Thursday, 19 July 2018

Cerpen Hana & Zaim - Bab 8 (Akhir)





“Sakit tak, Kak Zara?” soalan tidak berapa cerdik dilantunkan oleh Hana.

Pap!

Pantas saja tangan Sam hinggap di lengan Sam. “Mestilah sakit! Apa punya soalanlah kau ni! Nak tahu, esok kau bersalin, kau rasalah sakit ke tak!” gertak Sam tanpa simpati.

Hana menarik muka. “Tanya pun tak boleh,” ngomelnya dengan mulut yang memuncung.

Hadif dengan Zaim sama-sama ketawa. Brutal sungguh isteri-isteri mereka berdua ini. Asyik nak bertekak saja.

Hana kembali mengarahkan mata ke wajah tenang Izara yang baru beberapa jam melahirkan anak sulungnya. Amzar duduk rapat di sebelah Izara sambil mendukung si kecil. Yang lain setia mengerumuni katil Izara. Baru sebentar tadi, keluarga belah Izara dan juga kedua orang tua Amzar meninggalkan bilik Izara untuk pulang ke rumah. Kini tinggal hanya mereka berenam bersama si kecil.

“Syukurlah Zara bersalin lepas dah selesai kenduri kita orang semalam, kan?” ujar Zaim. “Pandai baby bagi mama dia chan makan nasi minyak puas-puas!”

Ketawa lagi.

“Tengok Zara ada baby, tak sabar pulak nak bagi Sya adik,” tutur Hadif tiba-tiba. Mata sudah mengenyit gatal ke arah isterinya.

“Abang jangan macam-macam!” tegah Sam laju. Mata sudah mencerlung ke arah Hadif. Hadif hanya ketawa. Bahu Sam ditarik rapat ke dada.

Takpe, Sam. Kita tunggu Hana dulu ya. Dah cukup kita semua ada sorang anak, baru kita bagi Sya adik ya?” saran Hadif. Suara sengaja dikuatkan agar dapat ditangkap oleh telinga si adik.

Apasal nak tunggu Hana pulak?” gerutu Hana tidak puas hati. ‘Orang baru je kahwin hoccay! Tak puas lagi nak berhoneymoon bagai. Chewah! Gatalnya aku ni!’

“Mestilah kena tunggu Hana,” balas Hadif. “Nanti kalau kita orang semua berkumpul, Hana dengan Zaim je yang takde baby. Tak bestlah! Tapi... kalau abang tengok daripada gaya si Zaim ni, tak lama lagi berisi lah perut Hana tu!” sakat Hadif tiada henti. Mana taknya? Dari dulu lagi Zaim memandang Hana seolah-olah tidak pernah melihat perempuan seumur hidupnya. Dia yakin Zaim bukan jenis lelaki yang akan sabar menunggu. ‘Lauk dah ada kat depan mata kut! Pasti si Hana ni dah kena ngap!’ fikir Hadif.

“Diamlah bang!” Hana boleh rasakan pipinya sudah mula memerah. Mahu menjeling ke arah Zaim pun dia tak berani. Kurang asam betul Hadif ni!

Sam sudah menyiku perut suaminya. Memberi isyarat agar Hadif berhenti mengusik Hana. Kesian pula dia melihat Hana.

“Mesti confirm punyalah!” Zaim pula mencelah. “Korang tunggu jelah turn kita orang pulak... Tak lama lagi ni, tengoklah...”

“Hesy!” dengus Hana. Kelat wajahnya, berbanding riak muka Hadif dan Zaim yang sudah menarik sengih melihat pipi Hana yang semakin hangat.

Izara mengerling ke arah Amzar yang sedari tadi tidak bersuara. “Abang... abang okey?” Lengan si suami disentuh lembut.

Sepi bilik yang tadinya gamat dengan gelak ketawa mendengar soalan Izara. Semua mata kini terarah ke wajah Amzar yang masih tekun menunduk ke arah bayi dalam dukungannya.

“Abang?” seru Izara lagi. “Kenapa ni?”

Amzar mencari wajah Izara. Berkerut dahi Izara melihat mata suaminya yang sedikit berkaca.

“Zara... abang tak tahu nak cakap apa...” perlahan suara Amzar seakan berbisik. “Semua yang Zara dah lalui sejak semalam... abang... abang tak tahu macam mana nak...” Jeda. Amzar mengambil nafas beberapa kali. “Abang tahu malam tadi Zara dah mula rasa sakit kan? Tapi Zara tahan. Bila kenduri Zaim semua dah selesai, barulah Zara cerita dengan abang... Masa tu Zara dah sakit sangat kan?”

Zaim dan Hana tercengang. Betulkah begitu? Allah, Zara...

Izara tersenyum. Senyuman yang sentiasa manis jika ditujukan kepada suaminya. “Saya masih boleh tahan masa tu. Dah masuk kereta baru saya rasa sakit sangat. It’s okay, abang. Kan semuanya dah selamat?”

