandar. “Mustahil? Kenapa awak cakap macam tu?” Ian Iskandar tidak puas hati mendengar jawapan Qistina. Takkan sepantas itu dia memberikan keputusannya?

‘Dia tak tahu aku siapa. Takkan dia nak kahwin dengan aku kalau dia tahu aku ni siapa.’

“Encik, saya tak boleh kahwin dengan Encik. Saya tak layak!”

Qistina bangun. “Encik, boleh tak Encik hantar saya balik sekarang?” Tanpa menunggu, Qistina keluar dari Restoran Teratai meninggalkan Ian Iskandar terkulat-kulat di tempat duduknya. Ian Iskandar pantas menyelesaikan bil dan menyusul keluar. Dari jauh, dia melihat Qistina yang sedang mendekati keretanya. Ian Iskandar mempercepatkan langkahnya.

“Sofiah, Sofiah…is that you?”

Langkah Qistina terhenti. Badannya kaku. Dia memalingkan tubuhnya ke arah suara yang telah memanggil namanya tadi. Hanya rakan-rakannya di universiti sahaja yang memanggilnya dengan nama Sofiah. Qistina bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Lelaki yang memanggilnya tadi kini sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Ian Iskandar juga kini berdiri bersebelahan dengan lelaki tadi. Pandangannya ditala kepada Qistina dan lelaki berbangsa Inggeris di sebelahnya silih berganti.

“Sofiah! It is you! Oh my God!! I didn’t recognise you with your headscarf! What are you doing here? I thought you went back to Malaysia right after graduation?”

Sofiah memandang sekilas ke wajah Ian Iskandar yang semakin kelat dan menegang. Dia menelan air liur yang terasa amat pahit sekali.

Hi Keith! Yes it’s me. How are you?” Qistina sekadar berbasi-basi.

Qistina memandang Keith Anderson, teman sekelasnya selama tiga tahun ketika sama-sama menuntut di London School of Economics. Dia sesungguhnya rapat dengan Keith Anderson kerana mereka sering belajar bersama dan mengerjakan kertas kerja bersama.

Hey! I was waiting for you to contact me once you’re back in Malaysia but you didn’t even e-mail me! I’m totally crushed you know!” Bunyinya seakan merajuk namun Qistina tahu rakannya itu sekadar bergurau kerana satu kampus tahu Keith Anderson telah mempunyai buah hati yang amat-amat dicintainya.

You really look different…with the headscarf and all…when did you make all these changes?”

Just recently, Keith,” Qistina membalas pertanyaan Keith Anderson tentang imej barunya yang kini bertudung.

“Ehem! Ehem…” Ian Iskandar bersuara.

Keith Anderson memandang Ian Iskandar. Begitu juga Qistina.

“Errr…Keith, this is Ian. Encik, this is my friend Keith…” Mereka berjabat tangan sambil membalas ucapan selamat. Qistina tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan Ian Iskandar tadi. Sekiranya diberitahu Ian Iskandar merupakan majikan Qistina, bermacam soalan pasti akan keluar dari mulut Keith Anderson. Bukannya Qistina tidak tahu dengan perangai kawannya itu.

Ian Iskandar kehairanan. ‘Bila masa pulak Qistina membuat kawan baru ni? Nak kata baru, macam dah lama sangat kenal. Dia panggil Sofiah? Eh, tadi lelaki ni cakap pasal graduation?’ Ian Iskandar semakin keliru.

Keith Anderson kembali memandang Qistina. “So what are you doing in London?”

“Errr…I work here…” takut melihat Ian Iskandar yang merenungnya tajam. ‘Matilah aku kali ni…’

Really? Which firm? PWC? EY?” Keith Anderson menamakan firma-firma perakaunan yang terkemuka di serata dunia.

No, she works for me!” Ian Iskandar bersuara. Tegas. Pertanyaan Keith Anderson tadi telah menjawab soalan-soalan yang selama ini belum berjawab mengenai Qistina. Tahulah dia kini siapa gadis itu.

“Oh, I see…” Keith Anderson mengerling ke arah Qistina yang dirasakan begitu kaku. Wajah Qistina nampak pucat.

Sweetheart, are you alright?” Keith Anderson memaut lengan Qistina.

‘Ya Allah, mamat ni. Time ni la pulak nak panggil aku macam tu. Setakat kat kampus dulu sudahlah…memang nama manja ni dia selalu panggil aku tapi tengoklah kiri kanan sikit. Ni hah! Si Ian ni dah nak tersembul biji mata dah ni…’

I’m fine…Keith, so sorry but we have to go now.”

Keith Anderson memandang Ian Iskandar dan kemudian pulang ke wajah Qistina. Pautan di lengan Qistina dileraikan. Dia pantas mengeluarkan dompetnya.

“Sofiah, this is my card. Please call me. I’d love to sit and chat with you. I work here while waiting to commence my ACCA. Promise me you’ll call?”

Qistina mencapai kad yang dihulurkan dan mengukir senyuman yang sedikit hambar. “I promise, Keith.”

Keith Anderson menghulurkan tangan kepada Ian Iskandar. “Nice to meet you. I’m heading towards that Malaysian restaurant over there. Thanks to Sofiah who introduced me to this restaurant. Now I’m addicted to Malaysian food!” Keith Anderson tergelak kecil. Dia melambaikan tangan kepada Qistina dan Qistina mengangkat tangan dan membalas lambaian Keith Anderson. Lemah.

Qistina berdiri berhadapan Ian Iskandar. Tidak berani untuk bertentang mata dengan Ian Iskandar yang sedang memandangnya seolah-olah mahu menerkamnya. Ya, Ian Iskandar kini bak seekor singa lapar yang sedang berhadapan dengan seekor kambing yang sudah terperangkap. Tiada tempat untuk bersembunyi atau melarikan diri lagi. ‘Matilah aku…kantoi!!!’

“Masuk!” Ian Iskandar mengarah. Terkejut Qistina dijerkah sebegitu. Terangkat bahunya.

Qistina menurut. Di dalam kereta, Ian Iskandar menghidupkan enjin dan mengunci pintu kereta. Kemudian dia memusingkan tubuhnya agar berhadapan dengan Qistina.

“Saya takkan bergerak dari sini selagi awak tak jelaskan pada saya siapa diri awak yang sebenarnya. I mean it, Qistina! Kalau kita kena berkampung kat dalam kereta ni pun saya sanggup. Saya tak akan hantar awak balik selagi awak tak berterus-terang dengan saya!” bentak Ian Iskandar.

Qistina terkedu. Dia tahu Ian Iskandar serius. Dan dia tahu juga Ian Iskandar sedang menahan marah yang amat sangat. Tangan Qistina menggeletar. Gementar, gusar, takut dan segala perasaan cemas ada dalam jiwanya ketika ini. Hanya lelaki ini sahaja yang bisa membuat dia begitu…



6 comments:

Sila gunakan bahasa yang berhemah. Saya tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang diberikan di sini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri. Terima kasih....