“Kenapa Zara buat macam tu?” Lirih suara Amzar. “Kalau apa-apa jadi kat Zara semalam, abang... abang...” Mati kata-kata Amzar. Tidak dapat diteruskan. Tak henti-henti Izara mahu berkorban. Tak henti-henti Izara mahu menjaga hatinya. Tahukah Izara yang dia takkan mampu bernafas jika sesuatu yang buruk menimpa cinta hatinya itu? Tak tahukah dia?

Zaim menarik tangan Hana. Isyarat mata diberikan untuk memberi ruang privasi kepada abang serta kakak iparnya. Hadif dan Sam turut melakukan perkara yang sama. Perlahan-lahan pintu bilik Izara ditutup rapat. Sempat Zaim menangkap abangnya melabuhkan kucupan hangat ke dahi Izara. “Jangan buat macam tu lagi, sayang. Abang risau sangat. Abang sayangkan Zara. Tolong jangan buat macam tu lagi,” rayu Amzar.

Zaim tersenyum lalu mengucap kata-kata syukur. Syukur dengan anugerah yang Allah telah kurniakan kepada abangnya. Bahagia dengan perjalanan hidup Amzar yang begitu sempurna dirasakan kini. Semoga kehidupannya dengan Hana juga akan sentiasa dirahmati Allah...

“Abang?”

Zaim berpaling. Senyuman masih tertampal di pinggir bibir. Bayangan Hadif dengan Sam sudah tiada. Yang ada cuma Hana.

“Abang Hadif dengan Sam nak pergi makan kat kafe kat bawah. Abang nak ikut?” soal Hana.

“Tak nak,” jawab Zaim sambil menggeleng. “Abang nak sambung honeymoon yang terganggu pagi tadi. Jom balik?”

“Apa abang ni?” getus Hana laju. Mata sudah melilau ke sekeliling. Kalau ditangkap oleh telinga Hadif, sepuluh tahun agaknya si Hadif takkan berhenti menyakatnya.

Zaim mengenyit mata. Tangan Hana digenggam erat. “Takpe. Abang Hadif mesti faham punya. Lagipun, kita kena catch up cepat-cepat dengan diaorang. Kang sebab kita lambat, tak merasa Sya nak beradik...”

Cerlung mata Hana. Ewah, ewah! Sejak bila virus sengal Hadif dan berjangkit ke Zaim?

“Abang gurau je, Hana. Kita baru je kahwin kan? Lagipun, bak kata Hana sebelum ni, kita masih dalam misi nak kenal hati budi masing-masing. Let’s take our time, okay? There’s no rush. Biar kita sama-sama cari keserasian antara kita dulu...”

“Betul ke ni?” Perlahan suara Hana. Wajah Zaim ditatap lembut.

Zaim mengangguk. “Abang nak luangkan masa dengan Hana dulu. Just the two of us. Okay?”

Manis senyuman Hana. “Okey, abang...”

Tangan Hana ditarik. “Jadi kita nak pergi mana sekarang?”

“Hana lapar?” soal Hadif.

“Lapar jugak.”

“Okey jom...”

********

“Puan Hana, ada orang nak jumpa.”

Tanpa mengangkat wajah Hana mengeluh. “Siapa, Jeff?”

“Suami Puan Hana.”

Pantas Hana melangut. Wajah Zaim dengan mata yang sudah terpaku ke arahnya dipandang. Hana bangun lalu berjalan ke depan. Sempat jam di pergelangan tangan dikilas pandang. Pukul 11.30 pagi. “Abang?”

Busy?” soal Zaim dengan suara yang dalam.

Hana mengerling ke arah mejanya tadi. “Hmmm... biasalah. Seminggu cuti, macam-macam kena hadap pagi ni.”

Got time for me?” duga Zaim. Mata masih tidak berkalih dari wajah Hana. Pandangan Zaim begitu redup sekali.

Perlahan-lahan Hana mengangguk. “Abang okey?”

Nope! I’m not!”

Wajah Hana berubah cuak. Eh kenapa pulak? Pagi tadi okey je. Dia sakit ke? Sakit perut makan sarapan yang aku masak tadi ke?”

“Teman abang minum kopi kat kafe sebelah jom?”

Sekali lagi Hana mengangguk. Tidak perlu berfikir dua kali untuk menjawab. Dirinya kini sudah tidak lagi seperti dulu. Jika dulu dia tidak suka kerjanya diganggu, kini dia perlu mengutamakan Zaim dalam apa jua perkara. Dia sedar akan itu.

Kejap tangan Zaim yang memimpin tangan Hana keluar dari restoran dan masuk ke kafe di sebelah kanan. Zaim memesan dua cawan kopi latte sebelum melabuhkan mata kembali ke wajah Hana.

“Abang tak sihat ke?” terjah Hana sebaik pelayan yang mengambil pesanan mereka berlalu.

Zaim menggeleng.

“Abang ada masalah kat tempat kerja?”

Geleng lagi.

“Habis tu?”

“Abang rasa semua tak kena pagi ni,” keluh Zaim. “Everything just sucks!”

“Kenapa?”

I’m experiencing withdrawal syndrome.”

Terjongket kening Hana tidak mengerti. “Withdrawal syndrome? From what?”

From you!”

Hana terkedu. Terkesan dengan pengakuan daripada Zaim.

Tangan Hana dari atas meja digapai lalu diramas perlahan. “Seminggu ni, Hana ada kat depan mata abang 24-7. Tapi pagi ni, semuanya serba tak kena. I’ve had a rotten morning so far. Semua sebab Hana takde kat depan mata abang.”

Bulat mata Hana. Renungan daripada Zaim menghadirkan kehangatan ke seluruh tubuhnya. Dia menggigit bibir agar kesan pengakuan Zaim ke atas dirinya tidak nampak begitu ketara.

“Abang nak buat macam mana ni Hana? Abang tak boleh fokus. Rasa macam nak sambung cuti je ni.”

Hana tunduk. Tidak tahu bagaimana mahu memberikan reaksi.

“Hana tak rindukan abang?” soal Zaim.

Hana menongkat mata. “Rindu...” Meleret jawapan Hana. “Sebenarnya, yang abang tengok tadi tu, kerja Hana yang tak berganjak dari pagi. Hana asyik tengok kertas yang sama dah berjam-jam rasanya. Hana pun tak boleh fokus.”

Lebar senyuman di bibir Zaim. Rasa senang dengan kata-kata Hana yang mengisyaratkan dirinya turut terkesan dengan perpisahan mereka untuk ke tempat kerja masing-masing pagi tadi.

“Nak sambung cuti?” usik Zaim bersama suatu kenyitan mata.

Berdetup jantung Hana. Dia serba salah tidak tahu sama ada Zaim sekadar bergurau atau benar-benar serius.

Errr... Hana kena tanya Sam dulu sama ada dia boleh tolong jagakan branch Hana ke tak,” balas Hana.

“Abang gurau je Hana. Abang tahu Hana sibuk. Kerja kat ofis abang tu pun dah bertimbun. Cuma abang happy bila dapat tahu yang Hana pun rasa macam apa yang abang rasa. It seems bearable somehow...”

Tak berhenti tangan Zaim yang meramas tangan Hana. Sentuhan Zaim terasa lembut dan mendamaikan.

Tidak terlepas tautan mata Zaim dan Hana walaupun pelayan tadi datang menghidangkan minuman yang dipesan ke atas meja. Masing-masing membiarkan diri hanyut dalam lautan asmara yang semakin memekar dengan setiap peredaran waktu.

“Hana balik pukul berapa hari ni?” soal Zaim akhirnya.

“Abang nak balik pukul berapa?” tanya Hana pula.

“Kalau ikutkan hati, sekarang jugak abang nak balik,” gurau Zaim.

Hana menjeling manja. “Betul-betullah!”

Zaim ketawa. “Mungkin dalam kul 6...”

“Okey... Hana pun...”.

“Tengah hari nanti abang singgah restoran untuk lunch ya,” ujar Zaim. Hailah... pukul 11.30 pagi dah datang jumpa Hana, nanti pukul 1.00 tengah hari nak datang lagi? Parah betul dah si Zaim ni!

Errr... tapi kalau abang datang masa lunch, Hana sibuk... Nanti tak dapat makan sama-sama,” jelas Hana dengan riak bersalah.

Takpe. Abang datang bukan nak lunch dengan Hana. Tapi dapat tengok Hana pun jadilah... Alah, kalau pergi klinik pun, doktor akan suruh makan ubat tiga kali sehari kan? Nanti untuk dos tengah hari, abang datanglah...” sengih Zaim.

“Macam-macam abang ni tau!” Mulut mengomel, tapi hati dah kembang semangkuk. Ada jugak orang nak rindu kat dia.

“Sayang kat abang tak?”

Berubah terus riak Hana. Soalan Zaim itu seakan mengusik kotak memorinya. Dia seakan mengalami perasaan deja vu.

“Hana? Kenapa ni?”

“Hana... Hana dah ingat siapa yang tanya Hana soalan tu...”

Terjongket kening Zaim tidak mengerti.

Errr... malam tu...” Pipi Hana berona merah. Ingin membangkit perihal malam yang membongkar rahsia hati mereka masing-masing.

Zaim masih tidak bersuara.

“Malam... malam tu la...”

“Malam apa?”

“Malam pertama kita tu...” Hana melabuhkan mata.

Ingatan Zaim terus melayang ke malam itu. “Yang Hana tiba-tiba cakap sayang tu?”

Hmmm... Hana dah ingat siapa yang tanya Hana soalan tu,” ulang Hana.

“Siapa?”

“Arwah mama...” Mata Hana berkaca. “Mama cium dahi Hana, dan ucap selamat pengantin baru kat Hana. Lepas tu dia tanya Hana, ‘Hana sayang abang?’ Hana jawab ‘sayang’.”

Genggaman di tangan Hana semakin kuat. Tunak pandangan yang dilontarkan ke arah Hana.

“Lepas tu, mama tanya, ‘betul?’ Hana jawab ‘hmmm’...” Jeda. Menitis air mata Hana. “Lepas tu... mama senyum kat Hana dan peluk Hana kuat-kuat...”

Ya Allah... itukah tandanya mamanya merestui perkahwinannya dengan Zaim?

Hana menongkat mata.

“Sayang...” bisik Zaim. Terkesan benar melihat air mata isterinya.

It’s true! Hana betul-betul sayangkan abang,” luah Hana. Walaupun sebelum ini rasa sayang itu seakan sudah hadir dalam hatinya buat Zaim, kali ini dia merasakan sayang itu benar-benar utuh dan mendalam. Tiada lagi ragu-ragu di hatinya. Semuanya sudah jelas kini. Begitu jelas!

I love you more,” balas Zaim.

“Betul?”

Zaim mengangguk. “Sebenarnya masa Hana call abang pertama kali dulu pun, abang dah rasa lain. Hana tak melenting pun lepas abang jerkah Hana tu. You were so calm. Dan bila Hana cakap Hana sayang gila kat Sam, abang rasa terganggu sangat, sedangkan kita berdua bukan ada apa-apa hubungan pun,” luah Zaim cuba meyakinkan Hana.

Kalau tadi air mata yang menitis di pipi Hana merupakan air mata penuh kesyahduan, kali ini, air mata kebahagiaan pula yang mengalir. Bahagia dengan pengakuan Zaim yang dilakukan dengan penuh perasaan dengan pandangan yang menusuk terus ke kalbu.

Zaim mengelus pipi Hana perlahan. Terasa kasih sayang Zaim mengalir terus ke hati Hana. Hana menggenggam tangan Zaim di pipinya.

“Puas abang korek maklumat tentang Hana daripada Kak Zara. Tapi sikit pun Kak Zara tak cerita kat abang pasal Shah. Abang Hadif yang cerita. Bila abang jumpa Abang Hadif untuk minta izin dia untuk dekati Hana, tahu Abang Hadif cakap apa pada abang?”

“Apa?” soal Hana.

“Dia kata, Hana ni takkan mudah nak bukak hati untuk mana-mana lelaki, dan ramai yang dah pernah cuba sebelum ni, tapi Abang Hadif minta abang jangan putus asa untuk dapatkan Hana.”

“Abang Hadif cakap macam tu?”

Hmmm... tapi kalau Abang Hadif tak cakap macam tu pun, abang takkan berhenti kejar Hana. Syukur Sam dan Abang Hadif sentiasa ada untuk sokong dan tolong abang untuk dapatkan Hana. Abang takkan lupa apa yang Sam buat untuk abang. Disebabkan Sam, abang dengar rahsia hati Hana untuk abang...”

Hana melabuhkan mata. Masih malu dengan episod yang diungkit oleh Zaim itu.

That was the sweetest confession you could have ever made...” puji Zaim.

Berkelip-kelip mata Hana cuba melawan pandangan Zaim.

Thanks, Hana... sebab beri peluang untuk abang mencintai Hana.”

Hana menggeleng kepala. “Tak, abang. Hana yang patut berterima kasih pada abang sebab tak putus asa tunggu Hana selama ni. Terima kasih, abang,” ucap Hana lembut. Sorotan matanya mencerminkan rasa cinta yang semakin menggebu buat Zaim.

Lembut senyuman yang meniti di bibir Zaim. Selembut pandangan yang tumpah ke wajah Hana. Wajah indah yang sudah menakluki di segenap ruang di hatinya. “It is definitely my pleasure,” bisik Zaim penuh romantis.

Hana membalas senyuman suaminya. Rasa bahagia menjalar ke seluruh tubuhnya... Hangat... Gelora yang sentiasa menggetarkan sukma setiap kali Zaim berada di depan mata kini semakin kuat terasa. Hana melepaskan nafas perlahan-lahan. Tangan dikibas ke wajah. Jika tadi dia rasa hangat, kini suhunya sudah naik berganda-ganda.

“Kenapa ni?” Sukar untuk Zaim menahan sengih. Tahu kesan dirinya ke atas Hana... senyumannya, sentuhannya, segala-galanya...

Takde apa-apa,” laju Hana bersuara. Menidakkan kebenaran yang sudah terpampang di depan mata.

Still want me?” usik Zaim.

Hana menelan liur. Lambat-lambat kepalanya mengangguk. Tiada guna dia menidakkan keinginannya yang satu itu. Keinginan yang telah membongkar rahsia hati Hana yang paling dalam. Keinginan yang berlandaskan rasa cinta yang telah lama bertapa di hati Hana, walaupun berkali-kali cuba disangkal olehnya. Keinginan yang diyakini takkan bisa pudar walaupun dengan peredaran masa.

Zaim amat senang dengan sikap Hana yang berterus-terang akan perasaannya walaupun Zaim sedar yang bukanlah mudah untuk Hana menakluki perasaan malu yang kuat dirasakannya. “I want you too, Hana...”

Hana menarik senyum. Kopi di atas meja yang sudah tidak lagi hangat dibiarkan saja tanpa berusik. Cukup jiwa merasai kehangatan daripada sorotan mata yang memancarkan seribu macam perasaan yang bercampur-baur menjadi satu rasa bahagia yang begitu hebat terasa. Bukan mudah perjalanan mereka untuk sampai ke detik ini. Bahagia tidak datang bergolek begitu saja. Ia datang tanpa diduga. Kadang-kadang bahagia datang kepada mereka yang sudah lelah mencari... dan kadang-kadang bahagia datang kepada mereka yang reda dengan setiap dugaan yang diberi...

Dan kini bahagia itu datang kepada Hana dan Zaim...


Cerpen Hana & Zaim - Bab 7





Sam mengesat air mata yang jatuh mengalir ke pipi. Melihat Hana mengucup tangan Zaim membuat perasaan rindu buat Raisya hadir mencengkam kuat di sanubarinya. ‘Sya... Hana dah kahwin. Akak takde rezeki nak tengok Sya berkahwin dengan lelaki yang boleh jaga Sya, tapi akak bersyukur sangat Hana dapat seorang suami yang akak pernah impikan untuk Sya,’ bisik hati Sam.

Bagi Sam, Hana telah menggantikan kekosongan yang telah ditinggalkan oleh Raisya di dalam hatinya. Hana yang suatu ketika dulu begitu gedik dan terlebih manja, berubah menjadi dewasa dalam sekelip mata. Semuanya kerana Shah, dan juga demi Raisya. Sam sedar yang Hana menyimpan rasa bersalah atas semua yang terjadi pada diri Raisya, sedangkan sekelumit pun Sam tidak pernah menyalahkan Hana. Dan rasa bersalah itu jugalah yang telah membuat Hana begitu takut untuk meletakkan sebarang kepercayaan kepada seorang lelaki.

“Sam...”

Hilang bayangan Raisya mendengar Hana menyeru namanya. Sesi menyarung cincin dan membatalkan air sembahyang dah tamat ke? Hana kini sedang berlutut betul-betul di hadapannya.

Hana menggapai tangan Sam yang duduk bersimpuh di atas permaidani di ruang tamu rumah mereka ini. “Terima kasih,” bisik Hana penuh syahdu. Matanya berkaca. “Aku tahu apa yang kau fikirkan sekarang, dan aku pun rasa apa yang kau rasa. Terima kasih sebab sudi anggap aku sebagai adik kau, dan sayang aku macam mana kau sayangkan Sya. Selama ni, aku tak pernah rasa kekurangan bila aku membesar tanpa seorang kakak, tapi sejak kau ada, aku rasa bertuah sangat, Sam, dan aku pernah rasa cemburu pada Sya sebab dia ada seorang kakak macam kau.”

Mengalir semula air mata Sam. Cukup terkesan dengan luahan hati Hana... luahan hati yang dilantunkan dengan penuh rasa kasih. Kasih pada seorang kakak, yang selama ini tidak pernah berkira dengan segala perhatian dan kasih sayang yang dilimpahkan oleh Hadif kepada diri Hana. Sam tidak pernah menjadi penghalang kepada hubungan rapatnya dengan Hadif. Dan Hana tidak pernah rasa tersisih sejak Sam berkahwin dengan abangnya.

“Terima kasih kau izinkan aku menumpang kasih kau, abang Hadif dan baby Sya selama ini, Sam. Aku sayang sangat kat kau...”

Sam menarik tubuh Hana ke dalam pelukan. “Aku sayang kau jugak, Hana. Kau adik aku dunia akhirat,” bisik Sam antara esak tangis. “Walaupun kau dah kahwin dengan Zaim, rumah ni tetap rumah kau jugak sampai bila-bila...”

Hadif berbalas pandang dengan Zaim. Bahu Zaim ditepuk lembut. Tiada kata-kata perlu diungkapkan. Hadif sudah pun meluahkan apa yang dirasakan perlu untuk menasihati Zaim yang kini sudah mengambil-alih tugasnya untuk menjaga serta melindungi adik tunggalnya itu.

Hadif menghampiri isteri serta adiknya. “Apasal buat citer Hindustan pulak kat sini?” tegur Hadif dengan nada bergurau. “Lepas dah nangis-nangis ni, korang nak menyanyi pulak ke?”

Terlerai pelukan Hana dan juga Sam. Sam mencubit lengan Hadif. Potong stim betullah Mr. Stalker sorang ni! Hesy!

Menyeringai Hadif kesakitan.

“Padan muka!” getus Hana.

Zaim menghampiri Hana. “Hana, meh saya nak kenalkan awak pada ahli keluarga saya, walaupun awak dah kenal,” ajak Zaim dengan tangan sudah berlabuh di siku isterinya.

Hana bangun seraya mengangguk. Sam turut bangun. “Zaim... tolong jaga Hana ni baik-baik ya,” pinta Sam.

Zaim tersenyum. Wajah Sam ditatap mesra. “Saya janji, Sam. You have my word!”

Hadif merangkul bahu Sam. “Awak jangan risau, Sam. Abang dah basuh dah si Zaim ni habis-habisan. Kalau dia tak jaga Hana ni dengan baik, abang dah cakap dah nak bagi Hana ni pada Abang Leman. Biar Abang Leman yang jaga!”

Mati senyuman di bibir Zaim. Tahu siapa Abang Leman yang disebut oleh Hadif itu. Hana pula sudah menjegilkan matanya ke arah Hadif. “Abang!” gerutu Hana.

Hadif sudah tersengih. Bila lagi nak menyakat Hana?

Sam menggelengkan kepala. Sengal betul si Hadif ni. Laki siapalah ni, ek?

Lekas-lekas Zaim menarik tangan Hana. Mahu diperkenalkan kepada keluarganya pula. Hana mengucup tangan kedua ibu dan bapa Zaim yang sudah sedia menunggu. Meleret senyuman mereka melihat Zaim kini sudah beristeri. Tiada apa-apa lagi yang kurang dalam kehidupan mereka sekeluarga. Tiada apa-apa lagi!

Izara sudah tersenyum manis. Gilirannya pula memeluk Hana. Dalam keadaannya yang kini hanya menunggu hari untuk melahirkan, rasa bersyukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana memberinya kesempatan untuk menyaksikan hari pernikahan Zaim dan Hana. “Selamat pengantin baru, Hana.”

“Terima kasih, Zara...”

Welcome to our family, Hana,” ucap Amzar penuh ikhlas yang tidak berganjak dari sisi isterinya. Bahu Izara dirangkul mesra. “Zaim, I’m so happy for you, bro!” Wajah berseri Zaim dipandang. Bahagia adiknya kini sudah berpunya. Dengan tangan kanan yang masih bebas, Amzar menjabat erat tangan adiknya.

Hana dan Zaim sama-sama mengangguk. Senyuman Amzar dibalas mesra.

********

Dush!

Pengakuan Zaim bagai satu tamparan, yang kuat menyedarkan Hana. Terbeliak matanya. Mulutnya sedikit terbuka. Seakan tidak percaya dengan kata-kata yang meluncur dari bibir suaminya.

“Zara?” bisik Hana.

Keruh wajah Zaim. Lambat-lambat dia mengangguk. Tangan Hana yang duduk di sebelahnya di birai katil diraih lembut. “Abang tak nak kita mulakan perkahwinan kita dengan suatu rahsia. Kalau abang dah tahu semuanya tentang Hana yang tersalah letakkan cinta Hana pada Shah, abang nak Hana tahu tentang kesilapan abang jugak.” Perlahan nada suara Zaim. Sesungguhnya, bukanlah sesuatu yang mudah untuk Zaim membongkar sesuatu yang begitu aib bagi dirinya.

Hana diam. Berdegup laju jantungnya tiba-tiba. Zaim pernah menaruh perasaan terhadap Izara? Benarkah?

“Hana... dulu Abang Am tak setuju nak kahwin dengan Kak Zara...” Dan Zaim memulakan penceritaan. Langsung tidak terburu-buru dalam berkata-kata. Mengharapkan pengertian daripada insan yang kini sudah mengambil seluruh ruang yang ada di dalam hatinya. “Tapi tak pernah sekali abang doakan yang tak elok untuk Abang Am dan Kak Zara masa tu. Abang sedar yang Kak Zara hanya untuk Abang Am dan abang dah belajar lepaskan semua rasa kasih dan simpati abang pada Kak Zara.”

Berdebar Zaim menantikan reaksi Hana yang masih tunduk menekur paha.

“Hana?” seru Zaim perlahan.

“Kenapa sekarang baru nak berterus-terang dengan Hana?”

“Sebab abang takut... takut Hana tak dapat terima dosa abang yang satu tu,” jelas Zaim tanpa berdalih. “Sedangkan Hana masa tu pun masih tak dapat nak terima abang, abang tak sanggup nak ambik risiko Hana putuskan hubungan kita kalau Hana tahu perkara yang sebenar.”

“Abang Am tahu pasal ni?”

“Tahu... dan abang rasa Kak Zara pun tahu, tapi semuanya baik-baik saja bila Abang Am tak jadi ceraikan Kak Zara. Sebenarnya, abanglah yang paling bersyukur bila Abang Am dan Kak Zara bersatu.”

Tak sangka Amzar dan Izara punya sejarah pahit mereka sendiri sebelum kesedaran mengetuk pintu hati Amzar suatu ketika dulu. Dan kini, dari mata kasar Hana, Amzar begitu menyayangi dan melindungi isterinya sehingga pernah terdetik di benak Hana betapa bertuahnya Izara mendapat suami seperti Amzar. Rupa-rupanya, mereka disatukan dalam keadaan terpaksa. Tidak seperti dirinya yang rela disatukan dengan Zaim.

Hana mengeluh. Mata ditongkat perlahan mencari mata Zaim. Mata yang penuh dengan rasa bersalah “Terima kasih sudi kongsi dengan Hana.”

Zaim melepaskan nafas perlahan. Riak lega menghiasi wajah. Hana memandangnya tanpa sedikit pun rasa jijik atau benci.

Hana tersenyum kecil. Sedar yang Zaim bersikap jujur dengannya walaupun terpaksa menyingkap sesuatu yang buruk tentang diri sendiri. Kalau dilihatkan hubungan Zaim dengan Izara pun, tiada yang pincang pada pandang mata Hana. Zaim memang menghormati Izara selayaknya seorang kakak ipar harus dihormati, dan begitu jelas betapa Amzar mempercayai Zaim untuk menjaga Izara setiap kali Amzar terpaksa berjauhan daripada isterinya. Sekiranya Zaim masih menyimpan perasaan terhadap Izara, takkan Amzar sanggup meletakkan Izara di bawah jagaan Zaim kerana Hana tahu Izara merupakan harta yang tak ternilai harganya bagi diri Amzar.

“Lega sangat abang rasa sekarang ni. Alhamdulillah... Dah lama abang berkira-kira nak berterus-terang dengan Hana, especially masa Hana tanya sebelum ni sama ada abang pernah letakkan perasaan abang pada orang yang salah atau tak. Cuma masa tu abang tak berani nak bukak mulut, lebih-lebih lagi Hana masih tak percayakan perasaan abang pada Hana masa tu,” luah Zaim.

Hana mengangguk tanda memahami. “Hana masih susah nak percaya semua ni terjadi pada Hana. Rasa macam cepat saja hubungan kita dah sampai sini. Mula-mula kata nak bertunang dulu, lepas tu baru bernikah... Alih-alih kita bertunang pada hari yang sama kita bernikah. Kenduri pun kecil-kecilan je daripada pihak Hana dan juga abang. Tak sangka Abang Hadif boleh setuju je dengan apa yang keluarga abang rancangkan.”

Zaim tersengih. “Hadif pun tak nak ambik risiko adik dia ubah fikiran kut,” usik Zaim. “Dia tak sabar-sabar nak transfer Hana pada abang!”

Hana menampar bahu Zaim. “Mengada!” getusnya.

Tawa lepas terbit dari bibir Zaim. Jari-jemari enak bertaut dengan jemari halus Hana. “Yang benarnya, Allah permudahkan segala-galanya untuk kita kan? Yalah, kita ni nak dirikan masjid. Sejak Hana setuju dengan lamaran abang, semuanya bagai tersusun indah untuk kita.”

Tak dapat dinafikan sepatah pun kata-kata Zaim itu. Hana sendiri sukar untuk mempercayai betapa mudahnya perjalanan mereka sehingga ke saat ini.

“Hana?” seru Zaim lembut.

Hmmm?”

“Hana masih ragu-ragu dengan abang?”

Hana menelan liur. Wajah tampan Zaim ditatap lama. “Hana minta maaf tapi rasa tu masih ada, walaupun sedikit. Hana akan cuba lenyapkan perasaan tu, Hana janji. Cuma Hana perlukan masa, sebab...”

Jari Zaim naik menekup bibir Hana. Kepala sudah menggeleng. “Tak perlu Hana berikan apa-apa alasan pada abang. Abang tahu apa yang Hana pernah lalui sebelum ni. Abang tak salahkan Hana...”

Hana melentokkan kepalanya ke bahu Zaim. Terharu dengan penerimaan Zaim atas dirinya yang serba kekurangan ini. “Terima kasih abang...”

Zaim mengusap kepala Hana yang sudah tidak lagi bertudung. Keharuman dari rambut Hana begitu menyenangkan deria baunya.

“Abang harap Hana akan senang tinggal dengan abang kat kondo ni. Kondo ni abang beli daripada Abang Am,” ujar Zaim.

Hmmm... Hana tak kisah pun. Hana suka rumah abang ni.”

“Rumah kita, Hana. Sekarang ni rumah kita.”

Hana memejamkan mata sambil menikmati belaian tangan Zaim di rambutnya. “Hmmm... rumah kita...”

Perlahan-lahan nafas yang dialunkan Hana menjadi tenang dengan ritma yang perlahan. Kepalanya semakin berat terasa di atas bahu Zaim. Zaim tersenyum tanpa menghentikan gerakan tangannya di rambut Hana. Sedar yang Hana sudah pun terlena, Zaim biarkan saja Hana begitu. Takpelah... takkan lari gunung dikejar. Hana pun sudah selamat menjadi hak miliknya. Apa salahnya menunggu sehari dua lagi untuk menjadikan Hana benar-benar miliknya?

“Sayang...”

Terhenti tangan Zaim tiba-tiba. Apa? Hana ada berkata sesuatu ke? Terlalu perlahan bisikan yang dilakukan oleh Hana tadi. Apa benar Hana telah mengucapkan kata sayang? Pada siapa?

Hmmm...” bisik Hana lagi.

I love you, Hana...” bisik Zaim rapat ke kepala isterinya.

Tegak kepala Hana. Terkebil-kebil matanya. “Eh, Hana dah tertidur ke?”

Zaim mengangguk bersama sekuntum senyuman. Comel betul Hana ketika ini. Dengan mata yang kuyu dan riak wajah yang blur, Hana kelihatan begitu menawan hatinya.

“Oh, sorry... Hana ada cakap sesuatu ke tadi? Macam ada, tapi Hana tak pasti sama ada Hana bermimpi atau sekadar lamunan Hana je tadi.”

“Ada...”

“Oh... ada ek? Errr... abang ada cakap apa-apa ke tadi?” Kalut saja aksi Hana kini. Pandangan redup Zaim yang singgah ke wajahnya buat dia berasa hangat di seluruh tubuh. Dan senyuman Zaim begitu tampan sekali.

Sekali lagi Zaim mengangguk.

“Abang kata apa?”

I said I love you,” lafaz Zaim sekali lagi. Kini dalam keadaan Hana yang sedar sepenuhnya.

Bulat mata Hana. “Wh... wha...” Tergagap-gagap Hana jadinya.

I love you!” ulang Zaim lagi.

Wajah Hana memerah. Lidah kelu tidak bisa bersuara. Kalimah yang diucapkan oleh Zaim buat kali pertama sejak perkenalan mereka mengundang suatu perasaan halus menjalar dalam jiwa Hana.

“Apa yang abang rasa bukan sekadar nafsu, Hana. What about you?”

Nafsu. Teringat kembali saat Hana meluahkan keinginan nalurinya di hadapan Sam dan dicuri dengar oleh Zaim. Saat yang sentiasa akan membuat Hana ditimpa rasa malu yang amat sangat.

“Sa... sama...” akui Hana akhirnya.

“Tadi Hana cakap ‘sayang...’ Hana cakap pada siapa?”

Berkerut dahi Hana. Eh! Ada ke?

“Hana mimpi?”

“Entah... Hana rasa macam terbuai-buai tadi. Antara sedar dengan tak je, tapi... Hana macam ada dengar suara orang tanya Hana.”

“Tanya apa?”

“Sama ada Hana sayang kat abang atau tak... Tapi... peliknya... siapa yang tanya?”

“Jadi tadi Hana cakap sayang tu untuk abang?” Nada suara Zaim cukup ceria.

Hmmm...” Hana masih keliru. Benarkah dia bermimpi? Rasanya baru sekejap dia melentokkan kepala ke bahu Zaim. Takkan dia mampu bermimpi dalam waktu yang singkat itu? Tapi suara yang bertanya itu kedengaran begitu hampir di telinganya. Suara siapakah tadi? Seakan pernah didengarinya dulu...

Say it, Hana,” pinta Zaim. “Abang nak dengar.”

Hana menolak persoalan yang mengetuk mindanya jauh buat seketika. Mata Zaim ditatap lembut. “Hana sayang kat abang...”

Zaim memejamkan mata. Pengakuan Hana kedengaran begitu merdu di telinganya. Bahu Hana dirangkul erat, seakan tidak mampu dilepaskan.

“Alhamdulillah... Tak sangka abang tak bertepuk sebelah tangan selama ni...”

Tangan Hana membalas pelukan Zaim. Bibir manis dengan senyuman.

“Sekarang Hana tak perlu tertanya-tanya lagi...” ujar Zaim.

Celik mata Hana. “Tertanya-tanya pasal apa?”

“Pasal macam mana rasanya kalau abang peluk Hana, cium Hana semua tu...” ungkit Zaim. “Sebab lepas ni Hana akan tahu...”

Hana menyembunyikan wajah ke dada Zaim. Malu dan segan datang bertimpa-timpa.

“Abang jahat!” gerutu Hana.

Zaim hanya ketawa. Langsung tidak berkecil hati dengan tuduhan Hana itu. Tangan yang melingkar di bahu Hana kini sudah turun ke pinggang isterinya. Hana tidak membantah, kerana sedar yang nalurinya menyambut mesra seruan daripada suaminya itu.

Welcome home, Hana...” bisik Zaim penuh romantis. Bisikan yang difahami sepenuhnya oleh Hana. Ya, Hana sudah bertemu dengan tempat yang akan didiaminya buat seumur hidup... bukan sekadar suatu persinggahan sementara buat dirinya, tetapi yang kekal sehingga ke syurga, Insya-Allah...